Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, June 9, 2010

4 ditahan sebelum ceramah 'Yahudi & Judi' - Malaysiakini

Polis menahan Ketua Pemuda PAS Selangor Hasbullah Ridzwan dan tiga lagi pemimpin akar umbinya di tapak ceramah Pakatan Rakyat di Batu Caves, Selangor.

Hasbullah berkata beliau ditahan kerana enggan bersurai apabila polis mengarahkannya supaya berbuat demikian, ketika berkumpul bersama kira-kira 20 orang yang lain di perkarangan Dewan Kompleks Muhibbah di Taman Bolton.

Turut ditahan dalam kejadian pada kira-kira jam 8 malam tadi ialah ketua pemuda PAS bahagian Gombak Syarhan Humaizi Halim, setiausaha Damanhuri Dol dan ketua penerangannya Afyan Mat Rawi.

Ketiga-tiga orang tersebut ditahan kerana menghalang tugas polis, kata Hasbullah lagi ketika dihubungi lewat malam tadi.

Kesemua mereka dibawa ke ibu pejabat polis daerah Gombak dan dibebaskan pada kira-kira jam 11.50 malam dengan jaminan polis.

Hasbullah mendakwa, ceramah bertema kan 'Yahudi dan Judi' anjuran lajnah penerangan PAS itu pada awalnya dijadualkan diadakan di tempat berkenaan terpaksa dipindahkan ke Stadium Selayang, hampir 10 kilometer daripada tempat itu.

"Polis menutup tempat itu jadi kami terpaksa ambil tempat alternatif ke Stadium Selayang.

"(Polis) kata sebab penganjuran ceramah ini tidak ada permit, dan mereka kata (Dewan Kompleks Muhibbah) itu kawasan terbuka.

"Hakikatnya tempat itu berbumbung dan sememangnya berada dalam kawasan berpagar," kata Hasbullah lagi.

Di stadium berkenaan, ceramah oleh pemimpin kanan Pakatan Rakyat, antaranya oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang turut disertai peserta flotila pro-Palestin yang diserang tentera Israel baru-baru ini.

Walaupun berlaku pertukaran tempat di saat-saat akhir, hampir 2,000 orang menyertai ceramah tersebut.

Sementara itu menurut Harakahdaily ceramah malam ini dihalang pihak keselamatan dengan alasan dibuat di tempat terbuka.

Versi internet akhbar organ PAS itu melaporkan majlis itu tidak dapat diteruskan di situ kerana pihak penganjur tidak mendapat kuncinya.

Malaysiakini

Sebutan akhir kes 'senjata AMK' 28 Julai - Malaysiakini

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu memutuskan 28 Julai depan sebagai tarikh sebutan akhir terhadap lima petugas PKR yang dituduh memiliki senjata dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Kelima-lima yang dituduh termasuklah timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Fariz Musa.

Peguam Mohd Razlan Jalaludin berkata kesemua mereka didakwa mengikut seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama kerana didakwa "mendatangkan perbuatan khianat" dengan menurunkan kain rentang yang berunsur provokasi.

Bagi pertuduhan berasingan, dua individu dituduh mengikut seksyen 8 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya kerana "memiliki sebilah pisau".

Tiga lagi individu - termasuk Fariz - dituduh mengikut seksyen 6 akta yang sama kerana "mendampingi orang yang mempunyai senjata", tambahnya.

Pada 22 April lalu, Fariz Musa dan empat lagi dilaporkan ditahan polis kerana dituduh menurunkan poster BN semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Razlan berkata keputusan Hakim Zuraidah Zakaria dibuat setelah mendapati pihak pendakwaan menjelaskan "kertas siasatan tidak ada bersama beliau, sebaliknya berada di unit pendakwaan Selangor".

Malaysiakini

Rugi RM40 juta: Siasatan Kohilal selesai - Malaysiakini

Siasatan ke atas Koperasi Al-Hilal Bhd (Kohilal) yang kerugian hampir RM40 juta, sudah selesai, kata pengerusi lembaga Kohilal, Mat Samsudin Abdullah.

Menurut beliau, Kohilal kini diletakkan di bawah lembaga pengurusan baru yang dilantik oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) - (dahulunya Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia) sejak 2007.

"Siasatan sudah selesai dan sekarang lembaga baru tumpukan untuk memulihkan koperasi," kata Mat Samsudin ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Beliau berkata tumpuan tersebut termasuk aktiviti mempromosikan produk baru keluaran Kohilal.

Ketika ditanya, Mat Samsudin bagaimanapun enggan mengulas aktiviti pelaburan yang didakwa menyebabkan Kohilal mengalami kerugian berjumlah hampir RM40 juta itu.

“Siasatan sudah selesai dan lembaga baru yang menguruskan (Kohilal) sekarang. Jadi tidak adil bagi saya untuk memberi komen sekarang kerana semua itu berlaku dalam lembaga dahulu,” katanya.

Ditanya lanjut, beliau juga enggan mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan oleh suruhanjaya berkenaan.

“Hasil siasatan itu ada pada mereka. Tidak adil (kepada ahli lembaga terdahulu) jika saya dedahkan,” katanya lagi.

Isu ini kembali mencuri perhatian susulan laporan akhbar Utusan Malaysia semalam berhubung dakwaan skandal berkenaan.


Laporan itu menyebut, presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan “penyelewengan pengurusan” yang berlaku sejak 2001.

Ibrahim dilaporkan telah menyedia satu dokumen berhubung dakwaan skandal itu, yang didakwa berlaku dalam sebuah anak syarikat koperasi berkenaan Kohilal Holdings Sdn Bhd.

Memetik exco kerajaan Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, laporan hari ini, akhbar itu juga menyebut, kegiatan Kohilal kini "dibekukan buat sementara waktu."

Dalam pada itu pula, lidah rasmi PAS memetik Mohd Amar sebagai berkata, Kohilal sedang "memperbaiki pengurusan baru untuk membuat perubahan dalam koperasi itu agar ia pulih semula."

Beliau juga berkata, Kohilal tidak perlu memberi penjelasan kepada PERKASA memandangkan Ibrahim Ali tidak menganggotai koperasi berkenaan.

Mohd Amar juga menepis dakwaan yang ditimbulkan Ibrahim, namun mengakui bahawa Kohilal sememangnya "mempunyai sedikit masalah."

“Kadang-kadang nasib kita baik, kita mencarum di tempat yang kebetulan ada rezeki yang baik untuk kita, kita akan mendapat keuntungan yang lebih. Jika tidak, inilah yang terpaksa kita tanggung,” ujarnya lagi.

Malaysiakini

Tuesday, June 8, 2010

Serangan Flotila : Najib Tidak Endahkan Amaran MAPIM - TVS

Perdana Menteri Najib Razak dimaklumkan mengenai kemungkinan besar rejim zionis Israel akan menyerang kapal misi kemanusiaan lima hari sebelum serangan itu berlaku namun tidak ada tindakan diambil oleh pejabat Perdana Menteri.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang terbabit dalam misi itu telah menghantar surat berkenaan pada 27 Mei, namun tidak menerima sebarang maklum balas daripada Najib. Lima hari kemudian rejim Zionis melancarkan serangan ke atas Mavi Marmara dan membunuh sembilan orang.

Mereka turut merampas segala bantuan termasuk bekalan perubatan dan makanan untuk rakyat Palestin yang dianggarkan berjuta ringgit.

Pendedahan mengejut oleh MAPIM mencemari usul yang dibawa oleh Najib di Parlimen hari ini, membidas serangan itu dan meminta masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas terhadap Israel, tujuh hari selepas serangan berkenaan.

Dalam salinan surat yang diperolehi oleh TVSelangor, MAPIM memberitahu Najib bahawa Israel berkemungkinan besar akan melancarkan serangan ketenteraan bagi menghalang misi kemanusiaan itu dari sampai ke Gaza.

Justeru badan itu menggesa Najib untuk memohon Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB memberi perlindungan kepada kapal-kapal yang terbabit dari misi itu daripada kekejaman Israel.

Malah Najib juga diminta untuk mengerahkan kapal pengiring khas untuk misi itu selain memohon bantuan daripada Persidangan Negara-negara Islam atau OIC, dan Kesatuan Eropah.

" 27 mei untuk memberitahu PM perlu mengambil perhatian serius mengenai keselamatan misi kapal kemanusiaan ini kerana jelas beberapa kenyataan Israel bahawa jelas tindakan secara ketentaraan akan berlaku. Jadi kita mendesak supaya PM atas negara Malaysia cepat bertindak untuk meminta PBB memastikan jaminan keselamatan ini tapi malangnya tidak direspon oleh PM sehinggalah insiden itu berlaku" ujar Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha Agung MAPIM.

Hari ini Najib berdiri di Parlimen untuk menyampaikan bantahan kerajaan pimpinannya terhadap serangan itu.

Namun yang menjadi pertikaian ialah sikap yang dipamerkan oleh kerajaan dalam memastikan keselamatan misi kemanusiaan berkenaan yang membabitkan sukarelawan dan wartawan malaysia.

" Kekesalan kita ialah apabila mesej kita kepada PM itu nampaknya tidak dijawab dan tidak respon bahawa insiden ini memang berlaku dan kita memang akan ambil tindakan" tambah Azmi.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia menjadi ukuran terhadap keikhlasan kerajaan pimpinan Najib bersabit misi kemanusiaan yang disertai 12 aktivis Malaysia.

" Bila perkara ini sudah meletup sedemikian rupa, orang sudah ditembak, rakyat sudah bangkit marah, barulah kerajaan nampak respon sedikit. Tetapi ini tidak boleh menutup kelemahan yang dibangkitkan oleh MAPIM".

" Ini harus didedahkan kepada awam. Rakyat harus tahu bahawa banyak usaha telah diambil oleh badan-badan Islam dan badan bukan kerajaan dan kerajaan seolah-olah hanya mahu lepas tangan dan tidak mahu langsung sentuh sensitiviti Israel dan Amerika Syarikat" ujar beliau kepada Tv Selangor.

Tambahnya, kerajaan Najib hanya bangkit setelah rakyat dan juga parti pembangkang membantah jenayah perang yang dilakukan oleh tentara Israel ke atas flotila bantuan ke Gaza.


Dalam pada itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub turut menuntut penjelasan daripada wisma Putra atas kegagalan kerajaan bertindak bertindak membantu kapal Mavi Marmara meskipun diberitahu mengenai rancangan rejim Zionis untuk menyerang misi kemanusiaan itu lebih awal.

" Walaupun kadang-kadang kita mempunyai keyakinan mungkin apa pun yang kita laksanakan Israel tetap dengan kezaliman dan kekerasan mereka, tetapi apa yang kita mahu biar ada satu catatan bahawa apabila kita mendapat satu isyarat daripada kapal tersebut, dan Wisma Putra dengan jelas menerima isyarat tersebut, maka mesti ada catatan yang Wisma Putra juga ada catatan mereka menghubungi pihak yang berkuasa" ujar beliau kepada Tv Selangor.

Salahuddin berkata masyarakat akan tentunya bertanya samada tragedi serangan ke atas kapal Mavi Marmara mungkin mempunyai kesudahan berlainan jika Wisma Putra telah bertindak lebih pro aktif.

" Apa yang penting dalam setiap situasi, kerajaan mesti bertindak proaktif dan pantas untuk mendapatkan bantuan-bantuan yang diperlukan contohnya badan-badan antarabangsa".

TVS

Judi: Siapa berbohong - Najib atau BERJAYA? - Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika beliau tidak memberi gambaran yang sebenar berhubung pemberian lesen judi sukan.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan BERJAYA Corporation Bhd menimbulkan kontroversi mengenai siapa yang sebenarnya berbohong.

Pada notis kepada Bursa Malaysia 12 Mei lalu, BERJAYA berkata: 'Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.'

Sesalinan notis itu kemudiannya diedarkan oleh Pua kepada wartawan pada sidang medianya di lobi parlimen, pagi ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulisnya di parlimen semalam berkata lesen berkenaan belum dikeluarkan kerana masih menunggu maklum balas orang ramai dan beberapa syarat masih dirangka.

Malaysiakini

Kajian ISA selesai, pindaan bulan depan - Malaysiakini

Kementerian Dalam Negeri berharap dapat membentangkan enam akta yang dikatakan 'menindas' termasuk Akta Keselamatan Dalam Negara 1960 (ISA) dan Ordinan Darurat pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Abu Seman Yusop memberitahu wartawan hari ini bahawa segala dokumen berhubung perkara berkenaan telah diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk kelulusan.

Katanya, pindaan ISA itu akan disesuaikan mengikut keadaan semasa. Ia membabitkan lima perkara utama:

•Kuasa menteri
•Tempoh tahanan
•Kuasa polis
•Hak dan layanan ke atas tahanan
•Pemansuhan beberapa seksyen

Katanya lagi, pindaan ISA dan dua lagi akta di bawah undang-undang pencegahan dijangka dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bulan depan.

Dua akta lain itu adalah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Kesemua pindaan undang-undang pencegahan itu kini di peringkat akhir kelulusan oleh Jabatan Peguam Negara dan kita jangka akan dapat dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen bulan hadapan selepas diluluskan Peguam Negara dan Kabinet," katanya.

Abu Seman berkata tiga lagi akta iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959, masih di peringkat semakan Bahagian Penggubalan, Jabatan Peguam Negara.

"Tujuan kita meminda akta-akta ini adalah untuk memelihara hak orang tahanan dan mengelakkan salah guna kuasa dalam melaksanakan undang-undang pencegahan," katanya.

Mac lalu, kabinet memutuskan pindaan ke atas ISA harus dibentang pada persidangan Parlimen bersama-sama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang juga perlu dipinda.

Abu Seman berkata pindaan terhadap semua akta itu berdasarkan perbincangan dengan 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan.

"Daripada jumlah itu, hanya dua yang mahukan ISA dihapuskan manakala yang lain bersetuju agar pindaan dilakukan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pindaan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan juga telah siap dikaji oleh kementerian dan dihantar ke bahagian penggubalan Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan.

Malaysiakini

JK hak, kebebasan mula bermesyuarat - Malaysiakini

Jawatankuasa hak dan kebebasan, Parlimen memulakan mesyuaratnya bagi menentukan sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenakan tindakan kerana kenyataannya yang mengaitkan 1Malaysia dengan konsep One Israel.

Anwar tiba pada jam 12.35 tengah hari, sejam selepas jawatankuasa itu bermesyuarat tetapi diarahkan meninggalkan bilik itu.

Ini kerana jawatankuasa yang bersidang belum membuat keputusan berhubung permintaannya supaya perbicaraan diadakan secara terbuka dan dia dibenarkan diwakili oleh peguam.

Beberapa ahli parlimen - Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Loh Gwo-Burne (PKR-Kelana Jaya) cuba memasuki bilik mesyaurat sebagai pemerhati tetapi juga diarahkan keluar.

"Ia adalah jelas. Menurut peraturan, hanya ahli parlimen dibenarkan masuk, tetapi apabila kita membuat bantahan, mereka sedang mempertimbangkannya,” kata Gobind.

Jawatankuasa berkenaan kemudiannya memutuskan bahawa peguam anwar yang juga bekas ketua Majlis Peguam - S Ambiga dibenarkan hadir sebagai pemerhati tetapi beliau tidak benarkan mengambil bahagian.

Pada perbicaraan ini, Anwar akan diminta mengemukakan bukti-buktinya yang mengaitkan 1Malaysia dengan konsep One Israel.

Beliau yang juga ketua umum PKR sebelum ini berkata Apco Worldwide adalah firma yang bertanggungjawab mencetuskan kedua-dua idea 1Malaysia dan One Israel.

Malaysiakini

Monday, June 7, 2010

Anwar : Tolak penghapusan subsidi - TVS

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang nasib rakyat Malaysia, ekoran masalah ekonomi negara dan sistem pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak adil.

Beliau tidak bersetuju sama sekali rancangan kerajaan pusat untuk menghapuskan subsidi yang diberikan kepada rakyat, kononnya untuk menyelamatkan negara daripada muflis.

Tegas beliau, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya, meliputi sumber hasil seperti minyak petrol, gas dan kelapa sawit, bagaimanapun tergugat dengan gejala rasuah yang semakin berleluasa di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Malaysia mempunyai minyak dan gas, eksport kelapa sawit, kilang-kilang dan sebagainya. Tetapi Malaysia rosak kerana rasuah dan pengurusan ekonomi yang sangat lemah. Oleh itu kita harus melakukan perubahan," tegas Anwar.

"Idris Jala berkata pengeluaran subsidi terlalu banyak, dan saya menjawab hapuskan rasuah dahulu. Mereka biarkan saham, kontrak, tanah diambil tanpa tender, siapa yang dapat? Kroni dan keluarga? Tolak rasuah. Kalau tak boleh, tolak ketua Umno yang merosakkan negara kita," tambah beliau lagi.

Anwar menjelaskan, negara telah mengalami kerugian sebanyak 21 bilion ringgit kerana kos melampau ke atas sesuatu projek, selain mengalami kerugian untuk membaik pulih dan menyelenggara bangunan yang berkualiti rendah.

Ini termasuk bumbung stadium yang runtuh di Terengganu baru-baru ini yang menyebabkan kos baik pulih mencapai jutaan ringgit.

Anwar berkata, Pakatan Rakyat akan berusaha membela nasib rakyat dan tindakan menarik balik subsidi seharusnya dikenakan ke atas syarikat-syarikat besar dan kroni kerajaan yang kaya raya.

TVS

Malaysia gesa dunia sepakat heret Israel ke ICC - Malaysiakini

Malaysia menyarankan agar negara-negara dunia sepakat membawa usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk merujuk perbuatan ganas rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Gesaan itu terkandung dalam usul khas yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Malaysia juga akan mendesak supaya Rejim Israel membayar ganti rugi serta pampasan ke atas semua harta benda, bahan makanan, alat-alat binaan dan perubatan, termasuk kapal-kapal yang telah di tawan serta semua barangan persendirian ahli konvoi yang telah di rampas secara haram oleh tentera Rejim Zionis.

"Di samping itu Malaysia juga mendesak agar Israel membayar ganti rugi akibat dari kesan trauma secara psikologi, mental dan fizikal serta apa-apa pampasan yang difikirkan layak oleh Mahkamah Antarabangsa," kata Perdana Menteri.

"Tidak cukup dengan itu, anggota konvoi ini juga telah diculik dan diperlakukan seperti penjenayah. Mereka diikat berbelas jam tanpa diberi hak secara sewajarnya seperti makanan, minuman, bersolat dan keperluan ke bilik air. Bagi Malaysia, tiada sebarang alasan untuk mereka bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama, sempadan bangsa dan fahaman politik," katanya.

Usul yang mengandungi 15 ketetapan itu mencadangkan, antara lainnya, agar peristiwa keganasan Israel pada 31 Mei menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapatkan "advisory opinion" (pendapat berbentuk nasihat).

"Seperti dilaporkan, 9 orang yang terkorban itu telah ditembak dari jarak dekat dan apa yang lebih menyayat hati, ada yang ditembak dari arah belakang. Ini mempamerkan sikap pengecut yang tidak dapat dimaafkan," katanya.

Najib juga mencadangkan supaya Turki, yang kehilangan sembilan aktivis kemanusiaannya akibat dibunuh komando Israel, menimbang untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rom, ICC.

Usul khas itu juga mengecam sekeras-kerasnya pemimpin Israel Benjamin Netanyahu kerana membenarkan tentera rejim itu bertindak di luar batasan kemanusiaan terhadap rakyat pelbagai negara, termasuk Malaysia, yang menyertai misi bantuan itu yang dikenali sebagai "Freedom Flotilla".

Menurut Najib, sekiranya perbuatan yang sama dilakukan oleh negara lain, nescaya negara tersebut akan dikenakan pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

"Ini jelas membuktikan betapa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bersikap berat sebelah dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka."

Sehubungan itu, Israel dituntut supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Malaysiakini

Rundingan dan Jalinan Volkswagen-Proton Ditamatkan - TVS

Rundingan bagi kemungkinan jalinan pakatan antara pembuat kereta Jerman, Volkswagen dan pengeluar kereta nasional, Proton dibatalkan.

Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, Proton berkata Volkswagen mengesahkan yang syarikat itu kini mempunyai keutamaan lain dan potensi kerjasama dengan pembuat kereta Malaysia itu tidak boleh diteruskan.

Sebagai satu daripada pengeluar peralatan tulen (OEM) terbesar dalam industri, Proton berkata Volkswagen, yang ditubuhkan pada 1937, akan menjadi rakan kongsi kerjasama yang menarik bagi Proton.

Proton berkata syarikat menerima keputusan Volkswagen itu.

Namun begitu, syarikat akan meneruskan strateginya dalam OEM tempatan dan pelbagai negara Asean. Ini termasuk kerjasama produk dengan pengeluar kereta Jepun, Mitsubishi, projek EMAS dan pembangunan model baharu yang lain.

Proton, yang mencatatkan peningkatan jualan bagi model Saga, Persona dan Exora, berkata syarikat kekal komited untuk mengukuhkan kehadirannya di China melalui kerjasama dengan Youngman.

Memanfaatkan momentum yang amat baik bagi keputusan tahun kewangan 2009/10, Proton berkata syarikat juga meninjau untuk menembusi pasaran Asia yang dalam masa terdekat serta terus mengukuhkan kedudukan dalam negara.

Proton, yang ditubuhkan pada 1983, merupakan pengeluar automobil terbesar Malaysia dan satu-satunya pengeluar kereta OEM sepenuhnya di Asia Tenggara.

Syarikat itu mempunyai operasi di pasaran utama dari UK hingga Timur Tengah, serta seluruh Asia Tenggara dan Australasia, terutama di negara-negara seperti China, India dan Iran.

TVS

Umno-BN Tarik Balik Sekatan Import Barangan Zionis Israel Pada 1994 - SK

SHAH ALAM 7 Jun - Umno-Barisan Nasional menunjukkan sikap bermuka-muka menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang rejim Zionis Israel tetapi pada masa yang sama membenarkan perdagangan dengan negara haram itu.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard) ini terbukti apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada telah mengubal rang undang-undang menarik balik sekatan import barangan Israel dan Afrika Selatan yang telah dibentangkan di parlimen dan telah diluluskan pada 1994 serta berkuatkuasa hingga ke hari ini.

"Malaysia menjadi penyumbang besar kepada ekonomi Israel. Umpamanya di Nilai, Negeri Sembilan, sebidang tanah yang dimiliki Tabung Haji yang telah diberikan kepada syarikat minuman, Coca Cola yang kita ketahui secara langsung penyumbang kepda negara Zionis itu untuk membeli senjata.

"Rakyat sudah menyampah dan meluat dengan sikap rejim Umno-BN ini yang tidak mempedulikan nasib rakyat Palestin yang ditindas," tegasnya lagi.

Menyedari hakikat pengkhianatan Umno-BN terhadap perjuangan membebaskan bumi Palestin, rakyat menolak demonstrasi anti Zionis-Israel anjuran Pemuda Umno Jumaat lalu yang tidak mendapat sambutan.

Ini kerana kata CheGuBard, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berada dalam keadaan yang tidak popular.

Beliau berkata pemimpin Umno-BN demi kepentingan politik mereka sebenarnya tidak mempedulikan nasib rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang dikepung oleh rejim Zionis-Israel sejak hampir empat tahun lalu.

Ini berbeza dengan demonstrasi dan persidangan meja bulat di Kampung Baru yang bukan sahaja dihadiri pemimpin Pakatan Rakyat tetapi juga puluhan pertubuhan bukan kerajaan yang menunjukkan sokongan padu kepada inisiatif Pakatan Rakyat.

"Rakyat Malaysia sudah sedia maklum dengan rejim Umno-BN yang hipokrit yang bermuka-muka kerana Israel mempunyai sumbangan ekonomi kepada negara.

"Rakyat sudah tidak pedulikan dengan sikap pemimpin Umno-BN," ujarnya

Tambah CheGuBard, Umno-BN hanya gila publisiti tetapi pada masa yang sama memberikan sumbangan kepada rejim Zionis-Israel yang membunuh rakyat Palestin tanpa belas kasihan.

Isnin lalu, komando rejim zionis telah menyerbu masuk kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang menyebabkan 9 sukarelawan dan berpuluh lagi cedera dalam serangan tersebut.

Sabtu lalu, kapal Rachel Corrie yang juga membawa bekalan keperluan seperti ubat-ubatan dan keperluan harian telah diarahkan oleh armada tentera laut Israel mengubah haluan ke pelabuhan Ashdod di Israel.

Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang mempertahankan tindakan negara Zionis itu memberikan alasan kononnya bertujuan untuk memeriksa kandungan kapal tersebut bagi memastikan ia tidak membawa senjata.

SK

'Bantuan kebajikan tidak jamin kemenangan Pakatan' - Malaysiakini

Bagi memenangi pilihan raya akan datang, Pakatan Rakyat harus memperkasakan rakyat dengan fahaman perjuangan serta pendidikan dan tidak sekadar memberi bantuan kebajikan sahaja, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

"Sekadar memberi bantuan kebajikan tidak memadai," kata setiausaha agung PSM, S Arutchelvan.

Tegasnya, bantuan kebajikan adalah penting dan harus diteruskan tetapi yang lebih penting adalah pemahaman tentang perlunya perubahan.

Arutchelvan menegaskan demikian dalam satu kenyataan. PSM selesai mengadakan kongres parti itu semalam, yang dihadiri 250 perwakilan dan pemerhati di Dewan perhimpunan Cina Selangor.

Kongres itu membincangkan tiga kertas kerja mengenai '1Malaysia dan Model Ekonomi Baru Najib', 'Isu transisi kepimpinan dalam PSM' dan 'isu krisis cuaca dunia dan menyelamatkan alam sekitar'.

Kongres juga membincangkan 26 usul di mana 16 usul telah diterima, lima ditolak, tiga ditarik balik dan dua usul akan dibincang di peringkat jawatankuasa parti.

Mengenai usul Pakatan, Arutchelvan berkata, ia telah dibincang panjang lebar dan kongres dengan majoriti besar, memutuskan bahawa PSM buat masa ini tidak mempunyai sebarang hasrat membentuk kuasa ketiga tetapi tegas bahawa musuh utama adalah BN.

"Justeru PSM akan bekerjasama dengan Pakatan dan kumpulan-kumpulan progresif lain untuk menamatkan pemerintahan BN.

"PSM juga akan mengadakan perbincangan susulan dengan Pakatan mengenai kerjasama tersebut, termasuk kerjasama semasa pilihan raya," tambahnya.

Malah, tegas Arutchelvan PSM juga terbuka terhadap penggunaan logo dan manifesto bersama dalam pilihan raya yang akan datang.

Antara usul yang dilulus yang menarik adalah protes terhadap bencana alam sekitar dan kapitalisme dan juga mengadakan pameran seni kiri iaitu program yang membawa bersama pelbagai artis dan seniman progresif.

PSM juga katanya, melihat bahawa pemerintah telah memulakan perang terbaru apabila mahu menarik balik subsidi .

"Ini merupakan serangan terkini terhadap rakyat pekerja biasa di negara kita. PSM akan memobilisasi rakyat untuk mengekalkan subsidi ini," tegas Arutchelvan.

Antara resolusi lain yang diluluskan ialah menolak Model Ekonomi Baru (MEB) yang berasaskan kepentingan golongan elit kapitalis, menuntut dilindungi hak pekerja termasuk melalui penggubalan akta gaji minima, di samping membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

PSM juga menuntut dimansuhkan ISA, AUKU, OSA, PPPA dan mendesak kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Kebebasan Media.

PSM juga menuntut kerajaan negeri termasuk kerajaan Pakatan, mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan, penggubalan undang-undang yang menghalang wakil rakyat melompat parti serta mengutuk PERKASA yang didakwanya mempermainkan politik perkauman dan memecah-belahkan rakyat.

PSM turut membantah pemberian lesen judi bola, di samping menyokong perjuangan penduduk Bukit Koman dalam menghentikan keracunan cyanide oleh lombong emas.

Malaysiakini

Kamalanathan, Ho Leng angkat sumpah - Malaysiakini

Dua ahli parlimen baru hari ini mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat di hadapan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini.

Mereka adalah MP Hulu Selangor P Kalamanathan (BN) dan MP Sibu Wong Ho Leng (DAP).

Acara mengangkat sumpah Kamalanathan dan Wong diadakan sebelum sesi soal jawab lisan bermula pagi ini.

Kamalathan, 44, seorang perunding perhubungan awam swasta mengalahkan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil April lalu.

Ditemui wartawan di lobi parlimen, Kamalanathan yang ditemani oleh isterinya, S Shobana, berkata beliau bersedia menghadapi cabaran barunya itu.

"Saya telah mengemukakan 10 soalan kepada Parlimen. Soalan pertama akan dimasukkan ke dalam kertas perintah esok berhubung kebajikan pekerja di sektor perladangan,” katnya.

Wong, 51, adalah ahli dewan undangan negeri Sarawak bagi kawasan Bukit Assek dan juga pengerusi DAP Sarawak.

Ketua pembangkang sarawak itu mengalahkan calon BN Robert Lau Hui Yew dengan majoriti tipis 398 undi pada 16 Mei lalu.

Pandikar Amin berharap kedua-dua anggota Parlimen baru itu dapat memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Malaysiakini

Friday, June 4, 2010

... dan 200 sertai demo BN di Masjid Negara - Malaysiakini

Kira-kira 200 orang hadir dalam perhimpunan anti-Israel anjuran Pemuda BN di Masjid Negara selepas solat Jumaat hari ini.

Berbeza dengan perhimpunan pembangkang yang dihadiri ribuan penyokong, ia hanya berlangsung selama 30 minit dan diisi dengan ucapan pemimpin Pemuda BN dan wakil NGO.

Tampil dalam pakaian putih, mereka bertakbir dan melaungkan slogan anti-Israel seperti "hancur Israel", "jahanam Israel" dan "selamatkan Palestin".
Selain itu juga, peserta yang terlibat membawa kain rentang yang bertulis seperti "justice for Gaza" (keadilan untuk Gaza) dan "jaga negara sendiri, jangan jaga tepi kain orang".

Perhimpunan aman membantah serangan berdarah komando Israel kepada flotila bantuan pro-Palestin dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh exco Pemuda Umno Lokman Noor Adam.

Turut hadir wakil-wakil NGO, antaranya daripada Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (PERKASA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) dan Gabungan Belia 4B Malaysia.

Bagaimanapun, tidak kelihatan kelibat pemimpin parti komponen BN yang lain seperti MIC dan MCA.

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin dalam ucapannya berkata pihaknya berharap kerajaan sentiasa memberikan keutamaanya dan memastikan kepentingan rakyat Palestin terbela.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau turut menyatakan tidak puas hati terhadap kekejaman tentera Israel.

"Jika tiada perubahan (daripada) demontrasi di Masjid Negara (mahupun) di Kedutaan Amerika Syarikat, kita akan bangun dan terus ke Gaza untuk tewaskan Israel," katanya.

Seorang aktivis NGO Islam daripada Turki turut hadir menyatakan sokongan mereka.

Seyfuddin Seyif dalam ucapannya mendesak semua pihak memboikot barangan Israel seperti McDonald, Coca-cola dan Levi's.

"Katanya tidak kepada Israel," katanya.

Sebelum itu beberapa aktivis NGO yang hadir mengedarkan risalah boikot barangan Israel di masjid berkenaan.

Malaysiakini

Demo anti-Israel: 10,000 berarak ke kedutaan AS - Malaysiakini

Ribuan orang menyertai demontrasi Pakatan Rakyat di ibu negara selepas solat Jumaat bagi membantah serangan berdarah tentera Israel terhadap flotila bantuan kemanusiaan pro-Palestin Isnin lalu.

Kumpulan itu membanjiri Masjid Kampung Baru untuk menunaikan solat Jumaat sebelum berarak beramai-ramai ke kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang, sejauh hampir 5 kilometer.

Dipimpin Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka bergerak lancar apabila tidak dihalang polis, seperti kebiasaan dalam demontrasi besar Pakatan Rakyat sebelum ini.

Memorandum bantahan mereka berjaya disampaikan kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat kira-kira jam 3.30 petang tadi tanpa sebarang insiden yan tidak diingini.

Selain itu, satu lagi kumpulan NGO melibatkan jumlah yang lebih kecil turut berarak daripada Masjid Tabung Haji dan berarah menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan tersebut.

Berikut kronologi perhimpunan tersebut:

2.00pm
Demonstrasi anti-Israel bermula di Masjid Kampung Baru tanpa sebarang sekatan daripada pihak polis, walaupun amaran telah dikeluarkan semalam.

Diketuai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, ribuan orang bergerak berarak pantas sambil bertakbir dan melaungkan slogan anti-Israel.

2.30pm: Berbeza dengan perhimpunan pembangkang, perhimpunan Pemuda BN di Masjid Negara telah pun tamat. Ia hanya berlangsung 30 minit dan diisi dengan ucapan pemimpin Pemuda BN.

Mereka kelihatan bertakbir dan melaungkan slogan anti-Israel.

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddn dalam ucapannya berkata pihaknya berharap kerajaan sentiasa memberikan keutamaanya dan memastikan kepentingan rakyat Palestin terbela.

Pada masa yang sama, kumpulan Pakatan kini sudah berarak sampai Jalan Sultan Ismail dan melintas Hotel Rennaisance.

Slogan anti-Israel seperti "hancur Israel" dan "Khaibar ya Yahud" (perang Khaibar wahai Yahudi) dilaungkan.

Sementara satu lagi demonstrasi oleh sekumpulan aktivis NGO di Masjid Tabung Haji pimpinan Lifeline4Gaza sejak jam 2 petang tadi juga berarak ke kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang.

2.55pm: Anwar dan pemimpin kanan Pakatan tiba di bangunan Tabung Haji dengan trak pikap. Mereka kini berada kira-kira 100 meter daripada kedutaan AS.

3.07pm: Kumpulan daripada Masjid Tabung Haji bersurai setelah wakil mereka Zulkifli Nani berjaya menyerahkan memorandum kepada kedutaan negara sekutu rapat Israel itu lima minit sebelum jam 3 petang tadi.

3.10pm: Polis membuat benteng manusia di kedutaan AS dalam jarak 100 meter. Hadirin cuba merempuh sebelum ditenangkan pemimpin Pakatan yang hadir. Mereka diingatkan bahawa perhimpunan itu adalah aman.

Selepas rundingan, 12 pemimpin Pakatan dibenarkan masuk bagi menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan AS.

Dalam cuaca mendung di ibu negara, kelihatan beberapa helikopter polis berlegar di angkasa.

Selain Anwar, pemimpin Pakatan lain yang turut serta ialah pemimpin popular DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa.

3.40pm Anwar berucap kepada ribuan rakyat Malaysia setelah berjaya menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan itu.

Dalam masa yang sama, beberapa orang kelihatan membakar bendera Israel dan gambar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Dalam ucapannya Anwar berkata rakyat hari ini menunjukkan tentangan yang begitu hebat menentang kezaliman Israel.

"Saudara-saudara adalah pahlawan rakyat," kata anwar.

Katanya, dalam pertemuan dengan wakil kedutaan sebelum ini, beliau menegaskan mengutuk tindakan Israel tanpa tolak ansur.

"Amerika telah berlembut menyebabkan keganasan Israel. Kita minta Amerika mengekang kezaliman dan mendengar suara rakyat," katanya.

Anwar menjelaskan kedutaan Amerika berjanji akan membawa memorandum mereka ke Washington minggu depan.

3.50pm Kumpulan tersebut bersurai setelah mengutip kain rentang dan sampah yang dihasilkan.

Malaysiakini