Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Dr Asri. Show all posts
Showing posts with label Dr Asri. Show all posts

Tuesday, November 17, 2009

Asri dihadap ke mahkamah esok - Malaysiakini

Jabatan agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan bahawa bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi esok atas tuduhan mengajar agama tanpa ditauliah.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Mohd Hidayat Abd Rani berkata, jabatan itu sudah bersiap sedia untuk mendakwa Dr Mohd Asri di mahkamah.

Menurutnya, dokumen dan kertas pendakwaan terhadap bekas mufti Perlis itu sudah siap.

Sebelum ini, Dr Mohd Asri telah ditahan Jais kerana didakwa mengajar agama di Ulu Kelang tanpa tauliah pada 1 November lalu.

Beliau akan menghadapai satu pertuduhan bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar agama atau perkara mengenai Islam di negeri itu tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jumaat lalu, Asri mengesahkan telah menerima notis arahan , hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 9 pagi esok/

Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dilaporkan berkata beliau akan diwakili beberapa peguam, diketuai oleh Kamar Ainiah Raziff daripada tetuan Kamar Ainiah Raziff & Zashidi.

Barisan peguam lain yang akan membantunya akan diumumkan kemudian, tambahnya.

Malaysiakini

Friday, November 13, 2009

Jais dakwa Asri 18 Nov, bukan hari ini - Harakah

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin hanya akan didakwa 18 November ini dan bukannya hari ini seperti yang heboh diperkatakan sebelum ini.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memperoleh tarikh itu dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas menfailkan kertas pertuduhan terhadap Asri semalam.

Sehubungan itu, Jais akan mengenakaan dakwaan secara rasmi ke atas Asri yang ditahan 1 November lalu kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Tarikh itu ditetapkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas Jais memfailkan kertas pertuduhan terhadap Asri pada pukul 11 pagi semalam.

Mohd Asri, ketika dihubungi Harakahdaily semalam, kecewa dengan sikap Jais kerana didakwa bertindak mendahulukan hebahan kepada media bahawa beliau akan di dakwa di mahkamah syariah hari ini sedangkan tiada sebarang surat pemakluman rasmi kepada beliau berhubung perkara itu.

Lebih mengecewakan apabila Jais hanya menfailkan kertas pertuduhan terhadap beliau baru semalam dan menghebahkan beliau akan didakwa hari ini tanpa menunggu penetapan tarikh sebenar oleh Mahkamah.

Beliau juga kesal dengan sikap Jais yang bertindak 'melangkaui' bidang kuasa dengan menjadi penghebah, penangkap, penguatkuasa, pendakwa dan penghukum dalam masa yang sama.

"Sikap dan tindakan melampau inilah yang menyebabkan orang hilang keyakinan terhadap kewibawaan pihak institusi agama seperti Jais yang sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Beberapa portal berita Rabu lalu melaporkan Asri dijangka didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur hari ini kerana memberi ceramah tanpa tauliah.

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam, Penolong Pengarah Perhubungan Awam JAIS, Mohd Hidayat Abd Rani berkata kertas siasatan kes Dr Mohd Asri "hampir siap".

Menurutnya, pihak pendakwa kini sedang menyemak kertas siasatan tersebut sebelum mendakwa Dr Mohd Asri di mahkamah.

Mohd Hidayat berkata, JAIS akan juga mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah Gombak untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Syariah Shah Alam kerana ia dianggap kes 'berprofail tinggi'.

"Ia juga memudahkan kami menguruskan kes tersebut dari Shah Alam... selain itu, permohonan seumpama itu dibenarkan mengikut undang-undang," katanya.

Langkah terbaru Jais itu dijangka mencetuskan bantahan pelbagai pihak yang sebelum ini mengecam penangkapan bekas mufti Perlis itu ketika memberi ceramah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Gombak pada 1 November lalu.

Harakah

Thursday, November 5, 2009

'Jais halang sejak saya mufti lagi' - Malaysiakini

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa beliau adalah satu-satu mufti di negara ini yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi ceramah agama di Selangor.

Katanya, ketika beliau menjadi mufti Perlis, Jais membenarkan mufti negeri-negeri memberi ceramah di Selangor kecuali dirinya.

Oleh itu, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya konspirasi terhadapnya bermula sejak beliau menjadi mufti Perlis lagi.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini pagi ini, Dr Mohd Asri bagaimanapun berkata beliau tidak tahu motif sebenarnya di sebalik tindaikan tersebut.

Berhubung cadangan pelantikannya sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bekas mufti Perlis itu berkata, ia merupakan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Katanya, beliau menjangka pemilihannya itu dibuat perdana menteri berdasarkan penglibatannya dalam banyak program keagamaan termasuk yang dianjurkan oleh pemimpin-pemimpin politik kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menafikan bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim - yang dilihat begitu rapatnya - adalah ‘political master' kepadanya.

Dalam wawancara tersebut, Dr Mohd Asri turut menyentuh bantahan beberapa NGO terhadap cadangan pelantikannya itu, termasuk Persatuan Peguam Shari'e Malaysia (PGSM).

Katanya, presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin pernah menemuinya berhubung cadangan pelantikannya sebagai yang dipertua Yadim.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu beliau masih belum mendapat tahu mengenai tindakan NGO berkenaan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, membantah cadangan pelantikannya itu.

Malaysiakini

Tuesday, November 3, 2009

Jais diminta hadir mesyuarat exco, jelas isu tahan Dr Asri - Malaysiakini

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung penahanan dan siasatan terhadap bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menteri besar Selangor juga mengundang mufti untuk memberi penjelasan isu tersebut kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam mesyuarat mingguannya esok.

Mohd Asri disiasat bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah selepas ditangkap tengah malam semalam di Hulu Kelang.

Beliau ditahan ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay.

Turut hadir di tempat kejadian, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi semalam menjelaskan, jabatan belum mendakwa Dr Mohd Asri kerana siasatan jabatan itu setakat ini belum mencukupi.

Dr Mohd Asri mempertikaikan arahan Jais memintanya hadir di Mahkamah Syariah Gombak Timur pagi semalam walaupun tidak mendakwanya.

Mohammed Khusrin kemudian berkata agamawan itu dibawa ke mahkamah bukan untuk didakwa tetapi untuk jaminan bon melanjutkan tempoh siasatan.

Malaysiakini

Monday, November 2, 2009

Jais dibidas, tiada pertuduhan! - Harakah

Terkini 11.00 pagi:GOMBAK, 2 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin akan menunggu di Mahkamah Syariah sehingga jam 1 petang nanti untuk menunggu pertuduhan ataupun dokumen berkaitan difailkan ke atasnya.

Sebelum ini, Dr Asri yang tiba di mahkamah sejak jam 9 pagi tadi diberitahu tiada pertuduhan difailkan.

Demikian siri episod tangkapan terhadap Dr Asri yang dianggap aneh oleh pelbagai pihak hari ini apabila diberitahu bahawa tiada pertuduhan atau dokumen berkaitan difailkan pagi ini.

Dr Asri dilihat tiba pada jam 9 pagi tadi kerana diarahkan untuk hadir di mahkamah atas alasan secara lisan oleh pihak Jais bahawa beliau mengajar tanpa tauliah.

Dalam kejadian malam tadi,beliau ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang (KeADILan), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.

Namun,Dr Asri yang ditahan tengah malam tadi telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi. Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi ini.

Di pekarangan mahkamah pagi tadi, Dr Asri menbidas sikap pihak berkuasa dan pendakwa yang tidak hadir lagi sehingga kini.

"Mereka tangkap saya dulu baru tuduh. Tetapi mahkamah kata belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini

"Pihak Jais yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu 'tangan ghaib' siapa di sebaliknya,"tegas Dr Asri.

Menurutnya, tindakan tidak profesional ini menyebabkan membuang masa beliau, para penyokongnya, termasuk wakil-wakil rakyat (Saari Sungib dan Zuraida Kamaruddin) dan wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.Turut kelihatan di pekarangan mahkamah yang memberikan sokongan kepada beliau adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Hj Ghazali, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani, Marina Mahathir dan Zainah Anwar (SIS).

Ketika ini, Dr Asri berada di luar mahkamah dan sedang berbincang dengan wakil NGO dan wakil-wakil rakyat.

Beliau difahamkan akan bertemu dengan Datuk Jamil Khir sebentar lagi.

Hampir 100 orang hadir untuk memberikan sokongan kepada beliau termasuk puluhan wartawan.

Ketika ini, Dr Asri sedang menunggu di dalam Mahkamah Syariah dan beliau berkata akan menunggu pertuduhan sehingga jam 1 petang nanti._

Harakah

35 anggota JAIS serbu ceramah Dr Asri


SUASANA sepi di sebuah rumah banglo di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay menjadi kecoh malam tadi apabila bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

Seramai 35 anggota JAIS telah datang ke premis tersebut dengan tiga buah van pada jam 9.45 malam. Kedatangan mereka diiringi lebih 25 orang polis beruniform dalam kereta patrol.

Pada ketika itu, Mohd Asri sedang memberi ceramah kepada lebih 300 orang jemaah di dalam kawasan banglo milik Tuan Hj Yahya itu.

Ceramah agama yang bermula pada jam 8 malam itu terpaksa dihentikan setelah pegawai JAIS datang menyerbu.

Alasan yang diberikan oleh pihak JAIS ialah mereka menerima aduan dan terpaksa membuat penangkapan kerana Mohd Asri memberi ceramah tanpa tauliah.

Menurut anak tuan rumah, Norman Yahya, pegawai penguatkuasa JAIS telah memasuki banglo kira-kira jam 9.30 malam.

"Pada jam 9.30 ketika kuliah sedang berlangsung, pegawai JAIS memaklumkan kehadiran mereka adalah untuk menahan Dr Asri kerana memberikan ceramah tanpa tauliah," kata Norman.

Sementara itu, beberapa jemaah yang ditemui berkata, pihak JAIS telah menunggu selama setengah jam di luar banglo sebelum membuat serbuan.

Namun, seramai 50 orang jemaah bertindak menghalang penguatkuasa JAIS dan tidak membenarkan Dr Asri ditahan.

Untuk menenangkan keadaan, Mohd Asri telah ditempatkan di sebuah bilik di dalam banglo tersebut sementara proses perundingan dijalankan.

Senario menjadi sedikit tegang apabila penyokong Mohd Asri tidak mahu berganjak dan berkawal di hadapan bilik Dr Asri dan tidak membenarkan pihak JAIS mahupun polis memasuki bilik bekas mufti itu.

Sejurus selepas itu, kelihatan Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS Hulu Kelang, Saari Sungip mengadakan perundingan bersama tiga orang peguam dan pihak JAIS dan polis.

Kesemua mereka bertanya kepada JAIS atas alasan apa Dr Asri hendak ditahan. Dan jawapan yang diberikan oleh Ustaz Sharom Maarof, Pegawai Penguatkuasa Agama, dengan nada yang keras, "Dia tidak ada tauliah untuk memberi ceramah..."

Sharom juga kelihatan begitu agresif untuk memasuki bilik Mohd Asri.

"Siapa yang halang kita buat tangkapan, kita akan tangkap juga," kata Sharom.

Ketika ini, tiga orang peguam terpaksa menjadi orang tengah dan berbincang dengan pihak polis dan JAIS namun pihak JAIS enggan meninggalkan premis tersebut dan berkeras ingin membuat penangkapan juga.

Suasana berterusan menjadi tegang bila beberapa pegawai JAIS dan polis mengugut untuk menggunakan kekerasan seandainya penyokong-penyokong Dr Asri berkeras tidak mahu melepaskan Mohd Asri.

Pihak polis juga telah mengarahkan pihak media dan mereka yang tidak berkenaan untuk mengosongkan rumah.

Setelah keadaan berlarutan hingga 3 jam, Mohd Asri akhirnya dibawa keluar dari biliknya dengan diiringi oleh beberapa orang polis dan pegawai JAIS untuk dibawa ke balai Polis Hulu Klang untuk diambil keterangan.

Mohd Asri terus dibawa ke balai polis menaiki sebuah van tepat jam 12 tengah malam. Hanya peguam sahaja dibenarkan memasuki kawasan balai polis sementara pihak media dan penyokong Mohd Asri terpaksa menanti dengan setia di luar kawasan balai.

Setelah hampir 1 jam, Mohd Asri dibebaskan tanpa diambil apa-apa keterangan.

Namun kelibat pegawai JAIS dan van JAIS yang membawa Dr Asri ke balai polis langsung tidak kelihatan pada ketika itu. Dr Asri kemudiannya dibawa balik ke rumah Hj Yahya untuk sebuah sidang akhbar.

Mohd Asri telah diarahkan untuk menghadirkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, pada hari ini, jam 9 pagi untuk diambil keterangannya. - Mstar

KerabuBersuara

Wednesday, October 8, 2008

Mufti akui mangsa 'permainan politik'

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersara mengejut akibat "tidak selesa dengan permainan politik" oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.

“Cara menguruskannya, macam main silap mata. Mereka tidak jujur,” katanya hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan lanjut bentuk permainan politik itu dan pihak yang terlibat.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, surat makluman tamat kontrak perkhidmatannya selama dua tahun bermula 2006 dihantar kepadanya baru-baru ini walaupun kontrak baru sehingga Oktober 2009 telah ditandatangani Jun lalu.

Tindakan itu, menurut sumber-sumber, "ada (niat) sesuatu".

Dr Mohd Asri bagaimanapun menjelaskan tidak akan bertemu Menteri Besar Datuk Seri Md Isa Sabu untuk menyelesaikan permainan politik seperti didakwanya melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya tidak akan berjumpa beliau (Md Isa) untuk meminta jawatan," katanya.

Ditanya sama ada keputusan melepaskan jawatan itu dibuat kerana terdapat tekanan akibat beberapa pandangannya yang tidak selari dengan pandangan ahli politik, beliau berkata:

"Beberapa pandangan saya kritikal. Saya tidak kisah. Ada orang tidak selesa. Saya tidak kisah berbeza pandangan dengan pentadbir, tidak kira Umno atau parti mana pun.”

Sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai mufti, katanya, beliau telah "melakukan sesuatu".

"Daripada hari pertama (bertugas), ada orang terkejut dengan pandangan saya. Sepanjang tempoh itu, saya telah bertemu dengan pelbagai orang daripada pelbagai peringkat.

"Saya puas hati, saya telah melakukan sesuatu," katanya.

Mengulas "permainan politik" itu, Dr Mohd Asri berkata, istana sebagai institusi yang mengawal hal-ehwal Islam dan adat istiadat Melayu tidak mengetahuinya.

Oleh itu, tambahnya, beliau berhasrat menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyampaikan hajatnya dan memohon perkenan baginda.

Bekas ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) akan kembali mengajar di kampus itu di Pulau Pinang mulai 1 November ini.

Katanya, beliau akan berlepas ke United Kingdom selama tujuh bulan mulai 1 Disember untuk menjalankan kajian berkaitan pengajian hadis dan politik.

Sebelum meninggalkan jawatan itu, tambahnya, beliau akan mencadangkan penggantinya seperti yang pernah diamalkan oleh khalifah Islam yang pertama, Abu Bakar as-Siddiq.

Diminta menjawab kenyataan bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan tindakannya itu sebagai tidak menghormati keputusannya yang menyambung perkhidmatan sehingga tahun depan, Dr Mohd Asri berkata:

"Saya baik dengan beliau. Mungkin beliau tidak gembira dengan keputusan saya ini.”

Mufti termuda di Malaysia itu memecah rekod institusi agama itu apabila bersuara lantang dalam beberapa isu penting dan kontroversi, termasuk penangkapan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lepas, peralihan kuasa dalam Umno, mubahalah isu liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan Hari Pahlawan di Tugu Peringatan Negara dan pengharaman penyanyi Faizal Tahir.

Selain itu, beliau pernah hadir dalam forum yang dianjurkan Pakatan Rakyat di Kelantan selepas pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Anak kelahiran Bukit Mertajam itu, kelulusan doktor falsafah dalam pengajian hadis di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dilantik sebagai mufti menggantikan Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin yang bersara wajib.

Sumber:
Malaysiakini

Tuesday, October 7, 2008

Dr Asri bersara mengejut mulai Nov?

Ada "kemungkinan besar" Oktober menjadi bulan terakhir bagi tokoh agama terkenal Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkhidmat sebagai mufti Perlis.

Dr Mohd Asri berkata, beliau mungkin akan bersara lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya apabila kontraknya dijadual tamat Oktober tahun depan.

"Ini mungkin bulan terakhir bagi saya (sebagai mufti Perlis)," katanya dalam kepada Malaysiakini hari ini.

Dr Mohd Asri diminta mengulas desas-desus beliau akan meletakkan jawatan lebih awal sejak berkhidmat sebagai mufti mulai 2006.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat kerana keadaannya yang "tertekan."

Diminta mengulas lanjut tekanan itu sama ada tekanan politik, beliau enggan menyatakannya.

"Nanti saya akan cerita lain," katanya.

Bagaimanapun laporan-laporan di internet menyebutkan beliau tertekan akibat politik susulan sikapnya yang lantang dalam beberapa isu termasuk penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), peralihan kuasa dalam Umno, mubahalah isu liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan Hari Pahlawan di Tugu Peringatan Negara dan pengharaman penyanyi kontroversi Faizal Tahir.

Selain itu, beliau pernah hadir dalam forum yang dianjurkan Pakatan Rakyat di Kelantan selepas pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Dr Mohd Asri enggan mendedahkan tindakannya selepas bersara sama ada kembali bertugas sebagai pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, di ambang peralihan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak sebelum 2010, Dr Mohd Asri mengulas tentang tanggungjawab orang Islam memilih pengganti yang berwibawa.

Menulis di blognya semalam, beliau berkata, rakyat dan pemimpin mesti memastikan bahawa "jawatan yang menentukan hala tuju masyarakat dan umat tidak jatuh melainkan ke tangan mereka yang benar-benar layak".

"Jangan jatuh ke tangan yang berkemampuan dan wibawa, tapi tidak amanah. Jangan juga jatuh ke tangan yang amanah, tapi tidak berkemampuan melaksanakan bebanan tugas," tulisnya.

Menurutnya lagi, menjadi pengganti pemimpin Islam merupakan perkara besar dan jawatan itu "bukanlah harta rampasan perang yang boleh dibahagi-bahagikan begitu sahaja."


Sumber: Malaysiakini