Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Wartawan. Show all posts
Showing posts with label Wartawan. Show all posts

Tuesday, January 12, 2010

Wartawan PKR diugut depan rumah saudara Rosmah - Malaysiakini

Seorang wartawan akhbar PKR Suara Keadilan mendakwa dikacau polis selepas mewawancara seorang wanita yang ada pertalian keluarga dengan isteri perdana menteri Rosmah Mansor kelmarin.

Abdul Qayum Abdul Rahman mendakwa, beliau mengunjungi wanita yang dikenalinya sebagai Saharah, yang juga saudara kepada mangsa tragedi pembunuhan kejam di Gemencheh baru-baru ini.

Minggu lalu, empat beranak ditemui mati, termasuk seorang tanpa kepala, dalam insiden pembunuhan kejam di dua buah rumah berasingan yang terletak diberdekatan di Kampung Batang Rokan.

Abdul Qayum mendakwa, selepas mengetahui beliau seorang wartawan Suara Keadilan, seorang lelaki - dikenali sebagai Muhammad - memaksanya menyerahkan kad pengenalan dan mengambil nombor pendaftaran keretanya.

"Beliau turut merampas nota penulisan saya serta rakaman dihapuskan kerana tidak berpuas hati dengan temubual yang dijalankan bersama seorang wanita yang dikenali Saharah.

"Polis menunggu di luar rumah, manakala Muhammad mengambil segala pengenalan diri dan dokumen yang dibawa oleh saya tanpa kebenaran saya sendiri," aduan polis Abdul Qayum semalam dipetik.

"Polis dan Muhammad mengugut saya dalam berbentuk ancaman mahu mencari saya dan keluarga dengan cara apapun jika temu bual tersebut disiarkan."

Kejadian itu didakwa berlaku di depan rumah sumber tersebut.

Kerana bimbangnya keselamatan diri dan keluarganya, Abdul Qayum yang baru sebulan menyertai Suara Keadilan membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam petang semalam.

Beliau ditemani ketua wartawan akhbar terbabit, Fazallah Pit.

Malaysiakini

Friday, December 5, 2008

Wartawan internet paling ramai dipenjara

dikemaskini Wartawan dalam talian dan penulis blog kini lebih ramai meringkuk di penjara di seluruh dunia berbanding petugas media bukan Internet, lapor satu pertubuhan kebebasan media hari ini.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), dalam bancian mutakhirnya, mendapati 45 peratus petugas media yang ditahan terdiri daripada editor akhbar web dan wartawan dalam talian, serta pengendali blog.

"Wartawan dalam talian membentuk kumpulan profesional (media) buat pertama kali dalam bancian penjara CPJ," kata pengarah eksekutif pertubuhan yang berpangkalan di New York itu, Joel Simon.

Daripada 125 wartawan yang dipenjara tahun ini, sekurang- kurangnya 56 wartawan Internet - pertama kali mengatasi wartawan akhbar yang mengalami nasib serupa.

Pemberita dalam talian yang pertama dikenakan hukuman penjara pada 1997.

Kumpulan berikutnya, 53 orang, terdiri editor akhbar, wartawan mdia cetak dan jurugambar.

Tahun lepas, 127 wartawan dihukum penjara di seluruh dunia.

Kebanyakan wartawan Internet, atau 45 daripada yang ditahan itu, bekerja secara sambilan dan, oleh kerana tiada syarikat media, mereka tiada sumber atau hubungan politik untuk membela nasib mereka.

"Wartawan sambilan yang dipenjara meningkat 40 peratus dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini," kata Simon lagi.

Mereka selalunya dituduh melakukan kegiatan subversif, mendedahkan rahsia negara dan bertindak berlawanan dengan kepentingan nasional.

Kira-kira 59 peratus yang meringkuk di penjara berdepan dengan dakwaan-dakwaan sedemikian.

Sementara 13 peratus lagi tidak dihadapkan dengan sebarang pertuduhan. Taktik seumpama ini digunakan oleh kerajaan-kerajaan, antaranya, Amerika Syarikat, Iran, Israel, Uzbekistan dan Eritrea.

Seramai 16 yang ditahan ditempatkan di lokasi-lokasi rahsia.

Tambah Simon, sejak dua tahun lepas, pertubuhannya bersama syarikat Internet, pelabur dan kumpulan hak asasi berjuang mendesak kerajaan agar membuka ruang kebebasan di alam siber.

Dalam tempoh tersebut, kumpulan itu membentuk Global Network Initiative atau Inisiatif Jaringan Sejagat yang menyediakan garis panduan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dan Internet menjaga hak kebebasan di dunia maya.

Syarikat-syarikat gergasi Yahoo, Google dan Microsoft termasuk dalam jaringan tersebut, tambah CPJ.

Menurut laporan itu lagi, China masih lagi negara yang paling ramai memenjarakan wartawan diikuti oleh Cuba, Burma, Eritrea dan Uzbekistan daripada 29 negara yang berbuat demikian.

Kelima-lima negara ini terus-menerus berbuat demikian sepanjang penelitian CPJ, laporan itu dipetik.


Sumber: Malaysiakini