Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Raja. Show all posts
Showing posts with label Raja. Show all posts

Thursday, September 17, 2009

Perang Besar Dua Keluarga Diraja - mStar

KUALA LUMPUR: Cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Tuanku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar tengah hari Rabu menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar Tunku Ibrahim yang didakwa menculik, menyerang dan menahannya tanpa kerelaan pada awal pagi 25 Oktober tahun lalu.

Menurut Tuanku Nadzimuddin, beliau telah diserang oleh Raja Muda Johor dengan sepucuk pistol di bahagian muka dan kepala sehingga beliau mengalami keretakan pada tulang hidung dan kecederaan serius yang lain.

"Selepas 11 bulan, Raja Muda Johor dan pengawal peribadinya belum lagi didakwa di mahkamah untuk menghadapi tuduhan mencederakan saya dengan sepucuk pistol.

"Mereka juga belum didakwa menculik dan menahan tanpa kerelaan saya," katanya dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri bondanya, Tunku Dara Naquiah Tuanku Ja'afar.

Tunku Dara Naquiah adalah puteri kepada Almarhum Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Kedua-dua Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Abdul Rahman juga pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Rahman adalah Yang di-Pertuan Agong yang pertama dan potret baginda menghiasi kesemua mata wang kertas negara.

Insiden tersebut pernah dilaporkan di portal internet dan hangat diperkata di dalam blog.

Menurut Tuanku Nadzimuddin, ekoran insiden tersebut, beliau telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada 26 Oktober 2008 dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau kecewa kerana selepas laporan polis dibuat, tiada apa-apa tindakan diambil sehingga ke hari ini.

"Apa yang boleh saya simpulkan ialah tiadanya tindakan diambil untuk mendakwa pihak yang telah mencedera dan menahan saya tanpa kerelaan. Polis pernah memberi jaminan akan melakukan siasatan secara adil tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Saya juga dijamin semua orang adalah tertakluk kepada undang-undang dan penyerangnya akan dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi dakwaan. Bagaimanapun, saya telah dan terkejut tiada apa-apa tindakan diambil sehinggalah ke saat ini," katanya.

Mengulas lanjut, Tuanku Nadzimuddin memberitahu, beliau berada di Kelab Heritage Mansion dengan teman wanitanya (kini telah pun menjadi isterinya) untuk menemui kawan-kawan mereka.

Menurutnya, ketika berada di situ, kawan-kawannya telah diserang oleh beberapa orang yang mendakwa diri mereka adalah pengawal peribadi Raja Muda Johor.

"Dua kawan saya cedera. Pengawal kelab menghentikan serangan tersebut. Kami beredar meninggalkan kelab tersebut. Saya dipanggil oleh seseorang yang tidak dikenali mendakwa Raja Muda Johor ingin berjumpa dengan saya di Hotel Crowne Plaza, Jalan Sultan Ismail untuk meminta maaf.

"Saya bersama dengan teman wanita dan kawan-kawan saya termasuk yang cedera pergi ke situ," ujarnya.

Tuanku Nadzimuddin berkata, mereka tunggu di lobi hotel tersebut sebelum beliau diculik di lif hotel Crowne Plaza Mutiara dan diacukan dengan pistol.

"Apabila berada dalam lif, Raja Muda Johor telah memukul saya di muka dan kepala dengan sepucuk pistol. Raja Muda Johor juga menghalakan pistol itu ke kepala saya. Kawan saya yang berada di lif pula dipukul sehingga pengsan.

"Apabila lif itu berhenti di tingkat 25, kami dipaksa memasuki sebuah bilik. Saya melihat kawan saya itu ditarik masuk ke satu bilik dan dibiarkan pengsan di atas lantai," katanya.

Menurut Tuanku Nadzimuddin, mereka ditawan di dalam bilik tersebut oleh pengawal-pengawal pribadi Raja Muda Johor sehinggalah bondanya, Tunku Dara Naquiah Tuanku Jaafar ditemani ayahanda saudaranya, Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Ibni Tunku Jaa'far menyelamatkan mereka bersama empat pegawai polis.

Ketika 'gerakan menyelamat' itu dilakukan, Tuanku Nadzimuddin berkata, Raja Muda Johor telah pun meninggalkan hotel berkenaan.

mStar

Monday, May 11, 2009

Umno lakar sembilan sejarah hitam di Perak - Harakah

Krisis yang Umno cetuskan di Perak bakal menjadi sejarah hitam yang tidak akan dilupakan oleh generasi sekarang dan akan datang.

Sejarah hitam pertama adalah serangan ke atas institusi Raja. Semua orang tahu rakyat Malaysia menerima sistem raja berperlembagaan di negara ini. Namun disebabkan krisis di Perak, kita menyaksikan betapa ada rakyat yang tidak dapat mengawal kemarahan mereka. Maka berlakulah siri 'menyerang' laman web Istana Perak dengan kalimah-kalimah yang tidak sampai hati untuk kita luahkan di sini. Ia akhirnya membawa kepada pendakwaan beberapa individu di bawah Akta Hasutan 1948. Umno tidak boleh lari dari sejarah hitam ini.

Sejarah hitam kedua dari krisis Perak ciptaan Umno adalah buat kali pertamanya di dalam negara ini institusi Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilibatkan sama bagi menyiasat kuasa seorang Speaker Dewan Undangan Negeri. Ianya tidak pernah berlaku dan tidak pernah diimpikan akan berlaku. Namun kerana ketamakan kuasa apa yang dulu hanya sebuah mimpi kini sudah menjadi realiti. Selamat menyambut sejarah hitam ini.

Sejarah hitam yang ketiga dari krisis Perak ini adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan yang sepatutnya hanya bertanggungjawab menerima keputusan Speaker yang memutuskan sesuatu kerusi Dun sebagai kosong tidak lagi berminat menjalankan kerja suci tersebut. Sebaliknya SPR lebih seronok untuk terus menerus menjadi parti komponen BN yang tidak rasmi apabila enggan mengadakan pilihan raya kecil bagi Dun-Dun yang telah diisytiharkan kosong oleh V Sivakumar.

Sejarah hitam yang keempat dari krisis Perak ini adalah buat pertama kalinya Mahkamah sendiri sanggup membocorkan maklumat kepada akhbar bahawa saman yang difailkan oleh Sivakumar mengandungi kecacatan sedangkan saman tersebut belum didengar lagi oleh pihak Mahkamah.

Pembocoran maklumat tersebut sengaja dilakukan dan dipercayai dilakukan oleh seorang yang berpangkat tinggi di Mahkamah Tinggi Ipoh semata-mata untuk mengaibkan Sivakumar dan Pakatan Rakyat. Ini adalah satu sikap paling tidak profesional yang ditunjukkan oleh sebuah institusi kehakiman namun apabila Umno terlibat tiada lagi perkara yang pelik dan ajaib.

Sejarah hitam yang kelima dari krisis Perak ini adalah buat pertama kalinya seorang Speaker Dun dilarang untuk diwakili oleh peguam pilihannya sendiri semasa beliau di saman oleh Zambry. Sivakumar telah dipaksa oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh untuk diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Perak. Apa yang mendukacitakan lagi hasrat speaker untuk mewakili dirinya sendiri pun tidak dibenarkan oleh Hakim yang sama.

Agak baik sedikit sejarah hitam tersebut dapat diselamatkan dari diarkibkan apabila Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan yang paling tidak masuk akal tersebut. Untuk makluman, Speaker tidak mahu diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri kerana penasihat yang sama juga telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk beliau dibenarkan mewakili Zambry. Jadi bagaimana beliau boleh bertindak secara bebas dan menjaga kepentingan Sivakumar?

Sejarah hitam yang keenam adalah Speaker dan Adun Pakatan Rakyat yang sah dan dipilih oleh rakyat tidak dibenarkan untuk mengadakan sidang di dalam dewan persidangan kerana dewan telah dikunci dan dirantai serta dikepung oleh polis. Akhirnya sejarah hitam mencatatkan buat pertama kalinya sidang Dun Perak berlangsung di bawah pokok.

Takutnya Umno pada sidang Dun di bawah pokok sehinggakan apabila Pakatan Rakyat membina tugu dan plak bagi mengimbau kisah manis tersebut, Umno menggunakan (baca salahguna) Majlis Perbandaran Ipoh untuk memusnahkan tugu tersebut.

Sejarah hitam yang ketujuh dari krisis Perak ini adalah Umno yang terkenal sebagai penderhaka Agung kepada institusi Raja dengan tanpa segan silu sanggup memfitnah Dato? Seri Nizar sebagai penderhaka hanya kerana ungkapan mahsyur Dato Seri Nizar kepada Tuanku Sultan iaitu "patik memohon sembah derhaka".

Meskipun Umno berhempas pulas mengeksploitasi isu tersebut ia tidak langsung menjejaskan kemenangan Nizar di Bukit Gantang. Jika pun isu derhaka itu berkesan ia hanyalah berkesan bagi pengundi di saluran satu yang boleh kita sifatkan sebagai 'pengundi saluran derhaka'.

Sejarah hitam yang kelapan adalah 'bapa kepada segala sejarah hitam'. Sejarah ini hanya boleh wujud jika di dalam sesebuah negara tersebut wujudnya parti politik gila seperti Umno yang dah sampai ke tahap ketagihan kuasa tahap kritikal.

Mabuk dan ketagih dengan kuasa Umno sanggup mengundang Mahkamah yang paling tinggi di negara ini iaitu Mahkamah Persekutuan untuk membunuh doktrin pengasingan kuasa (separation of powers).

Jika selama ini Mahkamah di negara ini masih menahan dirinya dari campur tangan atau mengganggu urusan Parlimen atau Dun kerana menghormati doktrin pengasingan kuasa, kini doktrin tersebut telah pun disemadikan oleh lima orang hakim Mahkamah Persekutuan tersebut.

Ingatlah sejarah hitam ini berlaku ketika mana Ketua Hakim bagi negara ini masih dipegang oleh bekas pemimpin yang pernah berkhidmat dengan Umno.

Apa yang berlaku pada 7 Mei 2009 lalu adalah sejarah hitam yang kesembilan. Sama-sama kita saksikan kesudahannya.- tajdid _


Harakah


Wednesday, March 11, 2009

Friday, November 28, 2008

Raja Perempuan Besar Perlis mangkat

KANGAR: Raja Perempuan Besar Perlis, Tengku Budriah Tengku Ismail, 84, mangkat di Hospital Kuala Lumpur pada 3.47 pagi tadi.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengumumkan kemangkatan bonda Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu melalui stesen Radio Malaysia Perlis sebentar tadi.

Almarhum adalah Raja Permaisuri Agong yang ketiga antara 1960 dan 1965 dan menjadi Raja Perempuan Perlis bermula 1945 sehingga kemangkatan almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 2001.

Jenazah almarhum diterbangkan dari lapangan terbang Subang ke Alor Star dan dibawa ke Istana Arau untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir bermula tengah hari ini sebelum disemadikan di Makam Diraja Arau selepas solat Asar.

Md Isa berkata, bagi menghormati kemangkatan itu, bendera dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini dan semua acara keramaian dan berbentuk hiburan ditangguhkan. BERNAMA

Sumber: mSTAR

Friday, October 17, 2008

Kenyataan khas Majlis Raja-Raja Melayu

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

"Kenyataan akbar yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

"Raja-Raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

"Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

"Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

"Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

"Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

"Justeru, adalah perlu Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract.

Social Contract ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-Raja Melayu wajar mempertingkatkan supaya isu berkaitan Social Contract tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

"Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era pra kemerdekaan, berfikiran dalam berpandangan jauh. Raja-Raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi Raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

"Majlis Raja-Raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

"Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara."

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang diPertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.


Sumber: Malaysiakini