Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Undi Pos. Show all posts
Showing posts with label Undi Pos. Show all posts

Thursday, May 20, 2010

SPR Didakwa Cuba Seleweng Undi Pos - SK

PUTRAJAYA 19 Mei - Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke membuat aduan rasmi berhubung kelemahan proses perjalanan pilihan raya kecil Sibu Ahad lalu di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya petang tadi.

Turut hadir menyerahkan aduan kepada SPR termasuk Ketua Penyelaras Ajen Mengundi DAP, Vincent Wu, Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, Mary Josephine dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

"Kita amat tidak berpuashati dengan beberapa perkara yang berlaku dalam PRK Sibu, terutamanya mengenai pengiraan undi pos," kata Loke kepada media selepas menyerahkan aduan kepada SPR.

Loke berkata petugas undi pos Pakatan Rakyat mendapati sewaktu penjumlahan undi pos dilakukan, terdapat beberapa kod undi yang jumlah pemulangannya melebihi dari jumlah yang dikeluarkan. Ia melibatkan Kod 708, iaitu 6 undi dikeluarkan dan 24 yang kembali, Kod 429, 160 yang dikeluarkan dan 161 yang kembali serta Kod 43, sebanyak 47 undi dikeluarkan dan 67 yang kembali.

"Ini tak boleh berlaku kerana undi yang diterima tidak boleh bertambah. Kalau undi yang kembali menjadi sedikit, itu logik, sebab mungkin ada orang yang tak mengundi, dan memang itu hak dia. Kalau ada lebihan, bermakna kertas undi itu tidak dikeluarkan oleh SPR," jelasnya.

Beliau memaklumkan setiap undi pos perlu dikembalikan bersama satu surat akuan yang perlu ditandatangani oleh seorang saksi.

Namun petugas Pakatan Rakyat membantah apabila meragui surat akuan tersebut selepas mendapati banyak sampul yang tidak mempunyai tandatangan.

Bantahan tersebut diterima oleh Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya tetapi seorang pegawai SPR Pusat yang bernama Ismail campur tangan dan mengarahkan beliau untuk menerima semula undi yang ditolak tersebut.

Ini berlaku sedangkan terdapat kesalahan pada sampul dan kertas undi terbabit

Petugas Pakatan Rakyat juga berjaya mengesan individu yang disyaki pengundi hantu.

Mereka turut merakam gambar dan mendedahkan terdapat beberapa individu yang mendakwa diri mereka adalah wakil kepada pengundi pos.

Loke turut mempersoalkan kelewatan pihak SPR untuk mengumumkan keputusan seperti mana yang dijanjikan.

Kelewatan 2 jam itu berpunca dari proses pengesahan pengiraan undi pos. SPR didakwa menangguhkan pengeluaran Borang 15 yang mengesahkan keputusan kiraan tersebut.

"Borang 15 itu adalah bukti pengesahan oleh pegawai SPR dan parti yang bertanding. Kami takkan tinggalkan tempat kiraan tanpa borang tersebut. Bahkan sampai hari ini pun kita masih belum terima borang tersebut," kata Loke.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan kewajaran SPR untuk mewujudkan pusat pengundian di kawasan persendirian seperti rumah panjang.

"Sepatutnya pengundian dijalankan ditempat yang sah dan berkecuali seperti sekolah atau balai raya. SPR mesti ambil iktibar dari insiden seperti ini," jelas Loke lagi.

SK

Monday, October 5, 2009

Strategi licik Umno-BN terhadap undi pos di Bagan Pinang - Harakah

1. Perhatian utama pilihan raya kecil N.31 Bagan Pinang kali ini ialah undi pos . Bilangan undi pos 4,604 [ yang berdaftar ] di Bagan Pinang adalah antara jumlah undi pos terbesar bagi sebuah DUN .

2. Kemenangan Umno dan BN dalam pilihan raya umum pada Mac 2008 di DUN Bagan Pinang dengan majoriti sebanyak 2333 , telah dibantu oleh undi pos apabila mereka berjaya memperolehi 3080 undi pos sedang PAS hanya memperolehi 1189 undi sahaja .

3. Umno dan BN yang jelas mengalami trauma akibat kekalahan demi kekalahan dalam siri pilihanraya kecil pasca pilihan raya umum 2008 yang lalu , tiba - tiba menggantung harapan untuk kembali memulih maruah mereka yang tercalar teruk kali ini berikutan adanya undi pos yang tinggi di DUN Bagan Pinang .

4. Terlalu yakin mereka boleh menguasai undi pos sekali gus memenangi kerusi DUN Bagan Pinang , Umno dan BN sanggup melupakan janji dan komitmen mereka untuk meletakkan calon yang bersih , berwibawa dan berintegriti . Adanya undi pos , Umno dan BN sangat yakin bahawa mereka boleh menang walau siapa calon mereka . Rasuah dan integriti bukan lagi persoalan yang menjadi timbang tara mereka dalam perjuangan dan peletakkan calon , sebaliknya mereka hanya memburu kemenangan semata - mata .

5. Bahasa lain yang mudah difahami ialah " rasuah pun rasuah lah asal boleh menang ! " Saya percaya perkembangan ini didorong oleh keyakinan mereka yang tinggi untuk menang lantaran dilihat undi pos akan berpihak kepada mereka sebagaimana sebelumnya .

6. Sebagaimana yang telah saya tegaskan berulangkali , bahawa hadhirnya PAS bersama rakan - rakan Pakatan Rakyat yang lain ialah untuk membawa pulang tropi kemenangan , bukan lagi sekadar mencongak peluang untuk mengurangkan majoriti Umno dan BN .

7. Justeru itulah , buat pertama kalinya Dewan Pemuda PAS Pusat menubuhkan satu Jawatan kuasa Khas Undi Pos yang dipengerusikan oleh Suhaizan Kaiat [ Ketua Penerangan DPPP ] . Ianya menunjukkan keprihatinan tinggi DPPP terhadap undi pos dan kini DPPP akan memastikan undi pos ini tidak lagi berpihak kepada Umno dan BN .

8. Undi pos di Bagan Pinang umumnya adalah undi Angkatan tentera , pahlawan gagah berani yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara . Tidak mungkin pengundi kelas ini takut kepada ugutan dan ancaman sebagaimana yang sering berlaku kepada pengundi - pengundi di kampung - kampung tradisi .

9. Apa yang menjadi masaalah ialah kertas undi tidak sampai kepada mereka dan lebih malang ada orang lain yang mengundi bagi pihak mereka . Perkara ini pernah didedahkan oleh Kapten Major (B) Abu Kassim di hadapan Suruhanjaya SPR baru - baru ini bahawa dialah antara yang diarahkan untuk memangkah [ mengundi ] dacing bagi pihak anggota tentera yang lain .

10. Undi Pos sememangnya tidak relevan lagi buat zaman ini malah ia dilihat mengancam ketelusan demokrasi . Andai ianya terus dikekalkan , DPPP mencadangkan supaya :

a] Sistem menggunakan borang 2 dan sampul 1 dan 2 itu dihapuskan kerana borang 2 itu mengandungi maklumat peribadi pengundinya

b] Calon dan wakil calon dibenarkan berkempen dalam kem sekaligus membenarkan agent parti memantau proses pengundian dan karung undi .

c] Undi pos tidak disimpan di Balai polis tetapi di simpan di bawah pengawasan SPR sendiri di mana - mana tempat dan dipantau oleh agent dari kedua - dua parti .

11. DPPP melihat terlalu banyak ruang yang memungkinkan undi pos ini dimanipulasi oleh pihak tertentu sekaligus ia mencemar ketelusan dan merosakkan demokrasi . Sebagai contoh ruang dimaksudkan itu ialah :

a] Bagaimana Umno dan BN boleh turun berkempen ke kawasan tentera [ Kem ] sedang PAS atau Pakatan Rakyat tidak boleh . Berikut adalah jadual kempen Umno dan BN .

- 2.10.09 : Proses Culaan Jentera BN di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Kem Kg Sawah. Ada 847 Undi Pos di sana.

- 5.10.09 : Menteri Pertahanan akan berkempen ke Rejimen Ke-2 Kor Armor Di Raja, Kem Sunggala. Ada 1,130 Pengundi Pos Tentera

- 6.10.09 : Menteri Pertahanan akan berkempen ke Institut Pengurusan Tentera Darat (IPDA), Kem Si Rusa. Ada 407 Pengundi Pos Tentera

b] Rejimen Ke-2 Kor Armor Di Raja, Kem Sunggala, Port Dickson akan mengadakan latihan menembak di Melaka pada 7hb, 8hb, 9hb Oktober 2009. Sedangkan pada tarikh tersebut adalah hari pengundi. Kem ini menempatkan 1,130 orang pengundi pos. Kem ini merupakan kem ke-2 teramai dalam kem-kem di PD. Bagaimana pengundi pos di kem tersebut mahu mengundi ?Adakah ini muslihatnya untuk mempastikan Sampul Keutamaan hanya dipos sahaja ? Bila dipos akan memudahkan penipuan.

Jadual adalah seperti berikut :

- 7.10.09 : Pengeluaran Undi Pos
- 8.10.10 : Pengundian
- 9.10.10 : Pengundian
- 10.10.10 : Kertas Undi dipos. (Disinilah ahli kem Kor Armor baru balik daripada Melaka)

c ] Antara kemungkinan penipuan yang boleh berlaku akibat tiada pengawasan ialah :

- 7.10.09 : Pengeluaran undi pos (Borang 2,sampul A & kertas undi akan dimasukkan dalam Sampul Keutamaan)

- 8.10.09 : Pengundian hari pertama

- 9.10.09 : Pengundian hari kedua

- 10.10.09 : Baki kertas undi yang tidak diambil akan dipos

- 11.10.09 : Kertas yang dipos akan sampai di Majlis Daerah PD. Pada hari pengundian pada 8 dan 9 Oktober BN tidak dapat menipu kerana dikawal oleh ejen-ejen PAS. Tetapi kertas-kertas undi yang dipos pada 10.10.09 akan diambil oleh pihak tertentu untuk DIPANGKAH DENGAN BN.

12. Perkara ini terjadi kerana kertas undi yang dipos tidak dapat dikawal oleh ejen-ejen PAS. Logiknya mudah: Kertas yang dipos boleh diambil oleh sesiapa sahaja. Termasuk ejen BN. Ejen BN akan ambil dan pangkah BN. Kemudian hantar ke Pusat Penjumlahan di Majlis Daerah PD. Maknanya ejen-ejen Umno akan mengambil alih tugas pengundi dan pejabat pos sekaligus.

13. Umno dan BN kelihatan tertekan menghadapi pilihanraya kecil Bagan Pinang ini lantaran mereka mesti membuktikan bahawa mereka mampu menguasai undi rakyat dan tidak hanya bergantung hayat kepada undi pos , kelak jika mereka menang , mereka bukan dipanggil wakil rakyat tetapi wakil pos .

14. Insya-Allah , tanggungjawab yang digalaskan kepada DPPP untuk memastikan undi pos tidak lagi menjadi milik Umno dan BN akan diusahakan sebaik mungkin bersama Pemuda Pakatan Rakyat . DPPP akan memantau malah mengejar undi pos ini ke serata ceruk Insya-Allah , semoga Allah SWT memberi petunjuk dan kekuatan kepada kita .

15. Akhirnya saya menyeru agar semua pemuda bekerja keras . Jangan terlalu yakin serta selesa dan jangan pula terlalu lemah . Laksanakan tanggugjawab mengikut gerakerja dan tindakan yang telah diatur dan diarah . Semoga kita benar - benar merealisasikan impian rakyat yang kini sedang membilang hari menanti khabar kemenangan dari selatan negara setelah timur dan utara berjaya dikuasai .

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Harakah

Bekas sarjan akui undi bagi pihak tentera - Malaysiakini

Seorang bekas sarjan hari ini mengakui pernah terlibat memangkah BN bagi pihak anggota-anggota tentera dalam dua pilihan raya umum semasa bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abu Kassim, yang bertugas sebagai "sarjan gaji", berkata beliau dan beberapa kakitangan tentera dalam bahagian pentadbiran, seperti ketua kerani, mendapat arahan bagi memanipulasikan undi pos daripada pegawai pentadbir kem.

Abu, sudah kira-kira 10 tahun menyertai PAS, bagaimanapun tidak ingat tarikh tepat dan tempat peristiwa itu dengan alasan ia "sudah lama" berlaku.

"Saya tidak ingat. Lama sudah. Tetapi dalam pilihan raya besar (umum), zaman Dr Mahathir dulu," katanya kepada Malaysiakini pagi ini.

Anak kelahiran Kuala Pilah itu menganggotai tentera darat selama 23 tahun daripada 1969 sehingga 1989. Beliau paling lama berkhidmat di Markas Stesen Staf Port Dickson.

Abu kini seorang ahli jawatankuasa undi pos Pemuda PAS yang diketuai oleh ketua penerangan dewan itu Suhaizan Kaiat.

Malaysiakini

Friday, September 25, 2009

'Undi pos cabuli hak perlembagaan' - Malaysiakini

Angkatan Muda PKR menyifatkan halangan sesetengah pemilih pos membuang undi di tempat awam sebagai mencanggahi Perlembagaan Persekutuan dan menggesa ia dibahaskan secara serius.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan memaksa anggota tentera atau pasangan mereka mengundi seperti pemilih lain mencabul Perkara 8 perlembagaan yang menyatakan setiap rakyat haruslah dilayan sama rata dan tanpa diskriminasi.

Isu ini wajar dikaji semula dengan jujur dan peraturan pilihan raya dipinda untuk mengelakkan anggota tentera, polis dan semua pengundi tidak hadir daripada "perasaan serba salah dan tidak bebas memilih", tambahnya.

"Keengganan untuk membuat pindaan-pindaan tersebut akan menyebabkan semua pihak terus mempunyai persepsi bahawa pihak pemerintah Umno-BN mempunyai agenda tersembunyi," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa sistem undi pos akan dikekalkan seperti diperuntukkan dalam undang-undang.

Pemuda PAS minggu lalu menyerahkan memorandum kepada SPR bagi membolehkan calonnya pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan berkempen di kem-kem askar dan balai-balai polis.

Dengan sokongan Angkatan Muda PKR dan Pemuda DAP, ia juga turut membantah keras penggunaan Borang 2 – yang merekodkan maklumat peribadi pemilih pos dan nombor siri kertas undi.

Daripada 13,664 pemilih berdaftar di DUN tersebut yang layak membuang undi pada 11 Oktober ini, 4,604 terdiri daripada pemilih pos.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shamsul Iskandar berkata kenyataan Wan Ahmad itu "mencerminkan kedangkalan pemahaman" mengenai peruntukan untuk pengundi tidak hadir dan matlamat asas pilihan raya.

"Pilihanraya diadakan untuk membolehkan rakyat memilih dengan bebas, tanpa tekanan yang tidak sewajarnya bagi membentuk kerajaan rakyat. Kerahsiaan undi adalah satu faktor asasi dalam proses pemilihan ini," katanya.

"Tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir adalah bagi membolehkan rakyat yang tidak bermastautin di dalam satu-satu bahagian pilihanraya menjalankan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih."

Angkatan Muda PKR menyeru semua pihak menyertai "forum rakyat" bagi membincangkan secara khusus persoalan undi pos atau pengundi tidak hadir ini.

Forum ini penting bagi merungkai segala permasalahan dan kelemahan bagi memastikan setiap undi benar-benar bebas dan berkesan dalam menzahirkan kehendak sebenar rakyat, tambah Shamsul.

Sayap penting PKR itu bercadang mengambil inisiatif untuk menganjurkan forum tersebut dengan menjemput semua pihak yang terlibat, termasuk wakil SPR, parti-parti politik, wakil Angkatan Tentera Malaysia dan wakil polis.

Malaysiakini