Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Tentera. Show all posts
Showing posts with label Tentera. Show all posts

Wednesday, June 16, 2010

PAS: Gadai pangkalan TUDM bahayakan negara - Malaysiakini

Rancangan kerajaan untuk mengadakan projek pembangunan di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi akan membahayakan negara kerana ia bertentangan dengan konsep pertahanan menyeluruh, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Tindakan itu akan menyebabkan negara kehilangan sebuah pangkalan pertahanan di tengah bandar sedangkan ia merupakan satu elemen penting kepada pertahanan nasional yang menepati konsep dan perlaksanaan pertahanan menyeluruh.

"Amat tidak wajar pangkalan pertahanan yang begitu strategik digadaikan semata-mata untuk memenuhi kepentingan kroni pihak yang berkuasa sedangkan pangkalan pertahanan udara seperti di Sungai Besi masih dikekalkan di kebanyakan negara maju," katanya yang dipetik oleh Harakah Daily.

Mahfuz berkata pangkalan TUDM di Sungai Besi bukannya sekadar ruang-ruang pejabat malah ia adalah pusat operasi tentera udara serta pusat integrasi maklumat radar pertahanan udara di bawah tanah dengan hubungan terus dari Butterworth di utara, Kuantan di timur dan maklumat radar mobile dari Bukit Ibam yang mana masa yang begitu lama terpaksa diambil untuk memastikan sistem tersebut betul-betul berfungsi dengan baik dan tepat.

"Pangkalan itu juga merupakan pusat sistem MADGE (Malaysia Air Defence Ground Environment) yang menggunakan sistem Hughes Air Defence Radar," katanya.

Mahfuz juga mempersoalkan jaminan kerajaan berhubung jurang masa pemindahan (transfer gap time) yang mana akan melibatkan beberapa tahun lagi.

"Itu belum lagi diambilkira kosnya sedangkan segala kos yang tersembunyi dalam proses pemindahan itu akhirnya terpaksa ditanggung oleh TUDM, angkatan tentera dan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau juga mempersoalkan tentang risiko pemindahan Electronic Warfare Support Centre (EWSC) memandangkan kemudahan di pusat itu amat sensitif dan kritikal.

"Mengapa kerajaan buat-buat tidak sedar mengenai perkara itu sedangkan electronic warfare amat penting dan kritikal untuk pertahanan masa kini.

"Tidakkah pemindahan demi kepentingan komersil beberapa kroni itu akhirnya akan menjejaskan keupayaan sistem tersebut dalam mengumpul, menafsir, menyebar data-data dan memprogramkan semula electronic warfare termasuk dalam tindak balas elektronik dan langkah-langkah sokongan," kata Mahfuz.

Beliau juga yakin, oleh kerana pangkalan tersebut merupakan pusat operasi tentera udara, akan wujud tempoh tertentu yang mungkin panjang di mana negara kehilangan kawalan semasa proses pemindahan fasiliti penting itu.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tiada sebarang maklumat lokasi baru pangkalan berkenaan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya mengumumkan ia akan dipindahkan ke satu tempat yang telah dikenal pasti tetapi gagal mengumumkannya.

"Bagaimana pula maklumat tentang kos perolehan , kos tidak langsung dan pampasan?" soal beliau.

Mahfuz juga membayangkan kerajaan mungkin mengulangi kesalahan yang dilakukan berkali-kali sebelum ini apabila ia menyisihkan komuniti tentera dari bandar seperti di Kem Majidee, Kem Transit Ampang, Markas 2 Div di Pulau Pinang, Kuarters Tentera di Batu Uban sehingga mengakibatkan negara ketiadaan kemudahan sokongan yang penting untuk keselamatan negara.

"Adakah tentera negara kita hanya layak tinggal di pedalaman dan dalam kuarters flat tanpa halaman?

"Mengapa hendak dimusnahkan keadaan pangkalan Sungai Besi yang kemas dan tersusun dengan binaan kuarters yang selesa dan dengan infrastruktur yang tersedia untuk memberi pulangan kepada beberapa kroni untuk membuat binaan konkrit yang bakal menjadi satu lagi projek gajah putih memandangkan ruang pejabat di Kuala Lumpur pun berlebihan tanpa mengambil kira ruang-ruang yang pejabat yang tidak digunakan di Bangsar South, Petaling Jaya, Cyberjaya dan lain-lain," katanya.

Selain itu, Mahfuz juga berkata pembangunan semula pangkalan TUDM di Sungai Besi akan memusnahkan peninggalan sejarah yang penting dalam pertahanan negara sedangkan ia adalah pangkalan udara yang pertama di negara ini.

Malaysiakini

Monday, May 31, 2010

Rakyat Malaysia antara diserang kapal perang Israel - Malaysiakini

Rakyat Malaysia yang menaiki sebuah daripada enam konvoi kapal yang membawa bantuan kepada penduduk Gaza diserang kapal perang Israel mengakibatkan dua orang terbunuh manakala 30 lagi cedera.

Menurut The Star, rakyat Malaysia itu adalah krew televisyen dari Astro yang menaiki kapal dari Turki.

Sementara itu menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Malaysiakini

Wednesday, January 6, 2010

Dua tidak mengaku salah curi enjin jet TUDM - Malaysiakini

kemaskini 2.38pm Seorang sarjan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

N Tharmendran, 42, (foto) daripada Pangkalan Udara TUDM Subang yang berpakaian kemeja berwarna putih hanya mengangguk memahami dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan itu.

Pengarah sebuah syarikat pembekalan, K Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan dengan sengaja membantu menghapuskan barang curi milik TUDM itu.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Februari ini untuk sebutan kes itu.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.

Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin milik TUDM, di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang, pada 30 April 2008, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya adakah Mohamad Shukri akan didakwa, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata beliau masih belum menerima sebarang arahan.

Mengenai kemungkinan lebih ramai dituduh berkaitan dengan skandal itu, Raja Rozela berkata beliau hanya menerima arahan untuk mendakwa kedua-dua tertuduh sahaja.

Terdahulu, Raja Rozela memohon mahkamah memandang serius kerana barang yang dicuri bukan enjin motosikal tetapi ia adalah enjin pesawat pejuang.

Peguam bela V. Ravichandran yang mewakili Tharmendran dan peguam bela Pritam Singh Deol yang mewakili Rajandran memohon kepada mahkamah agar anak guam mereka itu diberi jaminan yang rendah berikutan kesemua akaun telah dibekukan dan tidak
mempunyai wang yang banyak.

Bagaimanapun, Raja Rozela membantah kerana ia bukanlah faktor utama dalam memohon jaminan.

Rajandran dijamin oleh abangnya sementara Tharmendran gagal membayar jaminan.

Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata semua usaha sedang dilakukan oleh kerajaan untuk mendapatkan semula dua enjin yang hilang itu dengan secepat mungkin yang kali terakhir dikesan di Uruguay.

- Bernama

Malaysiakini

Tuesday, December 22, 2009

Selain enjin pesawat, peralatan lain turut lesap - Malaysiakini

Selain dua buah enjin pesawat tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang, peralatan lain yang berkaitan turut lesap, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan akan mengambil tindakan terhadap pegawai atasan dalam perkhidmatan itu yang bertanggungjawab ketika kes itu berlaku.

Satu mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu itu serta mengambil tindakan ke atas pegawai atasan tersebut, katanya.

"Hasil mesyuarat akan diberikan kepada saya selaku pengerusi untuk ulasan," katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan untuk Keselamatan Sosial Maldives Ameen Faisal di ibunegara.

Menurutnya, selain empat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan terlibat dengan kes itu, pihaknya turut mengenal pasti beberapa orang lagi dalam ATM yang terlibat.

"Kami telah menempatkan mereka di tempat tertentu dalam perkhidmatan serta telah mengambil tindakan terhadap mereka. Mereka masih berkhidmat dalam ATM kerana kita sedang menunggu siasatan dari aspek perundangan Angkatan Tentera," katanya.

Ahmad Zahid berkata mereka yang ditahan itu merupakan pegawai bawahan lain-lain Pangkat (LLP) di Lembah Klang yang turut mempunyai rangkaian di Butterworth.

Beliau berkata sebuah syarikat pembeli enjin pesawat yang berada di ibunegara dan mempunyai cawangan di negara jiran turut disiasat.

Siasatan menyeluruh

"Penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan saya tidak fikir syarikat penyelenggara pesawat itu terlibat secara langsung kerana ia melibatkan sebuah syarikat pembeli yang berpangkalan di sini dan mempunyai cawangan di negara jiran.

"Saya fikir syarikat itu mempunyai rangkaian di peringkat antarabangsa. Enjin dan peralatan ini dipercayai dihantar ke negara Amerika Selatan," katanya.

Beliau berkata kehilangan peralatan itu tidak boleh diterima langsung walaupun perkara seperti itu pernah berlaku di beberapa negara luar.

"Pengkhianat, penderhaka berada di mana-mana. Kementerian Pertahanan bukan sahaja menjalankan siasatan dalaman tetapi sebagaimana yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, kita telah menyerahkan kes ini kepada polis 100 peratus.

"Pejabat Peguam Negara pun sudah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan yang diperlengkapkan dengan beberapa aspek perundangan harus dibuka kepada umum melalui tindakan mahkamah," katanya.

Ahmad Zahid berkata sistem rekod dan iventori semua perkhidmatan ATM cukup
kemas tetapi sekemas manapun sistem itu, pengkhianat negara mesti mencari jalan untuk membolosi semua peraturan yang sedia ada.

Beliau turut meminta bloggers tidak cuba untuk menyeleweng fakta dan memesongkan keadaan dengan pelbagai analisis dan spekulasi.

Katanya Perdana Menteri sendiri akan terus memantau hasil siasatan itu dan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap mereka yang bersalah serta akan diumumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai bagi memperlihatkan ketelusan kementerian.

Ahmad Zahid berkata kementerian telah meminta syarikat pengeluar peralatan itu memberi butir-butir spesifikasi dan teknikal enjin serta peralatan lain yang hilang dan dijangka menerimanya dalam masa terdekat.

Beliau berkata bagi mengelak perkara yang sama berulang, sistem penghantaran peralatan persawat untuk diperbaiki kini diperketatkan dan dipantau dengan lebih terperinci. - Bernama

Malaysiakini

Friday, September 18, 2009

Parti politik tak dibenar berkempen dalam kem tentera - mStar

SEREMBAN: Parti politik tidak dibenarkan berkempen dalam kem tentera kerana bentuk tugas anggota tentera bersifat keselamatan di tahap yang tinggi, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

"Rosak negara ini kalau askar ini diberi kebenaran untuk berparti politik. Kalau dia nak berpolitik lepas bersara, itu lainlah," katanya kepada pemberita di sini selepas menyampaikan sumbangan hari raya Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat Negeri Sembilan kepada 234 penerima melalui skim bantuan kebajikan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).

Semalam, Pemuda Pas mendesak agar parti itu dibenarkan berkempen di kemkem tentera pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan kawasan Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Terdapat beberapa kem tentera dalam kawasan itu yang didiami ramai pengundi pos terdiri anggota tentera.

Abdul Latiff berkata anggota tentera dibenarkan mengundi pada pilihan raya kerana itu hak mereka di sisi perlembagaan negara.

"Negara kita sebuah negara demokrasi, bermakna anggota tentera bebas untuk mengundi. Sebab itu ada juga di kalangan mereka ini mengundi parti pembangkang. Jadi, apa pasal dia (pembangkang) nak takut.

"Adakah bila dia (tentera) mengundi parti pemerintah tak bagus, tapi kalau mengundi dia (pembangkang) bagus dan ini (baru) dikatakan satu pilihan raya yang adil?" katanya.

Abdul Latiff juga berkata Akta Veteran ATM kini di peringkat draf terakhir sebelum dibawa ke kabinet dan Parlimen untuk diluluskan.

Katanya undangundang itu dirangka untuk membela nasib anggota tentera keseluruhannya. BERNAMA

mStar