Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Bajet. Show all posts
Showing posts with label Bajet. Show all posts

Tuesday, October 27, 2009

Bajet 2010: Anwar Ibrahim 9

Bajet 2010: Anwar Ibrahim 8

Bajet 2010: Anwar Ibrahim 7

Bajet 2010: Anwar Ibrahim 6

Bajet 2010: Anwar Ibrahim 5

Bajet 2010: Anwar Ibrahim 4

Bajet 2010: Anwar Ibrahim 3

Bajet 2010: Anwar Ibrahim 2

Bajet 2010: Anwar Ibrahim 1

Bajet 2010 untungkan k'jaan: Anwar - Malaysiakini

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah yang diperkenalkan semula, jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai.

Dalam Bajet 2010, kerajaan mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu dari 27 peratus kepada 26 peratus selain menaikkan pelepasan cukai daripada RM8,000 kepada RM9,000, pelepasan dalam bayaran yuran internet, pembelian komputer, kenaikan pelepasan caruman KWSP dan sebagainya.

Berucap membahaskan bajet tersebut di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, secara kasarnya rakyat menikmati peruntukan kebajikan dalam bentuk pengecualian dan pelepasan cukai hanya dalam lingkungan RM500 juta.

"Walaubagaimanapun kerajaan mengenakan bayaran RM50 untuk kad kredit utama dan RM25 untuk kad tambahan. Dianggarkan kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih daripada RM400 juta daripada yuran kad-kad ini yang keluar daripada poket rakyat.

"Ini tidak termasuk lagi cukai keuntungan hartanah sebanyak 5 peratus yang diperkenalkan semula. Hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah ini jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai," tambahnya.

Sehubungan itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh bertanya adakah benar bajet ini berkebajikan kepada rakyat.

"Apa yang berlaku, ia bertentangan dengan usaha kerajaan untuk meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi. Poket rakyat makin kosong dan kuasa membeli merosot.

"Bagaimana kerajaan akan menjana permintaan dan penggunaan domestik untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dalaman sekiranya kuasa membeli rakyat merosot sedangkan pelaburan langsung asing terus merundum dengan teruk," tegas Anwar.

Katanya, jumlah kebajikan untuk rakyat terlalu kecil jika dibandingkan dengan subsidi yang diterima oleh syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) atau syarikat-syarikat pemegang konsesi seperti tol, AP dan sebagainya.

"Dalam laporan kewangan PETRONAS syarikat-syarikat konsesi IPP menikmati subsidi gas sebanyak RM20 bilion pada tahun 2008 dan bertambah kepada RM22 bilion tahun 2009.

"Siapa yang menikmati kebajikan yang sebenarnya? Rakyat atau syarikat pemegang konsesi? Bayangkan jika subsidi ini diagihkan kepada rakyat. Setiap rakyat Malaysia akan mendapat lebih kurang RM815 seorang.

"Bagaimana pula dengan kehilangan berbilion ringgit hasil penyelewengan, rasuah, pembaziran dan sebagainya? Skandal demi skandal terbongkar yang melibatkan puluhan billion ringgit daripada hasil cukai yang di bayar oleh rakyat? PKFZ, Perwaja, scorpene dan sebagainya. Kebajikan rakyat diutamakan?" soalnya.

Berikut adalah sedutan ucapan perbahasan Anwar:

Belanjawan tahunan merupakan polisi jangka pendek kerajaan. Selalu nya apa yang bentangkan Jumaat lepas akan dilupakan dan tidak diikuti sehingga belanjawan baru dibentangkan pula.

YAB Perdana Menteri mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu dari 27% kepada 26% bagi memasti kadar cukai pendapatan individu kekal berdaya saing serta meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai tambah tinggi menurut beliau. Selain itu kerajaan menaikkan pelepasan cukai daripada rm8 ribu kepada rm9 ribu, pelepasan dalam bayaran yuran internet, pembelian komputer, kenaikan pelepasan caruman KWSP dan sebagainya.

Secara kasarnya rakyat menikmati peruntukan kebajikan dalam bentuk pengecualian dan pelepasan cukai hanya dalam lingkungan RM500 juta.

Walaubagaimana pun kerajaan mengenakan bayaran RM50 untuk kad kredit utama dan RM25 untuk kad tambahan. Dianggarkan kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih daripada RM400 juta daripada yuran kad-kad ini yang keluar daripada kocek rakyat. Ini tidak termasuk cukai keuntungan hartanah sebanyak 5% yang diperkenalkan semula. Hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah ini jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai.

Adakah benar bajet ini berkebajikan kepada rakyat? Apa yang berlaku ia bertentangan dengan usaha kerajaan untuk meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi. Kuasa membeli rakyat merosot. Bagaimana kerajaan akan menjana permintaan dan penggunaan tempatan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dalaman sekiranya kuasa membeli rakyat merosot sedangkan pelaburan langsung asing terus merundum dengan teruk. Negara hanya mencatat kemasukan pelaburan langsung asing sebanyak RM3.6 billion berbanding RM19.7 billion tahun lepas?

Jumlah kebajikan untuk rakyat terlalu kecil jika dibandingkan dengan subsidi yang diterima oleh syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) atau syarikat-syarikat pemegang konsesi seperti tol, AP dan sebagainya.

Dalam laporan kewangan PETRONAS syarikat-syarikat konsesi IPP menikmati subsidi gas sebanyak RM20 billion pada tahun 2008 dan bertambah kepada RM22 billion tahun 2009. Siapa yang menikmati kebajikan yang sebenarnya? RAKYAT ATAU SYARIKAT PEMEGANG KONSESI? Bayangkan jika subsidi ini diagihkan kepada rakyat. Setiap rakyat Malaysia akan mendapat lebih kurang RM815 seorang.

Pengurusan ekonomi lemah - defisit 13 tahun berturut-turut

Walaupun belanjawan defisit kali ini lebih kecil daripada yang dijangkakan tetapi perlu diingatkan banyak lagi belanjwan-belanjawan tambahan, pakej rangsangan, perbelanjaan "off-budget" dan sebagainya akan dibentangkan sepanjang tahun 2010. Maka defisit akan terus meningkat.

Adakah benar kerajaan berbelanja defisit kerana "kebajikan rakyat didahulukan" atau kelemahan dalam pengurusan ekonomi pimpinan kerajaan sekarang. 13 tahun berturut-turut kerajaan membentangkan belanjawan defisit baik dalam keadaan harga petroleum dan komoditi melambong tinggi.

Akibatnya hutang Negara meningkat 18.3% daripada RM306.4 billion pada tahun 2008 kepada RM362.5 billion tahun 2009. Sejak 2006 hutang Negara meningkat 49.7% daripada RM242.2 billion. Dalam masa yang sama peratusan hutang Negara dengan KDNK meningkat 41.5% pada tahun 2008 kepada 52.4% tahun 2009.

Pelbagai langkah dan peruntukan diumumkan untuk memacu ekonomi standing dengan ekonomi nilai tinggi seperti negara Singapura, Korea Selatan dan sebagainya. Malangnya, statistik terus menunjukkan kemerosotan pendapatan yang secara langsung menyumbang kepada masalah defisit.

Keutamaan dalam pembangunan ekonomi jauh menyimpang. Kerajaan memberi keutamaaan yang berlebihan kepada pembangunan infrastruktur awam (public hardware infrastructure) dan mengabaikan keperluan infrastruktur social dan teknikal. Pembangunan infrastruktur teknikal dan sosial termasuk pembangunan dalam peningkatan kualiti sumber manusia, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, pencegahan jenayah dan sebagainya.

Kerajaan tidak upaya melonjak ekonomi ke tahap yang boleh menggandakan penjanaan pendapatan - iaitu ekonomi tambah nilai kerana terlalu bergantung kepada komoditi, petroleum, pembuatan dan perkilangan yang mana kita tidak mempunyai kelebihan lagi dari segi kos efisiensi berbanding negara-negara membangun lain.

Kerajaan hilang daya kreatif dan inovatif untuk menambah pendapatan Negara kerana terlalu bergantung kepada pendapatan industri petroleum. Bagaimana kerajaan dapat membimbing rakyat agar berdaya kreatif dan inovatif untuk meningkat kepada berpendapatan tinggi?

Kebergantungan kepada pendapatan industri petroleum

Bagi tahun 2008; kerajaan memperuntukkan RM177 billion yang mana RM74 billion (42%) disumbang oleh PETRONAS. Ini tidak termasuk hasil dari syarikat-syarikat industri petroleum lain. Sekiranya diambil kira dianggarkan pendapatan daripada industri petroleum mencecah lebih 60%.

Bayaran yang dibuat oleh PETRONAS kepada kerajaan meningkat dua kali ganda dari tahun 2005 hingga 2009; sedangkan rizab petroleum dan gas kita tidak banyak berubah dan kos operasi meningkat 3 kali ganda dalam tempoh yang sama.

Dalam tahun 2006, pecahan pungutan cukai langsung kerajaan adalah pada nisbah 46 % cukai syarikat, 32% cukai petroleum dan 15% cukai individu. Kerajaan tidak mengumumkan pecahan pendapatan cukai yang dijangka dalam tahun 2010, tetapi jangkaan umum adalah cukai petroleum sudah melebihi sumbangan cukai syarikat; yang menimbulkan tanda tanya tentang daya saing ekonomi kita yang terlalu bergantung kepada industri petroleum.

Dianggarkan hanya 2 juta dari 11 juta tenaga kerja di negara ini membayar cukai. Dari jumlah tersebut, dianggarkan hanya 10,000 pembayar cukai adalah pembayar cukai kadar tertinggi (highest tax rate payer); menggambarkan hanya 10,000 orang di Malaysia mendapat pendapatan lebih dari RM250,000 setahun. Ini melambangkan kegagalan BN melonjakkan ekonomi ke tahap lebih tinggi, sehingga tenaga kerja kita masih berkisar kepada kerja-kerja yang tidak mendapat pulangan tinggi - secara langsung menjejaskan pendapatan negara.

Sebelum cukai dinaikkan amat kritikal kerajaan menilai semula kewajaran penganugerahan konsesi tol, IPP, permit impot atau AP kepada perusahaan otomobil dan segala lesen dan permit yang diniagakan diatas dan bawah kaunter untuk mengaut keuntungan tanpa apa-apa pertimbangan yang amat membebankan pengguna.

Kerajaan perlu meneliti bajet dan menghapus pembaziran dan kebocoran. Secara teori kita dapat menyelamat sekurang-kurangnya 10% daripada belanjawan tanpa mengorban prestasi kerja dan penjimatan sedemikian dapat digunakan untuk mengurang defisit belanjawan.

Wujudkan sistem cukai progresif

Kita perlu peka dan prihatin kepada masalah jurang pendapatan rakyat di Negara ini. Kita sedia maklum jurang kemiskinan yang wujud di antara negeri-negeri, di bandar dan desa - malah, wujud juga jurang yang besar di antara tenaga kerja di negara ini.

Anggaran yang dilaporkan sebelum ini ada menyebut bahawa jumlah pembayar cukai kadar tertinggi di negara ini tidak pun mencecah satu peratus dari jumlah keseluruhan pembayar cukai.

Pelepasan-pelepasan cukai yang diumumkan dalam belanjawan 2010 sebenarnya tidak mengmbil kira jurang pendapatan yang wujud di kalangan tenaga kerja kita.

Pada masa kini, seorang pembayar cukai akan membayar kadar tertinggi apabila pendapatan beliau mencecah RM100,000 setiap tahun.

Dalam keadaan ekonomi semasa, golongan professional pertengahan juga akan masuk di dalam kategori ini; walaupun pendapatan mereka adalah jauh lebih rendah daripada mereka yang mencecah RM500,000 atau RM1 juta setahun.

Adalah lebih adil dan berkebajikan jika kita mengiktiraf jurang pendapatan yang wujud ini - maka sistem cukai individu kita perlu lebih progresif.

Saya cadangkan agar satu kategori pendapatan tertinggi yang baru diperkenalkan untuk membezakan di antara mereka yang berpendapatan tertinggi dan golongan professional kelas pertengahan.

Persaingan ekonomi dan meningkatkan daya saing

Kemurungan yang melanda ekonomi sejagat tampaknya tidaklah sebegitu tenat lagi. Namun keadaan sesungguhnya tidak menentu. Tidak siapa mampu menjangka keadaan yang mendatang. Esok, secara-cara tiba, ekonomi, boleh sahaja merudum dan mendung yang disangka berarak pergi, mulai datang menyelubungi lalu menimbulkan kekusutan kepada rakyat.

Panjanglah rumput di permatang
Di sabit orang di Inderagiri
Ku sangka panas sampai ke petang
Kiranya hujan di tengahari

Menurut laporan "World Competitiveness Report 2009/2010" yang dikeluarkan oleh "The World Economic Forum (WEF)" Malaysia jatuh dari tangga 21 kepada 24 kerana kelemahan dalam kerangka peraturan baik perundangan maupun pentadbiran yang jatuh dari tangga 17 kepada 43 dalam masa 2 tahun.

Kelemahan yang menjejas daya saing negara perlu diperbaiki seperti pencegahan jenayah, sistem perundangan dan kawalan pelaburan, penyelidikan dan pembangunan, infrastruktur era ekonomi baru seperti internet dan sebagainya bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan yang telah banyak ditawar oleh Negara-negara lain.

Perubahan ataupun al Islah ini merupakan istilah yang membawa maksud memperbaiki dari kerosakan serta mencegah kebejatan dari berlaku. Tafsir al Kabir melanjutkan penjelasan dengan mempertanggungjawabkan pemerintah dan kerajaan itu melakukan usaha sedaya upaya mencegah kemudaratan. Kesejahteraan rakyat haruslah menjadi keutamaan. Para mufasirin seperti Imam Fakhr al Din al Razi dan Ibnu Katsir bersetuju antara dari pengertian melaksanakan Islah ini adalah memenangkan Keadilan dan mengalahkan kezaliman.

Ibnu Khaldun, ilmuwan abad ke 14, di dalam karya Mukaddimah nya mengungkapkan sebuah pentadbiran dan kerajaan yang dikenal sebagai Wajhul Hikmah. Kerajaan yang mengambil berat kebajikan serta kesejahteraan rakyat nya. Yang mentadbirnya adalah di kalangan mereka yang jujur dan amanah

Sekiranya benar maka kita perlu perbaiki sekarang termasuk menggugur sebahagian dasar dan polisi yang telah usang dan tidak lagi berkesan kerana perubahan persekitaran persaingan. Dasar baru perlu diperkenalkan untuk berhadapan dengan cabaran perubahan ekonomi sejagat untuk terus kehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang semakin sengit bersaing.

Dalam kita mengejar kedudukan ranking kita perlu mengimbangi pembangunan diantara semua kaum. Ini sedikit sebanyak menjejas daya saing dan kecekapan pengurusan ekonomi Negara. Saya berpuas hati sekiranya kita dapat mencapai kedudukan ke 18 atau 19 dalam masa terdekat dan terus memperbaiki kedudukan apabila kita berupaya menyesuai kelemahan dan kesempitan aliran atau "bottleneck" dalam pengurusan ekonomi.

Kedudukan yang tinggi dalam daya saing dan efisiensi Negara samaada dapat dicapai atau tidak ditentukan oleh tahap persediaan Negara membiar kuasa pasaran berperanan menentukan aliran peruntukkan dan pengagihan sumber kekayaan Negara dengan campurtangan kerajaan yang minima melalui dasar, polisi, pentadbiran, undang-undang dan peraturan.

Ekonomi yang berdaya saing tinggi difahami berpengetahuan dalam pengurusan sumber dan sumber yang berkurangan. Dengan cara ini pertumbuhan ekonomi dapat dicorak dan dipertahan untuk menjana Pendapatan Negara Kasar yang tinggi. Dalam Negara penduduk yang serumpun teori ini boleh digunapakai tetapi amat sukar dalam masyarakat berbilang kaum yang berbeza aspirasi dan kedudukan ekonomi.

Indeks daya saing dan kecekapan global merupakan panduan penting untuk pelabur antarabangsa memutus tempat pelaburan. Negara yang ingin menarik pelaburan langsung sudah tentunya akan menyediakan iklim yang menarik dan berdaya saing untuk menawan mereka.

Buat masa ini jenis ekonomi yang efisien dan berdaya saing tinggi tanpa campurtangan kerajaan tidak sesusai untuk Negara tetapi mungkin akan menjadi kenyataan dalam dua tiga dekad lagi sekiranya kita meletakkan batu asas yang kukuh kearah itu dan dalam masa yang sama menyelesai masaalah kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan diantara yang kaya dan miskin.

Kita perlu mengkaji dasar yang diolah untuk memaju dan menyusun ekonomi berdasar pemilikan dan penglibatan berlandaskan kaum dalam ekonomi. Barangan dan perkhidmatan social dan ekonomi sepatutnya boleh digunakan oleh semua tanpa mengira kaum tetapi mereka yang mempamer kebolehan dan kesungguhan untuk terlibat perlu dibantu kerajaan. Bantuan jangan sekali-kali disediakan berdasar kedudukan social, kuasa politik penerima. Penglibatan dalam ekonomi mesti berdasar merit, keupayaan dan iltizam keusahawanan. Mengambil kira dasar ini bantuan mereka yang tidak bernasib baik mesti diolah dengan cara yang tidak membantut daya saing Negara.

Atas dasar itu sedang kita perlu kepada ekonomi yang berdaya saing tinggi dan cekap kita juga perlu mengimbangi tuntutan dan keperluan golongan yang memerlu bantuan dan perlindungan kerana kedudukan ekonomi mereka hasil daripada dasar yang diolah untuk mencapai ekonomi daya saing tinggi dan cekap. Pendekatan yang seimbang diantara keperluan persaingan dan keperluan membantu mereka yang terpinggir amat penting dalam ekonomi Negara untuk membina masa depan yang berjaya.

Pelaburan langsung asing

Pelaburan Langsung Asing atau FDI amat sensitive kepada ukuran keyakinan dalam ekonomi. Tertarik atau tidak mereka ke sesebuah Negara membuktikan keyakinan kepada kestabilan dan persaingan sesebuah ekonomi untuk mereka melabur. Pelaburan langsung asing merosot dengan begitu ketara dua tiga tahun yang lepas kedalam negara. Negara hanya mencatat kemasukan pelaburan langsung asing sebanyak USD7.3 billion tahun tahun 2008 berbanding dengan Indonesia USD 7.92 billion dan Vietnam USD 8.05 billion, Thailand USD 9.83 billion, Singapura USD22.8 billion. Tahun ini Negara hanya mencatat USD1 billion sahaja kemasukan FDI

Ada banyak sebab kemerosotan FDI yang begitu ketara sekali. Ada beberapa polisi yang menjadi batu penghalang kepada kemasukkan pelaburan langsung asing. UNTAD (United Nation Trade And Development) melaporkan Malaysia hanya berjaya menarik 2.6% sahaja daripada FDI pada tahun 2007 berbanding sekitar 8% pada pertengahna tahun 90an dan lebih daripada 10% pada tahun 80-an.

Negara perlu kepada strategi baru untuk menarik pelaburan langsung asing baik dalam tarikan pelaburan maupun mengintergrasi pembangunan dengan ekonomi serantau yang pesat membangun seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, India dan Cina yang mempunyai pasaran yang jauh lebih besar daripada Malaysia. Ini bergantung kepada kedudukan modal insane negara yang menjadi isu besar negara.

Baru-baru ini Kerajaan telah menghapus beberapa polisi yang menjadi penghalang kepada kemasukan pelaburan langsung asing dan jika diperlukan mempercepatkan lagi proses meliberisasi ekonomi. Kerajaan perlu menghapus polisi dan peraturan pentadbiran yang mengekang usaha kearah kebebasan pasaran.

Hakikatnya kerajaan tidak lagi berupaya mempengaruhi pembangunan dalam semua sector ekonomi untuk mencapai objektif social. Dalam konteks liberisasi pun kerajaan masih boleh menyedia pelbagai insentif untuk penglibatan golongan tertentu seperti menyedia kemudahan kredit daripada institusi kewangan dan sebagainya. Begitu banyak cara untuk membantu golongan kurang bernasib baik yang tidak membantut aliran bebas pelaburan dalam ekonomi. Melalui liberisasi ekonomi akan mempercepat pengaliran masuk pelaburan dan teknologi dalam ekonomi.

Kita perlu pelaburan asing bukan sahaja untuk mengurang beban kewangan kerajaan dalam pembangunan ekonomi tetapi juga teknologi baru yang dibawa bersama. Perusahaan tempatan tidak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan menyebabkan Negara tidak berdaya dalam rekacipta untuk pengeluaran barangan dan perkhidmatan generasi baru untuk keperluan era baru ekonomi global.

Kerajaan, Universiti dan pusat-pusat penyelidikan tidak menyesuai atau berorientasi dibawah rancangan komprehensif dan bermakna dalam menyalur hasil penyelidikan dan pembangunan untuk menghasil barangan dan perkhidmaan yang diperlukan oleh ekonomi global. Ketiadaan factor teknologi dalam ekonomi Negara akan membantut usaha kerajaan untuk melonjak taraf ekonomi dibawah model baru ekonomi.

Kualiti internet tercorot

Internet merupakan penggerak utama kepada perusahaan berpendapatan tinggi. Tanpa kualiti internet yang baik perusahaan yang kreatif dan inovatif tidak dapat beroperasi dengan cekap.

Di kalangan Negara-negara Asia, Singapura, Taiwan dan Hongkong berada pada tahap selesa memenuhi keperluan aplikasi hari ini sementara Korea dan Jepun sudah berada dalam masa depan.

Negara-negara yang di kenal pasti sudah bersedia untuk masa depan termasuk Korea, Jepun, Sweden, Lithuania, Bulgaria, Latvia, Belanda, Denmark dan Romania dengan kelajuan melebihi 11.25 Mbps dan "upload" 1 Mbps.

Keselamatan dan jenayah

Peningkatan kadar jenayah menjejas kedudukan ranking persaingan dan efisiensi Negara. Sebahagian masyarakat menghadapi kesulitan untuk menyesuai dengan kemodenan dan kemajuan ekonomi. Mereka terpaksa berpindah randah untuk memberi ruang kepada pembangunan kerana tanah mereka diambil sedangkan mereka tidak berupaya memiliki rumah dalam kawasan yang dibangunkan. Ramai dikalangan mereka tidak mempunyai atau berpeluang mendapat pendidikan tinggi dan terpaksa berkerja diperingkat bawahan atau buruh dengan gaji yang rendah.

Sebahagian daripada mereka mewajar tindakan dan kelakuan mereka walaupun kejam kerana mempercayai tidak ada bezanya dengan pengusaha yang mengaut keuntungan melampau dengan menindas pekerja tanpa mengira kesusahan atau keperitan orang ramai atau penguatkuasa yang memeras, mengugut, mengambil rasuah dan malah membunuh untuk mendapat habuan daripada orang yang sepatutnya mereka lindungi. Perbezaannya hanya cara sahaja.

Saya ingin menekankan kemerosotan keselamatan dan peningkatan jenayah di Bandar bukan hanya disebabkan kemajuan dan pembangunan ekonomi tetapi juga masaalah kemiskinan dan ketidaksaksamaan dalam pengagihan kekayaan negara. Perancangan ekonomi mesti diperbaiki dengan mengolah polisi bagi memasti keadilan social berlaku untuk semua kaum.

Saya menyokong segala usaha untuk meningkat keamanan Negara. Negara amat perlu memoden dan memperlengkap pasukan polis dengan teknologi, teknik penyiasatan dan pengesanan terkini serta pasukan yang berdedikasi untuk mengawal walaupun dalam keadaan darurat. Negara perlu menggunakan technology, kelengkapan dan kemahiran moden untuk menyusun semula kawalan terutama dalam kecurian, rompakan dan keganasan berkaitan dengannya.

Pendidikan

Indeks Pembangunan Insan (Human Development Index) yang dikeluarkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan Malaysia jatuh dari kedudukan 63 kepada 66. Ini menunjukkan Negara-negara lain telah lebih kehadapan dalam pembangunan insane. Gini Coeffient juga menunjukkan Malaysia merupakan Negara yang paling tinggi jurang diantara yang kaya dan miskin di rantau ini. Perlu diberi perhatian bahawa kadar celik huruf dewasa di Malaysia ialah 91.2%, Indonesia 92% serta Georgia ialah 100%!

Pendidikan menjadi kelemahan dalam daya saing Negara dan mungkin menjadi rintangan paling besar untuk pertumbuhan dan kejayaan masa depan ekonomi Negara. Kita telah mengabai fahaman tradisi bahawa prasyarat asas pembangunan modal insane untuk pertumbuhan ekonomi dan kejayaan masa depan dicapai hanya melalui penyediaan sistem pendidikan bertaraf dunia pertama.

Tidak ada satu pun universiti dalam negara menduduki tangga 100 malah 200 universiti terbaik dunia sedangkan sudah banyak universiti-universiti di Asia terutama dari Hongkong, China , Jepun, Singapura, Korea, Taiwan dan malah Thailand berjaya menduduki dalam kumpulan university terbaik dunia. Peningkatan kualiti pendidikan mereka jauh lebih maju dan kehadapan berbanding dengan system pendidikan kita.

Menurut kedudukan university-universiti terbaik Asia yang dinilai oleh QS Top Universities, 2 buah universiti dari Thailand iaitu University Mahidol menduduki tangga ke 30 dan Chulalongkong ke 35 berbanding dengan university terbaik negara iaitu Universiti Malaya yang hanya berjaya menduduki tangga ke 39. University of Hong Kong yang sama taraf dengan University Malaya satu ketika dahulu menduduki tangga no 1 sementara National University of Singapore tangga 10.

Penekanan kepada sains, teknologi serta sains asas seperti physics, kimia dan kejuruteraan di universiti-universiti tempatan terlalu kurang dan lemah sedangkan kita perlu mengorientasi Negara menceburi dalam era ekonomi global baru. Kita hanya berjaya mengeluarkan modal insan yang mampu menyelenggara ekonomi masa kini tetapi tidak berupaya memacu ekonomi dimasa hadapan. Kita masih bertelagah mengenai penggunaan bahasa untuk pelajar daripada memikir penguasaan matapelajaran sains dan teknologi untuk memacu Negara kehadapan.

Sistem pendidikan yang baik menjana modal insan yang berupaya mengeluar kemahiran berdaya kreatif, inovatif yang sentiasa mencipta barangan dan perkhidmatan baru untuk pasaran tempatan dan global. Tanpa modal insan yang berdaya kita tidak berupaya memacu ekonomi ke tahap sekarang dan tidak boleh mengolah model baru ekonomi yang digambarkan oleh kerajaan yang berdaya menimba, melibat dan menyumbang kepada ekonomi global.

Mana-mana pakar ekonomi bersetuju sudah terdapat jurang yang begitu luas dan tidak dapat diperbaiki lagi dalam dekad depan dari semua sudut kualiti modal insan yang diperlukan sekarang dan masa depan sekiranya kita terus mengabai system pendidikan negara. Modal insan berkualiti tinggi agak sukar diperolehi dalam Negara sekarang.

Perubahan radikal diperlukan dalam system pendidikan Negara. Kita mesti mengeluar pelajar berkualiti, pemikir yang dapat bertindak secara bebas, berfikir secara berlainan dan inovatif serta mahir berkomunikasi dalam pelbagai bahasa. Pelajar2 ini mesti perolehi pengetahuan teknikal, kejuruteraan, matermatiks dan kemahiran amali terkini serta berupaya merancang dan membantu yang lain dalam perusahaan masa depan. Melainkan kita merubah system pendidikan Negara yang sudah jauh ketinggalan, daya saing Negara akan terus merosot dan harapan untuk menjadi sebuah Negara maju tidak akan tercapai.

Negara juga sedang mengalami pengaliran keluar pakar-pakar atau "brain drain" kerana mereka yang pintar dan berbakat tidak lagi melihat Negara sebagai tempat berpeluang untuk maju dalam ekonomi Negara dan ini digalakkan oleh ibubapa dan rakan-rakan dalam mengejar cita-cita dan kekayaan. Kita kehilangan mereka yang berbakat sekiranya daya kreatif dan kemahiran teknikal tidak diperguna dan diperlukan dalam ekonomi sekarang. Tidak ada motivasi untuk mereka merekacipta barangan dan perkhidmatan baru sekiranya Negara sendiri tidak ada kelebihan teknologi untuk digunakan dalam menggarap daya kreatif mereka. Mereka akan pergi ke destinasi lain yang lebih mencabar.

Malaysiakini

Thursday, October 15, 2009

Biar rakyat tahu ketelusan kerajaan negeri - Khalid Ibrahim - Harakah

KUALA LUMPUR, 14 Okt: "Biar rakyat tahu ke mana duit disalurkan dan bagaimana kita gunakan harta negeri."

Ringkas dan penuh makna, demikian antara petikan rumusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu ucapan penutupan Majlis Dialog Bajet 2010 Negeri Selangor yang berlangsung selama dua hari yang bermula 12 Oktober lalu.

Sambil itu, beliau berharap pertemuan dan perbincangan itu akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan matlamat menjadikan Selangor sebuah negeri yang berjaya dari segala aspek dan rakyatnya hidup makmur.

"Sebenarnya tujuan majlis ini adalah untuk memastikan perbelanjaan kita diurus dengan baik dan akhirnya Selangor akan berkembang maju dan rakyatnya sendiri akan mendapat pulangan," katanya kepada hadirin.

Majlis yang melibatkan penyertaan 450 prang peserta itu dianjurkan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor ini, bertujuan untuk menyediakan satu forum di mana wujudnya komunikasi dua hala secara langsung di antara pihak penggubal dasar dan pihak yang terlibat di peringkat akar umbi.

Majlis itu merangkumi tiga sesi taklimat khusus, menjurus kepada elemen-elemen penyediaan dan perancangan Bajet 2010 dijangka dibentangkan semasa Mesyuarat Ketiga (Bajet 2010) Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Kedua Belas pada 9 ? 17 November 200

Sambil itu, Khalid merakamkan rasa puas hati dengan keterlibatan para peserta yang memberi input dan idea yang baik selama majlis itu berlangsung dua hari bagi memastikan dasar "Merakyatkan Ekonomi Selangor dan Melestarikan Komuniti" mencapai sasaran.

Selain itu, percambahan minda oleh beberapa pembentangan kertas kerja, turut menarik perhatian Khalid yang menyifatkan begitu positif antaranya yang diterangkan oleh Moderator seperti Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad;Dr Halimah Ali (Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan),Dr Xavier Jayakumar (Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin) dan Ronnie Liu (Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan).

Iskandar dalam Majlis itu telah mencadangkan kerajaan negeri mengambil alih penyelenggaraan lif di perumahan rumah pangsa yang mana bagi bajet 2010 ini dianggarkan kerajaan negeri memerlukan sekitar RM8 juta untuk menyelengara 1,1011 lif di rumah-rumah pangsa kos rendah itu.

Katanya, hampir setengah juta penduduk Selangor menghuni di perumahan kos rendah dan kebajikan mereka ini perlu dijaga kerana pembinaan projek perumahan rakyat tidak semestinya dilihat bagi mendapatkan keuntungan.

Khalid Ibrahim yang merumuskan cadangan Iskandar itu berkata kerajaan negeri akan mencari dana bagi menyediakan peruntukan menyelenggara lif-lif di rumah pangsa kos rendah di negeri ini.

Penyelengaraan lif adalah antara masalah terbesar dihadapi oleh penghuni rumah pangsa kos rendah di negeri ini.

"Konsep supaya kita menjaga lif untuk semua rumah pangsa yang menjadi masalah terbesar kita kena fikirkirkan, oleh itu lembaga perumahan besok cari dana untuk atasi ini.

"Saya nampak masalah terbesar rumah pangsa adalah lif. Kita akan cuba laksanakan jadi kita akan buat tender kepada semua syarikat yang boleh membaiki lif, saya tahun sekurang-kurangnya nya membelanjakan 5 juta untuk membaiki rumah-rumah pangsa dibawah PKNS,"katanya.

Sementara itu, Khalid turut mengulas berhubung Pembangunan modal insan di Selangor, yang berteraskan konsep SPIES iaitu Spiritual, Physical, Intellectual, Emotional dan Social yang diilhamkan Dr Halimah sebelum ini.

Katanya, usaha ini penting untuk melahirkan masyarakat Selangor yang berkualiti dan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara, sekaligus mewujudkan persekitaran hidup yang selesa dan selamat.

Ketika membuat rumusan, Dr Halimah berkata, pendidikan dan pembangunan modal insan adalah tunjang kepada pencapaian kejayaan negeri Selangor.

"Kita mahu melahirkan insan-insan atau rakyat negeri Selangor yang mahu membina aset, mind set, attitude, yang tahu mempunyai ilmu dan kemahiran, learn worker teachable, mahu melakukan, akan melakukan delivery system, segala perancangan pembangunan Kerajaan Negeri Selangor," kata Halimah.

SPIES katanya, turut memberi penekanan kepada aspek kemahiran, seperti kemahiran kepimpinan, komunikasi dan sosial.

Khalid dalam rumusannya itu berkata, konsep SPIES ini adalah peracangan dan program jangka masa panjang yang hasilnya tidak mungkin dapat dilihat dalam masa terdekat.

"Ia merupakan tough subject ( isu yang sukar) dan memerlukan komitmen yang tinggi dan program janga masa panjang yang akhirnya mahu melihat dan menghasilkan rakyat Selangor yang berkualiti, yang dapat menyumbang tenaga dan minda kepada kejayaan Selangor," kata Menteri Besar itu.

Mengakhiri majlis itu, Khalid berharap semua pihak dapat mengembleng tenaga dan komited dalam mencapai sasaran Bajet 2010 yang bakal dibentang kelak.

"Kita tidak boleh selesaikan semua masalah tetapi kita sentiasa memperbaharui dan memperbaiki pentadbiran kita.

"Biar rakyat tahu ke mana duit disalurkan dan bagaimana kita gunakan harta negeri," katanya yang mendapat tepukan gemuruh hadirin. _

Harakah

Thursday, November 6, 2008

Bajet tidak sah, pembentang Najib ditolak

PARLIMEN, 6 November (SK) - Parlimen membuat keputusan menolak bajet tambahan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan Najib Razak semasa menggulung Bajet 2009 pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Pakatan Rakyat (PR) Anwar Ibrahim, bajet tambahan yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu tidak sah dan melanggar peraturan mesyuarat Parlimen.

Perkara itu berlaku kerana apa yang dilakukan oleh Najib ialah membentangkan bajet baru bukan menggulung bajet yang dibentang oleh Perdana Menteri Abdullah Badawi pada 29 ogos lalu.

“Jika ‘bajet Najib’ diluluskan maka ia melanggar peraturan kerana yang diedarkan kepada kami ‘bajet Abdullah’, dan ‘bajet Najib’ belum diedarkan.

“Jadi peruntukan perbelanjaan pertanian dan pendidikan sudah berbeza,” jelas ahli Parlimen Permatang Pauh dalam sidang media semalam.

Tambahnya, bila giliran menteri menggulung, jika tidak faham dan ada apa-apa soalan daripada ahli dewan maka menteri perlu jawab.

“Tapi apa yang berlaku, tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen kita.

“Selepas satu jam dua atau tiga menyoal kemudian tutup dan lulus. Inilah sebenarnya rancangan beliau, saya dengar sendiri apa yang dikataan kepada editor,” hurainya yang merupakan Ketua Umum KeADILan.

Mengikut pengalaman beliau, katanya, perlu ada usul diedarkan untuk makluman ahli-ahli Parlimen.

Anwar pernah memegang jawatan Menteri Kewangan di zaman Tun Mahathir sebelum dipecat dalam satu kospirasi politik.

Bajet Abdullah dibahas, bajet Najib diluluskan

Sementara itu, ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang menganggap perbahasan dan penggulangan yang dijalankan di sebelah pagi semalam dan kelmarin adalah membuang masa kerana itu adalah pembentang bajet baru Najib.

“Tambahan 700 juta ini merupakan bajet baru dan mesti dibentangkan kepada Parlimen sebelum diluluskan,” tegasnya yang juga merupakan ahli Parlimen Ipoh Timur.

Namun, katanya, apa yang dilakukan oleh Najib adalah sesuatu yang sangat pelik kerana dua bulan lepas ‘bajet Abdullah’ dibahasakan, tetapi hari semalam, ‘bajet Najib’ yang diluluskan.

Akibat tekanan daripada PR yang diketuai oleh Anwar tentang perkara terbabit, akhirnya, persidangan Parlimen semalam terpaksa ditangguhkan lebih dua jam bermula 12.15 tenggah hari semalam.

Pada jam 2.30 petang, apabila mesyuarat disambung semula, Timbalan Speaker Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat keputusan bahawa ‘bajet Najib’ itu tidak sah dan melanggar peraturan.

Oleh itu, perbahasan Bajet 2009 disambung hanya membenarkan perbahasan peruntukan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos lalu dan tidak menerima pakai selain pandangan dan hujah yang dibentangkan oleh Najib semalam.

Pada Selasa lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM700 juta dalam usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara semasa menggulung pembentangan bajet 2009.

Sementara itu, dalam sidang media selepas mesyuarat ditangguhkan, Anwar penjelaskan setiap pindaan yang hendak dibuat di Parlimen mesti diberitahu dua hari sebelum isu tersebut dibahaskan.

“Kalau hendak membuat pindaan hendaklah diberi notis dua hari, ia ada dalam perkara 66 (15) yang menyatakan pindaan dikehendaki diberitahu sekurang-kurangnya dua hari dan ada usul diedarkan.

Perangai Najib membahayakan negara

Beliau turut melahirkan rasa bimbang dengan senario yang berlaku, di mana bakal Perdana Menteri itu mengabaikan peraturan dan undang-undang dalam pembentangan bajet.

“Jika perkara ini berterusan, ini akan membahayakan negara kerana beliau mengabaikan perkara yang penting,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Penasihat DAP dan Setiausaha Agung Pas Kamarudin Jaffar.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, tindakan Najib ini adalah satu petanda buruk kepada negara.

Ujarnya ini kerana beliau masih belum memegang jawatan Perdana Menteri tetapi sudah berlagak dan cara beliau menyalahi undang-undang.

Beliau berkata demikian, ketika mengulas tindakan Najib tidak membenarkan sesiapa mencelah untuk mendapat penjelasan sewaktu menggulung bajet 2009.

Terdahulu pada sebelah pagi, ketegangan dan suasana panas di Dewan Rakyat berterusan sehingga memaksa Wan Junaidi menangguhkan sidang selama dua jam.

Beliau berkata, Speaker akan mempengerusikan mesyuarat pada sesi petang bagi menjelaskan mengenai Bajet 2009 yang dibentangkan sebelum ini serta sumber kewangan sebanyak RM700 juta selepas mendapat penjelasan daripada Kementerian Kewangan.

Sebelumnya, ahli Parlimen PR berkata mereka keliru dengan angka yang diumumkan Najib semalam dengan angka yang diumumkan Abdullah yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2009.

Pada Selalu lalu, kesemua ahli Parlimen PR memulaukan ucapan penggulungan Najib mengenai perbahasan Bajet 2009 selepas beliau tidak memberi laluan selama satu jam di peringkat awal untuk mengemukakan soalan.

Mereka bertindak keluar dan tidak masuk semula sehingga Najib habis berucap.


Sumber: Suara Keadilan

Monday, September 1, 2008

Belanjawan 2009 Ibarat Gula-Gula Getah

Belanjawan yang dibentangkan 29 Ogos lepas nyata belanjawan ‘menawan semula hati rakyat’ pasca 8 Mac dan 26 Ogos 2008. Justeru mudah saya simpulkan, ia belanjawan yang ‘dijangka tetapi mengecewakan’.

Malaysia mencatat rekod sebagai satu-satunya negara pengeluar minyak yang berterusan mencatatkan belanjawan defisit selama 10 tahun berterusan.

Ia memberi gambaran ekonomi negara berada di tahap yang tidak stabil. Apatah lagi kali ini ia terus mencatatkan belanjawan tertinggi yakni RM209.7 billion.

Apa yang menjadi kebimbangan adakah kerajaan benar-benar berupaya mengawal perbelanjaannya. Tahun lepas kerajaan juga mencatatkan belanjawan yang besar iaitu RM 176.9 billion, akan tetapi berdasarkan jumlah terkini, belanjawan yang lepas sudahpun melebihi sebanyak RM 20.3 billion, menjadikan jumlahnya yang sebenar RM197.2 billion.

Selain itu kita melihat perbelanjaan pengurusan meningkat sekitar 20%, peningkatan dari RM 128.8 billion kepada RM154.2 billion.

Ini bercanggah dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal.

Sangat mengecewakan tidak ada sebarang usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang digariskan di dalam belanjawan kali ini.

Sebaliknya hanya imbuhan buat rakyat terbanyak ibarat ‘gula-gula getah’, manisnya sekadar bersifat sementara. Tidak ada penyelesaian komprehensif untuk mewujudkan mekanisme kawalan jangka panjang ke atas masalah-masalah pokok seperti pembasmian rasuah serta penyelewengan wang rakyat atas nama ‘pembangunan’.

Pencegahan jenayah yang kian membungkam seolah-olah tidak menjadi fokus kerajaan umno-bn berbanding meraih populariti yang kian hilang.

RM35 bilion yang diperuntukkan untuk peningkatan kecekapan pengangkutan awam sebermula tahun 2009 hingga 2014 juga mendatangkan persoalan. Andai peruntukan sebanyak RM4.4 billion di bawah Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam yang diumum hasil kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen pada April 2006 masih tidak menampakkan apa-apa impak positif, ke mana pula bakal ‘perginya’ RM35billion itu?

MRR2 terus retak, komuter dan LRT terus semak, jalanraya terus sesak, Kontrak-kontrak bertambah banyak, kroni terus membiak, masalah tidak luak, rakyat semakin jelak!

Apa lagi yang boleh kita harapkan hasil gula-gula sementara ini?

ANWAR IBRAHIM

Sunday, August 31, 2008

Belanjawan 2009: Insentif tidak mampu bantu rakyat

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Hrkh) - Insentif bil elektrik percuma bagi isi rumah yang membayar bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan yang diberikan kerajaan dalam Belanjawan 2009 tidak mampu mengurangkan himpitan hidup bagi warga kota yang dibebani dengan kenaikan harga minyak dan barangan.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman, insentif tersebut hanya memberi manfaat kepada golongan tertentu yang kurang menggunakan elektrik khususnya masyarakat di luar bandar.

Selain itu katanya, mengenai subsidi pusat jagaan kanak-kanak (Taska) kepada penjawat awam sebanyak RM180 sebulan, insentif yang diberikan tidak memadai kerana bayaran di sesebuah taska di kawasan bandar yang mencecah RM 300 untuk seorang bayi atau kanak-kanak.

Katanya, adalah lebih baik jika kerajaan memberikan insentif untuk majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Sementara itu, mengenai peruntukan RM 5.6 bilion di bawah Dasar Jaminan Makanan Negara untuk insentif kepada pengusaha pertanian, katanya insentif tersebut hanya untuk meringankan mengurangkan beban kenaikan kos pengeluaran.

Katanya, kerajaan seharusnya memberi insentif untuk meningkatkan pengeluaran mereka dengan memberikan lebih banyak prasarana serta sistem pengeluaran daripada dua kali setahun kepada tiga kali setahun.

"Selain itu, tidak ada satu agensi yang khusus untuk pembangunan padi. Apabila Lembaga Padi dan Beras Negara diswastakan, kita tidak mempunyai insentif yang khusus untuk tujuan tersebut. Jadi perlu diwujudkan kembali seperti Lembaga Padi dan Beras Negara,"katanya.

Dalam pada itu menyentuh mengenai peruntukan RM35 bilion untuk tempoh enam tahun, katanya seharusnya dengan peruntukan tersebut, sistem pengangkutan awam lebih bersepadu dan lebih diyakini serta dipertingkatkan. - mks. _

Sumber: HarakahDaily

Belanjawan 'gula-gula' rakyat, Abdullah mula gementar - Anwar

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Hrkh) - Pembentangan Belanjawan 2009 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggap sebagai satu pemberian 'gula-gula' untuk mengabui mata rakyat dan mula gementar dengan proses peralihan kuasa.

Menurut Ketua Pembangkang,Dato' Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak berupaya untuk memberikan ransangan baru.

"Masalahnya tidak ada pelaburan baru, pengurusan yang lembab dan rasuah tidak ditangani.

"Jadi jika kita lihat defisit bertambah. Bagi negara Malaysia ini satu yang unik. Ini kerana semua negara pengeluar minyak mempunyai kekuatan lebihan dalam belanjawan,"jelasnya di parlimen semalam.

Menurutnya, Malaysia mempunyai dana yang besar tetapi masih mengalami defisit.

"Kalau kos mngendalikan satu-satu projek RM40 bilion, RM 10 bilion hilang di tengah jalan,ini yang menjadi masalah besar,"katanya.

Tambahnya lagi, Abdullah kini berasa gementar kerana keresahan di kalangan rakyat.

"Maka dia cuba memberi sedikit sebanyak gula-gula untuk riang Sabah, Sarawak dan orang-orang miskin.

"Sebaliknya beliau lupa bahawa peningkatan kos sara hiduo dan inflasi begitu melonjak tinggi.

"Maknanya kalau diberi RM100 atau RM500 tidak sepadan dengan kenaikan kos harga barang dan minyak,"tambahnya lagi.

Selain itu, katanya, Abdullah kelihatan mula gementar dengan kemungkinan peralihan kuasa iaitu dengan cara memberi sedikit ugutan dengan membicarakan proses demokrasi.

"Bila Barisan Nasional menghormati proses demokrasi di Malaysia?

"Pilihan raya banyak penipuan, media dikawal, hakim masih lagi bergelumang di bawah tekanan, polis tidak berwibawa, peningkatan jumlah dana untuk kroni begitu besar tetapi jenayah meningkat. Ini tidak disebut dalam belanjawan,"tegasnya. - mks._

Sumber: HarakahDaily

Friday, August 29, 2008

Terkini: Bajet 2009

Pelancongan

- Kerajaan sedia peruntukan RM50 juta untuk kerja pemuliharaan di Pulau Pinang dan Melaka, yang akan dikendalikan oleh badan bukan kerajaan dan sektor swasta.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

- Peruntukan RM5.4 bilion untuk tingkatkan keupayaan PDRM - RM4.8 bilion bagi belanja mengurus dan RM600 juta belanja pembangunan.

- Peruntukan RM200 juta bagi pembinaan ibupejabat, balai dan pondok polis di seluruh negara.

- Semua premis perniagaan yang memasang alat kawalan keselamatan di beri Elaun Modal Dipercepatkan yang boleh dituntut sepenuhnya dalam tempoh satu tahun.

Pengangkutan

- K'jaan sedia kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk biayai perolehan aset bas dan rel

- Pengurangan 50 peratus bayarn tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh du atahun mulai 15 September 2008.

- Kecekapan pengangkutan awam ditingkatkan melalui perbelanjaan RM35 bilion dari 2009 hingga 2014.

Sumber: Malaysiakini

Terkini: Bajet 2009

- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ialah 6.3 peratus bagi suku kedua 2008, menjadikan pertumbuhan setengah tahun pertama tahun ini pada tahap 6.7 peratus.

- Rebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Ekoran itu 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai.

- Duti import atas beberapa barangan pengguna - pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro dan cerek elektrik - dikurangkan dari antara 10 hingga 60 peratus kepada 5 hingga 30 peratus.

- Cukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat, dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, mulai 1 September 2008.

Orang Kurang Upaya (OKU)

- Memberi elaun RM150 sebulan kepada Orang Kurang Upaya (OKU).

- Murid OKU di sekolah pendidikan khas akan ditambah dari RM50 kepada RM150.

- Bayaran insentif RM200 sebulan untuk pembantu guru di sekolah pendidikan khas.

Kakitangan kerajaan

- Tempoh pinjaman perumahan dilanjutkan dari 25 tahun kepada 30 tahun bagi pinjaman baru

- Kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan

- Buka panel insurans pinjaman perumahan kerajaan kepada semua syarikat insurans yang layak. Pada masa ini ia terhad kepada lima syarikat sahaja.

Sumber: Malaysiakini

Intipati bajet 2009

Berikut adalah intipati Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Rakyat hari ini.

- Bajet 2009 menumpukan kepada langkah-langkah yang akan memastikan kesejahteraan yang telah dibina selama ini terus terjamin dan untuk itu adalah penting diperkukuhkan daya tahan ekonomi supaya negara berupaya menangani kesan persekitaraan luar yang semakin sukar.

- Bertemakan Kerajaan Prihatin, Bajet 2009 tertumpu kepada tiga strategi khusus iaitu, menjamin kesejahteraan rakyat, membangun modal insan berkualiti dan memperkukuh daya tahan negara.

- Kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah bertujuan meringankan beban kos sara hidup, terutamanya ke atas golongan berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik.

Jaringan keselamatan sosial

- Kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuk semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah.

- Menghargai jasa pesara, dan bagi membantu pesara berpendapatan rendah yang menghadapi kesukaran untuk menampung sara hidup harian, pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan mulai 1 Januari 2009.

- Kerajaan akan menubuhkan satu tabung khas berjumlah RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang hilang punca punca pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan.

- Memandangkan tanggungjawab besar ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, kerajaan telah menaikkan jumlah Elaun Ibu Pelihara daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai 1 September 2008.

Membasmi kemiskinan

- Kadar kemiskinan dikurangkan dari 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007.

- Kerajaan telah menyediakan RM50 juta dibawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaikpulih 1,000 buat rumah.

- Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di Sabah dan Sarawak, terutamanya untuk mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar bandar. Untuk ini, RM580 juta disediakan bagi Sabah dan Rm420 juta untuk Sarawak.

- Isi rumah yang membayar bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan tidak perlu menbayar bil elektrik berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009.

Sumber: Malaysiakini

Admin says: Bajet Popular!