Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Kelantan. Show all posts

Monday, March 8, 2010

Prestasi Kerajaan Negeri-Negeri Pakatan Rakyat sepanjang 2 tahun - AnwarIbrahimBlog

Pakatan Rakyat secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta menjamin kemaslahatan rakyat. Pakatan Rakyat akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Pakatan Rakyat akan terus memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan didasari prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Berdepan dengan masalah perkauman yang meruncing, rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan perpaduan kaum yang semakin jitu dan utuh. Negeri-negeri Pakatan menunjukkan prestasi ekonomi yang memberansangkan jika dibandingkan dengan negeri yang ditadbir umno-barisan nasional.

Selangor

Negeri Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 6.76 billion pada tahun 2009 dan mencipta sebanyak 20 753 peluang pekerjaan. Dari jumlah pelaburan tersebut, RM 2.752 billion(40.8%) merupakan pelaburan tempatan. Manakala Projek Industri yang diluluskan di Selangor berjumlah 278, ianya merupakan yang tertingi dicatatkan di Negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga mensasarkan enam hingga tujuh peratus pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada penguncupan sebanyak 3.87 peratus tahun lepas.
Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun sebelumnya.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran berteraskan Islam sepanjang 2010.Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari Kerajaan Negeri mahupun sumbangan individu.

Pulau Pinang

Pulau Pinang meluluskan sebanyak 104 projek industri(ketiga tertingi). Dasar CAT(daya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan)menjadi pemangkin kepada kejayaan Pulau Pinang untuk merekodkan lebihan belanjawan(surplus) sebanyak RM 88 juta berbanding jangkaan defisit sebanyak RM 35 juta(belanjawan 2008)

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul. Pengiktirafan serta bantuan kewangan (pemberian tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM serta para huffaz.

Bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM 97 ribu per sekolah, RM 60 ribu kepada setiap sekolah cina dan RM 63 ribu kepada setiap sekolah tamil. Jumlah keseluruhan ialah RM 11.3 juta. Berjaya membasmi kemiskinan tegar dalam masa satu tahun dan menjamin setiap keluarga mendapat RM 500 sebulan.

Kedah

Pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta.

Kini dengan keluasan 1,000 hektar kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta, tidak termasuk cukai per tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan. Sedangkan di bawah pentadbiran umno-bn, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu pertan metrik. Kejayaan ini merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan rasuah.

Kelantan

Semenjak 20 tahun lepas Kerajaan Kelantan secara berterusan dianaktirikan akan tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan. Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya telah menjadi contoh kepada banyak negeri. Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan marhaen, Bandar Baru Tunjung dibina menjadi pusat komersil satelit kepada Kota Bharu. Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada Air Kelantan. Selain itu PMBK menjadi agensi pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum 1990. Kerajaan Negeri berjaya menguruskan 20 sekolah agama bantuan penuh kerajaan negeri yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah Kementerian Pendidikan. Kemahiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kuasa beli rakyat Kelantan terus kukuh. Sepanjang 20 tahun pemerintahan ekonomi tempatan dibina secara kendiri tanpa bantuan stimulus dari kerajaan Pusat.

AnwarIbrahimBlog

Tuesday, March 2, 2010

Malukan Nik Aziz, PM diminta bertindak - Malaysiakini

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hangat seketika apabila beberapa wakil kerajaan membangkitkan tindakan penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi membelakangkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bawah) pada upacara melepaskan peserta semalam.

Rata-rata wakil rakyat PAS itu mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan segera terhadap penganjur yang didakwa mereka telah memalukan bukan sahaja kepada Nik Aziz tetapi kepada rakyat Kelantan keseluruhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Abdul Fatah Mahmood berkata beliau telah menghantar mesej kepada Najib melalui laman sosial Facebook Perdana Menteri itu hari ini.

"Saya juga sudah mengutus surat secara rasmi kepada Perdana Menteri hari ini agar sesuatu tindakan susulan diambil terhadap penganjur yang telah memalukan Menteri Besar (Nik Aziz) dan juga rakyat Kelantan," katanya pada sesi soal jawab persidangan DUN, di Kota Bharu hari ini.

Semalam, nama Nik Aziz sebagai tetamu kehormat yang akan melepaskan peserta di hadapan Istana Balai Besar, digugurkan pada saat akhir tanpa dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Majlis pelepasan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia yang memulakan peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang sejauh 174.5km itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Abdul Fatah berkata yang lebih mengecewakan ialah Nik Aziz pada mulanya tidak dibenar menaiki pentas utama untuk bersama-sama Awang Adek (kanan) membuat pelepasan itu tetapi selepas campurtangan pegawai, Menteri Besar itu dibenar naik ke pentas.

Mat Yusoff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) bangun meminta penjelasan adakah benar Nik Aziz yang sepatutnya membuat pelepasan itu atau sebaliknya seperti yang diputus dalam mesyuarat jawatankuasa sambutan sebelum itu.

Abdul Fatah berkata perkara itu tidak timbul kerana pemilihan Nik Aziz diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Ketika ditemui di luar Dewan, beliau berkata kerajaan negeri akan menilai semula peranannya dalam memberikan kerjasama pada masa akan datang.

LTdL kali ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan disertai 20 pasukan.

Perlumbaan melibatkan tujuh peringkat sejauh 1,013.9 kilometer untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650.

Sementara itu, Kelantan meminta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melantik segera tiga wakil kerajaan negeri ke dalam lembaga pengarah agensi itu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pelantikan itu penting dalam menyelaraskan program pembangunan demi untuk rakyat di Kelantan Selatan terutama perkara yang membabitkan soal tanah.

Persidangan DUN ditangguh pada satu tarikh yang akan ditentukan.

- Bernama

Malaysiakini

Friday, February 12, 2010

Kesahihan ketua Umno Tanah Merah dipertikai - Malaysiakini

Seorang bekas pemimpin Umno Tanah Merah mempertikaikan status jawatan ketua Umno dan timbalan ketua bahagian tersebut yang didakwanya tidak berkelayakan untuk memegang jawatan tersebut susulan cawangan mereka berstatus "dibubarkan sementara" oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 15 November 2007.

Bekas setiausaha Umno bahagian itu, Amran Abdul Rahman mendakwa ketua bahagian berkenaan, Ikmal Hisham Abdul Aziz dan timbalannya, Baharuddin Yusof, yang masing-masing dari cawangan Pondok Lama dan Banggol, adalah dari cawangan terbabit.

Menurutnya lagi, dalam tempoh tersebut, cawangan berkenaan dilarang mengutip yuran dan ahlinya ini tidak boleh menjadi perwakilan atau menawarkan diri untuk bertanding.

Bagaimanapun Amran mendakwa kedua-dua pemimpin tersebut menawarkan diri untuk bertanding bagi kedua-dua jawatan dan menang dalam pemilihan parti itu pada tahun 2008.

"Untuk bertanding pada pemilihan tahun 2008, ia haruslah berdasarkan kepada yuran 2007. tetapi perkara ini (pembubaran sementara) tidak didedahkan.

"Jadi mereka dibenarkan bertanding pada 2008. Pada hal, status cawangan tersebut dibubarkan. Jadi mereka tidak ada kelayakan untuk bertanding. Mereka tidak ada kelayakan untuk menawarkan diri untuk bertanding," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Amran mendakwa perkara tersebut menyalahi peraturan ROS dan sekiranya tidak diselesaikan ia akan menimbulkan lagi berbagai masalah antaranya berhubung perlantikan penghulu.

Menurutnya, beliau telah membuat aduan tersebut kepada ibu pejabat parti dan badan perhubungan Umno negeri, berhubung perkara ini sejak 2008. Bagaimanapun, katanya tiada tindakan susulan daripada pihak yang berkenaan.

Ekoran itu, beliau membuat aduan polis pada 30 Januari lalu berhubung perkara itu selepas mendapat salinan surat dari ROS pada 25 Januari lalu.

Dalam aduan itu, Amran mendakwa kedua-dua cawangan tersebut telah menerima surat pembubaran sementara, bermula pada tarikh 15 November 2007 dan dibatalkan pendaftarannya berkuatkuasa 10 November 2009 oleh ROS.

Sementara itu, ketua Umno bahagian itu, Ikmal Hisyam Abdul Aziz berkata semasa pemilihan jawatan tersebut dua tahun lalu, ibu pejabat parti memberi kebenaran untuk mereka untuk bertanding.
"Masa itu, ibu pejabat Umno kata ahli di bahagian boleh bertanding dan cawangan masih lagi sah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini sambil mengesahkan menerima surat pembatalan pendaftaran cawangan tersebut daripada ROS.

Menurutnya lagi, mengikut perlembagaan Umno, sekiranya sesuatu cawangan yang dibubarkan, seseorang ahli masih lagi boleh bertanding atau boleh memegang jawatan di dalam parti.

"Cawangan hanya dibatalkan oleh ROS. Keahliannya dalam Umno tidak tergugur," katanya sambil menambah seseorang itu boleh merayu atau mendaftar di cawangan yang lain.

Ikmal Hisyam berkata, beliau sudah membuat proses rayuan untuk menghidupkan semula cawangan termasuk cawangannya yang dibatalkan oleh ROS sejak memegang jawatan itu pada 13 Disember 2008.

Dalam pemilihan jawatan ketua bahagian tahun 2008, Ikmal Hisyam mendapat sokongan 92 daripada 108 cawangan di bahagian Tanah Merah.

Malaysiakini

Friday, January 29, 2010

Ku Li: Kelantan berhak dapat royalti minyak - Harakah

KOTA BHARU, 28 Jan: Kelantan ada hak untuk mendapat royalti minyak sebanyak RM2 bilion dan akan menjadi negeri yang terkaya, kata bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mempersoalkan mengapa Kelantan tidak mendapat royalti minyak sedangkan Sabah dan Sarawak memperolehinya.

Ucapannya yang berjaya menarik perhatian orang ramai yang memenuhi padang Stadium Sultan Mohamad IV itu berakhir kira-kira jam 10.50 malam.

Memorandum berhubung tuntutan royalti itu diedarkan kepada orang ramai untuk ditandatangani dan akan diserahkan kepada Pemangku Raja dan Perdana Menteri.

Sejak petang lagi, stadium penuh sesak dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Kelantan untuk mengikuti penjelasan royalti minyak yang disampaikan oleh Ku Li.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, diikuti solat Isyak yang diimamkan oleh Ustaz Mohamad Mustafa manakala solat hajat dipimpin oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Orang ramai juga dihidangkan dengan tayang klip video oleh Gegar pada sesi pertama anjuran Urusetia Penerangan Negeri Kelantan.

Majlis bertambah meriah dengan perarakan beca memasuki stadium yang membawa Ku Li dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Harakah

Thursday, January 28, 2010

Kelantan berjaya kurangkan kadar kemiskinan - Harakah

KOTA BHARU, 27 Jan: Kadar kemiskinan di Kelantan telah menurun kepada 4.1 peratus pada 2008 berbanding 7.2 peratus pada 2007 dan 10.4 (2004).

Ini bermakna kadar kemiskinan di Kelantan 0.3 peratus lebih tinggi daripada purata kadar kemiskinan peringkat negara iaitu 3.8 peratus.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, bagi kategori penduduk miskin tegar Kelantan hanya mempunyai 0.6 peratus, di mana jumlah itu jauh lebih rendah berbanding peringkat kebangsaan 0.8 peratus.

Beliau berkata, perangkaan tersebut didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika rombongan Kelantan datang berunding mengenai teras asas dan pemulihan projek bagi perlaksanaan RMK-10, 25 Januari lalu.

Husam yang juga salah seorang anggota rombongan berkenaan berkata, taklimat diberi berhubung prestasi ekonomi Kelantan yang begitu menggembirakan.

Tambahnya, pada masa yang sama KDNK Kelantan pada 2007 dan 2008 buat pertama kali jauh lebih tinggi berbanding KDNK peringkat kebangsaan.

“ni kerana sejak 2006 KDNK telah berkembang kepada 5.9 peratus, 2007 (7.5 peratus) dan 2008 (5.1 peratus),” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Berbanding dengan kerajaan Persekutuan pada tahun 2006 (5.8 peratus), sedangkan Kelantan (5.9 peratus).

Pada 2007 KDNK Persekutuan 6.2 peratus, manakala Kelantan 7.5 peratus dan 2008 kerajaan pusat 4.1 peratus, manakala Kelantan 5.1 peratus.

“Alhamdulillah kerajaan negeri bersyukur kerana KDNK Kelantan mengatasi kerajaan Persekutuan buat pertama kalinya,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau mengucap terima kasih kepada usahawan, pelabur, agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang bersama-sama melaksanakan beberapa pembaharuan sehingga membuahkan hasil positif.

Menurutnya, keprihatinan kerajaan Kelantan membantu kerajaan pusat ke arah bagi membasmi kemiskinan telah menampakkan hasilnya dalam tempoh lima tahun.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, kerajaan negeri bersetuju bekerjasama dengan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam sektor agropolitan bagi mempercepatkan pengurangan tahap kemiskinan di negeri ini.

Katanya, seramai 750 peserta akan ditempatkan pada fasa 1 program agropolitan di Paloh, Gua Musang.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri akan memberi hak milik tanah kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

“Tanah-tanah tersebut akan dijadikan asas penempatan penduduk bagi program di bawah ECER. Setiap peserta akan mendapat pendapatan minima sebanyak RM1,000 sebulan,” ujar beliau.

Peserta terlibat akan diberi rumah yang siap dibina dan kemudahan asas lain.

Beliau juga berkata, Kelantan turut mencadangkan supaya dapat dipercepatkan beberapa projek pembangunan seperti pembesaran landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“Kita juga memohon untuk pembesaran jalan raya Kota Bharu-Kuala Krai agar diselesaikan dahulu walaupun akan disambung dalam RMK-10,” katanya.

Harakah

Wednesday, January 20, 2010

Kerajaan Negeri Telus, Tiada Rahsia Disebalik Bazar Tok Guru - TVS

Isu pembelian kompleks perniagaan Bazar Tok Guru oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bukan rahsia, bahkan dibuat secara terbuka antara penjaja, pemaju dan PMBK.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata pihak berwajib perlu menyiasat apakah benar kebocoran maklumat rahsia telah berlaku walhal pembelian membabitkan kos RM23 juta itu melibatkan pelbagai pihak, justeru telah menjadi dokumen awam.

“Tidak. Beberapa fakta mengenainya bukan lagi rahsia pun. Sebab perkara ini bermula apabila rundingan antara kerajaan negeri dengan penjaja dibuat, waktu hendak dipindahkan premis perniagaan mereka dan hendak dibangunkan bazaar itu. Waktu itu lagi, telah pun diketahui beberapa maklumat berkenaan projek ini.

"Dan apabila ianya diadakan siri-siri mesyuarat di antara perjanjian dan pelaksaan projek sudah tentulah maklumat-maklumat yang berupa kos, maklumat-maklumat yang berupa terma, perjanjian dibincang secara terbuka,"katanya.

Maklumat pembelian yang diputuskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri 13 Januari lalu didedahkan oleh blogger sensasi, Syed Azidi Syed Abdul Aziz, pada 16 Januari lepas.

Pembocoran tersebut dipandang serius oleh exco kerajaan tempatan Datuk Takiyuddin Hassan yang menurutnyua keputusan mesyuarat exco tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Juga pada 16 Januari lalu, Nik Abdul Aziz dilaporkan mengesahkan pembelian kompleks yang sedang dibina itu dari pemaju SensaTimur, bagi menjaga kepentingan para peniaga.

Menurut Saifuddin, walauapapun langkah penyelesaian yang dilakukan, Kerajaan Kelantan pastinya akan memberikan keutamaan kepada kebajikan dan hak penjaja kecil.

“Apa pun formula penyelesaian, ia harus mengambil kira pertimbangan yang utama iaitu keutamaan menjaga kebajikan penjaja, pertimbangan yang kedua ialah pertimbangan dari segi formula menjadikan negeri terpaksa menanggung beban kewangan.

“Formula yang terbaik itu apabila kerajaan negeri boleh juga memastikan kepentingan PMBK itu tidak dikompromi, tidak terlerai, tidak terjejas,"katanya.

Saifuddin berkata, syarikat terbabit juga perlu mengambil kira aspek kebajikan penjaja dan kepentingan Kerajaan Kelantan sebagai rakan niaganya dalam perniagaan itu.

TVS

Perhimpunan tuntut royalti minyak K'tan 28 Jan - Malaysiakini

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak Rakyat Kelantan (GEGAR) memberi jaminan perhimpunan 100,000 rakyat Kelantan yang dijadual diadakan pada 28 Januari nanti, telah mendapat kebenaran pihak keselamatan.

Pengerusi GEGAR, Dr Abdul Halim Yusof berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk penganjuran yang akan diadakan di Kota Bharu Khamis ini.

Menurutnya, jawatankuasa itu melibatkan semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak polis dan agensi pihak berkuasa kerajaan tempatan.

"Kita memberi jaminan perhimpunan itu dapat diadakan mengikut jadual demi keselamatan dan keamanan semua pihak, dan keputusan itu akan diambil dalam mesyuarat lusa ini," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Dr Abdul Halim berkata pihaknya sudah mengkaji pelbagai aspek sebelum menganjurkan perhimpunan itu yang melibatkan semua pihak berkaitan, seperti polis, pihak berkuasa kerajaan tempatan MPKB bagi melicinkan perjalanan program itu.

Menurutnya, untuk program pertama, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi penceramah utama menjelaskan tentang isu royalti minyak di majlis penerangan di Stadium Sultan Muhammad Keempat pada 28 Januari ini.

"Program itu yang pada mulanya akan diadakan di Kelantan Trade Center (KTC) di sini (Kota Bharu) telah dipindahkan ke lokasi baru di stadium itu bagi memberi keselesaan kepada rakyat Kelantan menyertainya," katanya.

Menurutnya, ini diikuti program kedua akan diadakan debat terbuka di Balai Islam Lundang di Kota Bharu pada 13 Februari yang melibatkan pemimpin politik dan wakil rakyat.

Beliau berkata, antara pemimpin yang diundang menyertai debat itu ialah Tengku Razaleigh selaku Pengasas Petronas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, dan Exco Kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Menurutnya, sebelum majlis bermula, para hadirin dijadual mengadakan solat hajat di padang Stadium Sultan Muhammad ke-IV bagi memohon keberkatan Allah menjayakan program itu.

- Bernama

Malaysiakini

Tuesday, December 29, 2009

MB bukan Melayu: K'tan sedia pinda perlembagaan - Malaysiakini

Kerajaan PAS Kelantan sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama
Islam menjadi menteri besar negeri itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendak Islam seperti diperkenalkan PAS sejak memerintah Kelantan pada 1990.

"Undang-undang Kelantan itu lain kerana ia dibuat pada zaman itu. Benda itu boleh diubah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas kenyataannya yang akan menyokong mana-mana calon bukan Melayu menjadi menteri besar selepas beliau asalkan orang itu beragama Islam.

Beliau berkata mengikut dasar Islam sendiri, asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya, mereka layak untuk dijadikan pemimpin.

"Itu sebabnya kita jangan berpegang kepada bangsa sebaliknya berpegang kepada mereka yang mengamalkan ajaran Islam, barulah Islam itu dihormati.

"Langkah ini (melantik bukan Melayu) menjadi menteri besar sudah tentu Islam itu sendiri akan dihormati dan lebih ramai yang menjadikan Islam sebagai pegangan agama," katanya.

Ketika menyentuh perkara yang sama dalam ucapannya, Nik Aziz berkata beliau sendiri akan mencadangkan mana-mana pemimpin bukan Melayu beragama Islam yang layak untuk menjadi penggantinya. BERNAMA

Malaysiakini

Thursday, December 3, 2009

Misteri di sebalik 'Task Force 2010' - Malaysiakini

Pasukan petugas untuk keamaan di Selatan Thailand, Task Force 2010, kini menjadi perbualan politik tanahair selepas pasukan itu dikaitkan dengan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan PAS-Umno.

Isu kerajaan perpaduan menggegarkan PAS sehingga Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat mendesak supaya diadakan muktamar khas bagi membincang pembabitan beberapa pemimpin parti itu dalam usaha tersebut.

Bagaimanapun, selepas perbincangan diadakan oleh barisan tertinggi PAS, muktamar itu digantikan dengan seminar politik yang berlangsung bulan lalu.

Malaysiakini telah beberapa kali menghubungi pejabat pasukan petugas bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu sejak awal minggu ini bagi mendapatkan penjelasan daripada ketua pengarahnya Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar.

Bagaimanapun, setiap kali dihubungi, kakitangan pejabat itu berkata Wan Abu Bakar "ada tetamu dan tidak dapat menjawab panggilan" dan "sedang bermesyuarat".

Berikutan itu, Malaysiakini berkunjung ke pejabat pasukan petugas itu semalam, yang terletak di sebuah kawasan perumahan di Jalan Aman, Kuala Lumpur.

Usaha mencari pejabat tersebut agak sukar kerana tiada papan tanda dipasang, begitu juga dengan nombor rumah tersebut.

Berikutan itu, wartawan terpaksa bertanya kepada penduduk yang ditemui di situ.

Apabila ditanya mengenai "rumah askar", lelaki tersebut berfikir sejenak dan kemudiannya menuding jari ke arah sebuah rumah banglo dua tingkat di situ.

Rumah yang dicat dengan warna agak kekelabuan itu juga bertembok batu tinggi, manakala pintu pagarnya bertutup.

Walaupun pejabat tersebut terletak betul-betul di belakang Hotel Crown Princess di Jalan Tun Razak, tetapi jalan masuk ke situ agak bersimpang-siur dan boleh mengelirukan.

Malaysiakini tiba ke pejabat tersebut pada kira-kira jam 4 petang semalam. Oleh kerana pintunya bertutup, maka wartawan menelefon pejabat tersebut tetapi tidak berjawab.

Selepas lima minit kemudian kelihatan tiga kakitangan lelaki, yang berpakaian kemas dan merambut pendek ala-tentera, muncul dari dalam rumah itu dan berjalan menuju ke arah pintu pagar.

Wartawan Malaysiakini menemui mereka sambil memperkenalkan diri dan juga menghulurkan kad nama.

Selepas dimaklumkan mengenai tujuan kedatangan akhbar web itu, mereka berkata Wan Abu Bakar tiada di pejabat. Sebelum beredar, mereka sempat bertanya sedikit sebanyak mengenai Malaysiakini.

Task Force 2010 (Malaysia) dibentuk daripada gabungan dua agensi penyelaras di negara ini dan Thailand pada Januari 2007 bagi membawa keamanan di tiga wilayah yang sedang bergolak - Pattani, Yala dan Narathiwat.

Penubuhannya dibuat hasil perbincangan antara perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pengerusi Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang mahu mengembalikan kestabilan di selatan Thailand.

Bagaimanapun, fungsinya dilaporkan akan ditamatkan pada penghujung tahun ini dan segala peranannya akan diambil alih oleh agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.

Awal minggu ini, nama pasukan petugas tersebut muncul kembali apabila Nik Abdul Aziz berkata terdapat usaha menjatuhkannya yang melibatkan seorang pegawai tentera, dikenali sebagai 'Kolonel Mat'.

Sumber yang dekat dengannya tidak menolak kemungkinan pegawai tentera itu mempunyai kaitan dengan Task Force 2010 walaupun mereka masih tidak jelas sama ada watak tersebut benar-benar wujud atau hanyalah kiasan semata-mata.

Menjelang muktamar pemilhan PAS Jun lalu - yang menyaksikan pertarungan sengit jawatan nombor dua parti itu antara exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dengan penyandangnya Nasharuddin Mat Isa - nama Task Force 2010 mula diperkatakan.

Laporan di blog-blog mendakwa Nasharuddin mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin pasukan petugas khas itu dan cuba membabitkan Nik Abdul Aziz tetapi mursyidul am PAS didakwa tidak menunjukkan minat.

Selain Nasharuddin, exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali juga turut dikaitkan dengan Task Force 2010 yang mula menukar arahnya kepada isu "perpaduan Melayu" susulan keputusan pilihan umum 2008 yang memihak kepada pembangkang.

Penulis blog yang aktif menulis tentang pasukan itu, antaranya, Abdul Rahman Abdul Talib (Malaysia Waves) yang sering mendedahkan konflik dalaman PAS, Abu Bakar Mohd Rashid (Penarik Beca) yang mengamat politik dalaman parti Islam itu dan bekas pegawai perhubungan awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdafella) - yang bertembung secara terbuka dengan menantu Nik Aziz.


Malaysiakini

Wednesday, December 2, 2009

Husam mahu jumpa PM isu royalti minyak - Malaysiakini

Kerajaan Kelantan semalam menghantar surat permohonan untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai tuntutan royalti minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Datuk Husam Musa berkata, permohonan itu dibuat berikutan kenyataan Najib bahawa pihaknya bersedia berbincang dengan kerajaan Kelantan bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Oleh kerana perdana menteri telah menyatakan persetujuan untuk berunding, saya selaku pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri yang dilantik oleh exco, telah menghantar surat kepada perdana menteri," katanya kepada pemberita di lobi
Parlimen semalam.

Najib ketika sidang medianya di Port Of Spain (Trinidad & Tobago) dilaporkan berkata, tuntutan tersebut boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Katanya, segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

Sehubungan itu, Husam yang juga pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, telah meminta jasa baik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mengatur pertemuan antara kerajaan Kelantan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membincangkan isu royalti minyak.

Menyentuh tentang laporan media bahawa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa Jumaat lepas supaya Allah menurunkan bala ke atas perdana menteri kerana enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, beliau mendakwa hanya sebahagian daripada ucapan mursyidul am PAS itu dilaporkan.

Katanya, doa Nik Aziz sebenarnya bukan terus minta Allah jatuhkan hukuman ke atas perdana menteri sebaliknya supaya Najib berbesar hati untuk berunding dan mempertimbangkan bayaran royalti terhadap kerajaan negeri.

"Jika selepas satu masa beliau masih enggan (berbuat demikian) barulah Tok Guru (Nik Aziz) minta supaya Allah letakkan bala kepada perdana menteri.

"Tetapi media telah ambil sebahagian sahaja daripada ucapan tersebut dan telah memanipulasikan bahagian terakhir ucapan itu untuk menggambarkan menteri besar Kelantan hanya sukakan konfrontasi dengan perdana menteri," katanya.

Najib dilaporkan berkata beliau tidak akan meminta Nik Aziz memohon maaf sebaliknya menyarankan menteri besar sedar bahawa perbuatannya dilihat oleh ramai umat Islam sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keislaman.

Mengenai laporan sebuah harian baru-baru ini bahawa beliau akan meletakkan jawatan exco, Husam berkata laporan berkenaan menjejaskan reputasinya sebagai anggota exco negeri Kelantan.

"Berita ini telah menjejaskan saya dengan teruk sekali. Di Kelantan hampir saban hari perbincangan mengenai isu ini berlanjutan menerusi pelbagai cara, menyebabkan satu gangguan yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Husam berkata peguamnya telah menghantar notis kepada harian berkenaan semalam menuntut agar permohonan maaf secara terbuka segera dibuat. BERNAMA

Malaysiakini

Monday, November 23, 2009

Menantu Nik Aziz letak jawatan - Malaysiakini

Menantu tokoh PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilanda kontroversi sejak dua minggu lepas meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menjadi fokus kontroversi apabila memecat Syed Azidi Syed Abdul Aziz, seorang pegawai kanan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Beliau, exco Pemuda PAS Kelantan, mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media hari ini.

Surat rasmi peletakkan jawatan tersebut bagaimanapun belum diserahkan, katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau juga enggan mengulangi kenyataannya dalam sidang akhbar tersebut.

Sementara itu, menurut media rasmi PAS, Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar ingin "menasihati" menantunya agar melepaskan jawatan tersebut.

Persetujuan itu dilaporkan diumumkan Nik Abdul Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin kanan PAS di kediaman rasmi menteri besar 10 pagi tadi.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din, Naib Presidennya Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung Dr Hatta Ramli, laor Harakahdaily.net.

"Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Abdul Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan," laporan akhbar web itu dipetik.

Malaysiakini

Friday, November 13, 2009

Nik Aziz batal hasrat ke tanah suci - Harakah

KOTA BHARU, 13 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji ke tanah suci 18 November ini.

Menurut laporan beberapa blogger Kelantan, Nik Aziz mengumumkan perkara itu sewaktu menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu pagi tadi.

Perkembangan terbaru itu didakwa ada kaitan dengan serangan pihak tertentu yang mempolemikkan tajaan untuk beliau mengerjakan haji.

Namun difahamkan, Nik Aziz tidak menyatakan sebab sebab pembatalannya itu dan hanya menyatakan beliau dan menantunya telah di fitnah dan di khianati.

Nik Aziz sebelum ini dilaporkan mengakui menerima pembiayaan untuk menunaikan ibadah haji bernilai RM65,000 selama dua minggu.

PAS kelantan sebelum ini mempertahan Nik Aziz yang menerima tajaan tersebut kerana menganggapnya biasa berlaku kepada orang alim dan guru-guru pondok di negeri itu.

Mereka juga yakin, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membangkitkan isu itu adalah sekadar mencari modal politik.

Harakah

Thursday, November 5, 2009

Manohara tewas disaman Tengku - Malaysiakini

Gagal mengemukakan pembelaan terhadap saman suaminya Tengku Temenggong Kelantan, bekas model muda Manohara Odelia Pinot diarahkan membayar tuntutan kepada putera Sultan Kelantan itu.

Jumlah ganti rugi itu - yang dituntut Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra sebanyak RM105 juta - bagaimanapun akan ditetapkan kemudian.

Penghakiman ingkar itu dibuat selepas Manohara, yang bergelar Cik Puan Temenggong Kelantan, gagal melantik peguamnya dalam tuntutan saman suaminya.

Pada 12 Oktober lalu, mahkamah yang sama membenarkan permohonan firma guaman Fakrul Hisham Abdullah & Associates menarik diri daripada mewakili Manohara, yang kini melarikan diri di Jakarta, dan ibunya Daisy Fajarina.

Pada 20 Julai lalu, susulan krisis rumah tangga mereka yang berlarutan selama beberapa bulan, Tengku Muhammad Fakhry menfailkan saman terhadap kedua-dua warga Indonesia itu.

Plantif mendakwa defendan secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan yang bersifat umpatan dan fitnah mengenai penderaan seksual terhadap Manohara, semasa sidang akhbar antara April sehingga Jun lalu.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa pernyataan fitnah itu telah diterbitkan semula dalam media elektronik seperti The Jakarta Globe, Banjarmasin Post, Detiknews, Kompas.com, Global TV dan Malaysiakini, serta dilaporkan secara meluas dalam akhbar di Malaysia dan Indonesia.

Perkataan itu dirancang untuk memperkecil-kecilkan dan mengaibkannya di kalangan ahli kerabat diraja Kelantan, kerajaan Malaysia dan rakyat jelata, dakwanya lagi.

Putera ketiga Sultan Kelantan itu seterusnya mendakwa bahawa dakwaan dan sindiran itu tidak benar, tidak berasas dan menyebabkannya mengalami kerosakan serius kepada reputasi peribadi secara nasional dan antarabangsa.

"Defendan-defendan melafazkan perkataan-perkataan tersebut dengan didorong oleh keuntungan kewangan," dakwa Tengku Fakhry.

Plaintif menuntut ganti rugi teruk, teladan dan pampasan berjumlah
RM105 juta, faedah, kos serta perintah injuksi menghalang kedua-dua defendan daripada terus mengeluarkan perkataan fitnah tersebut.

Malaysiakini

Wednesday, November 4, 2009

K'tan dapat wang ehsan minyak - Malaysiakini

Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantarkan surat kepada perdana menteri mengenai tuntutan bayaran royalti 5 peratus, yang berjumlah RM1 bilion, hasil petroleum dan gas cecair di perairan Kelantan.

Kerajaan negeri membuat tuntutan itu tahun ini setelah mengetahuinya melalui laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 sehingga kini.

Ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) di Dewan Rakyat, perdana menteri berkata, kerajaan Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih.

Najib berkata, kerajaan persekutuan telah meneliti isu royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan secara mendalam termasuk dari sudut perundangan berkaitan kuasa kerajaan serta pengurusan hasil petroleum negara.

Katanya, sama seperti Terengganu, pembayaran wang ehsan itu diberi setelah kerajaan pusat mengambil kira keperluan untuk membangunkan Kelantan serta meningkatkan kesejahteraan hidup penduduknya selaras dengan arus pembangunan negara.

"Bagi memastikan agihan wang ehsan itu dibuat dan dinikmati secara langsung oleh rakyat Kelantan, peruntukan tersebut akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan dan program membasmi kemisminan dan akan disalurkan terus oleh kerajaan (pusat) setelah berbincang dengan kerajaan negeri," katanya, lapor Bernama.

Najib berkata demikian bagi menjawab sekaligus soalan-soalan yang dibangkitkan oleh beberapa ahli parlimen dari Kelantan sebelum ini berhubung tuntutan royalti minyak bagi negeri itu.

"Dari segi perundangan Kelantan tiada hak untuk membuat tuntutan begitu juga Terengganu," katanya.

Najib berkata berdasarkan undang-undang, Kelantan dan Terengganu hanya berhak menuntut wang royalti sekiranya terdapat sumber petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri berkenaan.

Perairan negeri ditakrifkan sebagai terletak tidak melebihi tiga batu nautika yang diukur dari tikas air surut atau pesisir pantai negeri tersebut, katanya.

"Pada masa ini tidak ada pengeluaran petroleum dalam kawasan perairan Kelantan dan Terengganu. Jadi dari segi perundangan kerajaan negeri Kelantan tidak ada hak untuk menuntut royalti petroleum, begitu juga Terengganu,” katanya.

Najib berkata meskipun peruntukan perundangan itu jelas, kerajaan persekutuan sebelum ini telah memperuntukkan wang ehsan kepada Terengganu dengan mengambil kira keluaran petroleum di luar perairan negeri itu selain berdasarkan pembangunan dan pendapatan rakyat.

Kerajaan pusat memberi wang ehsan kepada Terengganu mulai 2000 yang dianggarkan RM1 bilion setahun selepas PAS mengambil alih pentadbiran negeri itu pada pilihan raya umum 1999.

"Kerajaan persekutuan komited untuk memberi pertimbangan adil dan saksama kepada semua negeri dan atas dasar itu Kelantan juga wajar diberi pertimbangan yang sama," kata Najib.

Menurut perdana menteri, berdasarkan maklumat Petronas, pada masa ini hanya terdapat satu medan petroleum, yang dikenali sebagai Medan Bumi Kelantan yang mengeluarkan hasil, tetapi ianya terletak di luar perairan Kelantan.

Selepas jawapan Najib, Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) bangun dan berkata bahawa Kelantan bukan "peminta sedekah" sambil terus menuntut royalti minyak untuk Kelantan.

Najib kemudian menyifatkan kenyataan ahli parlimen PAS itu sebagai sengaja mempolitikkan isu pemberian royalti.

"Hendak politikkan isu ini...tak habis-habis politik dia. Saya tidak tahu Yang Di-Pertua apa yang penting...kita sediakan dana ini untuk memberikan manfaat kepada rakyat Kelantan, sama prinsipnya seperti Terengganu," katanya.

Suasana persidangan menjadi tegang dengan beberapa wakil pembangkang termasuk Salahuddin, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) bangun menuntut penjelasan mengenai perbezaan antara royalti minyak dan wang ehsan yang diberikan.

Cubaan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) untuk meredakan keadaan dengan mengutarakan soalan tambahan tidak berjaya menyebabkan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan semua ahli parlimen duduk atau menghadapi tindakan keluar dewan.

"Yang Berhormat...kalau perdana menteri, menteri tidak datang, Yang Berhormat mahu mereka datang. Tetapi bila mereka datang menjawab soalan Yang Berhormat tidak mahu dengar. Yang Berhormat syok cerita sendiri," katanya sebelum meminta Najib meneruskan jawapan beliau.

Menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), perdana menteri berkata bahawa sebelum ini wang ehsan itu tidak diberikan kerana berdasarkan peruntukan undang-undang Kelantan tiada hak untuk menerimanya.

"Ini melibatkan kawasan pertindihan...sekarang ini Petronas sahkan ada blok yang boleh dipertimbangkan, sebab itu kita timbang selain untuk pastikan rakyat Kelantan mendapat manfaat," katanya.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang kemudian terus mengemukakan pelbagai soalan kepada Perdana Menteri sehingga menuntut Pandikar Amin menghentikannya dengan meminta Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengutarakan soalan kedua dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.

Malaysiakini
------------------------------------------------

*Sekali lagi Rakyat Kelantan dinafikan hak mereka. Wang Ehsan = Royalti ke?

Tuesday, September 15, 2009

Kerajaan pusat terima tuntutan royalti minyak dari Kelantan - mStar

IPOH: Kerajaan Pusat telah menerima permohonan dari kerajaan negeri Kelantan berhubung tuntutan royalti minyak sebanyak RM1 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata permohonan tersebut setakat ini masih dalam peringkat kajian sebelum apaapa keputusan mengenainya dibuat kerana kawasan tempat minyak yang dijumpai itu berada di zon antarabangsa.

"Keduadua kawasan tersebut terletak terlalu jauh dari pesisir pantai Kelantan. Jadi pendapatan dari minyak tersebut lebih sesuai diberi kepada kerajaan pusat untuk dibelanjakan bagi pembangunan negara dan perbelanjaan tersebut tidak hanya tertumpu kepada Kelantan.

"Salah satu kawasan tersebut adalah berhampiran Vietnam iaitu di perairan antarabangsa sejauh 250 kilometer dari pesisir pantai Kelantan manakala kawasan kedua pula terletak 150 kilometer dari pantai dan berada di perairan bersama dengan negara jiran, Thailand," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Tuntutan royalti minyak oleh Kelantan bermula Jun lepas, apabila kerajaan negeri itu akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004.

Awang Adek berkata demikian selepas majlis penyampaian bantuan kewangan Yayasan Tun Hamdan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Tun Hamdan menyampaikan bantuan kewangan kepada 32 penerima yang dipilih dari tiga buah sekolah di negeri ini. Kesemua penerima telah dinilai prestasi pelajaran masingmasing sepanjang tahun ini dan dari keluarga berpendapatan rendah menerima bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Tuntutan royalti minyak oleh Kelantan bermula Jun lepas, apabila kerajaan negeri itu akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004. BERNAMA

mStar

Thursday, September 10, 2009

Semua pasar raya di Kelantan dilarang operasi pada raya pertama - mStar

KOTA BHARU: Semua pasar raya di Negeri Kelantan telah diarah menutup premis perniagaan masing-masing pada hari raya pertama tahun ini sebagai tanda menghormati hari kebesaran perayaan umat Islam.

Pengerusi Pihak Berkuasa Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tahun lalu, Kerajaan Negeri membenarkan semua pasar raya membuka premis perniagaan mereka dari tengah hari sehingga tengah malam.

“Bagaimanapun, kami telah menerima pelbagai aduan dan rungutan termasuk majikan enggan membayar kerja lebih masa pada hari cuti am dan pada masa yang sama kami juga turut menerima aduan daripada pekerja Islam bahawa mereka telah didenda kerana enggan bekerja pada hari raya pertama,” ujarnya.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Exco petang Rabu, Takiyuddin menambah, pihak berkuasa tempatan akan mengedarkan pekeliling memaklumkan kepada semua pengusaha pasar raya akan peraturan baru ini.

Sementara itu, Takiyuddin juga memaklumkan mulai 1 Januari tahun hadapan, semua papan tanda baru (billboard) mestilah mempamerkan tulisan Jawi yang sama ada sama besar atau lebih besar daripada Bahasa Malaysia, Cina, Tamil ataupun Siam.

Langkah terbaru ini adalah untuk memastikan tulisan Jawi mendapat kedudukan yang sewajarnya dan juga sebagai satu langkah untuk mempopularkan tulisan Jawi.

Kata Takiyuddin semua peniaga dibenarkan mengguna bahasa Ibunda masing-masing selagi Jawi diberikan kedudukan yang utama pada papan tanda iklan.

mStar

Duta Jepun berbuka puasa bersama Nik Aziz di Kota Bharu - Harakah

KOTA BHARU, 10 Sept: Kemeriahan Ramadhan di negeri Kelantan bukan sahaja dinikmati oleh umat Islam yang menjadikan Kelantan sebagai destinasi beribadat di sepanjang hari namun ia juga menarik minat Duta Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Masahiko Horie untuk sama-sama merasai nikmat umat Islam berbuka puasa.

Bagi meraikan beliau, kerajaan negeri telah mengadakan majlis berbuka puasa bertempat di perkarangan Qaryah Ramadhan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV baru-baru ini.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menjadi tuan rumah untuk beliau di majlis tersebut.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan,Dato?Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Haji Mohd Faudzi Che Mamat, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-BRI, Haji Ahmad Mahmood, Pengarah Urusetia Kerajaan Negeri Kelantan Haji Abdul Rahman Yunus serta pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Nik Aziz ketika menyambut kedatangan duta Jepun tersebut berkata, inilah satu kelebihan menyambut Ramadhan di Kelantan di mana seluruh rakyat dan masyarakat bukan Islam turut diraikan di Qaryah Ramadhan.

"Saya amat terharu kerana Duta Jepun yang bukan beragama Islam pun sanggup bersama rakyat negeri ini disamping melihat sendiri suasana umat Islam berbuka puasa,"ujar beliau.

Sementara itu, Masahiko Horie telah membuat lawatan ke Pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan diberi taklimat berkaitan pembangunan Semasa dan pelaksanaan peraturan Islam yang ditelah dikuatkuasa oleh MPKB-BRI bagi semua premis perniagaan yang terdapat di bandar ini.

Menurut Yang dipertua MPKB-BRI, Haji Ahmad Mahmood beliau terharu kerana mendapat tahu nama Kota Bharu kini telah terkenal di negara matahari terbit itu dan ekoran dari itulah juga rombongan pegawai MPKB-BRI bersetuju membuat lawatan ke Jepun Oktober nanti.

Beliau berkata, lawatan pegawai MPKB-BRI akan dilakukan ekoran jemputan Datuk Bandar Kasoaka City kepada beliau sebelum ini.

Sementara itu Masahiko Horie ketika berucap di majlis yang sama berkata, lawatan beliau ke Kota Bharu kali ini merupakan kali ketiga tetapi kali pertama ke MPKB-BRI.

Beliau yang menjadi Duta ke Malaysia semenjak dua tahun lalu telah dilahirkan di Okayama Hight 63 tahun yang lalu, mengakui sukar untuk mempelajari Bahasa Melayu kerana setakat ini hanya mampu mengusainya sedikit sahaja.

Beliau juga berharap persahabatan antara MPKB-BRI dengan Bandaraya Kasoaka City akan terus berkekalan._

Harakah

Tuesday, September 8, 2009

Bekas MB Kelantan meninggal dunia - mStar

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamed Yaacob meninggal dunia di Hospital Pantai kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Jenazah allahyarham dibawa ke rumah anak perempuannya di Taman Tun Dr Ismail di sini kira-kira pukul 9.30 pagi tadi dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Mohamed Yaacob menjadi Menteri Besar Kelantan dari tahun 1978, pemimpin Barisan Nasional (BN) terakhir yang memegang jawatan itu sehingga PAS mengambil alih kerajaan negeri selepas pilihan raya umum 1990.

mStar

Friday, August 7, 2009

Kelantan solat hajat elak menular selesema babi - Harakah

KOTA BHARU, 6 Ogos (Hrkh) - PAS Kelantan malam ini mengadakan solat hajat memohon supaya dijauhi penyakit selesema babi atau influenza A (H1N1) daripada terus merebak.

Solat hajat itu diimamkan Adun Demit, Ustaz mohamad Mustafa diadakan di Dewan Zulkefli Mohamad, pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Selain itu solat hajat juga mendoakan Adun Galas, Chek Hashim Sulaima yang akan menjalani pembedahan kanser paru-paru di China esok supaya selamat.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, solat hajat juga turut mendoakan supaya tuntutan royalti minyak berjaya menjadi kenyataan.

"Taklimat khusus berhubung rawatan Adun Galas di China diberikan Adun Melor, Ustaz Wan Ismail Wan Judoh yang baru pulang dari menziarahi Chek Hashim," katanya di sini.

Majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob dan pimpinan PAS Negeri serta kawasan dan Dewan-Dewan Negeri. - mj _

Harakah

Thursday, August 6, 2009

Pelantar minyak sah di perairan Kelantan - Husam Musa

5 Ogos - Seramai 45 peserta ekspedisi kerajaan Kelantan ke pelantar minyak Cakrawala di Laut China Selatan selamat kembali petang ini selepas bertolak ke kawasan berkenaan pagi semalam.

Mereka terdiri daripada wartawan, jurugambar, bloger dan pemimpin masyarakat tiba kira-kira jam 3.20 di jeti Pengkalan Kubur hari ini. Manakala rombongan anggota Exco, Dato' Husam Musa pula tiba di pangkalan Tok Bali jam 11 malam tadi. Rombongan itu disertai 20 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil rakyat. Kepulangan dua bot milik nelayan itu disambut Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan YB Dato Hj Husam.

Kini sah kedudukan pelantar minyak Cakrawala hanya terletak 153 kilometer dari pantai di Pengkalan Kubur. Jauh lebih dekat berbanding pelantar minyak yang terdapat di Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Selain itu, terdapat tiga lagi telaga minyak yang juga berhampiran perairan Kelantan hanya sejauh 68 batu dari perairan Tok Bali.

Pelantar berkenaan iaitu dikenali sebagai Lawit, Bintang dan Jernih. Dan ia disahkan juru ukur perunding yang juga menyertai ekspedisi tersebut.

YB Dato Hj Husam berkata, sebaik sahaja sampai ke kawasan pelantar berkenaan, operasi mengukur dijalankan menggunakan alat khas. Alhamdulillah dari Pengkalan Kubur jaraknya hanya 153 kilometer. Kedudukannya memang terletak dalam perairan Kelantan.

"Dan pada masa yang sama terdapat tiga lagi telaga yang begitu hampir dengan perairan Kelantan iaitu hanya 68 batu daripada pantai Tok Bali," katanya pada persidangan media selepas menyambut ketibaan dua lagi bot yang menyertai ekspedisi terbabit.

Mengikut peta tersebut katanya, pelantar Lawit, Bintang dan Jernih sememangnya terletak dalam perairan Kelantan.

"Dengan ini terbukti telaga serta pelantar minyak berkenaan terletak dalam perairan Kelantan. Dan tidak ada sebab lagi kerajaan pusat berdolak dalih tentang royalti yang sememangnya menjadi hak rakyat di negeri itu," ujarnya.

Katanya lagi ", kajian undang-undang mengenai perkara itu tidak sepatutnya melebihi dua bulan kerana terdapat ramai pakar perundangan di Kuala Lumpur. Sekarang baru bulan Ogos, ada hampir sebulan Ramadan, jadi kerajaan pusat sepatutnya menyerahkan royalti berkenaan Ramadan bagi membolehkan ia diagihkan kepada rakyat," Beliau juga berkata, juru ukur akan membuat laporan kepada kerajaan negeri mengenai kedudukan sebenar pelantar berkenaan.

Dalam pada itu, semasa menyambut kepulangan mereka yang mengikuti ekspedisi tersebut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz melahirkan rasa syukur kerana rombongan selamat pulang setelah mengikuti perjalanan ekspedisi itu selama dua hari. "Ekspedisi ini misi rakyat dan mereka amat prihatin bagi mempertahankan hak mereka."Rakyat Kelantan sentiasa sedar terhadap tanggungjawab menjaga hak dan harta yang dikurniakan Allah, di samping menjaga maruah," katanya.

Husam Musa