Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label PPSMI. Show all posts
Showing posts with label PPSMI. Show all posts

Friday, August 21, 2009

K'jaan 'terus hina' bahasa Melayu: Samad - Malaysiakini

Datuk A Samad Said menyifatkan keputusan kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di semua peringkat sehingga tahun 2017 sebagai "penghinaan berterusan" terhadap bahasa kebangsaan.

"Ia menunjukkan ketidaksungguhan kerajaan (memartabatkan bahasa Melayu), yang mahu menenangkan (kemarahan ramai) di ketika-ketika tertentu.

"Bahasa Melayu itu diperhina terus," kata sasterawan negara itu kepada Malaysiakini.

Lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) diminta mengulas penjelasan terbaru Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berhubung pemansuhan dasar itu kelmarin.

Selepas sebulan pengumuman pemansuhan dasar itu pada awal Julai, keputusan terbaru "mekanisme pendaratan lembut" ini diluluskan oleh kabinet 5 Ogos lalu, kata Alimuddin dalam sidang media khas menjelaskan perkara itu.

Beliau menjelaskan, di peringkat UPSR, sains dan matematik akan terus diajar dalam dwi-bahasa sehingga 2016, PMR sehingga 2013 dan SPM sehingga 2015.

Beliau juga memberikan amaran mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru yang mengambil kesempatan untuk mengajar dua matapelajaran itu sepenuhnya dalam bahasa Malaysia sebelum 2012.

Dengan pendekatan terbaru "pendaratan lembut" pemansuhan PPSMI, dasar itu diteruskan bagi murid-murid darjah satu tahun depan dan 2011 sehingga kedua-dua kumpulan ini tamat darjah enam pada 2015 dan 2016 (lihat carta).

Malam ini, A Samad dan beberapa exco GMP dijadual berkempen di pentas PAS pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bagi mendesak pemansuhan segera dasar kontroversi itu.

Malaysiakini

Tuesday, August 11, 2009

GMP bincang demo kedua anti-PPSMI - Malaysiakini

Cadangan demonstrasi susulan bagi mendesak kerajaan memansuhkan serta-merta dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mungkin dibincangkan dalam mesyuarat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) minggu ini.

"Pak Samad (A Samad Said) penasihat GMP. Cadangan itu ditimbulkan beliau. Apabila disebut dalam mesyuarat nanti, bolehlah dibincang.

"Dulu kita pun tidak sangka, (pemansuhan PPSMI) akan meleret macam ini," kata setiausaha gerakan itu Hasni Abas kepada Malaysiakini semalam.

Beliau diminta mengulas kemungkinan GMP mengadakan demonstrasi kedua selepas peristiwa 7 Mac lalu yang menghimpun ribuan penunjuk perasaan di ibu negara, termasuk seniman dan budayawan bagi menuntut pemansuhan PPSMI.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini akur terhadap desakan kuat pelbagai pihak supaya PPSMI dimansuhkan.

Bagaimanapun, ia dilaporkan hanya akan berkuatkuasa pada tahun 2012 dan sebahagian kumpulan pelajar akan tamat pada 2014.

Mengulas lanjut tuntutan pemansuhan serta-merta dasar itu, Hasni berkata, perkara itu merupakan tuntutan GMP sejak awal lagi.

Tambahnya, isu teknikal yang digunakan bagi menangguhkan penggunaan bahasa Melayu dalam dua subjek tersebut, antaranya penyediaan buku teks baru, tidak seharusnya ditimbulkan.

"Buku darjah 1 (contohnya), macam one plus one (satu campur satu), apa yang teknikal sangat? Lagi pun, dulu buat (dasar baru dalam bahasa Inggeris) tidak ada masalah pun, boleh buat serta-merta," katanya.

Menurut Hasni lagi, kerajaan juga boleh menggunakan kembali buku teks asal yang digunakan enam tahun lalu ketika PPSMI belum diperkenalkan.

Sementara itu, Hasni juga berkata pihaknya masih berminat menemui Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran, bagi memberikan pandangan mereka secara langsung.

Katanya, surat permohonan untuk bertemu dengan Muhyiddin dihantar sebelum demonstrasi besar di Masjid Negara Mac lalu, tetapi sehingga kini masih belum dijawab dan dilayan.

Kenyataan rasmi terkini gabungan itu dijangka dikeluarkan awal minggu depan selepas jawatankuasanya selesai bermesyuarat.

Malaysiakini

Friday, July 10, 2009

Sokong demo baru mansuh PPSMI - Malaysiakini

Pemuda Pakatan Rakyat yang bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) mendesak pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), menyokong penuh saranan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said supaya diadakan satu lagi demonstrasi menuntut dasar itu dimansuhkan segera mulai tahun depan.

Sepertimana Samad - yang juga penasihat GMP - ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin juga mempertikaikan mengapa pemansuhan PPSMI yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, hanya berkuatkuasa pada 2012.

Sehubungan itu, Shamsul menyarankan agar demonstrasi PPSMI kali ini digabungkan sekali dengan demontrasi Gerakan Mansuhkan ISA yang akan berlangsung di ibu negara 1 Ogos nanti.

"Ini isu pendidikan. Jangan heret bersama dengan isu politik. Kalau (dasar itu) tidak boleh dilaksanakan, ia perlu diberhentikan untuk kepentingan rakyat.

"Satu dasar yang tidak bermanfaat tidak perlu diteruskan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Pada 7 Mac lalu, GMP mengadakan demonstrasi di ibunegara serta menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon baginda campur tangan memanasuhkan dasar tersebut.

Usaha meraih undi

"Kerajaan sudah kaji (baik dan buruk PPSMI), kenapa nak tangguh.

"Kos pelaksanaannya beratus ribu, jadi apa jaminan dilaksanakan (pemansuhan) pada tahun 2012. Kerajaan harus berani melaksanakannya dengan cara yang lebih objektif.

"Bagi orang politik, mereka melihat pelaksanaan PPSMI pada tahun 2012 digunakan untuk meraih undi dalam pilihanraya umum ke-13," katanya.

Sementara itu, ketua Penerangan Pemuda PAS pusat, Suhaizan Kaiat pula berkata demonstrasi boleh diadakan sekiranya kerajaan gagal memberi jawapan yang meyakinkan mengapa pemansuhan PPSMI itu hanya berkuatkuasa sepenuhnya pada 2012.

Sehubungan itu, beliau yang juga penolong setiausaha GMP, menyifatkan pengumuman Muhyiddin hanyalah kenyataan umum dan tidak benar-benar memansuhkan dasar kontroversi itu.

"Ada beberapa perkara yang tidak jelas yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin. Beliau sebut tahun 2012 dimansuh sepenuhnya, (tetapi) tahun berapa dia nak mula mansuh?

Mekanisme pelaksanaan

"Kita minta penjelasan, bila mula mansuhnya, macam mana mekanisme perlaksanaannya dan juga persiapan buku teks," katanya yang juga timbalan ketua Pemuda PAS Johor.

Beliau juga menggesa kerajaan supaya menjelaskan "asas pemansuhan" dasar kontroversi tersebut yang diumumkan oleh Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran, kelmarin.

"Asas pemansuhan (dasar) ini apa? Dahulu pada zaman (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein, data-data yang diberikan tidak mengganggu (pembelajaran) di sekolah dan memberi kebaikan kepada pelajar.

"Tetapi selepas demonstrasi (7 Mac lalu), semua data-data menunjukkan (dasar tersebut) mengganggu pelajar.

"Sekiranya tidak ada penjelasan, maka ke jalanrayalah kita," katanya.

Beliau mencadangkan agar demonstrasi itu diadakan sebaik-baiknya selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri

Malaysiakini

PPSMI: Keputusan Lewat Dan Separuh Masak - TVA

PKR menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) semalam sebagai "kurang daripada yang diharapkan dan mengecewakan".

"Ia melengah-lengahkan apa yang patut disegerakan. Sepatutnya PPSMI dari mulanya tidak dilaksanakan sama sekali.

"Sebaliknya selepas berbelanja lebih dari RM4 bilion untuk melaksanakannya dan setelah didesak oleh pelbagai pihak, barulah kini kabinet putuskan untuk memberhentikannya," kata Timbalan Presidennya, Dr Syed Husin Ali.

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersetuju untuk memansuhkan PPSMI tetapi hanya mulai 2012.

"Yang mengecewakan ialah kabinet memutuskan penamatan dasar ini mulai 2012 dan bukannya serta-merta mulai tahun depan. Kenapa mesti ditangguh selama tiga tahun, tidak diterangkan oleh menteri pelajaran," katanya.

Seterusnya, kata beliau, murid yang sekarang belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan dipaksa terus mengikuti dasar tersebut sehingga tamat persekolahan mereka.

"Ini tidak akan meredakan rasa tidak puas hati di kalangan ramai anggota masyarakat, terutama yang memperjuangkan kedaulatan Bahasa Malaysia," katanya.

PPMSI, kata Syed Husin dilaksanakan serta-merta tanpa sebarang kajian dan perundingan ramai.

"Kenapakah apabila hendak ditamatkan, perlu dilengah-lengahkan? Kami menggesa supaya kabinet bersikap ikhlas dan mengkaji semula keputusannya," kata beliau.

Murid-murid, katanya, perlu cekap dalam bahasa Inggeris dan sebaik-baiknya, ini dilakukan dengan mengajar bahasa dan sastera Inggeris sebagai mata pelajaran.

"Kerajaan berdadang hendak mengambil guru bahasa Inggeris dari luar. Kita mesti pastikan meraka terlatih dan berdedikasi.

"Beberapa tahun lalu, ada percubaan mengimport guru Inggeris, akan tetapi akhirnya gagal," tambahnya.

TVA

Dah Mansuh Baru Nak Dedah..

Al-kisah dipetik dari laman web mstar.com.my..

Pemansuhan PPSMI jimat kos RM40 juta

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang berkuat kuasa 2012, mampu menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM40 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi.

Beliau berkata sebelum ini, perbelanjaan itu adalah untuk menampung elaun tambahan atau Bayaran Insentif Subjek Penting (BISP) yang diberikan kepada guru-guru mengajar subjek Sains dan Matematik berdasarkan kelulusan, iaitu lima peratus tambahan daripada gaji untuk guru berkelulusan ijazah manakala 10 peratus pula untuk mereka berkelulusan diploma.

Ia diberikan kepada guru-guru untuk membeli buku atau menghadiri kelas tuisyen bahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa Inggeris tetapi guru-guru masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Beliau diminta menjelaskan lanjut mengenai pengumuman pemansuhan PPSMI oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran semalam. PPSMI juga diganti dengan strategi memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Dr Puad berkata adalah lebih baik peruntukan itu disalurkan kepada proses penterjemahan buku-buku rujukan ke dalam bahasa Melayu supaya ia dapat memperkasakan pelajar dalam pembelajaran mereka.
-mstar


Admin - Cuma nak ulas sikit, kenapa soal kos tiba-tiba didedahkan? untuk membuktikan apa? Kerajaan sekarang prihatin? Soalnya, kenapa sebelum dimansuhkan soal kos tidak pernah dibincangkan secara umum? Adakah kerajaan Malaysia tidak melakukan kaji selidik? atau untuk kepentingan pihak tertentu?

'Demo lagi, segerakan mansuh PPSMI' - Malaysiakini

Bagi memansuhkan serta-merta dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), seorang Sasterawan Negara mencadangkan satu lagi demonstrasi diadakan.

Bercakap kepada Malaysiakini malam ini, Datuk A Samad Said menyatakan "tidak begitu senangnya" dengan keputusan kerajaan semalam yang hanya memansuhkan dasar kontroversi pada 2012.

"Apa yang berlaku sekarang ini bukan memansuhkan (terus) PPSMI tetapi pemansuhan berlaku pada 2012, ini hanya pengumuman penangguhan PPSMI," katanya.

Beliau diminta menjelaskan lebih lanjut kenyataan awalnya di akhbar web PAS yang menyebut "demonstrasi jalanraya perlu diadakan sekali lagi tanda komitmen seluruh rakyat membantah PPSMI dan mendesak kerajaan segera memansuhkannya."

"Setiap perkara yang tidak dapat diselesaikan di dalam Dewan Rakyat perlu diadakan demonstrasi dan demonstrasi itu halal," Harakahdaily hari ini memetik A Samad sebagai berkata dalam satu wawancara.

Satu demonstrasi besar diadakan 7 Mac lalu, diketuai antaranya oleh A Samad sendiri, bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon baginda campur tangan membatalkan dasar tersebut yang sentiasa dibantah sejak ia diperkenalkan.

A Samad (foto kiri), yang juga penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), dilaporkan berkata "tidak ada sebab bagi kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar tersebut hingga ke tahun 2012 sedangkan ketika mahu melaksanakannya ia boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan."

Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata tokoh sastera itu lagi, bersifat "mengumpan rakyat untuk menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai dan juga pilihanraya umum ke-13."

"Apa yang diumumkan oleh Muhyiddin itu hanya menangguhkan pemansuhan PPSMI bukan memansuhkannya terus.

"Jika benar mansuhkan, sepatutnya tahun depan semua pelajar Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat sudah mula belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu," A Samad dipetik berkata.

"Alasan mengatakan untuk mansuhkan perlu ambil masa tidak logik kerana ketika perdana menteri keempat dahulu (Tun Dr Mahathir Mohamad) mahu laksanakan hanya boleh ambil masa enam bulan, kenapa perdana menteri keenam (Datuk Seri Najib Razak) perlu ambil masa tiga tahun untuk mansuhkan?"

GMP pula menganggap pengumuman kerajaan semalam bermakna "mulai 2010 semua pelajar baru Tahun Satu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 akan memulakan sesi baru tahun (depan) dengan menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sepenuhnya."

"Untuk tujuan itu kementerian seharusnya telah bersedia untuk menyediakan buku teks dan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa ibunda," kata Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad.

"GMP penuh berharap agar perubahan ini berlaku bukan sahaja di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah sahaja malah meliputi semua peringkat pendidikan termasuk peringkat universiti."

Untuk menangani kelemahan penguasaan Sains dan Matematik sewaktu PPSMI dilaksanakan, menurut satu kenyataannya hari ini, GMP menggesa Kementerian Pelajaran "mengadakan kelas pemulihan untuk membaiki pencapaian mereka" setaraf dengan mutu dua mata pelajaran tersebut sebelum 2003.

Dr Hassan juga mengumumkan satu majlis Sambutan Pemansuhan PPSMI yang akan diadakan di Stadium Baru Bandar Bangi pada 9 malam 19 Julai ini.

Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula dilaporkan berkata pengumuman ini bertujuan menjaga "kepentingan kroni" yang membekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran PPSMI.

"Patutnya ia dimansuhkan hingga tamatnya persekolahan akhir tahun ini. Maknanya tahun hadapan, dasar itu tidak perlu lagi dilaksanakan.

"Kenapa mereka tidak mansuh segera, jawapannya ialah kerana masih ada projek termasuk membekal buku, laptop dan peralatan sebagainya yang diberi kepada kroni dalam dasar PPSMI ini," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.

Menyifatkan pengumuman itu "tidak boleh dipercayai", Mahfuz juga bimbang keputusan terbaru kerajaan itu tidak akan dilaksanakan "memandangkan dasar kerajaan sering bertukar".

Beliau dilaporkan berkata, jika BN berjaya kekalkan kemenangan kerajaan pusat pada pilihanraya umum akan datang, pemansuhan pastinya boleh berubah dengan pelbagai alasan.

"Ini sering berlaku kerana pemimpin yang ada hari ini jugalah yang mengampu dasar PPSMI ini semasa ia diumumkan Tun Dr Mahathir enam tahun lalu," Mahfuz dipetik berkata.

Malaysiakini

Thursday, July 9, 2009

Mansuhkan PPSMI 2012: Tidak penuhi tuntutan, lebih ramai jadi 'mangsa' - Harakah

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Hrkh) - Keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI pada 2012 , dianggap belum memenuhi harapan tuntutan banyak pihak yang memperjuangkan isu ini di samping terus menambahkan lagi jurang pencapaian para pelajar yang tertinggal akibat dasar ini.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata sekiranya pemansuhan itu ditamatkan serta merta ianya tidak akan menimbulkan masalah memandangkan sudah ada buku rujukan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu dan memang ramai guru yang sudah pun mengajar mata pelajaran tersebut dalam bahas tersebut.

"Pelajar yang kini menghadapi masalah untuk mengikuti pembelajaran itu dan sepatutnya dengan segera dapat ditukar kepada Bahasa Melayu.

"Ini supaya mereka tidak terus menjadi mangsa kepada eskperimen yang sudah jelas menjejaskan pencapaian mereka seperti yang telah terbukti diakui oleh Menteri Pelajaran," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Katanya membiarkan pelajar sekolah luar bandar tertinggal walaupun terpaksa menunggu sistem tersebut kembali kepada Bahasa Melayu akan terus membiarkan jurang pencapaian melebarkan dan pelajar berkenaan terus tertinggal.

Teras katanya kesal kenapa dengan pelbagai pendirian dan kajian yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak yang jelas menunjukkan pelajar luar Bandar akan terjejas dan pencapaian keseluruhannya akan merosot , baru kini kerajaan akhirnya mengaku pada hal sebelum ini pihak Kementerian Pelajaran beria-ia benar mempertahankan kejayaan PPSMI.

"Kemerosotan pencapaian adalah akibat dari kedegilan pihak kerajaan untuk akur kepada suara pelbagai pihak termasuk dari kelangan para pendidik , ahli akademik , ibu bapa dan ahli agama," kata Azmi.

Kini barulah semuanya terpaksa diterima termasuk pengakuan betapa kajian universiti-universiti tempatan pun mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI, katanya

"Kini setelah 6 tahun kita dapati ratusan ribu generasi pelajar PPSMI menanggung kerugian kerana gagal menguasai mata pelajaran yang penting untuk berjaya melanjutkan pelajaran kepada yang tahap lebih tinggi.

"Jika pihak kerajaan tidak berdegil ,ratusan ribuan pelajar yang berkenaan tidak akan rugi menghadapi tekanan kerana dinafikan hak untuk belajar dalam bahasa ibunda mereka sendiri," katanya yang berharap dasar ini dimansuhknan dengan kadar segera sebelum tiga tahun lagi seperti yang diumumkan.- azm _

Harakah

Mansuh PPSMI 'kejayaan rakyat' - Malaysiakini

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Hassan Ahmad menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012 sebagai satu kejayaan rakyat.

"Rakyat seluruhnya tentu lega dan gembira, kerana pengajarannya di sekolah kebangsaan Cina dan India juga turut dikembalikan kepada bahasa ibunda masing-masing," katanya kepada Malaysiakini.

GMP merupakan gabungan badan-badan bahasa, NGO dan parti-parti politik yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan dasar yang diperkenalkan sejak 2003.

Melalui GMP, isu PPSMI juga turut dibangkit dalam kempen beberapa pilihanraya kecil yang diadakan sejak awal tahun ini.

Hassan mengucapkan syabas kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, yang menteri pelajaran, kerana "berani membuat keputusan yang benar" demi kebaikan masa depan rakyat.

Katanya, PPSMI merupakan satu dasar yang salah dan menyusahkan rakyat serta membazirkan wang untuk kembali kepada dasar asalnya.

"Walaupun pelaksanaan sepenuhnya hingga 2012, tetapi bagi saya ia melibatkan operasi, bukan soal dasar PPSMI," katanya ketika diminta mengulas pengumuman Muhyiddin hari ini.

Hassan berkata, GMP memberi sokongan penuh kepada beliau sehingga proses seterusnya sehingga 2012.

Berikutan itu, katanya, GMP akan bermesyuarat dalam masa terdekat sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pemansuhan PPSMI.

Daulat bahasa Melayu

Ditanya sama ada pemansuhan itu lebih baik dilaksanakan secara serta-merta, Hassan berkata:

"Tak usahlah, tak payah begitu. Kita dah enam, tujuh tahun (dalam dasar itu), sekarang sudah kembali sepenuhnya seperti dahulu.

"Apa yang kerajaan perlu buat, ialah tumpu perhatian dengan meningkatkan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukan bahasa pertama.

"Supaya anak-anak semua kaum mahir bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua," tambahnya.

'Hanya sebahagian selesai'

Sementara itu, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Datuk Dr Zainal Abidin Borhan menyifatkan 'sebahagian daripada isu PPSMI masih belum selesai'.

Katanya, ini kerana pemansuhan dasar tersebut hanya membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah tetapi tidak mengambil kira pelajar tingkatan enam dan matrikulasi.

"Secara peribadi, saya menyatakan sebahagian daripada perjuangan (Gapena) itu belum selesai.

"Kalau kita lihat dari sudut sosialnya, ada pembahagian pelajar yang mengambil aliran sains dan aliran sastera, kita dapati pelajar kelas sains akan terus belajar sains dan matematik dan seluruh mata pelajaran sains dalam bahasa Inggeris.

"Sedangkan aliran sastera di tingkatan enam, akan terus mengalami diajar dalam bahasa Melayu. Jadi kita lihat berlaku dualisme dalam pembahagian masyarakat.

"Dan ini akan membentuk psikologi pemikiran bahawa barangkali yang berbahasa Inggeris lebih baik daripada yang berbahasa Melayu.

"Ini akan menyebabkan pemilihan universiti akan berubah kerana pelajar mencari institut pengajian tinggi yang lebih mudah dan lebih selesa (diajar) dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Inggeris. Dan ini sudah berlaku sekarang," katanya dalam satu sidang akhbar.

Gapena akan bantu

Sementara itu, Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussein pula berkata menyifatkan pemansuhan PPSMI itu sebagai satu tindakan yang "sangat realistik" kepada rakyat Malaysia.

"Kami berikrar memberi segala pertolongan yang boleh (kepada kerajaan) untuk membantu dan menyumbang tenaga untuk memantapkan kedudukan bahasa di Malaysia," kata dalam sidang media yang sama.

"Kami menyokong bahasa Melayu sebagai kebangsaan dan bahasa Inggeris juga menjadi bahasa antarabangsa, kami harap sangat sifat-sifat dan perangai lama tidak dilanjutkan iaitu mementingkan bahasa Inggeris dan mempermainkankan Bahasa Melayu.

"Bahasa Melayu harus terus di beri perhatian dan dimantapkan sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa perhubungan," katanya.

Manakala Ketua Gapena 2, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar pula berkata, ia menunjukkan kerajaan "mendengar pandangan rakyat" dan membuat "keputusan yang bijak".

"Kombinasi semua kajian termasuk kajian Pembina dijadikan sebagai panduan utama iaitu dasar PPSMI itu merugikan orang Melayu terutama di luar bandar.

Namun, katanya, bahasa inggeris dan bahasa lain harus dipelajari sebagai satu usaha untuk menambah ilmu pengetahuan di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau juga berharap agar kerajaan konsisten untuk menjadikan bahasa Melayu juga dijadikan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di Malaysia.

Daulat bahasa Melayu

Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut menyambut baik keputusan kerajaan itu.

"Keputusan itu merupakan satu tafsiran komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat," kata badan itu dalam satu kenyataan.

NGO itu juga berpendapat bahawa keputusan tersebut bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui bahasa kebangsaan.

Malaysiakini

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012 - Malaysiakini

kemaskini 2.45pm Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, susulan keputusan mingguan jemaah menteri pagi ini, dibuat jam 2.30 di kementeriannya di Putrajaya.

Di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Selain memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang mengepalai demonstrasi besar itu, tokoh sastera Datuk A Samad Said juga menyertai sekumpulan lima Sasterawan Negara membantah dasar itu - mencipta rekod bantahan golongan budayawan Melayu.

Rentetan pelaksanaan PPSMI

19 Julai 2002 - mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara"

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."
Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansukan sepenuhnya pada 2012.

Malaysiakini

Monday, June 29, 2009

PPSMI Tidak Wajar Diteruskan, Kerajaan Jangan Teragak-Agak - Anwar Ibrahim

Mesyuarat Pimpinan Pusat hari ini membincangkan antaranya kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Seharusnya semua pihak menyedari kedudukan Bahasa Melayu dijamin oleh peruntukan Perlembagaan serta Dasar Pendidikan Nasional. Sewajarnya perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu dihimbau semula bagi mengingatkan kita akan jerih perih pejuangan nasionalis tulen. Adalah menjadi tanggungjawab kita rakyat Malaysia untuk memartabatkannya sesuai dengan hasrat Kemerdekaan negara dan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Oleh itu kelengahan Kementerian Pelajaran dan kabinet membuat keputusan berhubung kedudukan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seumpama mengenepikan semangat yang terkandung jelas dalam Perlembagaan. Dengan merosotnya prestasi matematik dan sains terutamanya di kalangan pelajar luar bandar tambah memburukkan keadaan.

Makanya pada sidang media seusainya mesyuarat tengahari tadi, saya mengulangi desakan agar kerajaan umno-bn kembali mematuhi intipati Dasar Pendidikan Nasional serta memartabatkan semula Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Kami juga menggesa agar sains dan matematik diajar dalam bahasa ibunda masing-masing di sekolah rendah jenis kebangsaan. Perlaksanaan PPSMI sekian lama memangsai rakyat terbanyak dan pembaziran berjumlah RM 4.5 billion.

Desakan ini dibuat tanpa menidakkan keperluan memperkukuh penggunaan Bahasa Inggeris dan kepentingannya, terutama di peringkat menengah atas serta pengajian tinggi. Namun kami menolak sebarang usaha untuk memastikan kelulusan Bahasa Inggeris diwajibkan di peringkat SPM. Perhatian mestilah ditumpukan kepada usaha untuk menghantar guru yang benar-benar terlatih ke kawasan luar bandar. Kandungan kurikulum juga perlu dilakar sesuai bagi menghasilkan kualiti pembelajaran dan pelajar yang terbaik.

Turut disentuh ialah isu tanah yang menimbulkan beban yang bukan sedikit kepada penduduk di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang, Pandamaran, Selangor dan Kampung Layang-Layang di Johor. Mesyuarat memutuskan isu ini akan dikendali oleh Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali. Beliau bersama panel lainnya akan meneliti serta berusaha mengurangkan beban yang ditimpa rakyat. Pimpinan parti juga secara sebulat suara menyokong penuh calon Pas di Manek Urai dan akan bersama-sama memastikan kemenangan Rakyat.

ANWAR IBRAHIM

Friday, June 26, 2009

Forum Mansuhkan PPSMI malam ini, orang ramai dijemput hadir - Harakah

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Hrkh) - Forum bertajuk ' Dasar PPSMI (pembelajaran dan pendidikan sains dan matematik dalam bahasa inggeris) dari segi falsafah pendidikan' akan berlangsung malam ini di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur.

Forum yang akan bermula jam 8.30 malam ini, akan menampilkan tokoh bahasa terkenal iaitu Pengerusi Gerakan Pemansuhan PPSMI (GMP) dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato' Dr. Hassan Ahmad sebagai ahli panel.

Selain itu, turut hadir sebagai pembicara forum malam ini ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia Chong Fah Hing dan pengamat kajian bahasa K. Arumugam.

Orang ramai adalah dijemput hadir bagi menyaksikan dan mendengar perbincangan penuh maklumat dan ilmiah berhubung kajian terhadap kesan PPSMI kepada para pelajar yang mendapat bantahan di negara ini.

Sementara itu, Setiausaha PPSMI (GMP), Hasni Abas dilaporkan sebagai berkata mahu pemansuhan PPSMI dilakukan segera setelah mengambil kira pendapat dan nasihat seluruh rakyat Malaysia.

"Kerajaan melaungkan slogan 1Malaysia sebagai teras kepada perpaduan dan kemajuan negara. Oleh yang demikian slogan tersebut mesti didokong dan dibuktikan melalui keputusan tersebut," katanya dalam satu temubual online.

Sementara itu Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat berkata beliau yakin kerajaan akan mengumumkan keputusan PPSMI pada tempoh masa yang mereka janjikan.

Namun begitu, beliau tidak dapat meneka akan keputusan yang bakal diambil kerana kerajaan tidak memberi sebarang gambaran awal keputusan mereka.

Suhaizan menambah dalam laman blognya, bantahan lebih hebat akan meledak di seluruh negara jika PPSMI tetap diteruskan dan kemungkinan besar satu perhimpunan membantah PPSMI seperti pada 7 Mac lalu akan berulang. _

Harakah

Monday, May 25, 2009

Lagi tokoh sastera tolak PPSMI - Malaysiakini

Walaupun tersohor dan disebut-sebut sebagai calon Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan mungkin mengalami laluan sukar mencapainya.

Beliau semakin lantang mempertikaikan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) - hari ini di depan 200 penulis muda dunia sastera Melayu.

"Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama bangsa dan negara," katanya dalam ucap utama di perhimpunan terbesar sasterawan muda Malaysia.

"Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPSMI ini hanya memberi faedah kepada segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal.

"Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka.

"Jika kegagalan itu berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu) menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini.

"Akibat kegagalan itu, mereka akan terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik."

Bekas pengarah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu yang terkenal dengan novel Naratif Ogonshoto – satira politik yang mengecam kerakusan orang berkuasa – menyampaikan ucapannya berjudul 'Arah dan Cabaran Penulis Muda' di Melaka pagi ini.

Dalam ucapannya kira-kira sejam, beliau menegur ahli politik Melayu dalam kerajaan yang menjadi pencetus utama timbulnya rasa tidak yakin terhadap bahasa mereka sendiri.

"Sejak sedekad yang lalu, masyarakat Melayu pada umumnya meragui adanya rasa bangga (terhadap) bahasa Melayu di kalangan ahli politik Melayu yang berkuasa," katanya.

Anwar berkata, sikap pemimpin tersebut digambarkan melalui penggunanan bahasa Inggeris dalam majlis rasmi dan tidak bersungguh-sungguh membina jati diri kolektif pelajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang tunggal.

"Mereka mempunyai pertimbangan lain, termasuk politik, yang dilihat lebih besar dan wahid (pertama) berbanding bahasa bangsanya," katanya.

Teks ucapannya juga boleh diperolehi di blognya.

Kritikan Anwar hari ini yang pertama dilontar di depan khalayak sebesar itu, selain wawancara di sebuah tabloid politik dan dialog-dialog kumpulan kecil masyarakat sastera.

Walaupun pelbagai pihak dan tokoh budaya sebelum ini lantang menuntut pemansuhan dasar kontroversi itu – sehingga membawa kepada demonstrasi besar 7 Mac lalu – Anwar dilihat tidak lantang sebelum ini.

Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2000 melalui novelnya itu turut terkenal dengan novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus.

Selain Anwar, tokoh-tokoh lain yang disebut layak untuk Sasterawan Negara penyair Datuk Baharuddin Zainal dan novelis Zaharah Nawawi.

Malaysiakini difahamkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 selama tiga hari sejak pagi tadi akan merumuskan satu resolusi membantah dasar PPSMI.

Awal bulan ini, kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup termasuk Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain menolak dasar kontroversi itu - pertama kali gabungan tokoh besar budayawan Melayu secara terbuka dan berani menentang dasar kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pelajaran dijangka akan mencapai keputusan berhubung PPSMI dalam tempoh enam bulan lagi, lapor laman web The Star petang ini.

Timbalan menterinya Dr Puad Zarkashi berkata keputusan itu diambil bagi memastikan para pelajar tidak mengalami keadaan rugi semuanya, apabila gagal menguasai Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Malaysiakini

Wednesday, May 20, 2009

Kempen sejuta poskad mansuh PPSMI - Malaysiakini

Selepas menggerakkan ribuan penunjuk perasaan di jalanan awal Mac lalu, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kini mengambil pendekatan kreatif dengan melayangkan sejuta poskad bantahan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut setiausahanya, Hasni Abas, kempen terkini membantah dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) itu diharapkan terus menggemblengkan bantahan rakyat, sebagai kesinambungan kepada demonstrasi 7 Mac lalu.

Katanya, GMP berharap, pelaksanaan kempen itu - dinamakan "Sejuta Poskad kepada Menteri Pelajaran" - dapat memandu Muhyiddin membuat keputusan yang betul dengan memansuhkan dasar kontroversi itu.

"Kalau tiap-tiap hari beliau buka pintu, tengok ada poskad (bantahan), takkan beliau tidak terfikir hendak mansuhkan PPSMI," katanya kepada Malaysiakini.

Hasni berkata, kempen tersebut dilancarkan Jumaat lalu di Pagoh, Melaka oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dalam sebuah majlis ceramah bersama Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi GMP, Dr. Shaharil Mohamad Zain; pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau; Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan beliau sendiri.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kira-kira 2,000 orang menghadiri majlis itu dan seribu poskad telah diedarkan.

Tiada had masa

Pihak yang ingin turut serta, boleh membeli poskad tersebut dari pejabat Teras Pengucapan Melayu (Teras) - sebuah NGO yang bergabung dalam GMP - di negeri-negeri, dengan harga RM1 sekeping.

Hasni bagaimanapun menafikan pihaknya cuba mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan daripada penjualan bahan kempen tersebut.

"Tak ada (buat untung). Kos cetak pun sekeping dah berapa," katanya sambil menjelaskan bahawa buat permulaannya 5,000 keping poskad telah dicetak.

Beliau yang juga pengerusi kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, GMP tidak menetapkan sebarang garis masa bagi program itu.

Bagaimanapun, katanya, ia akan dijalankan "selagi PPSMI tidak dimansuhkan" dan "selagi tidak cukup sejuta poskad dihantar".

Awal bulan ini, kerajaan dilaporkan memerlukan lebih masa bagi menilai perlaksaaan dasar itu kerana "keputusan terhadap isu berkenaan adalah kritikal".

Muhyiddin juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan kajian dan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya sebelum ini.

Menurut beliau, dalam sesi perbincangan tersebut, kadangkala pandangan yang dikemukakan tidak berasaskan fakta dan bukti, sebaliknya apa yang dirasai.


Malaysiakini

Wednesday, May 6, 2009

5 sasterawan negara tolak PPSMI - Malaysiakini

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi hari ini apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya.

Buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan, mereka melontarkan enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan pada sidang media di Rumah PENA pagi ini.

Alasan-alasan itu, antaranya:

Kebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.

Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".

Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan.

Pertama, warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan sains teknologi dan kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial - bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya. [Baca teks penuh di sini]

Buang gelaran rasmi

Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".

"Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," kata A Samad.

Sementara Muhammad (foto kiri) pula berkata: "Kalau diperlukan saya akan sampai ke sini juga, ditempat yang diperlukan. Saya merasakan tragedi ini bukan tragedi orang lain, tetapi tragedi (kepada) saya."

"Dan tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh bahasa Perancis misalnya.

"Cuba sentuh bahasa Inggeris, bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku?" soalnya.

"Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu."

Surat kepada PM

Muhammad juga menafikan dakwaan beliau lambat tampil memperjuangkan pemansuhan PPSMI, berbeza dengan A Samad sebelum ini yang lebih ke depan.

"Pertamanya, kalau tidak di depan televisyen atau suratkhabar, saya ini tidak berapa terpilih. Tetapi hal ini telah kita kerjakan dari awal lagi.

"Saya pernah siapkan surat kepada (bekas perdana menteri) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), kejar beliau di Putrajaya, beri surat itu.

"Tidak ada apa-apa (tindakan). Sewaktu saya di Tokyo, (saya) faks dari Tokyo. Lepas itu, macam-macam (tindakan) yang dikerjakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menurut jejak A Samad untuk berkempen di pentas politik dan pada pilihanraya kecil demi memperjuangkan pemansuhan PPSMI, Muhammad berkata:

"Boleh kempen, tetapi saya bukan orang politik. Intelektual juga ada tempatnya. Biarlah kita profesional. Yang pandai berpolitik itu, silakan," katanya, seorang penulis terkenal dengan esei budaya.

Tiga lagi sasterawan negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - tidak hadir kerana masalah kesihatan.

Akan terus lawan

A Samad (foto kanan) menambah, kesemua sasterawan negara "akan terus berlawan" memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.

"Kita tidak boleh harap semua sasterawan negara membuat kerja yang sama. Tujuan dan matlamat sama, tetapi caranya lain.

"Ahli politik ini ada usia luputnya. Kuasawan ada tarikh luputnya. Sasterawan, kerana tidak ada tarikh luputnya, dia akan terus berlawan," kata pengarang itu yang terkenal dengan novel Salina.

Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, A Samad memberi amaran supaya ahli politik harus bersedia menghadapi "perlawanan" yang lebih hebat "jika tidak bersedia tunduk" pada desakan membatalkan PPSMI.

"Dan kalau ada yang bertanya saya, apakah akan dilakukan kalau kuasawan (ahli politik) ini tidak bersedia untuk untuk tunduk, (maka) perlawanan ini akan diteruskan dari belbagai sudut.

"Ertinya kuasawan harus bersedia menghadapi itu. Kita akan merakyatkan betul-betul (isu PPSMI), bahawa mereka ini akan hilang bahasa, mereka akan hilang jati diri."

Muhammad pula berkata, ruang perbincangan dengan menteri terbabit masih terbuka. Bagaimanapun keputusan yang dibuat hendaklah melibatkan kehendak rakyat terbanyak.

Pertikai meja bulat

Muhyiddin semalam berkata kajian badan bebas mendapat hasil berlainan dengan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya kerana pesertanya tidak bercakap berdasarkan fakta dan bukti.

Mengulas kenyataan menteri itu, Muhammad mempertikaikan kesimpulan yang dibuat oleh kementerian tidak sama dengan butiran perbincangan meja bulat.

"Waktu saya menghadirinya, hampir 80 peratus tak bersetuju menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik. Tetapi akhirnya disimpulkan bahawa orang bersetuju.

"Saya masih ingat, yang bersetuju (ketika) itu hanyalah pegawai bank yang tidak tahu bercakap bahasa kebangsaan dan seorang lagi ibu kepada anak yang sedang bersekolah.

"Yang lain semua tidak bersetuju. (Wakil masyarakat) India dan Cina pun semua tidak bersetuju. Jadi, macam mana kesimpulan (boleh) jadi begini?" katanya.

Kejutkan dunia sastera

Awal Mac lalu, A Samad mengejutkan dunia sastera tanah air dan nasionalis bahasa apabila menerajui ribuan penunjuk perasaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah dasar tersebut.

Sejak 1981, Malaysia menganugerahkan gelaran berprestij ini kepada sembilan tokoh sastera dan kreatif negara, terbaru Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali S Othman Kelantan pada 2003.

Negara kini sedang menyaring senarai tokoh untuk dicalonkan sebagai sasterawan negara ke-10.

Empat yang telah meninggal dunia: Kamaluddin Muhamad (popular dengan nama pena Keris Mas), Datuk Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati) dan Syed Othman.

Semuanya aktif dalam dunia sastera kecuali Noordin yang dikenali sebagai penggiat teater tersohor.

Malaysiakini

Tuesday, March 31, 2009

Bantahan PPSMI bergema dalam p'raya - Malaysiakini

Selain demonstrasi besar awal bulan ini, dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut berkempen di Bukit Gantang yang kini menghadapi pilihanraya kecil.

Tokoh-tokoh utama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan turun berkempen dua hari di situ menjelang pengundian pada 7 April ini.

Profesor bahasa Dr Abdullah Hassan, Dr Shaharir Mohd Zain dan penyajak Dinsman dijangka menyampaikan ceramah.

“Diharap pengundi menolak (calon) Umno kerana perwakilan sanggup menaikkan (menteri pelajaran) Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai naib presiden Umno,” kata setiausaha GMP Hasni Abbas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Hishammuddin semalam menyatakan dasar PPSMI akan dipinda dalam masa terdekat selepas kabinet membuat keputusan. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk konkrit pindaan tersebut.

GMP, yang menuntut dasar itu dimansuhkan termasuk di sekolah menengah dan universiti, juga akan berkempen pada pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau pada 5 dan 6 April.

Selain tokoh-tokoh ini, penasihat GMP Datuk A Samad Said menyampaikan ceramah.

Hasni menambah, penceramah GMP dijadual berada di Bukit Gantang pada 4 April dan sasterawan negara terpaksa terus ke kawasan DUN itu kerana sebelumnya berada di luar negara.

Tiada NGO bantu

Bagaimanapun, katanya, GMP tidak turun di kawasan DUN Batang Ai.

"Memang ada permintaan di sana. Tapi, tiada badan yang dapat menyelenggarakan kami. Tiada NGO yang boleh bantu kita di sana," kata Hasni.

"Tak ada orang yang boleh mengatur perjalanan kita berkempen di sana. Kalau di Perak, ada (gabungan NGO Perak) Jamaie dan di Kedah ada Teras (Teras Pengupayaan Melayu)."

GMP tidak memohon permit polis kerana bimbang ia akan menyulitkan program mereka ketika berceramah, katanya.

"Sebab itu, kita guna pentas NGO lain untuk menyampaikan ceramah ini. Risalah-risalah mungkin diedarkan sempena kempen tersebut," tambah beliau.

Ketika ditanya apakah beliau yakin bahawa kempen mansuhkan PPSMI akan mampu memberi kesan terhadap corak pengundian, Hasni berkata:

"Jika diambil kira kesan perhimpunan di Istana (Negara) dulu, saya yakin fikiran pengundi berganjak. Selepas perhimpunan itu, saya terima pelbagai panggilan yang menyokong GMP.

"Ertinya, selepas 7 Mac, baru kita yakin memang ramai yang mahu PPSMI dimansuhkan kerana rakyat sedar isu bahasa ini mengancam kebudayaan (Melayu) dalam jangka masa panjang."

Macam lagu Ziana Zain

Mengulas kenyataan Hishammuddin semalam, Hasni berkata, beliau sukar mempercayai kenyataan menteri itu.

"Macam lagu Ziana Zain, Madah Berhelah, ini cakap-cakap orang politik. Kita tak boleh percaya sangat," katanya.

Menjawab isu itu di Dewan Negara, Hishammuddin berkata, kerajaan tidak akan menerima atau menolak bulat-bulat dasar PPSMI.

Keputusan untuk mengekal atau meminda pelaksanaan PPSMI akan disesuaikan mengikut mengikut pencapaian pelajar.

"Sebab itu," tambah Hasni, "kita harap para pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai sedar bahawa Umno pun tidak memperjuangkan bahasa Melayu."

GMP merancang menghantar memorandum membantah PPSMI kepada Raja-raja Melayu.

"Mungkin kita hantar memo kepada istana selepas pilihanraya (kecil) ini dan kita akan buktikan bahawa isu memansuhkan PPSMI bukan bermusim saja pada pilihanraya," tambahnya.


Malaysiakini

Tuesday, March 17, 2009

Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil - Harakah

ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh) - Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said mencabar pemimpin kerajaan Umno-BN untuk turun berkempen dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, hasil daripada usaha yang dibuat oleh Gerakan Mansuh Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP) baru-baru ini, tidak mustahil isu ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno, yang dijadual akhir Mac ini.

"Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris," tegas A Samad.

"Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris," ujar pejuang bahasa itu lagi.

"Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris," kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, "Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur".

Program tersebut diadakan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini, malam tadi.

Ketika memulakan ucapannya, A Samad membuat satu peringatan yang menggamatkan suasana dewan yang dipenuhi kira-kira 1,000 orang hadirin itu. "Ada satu perkara yang saya minta sebelum saya bercakap tentang nasib bahasa kita, iaitu bila ada pilihan raya, saya harap anda semua gunakanlah kuasa undi dan undilah siapa saja tapi jangan undi Umno," ujarnya, seraya mendapat tepukan gemuruh dan teriakan takbir oleh para hadirin.

Dalam ucapannya yang diselang-selikan dengan pendeklamasian puisi itu, A Samad terus membuat penegasan bahawa beliau tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya hanya dimanfaatkan.

"Saya tidak ada parti tapi hanya meminjam pentas parti. Saya bukan diperalatkan tapi dimanfaatkan. Dengan itu, kita berada pada situasi menang-menang. Kalau saya diperalatkan sudah tentu saya akan menjadi mangsa," jelasnya.

Dalam pada itu, belia turut menegaskab bahawa hanya dua buah parti yang mampu menyelamatkan keadaan semasa iaitu PAS dan KeADILan.

"Dalam keadaan semasa saya melihat hanya PAS dan KeADILAN yang boleh menyelamatkan orang Melayu. Sekiranya orang Melayu merasakan teraniya, sokonglah dua parti ini," katanya lagi.

Selain itu, A Samad menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan perjuangan untuk menyelamatkan bahasa Melayu dalam program "Kembara Kasih bahasa".

"Saya rasa terpanggil bahawasanya dalam sisa-sisa usia saya inilah untuk saya berlawan dan dengan semangat inilah saya akan menjelajah untuk memperjuangkankan bahasa saya.

"Saya bersedia kembali ke negeri Kedah ini dengan syarat anda semua bekerja untuk menumbangkan pemimpin-pemimpin yang sombong," ujarnya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Program berkenaan dianjurkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah.

Setiausaha Potik Menteri Besar Kedah, Mohd Sanusi Mod Noor telah menyampaikan ucapannya mewakili Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Setiausaha GMP, Hasni Abas turut menyampaikan ucapan. Majlis juga diselang-selikan dengan bacaan puisi oleh penyajak, Pak Salleh Bakar, tokoh sastera, Azizi Haji Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim._

Sumber: Harakah



Friday, March 13, 2009

Pembantah PPSMI bermesyuarat bantu siasatan polis - Malaysiakini

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang diminta polis hadir membantu siasatan berhubung demonstrasi besar membantah dasar kontroversi itu, akan bertemu petang ini.

Mesyuarat itu bagi menentukan tindakan selanjutnya berhubung panggilan polis itu yang diumumkan oleh polis Kuala Lumpur dalam satu kenyataan semalam, kata setiausahanya Hasni Abas.

Menurut polis, perarakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu lepas dekat Istana Negara tidak mempunyai permit dan melanggar Seksyen 27 Akta Polis.

Selain Pengerusi GMP Datuk Dr Hasan Ahmad bersama barisan pemimpin gabungan itu, polis juga meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa serta beberapa
pemimpin kanan parti termasuk naib presidennya Mohamad Sabu, ketua Pemudanya Salahuddin Ayub dan ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin PKR Saifuddin Nasution Ismail juga turut dikehendaki polis.

Timbalan pengerusi GMP Dr Shaharir Mohd Zain, profesor bahasa Dr Abdullah Hasan, setiausaha GMP Hasni Abas, Che Shamsudin Othman (Dinsman), Mohammad Faizal Abd Aziz, Aizad Mohd Saleh, Muhammad Haafizuddin Abirerah dan pemimpin Pemuda PAS Kamarulzaman Mohamad antara 22 individu yang diminta membantu siasatan.

GMP dijangka mengadakan satu sidang media selepas mesyuarat tersebut.


Sumber: Malaysiakini


Friday, March 6, 2009

Ayuh, semarakkan Himpunan 100,000 Mansuhkan PPSMI esok! - Harakah

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Demi memastikan kedaulatan Bahasa Melayu dijunjung sekaligus membantah dasar Pengajaran & Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang jelas mengundang '1001 masalah' kepada para pelajar khususnya di luar bandar, orang ramai diseru untuk sama-sama menyatakan sokongan dan menyertai 'Himpunan Aman 100,000 Mansuhkan PPSMI' esok (7 Mac ).

Menurut Setiausaha Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas, perhimpunan akan diadakan di tiga lokasi bermula 2.00 petang iaitu Pusat Perniagaan SOGO, Central Market dan Masjid Negara yang kemudiannya berarak ke Istana Negara untuk serahan memorandum.

"Bagi memudahkan perjalanan himpunan ini maka semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam untuk hadir dalam himpunan ini. Peserta dikehendaki berada di lokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang.

"Kawalan keselamatan akan dibantu oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara. Permit himpunan telah dipohon kepada Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara. Peserta adalah dilarang sama sekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataannya sebelum ini.


Pimpinan yang akan turut sama dalam himpunan ini adalah Sasterawan Negara, Dato' A.Samad Said, Dato' Dr Hassan Ahmad, Dr Shaharil Mohamad Zain, Prof Emeritus Abdullah Hasaan, Prof Emeritus Dato'; Nik Safiah Karim, dan diikuti pemimpin terkenal Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Warna tema himpunan pada hari tersebut ialah 'putih' dan peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI, katanya.

"GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia(SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan gabungan juga telah turut sama menyokong GMP.

"GMP penuh berkeyakinan bahawa 100,000 rakyat Malaysia akan berkumpul di hadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang," katanya. - azm/mks. _

Sumber: Harakah

Aktivis Tamil turut bantah PPSMI esok

Aktivis pendidikan Tamil turut menghulurkan sokongan kepada perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke Istana Negara, esok.

“Esok (kami) turun,” kata presiden Yayasan Tamil, K Uthayasoorian kepada Malaysiakini hari ini.

Jumlah aktivis dan penyokong pendidikan bahasa itu belum dapat dipastikan, tambahnya.

Beliau menjejaskan sokongan susulan Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) memutuskan tidak menyertai perhimpunan anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) bagi menyerahkan memoramdum kepada Yang di-Pertuan Agong jam 2 petang.

Dong Zong membuat keputusan itu dengan mendakwa ia tidak terlibat merangka memorandum dan tidak mengetahui kandungannya walaupun beberapa kali memohon untuk menelitinya.

Uthayasoorian, yang turut terlibat berkempen bersama GMP, berkata yayasannya juga belum melihat memorandum itu.

Beliau menegaskan, tuntutan Yayasan Tamil bertujuan mengembalikan bahasa ibunda dalam pengajaran dua subjek itu termasuk bahasa Cina dan Tamil.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Penulis Tamil Malaysia (Gapetam), walaupun mempertahankan penggunaan bahasa ibunda di peringkat sekolah, tidak bersetuju menggunakan saluran berdemonstrasi bagi menyuarakan bantahan.

“Kami tidak sokong bantahan (di) jalanan. Sepatutnya gunakan saluran tertentu (sampaikan bantahan),” kata presidennya K Balasubramaniam.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), persatuan tunggal kaum India yang berkarya dalam Bahasa Malaysia, pula belum memutuskan untuk terlibat dalam perhimpunan besar esok kerana tidak pernah berdemonstrasi bagi membantah dasar kontroversi itu.

Ditanya kehadiran penasihat persatuan itu Sasterawan Negara A Samad Said bersama GMP, pengerusi Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata: “Kami sokong Pak Samad”.

A Samad, penasihat kehormat Kavyan sejak kira-kira sepuluh tahun lalu, turut dilantik penasihat GMP.

Uthaya menambah, beliau menentang dasar itu sejak awal ia diumumkan oleh perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002.

“Respons kepada pengumuman itu, saya tulis sajak 'Perjuangan Bahasa Malaysia' di media, tetapi orang salah sangka (ingat saya menentang istilah bahasa Melayu),” katanya, yang kini bertugas sebagai penyunting berita di sebuah stesen televisyen.


Sumber: Malaysiakini