Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Tuan Guru Nik Aziz. Show all posts
Showing posts with label Tuan Guru Nik Aziz. Show all posts

Friday, April 3, 2009

Siti Nurhaliza Kunjungi Nik Aziz - Siasah


KOTA BHARU, 2 April: Penyanyi nombor satu Negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertemuan yang diadakan di Pejabat Menteri Besar yang berlangsung kira-kira setengah jam itu turut dihadiri suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Datuk K’.

Siti Nurhaliza yang lebih mesra dengan panggilan ‘Siti’ mengambil peluang bertemu dengan Tuan Guru sempena dengan persembahannya di negeri itu sempena keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang ke-59 di sebuah hotel malam tadi.

Sempena dengan kunjungan julungkali itu, Siti Nurhaliza turut menyampaikan cenderahatinya buat Tuan Guru dan begitu juga Tuan Guru turut menyampaikan cenderahati kepada pasangan suami isteri itu.

Datuk K sempat bertanya tentang kesihatan Tuan Guru khususnya berhubung masaalah penyakit yang dihidapi ketua kerajaan itu.

Siti ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana hasrat yang telah lama diidamkannya itu untuk bertemu akhirnya membuahkan hasil walaupun pertemuan itu hanya secara spontan tanpa dirancang awal.

Menurutnya, selama ini beliau hanya mengenali Tuan Guru hanya dalam media masa dan televisyen sahaja, tanpa bertemu secara dekat.

“Alhamdulillah Tuan Guru bersedia menerima kunjungan hormat saya dan suami dan pertemuan ini sebenarnya tiada sesuatu yang istimewa sebenarnya, maksudnya tiada agenda apa-apa.

“Orang kata sepanjang hidup ni nak juga lah bertemu dengan Tuan Guru kerana saya begitu menghormati beliau secara peribadinya,”ujarnya lagi.

Setelah bertemu dengan Tuan Guru, beliau semakin mengenalinya sambil menyifatkan Tuan Guru seorang yang berpegang pada prinsip serta ajarannya yang tersendiri.

“Saya selalu datang Kelantan, orang kata nak jugalah bertemu dengan Tuan Guru selaku tuan rumah pada negeri ni dan tidak adalah orang kata istimewa ke apa-apa ke," katanya.

Sementara itu kakitangan Pejabat Menteri Besar serta kakitangan awam lain yang berhampiran dengan pejabat itu turut mengambil peluang untuk bertemu dengan salebriti ternama itu sambil bersalam dan bergambar.


Siasah


Thursday, August 28, 2008

Rakyat jelak kempen melampau BN - Nik Aziz

KOTA BHARU, 27 Ogos (Hrkh) - PAS menyifatkan kemenangan calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Permatang Pauh semalam membuktikan rakyat sudah jelak dengan kempen politik melampau Barisan Nasional (BN).

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, rakyat menolak calon BN walaupun pelbagai serangan dihala terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim terutamanya tuduhan liwat kali kedua.

"Zaman Umno dan BN menggunakan kempen politik melampau sudah berlalu kerana rakyat hari ini tidak sama berbanding zaman sebelum merdeka," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Ladang Rakyat dan Panmont Height Sdn Bhd bagi melaksanakan projek tanaman pokok jatropha (jarak) dan nanas.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, rakyat Malaysia termasuk penduduk bukan Islam kini mendekati perjuangan yang didokong PAS kerana mementingkan keadilan dan kesejahteraan rakyat.

Kata beliau Umno seharusnya mengambil iktibar daripada kesilapan pilihan raya umum sebelum ini.

"Sekarang sudah ramai rakyat yang berpelajaran tinggi, di mana berpuluh ribu setiap tahun mereka tamat belajar. Sudah tentu mereka dapat membuat pilihan antara benar dengan yang batil.

"Sudahlah, zaman Umno guna perjuangan kebangsaan dah habis dah..," ujarnya.
Menurutnya juga Allah Taala menurunkan al-Quran untuk dijadikan perlembagaan hidup manusia, namun kerana ada kepentingan dunia perundangan itu diketepikan oleh pemerintah di negara ini. - mj _


Sumber: HarakahDaily

Thursday, July 24, 2008

DAP TIDAK PERNAH TIPU PAS - Pengakuan Tuan Guru Nik Aziz

DAP tidak pernah tipu PAS. Begitulah pengakuan Tuan Guru Nik Aziz semasa ditemubual akhbar Siasah. Apabila ditanya Siasah bagaimana Pas boleh berbaik dengan DAP sedangkan dengan UMNO tidak, Tuan Guru Nik Aziz menyatakan :-

"DAP tidak pernah tipu kami, semasa dia hendak keluar dalam pakatan Gagasan Rakyat sebelum ini mereka memberitahu dengan terbuka. Biar pun DAP keluar dari gagasan tetapi tidak macam PAS keluar dari BN sehingga pecah tiga parti itu.

Umno bawa PAS masuk dalam Barisan Nasional maka kami setuju, kemudian apabila sudah tidak perlukan lagi dia tendang kami keluar."

(Sila baca Siasah edisi 20 - 26 Julai).

Semoga PAS mengambil iktibar daripada kenyataan Tuan Guru.

Semalam suratkhabar-suratkhabar tempatan memaparkan pendedahan Perdana Mentari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengaku bahawa yang UMNO dan PAS telah bertemu sebanyak tiga kali untuk berbincang berkenaan dengan hal kepentingan bersama.

PAS perlu sedar sejarah persefahaman mereka dengan UMNO-Barisan Nasional sebelum ini.
Kini UMNO-Barisan Nasional bergoyah dan bagi UMNO, PAS adalah talian hayat.


Harapan baru untuk Malaysia ialah P.R - PAS, DAP & PKR bukannya Barisan Nasional.

Sumber: Norman Fernandez

Tuesday, July 22, 2008

Mursyidul Am tidak mahu sejarah hitam berulang kembali

KOTA BHARU, 21 Julai (Hrkh) - PAS dibimbangi akan menjadi seperti kera sumbang, manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pemimpin Umno.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga.

Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.

"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua. Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti.

"Itu perangkap namanya,"katanya pada persidangan media di Kota Darulnaim petang ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mendedahkan muzakarah bersama PAS sudah tiga kali diadakan bagi membincangkan beberapa isu berkaitan agama dan orang Melayu.


Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum ini menegaskan muzakarah yang dicadangkan perlu bersyarat di mana Umno perlu meminta maaf secara terbuka kepada PAS terhadap banyak kesalahan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, PAS tidak akan menerima nasib buruk diperangkap Umno kali kedua, cukup hanya sekali.

"Umno sekarang sudah lemas dan dia nak minta tolong PAS, sedangkan PAS sendiri bekerja keras untuk melemaskan Umno, tetapi apabila Umno lemas sekarang kita nak angkat dia balik, itu bukan kerja kita.

"Biar lemaslah dia, dah 50 tahun kita lawan Umno, bila dia lemas kita lanyak dia...sepatutnya begitu," ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan meminta anggota parti menyoal diri masing-masing sama ada mereka ingin menjaga parti atau Islam.

Katanya, sekiranya hanya untuk menjaga parti, ia bukan hala tuju perjuangan parti yang sebenarnya.

"Kita nak jaga Islam, jaga Umno apa yang akan kita dapat. Umno ni sebenarnya parti yang melonggarkan iman, orang Melayu selama ini longgar kerana Umno.

"Tetapi kalau PAS nak jaga Islam, bukan caranya untuk PAS bekerjasama dengan Umno, sebab parti itu parti sekular yang hanya memperjuangkan dasar untuk dunia semata-mata,"ujarnya.
Katanya, soal bangkit dari kubur dan akhirat tidak pernah menjadi hala tuju dan perbincangan di kalangan pemimpin Umno.


Ditanya isu muzakarah sengaja diperbesarkan media, beliau berkata, ia sudah menjadi agenda media untuk melariskan jualan.

"Itu kerja orang surat khabar, dia akan berbuat sesuatu untuk melariskan akhbar masing-masing, itu jelas.

"Jadi untuk melebarkan perjuangan PAS hanya melalui ceramah dan internet. Apa yang menjadi isu di media sekarang kerana mereka mempunyai agenda sendiri, sebab semua suratkhabar harian proUmno belaka," ujarnya.

Beliau juga turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam isu muzakarah.

Katanya, kewujudan berbezaan pandangan tidak bererti parti itu mengalami masalah kepemimpinan.

"Sehingga hari ini ia tidak menjadi masalah, sebab kita hidup tidak boleh senyap, banyak mana yang kita nak luah, kita luahkan, kemudian kita dengar balik.

"Sekarang masing-masing sudah meluahkan pandangan, jadi terpulang kepada penyokong untuk membuat penilaian,"ujarnya.

Beliau juga berkata, biar pun sudah ada pertemuan pemimpin PAS dengan Presiden Umno, ia tidak bererti sudah ada persefahaman antara kedua-dua parti tersebut.

Ditanya adakah beliau kecewa dengan tindakan pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi parti Umno beliau berkata, tidak juga.

"Benda atas dunia ni begitulah, masalah perkara biasa berlaku seperti dalam rumah tangga antara suami isteri, kesilapan dilakukan suami adakalanya tidak disedari.

"Saya setuju benar biar Umno jadi pembangkang bukan sahaja di Kelantan, tetapi di seluruh negara termasuk di peringkat pusat,"ujarnya.

Beliau juga meminta ahli parti dan penyokong Pakatan Rakyat bertenang dalam menghadapi situasi sekarang serta tidak mudah termakan taktik yang dimainkan musuh.

Mursyidul Am juga berharap perwakilan membahaskan isu tersebut di Muktamar PAS di Ipoh Ogos depan. - mj/mks. _

Sumber: HarakahDaily

Tuesday, July 15, 2008

Kerjasama Pakatan Rakyat dipertingkat lagi - Mursyidul Am


Mon Jul 14, 08 7:09:04 pm MYT

KOTA BHARU, 14 Julai (Hrkh) - PAS tidak akan merubah jalinan dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat termasuk KeADIlan dan DAP, malah mempertingkatkan lagi kerjasama sedia ada.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS tetap akan meneruskan kerjasama dengan KeADILan, biar pun pemimpin parti itu cuba dikaitkan dengan isu liwat.

Menurutnya pihak lawan cuba mengeruhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat dengan melemparkan pelbagai tuduhan.

Kata beliau Malaysia pernah dilabelkan sebagai sebuah negara Islam, namun kejadian jenayah semakin menjadi-jadi.

"Bahkan istilah liwat disebut secara terbuka walau pun perkara itu belum pasti berlaku, namun acap kali disebut pemimpin kerajaan. Orang berkenaan sebenarnya tidak ada tokoh untuk menjadi ahli agama," katanya di sini.

Beliau juga berkata, Umno, MCA dan MIC pun bergolak sesama mereka biar pun sudah lama berada dalam satu pakatan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyarankan sekolah-sekolah agama di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (Yik) mengajar pelbagai bahasa.

Menurutnya, pengajaran pelbagai bahasa penting bagi melengkapkan lagi usaha dakwah.
"Seboleh-bolehnya di sekolah Yik diajar bahasa-bahasa yang menjadi pertuturan rakyat di negara ini termasuk bahasa Inggeris, Tamil dan Cina.

"Dengan cara itu kita dapat menangkis tuduhan negatif terhadap Islam," katanya. - mj/mks. _

Sumber: HarakahDaily

Thursday, July 10, 2008

Pilih Pakatan Rakyat ganti kerajaan Umno/BN

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Thu Jul 10, 08 4:35:35 pm MYT

Permintaan Umno supaya "Yang di-Pertuan Agong campurtangan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera" (Utusan Malaysia, 8 Julai 2008) ibarat mengesahkan satu perkara sahaja iaitu Umno yang telah mengangkat kedua-dua belah tangan.

Dia sendiri telah secara muktamad mengesahkan kegagalan parti itu sebagai pembela orang Melayu. Sudah selama 50 tahun dia membela(?).

Nasib orang Melayu menjunam dalam hampir semua pentas; agama, bangsa, tanah dan air.

Bertolak dari kegagalan agama yang boleh disukat melalui pemisahan pemerintahan dengan Islam, menukar Islam sejati dengan Islam Hadhari, gejala ratusan ribu umat Islam yang murtad, sejuta penagih dadah, bangsa Melayu yang kekacauan identiti dan jati diri dari segi bahasa, adat, budaya dan budi; tanah rezab Melayu yang semakin susut serta terjual dan tergadainya tanah, air dan pasir dalam bentuk pukal akibat rundingan dan perjanjian yang tidak cermat dengan negara jiran.

Jika orang Umno asyik minta Yang Di-Pertuan Agong campur tangan untuk memperbetulkan setiap kali kesalahan yang dibuat mereka, sedarkah Umno bahawa Yang di-Pertuan Agong inipun adalah Raja bagi seluruh warganegara.

Apa kata jika mereka pun mengangkat memorandum balas membantah dasar-dasar diskriminasi Umno terhadap segala ketidakadilan Umno.

Ini semua bertolak dari perletakan paksi perjuangan yang salah. Jika Umno dari awal tidak meletakkan paksi bangsa dalam perjuangannya, bahkan meletakkan Islam sebagai asas, saya percaya keadaan tidak jadi setenat ini.

Apabila Umno membesar-besarkan bangsa, mengibar keris telanjang, mengacah dan mengucup keris berterusan, orang bukan Melayupun boleh gerun.

Apabila naluri manusia terasa terancam, mereka pada logiknya juga akan menggunakan sentimen bangsa sebagai perisai pertahanan yang sama. Mereka akan mengumpul dan menggunakan persamaan dan perkongsian sentimen sebagai benteng pertahanan.

Ini segala-galanya berpunca dari Umno. Sebab itu, polemik mengenai perpaduan nasional tidak pernah selesai.

Jika Islam yakin bahawa kaedah pengagungan bangsa adalah formula yang tepat, sudah lama Nabi SAW menggunakan keunggulan suku bangsa Quraisy sebagai tunjang perpaduan kaum. Semua orang diwajibkan menerima Quraisy segagai bangsa "superior".

Soalnya, kenapa Nabi Junjungan kita tidak memilih berbuat begitu?

Bahkan sebaliknya, Baginda menempelak asobiyah bangsa dengan sepotong sabda bermaksud, "tiada kelebihan bangsa Arab atas bangsa Ajam kecuali dengan taqwa."

Kini sesudah 50 tahun, tanpa diatur dan ditunjuk-tunjuk oleh pemimpin Umno sekalipun, orang Melayu sudah lama tahu punca silapnya orang Melayu.

Mereka sangat tahu bahawa kegagalan ini disebabkan pengkhianatan pemimpin Umno dahulu dan sekarang yang tergamak memperkuda dan memperhambakan Melayu sesama Melayu.

Berselindung di sebalik istilah bumiputera, mereka (Umno) ratah daging dan darah sesama Melayu. Jika adapun usaha, mereka cuma berminat mengada-adakan projek yang boleh memperkayakan segelintir pemimpin Umno dan kroni.

Lihat sahaja isu di sekitar penjualan pasir satu waktu dulu, penguasaan saham di ECM Libra, Scomi, pembelian bas-bas RapidKL, isu kapal selam, siapa berada dibelakang Bernas dan terkini pula berbangkit soal tuduhan penglibatan pemimpin Umno dalam kontrak pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang atau disebut LCCT.

Saya cuma sedut beberapa contoh untuk sekadar menggambarkan perihal curiganya rakyat terhadap kerja Umno yang kononnya membela orang Melayu.

Bila terdesak rapat ke dinding, mulalah panggil Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Satu masa nanti, jangan terkejut jika Kebawah Duli Raja-Raja Melayu kitapun boleh tiba ke tahap meragui keupayaan Pemimpin Negara yang ada sekarang. Di peringkat itu, saya tidak tahulah apa yang akan terjadi.

Sekarang, benih yang salah, yang ditanam 50 tahun lalu sudah berbuah. Ia beracun dan cukup pahit bila dimakan.

Ia telah menimbulkan loya dan sedang menyebabkan muntah-muntah di kalangan Melayu dan bukan Melayu. Hakikat jatuhnya hampir separuh kerajaan-kerajaan negeri dari tangan Umno/BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu adalah testimoni.

Ini berbeza dengan PAS. Kita tidak bermuka-muka. Kita mahukan Islam sejak dari tahun 1951 hingga kini dan Insya Allah, hingga sampai ke hari kiamat.

Jika Umno bermula dari Islam sejak awal penubuhannya, tentu keadaan tidak menjadi begini.
Dengan menolak Islam dan mengambil faham kebangsaan, Umno secara terbuka sanggup mendepani mana-mana gerakan siasah yang mahukan Islam.

Bermacam-macam tindakan zalim telah dibuat walaupun di luar lingkungan keizinan demokrasi.

Dalam banyak hal, dia (umno) memperalatkan kuasa majoriti yang diperuntukkan dalam amalan demokrasi untuk menyekat dan menyusahkan pergerakan dan kemajuan agamanya sendiri.

Saya masih ingat lagi bagaimana ramai ulama, ustaz dan aktivis Islam ditangkap dan disiksa.

Ada Adun PAS yang mati dikapak di tengah-tengah pekan Kota Bharu pada tahun 1960an.

Ada Adun dari Pasir Mas yang disumbat ke dalam penjara hingga menjadi hilang ingatan.

Ada jambatan dibakar di Rantau Panjang untuk menyekat pengundi-pengundi PAS dari keluar mengundi.

Ada penjawat awam yang menyokong gerakan Islam yang ditukar, ditahan kenaikan gaji dan disekat kenaikan pangkat.

Ada yang dicerai dan hidup menjanda kerana rumahtangga mereka porak peranda akibat suami yang disumbat ke penjara melalui ISA. Semuanya ini terlalu banyak berlaku di Kelantan.

Di Kedah pula, 14 orang ustaz dan orang awam dikepung dan ditembak hidup-hidup pada tahun 1986. Memali tiba-tiba menjadi kolam darah yang mengambus jasad syuhada, pejuang dan para wali.

Tanpa segan silu, Umno jugalah yang menafikan banyak peruntukan pusat dari mengalir ke Kelantan dan Terengganu. Siapa berani mengatakan bahawa sekatan penerimaan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu diantara tahun 1999 - 2004, misalnya, tidak berunsur politik?

Kini, Umno memutuskan Kerajaan Terengganu diberikan semula royalti kerana diperintah oleh Umno/BN.

Tidak zalimkah lagi? Lihatlah betapa siksanya pejuang-pejuang, penyokong-penyokong dan pencinta Islam untuk hidup di bawah dasar-dasar kemelayuan Umno yang melampau.

Pendek kata, terlalu panjang senarai kezaliman yang dilakukan oleh Umno kerana mengambil kebangsaan dan meninggalkan Islam.

Kini setelah 50 tahun, segala kudis, nanah, panau dan kurap penyakit asobiyah telah keluar ke permukaan.

Ada kes pembunuh Altantuya yang disebut-sebut melibatkan pemimpin tertinggi Umno. Setelah DSAI tidak terbukti melakukan liwat walaupun dituduh melakukan liwat 10 tahun yang lalu, kini dituduhnya beliau sekali lagi melakukan liwat. Lagi!

Belum reda dengan kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga petrol, rakyat dihidangkan pula dengan berita terlepasnya Pulau Batu Putih daripada tangan Malaysia.

Entah. Saya tidak nampak cahaya lagi di hujung terowong masa depan untuk Malaysia baik dunia atau akhirat selagi berada di bawah Umno/BN. Majoriti rakyat pun saya kira sudah berkesimpulan begitu.

Ini boleh dikesan melalui pelbagai tulisan-tulisan kekecewaan baik di akhbar perdana, warta-warta mingguan, media-media nyamuk dan suara-suara berita dari akhbar-akhbar alternatif. Jika orang muda yang selalu buka laman web dan blog, fenomena ini semakin jelas.

Apa yang ada di hadapan rakyat sekarang cuma satu sahaja iaitu memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif.

TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Menteri Besar Kelantan

Sumber: HarakahDaily