Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Bahasa. Show all posts
Showing posts with label Bahasa. Show all posts

Friday, January 9, 2009

Sah, Dr Hassan ketuai bantahan PPSMI

Bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad secara rasmi memimpin Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang kini dikenali sebagai Gabungan Mansuhkan PPSMI - yang mengancam mengadakan perhimpunan besar ala-Bersih - bagi membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaraan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Jawankuasa Pelaksana program berkenaan, Hasni Abas berkata, Dr Hassan akan bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa induk gabungan itu.

Menurutnya lagi, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan beliau - yang mengetuai sembilan lagi wakil NGO dan sayap Pemuda parti pembangkang yang bergabung dalam GMP - dengan bekas ketua pengarah DBP itu di Yayasan Karyawan di Damansara tengahari tadi.

Isnin lalu, Dr Hassan dilaporkan menyatakan kesediaanya untuk memimpin gabungan itu bagi membantah pelaksanaan PPSMI.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hasni berkata, mesyuaratnya dengan Dr Hassan juga memutuskan untuk melantik sembilan tokoh politik dan bahasa berprofil tinggi bagi mengganggotai jawatankuasa induk itu.

Mereka termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa; bekas ketua pengarahDBP, Datuk Aziz Deraman; tokoh sastera Datuk Dr Anwar Ridwan dan penyair terkenal, Dinsman.

Ditanya tentang tugas pertama Dr Hassan, Hasni berkata: "Panggil mesyuarat jawatankuasa induk."

Perarakan keranda

Jawatankuasa induk yang dibentuk itu merupakan badan utama pembuat keputusan dalam GMP; manakala jawatankuasa pelaksana bertindak menggerakkannnya di peringkat bawah.

Hasni yang juga pengerusi Kesatuan Pekerja DBP berkata, jumlah ahli jawatankuasa induk mungkin ditambah daripada masa ke semasa, mengikut keperluannya.

Beliau sebagai pengarah jawatankuasa pelaksana, secara automatik bertindak sebagai setiausaha GMP.

Selain itu, jawatankuasa pelaksana GMP akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan gerak kerja lanjut bagi menjayakan perhimpuna besar yang dijadual Mac depan.

Selain perhimpunan ala-Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil ) Mac depan, kerajaan juga mungkin berdepan dengan satu "perarakan keranda" Februari ini berhubung isu PPSMI oleh sebuah lagi badan bahasa, Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Perarakan sambil mengusung keranda sebagai simbol kematian bahasa Melayu - dinamakan Keranda 152 - akan menjadi sebuah lagi tindakan, selain tindakan mahkamah, selepas tuntutan mereka supaya kerajaan memansuhkan PPSMI tidak diendahkan.

Selain NGO Melayu, persatuan pendidikan Cina turut membantah pelaksanaan dasar itu.

Lapan NGO itu, yang diketuai Dong Jiou Zong hari ini memberikan tarikh akhir kepada kerajaan sehingga Mac ini untuk membuat keputusan atau turut menghadapi siri-siri bantahan mereka.

Sumber: Malaysiakini

Monday, January 5, 2009

Pejuang bahasa Melayu demo ala Bersih

Pejuang-pejuang bahasa Melayu, yang membantah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bercadang menganjurkan perhimpunan besar seperti Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007.

Demonstrasi besar itu, yang digelar "Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu", bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Keputusan mengadakannya dicapai dalam mesyuarat sekumpulan NGO Melayu dan parti pembangkang di Kuala Lumpur akhir bulan lalu, kata ketua pengarah jawatankuasa pelaksana kempen tersebut Hasni Abas dalam satu kenyataan hari ini.

Dihubungi Malaysiakini, beliau berkata memorandum kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin, antaranya, memohon campur tangan baginda sebagai ketua negara bagi mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dua subjek itu.

"Orang mungkin lupa, (dan) menganggap kerajaan (BN) dan Umno sebagai ketua negara. Sebenarnya Yang di-Pertuan Agonglah ketua negara," katanya.

Hasni berkata, 100,000 rakyat dan pejuang bahasa dijadual berarak dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke istana, kira-kira satu kilometer.

"Kita harap (perhimpunan ini) dapat menjadi lontaran pertama (kepada kerajaan)," tambah Hasni, juga pengerusi kesatuan sekerja DBP.

Menurutnya lagi, perhimpunan itu dijangka diadakan Mac depan atau selewat-lewatnya Mei.

Jika tiada masalah, katanya, perhimpunan itu akan dibuat sebelum satu lagi perhimpunan gergasi bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dijadual Mac.

"Orang Melayu ini semangat mereka (berkobar-kobar) enam bulan sahaja. Kalau lama-lama sangat, takut lupa," katanya, berseloroh.

Selain Kesatuan Pekerja-pekerja DBP, NGO dan parti politik yang terlibat termasuklah Dewan Pemuda PAS, Persatuan Linguistik Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).

Gabungan itu, yang turut menghimpunkan tokoh-tokoh pencinta bahasa kebangsaan, menggelarkan kumpulan mereka Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu.

Hasni berkata, bekas ketua pengarah DBP Datuk Dr Hassan Ahmad bakal menerajui badan induk sekretariat itu.

Urusetia itu juga, tambahnya, menganjurkan perjumpaan lanjutan dengan semua NGO dan parti politik, termasuk BN, yang memperjuangkan penggunaan bahasa ibunda sebagai pengantar pengajaran Sains dan Matematik pada hujung bulan ini.

Bersih - gabungan 71 NGO dan parti pembangkang utama - berjaya menghimpunkan kira-kira 40,000 penyokong mereka berarak ke Istana Negara (foto kanan) pada 10 November dua tahun lalu bagi mengemukakan empat tuntutan, antaranya menghapuskan undi pos dan memperkenalkan dasar dakwat tidak mudah padam di jari pengundi.


Sumber: Malaysiakini