Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Hakim. Show all posts
Showing posts with label Hakim. Show all posts

Monday, March 1, 2010

2 Panel Hakim Tarik Diri, Permohonan Anwar Ditunda - TVS

Dua panel daripada panel 3 hakim yang bersidang menarik diri bagi mendengar rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar ibrahim terhadap pembatalan notis rayuan berhubung kes saman fitnah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hakim Datuk Zulkifli Ahmad Makinuddin dan Datuk Hashim Yusoff berbuat demikian selepas peguam, Karpal singh memfailkan permohonan supaya mereka menarik diri dari mendengar rayuan itu kerana mereka terlibat dalam perbicaraan pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Meneteri pada 1998.

Hakim Tan Sri Ariffin Zakaria menangguhkan prosiding sehingga minggu hadapan bagi mencari hakim untuk menggatikan tempat 2 panel hakim itu.

Mahkamah Rayuan pada 2 November lalu menolak rayuan Anwar dalam saman fitnah RM100 juta terhadap Dr Mahathir atas alasan penggunaan bahasa Malaysia dalam prosiding mahkamah.

Rayuan itu dibuat selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 10 Oktober lalu membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatal rayuan itu dan memerintahkan Anwar membayar kos.

Pada 4 Julai 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman itu dengan kos selepas membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan saman itu.

Anwar memfailkan saman pada 26 Januari 2006, mendakwa kenyataan Dr Mahathir yang menggelarnya sebagai seorang homoseksual adalah fitnah, bertujuan mengaibkannya secara peperibadi dan kapasitinya sebagai bekas menteri kewangan dan timbalan perdana menteri.

TVS

Monday, February 8, 2010

Liwat II: Pembelaan cuba lucutkan hakim - Malaysiakini

Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi ditangguhkan ke jam 9.30 pagi esok.

Penangguhan ini bagi mendengar permohonan peguam utama, Karpal Singh yang memohon Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md Diah dilucutkan daripada mendengar perbicaraan itu.

Pihak pembelaan dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan hakim Mohamad Zabidin kerana enggan mengenakan tindakan menghina mahkamah ke atas Utusan Malaysia pada perbicaraan kes itu.

Ia dikatakan berhubung dengan tajuk utama Utusan Malaysia yang menggunakan perkataan 'lagi' dalam laporannya tempoh hari yang menjadi pertikaian oleh pihak pembelaan.

Selain itu, sekeping gambar dengan penerangannya juga dijadikan bahan pertelagahan kedua-dua pihak.

Perbicaraan yang memasuki hari keempat hari ini sepatutnya bermula dengan pihak pembelaan menyoal balas Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pasukan peguam Anwar diketuai oleh Karpal dan dibantu oleh Param Cumaraswamy, CV Prabhakaran, SN Nair, Ram Karpal Singh Deo, Marisa Regina Fernando dan Mohd Razlan Jalaluddin.

Saiful, 25, bekas pembantu peribadi Anwar, adalah saksi pertama yang memberi keterangan apabila kes itu bermula pada Rabu lalu di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin.

Anwar, 63, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan itu berlangsung selepas 18 bulan, Anwar pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada Ogos 2008.

Malaysiakini

Wednesday, February 3, 2010

Konspirasi 2 : Rayuan DSAI Pohon Akses Bukti Pendakwaraya Diketahui Selewatnya Jumaat Ini - TVS

Tarikh permohonan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusannya yang menolak rayuan Anwar untuk mendapatkan dokumen tertentu bagi tujuan pembelaannya akan diketahui selewat- lewatnya Jumaat ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sharif dalam pertemuannya selama 40 minit dengan barisan peguambela Anwar dan pendakwaraya di kamarnya pagi tadi.

Jumaat lalu Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar untuk mendapatkan lebih banyak bukti dari pihak pendakwaraya seperti rakaman CCTV, nota doktor, senarai saksi dan kenyataan hemat saksi.

TVS

Monday, January 4, 2010

Hakim Augustine Paul meninggal dunia - Malaysiakini

Hakim kanan Mahkamah Persekutuan, Datuk S Augustine Paul meninggal dunia pada jam 3.15 petang ini di Hospital Selayang.

Beliau yang berusia 65 tahun, difahamkan meninggal dunia kerana penyakit barah.

Augustine telah menghakimi beberapa kes kontroversi termasuk perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Beliau dilahirkan pada 1944 di Batu Gajah Perak dan mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Sultan Yusof, Batu Gajah dan Sekolah Anderson, Ipoh.

Pada 1996, Augustine dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi, dan dua tahun kemudiannya, mendengar perbicaraan kes Anwar.

Augustine mendapati Anwar bersalah pada 14 April 1999 selepas satu perbicaraan yang kontroversi berhubung tuduhan Anwar menyalahguna kuasanya untuk mengganggu siasatan polis dalam kes liwatnya.

Anwar kemudiannya dijatuhkan hukuman enam tahun penjara.

Sewaktu perbicaraan kes tersebut, sebuah tilam yang dikatakan terdapat air mani Anwar, telah dibawa ke mahkamah dan dikemukakan sebagai bukti DNA.

Dalam keterangan di mahkamah, seorang pakar DNA berkata 10 daripada 13 kesan air mani menyamai DNA Anwar. Peguambela pula berhujah bahawa contoh DNA Anwar telah diletak pada tilam tersebut.

Augustine bagaimanapun menerima keterangan DNA tersebut.

Augustine juga dikritik kerana berulangkali enggan menerima pengemukaan bukti oleh peguambela dan menolaknya sebagai 'tidak relevan' dalam kes tersebut.

Penghakiman Augustine setebal 320 halaman untuk kes tersebut, dianggap sebagai yang terpanjang dalam sejarah negara ini.

Sejurus selepas itu, Augustine dinaikkan pangkat - pertama sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 1998, hakim Mahkamah Rayuan pada 2003 dan akhirnya hakim Mahkamah Persekutuan pada 2005.

Augustine juga turut menulis beberapa buku - Cautioned Statements (1990), Impeachment Proceedings (1990), Trial within a Trial (1994) dan Evidence-Practice and Procedure (1994).

Buku Evidence-Practice and Procedure kini menjadi buku teks bagi subjek berkenaan di Malaysia.

Beliau akan dikebumikan di Lorong Taman Pantai 7, Bangsar pada jam 2.30 petang esok.

Malaysiakini

Monday, May 18, 2009

Siapakah hakim yang benarkan permohonan Zambry? - SK

KUALA LUMPUR, 16 Mei (SK) : Hakim Ramly Mohd Ali yang membenarkan permohonan rayuan Zambry Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung status Menteri Besar Perak, pernah disebut dalam rakaman video Hakim VK Lingam yang mencetuskan kontroversi tidak lama dahulu.

Demikian pendedahan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Badrul Hisham tentang Hakim Mahkamah Rayuan itu yang dilantik 15 April lalu iaitu 27 hari sebelum Zambry merayu kes itu di mahkamah.

Mengikut perbualan itu kata Badrul, VK Linggam telah menyebut nama tiga orang yang sepatutnya hendak dilantik sebagai hakim.

“Mereka adalah Heliliah Mohd Yusof, Ramly Ali dan Ahmad Maarof. Ketiga-tiga nama ini telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi oleh Yang Dipertuan Agung pada 1 February 2002,” katanya dalam blog peribadi beliau.

Sepatutnya hakim-hakim yang dinamakan oleh Linggam ini disiasat atau diberhentikan kontrak mereka, bukannya dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan dan tidak sepatutnya mereka mendengar kes yang begitu serius dan besar seperti ini, katanya.

Beliau membangkitkan persoalan betapa mudahnya Ramly ini mendengar kes rayuan dari Zambry sedangkan Nizar terpaksa menunggu lima hari untuk berhadapan dengan tiga panel hakim.

“Kes sebesar ini seharusnya didengari oleh sebuah panel hakim yang tidak kurang dari tiga orang dan mestilah dari kalangan hakim yang tidak terpalit skandal dan mempunyai pengalaman yang lama.

“Kes ini melibatkan pemerintahan sebuah negeri yang mempunyai 1.5 juta jiwa. Ianya adalah kes yang bersangkutan dengan kepentingan awam yang amat besar.

“Malangnya, kes rayuan Zambry ini telah di dengari oleh hakim yang paling “junior” serta hakim yang sama terpalit dalam skandal VK Linggam,” katanya.

SK

Friday, November 14, 2008

Memperkasa Kewibawaan & Kebebasan Badan Kehakiman Negara

Semalam, saya beserta dengan beberapa orang ahli Dewan Rakyat telah membentuk Caucus Parlimen mengenai kebebasan dan kewibawaan badan kehakiman. Undangan telah dihantar kepada semua Ahli Parlimen termasuk juga wakil-wakil Barisan Nasional. Datuk Nazri Aziz merupakan satu-satunya wakil Barisan Nasional yang hadhir menyertai Caucus ini.

Saya memulakan sidang dengan menekankan peri pentingnya Parlimen berperanan mengawasi kebebasan dan kewibawaan badan kehakiman negara. Turut diusulkan ialah pelantikan saudara Karpal Singh sebagai pengerusi Caucus.

Saya ucap terima kasih atas iltizam yang dipamer oleh Datuk Nazri menerusi kehadhiran beliau ke sidang Caucus semalam.

ANWAR IBRAHIM

Thursday, November 13, 2008

Karpal fail laporan polis terhadap Ketua Hakim Negara 3 petang ini

KUALA LUMPUR: Usul Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) supaya Dewan Rakyat membahaskan mengenai kenyataan terbuka Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi bahawa beliau pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah ditolak buat kali kedua semalam.

Justeru, Karpal akan memfailkan laporan polis berhubung isu berkenaan di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 3 petang ini.

"Nampaknya tiada lagi cara lain supaya isu ini dibahaskan atau dibincangkan kerana Dewan Rakyat telah menolak usul yang saya failkan sebanyak dua kali," kata Pengerusi DAP itu di lobi Parlimen semalam.

Menurut beliau, perkara tersebut mempunyai kepentingan awam kerana ia melibatkan kredibiliti seorang Ketua Hakim Negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(7)c) kerana ia melanggar syarat-syarat dalam Peraturan Mesyuarat.

Ketika menjelaskan perkembangan tersebut, Pandikar Amin berkata, peraturan 36(8) memperuntukkan bahawa kelakuan atau sifat hakim-hakim tidak boleh disebut kecuali dengan dikeluarkan usul secara bersendiri.

"Kelakuan hakim-hakim tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen kecuali atas sesuatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh pihak kurang daripada satu perempat daripada bilangan ahli Majlis Parlimen," katanya.

Namun Karpal tetap tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan Speaker Dewan Rakyat itu kerana menurutnya isu yang dibangkitkannya adalah yang berkaitan sewaktu Zaki berkhidmat sebagai peguam.

"Isunya di sini ialah apa yang berlaku pada tahun 1987 seperti yang beliau (Zaki) nyatakan sebelum ini iaitu pernah memberi rasuah.

"Kita bukan mahu bincangkan mengenai sifatnya atau kelakuannya kini sebagai seoarang Ketua Hakim Negara," katanya.

Pada sidang media berasingan, Pandikar Amin menjelaskan sebab beliau membuat penolakan tersebut.

"Peraturan Mesyuarat itu jelas mengatakan bahawa apa jua yang berkaitan dengan sifat atau kelakuan hakim tidak boleh dibincangkan di Parlimen.

"Memang Yang Berhormat Bukit Gelugor katakan bahawa isu yang beliau bawa adalah yang berlaku dahulu semasa Tan Sri Zaki menjadi peguam, tapi kalau saya biarkan usul ini dibahaskan, tidakkah mereka akan tetap kaitkan dengan sifat-sifat beliau... ini pasti berlaku," katanya.

Ditanya kemungkinan persepsi masyarakat bahawa beliau hanya menolak usul yang dikemukakan oleh pihak pembangkang, beliau tidak kisah dengan persepsi sedemikian.

"Saya tak kisah apa mereka akan kata. Saya hanya jalankan tugas bagi memastikan perjalanan mesyuarat lancar.

"Tapi anda harus ingat bahawa semua usul yang saya terima hanya daripada pembangkang," katanya.

Jelas beliau, jika ada usul yang dikemukan pihak kerajaan yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, beliau akan tetap melakukan perkara yang sama.

"Kalau pihak penyokong kerajaan juga ada usul yang tak memenuhi syarat, saya akan tolak juga," katanya.


Sumber: mSTAR

Thursday, November 6, 2008

Ex-gratia: Salleh Abas , lima bekas hakim kanan terima RM10.5 juta

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima bekas hakim kanan yang lain menerima bayaran ex-gratia dengan jumlah keseluruhan RM10.5 juta sebagai pampasan atas pemecatan mereka pada tahun 1998 yang lalu.

Pembayaran ex-gratia itu diumumkan Perdana Menteri pada April lalu sebagai menghargai sumbangan bekas hakim-hakim yang dipecat dalam krisis kehakiman tersebut dan merupakan langkah kerajaan memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman.

Bekas hakim terlibat selain Salleh ialah Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri George Edward Seah Kim Seng, Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh.


Sumber: mSTAR

Monday, October 20, 2008

Zaki Azmi Ketua Hakim Negara, BN Hancurkan Sistem Kehakiman Negara

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin merujuk kepada berita yang dilaporkan oleh www.malaysianinsider.com dan www.malaysiakini.com bertarikh 16 Oktober 2008 mengenai perlantikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Ketua Hakim Negara yang baru bagi menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamed yang akan tamat tempoh perkhidmatannya hari ini. Walaupun perlantikan tersebut dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu, tetapi menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan perlantikan seseorang calon Ketua Hakim Negara adalah di atas nasihat Perdana Menteri, yang kini masih dijawat oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Agak menyedihkan bagi seorang Perdana Menteri yang akan menghabiskan sisa-sisa perkhidmatannya pada Mac 2009 kerana masih lagi gagal untuk memahami dan memenuhi kehendak rakyat supaya badan penting seperti Badan Kehakiman ini ‘dibersihkan’ tanpa sebarang keraguan. Umum mengetahui bahawa sebelum Tan Sri Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, beliau merupakan seorang tokoh korporat yang rapat dengan Parti Umno malah mengetuai salahsatu jawatankuasa di bawah parti berkenaan.
Tanpa menafikan ‘kebolehan’ Tan Sri Zaki Tun Azmi untuk mengisi jawatan Ketua Hakim Negara tersebut, Perdana Menteri, sebagaimana janji-janjinya sejak tahun 2003 sehingga ke hari ini sepatutnya mengambil langkah berani dengan memperbetulkan semula institusi kehakiman dengan tidak mencalonkan Tan Sri Zaki Tun Azmi memandangkan terdapat lebih ramai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang lebih layak untuk mengisi jawatan nombor satu kehakiman tersebut.


Perlantikan terbaru ini adalah merupakan kegagalan terbaru Perdana Menteri untuk melakukan reformasi menyeluruh sistem kehakiman. Saya yakin ada benarnya telahan rakyat bahawa keazaman dan janji Perdana Menteri untuk menubuhkan 3 suruhanjaya di dalam tempoh 5 bulan pemerintahan beliau adalah merupakan retorik politik semata-mata.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Friday, October 17, 2008

Zaki calon baru ketua hakim negara

Majlis Raja-Raja Melayu hari ini memutuskan untuk mencalonkan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi sebagai ketua hakim negara yang baru untuk menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Mohamad yang akan bersara.

Keputan tersebut dibuat hari ini dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Kuala Terengganu hari ini, demikian sumber-sumber memberitahu Malaysiakini.

Abdul Hamid akan bersara esok dan Zaki, yang terkanan dalam badan kehakiman, akan dilantik memegang jawatan tersebut.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Majlis Raja-Raja melantik ketua hakim negara atas nasihat perdana menteri.

Perlantikan tersebut, yang belum dimumkan secara rasmi, dijangka mencetuskan kontroversi ekoran kaitan Zaki sebelum ini dengan Umno.

Beliau hanya dilantik ke Mahkamah Persekutuan September lalu dan dua bulan kemudiannya, dilantik sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

Zaki kini berusia 63 tahun dan akan memegang jawatan tersebut sekurang-kurangnya selama tiga tahun kecuali perkhidmatannya dilanjutkan oleh kerajaan.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pelantikan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat hari, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan semua menteri besar dan ketua menteri.


Sumber: Malaysiakini