Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label APCO. Show all posts
Showing posts with label APCO. Show all posts

Thursday, April 22, 2010

1Malaysia, One Israel: Usul heret Anwar diluluskan - Malaysiakini

Usul mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diluluskan selepas didebatkan oleh lapan ahli parlimen, termasuk ketua umum PKR itu.

--------------------------------------------------------------------------------

3:00pm: Usul mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diluluskan selepas lima minit ucapan Nazri Abdul Aziz (Umno-Padang Rengas). Ahli parlimen pembangkang yang membantah keputusan itu bertindak keluar dewan.

2.45pm: Nazri Abdul Aziz (Umno-Padang Rengas) menjelaskan tiada kecacatan dalam usul itu kerana ia bertujuan mengheret Anwar ke jawatankuasa itu yang akan menentukan kemungkinan hukuman ke atasnya.

2.40pm: MP Pakatan terus mempersoalkan kesahihan usul ke atas Anwar. Kiandee menjawab bahwa beliau tidak akan mempertimbangkan perkara itu lagi.

2.30pm: Sidang disambung dengan timbalan speaker, Ronald Kiandee pula mengambil-alih. Beliau memberi amaran supaya menghentikan dakwaan bahawa usul itu "cacat".

1.00pm: Sidang berehat untuk makan tengah hari.

12.50pm: Anwar mengakui mempunyai pertalian rapat dengan Amerika tetapi berkata pendiriannya jelas, khususnya dalam menentang dasar negara itu ke atas Afghanistan, Palestin dan isu-isu lain.

Katanya, kerajaan Najib sebaliknya melutut kepada Barat apabila mengarahkan Petronas menghentikan bekalan ke Iran yang merupakan musuh Amerika.

Kenyataan itu menyebabkan MP BN membantah dan menyaksikan kekecohan seketika.

Anwar menarik balik kenytaan itu atas arahan Speaker dan keadaan kembali tenteram.

12.36pm: Pendebat terakhir Pakatan, Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) mendakwa usul ke atasnya itu "cacat" kerana ia bermotifkan politik.

"Hukum saya. Pecat saya. Penjarakan saya. Saya tidak akan mengalah," katanya.

12.25pm: Sebaliknya menurut Khairy yang cuba menimbulkan kemarahan Pakatan menyamakan slogan "Israel untuk semua" dengan slogan "PAS untuk semual".

Sambil memegang sebuah fail, Khairy mendakwa dia mempunyai bukti bahawa Anwar mempunyai perhubungan terus dengan Paul Wolfowitz, seorang penyokong kuat Zionist.

12.16pm: Khairy Jamaluddin (Umno-Rembau) memulakan debatnya dengan mendakwa Anwar menimbulkan kontroversi berhubung Apco Worldwide kerana beliau kuathir kerajaan pusat yang diterajui BN kini mendapat sokongan 68 peratus rakyat.

Katanya, kegusaran Anwar itu diburukkan lagi dengan masalah yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat, termasuk beberapa pemimpinnya yang berpaling tadah sehingga menyebabkan ketua umum PKR itu kehilangan majoritinya di kalangan pembangkang including a string of defections from PKR which has caused him to los.

“Walaupun Pakatan tidur sebantal tetapi mimpinya lain-lain," sindir Khairy.

12.00pm: Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) menggunakan peluang giliran beliau berucap dengan membenarkan rakan-rakannya yang lain untuk berucap. Antara mereka adalah Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Sivarasa Rasiah (PKR-Subang), Saifuddin Nasution (PKR-Machang) dan Yusmadi Yusoff (PKR-Balik Pulau).

11.56am: Pendebat ketiga Pakatan, Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) memulakan ucapannya dengan “Salam anti-Apco”.

Semua 'soalan tambahan' yang dikemukakan mempertikaikan kesahihan usul itu kerana mendakwa ia tidak tepat kerana tidak mengatakan bahawa Apco Worldwide diupah oleh Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya.

MP Pakatan berkata mengikut Peraturan 36 (12), untuk mengheret seseorang MP, ia mesti dibuktikan bahawa beliau menyedari maklumat yang dibekalkan di dewan adalah silap.

Mereka juga mempertikaikan mengapa BN hanya membenarkan MP Umno untuk berdebat dan inginkan jawapan sama ada Umno membolot semuanya.

11.44am: Abdul Rahman kemudiannya menarik balik kenyataannya atas arahan Wan Junaidi.

Beliau mempertahankan konsep 1Malaysia dan berkata beliau hairan mengapa pembangkang menolak konsep yang baik itu.

11.43am: Wan Junaidi mencelah dan Abdul Rahman mengulangi dakwaanya bahawa One Israel “hampir menyerupai Pakatan Rakyat”.

MP pembangkang terus menuntut beliau “tarik balik".

11.37am: Timbalan Speaker Wan Junaidi Tuanku Abdul Rahman mengambil-alih kerusi speaker.

Abdul Rahman berkata tidak seperti 1Malaysia, One Israel adalah gabungan tiga parti di Israel yang sama seperti gabungan tiga parti dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu sekali lagi menimbulkan kekecohan dengan MP PAS membuat bantahan kerana dikaitkan dengan Israel.

11:36am: Abdul Rahman senyum sinis dan berkata setelah mendengar ucapan pembangkang tadi, beliau berpendapat semua mereka sepatutnya dirujuk ke jawatankuasa itu.

Merujuk ucapan Azmin, menurutnya, “Gombak berkata usul ini untuk menutup mulut Permatang Pauh. Bila masa Permatang Pauh boleh berdiam? Adakah sesiapa yang berjaya membuat beliau senyap?”

Katanya, arahan polis dan juga hukuman penjara gagal menutup mulut Anwar Ibrahim.

11.33am: Abdul Rahman juga menolak dakwaan Kit Siang berhubung “majoriti bodoh”. Katanya, BN sentiasa memberi peluang kepada Anwar untuk menjelaskan dakwaannya bagaimanapun ketua pembangkang itu menggunakan kesempatan itu untuk menimbulkan perkara lain.

"Ini bukan isu politik, ini mengenai individu yang memperdayakan dewan dan dengan degil enggan menjelaskan perkara yang sebenar. Justeru, beliau perlu dibawa ke jawatankuasa itu,” katanya.

11.30am: Pendebat kedua BN Abdul Rahman Dahlan (Umno-Kota Belud) bangun untuk berucap. Beberapa MP pembangkang menyindirnya sambil menjerit “putar belit”.

11.26am: Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) menyalahkan sikap "lebih kurang" kerajaan BN. Beliau menggunakan Mandarin yang memetik ahli falsafah terkenal Cina, Hu Shi's berhubung artikel 'Mr Lebih Kurang' untuk memperkukuhkan hujahnya itu.

Lim mengakhiri ucapannya dengan berkata,"Lebih banyak anda mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat dan pembangkang, semakin cepat anda akan kiamat."

11.28am: "Mengapa begitu buruk untuk mengatakan 1Malaysia diciplak dari One Israel? Saya sendiri mengatakan 1Malaysia diciplak dari Malaysian Malaysia. Adakah saya akan dirujuk ke jawatankuasa itu?” soal Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).

Beliau juga mempersoalkan pembabitan kabinet dalam isu berkenaan bagi mengheret Anwar Ibrahim.

“Mengapa kabinet mesti membuat keputusan itu? Campurtangan kabinet adalah pencabulan jelas berhubung pemisahan kuasa,” kata pemimpin veteran DAP itu.

Lim berkata majoriti parlimen BN itu sebagai "majoriti hodoh, majoriti bodoh". Dengan menuduh majoriti itu sebagai bodoh dan bukan menuduh orang perseorangan, Lim terlepas dan dibenarkan meneruskan ucapannya oleh Pandikar.

Namun apabila Lim menyebut perkataan ‘majoriti bodoh’, Nazri Abdul Aziz (Umno-Padang Rengas) senyum sambil mencatitkan sesuatu pada notanya.

Lim juga membidas sikap hiprokit MP BN. “Mereka menyerang peribadi calon PKR di Hulu Selangor, tetapi berapa ramai di Dewan ini yang tidak muinum?”

Speaker Pandikar menyampuk, "Saya pun minum, YB, tapi air sahaja."

11.13am: Giliran Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk berucap. Katanya, ini adalah hari yang paling sedih di Parlimen.

Difahamkan bahawa asalnya, Kit Siang adalah sdeorang daripada empat pendebat Pakatan. Tetapi slot berkenaan diberikan kepada Anthony Loke (DAP-Rasah) selepas ada yang mendakwa bahawa Kit Siang adalah ahli jawatankuasa hak dan kebebasan.

Namun apabila diperiksa bahawa Kit Siang bukan lagi menganggotai jawatankuasa itu, namanya disenaraikan semula.

11.10am: Nur Jazlan (Umno-Pulai) menuduh Anwar mencemarkan kesucian Dewan dan menggangu keselamatan negara dengan tindakannya itu.

Setiap kali Nur Jazlan menyebut 'Apco', ahli parlimen pembangkang akan membalas 'Umno'. dan setiap kali MP berhujah bahawa dakwaan pembangkang adalah tidak benar, ia diikuti dengan jeritan 'buktikan'.

11.06am: Nur Jazlan (Umno-Pulai) berkata Anwar Ibrahim (Permatang Pauh) menggunakan "publisiti negatif" di mata antarabangsa untuk memburukkan kerajaan.

Beliau mempertahankan keputusan kerajaan menggajikan Apco untuk memperbaiki 'kerosakan' yang dilakukan oleh Anwar. Beliau juga menuduh Anwar menggunakan NGO, pakar Internet dan media antarabangsa bagi memburuk-burukkan imej Malaysia.

10.55am: Nur Jazlan (Umno-Pulai) - pendebat pertama mewakili BN. Dewan kecoh apabila Tian Chua (PKR-Batu) dan N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) bangun untuk membantah sesuatu yang dibacakan oleh Pulai.

Speaker Pandikar mengarahkan mereka yang tidak berdebat usul itu supaya duduk dan mendiamkan diri atau tidak, menghadapi perintah keluar dewan.

10.48am: Azmin Ali (PKR-Gombak) meneruskan ucapannya dan berkata "Saya minta wakil BN bercakap dengan ikhlas. Negara kita diserang oleh pihak Zionist atas jemputan anda.

"Di mana Pekan (Perdana Menteri Najib Razak)? Di mana Pagoh (timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin)? Kenapa mereka tak berani nak hadapi tuduhan ini?"

Azmin menggulung hujahnya dengan berkata Perkara 36(12) adalah supaya menteri-menteri membekalkan maklumat yang sebenarnya di dewan. Jika peraturan itu diambil secara literal, ramai menteri-menteri akan akan diheret ke jawatankuasa hak dan kebebasan.

10.39am: Azmin Ali (PKR-Gombak) adalah MP Pakatan pertama berucap. Beliau terus menyerang BN sambil mendapat tepukan gemuruh MP Pakatan. Katanya, usul itu tidak adil dan mempertikaikan mengapa dokumen yang dibekalkan oleh Anwar dalam penjelasannya kepada Parlimen sebelum ini tidak disiasat.

Azmin menuduh kerajaan Malaysia sebagai budak suruhan Apco - firma perunding perhubungan awam yang berpangkalan di Washington yang diupah oleh kerajaan Malaysia dan juga Israel.

Katanya, Anwar dihukum oleh usul tergesa-gesa yang dibuat mengikut telunjuk tuan mereka Apco-Israel.

Azmin melahirkan kebimbangannya mengenai keselamatan negara dan katanya Umno cuba menutup pembabitan sebenar Apco berhubung apa yang dikemukakan oleh Anwar.

10.37am: Pandikar memperuntukkan 15 minit kepada setiap pendebat.


"Jika kita benarkan Padang Serai (PKR MP N Gobalakrishnan), lima hari pun tak cukup," katanya berseloroh.

MPpembangkang terus menimbulkan isu teknikal berhubung usul tetapi Pandikar bertegas mengatakan ia teratur.

Sementara itu, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) akan menggantikan Anthony Loke (DAP-Rasah) sebagai seorang daripada pendebat Pakatan.

10.28am: Gobind (DAP-Puchong), yang agak emosional bertegas mahu mendebatkan peraturan dewan. Speaker Pandikar mengarahkannya supaya diam.

Beberapa MP yang lain cuba bercakap. Pandikar mengarahkan semua supaya duduk dan dengar arahannya.

Pandikar kemudiannya membacakan Peraturan 43. Katanya, adalah keputusannya bahawa usul yang dibentangkan itu adalah teratur dan keputusannya itu adalah muktamad. Sesiapa yang mempertikaikannya akan diperintah keluar dewan.

10.23am: Berlaku sedikit kekecohan apabila MP daripada kedua-dua pihak cuba berucap. Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bangkit beberapa kali untuk meminta point of order.

speaker Pandikar memberi amaran kepada Gobind supaya jangan melenggah-lenggahkan sidang dan mengingatkannya bahawa "Saya berkuasa mengeluarkan anda dari dewan".

10.18am: Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) bangkit dan berkata usul yang dibentangkan oleh BN itu menghina Dewan Rakyat.

Ini kerana, kata beliau usul mengheret Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu adalah memohon jawatankuasa itu untuk menentukan bentuk hukuman dan bukannya untuk menyiasat sama ada Ketua Pembangkang itu bersalah atau tidak.

Kamaruddin juga mendakwa ia mencabuli hak jawatankuasa berkenaan.

10.16am: Kit Siang hampir bertikam lidah dengan dengan Pandikar Amin berhubung perkara yang ditimbulkan oleh rakan-rakannya. Tetapi selepas penjelasan oleh Pandikar, Kit Siang mengalah.

10.11am: Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata bahawa beliau dan timbalannya akan menentukan sama ada perkataan dalam usul itu adalah tepat. Hujahnya, jika ia dalam peraturan mesyuarat, maka ia adalah tepat.

10.09am: Lim Kit Siang (DAP- Ipoh Timur) bangkit dan meminta penjelasan. Beliau bertanya sam ada kata-kata usul itu adalah tepat.

10.08am: Whip BN Datuk Seri Nazri Aziz memulakan usul itu dengan membacakan:

“Bahawa pada 17 Mac 2010, Yang Berhormat Ahli Parlimen Permatang Pauh, ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, telah mengeluarkan kenyataan, “1999 Satu Israel. 2009 Apco menasihat Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib 1Malaysia”.

Bahawa Yang Berhormat Ahli Parlimen Permatang Pauh telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan serta membuat dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai Ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini.

Maka inilah dipersetujui bahawa Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Jawatankuasa ini hendaklah membuat syor jenis hukuman yang setimpal yang patut Dewan.

10.06am: Nazri Aziz (Umno-Padang Rengas) berkata sessi Dewan Rakyat hari ini tidak akan ditangguhkan selagi usul ke atas Anwar Ibrahim ((PKR-Permatang Pauh) dan beberapa rang undang-undang lagi belum diluluskan.

10am: Empat pendebat daripada Barisan Nasional:

1. Nur Jazlan (Umno-Pulai)
2. Abdul Rahman Dahlan (Umno-Kota Belud)
3. Khairy Jamaluddin (Umno-Rembau)
4. Nazri Aziz (Umno-Padang Rengas)

Pakatan rakyat pula diwakili oleh:

1. Azmin Ali (PKR- Gombak)
2. Anthony loke (DAP-Rasah)
3. Marfuz Omar (PAS-Pokok Sena)
4. Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa BN akan membentangkan usul merujuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen berhubung dakwaannya yang mengaitkan '1Malaysia' dengan 'One Israel'.

Usul itu akan dibentangkannya dan akan disokong oleh ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

9.46am: Usul mengheret Anwar Ibrahim adalah agenda pertama dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat, mahupun galeri awamnya dipenuhi oleh ahli-ahli parlimen yang menjangkakan perdebatan hangat.

Malaysiakini

Tuesday, April 13, 2010

Kontrak Apco bernilai RM77 juta setahun - Malaysiakini


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa kontrak yang dimeterai antara kerajaan dengan firma perunding perhubungan Apco Worldwide bernilai hampir RM77 juta.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Tian Chua (PKR-Batu), jumlah yang didedahkan Nazri itu adalah dua kali ganda daripada yang dilaporkan sebelum ini.

Tian Chua merujuk laporan akhbar yang memetik Nazri, sebelum ini sebagai berkata jumlah yang dibayar kepada Apco berjumlah RM28 juta.

Bagaimanapun dalam jawapannya berhubung soalannya itu, Nazri berkata jumlah yang dibayar kepada Apco bernilai US$24 juta.

"Tukarkan jumlah itu dalam ringgit dan anda akan mendapat hampir RM77 juta."

Tian Chua berkata jumlah itu adalah untuk bayaran selama setahun.

"Saya tidak tahu sama ada dia tersilap atau membuat perkiraan yang salah berhubung kadar tukaran asing ringgit kepada dolar. Mungkin dia berfikir bahawa ringgit Malaysia masih kukuh dan nilainya hampir sama dengan dolar,” katanya dengan nada sinis.

Tian Chua melahirkan rasa tidak percayanya bahawa jumlah wang yang sebegitu banyak dibayar kepada firma asing sedangkan syarikat tempatan juga mampu melakukan tugas yang sama.

"Adakah perkhidmatan Apco begitu istimewa yang memerlukan bayaran sebegitu tinggi? Kenapa tiada syarikat tempatan diambil. Saya pasti firma tempatan mampu melakukan kerja itu,” katanya lagi.

Malaysiakini

Tuesday, April 6, 2010

Speaker terima notis rujuk Anwar ke JK hak - Malaysiakini

Speaker Dewan Rakyat hari ini berkata beliau telah menerima notis daripada menteri di jabatan perdana menteri untuk merujuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau telah menerima notis berkenaan pagi ini dan usul berkenaan akan dimasukkan ke dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat bagi 22 April.

"Notis telah saya terima dan saya persetujui supaya dimasukkan dalam order paper," katanya.

Usul itu dikemukakan di bawah peraturan 27(3), kata Pandikar Amin ketika menjawab pertanyaan daripada Anwar di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar sebelum itu bangun dan meminta speaker menjelaskan sama ada telah menerima notis berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau telah menyerahkan notis itu semalam.

Tarikh 22 Apri juga merupakan hari terakhir bagi sidang pertama, penggal ketiga bagi sesi parlimen ke-12.

Anwar berhadapan dengan tindakan dikenakan amaran ataupun penggantungan daripada menghadiri sidang dewan, bergantung kepada keputusan jawatankuasa itu.

Malaysiakini

Friday, April 2, 2010

Anwar Kepada Najib: Jawab Kenapa Pilih Apco - TVS

Di Parlimen hari ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tidak gusar dengan langkah wakil rakyat Umno merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Namun Ketua Pembangkang itu mempersoalkan tindakan Perdana Menteri mengabaikan tanggungjawab untuk menjelaskan tindakan beliau mengupah APCO untuk diberikan peranan penting dalam pentadbiran Negara.

"Suruh dia jawab dulu soal APCO. Jawab APCO, Israel dan perisikan Shin Bet. Jawab itu dulu. Apakah sudah dijawab atau belum? Buat apa serang saya? Soalnya sekarang Umno atau PM mesti jawab. Kenapa pilih APCO? Kenapa pertahan APCO bermatian-matian?"

TVS

Wednesday, March 31, 2010

Najib Bayar A$420,000 Kepada APCO Untuk Khidmat Nasihat 6 Bulan - SK

KUALA LUMPUR 31 Mac - Kerajaan Umno-Barisan Nasional didakwa telah membayar A$420,000 kepada firma antarabangsa APCO Worldwide yang dikaitkan dengan rejim Zionis Israel untuk khidmat runding selama enam bulan.

Dalam surat yang bertarikh 15 Julai 2009 dengan menggunakan kepala surat rasmi Jabatan Perdana Menteri dan dialamatkan kepada Paul Stadlen, kerajaan Malaysia mengesahkan terma yang dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan bersama APCO pada 10 Julai 2009.

Salinan surat tersebut yang dimuatnaikkan dalam blog dan internet didakwa telah ditandatangani oleh Samsuri Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kewangan dan Pembangunan di Jabatan Perdana Menteri.Surat Penerimaan setebal lima mukasurat itu menggariskan bidang kerja APCO kepada kerajaan Malaysia di bawah tajuk 'Public Affairs and Goverment Affairs Services' atau Perkhidmatan Perhubungan Awam dan Kerajaan.

"Dengan penerimaan kerajaan terhadap tender yang dikemukakan oleh pihak tuan, adalah dimaklumkan bahawa kini wujud ikatan kontrak antara kerajaan dan pihak tuan.

"Satu perjanjian yang lebih lengkap yang memasukkan semua terma dalam tender akan ditandatangani. Pihak tuan akan dimaklumkan apabila dokumen kontrak siap untuk ditandatangani," kata surat tersebut.

Surat itu yang juga ditandatangani oleh Paul Stadlen yang mewakili Mind Teams Sdn Bhd dan APCO Worldwide sebagai kontraktor serta Ronald Barnetto dari England sebagai saksi antara lain menggariskan empat bidang kerja utama berkaitan hubungan awam yang menjadi sasaran khidmat runding APCO kepada kerajaan Malaysia.

Mereka menandatangani surat penerimaan itu pada 21 Julai 2009.

Stadlen kini adalah Pengarah Urusan APCP Worldwide cawangan Malaysia.

Ini termasuk penyelidikan, pembangunan strategi dan mesej utama, pencapaian serta perundangan dan pematuhan.

Di bawah bidang penyelidikan, APCO dikehendaki mengenalpasti bidang kerjasama antara kerajaan Malaysia dan pemerintah Amerika Syarikat yang signifikan dan selari, membangunkan mesej komunikasi dengan pembuat dasar Amerika Syarikat dan tokoh penting masyarakat sivil serta mengenalpasti pegawai kerajaan, 'think tank', wartawan, NGO yang relevan kepada hubungan Malaysia-Amerika Syarikat.

Dalam sektor pembangunan strategi dan mesej utama pula, APCO akan memberi khidmat sokongan kepada Kedutaan Malaysia di Washington dan kerajaan Malaysia dalam melaksanakan program bagi mengukuhkan hubungan dan persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Bagi khidmat pencapaian pula APCO akan membantu mengeratkan hubungan dengan 'think tank', melaksanakan kempen mempromosi Amerika Syarikat bersama sektor perniagaan penting di Malaysia dan melaksanakan kempen media bebas Amerika Syarikat.

SK

Dokumen Perjanjian APCO - Kerajaan BN

Nota Ucapan Anwar Ibrahim Di Parlimen Berkenaan Skandal APCO – 30 Mac 2010Nota Ucapan Anwar Ibrahim Di Parlimen Berkenaan Skandal APCO – 30 Mac 2010

MUKADIMAH

Terima kasih kepada Tan Sri Speaker kerana memberi ruang kepada saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ianya bukan sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang agen Yahudi. Namun demikian, isu-isu terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan skandal dahsyat yang bakal didedahkan hari ini; yang tidak bersangkutan dengan kedudukan mahupun reputasi saya atau pun reputasi rakan-rakan saya. Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agensi perisikan asing dan tercalarnya maruah umat.

Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik atau tuduhan tidak berasas, Insya Allah, setiap kenyataan saya hari ini akan disokong dengan dokumen, rencana malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit.

Sehingga kini Perdana Menteri belumpun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

Ini berdasarkan kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri yang menyatakan:
“Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh…APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara. ”

Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan mereka seperti berikut:

“APCO’s work has included communication support for a broad range of reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening delivery of services to the people.”

Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekung serta memunculkan lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang sekadar menulis ucapan mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak melonjakkan imej Perdana Menteri walau itupun amat dikesalkan kerana ianya dilakukan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan belanja sekitar RM 20 juta. Secara sedar atau tidak kenyataan APCO mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh, bermakna firma tersebut terlibat secara langsung memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan. Ini bermakna, APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mesej yang disampaikan kepada rakyat dan saya akan terangkan dengan mendalam kenapa perkara ini sangat membahayakan kepada rakyat dan negara.

Pada 18hb Mac 2010, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan gagasan 1Malaysia, kononnya konsep itu wujud sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding.

Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak, atau Dato’ Sri Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya.

Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009 setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib.

Antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat Perdana Menteri yang juga teman lama YB Rembau dan rakan kongsi firma perunding Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO sebelum pun APCO dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan.

Walaupun yang diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa 1Malaysia dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri peranan Ethos Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan dari kita tidak menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.

Sebab itu kita tidak hairan, sebaik sahaja Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO menjadi perunding komunikasi kerajaan.

Malah, laporan berita tersebut dengan jelas menyatakan bahawa seorang penasihat dari APCO telah pun ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak dari awal Perdana Menteri mengambil alih.

APCO juga dilaporkan terlibat secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbirannya, termasuklah mesej dan dasar utama seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain.

Berdasarkan laporan tersebut juga pegawai-pegawai kanan kerajaan dikatakan tidak selesa apabila Perdana Menteri ingin menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerja-kerja rundingan kepada kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan antara bulan Julai dan September 2009; iaitu selepas penglibatan individu dari APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.

Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta – semuanya telah pun dilaporkan sejak tahun lalu dan ianya belum pun dinafikan pihak yang dikatakan terlibat.

Sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga menyebabkan kerugian berbillion ringgit; atau diaibkan di peringkat antarabangsa; saya melihat episod perlantikan APCO ini sebagai satu lagi kelalaian yang boleh merugikan dan membahayakan negara.

Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian lepas apabila terlalu percayakan penasihat asing sehingga kita tidak memeriksa dengan tepat reputasi mereka serta penglibatan mereka sebelum ini. Apatah lagi perlantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa penelitian.

Dulu, mantan Perdana Menteri mengizinkan kerajaan melantik David Zaidner dari firma Marc Rich untuk menasihati agensi kerajaan dan Bank Bumiputra cuba memanipulasi pasaran timah sedunia sehingga kita kerugian besar. Tidak sewajarnya kita lupa skandal Maminco itu. Mantan Perdana Menteri ketika itu seolah-olah tidak meneliti dahulu rekod David Zaidner, yang diketahui umum tidak suka mengikut peraturan dan undang-undang di dalam amalannya.

Kemudian, episod yang membabitkan Jack Abramoff hanya untuk mendapatkan satu temujanji dengan Presiden Bush dalam tahun 2002 dengan membayar USD$1.2 juta tanpa memeriksa dahulu latar belakang Jack Abramoff. Dalam tahun 2006, kerajaan Malaysia dimalukan apabila Jack Abramoff didapati bersalah menipu dalam satu transaksi kewangan sehingga dipenjarakan dan pada masa itulah semua penglibatan kerajaan Malaysia didedahkan. Abramoff juga merupakan seorang pelobi yang terlibat dalam penipuan tanah kaum peribumi Amerika Syarikat(Red Indian) untuk tujuan pembinaan kasino. Perlantikan Abramoff juga dibuat dengan penuh kerahsiaan dan pasti tidak diketahui umum sekiranya Abramoff tidak diheret ke muka pengadilan di Amerika Syarikat.

Walaubagaimanapun, mantan Perdana Menteri tersebut hanya memberikan tugasan yang spesifik kepada firma Marc Rich dan Jack Abramoff dan tidak melibatkan perjalanan jentera kerajaan yang menyeluruh.

Dalam konteks inilah, kita melahirkan kebimbangan kerana kenyataan keraajaan sendiri menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat. Kenyataan APCO menyatakan:

“will work to assist in strengthening the government’s online and other strategic communication capabilities to speed the delivery of accurate information to the media and public.”

Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO.

APCO DAN MODUS OPERANDI

Tetapi sebelum kita meneliti dengan lebih dalam kenapa penglibatan APCO secara rapat dengan kerajaan merupakan satu risiko yang wajar kita elakkan, kita perlu meneliti dahulu modus operandi firma-firma seperti APCO.

Hanya dengan memahami modus operandi yang digunakan oleh APCO, baru kita boleh memahami kenapa penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia diselubungi misteri dan rahsia.

APCO memanglah sebuah firma hubungan awam bertaraf antarabangsa. Reputasinya digilap kerana penglibatan tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan pentadbiran Amerika Syarikat atau pun ahli-ahli politik di Capitol Hill.

Pada masa yang sama, APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel.

Oleh itu, adalah penting untuk Dewan dan rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi. Apa fungsi firma pelobi di Washington?

Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini; yang secara tidak langsung kini Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah mendapat penghormatan kerana tergolong dengan pemimpin-pemimpin sebegini.

Untuk menjalankan tugas ini, mereka juga perlu menjaga nama dan reputasi mereka sebagai firma perhubungan awam. Sebab itu ada beberapa perkara penting di dalam modus operandi mereka yang perlu kita fahami.

Pertama – mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama di dalam perjanjian ini adalah mengenai perkara-perkara rahsia; dengan izin “Confidentiality” atau “non-disclosure”.

Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

Sebab itu, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan.

Mereka faham bahawa adalah menjadi sebahagian dari tugas APCO, seperti yang termaktub di dalam perjanjian lantikan bersabit perkara-perkara sulit dan rahsia; untuk melindungi klien mereka dan secara langsung menafikan penglibatan.

Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO. Satu yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh 4hb Ogos 2009 yang secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk membaikpulih imej kerajaan Malaysia. Ini mempunyai tandatangan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri, iaitu Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad yang menunjukkan betapa dekatnya APCO dengan Perdana Menteri – sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja.

Satu lagi contoh adalah perjanjian lantikan oleh Kerajaan Israel yang melantik APCO untuk menjalankan tugasan yang sama, bertarikh 9hb Januari 1992. Pada jangka waktu yang sama, Ehud Barak masih berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Negara Israel.

Kedua-dua perjanjian ini dengan jelas menghuraikan peranan APCO sebagai pelobi; yang antara lain perlu menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang diberikan kepada APCO dalam menjalankan tugasan. APCO juga tidak boleh mendedahkan maklumat kecuali diberi keizinan oleh kerajaan Malaysia. APCO malahan terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai komunikasi strategik yang menyeluruh.

Kita berhak menuntut kerajaan dan Perdana Menteri datang ke Dewan Rakyat dan berterus terang mengenai perjanjian yang telah ditandatangani dengan APCO – terutamanya semua soalan-soalan yang telah saya timbulkan minggu lalu mengenai tugasan, bayaran, penasihat-penasihat yang terbabit dan pengaruh mereka setakat ini.

Berbalik kepada modus operandi yang kita tekankan tadi. APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin “associates”) di seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies.

Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide10 yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO.

Jadi kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International. Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan penafian oleh APCO bahawa ianya tidak terlibat. APCO sebagai sebuah firma mungkin tidak terlibat dengan idea gagasan 1Malaysia – Apa mungkin Perdana Menteri hadir ke Dewan Rakyat dan menyatakan secara tegas bahawa tidak ada mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO atau firma bersekutu dengan APCO atau penasihatnya yang terlibat dengan gagasan 1Malaysia? Kita pertikai gagasan penting bagi pentadbiran sekarang tidak tergolong dengan apa yang dikira sebahagian dari komunikasi yang menyeluruh.

Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO? Perdana Menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur. Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel.

Perdana Menteri juga perlu menerangkan kepada Dewan; kenapa Omar Mustapha penasihat yang dipercayai Perdana Menteri dilaporkan membawa APCO untuk menasihati kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya 1Malaysia? Tidakkah ini menimbulkan persoalan mengenai perkaitan di antara Ethos, APCO dan 1Malaysia? Manakala itu Perdana Menteri beria-ia menonjolkan Omar Musthapa sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Petronas walaupun ditolak pada mulanya oleh Lembaga Pengarah atas alasan gagal membayar biasiswanya.

Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri, kerana kita tahu modus operandi APCO yang diselubungi degan rahsia dan melibatkan banyak individu yang bernaung dengannya tetapi menggunakan firma-firma yang berlainan.

REKOD APCO

Kebimbangan kita mengenai penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia banyak bersabit dengan rekod APCO dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

Ada dua aspek yang membimbangkan kita – pertama; APCO banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing. Sehinggakan akhbar The Times of India menulis bagaimana APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya. Rencana tersebut menyenaraikan antaranya:

“Adolf Hitler was a brilliant propagandist. Narendra Modi too believes in the power of image.

Which is probably why the chief minister hired a US lobbying firm which has serviced clients like former Nigerian dictator Sani Abacha and President-for-life of Kazakhstan Nursultan Abishuly Nazarbayev.

This Washington-based firm, Apco Worldwide, was hired by Modi sometime in August this year, in the run-up to an important Assembly election, to improve his image before the world community. Among its recent clients are Mikhail Khodorkovsky, a former Communist youth leader-turned-Russian billionaire with mafia links.”

Keduanya; mereka yang terlibat dengan APCO mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Israel serta ahli politik Amerika Syarikat yang mempunyai pandangan yang serong terhadap umat Islam.

Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?

Saya ingin kupas kedua-dua aspek dan memberikan bukti bahawa berdasarkan rekod APCO selama ini, sewajarnya kerajaan tidak melantik mereka kecualilah kepakaran yang diperlukan kerajaan adalah kepakaran menggunakan wang untuk membeli pengaruh di Washington.

Dalam tahun 2007, seorang wartawan penyiasat yang terkenal di Amerika Syarikat bernama Ken Silverstein telah menyamar untuk melantik APCO mewakili kerajaan Turkmenistan. Beliau telah melaporkan hasil siasatannya mengenai peranan dan pendekatan APCO membantu membersihkan imej diktator-diktator dunia di dalam sebuah rencana yang disiarkan di dalam Majalah Harper’s. Berikut antara pendedahan majalah tersebut:

“Apco was the first firm I contacted, because it was a natural candidate to represent Turkmenistan: it has experience working not just on behalf of authoritharian regimes in general-the dictatorship of General Sani Abacha in Nigeria, for example, which employed the firm in 1995, the same year it hanged 9 democracy activists.”

Pendedahan Ken Silverstein itu jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh APCO dalam membantu pemimpin-pemimpin yang begitu buruk rekodnya. Nama-nama yang disebut di dalam pendedahan tersebut termasuklah Barry Schumacher yang juga pernah terlibat di dalam tugasan lantikan kerajaan Israel pada tahun 1992 dan Jennifer Millerwise Dyck, bekas jurucakap CIA dan jurucakap Naib Presiden Dick Cheney; yang rekodnya di dalam perang di Afghanistan dan Iraq kita semua sedia maklum.

Sekiranya YB meneliti laporan tersebut, lebih membimbangkan adalah pendekatan yang diambil oleh APCO dalam menjalankan assignment itu.

Kepada kerajaan yang melantiknya, mereka dijanjikan pertemuan-pertemuan dengan pemimpin Kongres, dialog atau seminar dengan pelbagai institusi untuk memberi imej yang amat berlainan dengan apa yang berlaku.

Kepada pemimpin Kongres dan kerajaan Amerika Syarikat, mereka akan menjaja pertemuan-pertemuan ini sebagai peluang untuk mempengaruhi kepimpinan kerajaan yang melantik mereka sebagai perunding. Tidakkan ini satu amalan yang kurang beretika kerana ia seolah-olah mengambil untung di kedua-dua belah pihak? Bukankah ini satu isu yang besar apabila ada risiko campur tangan semata-mata untuk mendapatkan pertemuan-pertemuan di Washington?

Sebab itu saya akan terangkan selepas ini risiko-risiko yang telah ditanggung oleh negara apabila Perdana Menteri dicucuk hidung oleh Omar Mustapha dan juak-juak dari Ethos untuk melantik APCO.

Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaikpulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan.

Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan No. 4 yang paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

APCO sebagai firma perhubungan awam yang terlibat dengan komunikasi strategi mempunyai misi untuk melunakkan imej Sani Abacha yang melesapkan wang negara.

Aspek kedua yang membimbangkan kita adalah kehadiran ramainya tokoh-tokoh yang berkait rapat dengan kerajaan Israel dan organisasi pertahanan negara itu termasuklah agensi perisikan sebagai perunding atau penasihat APCO.

Tidakkah tindakan Perdana Menteri melantik APCO, yang umum diketahui rapat dengan tokoh-tokoh kanan rejim Zionis, merupakan sikap kepura-puraan? Di depan rakyat, kerajaan Barisan Nasional bercakap mengenai perjuangan Palestin, mengutuk rejim Zionist malah merotan pesalah-pesalah rakyat marhaen yang lemah untuk membuktikan ia sebuah kerajaan yang menegakkan Islam – adil atau tidak itu belakang kira.

Tetapi secara senyap di belakang, tanpa pengetahuan rakyat; Perdana Menteri dinasihati secara terus dan dekat oleh sebuah firma yang ditunjangi oleh tokoh-tokoh kanan rejim Zionis? Regim yang memenjarakan Gaza dan menindas baik umat Islam dan mereka yang beragama Kristian di Palestin.

Secara khususnya, saya ingin membawa perhatian Dewan kepada tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein14. Ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel. Apa itu Agensi Keselamatan Israel?( Israel Security Agency)

ISA adalah nama rasmi kepada satu organisasi yang cukup busuk namanya di kalangan umat Islam; iaitu Shin Bet. Apa ini Shin Bet? Shin Bet adalah adik kembar kepada Mossad; iaitu agensi perisikan Israel. Bezanya – Shin Bet adalah agensi perisikan dalam negara dan Mossad adalah agensi perisikan luar negara.

Siapa lagi tokoh-tokoh kanan rejim Zionis di dalam APCO? Antaranya Itamar Rabinovich; Duta Israel ke Amerika Syarikat, salah satu jawatan terpenting dalam rejim Zionis. Ini adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan ini. Begitu juga dengan Shimon Stein iaitu mantan duta Israel ke Jerman. Kedua-dua ini merupakan jawatan diplomatik kanan buat Negara Israel. Kedudukan mereka yang kanan dalam lingkaran diplomatik memperlihatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi serta melobi bagi pihak APCO sekarang.

RISIKO KEPADA NEGARA

Sebab itu kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara serta maruah umat.

Kita jelas mengapa kita bangkitkan isu ini. Ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Dato’ Sri Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil sebuah firma yang tercemar dengan rekod berkhidmat untuk para diktator dan petindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan.

Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh, pastinya ia berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses/terdedah kepada jaringan strategik serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO, lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikan rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini.

———

*Ini bukan sebahagian dari ucapan. Sekadar penilaian dan perbandingan berhubung persamaan di antara 1Malaysia dan 1Israel:

- 1Israel adalah parti gabungan yang dipimpin oleh Ehud Barak yang menang pilihanraya Israel pada tahun 1999. Ia pada asalnya mengumpulkan Parti Buruh, Gesher dan Meimad dan kemudiannya bergabung dengan parti-parti agama Yahudi dan sayap kanan seperti Shas, Meretz dan beberapa parti lain.

- 1Israel menandakan beralihnya dasar Parti Buruh menjadi lebih keras dan bersayap kanan; dengan kemasukan parti-parti lain di dalam gabungan. Ia merupakan gabungan pilihanraya yang mengumpulkan parti-parti perkauman bersayap kanan yang berbeza ideologi dan kepentingannya.

- Sebab itu pendekatan yang diambil oleh Ehud Barak adalah dengan menumpukan kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh 1Israel kepada rakyat untuk mengalih perhatian pengundi daripada perbezaan ideologi parti-parti di dalam 1Israel.

- Platform 1Israel menjanjikan perkhidmatan-perkhidmatan yang lebih baik terutamanya di dalam pendidikan dan kesihatan yang terpampang di papan tanda besar.

- Mesej-mesej yang konsisten di papan tanda besar ini adalah tumpuan 1Israel untuk mendahulukan rakyat; dengan mendahulukan perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan sebelum meluaskan kawasan penempatan Israel.

- Jadi mesej 1Israel adalah “rakyat didahulukan”, mesej 1Malaysia adalah “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

-Satu lagi inisiatif utama kerajaan 1Israel adalah dengan merombak sistem kesihatan. Di bawah 1Israel, fungsi Kementerian Kesihatan diubah dengan menjadi perancang dan mengurangkan penekanan kepada rawatan wad dan hospital – sebaliknya rakyat digalakkan mendapatkan rawatan pencegahan sebelum ke hospital; sama ada di klinik atau dengan ubat-ubatan yang diberikan.

- Maka 1Israel penekanannya adalah klinik, di Malaysia kita ada Klinik 1Malaysia.

- Selain itu di bawah 1Israel pelbagai tabung, yayasan dan kempen dilancarkan secara bertubi-tubi; semuanya di bawah payung 1Israel. Begitulah juga di Malaysia tiap-tiap hari kita disuap dengan pelancaran, yayasan (contohnya Yayasan 1Malaysia), tabung, kampung dan pelbagai lagi – semuanya konsep 1Malaysia.

Anwar Ibrahim