Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Dialog. Show all posts
Showing posts with label Dialog. Show all posts

Thursday, March 18, 2010

Dialog Royalti Minyak Malam Ini Diteruskan - SK

KUALA LUMPUR, 18 MAC — Dialog royalti minyak anjuran Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) di Kuala Terengganu malam ini diteruskan sebagaimana telah dirancang dengan komitmen akan disertai oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

“Setakat ini, dialog ini diteruskan dan Tengku Razaleigh juga sudah menyatakan komitmen untuk menyertai dialog,” kata Setiausaha Bersama Gegar Zaidan Abdullah ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketika ditanya mengenai laporan bahawa tiada permit diberikan, Zaidan yang juga Setiausaha Mampat berkata, majlis tersebut diadakan dalam dewan kawasan persendirian iaitu di Terengganu Ekuestrian Resort sendiri dan biasanya tidak memerlukan permit pihak berkuasa.

“Mengikut amalan-amalan masa lalu, majlis yang diadakan dalam dewan dalam Terengganu Ekuestrian Resort tidak diperlukan permit, cuma kami memaklumkan pihak polis.

“Dalam hal ini, kami juga akan memaklumkan pihak polis mengenai dialog ini,” kata beliau dengan mengharapkan tidak akan timbul sebarang masalah.

Pertemuan malam ini merupakan forum kedua dihadiri oleh Tengku Razaleigh selepas ceramah di Kota Baru akhir Januari lalu.

Pada pertemuan di Kota Baru, beliau yang juga pengasas dan bekas pengerusi Petronas menegaskan bahawa Kelantan juga layak menerima wang royalti hasil pengeluaran minyak, bukannya wang ihsan.

Laporan Bernama semalam menyebut polis Terengganu member amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keadaan tidak aman di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata ia termasuk mereka yang cuba mengadakan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum berhubung royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

“Saya ingin menasihatkan pihak-pihak berkenaan bahawa itu bukanlah tempat yang sesuai untuk menyerahkan memorandum atau mengemukakan bantahan kerana Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Terengganu di atas urusan-urusan tertentu.

“Saya tidak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan di atas kehadiran Tuanku untuk melakukan sesuatu yang di luar program yang telah ditetapkan oleh pihak istana,” katanya.

Mampat dan Gegar dilaporkan bercadang untuk menghimpunkan kira-kira 10,000 orang bagi menyerahkan dua memorandum berhubung tuntutan royalti minyak kepada Tuanku Mizan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Mengulas mengenai program ceramah dan dialog yang akan dianjurkan di Terengganu Ekuestrian Resort malam ini, beliau berkata pihaknya belum menerima permohonan permit daripada pihak berkenaan untuk berbuat demikian.

“Setakat ini saya tidak ada menerima sebarang permohonan permit. Kita akan ambil tindakan kepada mereka yang kita rasakan akan menimbulkan masalah keselamatan,” katanya yang menasihatkan penganjur supaya tidak meneruskan program itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

-Malaysian Insider

SK

Wednesday, September 16, 2009

Muzik: Berdialog dengan Pemuda PAS - Harakah

"MINTA maaf ya, ustaz, saya ada pengakuan," kata saya. "Dalam kolum saya, teruk juga saya tibai ustaz tentang pendirian Pemuda PAS berkenaan konsert Michael Learns to Rock."

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan at Tantawi, senyum selamba saja. "Saya tak ambil hati. Kalau macam tu, Datuk Zaid Ibrahim pun mengkritik kami juga." Rakan-rakan Nasrudin dari Pemuda PAS tersenyum dan mengangguk-angguk.

Dengan itu, dialog anjuran musicForum antara saya dan Nasrudin bermula. Ia melihat penglibatan kira-kira 30 orang muda-mudi Melayu Islam yang lain. Masanya lepas solat terawih, dan tarikhnya 2 Sept 2009. Tempatnya di Studio Poket, Pusat Bandar Puchong Utama. Tajuknya, Di mana muzik dalam politik Islam?.

Dengan ikhlas saya mengaku, saya berdebar-debar juga mahu berhadapan dengan Nasrudin. Akan tetapi, walaupun moderator dialog tersebut, Fathi Aris Omar, memperkenalkan saya sebagai seorang pemuzik dan anggota bersekutu Sisters in Islam (SIS), Nasrudin dan kawan-kawannya tidak terkejut. Malah, tidak seorang pun yang memperlekehkan atau mengutuk SIS seperti yang saya biasa lihat di pelbagai blog dan siaran akhbar.

Saya sebenarnya dijemput oleh pihak penganjur sebagai seorang pemenang Anugerah Industri Muzik, jadi bab keanggotaan SIS saya memang tidak masuk tajuk pun.

Saya diminta membuka tirai dialog tersebut, jadi saya mengupas pendapat imam al-Ghazali. Menurut al-Ghazali, kesenian itu sebenarnya merupakan kurniaan daripada Allah yang Maha Berkuasa. Ia menghidupkan jiwa kita untuk kita lebih menghayati keindahan ciptaan Allah. Ini termasuklah bidang muzik dan tarian. Dan inilah yang mendorong saya untuk berkarya sebagai seorang artis beragama Islam.

Saya juga mengupas dua hadis sahih daripada saidatina Aishah, di mana Rasulullah sendiri telah membenarkan Aishah untuk berhibur dan menonton persembahan tarian dan nyanyian. Malah, apabila saidina Abu Bakar menegur penghibur-penghibur tersebut sebagai "serunai syaitan", Rasulullah sendiri berkata, "Biarkan mereka � bukankah ini hari perayaan?"

Malah, belum terdapat ijma yang benar-benar kukuh tentang hukum muzik dalam Islam. Ada ulama yang berkata hanya nyanyian suara saja yang dibenarkan, ada yang berkata hanya instrumen tidak bertali yang dibenarkan, tetapi ada juga yang berkata kesemuanya dibenarkan bergantung kepada niat dan mesej yang terkandung dalam karya muzik tersebut.

Pendirian PAS

Kemudian, pihak Nasrudin dan pemuda PAS yang lain pula memberikan hujah mereka. PAS tidak anti-kesenian. PAS bukan anti-muzik, malah bukan anti-konsert. PAS hanya menentang bentuk-bentuk hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan, dan yang menggalakkan pergaulan bebas yang boleh membawa kepada pelbagai jenis kemudaratan yang lain.

"Saya faham pendirian PAS sebagai sebuah parti Islam," saya membalas. "Tetapi kenapa PAS tidak terangkan saja kepada masyarakat umum pendirian seperti ini? Bukankah itu dakwah PAS? Kenapa respons pertama daripada PAS selalunya menjurus kepada mengharamkan sesuatu yang PAS tidak suka?"

Panjang lebar juga jawapan yang diberikan oleh pihak pemuda PAS, tetapi akhirnya naib ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof, tersenyum dan berkata, "Kami pun sentiasa mengalami evolusi dalaman. Kami pun sedang berusaha."

Banyak juga soalan kritikal yang ditujukan kepada PAS oleh mereka yang hadir. Contohnya, insan atau institusi mana yang berkuasa untuk menentukan apa itu "bermoral" dan apa itu "tidak bermoral"? Bukankah pihak berkuasa Islam juga pernah menggunakan alasan "moral" untuk mematahkan sentimen yang mengkritik kerajaan? Apakah PAS tidak mampu bertolak-ansur?

Di sini saya sendiri telah memetik pengalaman Yusuf Islam, yang pernah membuat persembahan dalam konsert HIV/AIDS di Afrika Selatan. Para penghibur lain di konsert tersebut banyak juga mempromosi pendekatan "sekular" untuk menangani HIV/AIDS, tetapi Yusuf Islam tetap berkongsi pentas dengan mereka.

Tetapi sekali lagi saya ingin tekankan keindahan dan keikhlasan dalam dialog antara saya dan Nasrudin. Sepertimana difirmankan Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 125: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik." Nasrudin dan saya memang berbahas dengan baik dan manis.

Erti dialog

Tetapi "berdialog" bukannya bererti "tumbang dan setuju seratus-peratus dengan pihak lain". Apabila mengakhiri sumbangan saya terhadap dialog tersebut, saya menekankan lagi sekali bahawa saya tidak bersetuju dengan pendirian PAS. Saya bersetuju dengan hak PAS untuk bersuara dan berdakwah, dan juga menghormati hujah-hujah yang dikemukakan.

Saya berikan analogi ini kepada pihak Pemuda PAS. Sekarang ini pihak Pakatan Rakyat (PR) dan aktivis hak asasi banyak mengecam akta-akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Tapi mungkin satu hari kelak, PAS akan mendapat mandat untuk memerintah negara ini dan akan meluluskan undang-undang hudud.

Apakah PAS akan membenarkan bantahan terhadap undang-undang hudud oleh pihak pembangkang, artis, wartawan dan aktivis? Apakah PAS akan akur jika sebilangan besar rakyat tidak mahukan undang-undang hudud?

Menurut Nasrudin, sudah tentu PAS akan mendengar suara rakyat. Katanya lagi, "Kami berpegang kepada prinsip yang didukung oleh khulafa ar-rashidun. Kalau kami betul, sokonglah kami. Kalau kami salah, perbetulkanlah kami."

Bagi saya, jawapan ini masih perlu dilihat dalam konteks sosio-politik tanahair secara keseluruhan. Sejak 8 Mac 2008, kredibiliti BN semakin merosot, dan pada masa yang sama saham PR semakin naik. Malah, rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam pun sudah sanggup mengundi PAS demi menjatuhkan kerajaan BN.

Dan tidak dapat dinafikan, kerajaan BN juga menggunakan pelbagai taktik kotor dan ganas untuk kekal berkuasa � lihatlah saja rampasan kuasa di Perak, penggunaan meriam air dan gas pemedih mata terhadap demonstrasi anti-ISA, dan sebagainya.

Dalam situasi kini, PAS dan rakan-rakan PRnya sudah nyaris-nyaris menawan puncak kuasa. Dan dalam keadaan seperti ini, memang mudah untuk mana-mana pemimpin politik dari kalangan mereka membuat pelbagai janji manis. Akan tetapi, kita juga perlu menumpukan perhatian kepada pendirian lain yang dibawa oleh parti komponen PR.

Dalam kes PAS, kita perlu mengkaji pelbagai kenyataan para pemimpinnya tentang isu hukuman sebat, pelaksanaan undang-undang hudud, isu pertukaran agama kanak-kanak, pihak yang tidak bersetuju dengan tafsiran Islam PAS, dan juga mazhab minoriti seperti golongan Ahmadiyah. Apakah pendirian PAS dalam isu-isu ini konsisten dengan sistem demokrasi dan masyarakat madani yang ideal?

Kesanggupan kita untuk berdialog bukannya bererti kita berhenti bersifat kritikal antara satu sama lain. Selagi kita bersikap kritikal, selagi itulah masyarakat kita akan menikmati satu sistem semak dan imbang yang kukuh dan berprinsip. Dan selagi itulah kita akan dapat mencari jalan penyelesaian yang benar-benar menghormati perasaan dan pendirian semua pihak yang terlibat.

Oleh itu, amatlah penting jika PAS terus menyuarakan pendiriannya tentang pelbagai isu, dan berikhtiar untuk menyebarkan ideologinya di kalangan umum. Sumbangan PAS terhadap perkembangan demokrasi tanahair kita sangatlah besar. Akan tetapi, kita yang lain pun perlu menyuarakan pendirian kita dan menyumbang kepada perbincangan umum tentang pelbagai isu kemasyarakatan.

Kesimpulannya, kita masing-masing mengidamkan keamanan dan kebahagiaan dalam hidup ini. Pada penghujung dialog saya dengan Nasrudin, kami saling berpeluk dan bersalaman. Saya dapat merasakan keikhlasannya dan saya pasti dia juga dapat merasakan keikhlasan saya. Hakikatnya kami tidak bersetuju dalam beberapa hal, tetapi hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Shanon Shah amat berbesar hati kerana dapat berbual, bergurau dan makan sekali dengan kepimpinan Dewan Pemuda PAS._

Harakah

Monday, July 6, 2009


Salam Sejahtera,

Dijemput rakan-rakan ahli Kelab Anwar Ibrahim (AIC) untuk ke program Pidato Kepimpinan dan Sessi Dialog bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim. Maklumat program adalah seperti di bawah :

Tarikh : 9hb Julai, 2009 (Khamis)

Waktu : 8.00malam

Tempat : Dewan Utama, Unisel
(klik di sini untuk merujuk peta)

Program ini dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Selangor (Unisel) dengan kerjasama AIC dan i-Rakan. Dato' Seri Anwar akan memberikan pidato dan membuka ruang untuk soal-jawab bersama hadirin.

Jumpa anda di sana!

Monday, June 8, 2009

Anwar Alukan Dialog Obama-Negara Islam - TVA

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengalu-alukan usaha Presiden Amerika Syarikat Barack Hussein Obama merapatkan jurang dunia Islam dan Barat.

Dalam temubual secara langsung oleh British Broadcasting Corporation (BBC), Anwar berkata walaupun penyelesaian kepada kemelut Islam-Barat belum lagi kelihatan, namun rangka lawatan Obama adalah langkah permulaan merungkai konflik itu.

Anwar berkata ucapan Obama di univerisit Kaherah baru-baru ini mampu menganjak hubungan antara Amerika Syarikat dan Islam di rantau Timur Tengah. Apa yang perlu, katanya, adalah dialog berterusan dengan gerakan-gerakan Islam.

"Ucapan Barack Obama amat berani dan bermakna. saya tidak percaya ia boleh memuaskan semua pihak, bagaimanapun penting untuk kita lihat bahawa beliau dalam ucapannya merujuk kepada Hamas dan peranan gerakan itu, komitmen beliau untuk menarik keluar tentera Amerika Syarikat dari Iraq, serta penyelesaian kepada krisis Israel-Palestin," kata Anwar.

"Namun apa yang kritikal adalah bagaimana dunia Islam akan respon kepada seruan beliau: Hamas harus digalakkan untuk respon, Iran perlu digalakkan untuk menyertai siri-siri rundingan walau bagaimana sukar sekalipun, kerana ini peluang terbaik untuk dunia Islam melihat seorang Presiden Amerika Syarikat yang komited dan berani," kata Anwar.

Presiden pada 4 Jun lalu mengadakan rangka lawatan ke Timur Tengah bagi menganjurkan dialog persefahaman bersama gerakan-gerakan Islam serta kerajaan-kerajaan rantau itu.

Presiden kulit hitam pertama Amerika itu berkata perubahan mendadak yang dibawa oleh kemodenan dan kesejagatan menyebabkan ramai orang Islam memandang Barat sebagai musuh kepada tradisi Islam.

Bagi membuktikan keikhlasan lawatannya, Obama memetik al-Quran dan hadis sepanjang ucapan beliau. Obama juga mengelak dari menggunakan perkataan ekstremis Islam, menggantikannya dengan ekstremis ganas dan merujuk Palestin sebagai sebuah negara.

Anwar mengingatkan bahawa gerakan-gerakan ganas yang bercambah hari ini bertitik-tolak dari ketiadaan proses demokrasi yang jitu serta ruang reformasi yang ditutup oleh pemerintah-pemerintah kuku besi yang diantaranya diangkat sendiri oleh Amerika Syarikat.

"Isu Arab-Israel adalah penting. Tidak ramai yang berpuas hati dengan cara Presiden menangani kes Afghanistan, tetapi apa yang melegakan adalah komitmen beliau kepada agenda demokrasi - bahawa kerajaan yang memerintah haruslah kerajaan yang dibentuk secara sah, dan menghormati sentimen rakyat," katanya.

"Kita bagaimanapun perlu melihat kesan dari kenyataan Barack Obama ini, kerana kritikan terhadap pentadbiran beliau dan pentadbiran sebelumnya adalah tingkah-laku yang bercanggah - antara seruan mereka kepada demokrasi dan reformasi, dan dalam masa yang sama sokongan terhadap diktator dan rejim-rejim penindas di serata dunia," tegas Anwar.

Anwar berharap Obama meminta maaf diatas tindakan Amerika Syarikat mempertahan keganasan ke atas masyarakat Islam di Palestin, Iraq, dan Afghanistan, namun apa yang lebih utama sekarang ini adalah merealisasikan ucapannya kepada kenyataan.

"Barack Obama adalah Presiden Amerika Syarikat, beliau bukanlah jurucakap dunia Islam, tetapi untuk beliau tiba di persimpangan ini dengan kenyataan yang kuat, merayu kepada dialog bersama dunia Islam sebagai rakan yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bukan sahaja unik, tetapi juga tidak terjangka," kata Anwar.

"Tetapi saya lebih prihatin dengan bagaimana dunia Islam akan menyahut seruan Obama itu. Osama bin Laden tidak mewakili sentimen Muslimin. Majoriti mahukan keamanan, keselamatan dan penghormatan. Saya percaya Hamas boleh diyakinkan untuk menyahut seruan Obama itu, tetapi Hamas tidak yakin kerana terdapatnya sikap berat-sebelah Amerika Syarikat dan perlindungan dan pengiktirafan kepada pengganas rejim Israel," kata Anwar.

"Namun sekiranya Obama boleh menyakinkan Hamas untuk sekurang-kurangnya duduk berunding, maka tentunya itu salah progres yang besar. Walaupun penyelesaian masih jauh, sekurang-kurangnya ia telah bermula," tegas Anwar.

TVA

Friday, May 15, 2009

Kebebasan Akhbar: Kerajaan Selangor anjur dialog - SK

Kerajaan Negeri Selangoor akan menganjurkan dialog umum dan perundingan sempena memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 19 Mei ini.

Dalam kenyataan yang diterima oleh Suara Keadilan, dialog dan perundingan umum ini bakal memberi nafas baru kepada kebebasan akhbar dan suara pelbagai media di Malaysia.

Antara Panel yang akan membentangkan dan mengupas isu ini terdiri daripada Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong, Pengarah Proggram Pusat Kewartawanan Bebas Sevan D, Wakil Majlis Peguam Dipendra Harshad Rai,Pengarah, Pusat Polisi Inisiatif ; Dr. Lim Teck Ghee, Exco Transparency International Ngooi Chiu Ing dan Editor Malaysia Kini Padmaja Padma.

Program yang akan berlangsung di Auditorium Sivik Petaling Jaya ini dilaksanakan atas dasar insetif untuk mempromosikan “Kebebasan Maklumat” dengan tertubuhnya Badan Bertindak Kebebasan Maklumat pada awal 2009 yang dianggotai Ahli Parlimen Negeri dan Persatuan Awam, dipengerusikan oleh Elizabeth Wong.

Pada peringkat awal, badan bertindak berperanan membuat kajian untuk mewujudkan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information) FOI Act selewat-lewatnya pada penghujung 2009.

Justeru, kepada pengamal-pengamal media, persatuan sivil serta orang perseorangan adalah dijemput pada majlis tersebut nanti. Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Arfa Aziz di alamat emel arfaeza@selangor.gov.my atau Tricia Yeoh, triciayeoh@selangor.gov.my (03-5544 7610 atau 012-6122 100)

SK