Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Ku Li. Show all posts
Showing posts with label Ku Li. Show all posts

Friday, January 29, 2010

Ku Li: Kelantan berhak dapat royalti minyak - Harakah

KOTA BHARU, 28 Jan: Kelantan ada hak untuk mendapat royalti minyak sebanyak RM2 bilion dan akan menjadi negeri yang terkaya, kata bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mempersoalkan mengapa Kelantan tidak mendapat royalti minyak sedangkan Sabah dan Sarawak memperolehinya.

Ucapannya yang berjaya menarik perhatian orang ramai yang memenuhi padang Stadium Sultan Mohamad IV itu berakhir kira-kira jam 10.50 malam.

Memorandum berhubung tuntutan royalti itu diedarkan kepada orang ramai untuk ditandatangani dan akan diserahkan kepada Pemangku Raja dan Perdana Menteri.

Sejak petang lagi, stadium penuh sesak dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Kelantan untuk mengikuti penjelasan royalti minyak yang disampaikan oleh Ku Li.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, diikuti solat Isyak yang diimamkan oleh Ustaz Mohamad Mustafa manakala solat hajat dipimpin oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Orang ramai juga dihidangkan dengan tayang klip video oleh Gegar pada sesi pertama anjuran Urusetia Penerangan Negeri Kelantan.

Majlis bertambah meriah dengan perarakan beca memasuki stadium yang membawa Ku Li dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Harakah

Monday, December 14, 2009

M'sia negara 'sumpahan minyak' - Malaysiakini

Mantan menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Malaysia sebagai negara 'sumpahan minyak' di mana kekayaan hasil buminya itu tidak digunakan untuk tujuan asal penubuhan Petronas, tetapi menjadi madat dan simbol kosong seperti Menara Petronas.

"Bila saya mengasaskan Petronas pada 1974, saya tidak menyangka bahawa suatu hari nanti, saya merasakan lebih baik kita tidak menemui kekayaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, anugerah minyak itu yang sepatutnya digunakan untuk memacu peralihan negara kepada masyarakat yang lebih terpelajar dan berhati mulia, sebaliknya telah menjadi madat yang memberi kesenangan sementara dan simbol kosong seperti Menara Petronas.

Tengku Razaleigh - bekas naib presiden Umno yang hampir menewaskan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden 20 tahun lalu - merupakan antara pengasas penubuhan Petronas pada tahun 70-an.

Menurutnya, Malaysia kini terjebak dalam perangkap pendapatan pertengahan, "tersangkut dalam pertumbuhan mudah dari pengeluaran tambah nilai yang rendah dan pemasangan komponen dan tidak mampu membuat lonjakan kepada ekonomi berintensifkan pengetahuan.

Katanya, tujuan awal penggunaan simpanan minyak Malaysia ialah untuk membantu negara melonjak daripada ekonomi yang berasaskan komoditi dan pemasangan kos rendah, kepada ekonomi yang lebih dipelbagaikan yang berasaskan kepada pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Kita melihat simpanan minyak kita sebagai satu kurniaan kekayaan yang akan menghasilkan wang untuk tujuan pemodenan dan teknologi," katanya ketika berucap di sidang kemuncak ahli korporat muda Malaysia di Menara Integriti, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, katanya, berbilion-bilion ringgit hasil eksport minyak sejak tiga dekad yang lalu, telah dibazirkan oleh kerajaan.

Menurutnya, hasil minyak negara yang sepatutnya digunakan mengikut yang telah dirancangkan sewaktu penubuhan Petronas, telah menjadi dana yang dibelanjakan sesuka hati oleh sesiapa juga yang mentadbir negara, tanpa sebarang pertanggungjawaban.

Buku bertajuk "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Time', yang dilancarkan baru-baru ini, menganggarkan kira-kira RM100 bilion telah dibazirkan dalam skandal kewangan sewaktu 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir.

Pengarangnya, Barry Wain yang juga bekas editor Asian Wall Street Journal, menulis bahawa sebahagian besar skandal itu, termasuk percubaan kerajaan untuk memanipulasi harta timah antarabangsa dan pembabitan Bank Negara dalam pasaran matawang global, pada tahun 1980-an.

Bagaimanapun, ada sesetengah penganalisa yang menyebutkan jumlahnya lebih tinggi daripada itu.

Malahah Time memetik Daniel Lian - seorang pakar ekonomi dari Morgan Stanly di Singapura sebagai berkata, Malaysia mungkin telah kehilangan "sehingga AS$100 bilion" (RM340 juta) sewaktu pentadbiran Dr Mahathir.

Petronas menyumbangkan 40 peratus daripada bajet negara sejak bertahun-tahun lalu tetapi penggantungan terhadap perolehan hasil minyak semakin tidak dapat dipertahankan lagi.

Kerajaan akan memperluaskan lagi asas cukai dengan memperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) di mana semua rakyat Malaysia dikehendaki membayar cukai tambahan di samping cukai pendapatan.

Tengku Razaleigh berkata, kekayaan minyak negara telah dibazirkan dan digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang gagal, membeli senjata, membina bandaraya secara besar-besaran di atas tapak ladang kelapa sawit.

Perolehan tersebut, katanya, tidak digunakan untuk membasmi kemiskinan di negeri-negeri yang miskin, tetapi disalurkan untuk tujuan politik dan golongan yang ada kaitan dengan politik.

Katanya, hasil minyak yang sepatutnya menjadi warisan kekayaan untuk semua rakyat Malaysia dan generasi akan datang, telah digunakan untuk menunjangi pemerintahan yang 'authoritarian, menghakis demokrasi berpelembagaan dan korup keseluruhan golongan elit politik dan perniagaan.

Malaysiakini

Wednesday, March 18, 2009

Hukuman berbeza, Ku Li pertikai Lembaga Disiplin Umno - mStar

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin semalam yang menjatuhkan hukuman berbeza antara pemimpin tertinggi dan pemimpin peringkat bawah Umno walaupun kesalahan yang dilakukan seolah-olah sama.

Katanya, beliau khuatir orang ramai akan mempertikaikan kredibiliti Lembaga Disiplin kerana ramai yang merasa keliru dengan dengan keputusan yang diumumkan semalam.

"Macam ada di peringkat bawah digantung keahlian tetapi yang terlibat secara tidak langsung, jadi dalang merancang penggunaan duit dalam politik ini terlepas begitu sahaja dengan amaran, cuma tidak dibenarkan bertanding begitu sahaja," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Lembaga Disiplin Umno semalam yang menjatuhkan hukuman ke atas 15 ahli daripada 29 kes yang disiasat berhubung politik wang.

Antara yang dikenakan hukuman adalah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno dan dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan minggu depan.

Selain itu, calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut didapati bersalah mengikut Perkara yang sama tetapi hanya diberikan amaran dan masih dibenarkan bertanding.

Sementara itu, enam ahli yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin peringkat bawahan digantung keahlian selama tiga tahun, lima ahli digantung selama setahun dan dua lagi diberi amaran.

Mengulas lanjut, Ku Li berkata, beliau berdukacita kerana siasatan membuktikan gejala politik wang melibatkan ahli peringkat senior.

"Orang yang menawar diri adalah untuk jawatan nombor dua parti dan bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri (merujuk Mohd Ali). Kalau menang, bukannya (jawatan) di peringkat rendah.

"Jadi kalau benar bersalah patut dihukum, tidak boleh diberi amaran saja. Jadi kalau tak bersalah, patut dia dibenarkan bertanding.

"Jangan pilih ikan bilis saja...jerung lepas. Ada sesuatu yang tidak kena sama ada silap maklumat tak cukup, saya tidak tahu tapi pandangan orang ramai akan keliru," katanya.

Ditanya kebarangkalian Mohd Ali akan dibenarkan bertanding sekiranya rayuan beliau hari ini berhubung keputusan Lembaga Disiplin semalam diterima, Tengku Razaleigh berkata, hal itu akan menyebabkan tindakan yang diambil Lembaga semalam dilihat sebagai 'tidak kena'.

"Kalau begitu, ahli-ahli Lembaga Disiplin kena berhenti. Mereka sudah pun menjejaskan kedudukan seorang calon untuk bertanding.

"Tiba-tiba selepas rayuan didengar, dia dibenarkan bertanding. Jadi saya rasa, di mana nak letak muka (ahli-ahli Lembaga).

"Mereka semua kena letak jawatan. Kalau begitu, semua tindakan Lembaga tidak kena," katanya.

Ditanya sama ada Khairy perlu menarik diri daripada bertanding kerana melibatkan hal moral dan etika, Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak menyalahkan Khairy dalam hal itu sebaliknya hukuman itu sendiri yang sepatutnya dijatuhkan secara adil.

"Kalau betul bersalah, patut semua orang tidak boleh bertanding, patut dihukum.

"Tengok (Tan Sri) Isa Samad dihukum enam tahun. Kalau ada orang terlibat dengan politik wang patut dikenakan hukuman setimpal, tidak hanya amaran saja, patut digantung terus.


Sumber: mStar


Wednesday, March 4, 2009

Tengku Razaleigh: Panggil pilihan raya selesaikan krisis politik Perak - mStar

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Sambil menyifatkan krisis politik Perak semakin kelam, bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan, segala tindak-tanduk bercanggah dengan Perlembagaan demi kepentingan politik peribadi perlu dihentikan.

Justeru beliau turut menggesa agar kuasa dikembalikan kepada rakyat untuk membuat pilihan baru mereka bagi menyelesaikan krisis berusia lebih sebulan itu.

Bekas Menteri Kewangan itu menambah, "mereka yang secara acuh tak acuh mengingkari Perlembagaan bagi manfaat politik secara langsung memusnahkan lagi asas-asas negara ini bagi kepentingan politik mereka."

"Ini perlu dihentikan," kata beliau, yang telah beberapa kali mempersoalkan isu itu sebelum ini, dalam tulisan terbaru blognya.

"Situasi politik di Perak menjadi semakin kelam dari sehari ke sehari, dengan ego dan reputasi sudah berakar berumbi dalam kedudukan-kedudukan yang tidak harapan," kata beliau.

"Terdapat cara yang mudah dan terhormat untuk meredakan situasi (ini) buat selama-lamanya: kembali kepada satu-satunya sumber kerajaan yang sahih, kehendak orang ramai yang diluahkan menerusi pilihan raya yang bersih dan adil.

"Barisan (Nasional) kemungkinan ingin memperlihatkan sedikit kemurahan hati dan keyakinan dengan memanggil pilihan raya (baru)," katanya.

Pandangan yang sama diutarakan oleh Majlis Peguam lewat petang semalam.


Sumber: mStar


Tuesday, February 17, 2009

Tengku Razaleigh: Siapa derhaka kepada raja?

PETALING JAYA: Di sebalik krisis politik Perak dan syor agak dikembalikan kekebalan Raja-raja Melayu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam menarik perhatian bahawa isu sebenar yang perlu diberikan tumpuan bukannya tentang status Raja-raja Melayu.

Sebaliknya kata beliau, "isu sebenarnya ialah legitimasi proses pembentukan kerajaan baru Barisan Nasional yang mengambil alih daripada Pakatan Rakyat."

Menulis dalam blognya semalam, bekas Naib Presiden Umno itu juga melontarkan pertanyaan siapa sebenarnya yangmenderhaka kepada Raja-raja Melayu?

Malah, dalam tulisannya itu, beliau menempelak pemimpin Umno yang mempersoalkan sikap sesetengah rakyat yang dikatakan tidak lagi hormat kepada institusi raja.

Mengambil kira perkembangan semasa beliau turut bertanya "yang mana satukah mendatangkan keburukan lebih besar, antara pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat kepada Sultan Perak baru-baru ini?"

Tengku Razaleigh mengingatkan bahawa Raja-raja Melayu hari ini boleh dibawa ke Mahkamah Khas kerana pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau ketika itu membantah pindaan tersebut dan beliau tidak berganjak dengan hujahnya dalam perbahasan diparlimen 16 tahun lalu.

"Saya menentang pindaan-pindaan ini... Saya masih kekal dengan pendirian ini," katanya lagi.

Dalam tulisannya itu, Tengku Razaleigh turut menyertakan rakaman video ucapannya semasa membahaskan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993.

Tengku Razaleigh juga mempersoalkan sikap pemimpin Umno yang dilihatnya tidak faham isu pokok.

Katanya, "apakah ini seharusnya bentuk pemimpin dan parti yang dimahukan oleh rakyat."

Malah, beliau juga bertanya apakah Umno hari ini benar-benar mempertahankanundang-undang dan institusi raja-raja Melayu seperti yang didakwa.

Mengenai tindakan Karpal Singh mahu menyaman Sultan Perak, TengkuRazaleigh berkata, beliau tidak setuju dengan Pengerusi Kebangsaan DAP itu.

Bagaimanapun tegasnya, Karpal hanya menggunakan haknya yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Sumber: mSTAR



Tuesday, September 2, 2008

Umno hadapi krisis moral dan budaya yang serius - Ku Li

KUALA LUMPUR, 1 Sept ( Hrkh) - Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li) berkata, Umno sekarang ini menghadapi krisis budaya dan moral yang sangat serius akibat penularan rasuah dalam parti itu.

Berucap dalam satu majlis anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan di Kota Bharu, Sabtu lepas, Ku Li menegaskan, selain berleluasa dalam parti yang memerintah rasuah juga sudah menjadi masalah besar dalam perkhidmatan awam.

"Masalah ini sudah menjadi 'open secret', yakni bukan rahsia lagi. Baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendedahkan bahawa rasuah beli undi ini sudah menjalar ke seluruh akar umbi Umno.

"Saya anggap ini sebagai krisis budaya dan moral yang sangat serius, dan boleh memusnahkan Umno dan menjadikannya parti politik usang," tegasnya.

Teks ucapan Ku Li selaku Penaung MTRK dihantar kepada Harakahdaily menerusi emel.

Ku Li yang akan mencabar Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Perhimpunan Agung parti itu Disember depan turut melontarkan kebimbangan beliau, bahawa rasuah politik dalam Umno, hanya akan menyebabkan parti itu diterajui orang yang tidak layak.

"Dapatkah kita menjamin bahawa melalui rasuah politik dalam UMNO itu, hanya orang yang baik, cekap, bersih, jujur atau yang mempunyai kelayakan dan kemampuan yang kuat untuk memperjuangkan kepentingan parti dan anggota parti atau untuk menjadi pemimpin kerajaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang?", soal beliau.

Ku Li turut memetik kata popular di kalangan Umno yang mengatakan, 'dalam Umno kalau anda tidak punya wang (tidak kira dari mana datangnya wang itu) jangan cubalah bertanding melawan calon yang kaya'.

Beliau turut memberi perumpamaan bahawa rasuah rasuah adalah seperti anai-anai yang boleh memakan asas atau tiang rumah.

Katanya, tiang (Umno) dan rumah (negara) akan roboh dan porak peranda jika 'anai-anai rasuah' tidak dibunuh dengan segera.

Dalam ucapannya juga Ku Li turut menegur kepimpinan Umno supaya menyelesaikan segera masalah ekonomi, perhubungan antara kaum dan pelbagai isu yang boleh menjejas kestabilan dan kedaulatan negara.

"Masalah inilah yang mesti kita tangani secara serius kalau kerajaan atau parti yang memerintah sekarang tidak mahu kehilangan keyakinan rakyat yang lebih teruk lagi daripada yang dialaminya selepas PRU ke-12," tegasnya. - mr_

Sumber: HarakahDaily