Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Perhimpunan. Show all posts
Showing posts with label Perhimpunan. Show all posts

Friday, April 30, 2010

Perhimpunan Bantah GST 1 Mei Di Dataran Merdeka - SK

SHAH ALAM 29 Apr - Perhimpunan aman membantah Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) sempena Hari Pekerja akan diadakan pada Sabtu ini jam 11 pagi bertempat di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Mei 1 yang terdiri daripada kumpulan masyarakat, badan bukan kerajaan dan parti politik.
Penyelaras Media Jawatankuasa Mei 1, Paremeswari berkata upacara sambutan ini akan disertai oleh lebih 1,000 orang yang terdiri daripada pekerja dan masyarakat dari pelbagai sektor termasuk kilang, ladang, peneroka bandar, petani, dan Orang Asal.

Menurut beliau tema yang dipilih adalah untuk membantah hasrat kerajaan untuk memperkenalkan GST yang pastinya akan memudaratkan kehidupan kaum pekerja.

SK

Thursday, July 30, 2009

Penting! Panduan bagi peserta Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos

Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri selepas Himpunan Bersih dan PPSMI. Uniknya pada hari yang sama akan ada satu lagi himpunan lain yang Menyokong ISA.

Kami menjangkakan pelbagai kaum akan muncul, pelbagai ideologi akan hadir, pelbagai agama dan kepercayaan akan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka khususnya dalam mendesak Kerajaan Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Oleh itu bagi melancarkan perhimpunan ini, pihak kami mengeluarkan satu garis panduan yang diharapkan dapat membantu anda dan kami diperingkat penganjur dalam memastikan perhimpunan ini dapat berjalan dengan lancar dan aman.

Perkara yang perlu anda bawa/sediakan

1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.

2. Duit-maksimum RM 100 sahaja.

3. Memakai pakaian yang sopan-Baju berwarna Hitam/Merah-Sebaiknya ada logo Mansuhkan ISA

4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.

5. Aksesori kempen-Button, riben, topi, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Mansuhkan ISA boleh digunakan.

6. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.

7. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula.

8. Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.

9. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.

10. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis N100 Respirator, N95 Respirator dan Surgical facemask untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.

11. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.

12. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.

13. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.

14. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com untuk rekod dan disiarkan.

Perkara yang tidak dibenarkan

1. Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.

2. Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.

3. Jangan memakai pakaian yang menjolok mata dan tidak sopan.

4. Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal untuk memudahkan pergerakkan.

5. Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.

6. Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan kempen mansuhkan ISA

7. Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.

8. Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan Kempen Mansuhkan ISA tidak dibenarkan.

9. Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.

10. Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov cocktail dan mercun.

11. Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.

12. Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.

13. Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.

14. Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.

Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan

1. Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.

2. Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.

3. Pastikan anda telah menunaikan ‘hajat’ sebelum memasuki perhimpunan.

4. Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.

5. Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.

6. Maklumkan mereka tujuan anda keluar.

7. Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.

8. Jangan lupa charge bateri handphone dan kamera.

9. Pastikan anda berniat kerana Allah (bagi yang muslim) sebelum keluar rumah.

10. Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan; Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara.

11. Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.

12. Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.

13. Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).

14. Jangan memakai baju Mansuhkan ISA sebelum perhimpunan bermula.

Semasa perhimpunan dan perarakan

1. Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan (Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara) dan tunggu arahan dari Field Commander yang dilantik.

2. Ikutilah arahan dari Unit Amal atau Field Commander sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada Field Commander.

3. Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan Field Commander.

4. Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.

5. Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.

6. Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.

7. Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.

8. Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya.

9. Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.

10. Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.

11. Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.

12. Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi sound system akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.

13. Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.

14. Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.

15. Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa.

16. Rakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com untuk rekod dan disiarkan.

17. Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.

Selepas perhimpunan

1. Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.

2. Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila datang ke Pejabat Agung PAS untuk membuat laporan dengan Unit Amal bertugas.

3. Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik. Dapatkan maklumat di Pejabat Agung PAS atau ke Balai Polis berkaitan untuk bebaskan mereka.

4. Jangan tinggalkan apa-apa sampah ditempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.

5. Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan Keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.

6. Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com.

Apa anda perlu buat jika kumpulan Pro-ISA buat Provokasi

1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan Field Commander Unit Amal.

2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.

3. Jangan hampiri mereka.

4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.

5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.

6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.

Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan

1. Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.

2. Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.

3. Duduk jika pimpinan arahkan.

4. Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air water canon berwarna kuning.

5. Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.

6. Ambil gambar mereka jika sempat.

7. Buat laporan Polis jika anda dikasari.

Apa yang anda perlu buat jika ditahan

1. Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri.

2. Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.

3. Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).

4. Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawap yang ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.

5. Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab “Masih tengah cari kerja” atau berikan jawapan lain yang sesuai. Elakkan mengaku sebagai student. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.

6. Bagi kakitangan Kerajaan jika mereka tanya tempat kerja anda, jawab ”Saya kerja swasta atau kerja sendiri”. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.

7. Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu diluar balai jika anda ditahan.

8. Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab “saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja”. Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah.

9. Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah cair bila mereka berlembut.

10. Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.

11. Jangan terlalu risau kerana, diluar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.

Apa yang anda buat selepas dibebaskan

1. Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.

2. Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.

3. Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.

4. Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.

5. Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.

6. Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.

7. Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.

8. Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.

9. Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.

10. Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.

11. Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.

Perhatian!

1. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini.

2. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu.

3. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur.

4. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini

Secara keseluruhannya, kita berdoa semoga Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan.

Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak Kerajaan dan memberikan laluan untuk Agong mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem perundangan negara kita.

Ingat, Himpunan Bersih dan PPSMI berjaya menyedarkan Kerajaan kerana kesungguhan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk memansuhkan ISA.

Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada Field Commander atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini.

Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini.

Himpunan Mansuh ISA

Wednesday, June 24, 2009

Pakatan anjur himpunan besar jelas isu k'jaan perpaduan - Malaysiakini

Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 anjuran Pakatan Rakyat akan diadakan di Stadium MPPJ, Kelana Jaya Selasa depan

Satu ceramah perdana akan diadakan bagi menjelaskan kekeliruan terhadap segala "fitnah dan konspirasi yang ditimbulkan Umno dan BN" untuk menghancurkan Pakatan Rakyat, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Beliau, yang juga mewakili sekretariat gabungan pembangkang, berkata program tersebut akan bermula jam 9 malam dan menggesa orang ramai menghadirinya.

Salahuddin memberitahu Harakahdaily bahawa kesemua pemimpin utama Pakatan Rakyat dijangka hadir.

Mereka yang telah mengesahkan kehadiran masing-masing termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama DAP Lim Kit Siang.

Malaysiakini

Tuesday, April 21, 2009

Polis Masih Mengawal Bangunan Sri Negeri Melaka..

Hari ini masuk hari kedua polis mengawal ketat bangunan Sri Negeri Melaka. Maklumat awal yang diterima pagi ini, kekuatan yang dikerahkan adalah sama seperti semalam walau pun tiada sebarang perhimpunan diadakan. Siapakah sebenarnya yang mengarahkan polis mengawal ketat Bangunan Sri Negeri?

Dalam keadaan kadar jenayah semakin meningkat keperluan Polis menjaga, mengawal dan meronda seharusnya tidak hanya fokus di Bangunan Sri Negeri.

Hari ini akhbar Sinar Harian melaporkan Ketua Angkatan Muda KeADILan Melaka, Sdr. Hairiz Nordin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan Pakatan Rakyat dalam merencanakan sebarang perhimpunan semalam. Isu ini sengaja dimainkan dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Seharusnya diingat, setiap kali perhimpunan yang membabitkan parti komponen Pakatan Rakyat, kerjasama dan makluman kepada pihak Polis sentiasa diberikan.

Sekali lagi diulangi, siapa dalang disebalik penyebaran maklumat palsu ini?

Tuesday, March 24, 2009

Perhimpunan Bantah Pengharaman SK & Harakah esok (25 Mac)

Sebaran Media

24 Mac 2009

Saudara Ketua Pengarang,


Perhimpunan Bantah Pengharaman SK & Harakah esok (25 Mac)

Pimpinan KEADILAN dan PAS akan menghantar memorandum bantahan terhadap pengharaman Suara Keadilan dan Harakah kepada Suhakam pada jam 2 petang esok (25 Mac).

Delegasi tersebut akan diketuai oleh Ketua Penerangan KEADILAN Tian Chua, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar, Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PAS Salehuddin Ayub.

Sekian, terima kasih.



BIRO PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT


Wednesday, January 21, 2009

Perhimpunan bantah PPSMI pada 7 Mac

Perhimpunan anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan diadakan pada 7 Mac depan.

Sempena perhimpunan tersebut, GMP juga akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan baginda dalam menyelesai isu tersebut.

Pengerusi jawatankuasa induknya, Datuk Dr Hassan Ahmad berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat gabungan itu malam tadi di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam.

Bagaimanapun, kata beliau yang juga bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), butiran terperinci mengenai perhimpunan belum diputuskan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mesyuarat malam tadi menimbang cadangannya supaya mengkaji baik-buruk rancangan mengadakan perhimpunan tersebut.

Ketika membentangkan cadangan itu malam tadi, Dr Hassan difaham memaklum kepada mesyuarat bahawa ramai yang belum memahami sepenuhnya tujuan bantahan itu hendak diadakan.

Beliau juga difahamkan mencadangkan supaya diadakan kempen penerangan bagi membolehkan semua pihak benar-benar memahami isu tersebut, sebelum perhimpunan besar itu diadakan.

Bukan anti-kerajaan

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Hassan berkata, setelah cadangannya itu diusulkan dan diperbincangkan, mesyuarat sepakat untuk meneruskan perhimpunan itu pada 7 Mac depan.

Bagaimanpun, katanya, mereka menghadiri mesyuarat tersebut sepakat untuk meneruskan perhimpunan itu mengikut garis panduan yang dipersetujui.

Antaranya, tambah beliau, ialah perhimpunan itu tidak boleh dilihat bercirikan kegasanan dan perkauman.

"Kalau bentuknya macam Hindraf (Barisan Bertindak Hak Hindu), saya tak nak (terlibat)," katanya sekali lagi mengulangi pendirian yang ditegaskannya semalam.

Menjawab soalan, beliau menegaskan perjuangan GMP bukan berasaskan perkauman - untuk bangsa Melayu sahaja.

Sebaliknya, tegas Dr Hassan perjuangan mereka adalah perjuangan kebangsaan dan untuk kebaikan semua kaum.

Beliau juga berharap gabungan itu tidak dilihat sebagai anti-kerajaan dan pro-pembangkang hanya kerana ia turut dianggotai ahli politik pembangkang manakala mesyuarat malam tadi diadakan di bangunan SUK Selangor yang diteraju Pakatan Rakyat.

"Di awal mesyuarat, saya beritahu semua, termasuk, (Timbalan Presiden PAS) Nasaruddin (Mat Isa) sendiri bahawa mereka bukan mewakili mana-mana parti politik tetapi atas dasar sebagai pejuang bahasa," katanya.


Sumber: Malaysiakini

Friday, January 2, 2009

HEBAHAN MEDIA; DEMONSTRASI MENGECAM KEGANASAN REJIM ZIONIS ANJURAN PEMUDA PR

Hebahan Media

1 Jan 2009

DEMONSTRASI MENGECAM KEGANASAN REJIM ZIONIS


Angkatan Muda Keadilan Malaysia bersama Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan 'Demonstrasi Mengecam Keganasan Rejim Zionis'. Maklumat lanjut adalah seperti berikut:

Tarikh: 2 Jan 2009 (Jumaat)
Lokasi: Perkarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Masa: Selepas solat Jumaat

Semua pihak KECUALI Utusan Malaysia adalah dijemput ke program tersebut.

Sekian, terima kasih

Hasmuzair Hassan
Sekretariat
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
014-8422155

Thursday, January 1, 2009

Himpunan Aman Palestin di Masjid Negara esok

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Hrkh) - Pemuda PAS akan menganjurkan perhimpunan aman Palestin di Masjid Negara esok ( 2 januari 2009) selepas menunaikan solat Jumaat. Perhimpunan ini akan diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Perhimpunan ini bagi menunjukkan bantahan dan rasa tidak puas hati umat Islam terhadap kekejaman Israel terhadap umat Islam Palestin yang mana kejahatan dan kekejaman Israel tidak boleh dibiarkan begitu sahaja malah seluruh umat Islam wajib mempertahankan negara di mana terletaknya kiblat pertama umat Islam itu, demikian kenyataan yang dihantar ke Harakahdaily.

Sementara itu di Pahang Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Abdullah Abdul Karim memaklumkan bahawa Gabungan NGO-NGO Islam Pahang dan Pakatan Rakyat turut akan mengadakan Himpunan Aman Intifadah pada hari yang sama.

"Kita akan mengadakan himpunan mengutuk kezaliman regim zionis selepas solat Jumaat di Perkarangan Masjid Abu Bakar, Temerloh. Kita berharap orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan penduduk Palestin dapat turut serta dalam himpunan itu untuk menyatakan bantahan atas kekejaman Israel itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehingga semalam jumlah yang maut ialah seramai 360 orang dan hampir 1700 orang cedera akibat kebiadapan Israel. Pada hari Sabtu lalu Israel melanggar ketetapan yang telah dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan dengan sengaja membunuh lebih 200 penduduk awam di Palestin.

Memorandum bantahan telah diserahkan oleh Naib Presiden PAS Mohamad Sabu kepada wakil kedutaan Amerika pukul 12.00 tengahari 30 Disember lalu dan lebih 500 orang daripada pelbagai NGO dan parti-parti politik menyertai himpunan di hadapan kedutaan Amerika tersebut.

Perhimpunan aman palestin di masjid Negara pada Jumaat ini adalah siri seterusnya bantahan umat Islam kepada kebiadapan Israel selama ini.

Pemuda PAS juga turut mengajak semua seluruh umat Islam yang cintakan Islam bersama bersatu membantah kejahatan Israel ini. Ini termasuk juga masyarakat bukan Islam yang cintakan keamanan turut diseru menyertai himpunan ini bersama-sama. - azm _


Sumber: HarakahDaily

Monday, November 24, 2008

9 dari PAS diminta hadir di mahkamah

Sembilan ahli dan pemimpin PAS yang ditahan di perhimpunan pelancaran kempen mansuhkan ISA di Ampang Jaya malam tadi, dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 4 pagi tadi.

Mereka terdiri daripada ahli Parlimen Kubang Krian, Salahuddin Ayub; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (WP), Kamaruzaman Mohamad; Ketua Unit Amal PAS WP, Sarifuddin Mohd Yatim, Mohd Sani Hamzah, Abdullah A Rahman, Mohd Amir Ali Mohd Shah, Hafiz Zulkifli dan Azman Abdul Hamid.

Peguam Edmund Bon (kanan), ketika dihubungi berkata, Salahuddin dan Mohamad diminta hadir di Mahkamah Majistret Ampang Jaya pada 8 Disember lalu.

"Yang lainnya diminta hadir di mahkamah yang sama pada hari berikutnya. Kita akan lihat sama ada mereka akan didakwa atau tidak," katanya.

Malam tadi, kira-kira 100 orang berhimpun di sebuah padang di Ampang Jaya, tetapi anggota polis bertindak menyuaraikan mereka apabila Mohamad Sabu mula berucap pada kira-kira jam 9.26 malam.

Mohamad dan Salahuddin ditahan kemudiannya ketika mereka pergi ke balai polis Pandan Indah untuk bertanya mengenai tujuh orang yang ditahan sebelumnya.

Ketua Polis Ampang Jaya, Abdul Jalil Hassan kemudiannya memberitahu media bahawa mereka ditahan kerana enggan bersurai.

Pihak penganjur - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) - dikatakan mahu meneruskan juga majlis pelancaran kempen mansuhkan ISA itu walaupun gagal mendapatkan permit polis.

Ketika dihubungi hari ini, Kamaruzaman mendakwa, kesemua mereka yang ditahan itu tidak dibenarkan bertemu dengan peguam ketika berada dalam tahanan polis.

Katanya, peguam-peguam tersebut telah beredar dari balai itu ketika beliau dibebaskan pada jam 3.45 pagi tadi.

Bon mengesahkan bahawa peguam-peguam diberitahu bahawa mereka tidak boleh masuk ke dalam balai polis.

Bagaimanapun, Abdul Jalil mendakwa sebaliknya, ketika dihubungi.

"Kita tahu mereka ada hak untuk bertemu peguam mereka, jadi kita benarkan mereka berbuat demikian di antara masa mereka memberi dokumen dan kenyataan," katanya.

Beliau juga berkata, pihak polis akan memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap kesembilan mereka, apabila siasatan selesai dijalankan.

Perhimpunan Mac depan

Ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, Salahuddin berkata beliau hadir di perhimpunan tersebut untuk memberitahu orang ramai supaya bersurai selepas mendapat tahu tiada permit dikeluarkan untuk mengadakan majlis tersebut.

"Tetapi sejurus selepas lima minit, pihak polis datang dan menahan kami secara agresif," dakwanya.

Menurutnya, pihak polis seharusnya memberi permit bagi majlis seumpama itu.

Salahuddin juga berkata, satu lagi perhimpunan besar-besaran akan diadakan, sama seperti yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Oktober lalu.

Katanya, ia akan diadakan Mac depan untuk membantah dan mendesak supaya ISA dimansuhkan.

Beliau bagaimanapun menolak tanggapan bahawa ia diadakan pada bulan Mac kerana ketika itu berlangsungnya pemilihan pucuk pimpinan Umno.

Sumber:
Malaysiakini

Polis surai perhimpuan anti-ISA di Ampang, 7 ditahan

Polis malam ini bertindak menyuraikan orang ramai yang berhimpun di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menghadiri majlis pelancaran kempen mansuhkan ISA di situ.

Tujuh orang ditahan dipercayai kerana enggan bersurai dari situ.

Menurut Setiausaha Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), E Nalini, mereka yang ditahan itu termasuk pemimpin PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Kempen tersebut dianjurkan oleh GMI dan dijadual dilancarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, menurut pihak penganjur, Anwar tidak hadir.

Manakala Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh serta 20 anggota Unit Amal PAS berada di depan balai polis Pandan Indah (10.50 malam), melaung "bebaskan rakan kami'.

Pada kira-kira jam 11 malam, kelihatan 20 anggota polis berkawal di luar balai. Manakala orang ramai diarahkan beredar dari situ.

Pada jam 11.15 malam, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub kelihatan keluar dari dalam balai tersebut.

Salahuddin jumpa polis

Beliau memberitahu pemberita yang beliau telah menemui pihak polis untuk bertanya bilakah tujuh orang yang ditahan itu akan dibebaskan.

Menurutnya, pihak polis memberi jaminan bahawa mereka akan dibebaskan malam ini juga.

Sejurus kemudian, Salahuddin dan Mohamad Sabu dipanggil masuk semula ke balai.

Sebelum itu, kira-kira 40 anggota anti-rusuhan mula bertindak menyuraikan orang ramai - yang dianggarkan berjumlah kira-kira 100 orang - pada kira-kira jam jam 9.26 malam ketika Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berucap kepada orang ramai.

Pada kira-kira jam 10 malam, hujan masih turun dan orang ramai beredar di situ manakala anggota polis anti-rusuhan kelihatan berhimpun di belakang pentas di padang teresbut.

Sebelum itu, anggota polis tersebut membentuk dua garisan dari sebelah tepi belakang padang ke sebelah tepi depan padang.

Ketika itu, kelihatankira-kira 20 orang berpayung di tepi penjuru belakang padang.

Sekatan jalanraya

Sebelum itu, polis mengadakan sekatan di Jalan Pandan Indah di depan padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), menjelang majlis tersebut yang dijadualkan berlangsung di situ mulai jam 9 malam ini.

Sehingga jam 8 malam, kelihatan empat trak polis - dua kecil dan dua besar - serta sebuah van polis bergerak.

Hujan turun lebat kira-kira jam 7.30 malam dan beransur reda selepas jam 8 malam.

Turut kelihatan, pentas berbumbung di situ juga ditutup dengan rentangan tali kuning oleh pihak polis di sekelilingnya.

Sebelum ini, polis menolak permohonan pihak penganjur untuk mendapatkan permit untuk mengadakan perhimpunan pada malam ini.
Pada jam 9 malam, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin tiba di Padang MPAJ dan kelihatan kira-kira 80 orang berada di situ.

Pada jam 9.26 malam, polis bertindak mengasak orang ramai di situ keluar dari kawasan padang MPAJ, ketika Mohammad Sabu berucap kepada mereka yang hadir.

Majlis pasang lilin di PJ

Sementara itu, majlis pasang lilin di Pusat Sivik Petaling Jaya malam ini dihadiri oleh kira-kira 100 orang dan berjalan lancar dalam suasana aman.

Ini adalah minggu kedua ia diadakan - juga membantah ISA - yang diadakan secara sah selepas mendapat permit polis.

Tiga minggu lalu, polis bertindak menyuraikan orang ramai yang berhimpun secara haram di situ dan menahan 23 orang. Mereka dibebaskan dengan ikatjamin polis.

Bagaimanapun, minggu lalu, pihak penganjur mendapat permit polis - dengan 12 syarat - untuk mengadakan majlis pasang lilin itu.

Kesemua 23 orang yang ditahan itu diarahkan melaporkan diri di balai polis Petaling Jaya pagi esok.


Sumber: Malaysiakini

Sunday, November 16, 2008

PAS, GMI lancar kempen mansuh ISA 23 Nov

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) bersama-sama dengan PAS Pusat dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan melancarkan kempen bagi mendesak kerajaan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 23 November ini.

Ia diputuskan dalam mesyuarat bulanan DPP yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan di ibu pejabat parti tersebut di ibunegara hari ini.

Dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut, Nasrudin berkata mereka juga akan mengadakan himpunan besar-besaran pada Mac depan sebagai kemuncak kempen tersebut.

Mereka menjangka untuk menghimpun kira-kira 100,000 orang pada bulan Mac itu yang turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pakatan Rakyat.

Ditanya pemberita mengapa himpunan itu dibuat dalam bulan Mac, bulan yang sama dengan perhimpunan agung Umno, beliau berkata:

"Ia mengambil ruang untuk memberi kesadaran kepada rakyat dan membuat persediaan gerak kerja. Ia tidak ada kena mengena dengan persidangan agung Umno".

Nasrudin juga berkata pihaknya memutuskan untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk SeriAbdullah Ahmad Badawi berhubung pembatalan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti al-Azhar.

Isu MoU Universiti Al-Azhar

Beliau mendakwa, perdana menteri meminta pihak kedutaan menyambung semula perjanjian tersebut, tetapi ia tidak dipanjangkan oleh duta Malaysia di Mesir kepada Universiti Al-Azhar.

Katanya, lebih daripada 18 kolej dan pusat pengajian tidak dapat menghantar pelajar untuk menyambung pelajaran mereka ke sana.

Sehubungan itu, Pemuda PAS akan menghantar memorandum kepada Abdullah supaya campurtangan dalam isu pembatalan MoU tersebut pada 20 November ini.


Pembatalan perjanjian tersebut, tambah Nasrudin, menyebabkan ramai pelajar terpaksa mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke Indonesia.

Ditanya berhubung cadangan kerajaan Kedah menaikkan kuota perumahan bumiputera dari 30 peratus kepada 50 peratus, Ahmad Sabki berkata:

"Kita harus lihat dari konteks negeri Kedah. Kadar penduduk negeri kedah, kaum Melayu tinggi. (Jadi) 50 peratus sesuai dengan kadar penduduk Melayu yang tinggi di negeri Kedah."

Sementara itu, selepas merasmikan merasmikan Kelab Penyokong Muda PAS (KPMP), Ketua Pemuda PAS Salahudin mengulas berhubung perhimpunan besar-besaran mansuhkan ISA.

Beliau berkata pihaknya memberi jaminan bahawa perhimpunan itu adalah perhimpunan aman "ala Bersih" yang dibuat pada 10 November tahun lalu.


Sumber: Malaysiakini

Friday, November 7, 2008

GMI anjur himpunan bantah ISA di Seremban malam ini

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Satu pertemuan terbuka dengan keluarga tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan diadakan di Padang majlis Daerah Seremban malam ini.

Pertemuan yang dijangka akan disertai antaranya isteri Raja Petra Kamaruddin, Marina Lee Abdullah; isteri Mat Sah Mat Satray, Norlaila Othman dan pimpinan PAS, KeADILan, DAP serta NGO akan bermula pada jam 8.00 malam.

Program ini dianjurkan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang diwakili oleh gabungan NGO dan parti politik.

Orang ramai dijemput untuk hadir memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa tahanan ISA ini.

Dalam perkembangan berkaitan, blogger, Raja Petra dijangka akan dibebaskan dari ISA petang ini apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasannya segera.

Ia berikutan permohonan 'habeas corpus' yang difailkan peguamnya sebelum ini. _


Sumber: HarakahDaily

Monday, September 15, 2008

Tidak ada perhimpunan esok, jangan terpedaya dakyah palsu - KeADILan

KUALA LUMPUR, 15 SEPTEMBER (SK) - SETIAUSAHA Agong KeADILan, Sallehudin Hashim menafikan sebarang bentuk perhimpunan yang dianjurkan KeADILan esok di Istana Negara seperti diwar-warkan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, beliau telah dimaklumkan beberapa poster dan kain rentang di beberapa lokasi di Kuala Lumpur yang mengatakan satu perarakan ke Istana Negara akan dianjurkan esok yang kononya dianjur oleh parti ini.

Walaubagaimanpun menurutnya, KeADILan tidak sama sekali terlibat dengan mana-mana perhimpunan mahupun perarakan ke Istana Negara seperti yang diwar-warkan.

“Penyebaran maklumat palsu yang melibatkan KeADILan ini dilihat sebagai suatu usaha terdesak pihak tertentu yang mahu menimbulkan kekacauan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam dan akan seterusnya menimbulkan kebimbangan kepada warga penduduk Kuala Lumpur,” katanya.

Suara Keadilan pagi ini menerima panggilan dari orang ramai bahawa beberapa lokasi telah dipasang poster yang mengatakan ada perhimpunan yang akan dianjurkan esok. Antara lokasinya ialah di Wangsa Maju, Setiawangsa dan Plaza Rakyat.

Tambah Salleh lagi, KeADILan menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang dakyah palsu yang sedang dijaja dan disebarkan kepada rakyat yang mengamalkan politik fitnah.

“KeADILan juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang dakyah palsu yang sedang dijaja dan disebar secara meluas oleh golongan jahat yang mengamalkan politik fitnah tentang penglibatan PKR dalam mana-mana aktiviti yang melanggar batas-batas kesusilaan dan prinsip demokrasi, yang secara nyata bertujuan untuk memburukkan pertalian yang baik di antara PKR dan Dulu-Duli Raja-Raja Melayu,”katanya lagi.


Sumber: Suara Keadilan

Tuesday, July 8, 2008

Protes Gagal? Yer ke?


Sumber (Gambar): mob's cribb

Gambar Protes 060708 di MBPJ


Gambar-gambar sekitar Protes 060708 boleh dilihat di
ATAU
Anda hanya perlu pergi ke menu sisi kanan dan klik pada gambar seperti di atas

Admin

Monday, July 7, 2008

Rakyat Turun Protes Kenaikan Harga Minyak!

Petaling Jaya (6 Julai 2008) - Protes Kenaikan Harga Minyak yang diadakan pada hari ini di stadium MBPJ telah dihadiri ribuan rakyat berbilang agama dan kaum. Protes yang dimulakan pada pukul 9.00 pagi telah mendapat sambutan dari seluruh Malaysia yang silih berganti datang dari pagi hingga ke jam 11.00 malam. Ada di antara peserta himpunan Protes pada hari ini telah berada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak semalam lagi.



Pada awal pagi Unit AMAL PAS dan Skuad AMK telah bersedia menjaga keselamatan di stadium tersebut. Secara keseluruhannya Protes yang diadakan di Stadium ini tidak berhadapan dengan tindakan pihak keselamatan walaupun kelihatan helikopter berlegar di udara sepanjang hari Protes dijalankan.



Protes yang berlansung seharian ini telah menampilkan beberapa Ahli Parlimen, tokoh politik, wakil pelajar dan NGO dalam menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga minyak yang berlaku pada awal tahun ini. Protes juga diselang-selikan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian.


Kemuncaknya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan beliau berkenaan pelbagai isu semasa. Pada ketika ini sekurang-kurangnya 30,000 orang telah membanjiri Stadium MBPJ.



Admin

Saturday, July 5, 2008

Ketua AMK: Pindah Atas Sebab Keselamatan

Perhimpunan aman Protes Sejuta Rakyat Ahad ini yang dijadual diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya telah ditukar ke Stadium Kelana Jaya. Perkara itu disahkan oleh Ketua Angkatan Muka PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin. Menurut Shamsul, perubahan tempat ini diputuskan dalam mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat semalam. Ianya disebabkan oleh soal-soal keselamatan dan Perhimpunan Ini Mendapat Kelulusan Polis.

Tarikh: 6 Julai 2008
Bertempat : Stadium Kelana Jaya
Masa: 10 Pagi

Datanglah BERAMAI-RAMAI DAN SEBARKAN MESEJ INI!!!

Ubah Sebelum Parah

Sumber: Geramm
http://www.geramm.org/v1/?p=218

Jangan Lupa Esok Stadium MPPJ @ Stadium Kelana Jaya!



Sunday, June 29, 2008

Perhimpunan Solidariti Untuk Anwar di Parlimen Esok

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Hrkh) - Semua aktivis dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dijemput hadir perhimpunan solidariti 'Selamatkan Malaysia, Keadilan untuk Anwar' di Parlimen esok (30 Jun).

Himpunan itu akan diadakan pada jam 1.00 petang sewaktu dewan berhenti sebentar untuk waktu rehat, kata satu kenyataan KeADILan hari ini.

Perhimpunan ini bertujuan untuk menunjukkan bantahan terhadap fitnah dan ketidakadilan yang berlaku sekali lagi ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, katanya.

Sesiapa yang ingin hadir ke perhimpunan esok untuk menyatakan sokongan untuk Anwar Ibrahim, sila berpakaian formal (lelaki - berkemeja tie, kot dan berkasut; perempuan - berpakaian kemas) dan berkumpul di Parlimen pada jam 12:45 tengahari.

Sumber: HarakahDaily.net
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=15464&Itemid=1