Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Perutusan. Show all posts
Showing posts with label Perutusan. Show all posts

Monday, March 8, 2010

Hari ini (08/03/10) - Sidang Media Khas Pakatan Rakyat

Sdr/i

Adalah dimaklumkan esok 8hb Mac 2010 akan ada sidang media khas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Sidang media tersebut akan dihadiri YB Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YAB Ketua Menteri Pulau Pinang; YB Lim Guan Eng dan Naib Presiden Pas; YB Salahudin Ayob. Sidang media ini juga bersempena ulangtahun kedua pentadbiran Pakatan Rakyat. Berikut adalah butiran sidang media tersebut:

Tarikh: Hari Isnin, 08 Mac 2010
Masa: 12 tengahari
Tempat: Ibu pejabat PKR, Merchant Square, Tropicana.


Semua dijemput hadir.

Sekretariat Pakatan Rakyat

Tuesday, September 22, 2009

Perutusan Eidul Fitri 1430H - Anwar Ibrahim

Saya dan Azizah, mewakili keluarga, kepimpinan dan akar umbi KEADILAN seluruhnya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Eidulfitri 1430 Hijrah kepada semua sahabat handai, rakan taulan serta muslimin muslimat sekalian dengan lafaz Minal Eidin walfaizin wal maqbulin. Kemaafan dipohon daripada saudara/i seluruhnya di atas sebarang keterlanjuran kata dan perilaku.

Syawal tahun ini juga disambut dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi.Penguncupan ekonomi bagi suku tahun ini amatlah membimbangkan, KDNK kekal mencatat peratusan rendah.Sudah tentu situasi ini membingungkan kita tatkala berbilion ringgit telahpun dibelanjakan. Sering saya ulangi pemerkasaan ekonomi tidak akan berjaya selagi mana kemajuan dan pembangunan didorong oleh nafsu serta tamak. Amalan memacu ekonomi negara harus difahami dengan pengertian yang lebih mendalam, tidak terhad sekadar dasar yang indah di permukaan tetapi bergelodak pelaksanaannya.

Syawal juga mengajar erti persepaduan dan muafakat disamping bulan untuk memacu amal ibadat. Sabda Rasulullah SAW:

“Hendaklah kamu bersungguh di Eidulfitri ini untuk melakukan sedekah dan segala bentuk kebaikan dan kebajikan seperti solat, zakat, bertasbih serta bertahlil kerana sesungguhnya hari ini adalah hari yang Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah SWT melihat kamu dengan rahmat.”

Justeru marilah kita menyambut penjelmaan Syawal dengan keinsafan, kesabaran dan kesederhanaan. Penyempurnaan ibadah Ramadhan seharusnya mampu mengangkat darjat ketaqwaan dan menggilap roh serta semangat perjuangan menegak yang hak dan keadilan serta menolak kezaliman dan kebathilan.

ANWAR IBRAHIM

Friday, September 18, 2009

Perutusan Lebaran Barisan Pimpinan Kelab Anwar Ibrahim - Anwar Ibrahim


Kepada semua ahli Kelab Anwar Ibrahim (AIC) yang dikasihi,

Syawal mula menampakkan sinarnya, gemilang sebulan berpuasa hampir tiba ke kemuncak. Beberapa hari lagi kita akan menyambut keriangan Aidil Fitri, disambut teman,sahabat, saudara mara, keluarga dan yang tersayang.

Di kesempatan ini, Pimpinan AIC ingin mengambil kesempatan menyusun jemari, menebar hati memohon ampun dan maaf sesama kita seandai ada terkasar bahasa, terguris di dada, terlanjur perbuatan, terlepas tingkah hingga mencuit rasa hati teman teman perjuangan. Sesungguhnya ia bukan datang atau hadir berserta niat untuk mencari perbalahan, cuma mungkin pendapat kritis yang terlalu jauh berbeda.

Dahulukan agama, tinggalkan seketika fahaman minda, hentikan permusuhan dan dendam. Atas nama Islah, ucapan maaf ini dipohon agar bersama kita mendapat keberkatanNYA dan, InsyaALLAH Syawal kali ini menjernihkan yang kelam, menyeri yang pudar.

Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin buat kalian teman perjuangan, bersama kita pimpin ukhwah ini agar tidak terlerai.

Dari,

Barisan Pimpinan AIC 2009

Tuesday, February 10, 2009

Perutusan Takziah atas Pemergian En Sim Mok Yu

Kenyataan Media
9 Februari 2009

Perutusan Takziah atas Pemergian En Sim Mok Yu

Saya mewakili seluruh pimpinan Parti Keadilan Rakyat merasa sedih di atas pemergian seorang tokoh pejuang pendidikan Cina tanahair En Sim Mok Yu pada 5 Februari 2000. Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga beliau.

Sepanjang hayat beliau, mendiang Sim, beliau telah memperjuangkan agar layanan saksama diberikan kepada pendidikan Cina. Beliau tidak pernah patah semangat walaupun pernah ditahan dan diseksa ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1987.

Setelah dibebaskan, Sim terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam perjuangan bahasa ibunda dengan memegang jawatan Penasihat Umum Dong Jiao Zong. Beliau juga mengecam politik perkauman dan dasar kerajaan Barisan Nasional yang tidak adil dan tidak demokratik.

Hubungan mendiang Sim dengan Parti Keadilan Rakyat mula terjalin apabila beliau menghadiahkan tulisan kaligrafi beliau sendiri yang tertera nama parti sempena penubuhan Parti Keadilan Rakyat.

Beliau juga pernah menghadiahkan tulisan kaligrafi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan beliau ke Melaka pada tahun 2007 bagi merakamkan harapan terhadap Ketua Pembangkang agar menghapuskan politik perkauman dan membina masyarakat saksama.

Sesungguhnya mendiang Sim adalah seorang yang berani bukan sahaja memperjuangkan hak bahasa ibunda, akan tetapi tetap cekal melawan kezaliman kuasa pemerintah. Semangat perjuangan beliau pasti menjadi iktibar buat golongan muda untuk memperjuangkan sistem pendidikan saksama dan masyarakat demokrasi.

(tamat)


DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden Parti Keadilan Rakyat

Tuesday, September 30, 2008

Perutusan Eidulfitri oleh DSAI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Saya, mewakili keluarga dan segenap lapisan kepimpinan & akar umbi Parti Keadilan Rakyat ingin mengucapkan Salam Eidulfitri kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia amnya.

Ramadhan kini menghampiri penghujung, Syawal bakal menjelang tiba. Umat Islam selepas menunaikan ibadat puasa di bulan yang mulia ini pastinya menyambut kedatangan bulan Syawal dengan rasa penuh kesyukuran.

Bulan Ramadhan ini, sebagaimana yang diulaskan oleh para ulama, adalah madrasah terbaik buat melatih serta mendidik kita umat Islam agar berani dan yakin mendepani segala cabaran yang mendatang. Ramadhan sentiasa mengajar kita betapa kesabaran menjadi paksi kepada kejayaan hakiki dan memperkukuhkan kekuatan ruh serta jiwa. Ini kerana jiwa dan ruh yang membentuk manusia, seperti yang diungkapkan oleh Abul Fath al-Busti:

Perhatikan jiwamu, dan sempurnakan,
Kamu insan kerana jiwa, bukan kerana jasad.

Ramadhan pastinya mengingatkan kita akan kisah Pembukaan Kota Mekah(Fath Mekah). Kejayaan Rasulullah S.A.W yang didokong para sahabat baginda wajar menjadi teladan. Kejayaan tersebut sudah tentu tidak datang sekelip mata. Dua tahun sebelum kejayaan membuka Kota Mekah, satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiyyah telah dimeterai di antara Rasulullah S.A.W dengan wakil kaum Quraisy.

Tidak sedikit yang merasa ragu dengan perjanjian tersebut. Namun ternyata ada hikmahnya di sebalik kesediaan dan kesabaran Rasulullah S.A.W di dalam menerima perjanjian tersebut. Rupa-rupanya ‘jalan kemenangan sudah jelas nyata.’ Selepas sahaja termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah, maka turunlah firman Allah S.W.T yang berbunyi:

Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.

Ayat ini menghilangkan keraguan umat Islam serta memperkuatkan lagi azam mereka bagi memastikan seruan untuk melakukan islah terlaksana.

Rakan-rakan sekalian,

Ketakwaan yang diadun bersama kesabaran dan kebijaksanaan adalah kunci utama untuk mengecap kejayaan. Janganlah keyakinan kita digugat tatkala kejayaan sudah hampir. Saya menyeru pencinta kebenaran agar perkukuhkan tekad perjuangan. Ingatlah anjuran Al Quran yang berbunyi:

Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Perubahan yang ingin kita laksanakan bertapak di atas bongkah-bongkah yang kukuh, jauh sekali dari retorik kosong yang berasaskan kebencian dan persengketaan. Kita harus menyedari negara Malaysia bukannya ekabudaya. Kita harus memastikan negara ini tidak ditelan api asabiyyah dan karam dengan sikap taksub melulu. Ingatlah “siapa yang menyemai angin akan menuai badai.”

Sering saya ulangi pemerkasaan ekonomi tidak akan berjaya selagi mana kemajuan dan pembangunan didorong oleh nafsu serta tamak yang bukan kepalang. Pertumbuhan ekonomi dan kekayaan harus difahami dan dimaknai dengan pengertian yang lebih luas. Kekayaan tidak boleh berlegar di kalangan segelintir sahaja, ianya harus menjadi pendorong untuk membebaskan masyarakat dari penindasan dan kezaliman. Inilah yang kita tegaskan sebagai ekonomi yang manusiawi. Ekonomi yang dibangun di atas prinsip insan sebagai makhluk bermoral dan berakhlak, bukannya semata-mata homo economicus; yang hanya memburu kepentingan diri sendiri.

Rakan-rakan sekalian,

Syawal yang bakal menjelang pastinya disambut meriah oleh semua. Pun begitu hendaklah kita sentiasa wasatiyah dalam pendekatan, yakni bersederhana tanpa meminggirkan mereka yang tidak berkemampuan. Syawal adalah bulan kemenangan, bulan memupuk ukhuwah. Kemenangan mengharungi Ramadhan dirai dengan jalinan ukhuwah yang utuh sesama ummah. Kemenangan ini bukan sekadar melawan hawa nafsu sepanjang Ramadhan, sebaliknya diterjemahkan jua sebagai kemenangan menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

InshaAllah kemenangan yang diredhai menjadi milik kita pastinya, sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al Quran,”ibarat pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit (Ayat 24, Surah Ibrahim)”

Salam Eidulfitri 1429 Hijrah.
Minal ‘aidil wal faiziin.
Maaf zahir dan batin.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat