Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Bagi memansuhkan serta-merta dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), seorang Sasterawan Negara mencadangkan satu lagi demonstrasi diadakan.
Bercakap kepada Malaysiakini malam ini, Datuk A Samad Said menyatakan "tidak begitu senangnya" dengan keputusan kerajaan semalam yang hanya memansuhkan dasar kontroversi pada 2012.
"Apa yang berlaku sekarang ini bukan memansuhkan (terus) PPSMI tetapi pemansuhan berlaku pada 2012, ini hanya pengumuman penangguhan PPSMI," katanya.
Beliau diminta menjelaskan lebih lanjut kenyataan awalnya di akhbar web PAS yang menyebut "demonstrasi jalanraya perlu diadakan sekali lagi tanda komitmen seluruh rakyat membantah PPSMI dan mendesak kerajaan segera memansuhkannya."
"Setiap perkara yang tidak dapat diselesaikan di dalam Dewan Rakyat perlu diadakan demonstrasi dan demonstrasi itu halal," Harakahdaily hari ini memetik A Samad sebagai berkata dalam satu wawancara.
Satu demonstrasi besar diadakan 7 Mac lalu, diketuai antaranya oleh A Samad sendiri, bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon baginda campur tangan membatalkan dasar tersebut yang sentiasa dibantah sejak ia diperkenalkan.
A Samad (foto kiri), yang juga penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), dilaporkan berkata "tidak ada sebab bagi kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar tersebut hingga ke tahun 2012 sedangkan ketika mahu melaksanakannya ia boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan."
Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata tokoh sastera itu lagi, bersifat "mengumpan rakyat untuk menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai dan juga pilihanraya umum ke-13."
"Apa yang diumumkan oleh Muhyiddin itu hanya menangguhkan pemansuhan PPSMI bukan memansuhkannya terus.
"Jika benar mansuhkan, sepatutnya tahun depan semua pelajar Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat sudah mula belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu," A Samad dipetik berkata.
"Alasan mengatakan untuk mansuhkan perlu ambil masa tidak logik kerana ketika perdana menteri keempat dahulu (Tun Dr Mahathir Mohamad) mahu laksanakan hanya boleh ambil masa enam bulan, kenapa perdana menteri keenam (Datuk Seri Najib Razak) perlu ambil masa tiga tahun untuk mansuhkan?"
GMP pula menganggap pengumuman kerajaan semalam bermakna "mulai 2010 semua pelajar baru Tahun Satu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 akan memulakan sesi baru tahun (depan) dengan menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sepenuhnya."
"Untuk tujuan itu kementerian seharusnya telah bersedia untuk menyediakan buku teks dan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa ibunda," kata Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad.
"GMP penuh berharap agar perubahan ini berlaku bukan sahaja di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah sahaja malah meliputi semua peringkat pendidikan termasuk peringkat universiti."
Untuk menangani kelemahan penguasaan Sains dan Matematik sewaktu PPSMI dilaksanakan, menurut satu kenyataannya hari ini, GMP menggesa Kementerian Pelajaran "mengadakan kelas pemulihan untuk membaiki pencapaian mereka" setaraf dengan mutu dua mata pelajaran tersebut sebelum 2003.
Dr Hassan juga mengumumkan satu majlis Sambutan Pemansuhan PPSMI yang akan diadakan di Stadium Baru Bandar Bangi pada 9 malam 19 Julai ini.
Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula dilaporkan berkata pengumuman ini bertujuan menjaga "kepentingan kroni" yang membekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran PPSMI.
"Patutnya ia dimansuhkan hingga tamatnya persekolahan akhir tahun ini. Maknanya tahun hadapan, dasar itu tidak perlu lagi dilaksanakan.
"Kenapa mereka tidak mansuh segera, jawapannya ialah kerana masih ada projek termasuk membekal buku, laptop dan peralatan sebagainya yang diberi kepada kroni dalam dasar PPSMI ini," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.
Menyifatkan pengumuman itu "tidak boleh dipercayai", Mahfuz juga bimbang keputusan terbaru kerajaan itu tidak akan dilaksanakan "memandangkan dasar kerajaan sering bertukar".
Beliau dilaporkan berkata, jika BN berjaya kekalkan kemenangan kerajaan pusat pada pilihanraya umum akan datang, pemansuhan pastinya boleh berubah dengan pelbagai alasan.
"Ini sering berlaku kerana pemimpin yang ada hari ini jugalah yang mengampu dasar PPSMI ini semasa ia diumumkan Tun Dr Mahathir enam tahun lalu," Mahfuz dipetik berkata.
Malaysiakini
Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Hassan Ahmad menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012 sebagai satu kejayaan rakyat.
"Rakyat seluruhnya tentu lega dan gembira, kerana pengajarannya di sekolah kebangsaan Cina dan India juga turut dikembalikan kepada bahasa ibunda masing-masing," katanya kepada Malaysiakini.
GMP merupakan gabungan badan-badan bahasa, NGO dan parti-parti politik yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan dasar yang diperkenalkan sejak 2003.
Melalui GMP, isu PPSMI juga turut dibangkit dalam kempen beberapa pilihanraya kecil yang diadakan sejak awal tahun ini.
Hassan mengucapkan syabas kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, yang menteri pelajaran, kerana "berani membuat keputusan yang benar" demi kebaikan masa depan rakyat.
Katanya, PPSMI merupakan satu dasar yang salah dan menyusahkan rakyat serta membazirkan wang untuk kembali kepada dasar asalnya.
"Walaupun pelaksanaan sepenuhnya hingga 2012, tetapi bagi saya ia melibatkan operasi, bukan soal dasar PPSMI," katanya ketika diminta mengulas pengumuman Muhyiddin hari ini.
Hassan berkata, GMP memberi sokongan penuh kepada beliau sehingga proses seterusnya sehingga 2012.
Berikutan itu, katanya, GMP akan bermesyuarat dalam masa terdekat sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pemansuhan PPSMI.
Daulat bahasa Melayu
Ditanya sama ada pemansuhan itu lebih baik dilaksanakan secara serta-merta, Hassan berkata:
"Tak usahlah, tak payah begitu. Kita dah enam, tujuh tahun (dalam dasar itu), sekarang sudah kembali sepenuhnya seperti dahulu.
"Apa yang kerajaan perlu buat, ialah tumpu perhatian dengan meningkatkan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukan bahasa pertama.
"Supaya anak-anak semua kaum mahir bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua," tambahnya.
'Hanya sebahagian selesai'
Sementara itu, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Datuk Dr Zainal Abidin Borhan menyifatkan 'sebahagian daripada isu PPSMI masih belum selesai'.
Katanya, ini kerana pemansuhan dasar tersebut hanya membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah tetapi tidak mengambil kira pelajar tingkatan enam dan matrikulasi.
"Secara peribadi, saya menyatakan sebahagian daripada perjuangan (Gapena) itu belum selesai.
"Kalau kita lihat dari sudut sosialnya, ada pembahagian pelajar yang mengambil aliran sains dan aliran sastera, kita dapati pelajar kelas sains akan terus belajar sains dan matematik dan seluruh mata pelajaran sains dalam bahasa Inggeris.
"Sedangkan aliran sastera di tingkatan enam, akan terus mengalami diajar dalam bahasa Melayu. Jadi kita lihat berlaku dualisme dalam pembahagian masyarakat.
"Dan ini akan membentuk psikologi pemikiran bahawa barangkali yang berbahasa Inggeris lebih baik daripada yang berbahasa Melayu.
"Ini akan menyebabkan pemilihan universiti akan berubah kerana pelajar mencari institut pengajian tinggi yang lebih mudah dan lebih selesa (diajar) dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Inggeris. Dan ini sudah berlaku sekarang," katanya dalam satu sidang akhbar.
Gapena akan bantu
Sementara itu, Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussein pula berkata menyifatkan pemansuhan PPSMI itu sebagai satu tindakan yang "sangat realistik" kepada rakyat Malaysia.
"Kami berikrar memberi segala pertolongan yang boleh (kepada kerajaan) untuk membantu dan menyumbang tenaga untuk memantapkan kedudukan bahasa di Malaysia," kata dalam sidang media yang sama.
"Kami menyokong bahasa Melayu sebagai kebangsaan dan bahasa Inggeris juga menjadi bahasa antarabangsa, kami harap sangat sifat-sifat dan perangai lama tidak dilanjutkan iaitu mementingkan bahasa Inggeris dan mempermainkankan Bahasa Melayu.
"Bahasa Melayu harus terus di beri perhatian dan dimantapkan sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa perhubungan," katanya.
Manakala Ketua Gapena 2, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar pula berkata, ia menunjukkan kerajaan "mendengar pandangan rakyat" dan membuat "keputusan yang bijak".
"Kombinasi semua kajian termasuk kajian Pembina dijadikan sebagai panduan utama iaitu dasar PPSMI itu merugikan orang Melayu terutama di luar bandar.
Namun, katanya, bahasa inggeris dan bahasa lain harus dipelajari sebagai satu usaha untuk menambah ilmu pengetahuan di kalangan rakyat Malaysia.
Beliau juga berharap agar kerajaan konsisten untuk menjadikan bahasa Melayu juga dijadikan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di Malaysia.
Daulat bahasa Melayu
Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut menyambut baik keputusan kerajaan itu.
"Keputusan itu merupakan satu tafsiran komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat," kata badan itu dalam satu kenyataan.
NGO itu juga berpendapat bahawa keputusan tersebut bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui bahasa kebangsaan.
Malaysiakini