Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Selangor. Show all posts
Showing posts with label Selangor. Show all posts

Tuesday, June 22, 2010

ADUN Seri Serdang kosongkan kerusi? - Malaysiakini

Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Mohamed Satim Diman tidak hadir pada mesyuarat pengurusan badan Perhubungan Umno Selangor malam ini.

Sebaik mesyuarat tamat pada pukul 12.30 malam Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar ketika ditemui pemberita berkata Mohamed Satim (kanan) ada menghubungi dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada mesyuarat malam semalam kerana ada urusan.

Beliau berkata selain Mohamed Satim, bendahari Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Ketua Pemuda Suhaimi Ghazali juga tidak hadir pada mesyuarat malam semalam kerana mereka ada urusan di luar negara.

Sabtu lalu, Noh dilaporkan berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada ohamed Satim berhubung khabar angin yang mengatakan Mohamed Satim akan elepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai ahli dewan undangan negeri (ADUN) Seri Serdang, pada mesyuarat malam semalam.

Noh berkata mesyuarat malam semalam membincangkan mengenai pengurusan mesyuarat bahagian Umno Selangor.

Sementara itu Mohamed Satim sehingga kini tidak dapat dihubungi bagi membuat sebarang ulasan mengenai khabar angin itu, yang dilaporkan oleh sebuah akhbar sebagai timbul apabila Mohamed Satim tidak hadir semasa mesyuarat ADUN Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

- Bernama

Malaysiakini

Wednesday, June 16, 2010

AMK Selangor Desak Halau Kapal Rejim Zionis Israel Dari Perairan Malaysia - SK

SHAH ALAM 16 Jun - Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor, Mohd Ezli Mashut mendesak kerajaan agar menyekat kemasukan kapal kargo Zionis Israel daripada memasuki perairan negara, kerana ini dilihat sebagai satu tindakan yang tidak konsisten dengan usul parlimen mengutuk serangan ganas rejim Zionis-Israel terhadap kapal MV Marmara baru-baru ini.

"Kami mendesak kerajaan mengemukakan butiran lengkap mengenai aktiviti kemasukan secara bebas dan penggunaan pelabuhan dalam negara oleh kapal kargo Israel di Parlimen. Tindakan ekstrim rejim Zionis menyekat kemasukan apa jua misi bantuan kepada rakyat Palestin wajar membuka mata kerajaan dan dunia agar satu tindakan lebih tegas dan keras dikenakan terhadap regim Zionist Israel," tegas beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan Isnin lalu.

Mohd Ezli juga menyuarakan bantahan keras kepada pihak yang membenarkan kapal kargo yang ada hubung kait dengan regim Zionis daripada memasuki dan 'menjajah’ kedaulatan perairan negara.

"Jika benar kerajaan tegas dan konsisten dengan prinsip menyokong perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin, maka ini mesti dilakukan," tambah beliau lagi.

Mohd Ezli menyatakan AMK Selangor juga hairan bagaimana perairan dan kedaulatan negara dengan mudahnya dan bebas dimasuki kapal-kapal kargo Israel sedangkan kerajaan Umno-BN mengatakan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dan ekonomi samada secara rasmi atau tidak rasmi denga rejim Zionis itu.

Kejadian serangan tentera Israel pada 31 Mei lalu terhadap anak kapal MV Marmara yang pada masa itu berada di perairan antarabangsa jelas membuktikan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh rejim Zionis Israel, maka tiada sebab untuk kerajaan Malaysia membenarkan kapal kargo Israel untuk memasuki perairan Malaysia.

"Tindakan kerajaan perlu lebih konsisten dalam isu keganasan regim Zionis terhadap masyarakat Palestin serta untuk seluruh dunia. Kita amat kagum dengan ketegasan negara Turki terhadap regim Zionis Israel ini, dan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serius dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, maka kita menuntut satu tindakan berani daripada pimpinan negara untuk menggerakkan misi bantuan kemanusiaan di bawah kendalian kerajaan Malaysia," tegas Mohd Ezli lagi.

Menurut beliau, misi bantuan kemanusiaan yang digerakkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) selama ini mempunyai banyak batasan yang mana dapat diatasi dengan penglibatan kerajaan.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan dan rakyat perlu lebih bertindak daripada hanya menyatakan kutukan dan kecaman terhadap Israel.

"Selama ini berapa banyak usul dan resolusi telah dikemukakan di peringkat antarabangsa tetapi langsung tidak meredakan keganasan regim Zionis Israel malahan bertambah semakin ganas setiap hari.

"Justeru kita mahu kerajaan memainkan peranan yang lebih berani,tegas dan konsisten dalam pembebasan rakyat Palestin di bawah kekejaman regim Zionis Israel, dan menuntut agar pihak kerajaan Umno-BN melalui kementerian yang berkenaan mengeluarkan notis larangan menghalang mana-mana kapal Israel berlabuh di pelabuhan-pelabuhan negara ini berkuatkuasa serta-merta, dalam tempoh 48 jam ini," tegas Mohd Ezli lagi.

SK

Monday, May 31, 2010

'PKR utamakan elit berbanding buruh' - Malaysiakini

PKR nampaknya mula mengorak langkah "peremajaan" parti itu dengan menggalakkan pemimpin muda untuk mencabar kedudukan pemimpin lama.

Seiring dengan itu, parti itu kini berusaha untuk menambah keanggotaannya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Namun, ia masih perlu menjaga barisan keanggotaan sedia ada yang disifatkan sebagai penyokong paling setia parti itu.

Setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution berkata beliau terkesan apabila mengetahui mengenai pengorbanan yang dilakukan penyokongnya untuk hadir ke tempat persidangan tahunannya di Kota Bharu kali ini.

Katanya, ada di kalangan mereka itu yang sanggup menjual kotak terpakai, malah memandu 'prebet sapu' untuk hadir ke Kelantan Trade Centre.

"Keikhlasan ada. Mereka tak minta pasir, jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan. Apa mendorong mereka datang?" soalnya ketika menyampaikan ucapan penggulungannya.

Malah, katanya, berbanding parti yang lebih berkemampuan seperti Umno, para perwakilan yang hadir dikenakan bayaran sebanyak RM20, manakala ahli yang masuk sebagai pemerhati pula ditetapkan bayaran RM10.

Soalan itu sedikit sebanyak meredakan tuntutan yang ditimbulkan para perwakilan, berhubung penjawatan dalam syarikat kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan.

MB umum jawatan baru

Secara khusus, para perwakilan menghamburkan persoalan itu kepada menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, memandangkan negeri tersebut didominasi PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Kerisauan para perwakilan juga tercetus akibat kecenderungan pentadbiran tersebut untuk memilih pemimpin yang berkelayakan tinggi.

Sidang kali keenam ini menyerlahkan lagi keresahan mereka apabila PKR dilihat lebih mengutamakan golongan 'elit' berbanding anggota akar umbinya yang rata-ratanya kaum buruh.

Ini mendorong Khalid Ibrahim untuk mempersetujui saranan-saranan yang ditimbulkan itu.

Dalam ucapannya, beliau mengumumkan penubuhan jawatan baru di negeri itu -- pegawai pembangunan DUN, yang sebelum ini dikenali sebagai exco angkat.

Selain itu, keutuhan parti itu juga bakal teruji lagi dengan pindaan perlembagaan barunya bulan depan yang membolehkan keseluruhan ahli layak untuk mengundi memilih presidennya. Tarikh akhir bagi pendaftaran ahli baru ditetapkan pada 4 Jun ini.

Sebagai timbal balas, PKR juga mahu memperkukuhkan lagi strukturnya dengan mempergiat program tarbiah bagi mengelakkan kejadian lompat parti daripada terus berlaku.

Untuk itu, presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail dicadangkan sebagai 'profesor sepenuh masa' di 'Universiti Politik Keadilan' oleh ketua biro latihannya Mustafa Kamil Ayub.

'Seorang lagi kaki judi kuda'

Seperti yang didedahkan timbalan presidennya Senator Dr Syed Husin Ali, Mustafa Kamil berkata PKR tidak mahu calon wakil rakyat menyertai PKR demi mendapatkan kepentingan peribadi.

Tanpa menamakan individu dimaksudkan, Syed Husin berkata: "Seorang yang saya kenal, mula-mula dikenalkan di Kelantan oleh ketua umum, waktu dia di Kelantan, masih belum masuk parti.

"Waktu itu dia di Kelantan adalah untuk dapat peluang pekerjaan, dapat kontrak pembalakan yang boleh beri kesenangan kepada dia untuk menanggung anaknya yang belajar di luar negara tapi akhirnya apa berlaku?

"Dia masih boleh hidup senang, tapi tak sesenang (yang) dia harap bila jadi MP dan ketua di Pulau Pinang.

"Bila digugurkan, dia marah. Bila (tidak dapat) kontrak, dia maki hamun ketua umum. Dalam kemarahan, mudah didekati mereka yang boleh dihulurkan senang banyak. Maka dia keluar dengan burukkan parti.

"Seorang lagi kaki judi kuda. Waktu malam berkaraoke, hutang banyak. Hutangnya dengan ah long," katanya ketika menyifatkan sikap dua orang wakil rakyat PKR yang melompat parti.

Ucapan Syed Husin itu bagaimanapun tidak 'mendedahkan' bukti yang duar-uarkan oleh ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak hari pertama kongres pada Jumaat -- berhubung dakwaan tawaran RM2 juta dan kontrak kepada wakil rakyat PKR yang lompat parti.

Penyusunan semula organisasi

Anwar bagaimanapun berkata, disiplin parti akan ditingkat melalui proses penyusunan semula keseluruhan majlis pimpinan tertinggi parti itu, kecuali jawatan presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung dalam pemilihan selepas ini.

Dalam ucapan penggulungannya, Anwar berkata langkah itu juga perlu bagi meningkatkan disiplin parti, satu topik yang juga sering ditimbulkan dalam perbahasan para perwakilan.

"Saya sebelum ini susah untuk ambil tindakan -- 'saya setia dalam parti', bila cakap begitu susah," katanya.

Sebagai tanda 'restu' kepada Khalid, Anwar turut menyimpulkan, negeri yang dikuasai Pakatan akan kekal bersih, seperti yang berlaku dalam pentadbiran Selangor.

"Baik di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah atau Selangor, saya sedikitpun tidak ragu dengan pimpinan yang pegang amanah untuk tidak khianat.

"Orang kata (Pakatan) kapal karam ke, whatever. Bagi seorang pemerhati yang objektif, apakah kelainan untuk Malaysia?

"Sumbangan terbesar kita ialah, kita telah berjaya membuat transformasi budaya politik," tegasnya.

Malaysiakini

Friday, May 28, 2010

Kini, Penghuni Pangsapuri Kos Rendah Turut Nikmati Air Percuma - TVS

Kini, penghuni pangsapuri kos rendah boleh menikmati skim air percuma yang diperkenalkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri amat sukacita dapat memperluaskan jaringan air 20 meter padu percuma kepada penghuni pangsapuri, dengan harapan mereka juga dapat menikmati potongan kos sehari-hari yang dinikmati penghuni kediaman lainnya.

Tan Sri Khalid melancarkan Sistem Kupon Air Percuma di Pangsapuri Sri Tanjung di USJ 16, Subang Jaya semalam. Pangsapuri dengan kepadatan 1,000 unit rumah ini dipilih sebagai perintis skim air percuma untuk warga pangsapuri kos rendah di Selangor.

"Kita buat keputusan akan berikan air percuma dalam apa keadaan supaya setiap penghuni unit pangsapuri ini mendapat kesempatan menikmati air percuma,' kata Khalid.

"Walaupun mereka masih lagi memakai meter pukal tetapi oleh kerana pendapatan dan sosio ekonomi mereka, kita perlu mempercepatkan proses pemberian air percuma," tambah beliau.

Tan Sri Khalid di majlis tersebut menyampaikan kupon kepada kira-kira 500 pemilik unit rumah dan membabitkan bayaran rebet RM72,480 setahun.

Pangsapuri Sri Tanjung akan menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan dan jika berjaya, Sistem Kupon ini akan diperluaskan ke perumahan Rumah Kos Rendah (RKR) yang lain di Selangor secara berperingkat.

Seramai 168,479 pembeli membabitkan 620 skim perumahan yang belum menukar ke meter individu dijangka mendapat manfaat dari sistem kupon ini, selepas ia dilaksanakan sepenuhnya.

Bagi menjamin ketelusan, hanya pemilik unit saja layak menuntut kupon ini.

"Saya meneruskan usaha supaya setiap rakyat Selangor dapat kebaikan daripada apa yang kita katakan merakyatkan ekonomi," tegas Khalid.

Skim air percuma bagi 20 meter padu pertama adalah salah-satu dari program Merakyatkan Ekonomi Selangor. Matlamat pakej ekonomi ini adalah mengagihkan kekayaan negeri Selangor bagi mengangkat taraf hidup rakyat.

Menghadapi risiko kenaikan harga petrol dan barangan di masa hadapan, kerajaan negeri berpendapat skim air percuma ini harus diperluaskan secepat-mungkin.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan rundingan untuk mengambil-alih perkhidmatan air negeri supaya skim air percuma dapat dikekalkan, dan mutu air Selangor dipertingkatkan.

TVS

Selangor, Pulau Pinang Haramkan Judi Sukan - TVS

Kesemua majlis tempatan di Selangor diarah membekukan pertaruhan yang membabitkan judi sukan di semua premis di negeri itu.

Exco Kerajaan Negeri Datuk Hassan Ali berkata pengharaman menyeluruh ini berkuat-kuasa serta merta, dan semua permohonan dari pengendali loteri untuk menjalankan perjudian sukan akan ditolak.

Seksyen tertentu dari Akta Kerajaan Tempatan akan dikuatkuasakan bagi menyekat penularan aktiviti judi sukan. Mana-mana premis yang dikesan menjalankan aktiviti haram ini menghadapi tindakan lesen mereka dibeku, dan premis mereka ditutup.

"Bukan sekadar tiga PBT sahaja yang terbabit dalam kempen ini. Kerajaan Negeri telah membuat keputusan premis di negeri ini tidak dibenar sama-sekali diguna untuk tujuan judi," tegas Dr Hassan.

"Premis perjudian sedia-ada tidak akan dikembangkan, dan bila tamat lesen mereka, kita akan bincangkan apa yang patut kita lakukan terhadap mereka," katanya lagi.

Selepas Selangor, Pulau Pinang turut mengumumkan pengharaman menyeluruh pertaruhan sukan dan permohonan dari konsesi perjudian sukan

TVS

Thursday, May 27, 2010

Khalid Cabar Ezam Bertanding Di Shah Alam PRU-13 Nanti - SK

SHAH ALAM 26 Mei - Ahli PArlimen Shah Alam, Khalid Samad mengalu-alukan Senator Ezam Mohd Nor untuk bertanding menentangnya merebut kerusi parlimen Shah Alam dalam pilihan raya akan datang bagi menguji sama ada rakyat menerimanya sebagai pemimpin.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ezam atas perlantikan beliau ke dalam Dewan Negara sebagai Senator, ini mungkin ganjaran untuk beliau sebagai balasan usaha beliau untuk kerajaan Umno-BN," kata Khalid pada sidang media di pejabatnya semalam.

Menurut Khalid, perlantikan Ezam sebagai senator membolehkan beliau memasuki Dewan Negara melalui 'pintu belakang', bukan sebagai calon pilihan rakyat dan ini adalah sesuatu yang tidak adil kepada semua ahli parlimen lain yang dipilih secara adil melalui pilihan raya.

"Jika betullah Ezam merupakan pilihan rakyat dan beliau benar dalam perjuangannya, saya mengalukan Ezam untuk beradu tenaga di sini, Shah Alam. Buktikan kepada rakyat bahawa dia sebenarnya layak untuk memasuki Dewan Negara," tegas Khalid.

Ezam disifatkan oleh Khalid sebagai pengkhianat kerana membelakangkan kepercayaan KEADILAN dan sanggup melompat demi kebendaan.

"Dulu dia penyokong setia Datuk Seri Anwar ibrahim, dan kini dia sanggup melupakan kesetiaannya dan menjadi kuncu Umno.

"Saya merasakan jika Ezam menerima ajakan saya, saya akan mendapat persaingan yang sengit kerana dulu Ezam bertanding untuk Shah Alam semasa pilihan raya tahun 1999. Tetapi, itu hak rakyat, biar rakyat menentukan siapa pemimpin pilihan mereka," tegas Khalid lagi.

SK

Thursday, May 20, 2010

Ekonomi Selangor Terus Berkembang - SK

SHAH ALAM 20 Mei - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau yakin ekonomi di negeri itu akan terus berkembang selaras dengan perkembangan positif ekonomi Malaysia pada suku pertama 2010.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan memandang ke hadapan untuk terus mencapai perkembangan ekonomi yang lebih baik.

"Ada projek kerajaan negeri yang bergerak laju dan berada di landasan yang betul seperti Projek Pemuliharaan Sungai Klang,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa mempengerusikan Majlis Dialog bersama Majlis Perniagaan Selangor 17 Mei lalu yang bertujuan mendapatkan maklum balas mengenai sistem penyampaian kerajaan negeri.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan terus menganjurkan dialog dengan sektor swasta untuk berkongsi pandangan dan mengetahui bagaimana kerajaan negeri boleh membantu untuk menyokong aktiviti perniagaan.

“Bantuan dan sokongan tidak bermaksud kerajaan negeri memberi wang atau tanah percuma. Kita mahu membantu merancakkan lagi aktiviti perniagaan dengan menaik taraf, membaik pulih kemudahan asas selain menambah kecekapan peraturan atau birokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, selain memuji langkah kerajaan Selangor untuk menjadi mesra perniaga dengan menganjurkan majlis dialog itu, Ahli Majlis Perniagaan juga menggesa kerajaan negeri memberi tumpuan kepada tiga masalah yang dihadapi komuniti perniaga iaitu keselamatan, kemudahan pengangkutan dan tenaga kerja.

Ahli Majlis menyarankan supaya kerajaan negeri mengambil inisiatif tertentu bagi meningkatkan tahap keselamatan supaya Selangor terus berdaya saing untuk menjadi destinasi utama pelabur.

Ahli Majlis juga memaklumkan bahawa masalah mendapatkan bekalan tenaga kerja menjadi penghalang kepada pelabur untuk melabur di Selangor.

Justeru, Menteri Besar memberi jaminan kepada Ahli Majlis bahawa kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan pusat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor sedang menimbang memperkenalkan sistem ‘Park and Ride’ untuk mengurangkan kesesakan, kekurangan tempat letak kenderaan dan masalah pengangkutan awam manakala perbincangan dengan Jabatan Tenaga Rakyat akan diaturkan untuk menyelesaikan kekurangan tenaga kerja.

“Untuk masalah keselamatan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk menubuhkan polis bantuan tetapi Polis DiRaja Malaysia ‘keberatan’ menerima idea ini menyebabkan ia tidak dapat diteruskan,” kata Khalid.

Tambah beliau, Selangor masih menjadi lokasi pilihan kepada pelabur asing dan menerima banyak pertanyaan untuk membuat pelaburan.

“Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya telah mengadakan pertemuan dengan delegasi pelabur daripada Indonesia. Kami juga akan mengadakan pertemuan dengan delegasi pelabur daripada Timur Tengah pada minggu depan,” kata Khalid.

Dialog yang dianjurkan Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) itu diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan dihadiri ahli perniagaan serta wakil syarikat besar yang beroperasi di Selangor termasuk Pengerusi Concorde Hotel & Resort (M) Sdn Bhd, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir; Naib Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia, Ir Dr Andy Seo; Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia cawangan Selangor, Tan Sri Prof James Alfred; Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk V K K Teagarajan.

Turut serta, Pengerusi Perisai Petroleum Teknologi Bhd, Datuk Dr Mohd Ariffin Aton; Pengerusi Perusahaan Atomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan UMW Holdings Berhad, Tan Sri Asmat Kamaluddin; Pengarah Urusan Royal Selangor International Sdn Bhd, Tan Sri Yong Poh Kon dan Pengarah Urusan Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Abdul Halim Harun.

SK

Tuesday, May 18, 2010

MP Kapar: Jangan buang masa telefon saya - Malaysiakini

Ahli parlimen Kapar S Manikavagam mendakwa telah dilaga-lagakan dengan kepimpinan PKR dan kerajaan Selangor ekoran dakwaannya terdapat penyelewengan dalam syarikat kerajaan negeri, Kuala Semesta Sdn Bhd (KSSB).

"Sejak kebelakangan ini ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu (KSSB) ini untuk melaga-lagakan saya dengan kepimpinan parti dan kerajaan Selangor.

"Nasihat saya kepada mereka, jangan membuang masa dengan menelefon atau berjumpa dengan saya berhubung isu ini," kata Manikavasagam (kiri).

Wakil rakyat PKR itu bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas siapakah pihak yang dimaksudkannya itu.

Selepas membuat pendedahan minggu lalu, berlaku cabar-mencabar antara beliau dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sehingga mendorong 11 ahli parlimen PKR tampil mencadangkan badan bebas bagi menyiasat dakwaan itu.

Kes KSSB itu juga dijadikan salah satu alasan bagi ahli parlimen Wangsa Maju Wee Cho Keong yang mengumum keluar PKR dan menjadi ahli bebas Jumaat lalu.

Selepas dikaitkan dengan tindakan Wee itu, Manikavasagam - dalam satu kenyataan hari ini - sekali lagi menegaskan kesetiaannya kepada PKR.

"Pendirian saya adalah sama dengan pendirian parti untuk menghapuskan segala bentuk gejala rasuah," katanya.

Beliau juga berkata, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibraim telah memberikan jaminan kepadanya bahawa aduannya akan disiasat dengan telus dan terperinci.

"Justeru saya membuat keputusan untuk menyerahkan isu ini kepada ketua umum parti untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dakwaan Manikavasagam itu kini dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), di bawah DUN Selangor.
Malaysiakini

Wednesday, May 12, 2010

Manikavasagam Serah Dokumen, Puas Hati Dengan Tindakan MB - TVS

SHAH ALAM 12 MEI: Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam hari ini menyerahkan beberapa dokumen yang mengandungi bukti dakwaan rasuah kakitangan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sendirian Berhad.

Beliau berpuas hati apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang memberi jaminan kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan itu.

Turut sama dalam perjumpaan ini ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Dalam perjumpaan tadi, Menteri Besar suruh saya segera buat laporan polis selepas tengok dokumen dan senarai nama yang terlibat dengan dakwaan rasuah ini.

"Beliau suruh saya buat laporan polis. Biar polis siasat. Dan beliau sendiri akan tubuhkan sebuah badan untuk sisasat kes ini.

"Semua fail- fail, saya sudah beri pada Menteri Besar. Menteri Besar bagi pada Setiausaha Politiknya,Nik Nazmi Nik Ahmad. Banyak lagi dokumen yang saya akan bagi pada Menteri Besar," katanya.

TVS

Beri Kenyataan Isu KSSB, TV3 Menyamar TV Selangor

SHAH ALAM 12 MEI: Ahli Parlimen Kapar, S Manivasagam kecewa kerana wartawan penyiaran TV3 tidak mematahui etika kewartawanan apabila menyamar sebagai TV Selangor semata-mata mahu memperoleh kenyataan beliau.

Beliau mulanya enggan melayani panggilan telefon daripada wartawan TV3 beberapa hari lalu kerana bimbang kenyataannya dimanupulasi untuk kepentingan tertentu, sebagaimana amalan mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau kemudian menjawab panggilan telefon dan memberi kenyataannya mengenai isu Kumpulan Semesta Sdn Berhad berikutan pemanggil mengaku sebagai 'Nurul' dari TV Selangor.

Manikavasagam hanya menyedari hal itu apabila beliau menerima panggilan telefon bertalu-talu dari rakan-rakannya yang mempertikai tindakannya membuat kenyataan kepada TV3.

"Saya terus bagi kenyataan mengenai isu berkenaan kerana ingatkan panggilan itu dari TV Selangor. Saya tidak akan bagi kenyataan kepada TV3. Jangan harap," katanya kepada TV Selangor.

Bagi pihak TV Selangor, kami kesal dengan sebarang tindakan yang melanggar etika kewartawanan termasuk penyamaran sebegini dan kami ingin menegaskan tiada wartawan di web tv ini yang bernama Nurul.

TVS

Friday, April 30, 2010

MB : Rakyat Undi Pakatan Kerana Barisan Nasional Gagal - TVS

MB : Rakyat Undi Pakatan Kerana Barisan Nasional Gagal

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kesal dengan tuntutan rasis gerakan Perkasa yang mahu kerajaan membekukan peruntukan kepada masyarakat Cina Hulu Selangor.

Khalid berkata Perkasa seharusnya sedar bahawa rakyat memilih Pakatan Rakyat bukan atas dasar warna kulit, tetapi kerana sudah jemu dengan janji kosong dan kecuaian Adun-Adun BN.

"Sokongan yang ditunjukkan di Hulu Selangor amat memberangsangkan. Kita akan kembali dan bekerja bersama rakyat untuk memastikan pembangunan berterusan," Khalid berkata.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali membuat tuntutan itu selepas analisa Pilihanraya Kecil Hulu Selangor menunjukkan masyarakat Cina menyokong Pakatan Rakyat.

Dengan sokongan ini, Pakatan Rakyat walaupun tewas di peringkat Parlimen namun berjaya merampas dua dari tiga DUN di Hulu Selangor.

Khalid berkata sokongan kuat yang ditunjukkan di DUN Batang Kali dan DUN Kuala Kubu Bharu menjadi kayu aras kepada Pakatan Rakyat untuk memantapkan lagi perkhidmatan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

"Kita akan pastikan pengajaran yang kita terima hasil dari interaksi bersama penduduk akan membantu menambahbaik peranan Kerajaan Negeri,"akhiri Khalid.

TVS

Thursday, April 29, 2010

Keluarga Aminulrashid Terharu Dengan Keprihatinan Kerajaan Selangor - TVS

SHAH ALAM 29 APR: Ahli keluarga Allahyarham Aminulrashid, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis, menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan dan sumbangan yang diberi kerajaan Selangor.

Mereka meluahkan demikian ketika dikunjungi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di rumah mereka di Jalan Mahjung, Seksyen 11 di sini, kira-kira jam 4.30 petang semalam.

"Rasa bersyukur ada yang prihatin kepada ibu tunggal macam makcik. Sebab makcik pun ada anak sekolah hendak lanjutkan pelajaran. Apapun, kematian arwah terbela, itu sahaja," kata Norsiah Abdullah.

Norsiah adalah ibu kepada Aminukrashid.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada orang yang prihatin masalah yang kami hadapi sekarang," kata Norazura kepada TV Selangor.

TVS

Hasan Ali buat laporan polis terhadap Zahid, Utusan - Malaysiakini

Exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini membuat laporan polis terhadap dua pemimpin Umno serta akhbar Utusan Malaysia yang didakwa melempar fitnah terhadapnya.

Dr Hasan berkata, beliau membuat laporan polis di bawah seksyen 499 Kanun Keseksaan, untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ketiga-tiga pihak tersebut.

Beliau membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Shah Alam pada kira-kira jam 4 petang ini dengan ditemani peguam Mohd Khairuddin Othman.

Dua pemimpin Umno itu ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Zainal Abidin Sakom.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan Utusan Malaysia sebagai berkata, khutbah yang disampaikan Hasan itu berbaur politik.

"Beliau menuduh saya memberi khutbah berbaur politik, kononnya saya terlupa membaca selawat menyebabkan tidak sah fardhu Jumaat pada hari itu.

"Saya (juga) dituduh menderhakan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana saya tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa.

"Saya diberitahu, Datuk Zainal Abidin Sakom melalui berita nasional yang disiarkan oleh Klasik Nasional, telah memberi komen yang serupa seperti apa yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," laporan polis itu dipetik.

Dalam laporan itu juga, Dr Hasan mendakwa kenyataan mereka boleh mencetus ketegangan di kalangan masyarakat Islam.

Beliau mendakwa tuduhan itu juga boleh mencemarkan reputasinya sebagai exco hal ehwal Selangor dan pentadbiran baru negeri Selangor yang tegas melaksanakan peraturan surau dan masjid sebagai zon bebas politik.

Sementara itu, ketika bercakap kepada media sebelum membuat laporan polis tersebut, Dr Hasan berkata beliau tidak melanggar apa-apa enakmen mengenai pengembangan agama Islam di Selangor berkaitan khutbah yang disampaikannya itu.

Katanya, beliau sememangnya telah membaca selawat seperti dirukunkan untuk menyampaikan khutbah.

"Ada memang ada (baca selawat). Saya yakin 100 peratus," katanya ketika ditanya.

Tambahnya pegawai JAIS yang membuat pemantauan ke atas khutbahnya itu juga mengesahkan beliau tidak melakukan kesalahan itu.

Jelasnya, beliau berkata demikian berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.

"Selepas berunding dengan peguam, saya rasa kita patut buat laporan polis untuk ambil tindakan undang-undang ke atas Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Zainal Abidin Sakom," katanya.

"Pada masa sama, (laporan ke atas Utusan) sebab saya nampak Utusan Malaysia ada unsur putar belit kenyataan," katanya.

"JAIS sudah keluarkan kenyataan, saya nak sebutkan seperti yang dilaporkan Sinar Harian, bertajuk 'Khutbah Hasan Ali bersih dari politik',' katanya sambil menambah beliau berpengalaman 40 tahun membaca khutbah.

"Semenjak dua tahun pentadbiran (Selangor bawah Pakatan Rakyat), tiap-tiap minggu saya akan baca khutbah di seluruh Selangor, kecuali apabila saya berada di luar negara," katanya.

Menjawab soalan, beliau tidak menolak andaian bahawa dakwaan ke atasnya itu berkaitan dengan kempen pilihan raya yang berlangsung di Hulu Selangor.

"Ia berlaku pada peringkat akhir kempen tapi saya tidak boleh katakan ia berkait secara langsung dengan politik.

Malaysiakini

Thursday, April 22, 2010

Tanah 80 Hektar Untuk Penternak Lembu Hulu Selangor - TVS

SHAH ALAM 22 APR: Kerajaan Selangor memperuntuk tanah seluas 80 hektar di Rasa, Hulu Selangor bagi mengatasi masalah lembu berkeliaran di kawasan perindustrian dan perumahan berdekatan.

Keputusan yang dicapai pada mesyuarat Exco itu akan memudahkan penternak lembu yang rata-ratanya terdiri dari golongan miksin

Exco Permodenan Pertanian,Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata tindakan itu dibuat berikutan perternak di Hulu Selangor memohon kawasan khas untuk menempatkan ternakan mereka.

"Saya dapati banyak ternakan berkeliaran khususnya di kawasan industri dan perumahan di Rasa. Penternak juga memohon supaya haiwan itu diletakkan di satu tempat.

"Dan kerajaan negeri bersetuju dan sudah mengenal pasti kawasan untuk ternakan berkelompok di sekitar Hulu Selangor khususnya di Rasa dan kawasan lain di Selangor," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju meluluskan satu kawasan di Hulu Selangor untuk menempatkan ternakan lembu yang melibatkan penternak di daerah berkenaan.

Kata Yaacob, tanah berkenaan akan diurus Jabatan Veterinar yang sebelum mengagihkan tapak penternakan secara berkelompok kepada peternak lembu.

Untuk tujuan ini, penternak akan mengadakan perjanjian dengan jabatan berkenaan.

"Dengan ini, kita dapat menyelesaikan sebahagian besar masalah penternakan lembu yang berkeliaran di kawasan kilang dan perumahan," katanya.

TVS

Pemilik Premis Hulu Selangor Tidak Berpenghuni Dikecuali Dari Cukai Pintu - TVS

SHAH ALAM 22 APR: Kerajaan Selangor bersetuju memberi pengecualian bayaran cukai pintu kepada penyewa dan pemilik kediaman mahupun premis perniagaan yang tidak diduduki di Hulu Selangor.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Exco, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pemilik atau penyewa bangunan hanya perlu buat permohonan pengecualian, bermula Mei ini.

"Pemilik rumah kedai dan premis perniagaan yang tidak mendapat sewa serta tidak diduduki, boleh membuat permohonan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak dapat pengecualian cukai pintu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil tindakan itu berikutan banyak kediaman dan premis perniagaan di Hulu Selangor didapati terbiar dan tidak diduduki.

"Banyak kedai dan premis perniagaan yang dimiliki pelabur tidak mendapat hasil kerana tiada penyewa. Mereka yang dalam keadaan itu boleh memohon untuk tidak membayar cukai pintu kerana tiada pendapatan atau tidak menggunakan tempat itu," katanya.

Menegaskan tindakan itu bertujuan meringankan beban pemilik premis, Khalid berkata, permohonan pengecualian berkenaan juga dibuat di PBT kawasan masing-masing.

"Ini diharap mengurangkan beban mereka yang sudah memiliki premis perniagaan dan rumah kedai dari terbeban membayar cukai pintu itu berkuat kuasa 1 Mei ini," katanya.

TVS

Wednesday, April 21, 2010

Pengalaman Zaid Nilai Tambah Bagi Negeri Selangor - SK

KUALA KUBU BAHARU 21 April - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menganggap kehadiran Datuk Zaid Ibrahim sebagai wakil rakyat di negeri ini akan menjadi amat berharga dan menjadi nilai tambah dalam usaha memajukan Selangor

Ini kerana selain peguam yang berjaya Zaid juga adalah bekas Menteri Kabinet yang tahu selok belok pentadbiran negara dan ini adalah pengalaman yang amat berguna yang boleh digunapakai untuk memacu ekonomi dan pembangunan Selangor.

"Saya ingin tegaskan di sini kerajaan negeri melihat pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai nilai tambah dalam usaha kita untuk memajukan negeri Selangor.

"Sebelum beliau diumumkan sebagai calon, kita telah menilai beliau yang mempunyai pengalaman dalam membangunkan negeri ini. Jika terdapat masalah mengenai pemilikkan tanah beliau bukan sahaja memahami masalah tesebut malah boleh memberikan penjelasan mengikut landasan perundangan dan bagaimana hendak menguruskan masalah tersebut", jelas Khalid pada sidang media harian di Pusat Media Pakatan Rakyat tengahari semalam.

Beliau juga berkata, Zaid mempunyai segala pengalaman serta kepakaran sepanjang terlibat dalam politik berbanding Kamalanathan yang dipilih pemimpin BN yang dianggap sebagai calon terdesak.

"Zaid pernah menjadi Ahli Parlimen dan mempunyai pengalaman yang luas, jadi beliau tahu bagaimana hendak membawa nasib rakyat Hulu Selangor di Parlimen. Selain itu Zaid juga mempunyai kepakaran untuk memahami masalah rakyat tapi Kamalanathan orang baru dan tidak mempunyai sebarang pengalaman langsung.

“Rakyat perlu tahu siapa yang mempunya rekod yang baik dalam perjuangan mereka. Sudah tentu rakyat mahukan seorang pemimpin yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka.

"Kita mengalu-alukan usahasama antara Zaid dalam mendapat perkhidmatan yang terbaik. Melalui pengalaman dan kepakaran yang ada saya percaya beliau boleh memberi cadangan-cadangan yang dapat membantu meningkatkan nilai tambah rakyat," kata Menteri Besar lagi

Khalid yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor berkata pemilihan Zaid sebagai calon PKR berdasarkan kepada sumbangan pengalaman dan keupayaan yang boleh diberikan kepada rakyat.

SK

Dasar Ekonomi PR Bakal Jadikan Selangor Pengeluar Pisang Utama Dunia - SK

KUALA KUBU BHARU 20 Apr - Rakyat negeri Selangor kini semakin yakin dengan pentadbiran Pakatan Rakyat pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berdasarkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan.

Penduduk di daerah Hulu Selangor kini dapat menikmati hasil melalui polisi dan program yang dijalankan kerajaan negeri.

"Kita datang ke sini bukannya untuk melancarkan sesuatu, tetapi untuk menuai hasil yang kita semai semenjak dua tahun lalu," kata beliau pada Majlis Perasmian Ladang Dole Sebiro di Bernam Jaya.

Ladang pisang seluas 500 ekar ini merupakan projek perintas bagi daerah Hulu Selangor, dan kerajaan negeri dengan kerjasama firma perladangan antarabangsa, Dole Sebiro bercadang untuk menambah keluasan ladang tersebut sehingga 1,000 ekar.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, Exc Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaacob Sapari serta Presiden Dole Asia, James Prideaux.

"Tugas yang diamanahkan kepada kami adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Daerah Hulu Selangor mempunyai prospek ekonomi yang baik berdasarkan lokasinya yang strategik," kata Khalid.

Dengan kewujudan projek ladang ini, penduduk di Bernam Jaya dan kawasan sekitarnya akan dapat menikmati hasil dari limpahan ekonomi dari program yang dijalankan kerajaan negeri.

Dole Inc merupakan syarikat pengeluar pisang dan buah-buahan terbesar di dunia yang menguasai saluran pasaran dan teknologi pertanian dunia.

Dole Sebiro merupakan satu-satunya wakil pengeluar yang dilantik Dole Inc di Malaysia melalui hasil kerjasama dengan syarikat tempatan.

Sehingga kini, syarikat memiliki ladang seluas 500 hektar di Hulu Selangor yang telah mengambil seramai 200 orang pekerja yang kebanyakkannya terdiri daripada kalangan rakyat tempatan.

Menjelang Jun 2010, dijangkakan Ladang Dole di Hulu Selangor mampu mengeluarkan hasil sebanyak 20,000 kotak pisang dalam tempoh seminggu.

Hasil tersebut bukan sahaja akan dibekalkan ke pasaraya di sekitar Lembah Klang, malah produk tempatan ini akan dieksport secara meluas ke Indonesia, Singapura, Hong Kong dan negara-negara Asia Tengah.

Ini sekaligus akan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar utama pisang dalam jangka masa panjang.

Usahasama Ladang Dole Sebiro dan PKNS adalah salah satu langkah proaktif oleh Selangor untuk meningkatkan nilai pulangan dari tanah-tanah milik Kerajaan Negeri.

Melalui usahasama ini, Dole Sebiro diberikan pajakan pendek bersyarat agar tanah dapat diusahakan dan membawa pulangan dengan membayar pajakan kepada PKNS.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri membantu mewujudkan

kegiatan ekonomi di kawasan pendalaman dan peluang-peluang pekerjaan baru untuk masyarakat setempat yang kian terpinggir.

Kerjasama dengan Dole Inc juga menandakan usaha serius Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan aplikasi pertanian moden untuk menembusi pasaran dunia.

Anwar melalui Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor turut mengambil inisiatif untuk duduk berbincang dengan Dole Inc bagi mengenal pasti kerjasama yang dapat diambil terutamanya melalui perkongsian bijak dengan Kerajaan Negeri.

Aspek-aspek tumpuan yang akan ditekankan adalah teknologi pertanian moden, strategi pemasaran, latihan atau peningkatan keupayaan dan lain-lain aspek penting.

SK

PR Usaha Jadikan Kuala Kubu Warisan Dunia UNESCO - SK

KUALA KUBU BAHARU 20 April - Pakatan Rakyat Selangor hari ini beriltizam untuk menjadikan Kuala Kubu Baharu sebagai aset sejarah, budaya dan alam semulajadi bertaraf antarabangsa.

Sehubungan itu Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, menjelaskan kerajaan negeri akan berusaha untuk mendapatkan pengikhtirafan tersebut kerjasama dan kewibawaan calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim yang juga pengerusi Pusaka, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangan pemuliharaan budaya negara.

"Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat berhasrat untuk menjalankan kajian terhadap warisan kehidupan dan alam semulajadi Kuala Kubu Baharu dengan pandangan menjadikannya sebagai pekan warisan.

"Pakatan juga mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mengikhtirafkan status unik pekan ini sebagai warisan nasional dan dengan kewibawaan yang ada kepada calon kita Zaid Ibrahim kerajaan negeri berharap beliau akan terus berusaha dan berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk mendapatkan pengikhtirafan tersebut," kata beliau pada sidang media di pusat media Pakatan Rakyat tengahari ini.

Beliau juga memberitahu bahawa Kuala Kubu Baharu layak mendapat pengikhtirafan tersebut kerana sejarahnya yang tersendiri.

"Pekan Kuala Kubu Baharu ini telah direka oleh perancang bandar Malaya yang pertama, Charles Reade berdasarkan Gerakan Kota Taman iaitu satu gerakan antarabangsa yang berpengaruh ke atas perancangan bandar sejak tahun 1910 lagi.

"Kuala Kubu Baharu yang hanya terletak 47km dari Kuala Lumpur, menjadikan ianya pekan bersejarah yang paling hampir dengan kota paling besar negara.

"Seni bina dan perancangannya, tapak-tapak bersejarah serta kawasan-kawasan keindahan semulajadi yang cukup sempurna boleh mengalakkan pelancongan sejarah dan hijau (green tourism) datang ke pekan ini. Pemberian status ini akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi kawasan ini," kata Elizabeth lagi.

Beliau juga mengharapkan penduduk sekitar Hulu Selangor dapat memberi sokongan yang penuh kepada calon yang berpengalaman luas seperti Zaid agar impian Kerajaan Negeri dan penduduk setempat akan tercapai.

SK

Tuesday, April 20, 2010

Menteri Besar Selangor : RM 392 Juta Hutang Talam Berjaya Dikutip - TVS

RM 392 juta hutang Talam Corporation Sdn Bhd berjaya dikutip kerajaan negeri Selangor kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Negeri Selangor minggu lalu ketika menjawab soalan ADUN Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor.

“ Seperti yang Paya Jaras tahu kita telah luluskan dalam consulted account RM 392 juta. Jadi untuk makluman Paya Jaras semalam yang telah membangkitkan tentang hutang yang akan lesap. Jadi ada dua yang saudara Paya Jaras kena tanya rakan-rakan yang berpengalaman, 1 dipanggil dept restructuring atau peneutralan semula hutang. Ini bukan peneutralan semula hutang, peneutralan semula hutang biasanya kerajaan ataupun pihak swasta akan bagi diskaun. Ini bukan” ujar Khalid.

Menjelaskan kepada Dewan bagaimana hutang Talam akhirnya berjaya dipungut, Khalid berkata konsep yang digunakan ialah dengan mengapungkan hutang tersebut yang tidak tercatat di dalam akaun dengan meneliti ke mana perginya aliran wang tersebut.

Tiga syarikat yang dikenalpasti meminjamkan wang kepada Talam ialah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Universiti Selangor (UNISEL).
“ Dipanggil crystallizing the dept, maknanya kita apungkan hutang tersebut. Maknanya kita tahu itu hutang. Ini dijalankan oleh kerajaan negeri sebagai Menteri Besar yang juga pengerusi MBI yang mengatakan mari kita apungkan hutang tersebut, maknanya kita cari, berapa hutang. Kita periksa betul-betul. Kesimpulannya, kita kata hutang itu RM 390 juta yang dipinjamkan melalui urus niaga dan seterusnya oleh tiga syarikat, iaitu KDEB, PNSB dan syarikat Unisel. Tiga, kita telah kumpulkan. Kita dapat RM 390juta dan duit RM 390 itu kita tahu dihutang oleh Talam" tambahnya lagi.

Khalid juga berkata, cara yang digunakan untuk mengutip kesemua hutang Talam sama seperti cara yang digunakan dalam Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

“ Ini ialah cara kita menentukan hutang. Untuk sebagai contoh, Sungai Buloh pasal YBK, saya nak tunjuk contoh contoh YBK. Dalam akaun YBK ditulis dekat sini, kalau saudara baca dalam akaun YBK, tidak ada tertulis yang YBK telah mencagarkan tanah dan membuat hutang sebanyak Rm 100 juta, tidak ada.. memang tidak ada. Maknanya ada hutang-hutang yang tidak disatukan di dalan akaun”.

TVS

Tuesday, April 13, 2010

Laporan audit: YBK gadai tanah lebih RM100 juta - Malaysiakini

Kerajaan Selangor hari ini mengedarkan kertas putih mengenai Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kepada DUN Selangor, antara lain mendapati penggadaian 16 lot tanah bernilai lebih 100 juta kepada beberapa pihak.

Menurut laporan setebal kira-kira 60 mukasurat - termasuk lampiran - itu, kerajaan negeri menganugerahkan tanah seluas 1,977.428 ekar di beberapa daerah di Selangor tetapi tidak menerima bayaran dan sebarang laporan selama 13 tahun.

Membacakan ringkasan eksekutif laporan tersebut, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga mendedahkan, salah satu subsidiari yayasan tersebut - Permodalan YBK Sdn Bhd (PYBK) - terlibat dengan gadaiaan berjumlah RM102 juta.

"Gadaian ini boleh menyebabkan tanah yang dianugerahkan untuk tujuan membasmi kemiskinan jatuh ke tangan pihak ketiga," kata Khalid dalam sidang media di pejabat menteri besar di DUN Selangor.

Khalid juga mendakwa laporan yang disediakan Jabatan Audit Selangor - sebuah agensi di bawah kerajaan persekutuan - akan dibawa kepada penelitian sebuah jawatankuasa khas kerana ia "belum lengkap" sepenuhnya.

"Siasatan audit negeri Selangor telah dihalang masuk ke dalam premis YBK walaupun yayasan terebut memberitahu media tidak akan menghalang usaha pengauditan," kata Khalid lagi.

Sehubungan itu, satu jawatankuasa khas dianggotai badan bebas seperti majlis peguam dan Tranparency International akan dilantik untuk menganggotainya.

Butiran lanjut jawatankuasa tersebut belum ditentukan buat masa ini, tambahnya.

Antara kandungan laporan tersebut:


•YBK dianugerahkan tanah khas untuk aktiviti membasmi kemiskinan, tetapi terdapat daripadanya digunakan untuk projek komersial.

•Terdapat keraguan terhadap rancangan pembinaan universiti di Serendah kerana YBK didakwa tidak membuat permohonan rasmi kepada agensi kerajaan terlibat.

•Laporan kewangan YBK yang disiarkan di laman web tidak membuat perincian terhadap aktiviti subsidiari, termasuk cagaran.

•Terdapat rumah YBK yang diduduki oleh pihak yang bukan daripada golongan miskin.

Malaysiakini

Monday, April 12, 2010

13 April Majlis Pengisytiharan Calon Parti Keadilan Rakyat untuk Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor

MAKLUMAN MEDIA
12 April 2010

Saudara-saudari,

Sukacita kami maklumkan bahawa Majlis Pengisytiharan Calon Parti
Keadilan Rakyat untuk Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor akan diadakan
seperti berikut:

Tarikh: 13hb April 2010
Masa: 8:30 malam
Tempat: Dewan Komuniti Serendah

Majlis tersebut akan dihadiri oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, YB
Tuan Guru Haji Hadi Awang, YB Lim Guan Eng, YB Tan Sri Khalid Ibrahim,
YB YB Azmin Ali, YB Saifuddin Nasution dan YB Nizar Jamaluddin.

Wakil media dijemput hadir untuk meliputi sidang media ini.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Ginie Lim 012-669 3453.

Sekian, terima kasih.


Dihantarkan melalui:

BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya

Tel: +603 7885 0530
Fax: +603 7885 0531
E-mail: komunikasi@keadilanrakyat.org
Web: www.keadilanrakyat.org