Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Maaf. Backdated post.
Berikut merupakan foto sekitar demonstrasi aman yang dilakukan di hadapan Masjid Al-Azim pada 16 Januari lepas. Foto sumbangan seseorang yang hanya mahu dikenali sebagai "MAT INDERA" baru saya terima pagi ini.



KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia hari ini terus mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat, dan di sesetengah masjid turut diadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan umat Islam Palestin yang diancam dan dianaiya oleh rejim Zionis Israel.
Selain berdoa untuk keselamatan warga Palestin, umat Islam turut menderma kepada tabung bantuan Palestin dan mengadakan demonstrasi secara aman.
Di MELAKA, lebih 2,000 umat Islam berhimpun di perkarangan Masjid Negeri AlAzim di sini selepas solat Jumaat bagi menunjukkan bantahan mereka ke atas kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Mereka turut memegang kain rentang yang tertera perkataan mengutuk kekejaman Israel serta memboikot produk keluaran rejim itu dan Amerika Syarikat (As) .
Sementara di Kolej Yayasan Melaya (KYM), seramai 800 pelajar dan kakitangan kolej itu turut mengadakan perhimpunan yang sama, berserta tayangan video yang memaparkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin terutama wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Kolej itu juga turut melancarkan tabung untuk membantu rakyat Palestin yang akan berlangsung sehingga 29 Januari ini.
Di PULAU PINANG, Majlis Belia Daerah Seberang Perai Selatan turut mengadakan perhimpunan secara aman selepas solat Jumaat di Padang Awam Jawi sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.
Yang Dipertuanya, Hasruldani Husain berkata perhimpunan itu turut disertai beberapa pertubuhan lain termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya berkata semua 200 masjid di negeri itu digalakkan mengadakan solat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah pada setiap Jumaat bagi memohon doa agar penduduk Palestin dilindungi Allah daripada kekejaman Zionis.
"MAIPP juga telah mengedarkan teks khutbah berkaitan Palestin kepada semua masjid dan jika ada masjid yang hendak meneruskan khutbah selepas ini berhubung isu ini, kita benarkan," katanya.
Beliau juga berkata MAIPP menetapkan semua masjid di negeri itu mengadakan kutipan derma untuk Palestin pada solat Jumaat 23 Januari ini.
Di SEREMBAN, khutbah Jumaat yang dibaca dengan penuh emosi oleh Ustaz Mohd Fadhil Wahab yang juga imam untuk solat Jumaat di Masjid Negeri hari ini menyebabkan beberapa jemaah mengalirkan air mata, dan ada pula yang melaungkan takbir "Allah Hu Akbar".
Khutbah itu antaranya meminta rakyat Malaysia, umat Islam khususnya supaya memboikot barangan AS dan Israel.
Sementara itu, di Masjid Datuk Klana Petra Sendeng di Jalan Jelebu pula, satu demontrasi secara aman dengan membawa sepanduk anti-Israel turut diadakan selepas solat Jumaat.
Di JOHOR, lebih 1,000 anggota Persatuan Malabar Muslim Johor mengadakan demonstrasi selama setengah jam selepas solat Jumaat dan solat hajat di Masjid Wadi Hassan, di Johor Baru di sini hari ini.
Selain mengibarkan kain rentang dan poster mengutuk Israel, mereka juga mengedarkan risalah kekejaman tentera Zionis kepada orang ramai serta membakar bendera Israel dan AS dan patung Presiden George W. Bush.
Presiden persatuan itu, Abdullah Aziz Muhamad turut menyampaikan derma persatuan tersebut sebanyak RM40,000 kepada Tabung NSTP Untuk Gaza.
Di KANGAR, kesemua masjid dan surau di seluruh Perlis diarah mengadakan Qunut Nazilah selepas solat fardu lima waktu bagi mendoakan untuk mengembalikan keamanan di Gaza.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPS), Malik Hussin memberitahu, selain itu, kesemua 103 masjid diminta membuat kutipan untuk Tabung Bantuan Palestin, yang dilancarkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra pada Rabu lepas, selama tiga minggu atau tiga kali solat Jumaat.
"JAIPs juga menggalakkan jabatan dan pertubuhan sukarela untuk menyalurkan sumbangan melalui jabatan itu untuk dipanjangkan kepada JAKIM." katanya dan menambah antara yang membuat sumbangan ialah Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebanyak RM1,010.
Di KUCHING, antara intipati khutbah yang disampaikan pada solat Jumaat hari ini menyentuh kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin dan meminta umat Islam di negeri ini bertindak membantu rakyat Palestin termasuk memboikot barangan atau perkhidmatan yang ada kaitan dengan Israel.
Sementara itu Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman ketika dihubungi berkata Tabung Kemanusiaan Gaza Palestin telah menerima sumbangan sejak Selasa lepas dan kerajaan negeri mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.
Di KELANTAN, lebih 500 masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri mengadakan solat hajat dan doa Qunut Nazilah selepas solat Jumaat hari ini.
Persatuan Pelindung Persatuan Pengguna Kelantan (PPPK), Ahmad Othman, berkata pihaknnya telah meminta supaya aanggota persatuan di bawah gabungannya turut mengadakan solat hajat di tempat masingmasing.
Di PAHANG, lebih 500 masjid di negeri itu mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat bagi keamanan di Palestin serta turut mendoakan kesejahteraan rakyat di negara daripada sebarang musibah. Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata selain itu pejabat Mufti Pahang akan menyiapkan teks khutbah solat Jumaat berkaitan dengan Palestin untuk disampaikan pada solat Jumaat oleh para imam di seluruh masjid di negeri itu pada 30 Januari ini.
Di KEDAH, kesemua 600 masjid seluruh negeri itu turut mengadakan solat hajat khusus untuk keselamatan rakyat Palestin selepas solat Jumaat.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberitahu, kerajaan negeri mengarahkan semua masjid supaya menganjurkan solat hajat selama dua Jumaat mulai hari ini.
Katanya, dalam solat hajat itu juga, semua imam diminta membaca doa Qunut Nazilah untuk memohon keseselamatan rakyat Palestin serta membuat kutipan derma untuk mengisi tabung Selamatkan Rakyat Palestin.
Di Alor Setar, Lebih 200 penjaja dan peniaga kecil pusat perniagaan Pekan Rabu di sini hari ini mengadakan demonstrasi membantah kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Di KUALA TERENGGANU, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengarahkan 483 buah masjid di seluruh negeri itu mengadakan solat hajat serta kutipan derma untuk rakyat Palestin sejak Jumaat lepas.
Pesuruhjayanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata pihaknya menjangkakan dapat mengutip lebih RM200,000 daripada orang ramai dalam tempoh dua minggu. BERNAMA
Sumber: mSTAR
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub mengarahkan seluruh anggota pemuda PAS dan mengajak umat Islam menyertai demonstrasi intifadah besar-besaran di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) esok.
Dalam kenyataan yang diberikan sebentar tadi, beliau berkata, umat Islam tidak harus membiarkan AS, yang secara terang-terangan menjadi pelindung kepada kekezaman tentera zionis Israel terhadap umat Islam Palestin.
Katanya, beliau beserta AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi beserta pimpinan PAS yang lain, bergegas pulang ke ibu kota dari kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, untuk menyertai demonstrasi selepas solat Jumaat esok.
"Kita akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan kita akan berarak daripada situ ke kedutaan AS," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib rakyat Palestin, untuk sama-sama bangkit menyatakan bantahan terhadap AS.
Katanya, dewan-dewan Pemuda PAS di peringkat Negeri dan Kawasan diarahkan untuk membawa sepanduk, kain pemidang dan placard (poster) sebagai bantahan ke atas sokongan AS terhadap kezaliman tentera Yahudi.
Terdahulu daripada itu, Syed Azman yang juga Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Luar dan Antarabangsa PAS Pusat berkata, pihaknya akan menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang menjadi medan berdarah akibat di bom Israel.
Katanya, selain daripada umat Islam membaca qunut nazilah pada setiap solat untuk mendoakan kekuatan umat Islam Palestin menghadapi kekejaman Yahudi, pihaknya turut melancarkan dana sumbangan yang akan dihantar seberapa segera.
"Sebelum ini pun kita (PAS), terus menerus memberikan sumbangan yang termampu untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat Palestin.
"Jika ada yang sudi membantu, sila salurkan sumbangan anda melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan Rakyat Palestin atas nama PARTI ISLAM SEMALAYSIA di akaun Maybank 564070703248," ujarnya. - mks._ Sumber: HarakahDaily
KUALA LUMPUR, 1 Jan (Hrkh) - Pemuda PAS akan menganjurkan perhimpunan aman Palestin di Masjid Negara esok ( 2 januari 2009) selepas menunaikan solat Jumaat. Perhimpunan ini akan diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.
Perhimpunan ini bagi menunjukkan bantahan dan rasa tidak puas hati umat Islam terhadap kekejaman Israel terhadap umat Islam Palestin yang mana kejahatan dan kekejaman Israel tidak boleh dibiarkan begitu sahaja malah seluruh umat Islam wajib mempertahankan negara di mana terletaknya kiblat pertama umat Islam itu, demikian kenyataan yang dihantar ke Harakahdaily.
Sementara itu di Pahang Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Abdullah Abdul Karim memaklumkan bahawa Gabungan NGO-NGO Islam Pahang dan Pakatan Rakyat turut akan mengadakan Himpunan Aman Intifadah pada hari yang sama.
"Kita akan mengadakan himpunan mengutuk kezaliman regim zionis selepas solat Jumaat di Perkarangan Masjid Abu Bakar, Temerloh. Kita berharap orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan penduduk Palestin dapat turut serta dalam himpunan itu untuk menyatakan bantahan atas kekejaman Israel itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Sehingga semalam jumlah yang maut ialah seramai 360 orang dan hampir 1700 orang cedera akibat kebiadapan Israel. Pada hari Sabtu lalu Israel melanggar ketetapan yang telah dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan dengan sengaja membunuh lebih 200 penduduk awam di Palestin.
Memorandum bantahan telah diserahkan oleh Naib Presiden PAS Mohamad Sabu kepada wakil kedutaan Amerika pukul 12.00 tengahari 30 Disember lalu dan lebih 500 orang daripada pelbagai NGO dan parti-parti politik menyertai himpunan di hadapan kedutaan Amerika tersebut.
Perhimpunan aman palestin di masjid Negara pada Jumaat ini adalah siri seterusnya bantahan umat Islam kepada kebiadapan Israel selama ini.
Pemuda PAS juga turut mengajak semua seluruh umat Islam yang cintakan Islam bersama bersatu membantah kejahatan Israel ini. Ini termasuk juga masyarakat bukan Islam yang cintakan keamanan turut diseru menyertai himpunan ini bersama-sama. - azm _ Sumber: HarakahDaily