Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, December 31, 2009

Mantan presiden, Gus Dur pulang ke rahmatullah - Malaysiakini

Mantan presiden Indonesia, Abdur Rahman Wahid meninggal dunia di Hospital Cipto Mangunkusumo, Jakarta petang ini di saat menerima kunjungan presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Setiausaha peribadi tokoh itu, yang juga dikenali Gus Dur, dilaporkan berkata cucu pengasas gerakan Nahdhatul Ulama (NU) itu mengembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 6.40 petang waktu Jakarta (7.40 malam Kuala Lumpur).

Gus Dur, presiden pertama selepas era kepemimpinan regim Golkar, meninggal dunia di depan Susilo, lapor laman web Liputan 6 SCTV.

Allahyarham menggantikan BJ Habibie yang menggantikan presiden Soeharto, yang dianggap memerintah dengan gaya autokratik, setelah ditumbangkan gerakan reformasi pada 1998.

Gus Dur, yang turut berpengaruh di kalangan ahli politik dan aktivis Malaysia, memperkenalkan beberapa undang-undang yang memungkinkan permulaan era lebih terbuka dan demokratik di republik itu.

Tokoh agama yang disegani ramai dan pejuang hak asasi itu dirawat di hospital berkenaan sejak Jumaat lalu.

Malaysiakini

Wednesday, December 30, 2009

Shamsul : SPRM Jangan Guna Alasan Lama - TVS

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menggunakan alasan lapuk bagi mengelak melaksanakan tanggungjawabnya berhubung kes penyiasat persendirian P. Balasubramaniam.
SPRM hari ini dipetik berkata Bala perlu tampil memberi kenyataan kepada badan itu berhubung dakwaan pembabitan kerabat keluarga Perdana Menteri Najib Razak berhubung kes Altantuya Sharibuu.

Kenyataan itu mengejutkan kerana Bala sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan SPRM. Beliau hanya meletakkan syarat mahukan soal siasat itu dijalankan di luar negara kerana bimbangkan keselamatannya jika kembali ke Malaysia.

“ Saya mendesak SPRM jangan berhelah dan menggunakan tektik yang lama. Iaitu mengalih tumpuan dengan memberikan alasan-alasan yang kosong dan tidak munasabah”.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor sebagai respon daripada kenyataan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull.

Bala sebelum ini membuat kenyataan kepada peguamnya bahawa beliau disogok wang dan diugut oleh adik Najib dan kenalan rapat isteri Perdana Menteri supaya menafikan sebarang hubungan antara Altantuya dan Najib.

Bala adalah penyiasat persendirian yang diupah Razak Baginda pada tahun 2006 untuk membayangi Altantuya ketika warga Mongolia itu berada di Malaysia.

Razak, kenalan rapat Najib, dituduh bersubahat dengan dua pegawai polis membunuh Altantuya. Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh mahkamah.

Menurut Shamsul, SPRM tidak perlu mencipta pelbagai alasan bagi melengahkan kes tersebut sedang SPRM telah menerima surat daripada peguam Bala, Americk Sidhu.

“ Sepanjang pengetahuan saya, Americk Sidhu telah pun menulis surat bahawa beliau sedia membawa Bala dan sepatutnya perkara ini menuntut satu jawapan daripada SPRM. Dan bukannya komen sebegitu” tambahnya lagi.

Shamsul kesal kerana SPRM tidak mahu berdepan dengan Bala atau menyiasat dakwaannya terhadap pembabitan isteri Perdana Menteri Nazeem Razak dan penjual permaidani Deepak Jaikishnan.

“ Malah saya pertikai mengapa sehingga sekarang, saksi-saksi seperti Deepak, seperti Nazeem Razak dan Rosmah Mansor, kalau boleh kita gunakan kerana dalam CD tersebut namanya disebut, tetapi tidak dipanggil”.

Bala sebelum ini mendakwa beliau ditawarkan rasuah 5 juta ringgit dan diugut meninggalkan Malaysia selain menafikan Perdana menteri mempunyai sebarang hubungan dengan Perdana Menteri yang ketika itu menteri pertahanan.

TVS

Kancil Robots for Univeristy Malaysia Pahang - paultan.org


First glance at the title of this story and you may think students from UMP have developed transforming robots based on the Perodua Kancil, depending on what kind of vivid imagination you have. What has happened here is that Perodua has actually donated the robots used on the Kancil’s assembly line to UMP.

The Perodua Kancil was finally phased out in July this year and to replace it, Perodua introduced the cheapest Viva BX model. These 13 robots donated to UMP were used by Perodua over the 12 year period of Kancil manufacturing, and a total of around 590,000 units were churned out during that time. The robots were used as automated welders.

Perodua will also be training UMP technicians on how to operate and maintain these robots. The robots will be used in UMP’s Manufacturing Engineering Faculty and it is estimated that an average of 200 students per academic year will benefit from the utilisation of the robots.

“Students will be able to learn – first hand – the operations of these robots and they can take this knowledge and apply it in any automotive company or any other relevant industry as they see fit. Our hope is that they take this opportunity to learn as much as they can to prepare themselves in the ever demanding job environment,” said soon retiring Perodua managing director Datuk Syed Hafiz.

paultan.org

Tuesday, December 29, 2009

MB bukan Melayu: K'tan sedia pinda perlembagaan - Malaysiakini

Kerajaan PAS Kelantan sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama
Islam menjadi menteri besar negeri itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendak Islam seperti diperkenalkan PAS sejak memerintah Kelantan pada 1990.

"Undang-undang Kelantan itu lain kerana ia dibuat pada zaman itu. Benda itu boleh diubah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas kenyataannya yang akan menyokong mana-mana calon bukan Melayu menjadi menteri besar selepas beliau asalkan orang itu beragama Islam.

Beliau berkata mengikut dasar Islam sendiri, asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya, mereka layak untuk dijadikan pemimpin.

"Itu sebabnya kita jangan berpegang kepada bangsa sebaliknya berpegang kepada mereka yang mengamalkan ajaran Islam, barulah Islam itu dihormati.

"Langkah ini (melantik bukan Melayu) menjadi menteri besar sudah tentu Islam itu sendiri akan dihormati dan lebih ramai yang menjadikan Islam sebagai pegangan agama," katanya.

Ketika menyentuh perkara yang sama dalam ucapannya, Nik Aziz berkata beliau sendiri akan mencadangkan mana-mana pemimpin bukan Melayu beragama Islam yang layak untuk menjadi penggantinya. BERNAMA

Malaysiakini

Kes liwat: Rakan Anwar gagal padamkan penghakiman - Malaysiakini

Dr Munawar Ahmad Anees, bekas penulis ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gagal dalam cubaannya supaya dipadamkan sebahagian daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat membabitkannya.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Raus Md Sharif, sebulat suara bersetuju menolak permohonan supaya diadakan semakan semula untuk membenarkan rayuannya bertarikh 17 Disember 2008 terhadap pensabitan dan hukuman penjara enam bulan berhubung kes liwat itu.

Munawar dan peguamnya Manjeet Singh Dhillon tidak hadir di mahkamah hari ini, manakala timbalan pendakwa raya Awang Armadajaya Awang Mahmud merupakan satu-satunya pihak yang hadir.

Ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat, hakim Raus berkata, mahkamah mendapati perenggan 20 hingga 26 dalam penghakiman sebelum ini bukanlah sesuatu yang direka.

"Adalah jelas bahawa apa yang dinyatakan oleh mahkamah ini dalam perenggan 20 hingga 26 ada kaitan dengan sesuatu yang dihujah oleh semua pihak.

"Oleh itu, tidak ada apa salahnya bagi mahkamah ini untuk memberikan pendapatnya berhubung persoalan yang dibentangkan di hadapannya," kata Hakim Raus.

Dalam kes ini, katanya, mahkamah tidak nampak sebarang sebab untuk menggunakan kuasanya bagi menyemak semula keputusannya sendiri.

Beliau berkata hanya dalam kes-kes terhad dan luar biasa, mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak semula keputusannya umpamanya jika keputusan itu dibuat berasaskan penipuan atau penyembunyian keterangan penting.

"Dalam kes ini, tidak berlaku perkara seperti yang disebut di atas," katanya.

Munawar, 61, telah menjalani hukuman penjara enam bulan pada 1998 selepas beliau mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen kerana membenarkan Anwar meliwatnya di rumah Anwar di Jalan Setia Murni di Bukit Damansara pada Mac 1993.

Beliau kemudian mencabar keputusan mahkamah itu bagi membersihkan namanya, dengan mendakwa dia dipujuk supaya mengaku bersalah terhadap tuduhan itu. BERNAMA

Malaysiakini

Thursday, December 24, 2009

Mahathir: Siasat juga RM270 bilion zaman Pak Lah - Malaysiakini

Tidak cukup mempertahankan dirinya, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyalahkan seorang lagi mantan perdana menteri berhubung isu salah guna wang negara seperti didakwa dalam sebuah buku terbaru.

Mengulas dakwaan beliau menghanguskan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pentadbirannya, Dr Mahathir meminta kerajaan turut menyiasat penggunaan wang RM270 bilion sepanjang lima tahun kepemimpinan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kelmarin, pelopor Wawasan 2020 mencabar kerajaan agar menubuhkan suruhanjaya bebas menyiasat dakwaan terhadapnya yang dimuatkan dalam buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, karangan Barry Wain.

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata syarikat petroleum negara Petronas hanya menyerahkan wang RM126 bilion kepada kerajaan sepanjang kekuasaannya tetapi RM270 bilion semasa dipimpin Abdullah, yang popular dipanggil Pak Lah.

Malaysiakini

Anwar saman Dr M: Keputusan telah dirancang? - Malaysiakini

Apakah bekas ketua hakim negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim ada memainkan peranan dalam keputusan penghakiman kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi dua tahun lalu?

Persoalan ini timbul ekoran dakwaaan dalam sepucuk surat tanpa identiti pengirimnya bahawa pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi, Tengku Maimun Tuan Mat, telah menggugurkan saman Anwar itu selepas menemui Ahmad Fairuz beberapa kali sebelum mengumumkan penghakimannya.

Hakim-hakim terikat dengan kod etika yang ketat dan mesti tidak memihak dalam penghakiman mereka, dan tidak boleh tunduk kepada tekanan pihak eksekutif, penggubal undang-undang atau para pegawai kanan badan kehakiman.

Seandainya wujud kebenaran dalam dakwaan tersebut, maka badan kehakiman akan sekali lagi berdepan dengan keaiban.

Malaysiakini difahamkan bahawa satu aduan telah dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah atau BPR (kini Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pada 2007 sejurus selepas Tengku Maimun menyampaikan penghakimannya dalam kes tersebut.

Dakwaan dalam surat yang dihantar kepada BPR itu turut disampaikan kepada pihak kehakiman dan pihak berkuasa, yang mendakwa Tengku Maimun beberapa kali membincangkan perkara itu dengan Ahmad Fairuz.

Dakwaan itu antaranta Ahmad Fairuz telah memberitahu Tengku Maimun "bagaimana hendak membuat keputusan" dalam kes tersebut.

Anwar telah memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir ekoran komennya dalam satu persidangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), berhubung isu perilaku seks pemimpin pembangkang itu.

Peguam VK Lingam - yang dikaitkan dalam klip video skandal pengaturan hakim - mewakili Dr Mahathir dalam kes tersebut.

Malaysiakini

Kajian pinda ISA libatkan lima isu utama - Malaysiakini

Kajian ke arah meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengambil kira lima isu pokok dan rang undang-undang pindaannya akan dibahaskan pada sidang akan datang Dewan Rakyat, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Lima perkara asas itu: kuasa-kuasa menteri yang terlalu luas, tempoh tahanan yang berpanjangan setiap dua tahun, hak dan layanan terhadap orang tahanan, tanggapan negatif bahawa akta kontroversi itu bagi tujuan politik dan juga isu penahanan tanpa perbicaraan mahkamah.

Menteri dalam negeri juga berkata, selain lima perkara itu, jawatankuasa teknikal pindaan ISA turut membuat perbandingan dengan undang-undang yang diamalkan di negara-negara lain, lapor Bernama.

Hishammuddin menambah, rang pindaan itu tidak dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini, yang berakhir 17 Disember lalu, kerana tidak sempat dibahaskan.

"Sememangnya menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk membentangkan sebarang pindaan ISA di Parlimen dengan kadar segera apabila semua aspek kajian dan prosedur berkaitan telah dipatuhi dan diyakini," beliau dipetik berkata dalam satu kenyataan hari ini.

"Bagaimanapun, saya merasakan bahawa pindaan ini lebih sesuai dibentangkan dan dibahaskan terus pada sidang Dewan Rakyat akan datang."

Menurut agensi berita itu lagi, beliau berkata, pertemuan awam telah berlangsung dengan jayanya serta terdapat permintaan daripada ahli-ahli parlimen pembangkang agar mereka turut dilibatkan dalam pertemuan awam seterusnya.

"Permintaan ini disuarakan kepada saya ketika penggulungan Bajet 2010 kementerian pada 10 November lalu.

"Malah, permintaan badan-badan NGO untuk mengadakan sesi-sesi penerangan dan perbincangan awam untuk mendapat respons juga perlu diberikan perhatian dan ruang masa secukupnya," kata Hishammuddin.

Tambahnya, hasil sesi pertemuan awam dan perbincangan bersama kumpulan fokus, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-undang sedang di peringkat akhir untuk meneliti setiap pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan semasa sesi tersebut sebelum sebarang pindaan dibentangkan di Parlimen.

Sebagai undang-undang pencegahan yang sangat penting, katanya, sebarang penggubalan atau pindaan ISA memerlukan kajian dan penelitian terbaik.

Malaysiakini

PR bantah kadar baru lesen perniagaan - SH



ALOR GAJAH – Pakatan Rakyat (PR) negeri membantah pelaksanaan struktur baru kadar bayaran lesen perniagaan 2010 membabitkan peniaga kecil dan penjaja oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di sini, semalam.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) negeri, Tey Kok Kiew berkata, tindakan MPAG itu membebankan golongan berkenaan.

Menurut beliau, pengurangan kadar bayaran lesen perniagaan sebanyak 50 peratus tidak memberi impak positif kepada peniaga kecil dan penjaja kerana kini, mereka dikenakan bayaran bagi setiap kategori barangan yang dijual.

``Contohnya, peniaga atau penjaja yang menjual nasi lemak dan kuih-muih dikehendaki membayar lesen untuk dua kategori berasingan.


``Setiap kategori dikenakan bayaran lesen RM18. Sebelum ini, peniaga kecil dan penjaja hanya perlu membayar RM36 untuk lesen perniagaan, tanpa mengira bilangan kategori produk,” katanya di sini, semalam.

Sebelum itu, Tey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Banda Hilir mengemukakan memorandum bantahan penstrukturan semula kadar bayaran lesen perniagaan kepada MPAG.

Hadir sama Ketua Angkatan Muda Keadilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Hairiz Nordin dan Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Kamarudin Sidek.

Tey berkata, dalam suasana kelembapan ekonomi dewasa ini, MPAG sewajarnya bersikap lebih prihatin dengan kebajikan golongan peniaga kecil dan penjaja.

``Tindakan MPAG itu tidak selaras dengan konsep Satu Malaysia iaitu `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

``Saya percaya ia lebih tepat dengan konsep `Rakyat Didahulukan, Peniaga Disengsarakan’,” kata beliau.

Justeru, tegasnya, MPAG diminta menyelaraskan bayaran lesen perniagaan untuk peniaga kecil dan penjaja mengikut kadar asal di samping mengekalkan diskaun 50 peratus seperti disarankan kerajaan.

Selain itu, menurut Tey, PR negeri menuntut MPAG mengenakan satu bayaran lesen perniagaan sahaja untuk penjaja pasar malam dan pasar tani.

PMR: 28,188 Pelajar Peroleh Semua A - mStar

PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar memperolehi A bagi semua mata pelajaran dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini berbanding 26,378 bagi tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pencapaian cemerlang itu dengan A bagi setiap mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.41 peratus.

Menurutnya, seramai 281,781 calon PMR pada tahun ini memperolehi sekurang-kurangnya gred D bagi semua mata pelajaran berbanding 278,767 calon pada tahun lalu.

"Seramai 397 calon mendapat E untuk semua mata pelajaran berbanding 440 calon pada tahun lalu. Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR 2009 dalam 16 mata pelajaran adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

"Nilai Gred Purata Nasional (GPN) pula meningkat dari 2.83 pada tahun 2008 kepada 2.78 (2009) tahun ini. Nilai GPN yang lebih kecil adalah lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan analisis keputusan PMR 2009 di bilik mesyuarat Kementerian Pelajaran, hari ini.

Calon-calon PMR diukur daripada empat indikator iaitu, pencapaian cemerlang (semua A), pencapaian yang baik (minimum D), pencapaian sangat lemah (semua E) dan pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional(GPN).

Sementara itu, Alimuddin memberitahu, jurang perbezaan pencapaian antara calon bandar dan luar bandar pada keseluruhannya semakin rapat.

Jelasnya, nilai GPN calon bandar meningkat dari 2.72 kepada 2.68 manakala calon luar bandar dari 3.02 kepada 2.97.

"Bilangan calon bandar yang mendapat semua A meningkat daripada 7.86 peratus kepada 8.31 peratus manakala calon luar bandar meningkat dari 2.75 peratus kepada 3.09 peratus," ujarnya.

Bagi calon istimewa yang mengalami rabun serta pendengaran pula, Alimuddin berkata, seramai tujuh calon mendapat semua A.

Berhubung dari segi prestasi mata pelajaran, beliau menjelaskan kesemua mata pelajaran menunjukkan sama ada tiada perubahan atau meningkat sedikit kecuali mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi.

"Diukur dari Gred Purata Mata Pelajaran, Bahasa Melayu menurun dari 2.40 kepada 2.42, Bahasa Inggeris turun dari 3.21 kepada 3.25 dan Bahasa Punjabi turun dari 1.70 kepada 2.02," katanya.

Dalam pada itu, Alimuddin memberitahu, seramai 12 calon Sekolah Seni Malaysia memperolehi gred A bagi semua mata pelajaran teras yang diduduki dalam PMR tahun ini.

Kementerian Pelajaran buat julung kali memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Kesenian dalam PMR tahun ini.

Calon yang mengambil mata pelajaran tersebut mulai tingkatan satu pada tahun 2007 belajar di Sekolah Seni Johor Bahru dan Sekolah Seni Kuching.

Empat bidang kesenian yang ditawarkan ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.

"Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi dari segi peratusan bilangan memperoleh Band 4 (tertinggi), diikuti Muzik, Seni Visual dan Tari," katanya.

Sejumlah 475,182 calon yang menduduki PMR tahun ini. Daripada jumlah itu, 442,611 (93.1 peratus) adalah calon daripada sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.

Manakala 4,150 pelajar (0.9 peratus) adalah calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 13,234 (2.8 peratus) calon sekolah swasta, 13,561 calon sekolah agama tadbiran kerajaan negeri (2.9 peratus), 1,288 calon (0.2 peratus) sekolah agama rakyat dan 333 calon (0.1 peratus) persendirian.

mStar

Wednesday, December 23, 2009

Semua Pelajar Malaysia Selamat Dalam Gempa Di Padang - mStar

JAKARTA: Kesemua 75 pelajar perubatan Malaysia selamat dalam kejadian gempa bumi terbaru berkekuatan 6.1 pada skala Richter (SR) di Padang, Sumatera Barat pagi ini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata, beliau telah menghubungi para pemimpin pelajar Malaysia di Universitas Andalas di sana dan mendapat pengesahan bahawa semua pelajar yang masih berada di Padang berada dalam selamat.

"Kita ada 75 pelajar di sana sekarang manakala bakinya kira-kira 70 orang lagi sedang bercuti di Malaysia. Mereka masih berada di rumah ketika kejadian dan sempat menyelamatkan diri ke luar rumah setelah merasakan goyangan gempa yang agak kuat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, semua pelajar itu meneruskan kuliah dan latihan praktikal mereka seperti biasa hari ini kerana tidak ada kerosakan harta benda akibat kejadian itu.

Data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, gempa itu terjadi pada pukul 8.11 pagi dengan pusatnya di kedalaman 10 km pada lokasi kira-kira 56km ke tenggara Pulau Siberut-Mentawai.

Gempa susulan yang berkekuatan 5.3 pada skala richter pula berlaku pada pukul 8.47 pagi di kedalaman 25 kilometer pada lokasi 46 kilometer ke tenggara Pulau Siberut-Mentawai.

Bagaimanapun, menurut BKMG, kedua-dua gempa bumi itu tidak menimbulkan ancaman tsunami.

Gempa bumi itu terjadi kira-kira tiga bulan selepas gempa bumi besar berkekuatan 7.9 pada skala richter menggegarkan Kota Padang, yang mengakibatkan Malaysia terpaksa menggunakan helikopter tentera bagi membawa pulang lebih 300 pelajar perubatan dari sana.

Sementara itu, media massa tempatan melaporkan gempa pagi ini sempat mengakibatkan rasa panik di kalangan penduduk terutama di Kota Padang yang bertempiaran keluar meninggalkan rumah dan bangunan kerana takut terjadi runtuhan.

Bagaimanapun, sehingga tengah hari ini tiada laporan mengenai sebarang kerosakan harta benda. - BERNAMA

mStar

Isu Pindah Kubur Hindu Selesai: Azizan - mStar

ALOR SETAR: Isu pemindahan kubur Hindu di tapak kampus Kolej Universiti Insaniah, di Ladang Batu Pekaka, Kuala Ketil dekat sini, dianggap selesai selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan waris serta persatuan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, lebih 100 kubur selesai dipindahkan dan kerja pembinaan kampus berkenaan kini diteruskan dan dijangka siap menjelang 2012.

"Kes ini sudah selesai walaupun peringkat awal ada salah faham. Kita telah memberi penerangan kepada persatuan Hindu Sangam dan mereka dah faham," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kubur berkenaan dipindahkan ke kawasan baru yang terletak empat kilometer dari tapak lama dan setiap waris yang terbabit dibayar RM3,000.

"Kerajaan negeri turut menyediakan sebidang tanah seluas satu hektar bernilai RM500,000, untuk masyarakat India di kawasan berkenaan bagi pembinaan dewan orang ramai," kata Azizan.

Baru-baru ini, kekecohan berlaku apabila lebih 300 penduduk termasuk waris kepada ahli keluarga mereka yang dikebumikan di tanah perkuburan itu, membantah pemindahan kubur itu kerana mendakwa tanah perkuburan seluas 0.8 hektar itu, merupakan sumbangan seorang pemilik ladang kepada pekerja ladang di kawasan berkenaan.

Mengenai satu perkara lain, Azizan berkata, penswastaan pengurusan bekalan air yang akan diuruskan Syarikat Air Darul Aman (Sada) di negeri ini, akan bermula Januari tahun depan.

Beliau berkata, Sada kini dalam proses membuat tawaran kepada kakitangan Jabatan Bekalan Air sama ada ingin terus berkhidmat dengan syarikat baru itu atau berhenti secara pilihan.

"Ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan juga telah dilantik dan namanya akan diumumkan kemudian," kata Azizan.

Mengenai kadar baru yang bakal dikenakan, beliau berkata, ia terpulang kepada pengurusan baru, mungkin ada penambahan (kenaikan), tapi harap tidak membebankan rakyat dan kerajaan negeri. - BERNAMA

mStar

Skim Khairat Kematian Untuk Semua Kaum Di Kedah - mStar

ALOR SETAR: Skim bantuan khairat kematian atau Kifalah kepada rakyat miskin semua kaum di Kedah akan diperkenalkan bermula Januari tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, mereka yang layak akan menerima RM500 tetapi mereka perlu terlebih dahulu didaftar dalam senarai e-Sinar iaitu senarai rakyat miskin kerajaan negeri.

"Skim kifalah diperkenalkan untuk membantu meringankan beban golongan miskin terutama bagi menguruskan jenazah sekiranya terdapat anggota keluarga mereka seperti ibu, bapa atau anak mereka meninggal dunia.

"Bantuan akan diberikan berdasarkan laporan penghulu dan wakil rakyat serta senarai e-Sinar, sebab kalau tidak, semua orang akan mengaku dia susah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Azizan berkata, satu unit khas di bawah perbendaharaan negeri akan ditubuhkan bagi menguruskan pelaksanaan skim berkenaan. - BERNAMA

mStar

Nasib Hassan Ali Ditentukan Malam Ini - mStar

PETALING JAYA: Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat yang akan bermesyuarat malam ini bakal menentukan nasib Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohd. Ali berhubung dakwaan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Pengerusinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, beliau berharap isu berhubung siasatan berkenaan tidak diperbesarkan bagi menjaga maruah dan kepentingan parti.

"Insya-Allah kami akan bermesyuarat malam ini bagi meneliti dokumen-dokumen yang berkaitan dalam siasatan ini.

"Kami akan sama-sama mengkaji semua butiran yang ada dengan teliti bagi memastikan keadilan diberikan kepada semua pihak," katanya ketika ditemui mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkembangan terkini siasatan yang dijalankan pihaknya ke atas beberapa pemimpin PAS Selangor.

Menurut beliau jawatankuasanya akan mengadakan mesyuarat pada pukul 9 malam ini di Ibu Pejabat PAS Pusat.

Jawatankuasa disiplin berkenaan dianggotai lima orang ahli.

Selain itu Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dengan telus bagi memastikan keadilan untuk semua pihak.

Malah jelasnya, siasatan yang adil juga akan mencerminkan imej dan maruah parti.

"Saya harap semua pihak bersabar, jangan buat sebarang andaian kerana kami berjanji akan menjalankan siasatan dengan adil dan telus.

"Kita harus ingat, apa jua tindakan dan keputusan badan disiplin ini akan mencerminkan maruah parti," katanya.

Menurutnya jika Hassan dan beberapa pemimpin lain yang disiasat itu didapati bersalah, mereka masih mempunyai peluang untuk memberikan penjelasan dan membela diri.

"Terpulang kepada hasil siasatan nanti, setakat ini hanya diperingkat pertuduhan, kalau benar-benar ada kes nanti baru kita akan panggil Datuk Hassan dan yang lain-lain itu untuk memberikan keterangan," katanya.

mStar

'Raja Nazrin arah guna senarai asal' - Malaysiakini

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan berkata beliau telah menerima arahan dari Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah supaya membuat pelantikan jawatankuasa masjid dalam mukim Slim berdasarkan senarai asal yang dipersetujui sebelum ini.

Raja Dr Nazrin juga merupakan yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak.

Berikutan itu, beliau telah mengarahkan pegawai tadbir agama (PTA) daerah berkenaan supaya mengeluarkan surat pelantikan secepat mungkin.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Yeop Junior berkata beliau berharap majlis penyerahan watikah pelantikan tersebut dapat disempurnakan sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, senarai yang dipersetujui itu adalah bertarikh 2 Ogos 2009.

"Senarai yang dipinda itu tidak diterima," katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini isu berkenaan.

Sebelum ini, majlis penyerahan watikah pelantikan itu ditangguhkan ekoran timbulnya dakwaan bahawa Jabatan Agama Islam Perak telah menukar senarai jawatankuasa beberapa masjid di negeri itu dengan memasukkan nama penyokong PAS.

Perkara itu dibangkitkan oleh ADUN Slim Datuk Khusairi Abdul Talib minggu lalu yang mendakwa perbuatan itu 'tidak beretika dan membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh Raja Dr Nazrin'.

Beliau mendakwa antara masjid dalam mukim Slim yang dikesan terlibat adalah Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Kampung Kelan, Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Masjid Jamek Slim Village, Masjid Jamek Kampung Balun, Masjid Jamek Kampung Pasir dan Masjid Jamek Kampung Rasau, manakala dalam mukim Hulu Bernam pula, ia melibatkan Masjid Behrang 2020, Masjid Jamek Tanjung Malim, Masjid Jamek Kampung Sungai Dara dan Masjid Jamek Behrang Stesen.

Malaysiakini

Yusuf Qardhawi Rujuk Penangguhan Kes Qazaf Anwar Ibrahim Ke Perhatian Dunia Islam - TVS

Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi berjanji akan membawa isu fitnah liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ke persada antarabangsa untuk diselesaikan secara syarie.

Justeru, tokoh Islam terkemuka itu akan menggunakan pengaruh beliau untuk bertemu dengan organisasi Islam antarabangsa dan pemimpin Islam terkenal diseluruh dunia dalam masa terdekat.

“Hingga ini kes itu kata syeikh qardawi hendaklah diangkat dengan lebih kuat dan luas seantero dunia supaya datuk seri anwar terbela.

“Dari segi syarak dan digerakkan wadah-wadah antarabangsa seperti kesatuan ulama islam sedunia, dan juga untuk di kemukakan dengan lebih luas untuk sama-sama bekerjasama menyelesaikan kes fitnah anwar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi pertemuan khas Yusuf bersama Anwar Ibrahim di Putrajaya, semalam.

Menurut Dr Muhammad Nur lagi sekiranya kes qazaf yang difailkan Anwar pada Julai 2008 terus dilengahkan ini akan menjejaskan imej serta martabat Malaysia di mata ummah.

Ini kerana keadilan yang ditangguhkan adalah satu bentuk kezaliman, dan seorang Muslim berhak untuk membela diri di muka pengadilan.

“Pendirian Syeikh Qardawi begitu tegas, dan hendaklah mengikut prinsip al-quran dan sunnah dengan menggunakan prosedur-prosedur.

“Anwar mempunyai hak syarak untuk mempertahankan dirinya bagi menjawab tuduhan fitnah yang tidak berasas ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin berkata Sheikh Al-Qaradawi berasa hairan mengapa pemerintah melengah-lengahkan kes qazaf tersebut.

Zulkifli berkata KEADILAN akan menghantar satu delegasi untuk mengadakan perbincangan secepat mungkin dengan Kesatuan Ulama Islam Sedunia untuk membincangkan kemelut Qazaf ini.

“Dia juga nasihatkan bawa isu ini ke pringkat pentas antarabangsa, isu ini besar kerana membabitkan orang yang dikenali, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali di pentas antarabangsa sebagai tokoh pejuang Islam, macamana boleh dikenakan pertuduhan sebegitu rupa, sepatutnya tak dilengah-lengahkan,” katanya.

TVS

Tuesday, December 22, 2009

Pendaftaran Pakatan Rakyat Akan Mengambil Masa - mStar

SHAH ALAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pendaftaran Pakatan Rakyat (PR) sebagai parti komponen rasmi akan mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, pakatan itu kini memiliki formula tersendiri yang kolektif dan pendirian yang sama.

“Akan ambil masa lama sikit untuk mendaftarkan pakatan ini," katanya di sini hari ini ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar bahasa Cina yang memetik Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak berminat untuk menjadikan pakatan pembangkang secara rasmi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Anugerah Demokrasi 2008 daripada Persatuan Perunding Politik Antarabangsa (IAPC).

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tanpa mengulas panjang kenyataan Abdul Hadi itu, Anwar berkata, beberpa dokumen diperlukan untuk proses pendaftaran secara rasmi seperti yang diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, anugerah itu bukan miliknya semata-mata sebaliknya untuk merka dan bersamanya berkongsi idea serta visi.

Kelmarin, pakatan pembangkang meluluskan empat dasar utama pada pada konvensyen pertama mereka di sini.

Empat dasar berkenaan ialah mengamalkan prinsip demokrasi telus dan tulen, memacu ekonomi berprestij tinggi, mapan dan adil, keadilan sosial dan pembangunan insan dan bagi memantapkan hubungan persekutuan, negeri dan dasar luar negara.

Ia diluluskan sebulat suara oleh kira-kita 1,500 perwakilan yang terdiri daripada wakil setiap komponen PR.

mStar

Dakwat Kekal Yang Tidak Diguna PRU Ke-12 Sudah Dilupuskan - mStar

KUALA LUMPUR: Dakwat kekal yang dibeli untuk kegunaan Pilihan Raya Umum ke-12 lepas telah dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan Peraturan Kerajaan iaitu melalui proses pembakaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, dakwat yang tidak dapat digunakan kerana masalah keselamatan dan perundangan itu telah dilupus pada 25 November lepas.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengenai keputusan yang dibuat terhadap dakwat kekal yang telah dibeli dan kemudian mahu dijual semula sehingga tarikh luputnya sudah berlalu.

Ketika menjawab soalan lain mengenai tindakan yang diambil terhadap inkues yang belum dijalankan atau tertangguh, Liew berkata kes-kes inkues berkenaan kebanyakannya disebabkan masalah saksi tidak dapat hadir perbicaraan ataupun saksi tidak dapat dikesan.

"Tiada tindakan spesifik yang dilakukan untuk mempercepatkan kes inkues melainkan mengeluarkan waran tangkap terhadap saksi yang gagal hadir ke mahkamah walaupun telah disapina," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tunku Abdul Aziz di Dewan Negara di sini hari ini. - BERNAMA

mStar

Selain enjin pesawat, peralatan lain turut lesap - Malaysiakini

Selain dua buah enjin pesawat tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang, peralatan lain yang berkaitan turut lesap, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan akan mengambil tindakan terhadap pegawai atasan dalam perkhidmatan itu yang bertanggungjawab ketika kes itu berlaku.

Satu mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu itu serta mengambil tindakan ke atas pegawai atasan tersebut, katanya.

"Hasil mesyuarat akan diberikan kepada saya selaku pengerusi untuk ulasan," katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan untuk Keselamatan Sosial Maldives Ameen Faisal di ibunegara.

Menurutnya, selain empat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan terlibat dengan kes itu, pihaknya turut mengenal pasti beberapa orang lagi dalam ATM yang terlibat.

"Kami telah menempatkan mereka di tempat tertentu dalam perkhidmatan serta telah mengambil tindakan terhadap mereka. Mereka masih berkhidmat dalam ATM kerana kita sedang menunggu siasatan dari aspek perundangan Angkatan Tentera," katanya.

Ahmad Zahid berkata mereka yang ditahan itu merupakan pegawai bawahan lain-lain Pangkat (LLP) di Lembah Klang yang turut mempunyai rangkaian di Butterworth.

Beliau berkata sebuah syarikat pembeli enjin pesawat yang berada di ibunegara dan mempunyai cawangan di negara jiran turut disiasat.

Siasatan menyeluruh

"Penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan saya tidak fikir syarikat penyelenggara pesawat itu terlibat secara langsung kerana ia melibatkan sebuah syarikat pembeli yang berpangkalan di sini dan mempunyai cawangan di negara jiran.

"Saya fikir syarikat itu mempunyai rangkaian di peringkat antarabangsa. Enjin dan peralatan ini dipercayai dihantar ke negara Amerika Selatan," katanya.

Beliau berkata kehilangan peralatan itu tidak boleh diterima langsung walaupun perkara seperti itu pernah berlaku di beberapa negara luar.

"Pengkhianat, penderhaka berada di mana-mana. Kementerian Pertahanan bukan sahaja menjalankan siasatan dalaman tetapi sebagaimana yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, kita telah menyerahkan kes ini kepada polis 100 peratus.

"Pejabat Peguam Negara pun sudah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan yang diperlengkapkan dengan beberapa aspek perundangan harus dibuka kepada umum melalui tindakan mahkamah," katanya.

Ahmad Zahid berkata sistem rekod dan iventori semua perkhidmatan ATM cukup
kemas tetapi sekemas manapun sistem itu, pengkhianat negara mesti mencari jalan untuk membolosi semua peraturan yang sedia ada.

Beliau turut meminta bloggers tidak cuba untuk menyeleweng fakta dan memesongkan keadaan dengan pelbagai analisis dan spekulasi.

Katanya Perdana Menteri sendiri akan terus memantau hasil siasatan itu dan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap mereka yang bersalah serta akan diumumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai bagi memperlihatkan ketelusan kementerian.

Ahmad Zahid berkata kementerian telah meminta syarikat pengeluar peralatan itu memberi butir-butir spesifikasi dan teknikal enjin serta peralatan lain yang hilang dan dijangka menerimanya dalam masa terdekat.

Beliau berkata bagi mengelak perkara yang sama berulang, sistem penghantaran peralatan persawat untuk diperbaiki kini diperketatkan dan dipantau dengan lebih terperinci. - Bernama

Malaysiakini

Thursday, December 17, 2009

MB: Pakatan Rakyat Tidak Amal Kronisme Pemberian Kontrak - TVS

Dakwaan kronisma yang dilemparkan terhadap Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Selangor tidak berasas sama sekali dan berniat jahat, tegas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau menegaskan pemilihan kontraktor di peringkat pihak berkuasa tempatan dibuat secara telus tanpa unsur pilih kasih seperti yang mencemar institusi penjawat awam di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional lalu.

“Saya ingat perkara ini bukan aneh, sebab sebelum ini untuk ditandatangani borang-borang itu pula perlu ditandatangani oleh Adun-Adun ataupun Ahli Parlimen Barisan Nasional jadi saya mengarahkan mengikut alasan yang dibuat oleh Barisan Nasional dulu sebab alasan mereka ialah dia terpaksa gunakan Adun-Adun dan Ahli Parlimen itu sebab Adun-Adun itu lebih kenal dengan kerajaan negeri”, kata Khalid.

Golongan tertentu mempersoalkan prosedur yang menuntut boring pendaftaran kontraktor di peringkat PBT memerlukan sokongan Adun dan Ahli Parlimen.

Tan Sri Khalid berkata prosedur ini digunapakai hasil dari input yang diberikan pegawai-pegawai daerah dalam sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) September lalu.

Beliau menambah setiap Adun dan Ahli Parlimen sudahpun diberi peruntukan untuk menyediakan Pusat Khidmat Masyarakat masing-masing.

“Sekarang atas sebab itu, sebab yang diberikan oleh Barisan Nasional itu say gunakan sebab itu saya rasa munasabah dan semua borang-borang itu ditandatangani oleh Adun-Adun dan juga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat”, jelasnya lagi. - NIZAM

TVS

Anwar: Tiada salah faham dalam Pakatan - Malaysiakini

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan wujud silap faham antara parti Pakatan Rakyat berhubung isu pemilihan anggota majlis tempatan.

Menafikan dakwaan bahawa PAS dan DAP tidak bersetuju dengan isu berkenaan, beliau berkata mesyuarat selama tiga jam hari ini membincangkan butiran mengenai konvensyen parti Pakatan yang akan diadakan di Shah Alam pada Ahad dan isu-isu perbincangan.

"Tidak betul (untuk menyatakan wujud silap faham antara parti pakatan). Saya tidak tahu bagaimana timbul dakwaan wujud jurang perbezaan pendapat yang besar antara kami.

"Contohnya pada hari ini, kami fokus kepada mukadimah dan isu pemilihan majlis tempatan merupakan perkara yang dibincangkan pada mesyuarat lepas," kata Anwar kepada pemberita di lobi Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal parti Pakatan semalam.

"Tetapi anda tahu kedudukan setiap parti, seperti Islam pastinya PAS mempunyai lebih kekuatan manakala pendidikan Cina, DAP pula memiliki kelebihan.

"Jadi, kami akan mencari satu formula supaya ia menjadi satu polisi yang jelas," katanya. BERNAMA

Malaysiakini

Tian: RM600 ribu dikirim pada Rosmah di Dubai - Malaysiakini

Seorang individu yang tidak dikenal pasti didakwa telah menghantar RM600,000 melalui pengurup wang kepada Datin Seri Rosmah Mansor ketika isteri perdana menteri berada di Dubai, Ogos tahun lalu.

Menurut ahli parlimen PKR Tian Chua, beliau mempunyai dokumen yang membuktikan berlakunya transaksi yang melanggar undang-undang tersebut.

Beliau bagaimanapun, tidak tahu tujuan wang itu digunakan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini, Tian juga mendakwa bahawa dua tokoh korporat melakukan kesalahan yang sama.

Beliau mendakwa Datuk Abu Sahid Mohamad telah menghantar RM22.2 juta ke United Kingdom antara Jun dan Ogos 2008, melalui pengurup wang Salamath Ali. Ia didakwa untuk membeli hartanah.

Tian juga mendakwa ahli perniagaan Syed Mohammad Syed Nursin pula menghantar RM1.19 juta ke UK melalui Salamath Ali, juga untuk tujuan membeli hartanah.

Syed Mohammed adalah adik kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Tian berkata, beliau mempunyai salinan surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Bank Negara kepada pengurup tersebut, memintanya menjelaskan mengenai pengiriman wang secara haram itu.

Ahli parlimen Batu menggesa Bank Negara supaya menyiasat orang yang menghantar wang tersebut dan bukan hanya memfokuskan siasatan kepada pengurup terbabit sahaja.

Malaysiakini

Wednesday, December 16, 2009

Siasatan Bersama Tentukan Punca Letupan Pusat Beli-belah - mStar

MELAKA: Pihak berkuasa di sini akan menjalankan siasatan bersama bagi menentukan punca berlakunya letupan di sebuah rangkaian gedung beli belah Aeon Jusco di Bachang yang menyebabkan seorang penyelia kafe terbunuh manakala 20 lagi cedera termasuk enam parah Isnin lalu.

Siasatan berkenaan akan dibuat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Suruhanjaya Tenaga Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) yang akan menumpukan kepada kemungkinan berlakunya kebocoran gas serta kesilapan manusia hingga mengakibatkan berlakunya insiden berkenaan.

Bagaimanapun siasatan hanya boleh dijalankan selepas sistem perpaipan utama dalam bangunan berkenaan dibersihkan bagi mengelakkan berlakunya letupan kedua.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DOSH, Ir. Mohtar Musri berkata, bahagian medan selera yang terjejas akibat letupan berkenaan masih dikategorikan sebagai tidak selamat kerana silinya boleh runtuh pada bil-bila masa.

"Keutamaan kita ialah untuk menjamin keadaan keselamatan kawasan yang terlibat serta bagi memastikan ianya betul-betul selamat sebelum apa jua siasatan dijalankan.

"Buat masa ini masih terdapat gas yang terperangkap di dalam paip berkenaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Walaupun masih terlalu awal untuk menentukan punca kejadian itu, katanya siasatan awal mendapati letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas petroleum cecair (LPG) di salah sebuah restoran di medan selera tersebut.

"Gas daripada tangki disalurkan melalui paip untuk dibekalkan ke dapur.

"Mungkin terdapat kebocoran di mana-mana bahagian saluran pain berkenaan di kawasan memasak," katanya.

Tambah beliau, letupan berkenaan telah menyebabkan kerosakan enam daripada 20 buah restoran yang terdapat di medan selera berkenaan.

Sementara itu operasi mencari dan menyelamat oleh pihak bomba telah dilancarkan pada awal pagi ini bagi mencari kemungkinan terdapat tiga lagi mangsa berdasarkan penemuan kad pengenalan dalam runtuhan itu.

Dua daripada kad pengenalan berkenaan adalah milik warga tempatan manakala satu lagi kepunyaan seorang warga asing.

Pengarah Bomba negeri, Nik Zulkifli Ibrahim berkata, pihak berkuasa sedang mengesan dua orang pekerja tempatan terbabit iaitu Mahusin Jusoh dan Rominor Chikn serta seorang pekerja asing bernama Mominul Islam.

"Kami telah mencari di keseluruhan kawasan berkenaan termasuk kawasan runtuhan dan kawasan siling namun tidak menemui mereka.

"Mereka mungkin meninggalkan tempat kejadian selepas letupan itu berlaku dan kami berharap mereka tampil bagi membantu siasatan ini.

mStar

Tuesday, December 15, 2009

Nik Aziz sudi dilantik 'pemimpin rohani' Pakatan - Malaysiakini

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia dilantik sebagai 'pemimpin rohani' Pakatan Rakyat setelah gabungan parti pembangkang itu berjaya didaftarkan.

"Sekarang ini saya dilantik (sebagai) mursyidul am (PAS) oleh jawatankuasa agung (parti). Apa salahnya jika (dilantik) mursyidul am bagi Pakatan Rakyat, tidak ada apa (masalah)," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

"Hendak dengar (pandangan saya) terima kasih. Tidak (mahu) dengar, (kalau) kata tidak terima (cadangan saya), saya tanya balik, tidak terima kenapa?"

Nik Aziz diminta mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR yang ditugaskan untuk mengukuhkan Pakatan, yang mengesyorkan Nik Aziz dilantik sebagai "pemimpin rohani" Pakatan.


Menulis di blognya pada 17 November lalu, bekas menteri itu berkata, syor itu ditimbulkan kerana Pakatan memerlukan seorang seperti tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, yang tidak bercita-cita merebut jawatan perdana menteru, tetapi bergerak atas idealisme perjuangan.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, sekiranya dilantik memegang jawatan itu, beliau akan bersikap terbuka walaupun cadangan-cadangannya mungkin ditolak.

"Jangan pula orang tolak (cadangan), kita marah. Itu tidak Islamik. Saya acapkali kata, kalau awak tolak Islam dan kalau awak boleh bawa hujah yang kukuh, saya pun tidak mahu Islam.

"Tetapi awak tolak Islam tanpa ada hujah, hanya begitu-begitu sahaja, mana boleh saya terima?" katanya, Khamis lalu.

Ditanya sama ada jawatan tersebut akan menambahkan bebannya yang sedia ada, Nik Aziz berkata, tidak mengapa selagi "menambahkan pengikutnya".

"Saya lebih suka pimpin orang Cina yang berfikiran terbuka daripada pimpin orang Melayu yang tertutup fikiran," tambahnya.

Malaysiakini

Bala sedia temui SPRM, kaitkan adik PM - Malaysiakini

P Balasubramaniam, yang mendakwa keluarga perdana menteri memintanya membatalkan akuan bersumpah pertamanya, bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan syarat ia diadakan di luar negara.

Peguam penyiasat persendirian itu Americk Singh Sidhu juga meminta supaya suruhanjaya membayar kos penginapan, makanan dan perjalanan Balasubramaniam jika ia bersetuju mengambil keterangannya di London atau Singapura.

Keterangan Balasubramaniam, bekas anggota polis Cawangan Khas, haruslah direkodkan dalam bahasa Inggeris dan satu salinannya diserahkan kepada anak guamnya, sementara rakaman video siasatan tersebut pula diambil oleh pihak peguam tersebut.

Syarat-syarat itu dinyatakan dalam surat Americk kepada SPRM yang dihantar melalui emel 4 Disember lalu, seperti didedahkan oleh ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin di blognya hari ini.

Emel peguam itu dikirim sebagai susulan kenyataan Shamsul Iskandar kepada SPRM selepas membuat aduan berhubung pembabitan Datuk Mohamed Nazim Razak, 3 Disember lalu.

Pemimpin PKR itu, yang juga seorang peguam, berkata SPRM meminta pihaknya mencari Balasubramaniam untuk merekodkan kenyataannya.

Adik perdana menteri itu didakwa bertemu Balasubramaniam sebelum penyiasat itu menafikan akuan pertamanya yang mengaitkan Datuk Seri Najib Razak, waktu itu timbalan perdana menteri, mempunyai hubungan intim dengan Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang dibunuh pada 2006 - dakwaan yang dinafikan oleh Najib.

Mohamed Nazim pula, sewaktu terserempak dengan Malaysiakini Jumaat lalu, enggan mengulas dakwaan Balasubramaniam.

Malaysiakini

'Anak kecil main api' bakar sentimen kaum: PAS - Malaysiakini

Biro Tatanegara (BTN) tidak menyemai semangat patriotisme seperti dakwaan seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebaliknya sentimen perkauman mula tersebar selepas biro itu diwujudkan, kata seorang pemimpin PAS.

Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata pandangan Datuk Ahmad Maslan itu menafikan fakta sejarah bahawa masalah perkauman "menjadi begitu serius selepas BTN diwujudkan."

"Selain itu, peserta kalangan Melayu dan bumiputera dihasut supaya membenci kaum lain dengan lagu 'Anak kecil main api'.

"Jiwa perkauman dibakar dalam dada mereka dan mereka diingatkan agar sentiasa berwaspada kepada kaum-kaum lain.

"BTN juga mengasuh pesertanya agar membenci pemimpin-pemimpin yang tidak pro-Umno dan BN."

Beliau mengulas kenyataan Ahmad, juga sebagai ketua penerangan Umno, yang dilaporkan berkata negara ini sudah lama hancur jika benar BTN menyemai semangat perkauman seperti dituduh pemimpin-pemimpin pembangkang.

"Sebaliknya, negara ini baik dan bertambah kuat dari setahun ke setahun kerana ada BTN.

"Punca orang tidak bergaduh dalam negara ini kerana ada BTN," beliau, yang bertanggungjawab terhadap biro tersebut, dipetik berkata.

Biro bawah JPM itu mula menjadi perbahasan hangat selepas Selangor, yang diketuai Pakatan Rakyat, melarang kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya menyertai kursus BTN, 25 November lalu.

Larangan itu turut dilaksanakan di Pulau Pinang seminggu kemudian. Kelantan bagaimanapun hanya tidak menggalakkan kakitangannya berbuat demikian.

Mengulas lanjut kenyataan Ahmad itu, Idris berkata BTN berusaha menanam semangat cintakan Umno dengan menyebarkan rasa benci peserta terhadap parti-parti pembangkang.

"Pemimpin PAS dikatakan sesat, pemimpin PKR dituduh sebagai pencetus huru-hara, pemimpin DAP difitnah sebagai pelampau komunis dan (tuduhan) ini semua hanya berlaku dalam program BTN.

"Peserta diasuh menjadi pembenci dan hanya taat pada Umno," katanya.

Sebagai mempertahankan BTN, Ahmad dilaporkan menyifatkan tindakan berbuat demikian - seperti menayangkan rakaman video demonstrasi pembangkang - untuk menyemai semangat patriotisme.

Mengulas kenyataan tokoh popular DAP Lim Kit Siang berhubung tayangan klip video Hindraf dan demonstrasi pembangkang, pemimpin Umno itu dipetik berkata:

"Selain itu, BTN menceritakan dasar kerajaan sehingga boleh mengubah fikiran (mereka) yang tidak sukakan kerajaan dan tidak suka cerita tentang kontrak sosial."

Ahmad dilaporkan berkata lagi, desakan Lim itu "bukan isu besar" kerana tayangan video itu hanya satu bentuk selingan dalam usaha meniupkan semangat patriotisme.

"Kalau patriotik, tidak buat demonstrasi jalanan hingga boleh menghancurkan negara, kita tidak mahu rakyat buat perkara tidak elok.

"Jadi sebagai agensi kerajaan kita menceritakan dasar kerajaan, apakah itu salah," katanya seperti dilaporkan.

Menjawab isu tersebut, Idris berkata asuhan minda dalam kursus-kursus BTN menyebabkan orang Melayu dan bumiputera "tidak dapat berfikir dengan rasional" apabila mereka didedahkan fakta-fakta sebelah pihak sahaja, misalnya peristiwa darurat, tragedi Memali yang melibatkan pemimpin PAS, dan juga suasana politik selepas pilihan raya umum 1999 dan 2008.

Kononnya, kata Idris lagi, negara ini sudah dikuasai kaum Cina dan India apabila beberapa negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

"Bagi peserta Cina, India atau kaum-kaum lain, mereka diberikan modul yang berbeza dan didoktrinkan agar patuh kepada kerajaan yang memerintah dan diasuh supaya melihat parti-parti pembangkang sebagai musuh negara," katanya dalam satu kenyataan.

"Mereka diminta untuk menghormati ketuanan Melayu iaitu satu cerita dongeng yang sengaja direka oleh BTN bagi memastikan mereka sedar bahawa hanya orang Melayu sahaja yang layak memerintah negara ini."

"Pemikiran-pemikiran sesat ini menafikan segala hak dan kebebasan
rakyat untuk berfikir dengan wajar.

"Apabila mereka keluar dari kursus ini, perasaan curiga dan berhati-hati dengan kaum lain begitu tebal."

Tambahnya, masalah hubungan kaum itu yang mendorong slogan 1Malaysia seperti sedang dipromosikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Jika benar dakwaan ketua penerangan Umno bahawa negara ini makmur kerana BTN, bermakna beliau juga sudah menolak gagasan 1Malaysia yang Najib bentangkan.

"Tidak ada sebab 1Malaysia kena wujud jika rakyat sudah hidup aman, makmur dan harmoni," kata Idris lagi.

Malaysiakini

Anwar Dakwa BTN Tayangkan Rakaman Ucapannya Di Internet - mStar

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa Biro Tata Negara (BTN) telah menayangkan di Internet beberapa rakaman ucapannya pada sesi BTN.

Katanya BTN harus bertanggungjawab dan tidak harus memilih dalam menyiarkan ucapan tersebut.

BTN juga harus menyiarkan ucapan pemimpin Umno yang lain pada sesi BTN tersebut, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

"Saya akan mempertahankan kedudukan saya," katanya dan menjelaskan ucapan itu dibuat ketika beliau di dalam Umno.- BERNAMA

mStar

Monday, December 14, 2009

Penalis: Ketuanan Melayu 'projek politik' kekal kuasa - Malaysiakini

Konsep Ketuanan Melayu dan kontrak sosial adalah merupakan satu helah politik parti pemerintah untuk kekal berkuasa, kata naib presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

Katanya, jika adapun apa yang dipanggil kontrak sosial, ia tidak ada kena mengena dengan hak istimewa Melayu, tetapi ia merupakan rangka untuk melindungi rakyat.

Beliau berkata demikian dalam majlis forum bertajuk 'Mitos Ketuanan Melayu' anjuran Refsa (Research for Social Advancement) di ibunegara semalam.

Tiga lagi ahli panel ialah Noraini Othman' (UKM/Sister in Islam); pakar sejarah Malaysia, Clive Kessler dan ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Richard Yeoh.

Menurut Tunku Abdul Aziz, apa yang dianggap rakyat sebagai kontrak sosial adalah sebenarnya satu persefahaman antara pengasas kemerdekaan negara untuk 'tinggal bersama, kita mesti kerja bersama-sama".

Katanya, para pengasas tersebut merupakan golongan yang berfikiran liberal dan tidak pernah terfikir tentang hak keistimewaan orang Melayu.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara, masih belum menemui identitinya ekoran dasar-dasar yang tidak inklusif.

Menurutnya, identiti bersama itu boleh dicapai sekiranya rakyat merasakan mereka dilayan secara adil dalam dasar-dasar yang dilaksanakan dan mereka tidak merasakan bahawa Malaysia adalah tempat milik orang Melayu.

Konsept 1Malaysia 'kabur'

Ditanya sama ada konsep 1Malaysia itu bertujuan menangani isu perkongsian identiti, Tunku Abdul Aziz berkata, idea yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah kabur dan mendakwa perdana menteri sendiri gagal menjelaskannya.

Sebaliknya, kata beliau, konsep 'Malaysian Malaysia' anjuran DAP "tidak mendiskriminasi atau menyokong kesengsaraan rakyatnya."

Tunku Abdul Aziz berkata, beliau secara peribadi percaya kepada konsep tersebut sejak sebelum menyertai DAP lagi dua tahun lalu.

Menurutnya, konsep Malaysian Malaysia itu, apabila pertamakali diperkenalkan oleh pemimpin Parti Bertindak Rakyat (PAP) Lee Kuan Yew pada 1960-an, wujud banyak rasa curiga di kalangan pelbagai masyarakat etnik ekoran jurang ekonomi yang luas.

Pandangan tersebut turut dikongsi oleh Noraini yang berkata konsep tersebut sesuai dengan keadaan sekarang kerana wujudnya ramai masyarakat kelas pertengahan Malaysia yang bersedia untuk menjadi sebahagian daripada negara yang memberi kesaksamaan
kepada semua rakyatnya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa masih wujud halangan psikologi di mana ramai orang Melayu yang masih merasakan yang mereka belum bersedia untuk melepaskan 'tongkat' mereka.

Menurutnya, ia merupakan satu lingkaran di mana rakyat masih terperangkap dalam cara pemikiran feudal.

Noraini, yang merupakan penulis bersama buku 'Sharing the Nation', menambah bahawa konsep ketuanan Melayu membuat beliau kecut kerana ia membangkitkan "perasaan penghambaan".

Menurut istilah klasik Melayu, katanya, perkataan 'ketuanan' membawa maksud tuan ke atas hamba tawanan, yang menurutnya, satu konsep pra-feudal yang tidak sama waktunya dengan 1957, 1963 dan hari ini.

Seperti juga Tunku Abdul Aziz, beliau mengingatkan supaya jangan terjebak dengan 'perangkap' ketuanan Melayu, yang dianggapnya sebagai satu 'projek politik'.

Asal usul Ketuanan Melayu

Sementara itu, Yeoh pula berkata, istilah 'Ketuanan Melayu' bermula dengan ucapan Tan Sri Abdullah Ahmad pada 1989 yang berkata orang Melayu mesti dominan dalam kepimpina politik.

Bagaimanapun, katanya, ucapan itu tidak memudaratkan, tetapi ia telah membawa maksud ketuanan Melayu kepada sesetengah pemimpin Umno yang tidak semestinya faham maksudnya.

Sehubungan itu, katanya, istilah tersebut perlu dilihat mengikut kontek sebenarnya, kerana ia ditimbulkan sewaktu Umno berdepan dengan krisis kepimpinannya di mana Tengku Razaleigh Hamzah mencabar kepimpinan Dr Mahathir ketika itu.

Menurut Yeoh, perlembagaan hanya menetapkan hak-hak keistimewaan untuk orang Melayu dalam bidang-bidang yang sudah pun ada sebelum kemerdekaan, dan tiada lagi keistimewaan baru yang ditambah.

Orang Melayu, katanya, boleh mencapai semua yang mereka telah capai, dan mungkin lebih daripada itu, tanpa istilah Ketuanan Melayu.

Sementara itu, Kessler pula menambah bahawa negara ini sedang melalui gelombang ketiga perjanjian Merdeka yang dipersetujui oleh para pengasasnya - yang pertama datang pada 1969 dan ketiga pada 1972 dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Gelombang kedua, katanya, mulai berakhir pada 1999 tetapi terus hidup tanpa kebiasaan dari 2004 "ketika kerajaan merasakan yang semuanya telah dimaafkan, sehinggalah apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2008".

Oleh itu, katanya, adalah diharapkan gelombang ketiga ini akan "mendukung semangat perjanjian Merdeka", yang mempunyai tujuan untuk membangunkan sebuah negara yang "pluralistik dan inklusif".

Malah, hujah Klesser, timbalan perdana menteri kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman pernah berkata bahawa penerusan dasar-dasar afirmatif yang membantu orang Melayu, boleh menjadi satu penghinaan kepada maruah mereka.

Malaysiakini

Penyokong Hindraf ditahan 'pakai lencana anti-ISA' - Malaysiakini

Upacara sembahyang bagi memperingati penahanan lima pemimpin Hindraf di bawah ISA dua tahun lalu, dicemari dengan penangkapan seorang pemimpin utamanya, S Jayathas.

Dia ditahan kerana didakwa memaki lencana anti-ISA.

Sejurus selepas beredar dari sebuah kuil Hindu di Bangsar Utama di mana majlis sembahyang itu diadakan, seorang anggota polis berpakaian biasa menarik Jayathas dan berkata dia ditahan kerana memakai lencana tersebut.

Jayathas tidak melawan tetapi berulangkali bertanya kepada anggota polis di situ sama ada lencana itu haram, tetapi mereka hanya berdiam diri.

Bekas penasihat undang-undang Hindraf P Uthayakumar yang mengetahui upacara sembahyang tersebut, cuba mendapatkan alasan penangkapan tersebut, tetapi tidak berhasil.

"Di bawah Artikel 5 (1) perlembagaan persekutuan, kamu mesti menyatakan alasan penangkapan. Adakah kamu tahu undang-undang?" beliau kedengaran bertanya kepada anggota polis tetapi tidak dihiraukan.

Jayathas kemudiannya dibebaskan pada kira-kira jam 6 petang. Dia diminta melaporkan diri semula di balai polis Traverse pada 28 Disember ini.

Sebelum ini, Uthayakumar mengetuai kira-kira 40 penyokong Hindraf mengadakan upacara sembahyang tersebut di kuil Hindu di Lengkok Abdullah, Bangsar Utama.

Mereka semuanya berpakaian hitam sebagai simbol protes terhadap penggunaan ISA, yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Kira-kira 50 anggota polis berada dekat kuil tersebut sejak awal pagi, tetapi membenarkan kumpulan itu berhimpun di dalam kuil pada kira-kira jam 2 petang.

Malaysiakini

M'sia negara 'sumpahan minyak' - Malaysiakini

Mantan menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Malaysia sebagai negara 'sumpahan minyak' di mana kekayaan hasil buminya itu tidak digunakan untuk tujuan asal penubuhan Petronas, tetapi menjadi madat dan simbol kosong seperti Menara Petronas.

"Bila saya mengasaskan Petronas pada 1974, saya tidak menyangka bahawa suatu hari nanti, saya merasakan lebih baik kita tidak menemui kekayaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, anugerah minyak itu yang sepatutnya digunakan untuk memacu peralihan negara kepada masyarakat yang lebih terpelajar dan berhati mulia, sebaliknya telah menjadi madat yang memberi kesenangan sementara dan simbol kosong seperti Menara Petronas.

Tengku Razaleigh - bekas naib presiden Umno yang hampir menewaskan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden 20 tahun lalu - merupakan antara pengasas penubuhan Petronas pada tahun 70-an.

Menurutnya, Malaysia kini terjebak dalam perangkap pendapatan pertengahan, "tersangkut dalam pertumbuhan mudah dari pengeluaran tambah nilai yang rendah dan pemasangan komponen dan tidak mampu membuat lonjakan kepada ekonomi berintensifkan pengetahuan.

Katanya, tujuan awal penggunaan simpanan minyak Malaysia ialah untuk membantu negara melonjak daripada ekonomi yang berasaskan komoditi dan pemasangan kos rendah, kepada ekonomi yang lebih dipelbagaikan yang berasaskan kepada pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Kita melihat simpanan minyak kita sebagai satu kurniaan kekayaan yang akan menghasilkan wang untuk tujuan pemodenan dan teknologi," katanya ketika berucap di sidang kemuncak ahli korporat muda Malaysia di Menara Integriti, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, katanya, berbilion-bilion ringgit hasil eksport minyak sejak tiga dekad yang lalu, telah dibazirkan oleh kerajaan.

Menurutnya, hasil minyak negara yang sepatutnya digunakan mengikut yang telah dirancangkan sewaktu penubuhan Petronas, telah menjadi dana yang dibelanjakan sesuka hati oleh sesiapa juga yang mentadbir negara, tanpa sebarang pertanggungjawaban.

Buku bertajuk "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Time', yang dilancarkan baru-baru ini, menganggarkan kira-kira RM100 bilion telah dibazirkan dalam skandal kewangan sewaktu 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir.

Pengarangnya, Barry Wain yang juga bekas editor Asian Wall Street Journal, menulis bahawa sebahagian besar skandal itu, termasuk percubaan kerajaan untuk memanipulasi harta timah antarabangsa dan pembabitan Bank Negara dalam pasaran matawang global, pada tahun 1980-an.

Bagaimanapun, ada sesetengah penganalisa yang menyebutkan jumlahnya lebih tinggi daripada itu.

Malahah Time memetik Daniel Lian - seorang pakar ekonomi dari Morgan Stanly di Singapura sebagai berkata, Malaysia mungkin telah kehilangan "sehingga AS$100 bilion" (RM340 juta) sewaktu pentadbiran Dr Mahathir.

Petronas menyumbangkan 40 peratus daripada bajet negara sejak bertahun-tahun lalu tetapi penggantungan terhadap perolehan hasil minyak semakin tidak dapat dipertahankan lagi.

Kerajaan akan memperluaskan lagi asas cukai dengan memperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) di mana semua rakyat Malaysia dikehendaki membayar cukai tambahan di samping cukai pendapatan.

Tengku Razaleigh berkata, kekayaan minyak negara telah dibazirkan dan digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang gagal, membeli senjata, membina bandaraya secara besar-besaran di atas tapak ladang kelapa sawit.

Perolehan tersebut, katanya, tidak digunakan untuk membasmi kemiskinan di negeri-negeri yang miskin, tetapi disalurkan untuk tujuan politik dan golongan yang ada kaitan dengan politik.

Katanya, hasil minyak yang sepatutnya menjadi warisan kekayaan untuk semua rakyat Malaysia dan generasi akan datang, telah digunakan untuk menunjangi pemerintahan yang 'authoritarian, menghakis demokrasi berpelembagaan dan korup keseluruhan golongan elit politik dan perniagaan.

Malaysiakini

Friday, December 11, 2009

AMK mahu Mahkamah Syariah dengar juga kes Anwar - Malaysiakini

Kira-kira 30 anggota PKR mengadakan protes secara aman di luar Masjid Jamek Seberang Jaya di Pulau Pinang selepas solat Jumaat hari ini.

Protes tersebut, yang diketuai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mendesak kerajaan pusat membenarkan Mahkamah Syariah turut mendengar kes liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut mereka, prosiding Mahkamah Syariah boleh berjalan serentak dengan prosiding di mahkamah sivil.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketua umum PKR itu telah menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa ia merupakan 'satu lagi plot' kerajaan terhadapnya.

Malaysiakini

Anwar disenarai antara '100 pemikir terbaik dunia' - Harakah

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disenaraikan sebagai '100 Pemikir Terbaik Dunia' iaitu menduduki tempat ke 32 bersama para pemikir dunia yang lain.

Anwar disenarai oleh majalah 'Foreign Policy' yang berpusat di Washington dalam edisi Disembernya baru-baru ini.

Turut tersenarai adalah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama (ke-2), Perdana Menteri Britain, Gordon Brown (ke-74) dan Hillary Rodham Clinton (ke-6).

Anwar adalah satu satu dari 10 pemikir yang beragama Islam yang disenaraikan oleh majalah itu.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz disenaraikan dalam '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'.

Menteri Besar Kelantan itu, disenarai di tempat ke 42 dalam senarai '500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009'.

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.

Harakah

Thursday, December 10, 2009

Royalti: Pidato khas 13 Disember ini - Harakah

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Satu majlis pidato khas berkaitan tuntutan royalti minyak Kelantan akan diadakan sebagai usaha berterusan mendesak kerajaan persekutuan mengembalikan hak rakyat negeri serambi Mekah itu.

Pidato rakyat bertajuk 'Antara Royalti dan Ihsan, Siapa Pengkhianat Bangsa' itu akan diadakan pada tarikh 13 Disember ini jam 9 malam bertempat di Dewan serbaguna MPAJ AU5, Lembah Keramat Hulu Kelang.

Ianya adalah inisiatif Pakatan Rakayat Gombak bagi menyemarakkan lagi kempen dan sebagai sokongan kepada kerajaan Kelantan untuk bersama-sama menutut rolti yang dinafikan kerajaan pusat.

Program tersebut bakal dibarisi individu penting berkaitan tuntutan royalti iaitu Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa bersama beberapa pemimpin pakatan lain.

Mereka termasuk Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli.

Program itu juga antara lain bagi memberi penjelasan dan perkembangan semasa usaha kerajaan Kelantan dan pakatan rakyat dalam tuntutan royalti tersebut.

Sehingga kini pelbagai usaha dilakukan kerajaan Kelantan dan pakatan rakyat bagi mendesak kerajaan pusat mengembalikan hak royalti kelantan dan bukanya sekadar wang ihsan.

Terbaru, Kelantan akan mengusahakannya melalui saluran undang undang setelah melihat jalan rundingan dengan pusat mememui jalan buntu.

Manakala ahli parlimen pakatan rakyat pula akan mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas kepada Dewan Rakyat bagi membincangkan perjanjian petroleum yang dimetrai oleh semua negeri pengeluar petroleum dengan pihak Petronas.

Selain itu, pelbagai pihak sama ada individu mahupun kumpulan sudah menyatakan sokongan untuk bersama Kelantan memperjuangkan hak rakyat negeri itu.

Ianya termasuk bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaliegh Hamzah yang mahu kerajaan tidak membelakangkan undang-undang dengan mematuhi dan menghormati kontrak perjanjian antara Kelantan dengan Petronas.

Harakah

Isu PKFZ: OC Phang dan 2 lagi ditahan - Malaysiakini

Bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka OC Phang dan dua lagi ditahan hari ini berhubung isu projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang hari ini.

Malaysiakini

Sulaiman letak jawatan tiada kaitan dengan politik - Malaysiakini

Keputusan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib untuk meletak jawatan tiada kaitan dengan politik, bertentangan dengan spekulasi sebelum ini, kata bapanya Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Ketua Menteri Sarawak.

Beliau berkata hasrat Sulaiman untuk meninggalkan pentadbiran Persekutuan adalah lebih berbentuk peribadi kerana anaknya itu masih terjejas dengan kematian ibunya, Puan Sri Laila Taib, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 29 April lepas.

"Dia mengalami masalah kesihatan sejak enam bulan lepas. Maka saya katakan kepadanya, hanya kamu sendiri yang boleh menghakimi keadaan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Sarawak di Kuching.

Seperti anggota keluarganya yang lain, Taib berkata Sulaiman, yang menggantikan tempatnya sebagai Anggota Parlimen Kota Samarahan selepas memenangi kerusi pilihan raya umum 2008, "tidak gembira dan berasa sedih dengan kehilangan
ibunya".

Taib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Sulaiman.

Sulaiman, Naib Presiden Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dilantik menganggotai barisan pentadbiran oleh perdana menteri sebelum ini Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan dikekalkan oleh Najib dalam barisan Kabinet yang diumumkannya April lepas.

Di tengah-tengah kehangatan spekulasi akan peletakan jawatan Sulaiman, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang dipetik sebagai berkata menafikan bahawa beliau tidak sehaluan dengan timbalannya dan menyatakan bahawa hubungan mereka baik dalam tempoh tujuh bulan mereka bersama di kementerian itu. Bernama

Malaysiakini

Wednesday, December 9, 2009

1500 sertai konvensyen pertama Pakatan Rakyat 19 Disember - Harakah

SHAH ALAM, 9 Dis: Seramai 1500 perwakilan dari ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat akan menyertai konvensyen pertama Pakatan Rakyat 19 Disember ini di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Mereka akan menyaksikan detik penting sejarah besar Pakatan Rakyat dan juga rakyat Malaysia secara amnya, kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pakatan Rakyat hari ini.

Konvensyen bertujuan untuk membincangkan 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' yang telah dimeterai oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ke Konvensyen yang akan dihadiri oleh para perwakilan yang mewakili parti-Parti dalam Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

PAS, PKR dan DAP adalah anggota rasmi Pakatan Rakyat. Konvensyen ini dijangka akan merumuskan beberapa perkara penting. Antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Pembentangan kertas 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' akan disampaikan oleh Pemimpin Utama Pakatan Rakyat semasa Konvensyen tersebut.

'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' ini akan menjadi dasar yang diterima, disepakati dan dihormati oleh ketiga-tiga Parti dan muafakat Pakatan Rakyat.

Sekretariat Pakatan Rakyat sebagai penganjur Konvensyen Pakatan Rakyat kali yang pertama ini memaklumkan, tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Konvensyen ini akan berlangsung mulai jam 8.00 pagi hingga 6 petang akan terbuka kepada media di samping para pemerhati.

"Konvensyen Pakatan Rakyat ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa," kata kenyataan itu.

"Diharap pihak tuan/puan dapat hadir atau menghantar wakil untuk hadir meliputi acara yang bersejarah ini. Pendaftaran bagi wakil media boleh dibuat mulai hari ini di www.tinyurl.com/daftarmedia," kata kenyataan itu lagi.

Konvensyen Pakatan Rakyat diumumkan pimpinan pakatan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat ketua pembangkang 21 Oktober lalu.

Semalam Setiausaha Agung Keadilan, Dato Sallehuddin Hashim dilaporkan memberitahu persiapan rapi sedang giat dijalankan menjelang konvensyen tersebut.

Persiapan dibuat dengan kejasama ketiga-tiga parti yang mahu melihat program tersebut berjalan lancar dan membuahkan hasil yang terbaik.

"Persiapan rapi sedang diatur dan semua pihak, ketiga-tiga parti gabungan, sedang bekerja keras bagi menjayakan konvensyen ini,"katanya.

"Lebih 500 perwakilan dijangka hadir dan kita tidak boleh memandang mudah terhadap persiapan yang perlu kita lakukan."

Lagu tema untuk konvensyen tersebut bertajuk "Angin Pendamai" dicipta oleh Ito dari Kumpulan Blues Gang sudah pun siap dalam masa seminggu.

Manakala logonya pula menggunakan asas warna oren dan putih, menggabungkan ikatan kukuh tiga parti, mengelilingi lima kelopak bunga raya yang melambangkan lima kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazandusun.

Harakah

Tarif Baru Elektrik Tunggu Kelulusan Kabinet - mStar

PUTRAJAYA: Tarif elektrik baru mungkin diperkenalkan Januari tahun depan sekiranya ia diluluskan oleh kabinet, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata Tenaga Nasional Berhad telahpun mengemukakan permohonan untuk menaikkan tarif elektrik, namun kementerian masih membuat kajian mengenainya sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk diluluskan.

"Tarif ini dikaji semula setipa enam bulan sejajar dengan harga minyak, tetapi sama ada tarif baru akan dikenakan atau tidak, bergantung kepada kabinet," katanya kepada pemberita pada perhimpunan bulanan kementerian dan sambutan Hari Inovasi peringkat kementerian di sini hari ini.

Chin berkata kabinet akan mengambil kira semua perkara sebelum meluluskan sebarang tarif baru.

"Adalah perkara biasa untuk TNB meminta kenaikan tarif elektrik oleh kerana kenaikan kos dan sebagainya tapi kabinet akan melihat situasi keseluruhan termasuk keadaan ekonomi dan kemampuan rakyat untuk membayar," katanya.

Chin berkata antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian itu yang telah ditetapkan adalah untuk mengurangkan indeks gangguan bekalan elektrik di Sabah, yang pada masa ini jauh lebih tinggi dari di Semenanjung dan di Sarawak.

Untuk itu, kementerian akan bekerjasama dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk membolehkan perkara itu dicapai dalam tempoh setahun, dengan memastikan kapasiti tenaga yang dibekalkan mencukupi untuk kegunaan rakyat di sana.

Antara KPI lain yang ditetapkan ialah meningkatkan kawasan liputan bekalan air terawat, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga, serta mewujudkan lebih banyak sistem pembetungan serantau, katanya.

Chin sebelum itu turut melancarkan laman blog beliau yang boleh dicapai melalui alamat http://peterchin.my.

Beliau berkata ia merupakan satu cara yang berkesan untuk berkomunikasi dengan rakyat, dan setiap aduan dan pandangan yang diterima akan diberi perhatian dan langkah segera diambil untuk menanganinya.

Chin berkata sempena sambutan Hari Inovasi kementerian tahun depan, beliau akan menyediakan hadiah peribadi kepada kakitangan kementerian yang memperkenalkan langkah inovatif yang boleh menambah baik sistem penyampaian. BERNAMA

mStar

Lim Swee Kuan dilantik Setpol Ean Yong - Malaysiakini

Bekas pegawai khas kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang - Lim Swee Kuan - telah dilantik sebagai setiausaha politik baru exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ean berkata, pelantikan Swee Kuan berkuatkuasa hari ini.

Beliau kini merupakan setiausaha publisiti Pemuda DAP (DAPSY) Selangor, naib pengerusi DAPSY Petaling Jaya Utara dan juga naib pengerusi DAP cawangan SS2, Petaling Jaya.

Jawatan tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya sebelum ini, Teoh Beng Hock.

Teoh ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai - sehari selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan peruntukan ADUN di Selangor.

"Saya mengalu-alukan Swee Kuan menyertai anggota Kerajaan Selangor, dan saya berharap beliau dapat berusaha sedaya-upaya untuk memperkukuhkan dasar dan prestasi Kerajaan Selangor, serta berkhidmat untuk masyarakat.

"Saya percaya, dengan pengalaman pekerjaan selama tiga tahun di ibupejabat DAP, beliau dapat menyesuaikan diri dalam suasana tempat pekerjaan yang baru secepat mungkin, dan membantu saya dalam urusan-urusan politik dan penyelarasan media, serta menangani permohonan dana/sumbangan kerajaan," katanya.

Selain jawatannya dalam DAPSY Selangor, Swee Kuan pernah bertugas sebagai penolong penyunting berita bagi suratkhabar parti DAP ‘Roket' dan menjadi setiausaha akhbar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
'
Swee Kuan kemudiannya dilantik sebagai pegawai khas Kit Siang selepas tsunami politik pilihanraya umum 2008.

Malaysiakini

Saat Nik Aziz dihimpit kontroversi - Malaysiakini

analisis Sokongan rakyat Kelantan kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat kini amat bermakna, lebih-lebih lagi ketika Tok Guru yang disegani itu berhadapan dengan tekanan baru apabila anggota keluarganya sendiri terseret dalam kontroversi politik di negeri itu.

BN sedaya upaya mereka menggunakan peluang tersebut bagi meruntuhkan pentadbiran Kelantan bawah PAS dengan memanipulasi isu-isu berkaitan menteri besarnya.

Namun menurut seorang exco kerajaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan, tekanan yang kini ditanggung tokoh besar PAS itu bukanlah sesuatu yang baru.

"Sebagai pemimpin, isu-isu ini biasalah (bagi Nik Aziz), sebab dia tentu ada pesaing-pesaing politik. Tapi secara keseluruhannya, apa-apa sumbangan yang dia telah buat itu masih mengatasi apa juga isu melibatkan keluarga atau peribadinya," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui isu-isu yang berlarutan sejak akhir-akhir ini, termasuk melibatkan penajaan haji dan karenah individu-individu terdekat dengan menteri besar itu boleh mempengaruhi persepsi rakyat terhadap ulama tersebut.

"Tapi orang masih boleh nampak sumbangan (Nik Aziz) lebih besar daripada isu ini. Kepemimpinannya masih lagi mantap dan diterima oleh rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Isu tajaan ini timbul apabila Nik Aziz menyatakan kesudian untuk menerima tawaran mengerjakan haji daripada seorang pengarah sebuah syarikat.

Penajaan itu dilaporkan turut melibatkan isteri Nik Aziz, anaknya Nik Amalina dan suami Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang bergelumang dalam satu lagi kontroversi.

Namun, mursyidul am PAS kemudiannya bertukar fikiran pada 13 November selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membuka kertas siasatan kes tajaan berjumlah hingga ratusan ribu ringgit atau RM65,000 seorang.

"Setahu saya isu ini masih lagi dalam siasatan. Jadi tak boleh kata beliau bersalah," kata Takiyuddin lagi.

Selain isu tajaan haji, Nik Aziz juga menerima kritikan hebat kerana didakwa mengamalkan nepotisme dengan melantik Abdul Ariffahmi untuk menerajui PMBK September lalu - sehingga mendorong exco Pemuda PAS negeri itu diminta meletakkan jawatannya.

Abdul Ariffahmi kemudiannya berkata beliau akan menyerahkan notis tiga bulan pada 24 Disember ini, walaupun mengumumkan untuk berbuat demikian sebulan lebih awal, dan peletakan jawatannya berkuatkuasa 23 Mac tahun depan.

Menurutnya, ia terkandung dalam syarat pelantikannya dulu serta untuk memberi masa beliau menyelesaikan kerja-kerja yang telah diputuskan oleh lembaga pengarah PMBK.

Bagaimanapun, semalam Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkeras bahawa Abdul Ariffahmi mesti meletakkan jawatan serta-merta bagi memelihara etika korporat.

Desakan Mahfuz itu selepas muncul pergeseran terbuka antara penulis blog Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz, juga pegawai perhubungan awam PMBK yang telah dipecat oleh Abdul Ariffahmi, dengan Nik Amalina dan suaminya.

Dalam pada itu, Umno Kelantan pula mengambil kesempatan untuk menekan Nik Aziz agar meletak jawatannya dalam satu demonstrasi awal bulan ini - isunya termasuk ugutan untuk berdoa bala terhadap perdana menteri dan Umno berhubung bayaran royalti petroleum.

Demonstrasi itu muncul di tengah-tengah himpitan kontroversi yang melingkari Nik Aziz, termasuk dakwaannya "Kolonel Mat" sebagai dalang untuk menjatuhkan beliau - nama misteri yang membuatkan semua pihak tertanya-tanya.

Rentetan itu, satu perhimpunan balas diadakan selepas tokoh PAS itu menyampaikan kuliah Jumaatnya di Kota Bharu minggu lalu.

"Kalau kita buat (perhimpunan), orang akan kata begitu (sebagai perhimpunan balas). Tapi kalau kita tak buat perhimpunan, orang akan tanya kenapa tak buat?

"Ada isu yang perlu kita tunjuk (sokongan), dan ada juga yang kita tak perlu tunjuk. Kita tak perlu pun buat perhimpunan dan rakyat tetap akan sokong kita.

"Tapi kalau kita tak tunjuk, Umno akan kata mereka betul dan (tuduh) kita cuba sorok isu. Jadi itulah pertimbangan yang kita ambil," kata Takiyuddin lagi.

Susulan gesaan supaya Nik Aziz meletak jawatan, timbul pula desas-desus siapa pengganti tokoh berkenaan, termasuk seorang exconya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mencadangkan "pelan peralihan kuasa" dibentangkan.

Exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, yang dianggap anak didik Nik Aziz, pula mengambil sikap enggan menerima jawatan panas tersebut walaupun sering disebut-sebut sebagai pengganti menteri besar.

Bagaimanapun Takiyuddin menyifatkan isu pengganti juga “soal biasa” kerana jawatan sebagai menteri besar itu secara hirarkinya telah mempunyai pengganti – timbalan menteri besar Datuk Ahmad Yaakob.

"Pengganti itu soal biasa, apatah lagi bila dalam konteks beliau sebagai MB. Secara (hirarki) beliau sudah ada timbalan. Kalau ada apa-apa yang berlaku, maksudnya pengganti itu sudah ada," katanya.

Tambahnya, yang dianggap musuh politik Husam, soal pengganti Nik Aziz juga sengaja ditimbulkan pihak tertentu sebagai satu lagi tekanan kepada pentadbiran negeri dan PAS Kelantan.

"Tapi mungkin isu itu ditimbulkan sebab sesetengah orang nak perkara itu disebut juga supaya lebih jelas, saya tidak mahu sebutlah pihak mana,” kata Takiyuddin.

"Tapi kalau tidak disebut pun tidak menjadi masalah kepada pentadbiran negeri, dalam PAS atau di kalangan rakyat sendiri.

"Umno itu tidak usah kiralah. Sebab bagi mereka (Umno), kalau tidak ada tok guru, mudah bagi mereka untuk ambil kembali Kelantan."

Jelasnya lagi, Kelantan tidak hanya bergantung kepada Nik Aziz kerana negeri itu juga mempunyai barisan pemimpin yang masih mampu meneraju parti dan pentadbiran kerajaan.

Setiausaha perhubungan PAS negeri Mohd Zaki Ibrahim berpendapat, kontroversi di sekitar Nik Aziz "sudah selesai" tetapi tokoh itu dilihat masih terbeban dengan isu-isu berkenaan kerana ia terus diulas melalui media sehingga memberi gambaran yang tidak tepat.

"Tok guru sendiri sudah selesaikan isu tersebut. Dia sudah beritahu tidak mahu pergi haji. Ariffahmi juga sudah letak jawatan, jadi dikira perkara ini sudah selesai," katanya.

"Isu jadi besar bila dimainkan media, ditambah lagi dengan orang Umno yang ambil kesempatan untuk desak dia letak jawatan."

Malaysiakini

BN pula disaman RM546 juta kes kontrak iklan - Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan sebuah syarikat papan iklan dan BN memfailkan tujuh dokumen termasuk senarai isu yang akan dibicarakan berkaitan kes saman RM546 juta syarikat itu terhadap BN.

Syarikat Pentas Permata Sdn Bhd (PPSB) dan BN diperintahkan memfailkan antara lain ikatan dokumen yang dipersetujui kedua-dua pihak dan yang tidak dipersetujui, senarai saksi terlibat dan ikatan kes plaintif dan defendan.

Timbalan Pendaftar, Nur Yusliana Yusoff membuat arahan itu dalam kamarnya selepas kes itu disebut di hadapannya bagi pengurusan kes.

Peguam BN, Datuk Mohd Hafarizam Harun, memberitahu pemberita bahawa Nur Yusliana menetapkan 26 Jan untuk pengurusan kes akhir saman itu bagi menentukan tarikh perbicaraan.

Pada 7 Dis 2007, PPSB menfailkan saman terhadap BN kerana menamatkan perjanjian bertarikh 5 Jan 2006, untuk membekalkan dan mendirikan papan iklan luaran bagi BN untuk mempromosikan BN semasa pilihan raya umum.

Syarikat itu yang dilantik sebagai ejen untuk mendirikan papan iklan bagi BN, menamakan BN melalui pegawai amnya Datuk Yaakob Mohammad, sebagai defendan.

PPSB, dalam pernyataan tuntutannya, mendakwa mengikut perjanjian, BN berhak menamatkan perjanjian itu pada bila-bila masa dalam tempoh enam bulan daripada perjanjian itu ditandatangani tetapi BN telah mengeluarkan notis itu selepas enam bulan perjanjian ditandatangani.

Akibat itu, syarikat itu mendakwa telah mengalami kehilangan keuntungan sebanyak RM546,552,800 termasuk kos mendirikan papan-papan luaran, pendapatan tahun pertama dan kedua dan jumlah pendapatan sepanjang 10 tahun.

Syarikat itu mendakwa BN juga gagal untuk bekerjasama bagi memperoleh lokasi strategik dan menyokong permohonan syarikat itu untuk mendirikan papan-papan luaran itu.

Syarikat itu menuntut ganti rugi khas sebanyak RM546,552,800, ganti rugi am, kos, faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

BN dalam pernyataan pembelaan mendakwa penamatan perjanjian itu adalah sah kerana PPSB gagal menunjukkan sebarang hasil daripada tugas yang sepatutnya dijalankan mengikut perjanjian itu.

BN mendakwa syarikat itu tidak pernah memintanya bagi menyokong permohonan syarikat itu untuk mendirikan papan luaran itu dan BN juga tidak bertanggungjawab untuk memperoleh lokasi strategik bagi membina papan luaran itu.

Ia berkata tindakan syarikat itu memfailkan saman terhadap BN adalah salah kerana yang sepatutnya disaman adalah pegawai amnya. BERNAMA

Malaysiakini

Monday, December 7, 2009

13 Anggota CC MCA Letak Jawatan - mStar

KUALA LUMPUR: Seramai 13 Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sudah menandatangani surat peletakan jawatan bagi memberi laluan kepada pemilihan baru parti.

Bagaimanapun Dr Chua berkata, tujuh lagi anggota CC perlu mengambil langkah yang sama kerana syarat mengadakan pemilihan baru memerlukan 20 daripada 30 anggota CC MCA letak jawatan.

Beliau menerangkan tempoh 24 hari diberikan kepada ahli yang lain untuk meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan parti dibuat.

"Surat perletakan jawatan boleh diserahkan kepada Setiausaha Agung untuk diproses," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan pemilihan baru parti akan diadakan pada Januari, Dr Chua bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Jika cukup ahli letak jawatan, boleh jadi buat pada Januari. Kita tunggu dan lihat sahaja. Masih terlalu awal untuk diperkatakan," katanya kepada media.

Bagi Dr Chua ada beberapa isu lain yang harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti.

"Itu adalah antara tujuan utama mesyuarat Jawatankuasa Khas yang di adakan di Wisma MCA hari ini.

"Jawatankuasa hari ini telah berbincang dan mengkaji mengenai isu teknikal yang harus ditangani supaya keputusan yang dibuat selaras dengan Perlembagaan MCA," ulasnya.

Mengulas kemungkinan Pemuda dan Wanita MCA turut mengadakan pemilihan, Dr Chua menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan akan diperhalusi.

Naib Presiden MCA itu bagaimanapun berharap keputusan yang bakal dibuat selepas ini adalah sebagai satu ruang untuk MCA kembali bersatu padu.

Beliau turut gembira dengan suasana yang baik dalam parti politik itu ketika ini dan berharap ia dapat diteruskan untuk kebaikan parti.

Tiong Lai Senada Dengan Dr Chua

Bagi Datuk Seri Liow Tiong Lai, beliau optimistik masalah dalaman MCA akan diselesaikan secepat mungkin.

Namun beliau berharap pihak media tidak membuat sebarang spekulasi mengenai parti MCA yang akan memburukkan lagi keadaan.

"Harap semua dapat bersabar, jangan buat spekulasi kerana ia akan menjejaskan proses pemulihan parti," katanya.

Liow yang ditemui media sejurus selepas sidang media Dr Chua, menegaskan tiada sebarang tekanan akan dibuat kepada ahli lain yang belum meletakkan jawatan.

"Ini bukan paksaan," katanya ringkas.

mStar

Penyeludupan dadah, Siti Zailah tidak puas hati jawapan timbalan menteri - Harakah

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) meminta Kementerian Dalam Negeri menjelaskan langkah yang diambil oleh kementerian berkenaan dalam menangani masalah pembekalan dadah di sempadan Thailand.


Siti Zailah sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi berkata, kebanyakan pembekal dadah di kawasan itu dapat bolos ke Malaysia.

Beliau meminta pihak kementerian menyatakan jumlah tangkapan yang dilakukan terhadap pembekal dadah di sempadan dan tindakan yang diambil terhadap pembekal yang menggunakan wanita dan kanak-kanak untuk tujuan pengedaran.

Sebelum itu, Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) meminta menteri dalam negeri menyatakan jumlah rampasan dadah dari Januari hingga Jun 2009 dan pelan tindakan pencegahan penyalahgunaan dadah yang diambil oleh kementerian serta jumlah peruntukan yang disediakan.

Timbalan menteri, Datuk Wira Abu Seman (BN-Masjid Tanah) dalam jawapannya memberitahu secara keseluruhannya dalam tempoh Januari sehingga Jun 2009, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas 22 jenis dadah dan racun di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Rampasan terbesar melibatkan dadah jenis syabu seberat 1,052 kg bernilai lebih RM263 juta. Secara keseluruhannya, nilai rampasan dalam tempoh tersebut berjumlah lebih RM306 juta.

Berhubung dengan jumlah peruntukan yang disediakan bagi melaksanakan pelan tindakan pencegahan dadah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah memperuntukkan sebanyak RM93 juta bagi tahun 2009.

Siti Zailah yang ditemui selepas itu bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan Abu Seman kepada soalannya yang dianggap sambil lewa dan tidak menjawab soalan sebenar.

"Saya tak puas hati dengan jawapan timbalan menteri tadi. Saya tanya berapa kes yang ditangkap, tapi beliau tidak jawab," katanya.

Beliau yang juga timbalan ketua Muslimat PAS berkata, menurut maklumat yang diterimanya, ramai pengedar dadah di sempadan ditangkap oleh PDRM dan boleh didakwa di bawah seksyen 398 namun dibebaskan atas alasan tidak cukup bukti.

Sedangkan sumber memberitahu, ketika serbuan dibuat ke rumah pengedar, terdapat banyak dadah dan wang ditemui.

Difahamkan, pihak berkuasa membebaskan mereka kerana didakwa telah menerima rasuah dalam jumlah yang banyak.

"Apakah ini tidak cukup sebagai bukti? Saya menyeru kerajaan ersikap telus dalam menangani masalah ini. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memaihnkan peranan mereka," tegasnya.

Beliau dalam pada itu turut mempersoal program pemberian percuma methadone di klinik-klinik kerajaan untuk membantu penagih yang dilihat tidak berkesan dan tidak mencapai sasaran.

Ketidakberkesanan ini ujarnya turut diakui sendiri dalam laporan audit negara.

"Program yang dikatakan dilakukan secara tetutup ini, rupa-rupanya diakukan secara terbuka, dan orang boleh tahu siapa yang menerima bantuan methadone itu.Ini sekaligus tidak melindungi identiti penagih," katanya.

Selain itu, pemberian methadone itu tidak membantu penagih untuk berhenti daripada mengambil najis dadah.

Harakah

8 syarikat saman Mara - Harakah

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Lapan syarikat menyaman Mara untuk menuntut gantirugi RM381 juta di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Saman yang difailkan pada 2003 lalu dibicarakan dalam kamar Datuk Zakaria Sam hari ini untuk tentukan isu undang-undang.

Syarikat itu adalah Indera Perabut, Medan Data, Adi Wood, Almawood Industries, Ikrar Teguh, Phoenix Calibre, Perabot Wilayah Uata dan CT Max.

Kesemua mereka mendakwa Mara gagal dalam tanggungjawabnya menyediakan pusat kemudahan guna sama atau PKG yang menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi untuk siapkan projek perabot mereka.

Hasilnya, Mara telah menyaman mereka kerana tidak membayar hutang. Kini mereka menyaman Mara kerana kegagalan Mara laksanakan fungsinya untuk membolehkan projek perabot mereka berjalan dengan baik.

Mahkamah Pulau Pinang akan putuskan lapan Januari depan samada untuk menerima atau tidak isu undang-undang Mara bertanggungjawab siapkan PKG.

"Jika hakim putus Mara bertanggungjawab, segala tuntutan lapam syarikat itu akan diterima dan taksiran akan dibuat berdasarkan tuntutan plaintif," kata peguam plaintif Shuhaimi Mat Hashim selepas bersidang dalam kamar dengan hakim dan peguam defendan.

8 syarikat itu diwakili oleh Shuhaimi Mat Hashim manakala Mara diwakili 4 syarikat guaman. Isu undang-undang yang akan diputuskan hari ini adalah "Adakah Mara bertanggungjawab memastikan PKG disiapkan dan beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari, 1998 dan adakah Mara telah gagal, mungkir dan melakukan perbuatan pecah kontrak mengenai penyiapan dan operasi PKG seperti dijanjikan Mara yang kena disiapkan dan hendaklah beroperasi sepenuhnya oleh Mara pada 1 Januari, 1998."

"Seterusnya adakah akibat daripada kegagalan Mara mengenai PKG maka sebabkan aktiviti perniagaan lapan syarikat tidak boleh berjalan seperti yang dirancang kerana PKG tersebut adalah asas utama kepada pelaksanaan terma dan syarat perjanjian dan kerjasama pengeluaran perabot set meja makan."

Harakah

Penipuan di portal JobMalaysia: Menteri - Malaysiakini

Kementerian Sumber Manusia mengesan tindakan pihak tertentu yang menggunakan portal JobsMalaysia.gov.my untuk melakukan
penipuan dengan meletakkan syarat pembayaran bagi kekosongan jawatan di jabatan kerajaan dan sektor swasta.

Timbalan menterinya Datuk Maznah Mazlan berkata kebanyakan kekosongan yang ditawarkan itu menggunakan nama agensi kerajaan bagi tujuan meyakinkan pencari kerja yang lebih berminat untuk bekerja di sektor awam.

Katanya, kes penipuan itu dikesan berlaku di negeri ini dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah menerima 102 aduan daripada pencari kerja sejak Oktober tahun lepas.

"Seramai 10 orang telah tertipu membayar RM500 seorang bagi urusan permohonan mendapatkan pekerjaan yang diiklankan oleh pihak terbabit," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian letupan alat pendandang di sebuah kilang di Sandakan hari ini.

Pada kejadian Jumaat lepas itu, dua pekerja di kilang tersebut maut akibat letupan alat pendandang itu.

Menurut beliau antara langkah yang diambil untuk menangani kes penipuan itu termasuk mengambil tindakan mengeluarkan nama majikan terbabit daripada sistem portal tersebut.

Pemantauan bagi majikan yang mengiklankan kerja kosong di portal itu juga akan dipertingkatkan dan dilakukan melalui cawangan JTK yang ada di negara ini, katanya.

Maznah berkata kes penipuan lain yang diterima membabitkan pencari kerja dari Sabah, ditipu ketika bekerja di Singapura dengan 320 aduan diterima daripada Pejabat Atase Singapura dalam tempoh Januari hingga November lepas.

Katanya, antara jenis aduan yang dilaporkan ialah dokumen pengenalan diri mereka dipegang oleh agensi pekerjaan di Singapura, potongan gaji tinggi, gaji tidak dibayar dan dipaksa bekerja lebih masa. BERNAMA

Malaysiakini