Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Shah Alam. Show all posts
Showing posts with label Shah Alam. Show all posts

Wednesday, September 16, 2009

Isu Kuil: Selangor Dengar Pandangan Rakyat - TVA

Kerajaan Negeri Selangor mengambil sikap mendengar pandangan rakyat dalam membuat sebarang keputusan terutamanya melibatkan isu sensitiviti perkauman.

Walaupun pelbagai taktik kotor dimainkan Umno Barisan Nasional bagi menghalang tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk memindahkan kuil di Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail bersama Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ramli Mahmud akan mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 untuk membincangkan mengenai isu ini.

“Mereka akan mengadakan perbincangan seterusnya. Terdapat satu keadaan perbincangan yang sangat baik tetapi kita mesti memberi masa kepada mereka supaya dapat memperhalusi apa-apa yang perlu untuk satu keputusan yang baik dapat dibuat,” katanya pada sidang media Pakatan Rakyat.

Abdul Khalid berkata Exco kerajaan negeri akan meneliti hasil perbincangan berkenaan sebelum sebarang keputusan diluluskan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan memastikan masyarakat di sekitar kawasan baru yang akan menempatkan kuil berkenaan akan juga dipanggil untuk mendapatkan persetujuan.

Isu kuil berkenaan mula timbul apabila segerombolan individu upahan Umno Barisan Nasional mengadakan demostrasi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan mengheret, memijak dan meludah kepala lembu.

Usaha kerajan negeri mengadakan dialog bersama penduduk Seksyen 23 juga menjadi kecoh apabila beberapa ‘orang luar’ dan pihak yang terbabit dalam tunjuk perasaan berkenaan menimbulkan kekecohan.

Kuil itu berusia lebih 100 setahun. Kerajaan negeri Pakatan Rakyat bercadang memindahkannya dari Seksyen 19 kerana ia terletak hanya 20 meter daripada kawasan perumahan. Tapak baru yang dicadangkan kerajaan BN di Seksyen 18 terletak di dalam kawasan perindustrian dan membahayakan nyawa penganut, manakala kuil yang dicadangkan Pakatan Rakyat di Seksyen 23 terletak di pinggir kawasan industri dan lebih 200 meter daripada kawasan perumahan.

TVA

Tiada arahan untuk Umno bantu penduduk Seksyen 23 didakwa di mahkamah - mStar

SHAH ALAM: Umno Selangor tidak mengeluarkan atau menerima sebarang arahan bagi membantu 12 penduduk Seksyen 23 yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, minggu lepas kerana terbabit dalam demonstrasi jalanan membawa lambang agama bagi membantah pemindahan kuil.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Noh Omar berkata tiada sebarang makluman atau arahan diterima mahupun dikeluarkan pucuk pimpinan negeri berhubung isu berkenaan memandangkan ia adalah mengikut prosedur.

"Kita tidak salahkan polis atau membantah penahanan mahupun pendakwaan terhadap mereka yang terbabit dalam demonstrasi jalanan itu kerana ia satu tindakan yang memang tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noh berkata demikian pada majlis penyerahan kira-kira 400 hamper kuih raya sempena Aidilfitri anjuran Pergerakan Wanita Umno Selangor kepada pasukan keselamatan di Selangor.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata jika ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan, ia adalah atas kapasiti peribadi dan rasa simpati terhadap penduduk terbabit.

"Saya tidak tahu mengenai bantuan, apa yang saya baca di media penduduk kawasan berkenaan menubuhkan tabung bagi membiayai kos yang terpaksa mereka tanggung. Jadi kalau ada yang nak bantu apa salah, ada setengah pihak satu pesalah sampai 10 peguam bela bantu pun tidak ada siapa kata," katanya.

Noh berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar Jumaat lepas mengenai tindakan Umno Bahagian Batu Pahat menyediakan dana bagi membantu 12 individu terbabit membayar denda jika dijatuhkan hukuman selain bagi menanggung kos mahkamah.

Pada 9 Sept lepas, 12 penduduk itu mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan membawa dan memijak kepala lembu serta mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 27 Akta Polis selain tuduhan pilihan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan niat sengaja melukakan perasaan penganut Hindu.

Terdahulu semasa berucap, Noh berkata orang ramai seharusnya lebih menghargai pengorbanan anggota keselamatan yang tidak pernah jemu menjaga keharmonian dan ketenteraman walau dalam apa jua keadaan.BERNAMA

mStar

Thursday, September 10, 2009

Sedia timbang tapak baru jika dekat jalanraya - Malaysiakini

Jawatankuasa Kuil Sri Mariamman Seksyen 19 Shah Alam bersedia mempertimbangkan cadangan tapak baru di Seksyen 23 sekiranya lokasinya terletak berdekatan dengan jalanraya.

"Kalau terletak (jauh ke) dalam, ada loji (kumbahan). Kalau di belakang, bau kuat," kata pengerusi jawatankuasa kuil tersebut R Selvakumaran.

Beliau diminta mengulas cadangan tapak baru kuil di Seksyen 23 Shah Alam, setelah tapak sebelumnya berdekatan Persiaran Perusahaan, dibantah sekumpulan penduduk.

Dalam satu kenyataan pejabat menteri besar Selangor Isnin lalu, tapak yang "lebih strategik dan sesuai" itu terletak 100 meter dari tapak cadangan asal dan 400 meter dari kawasan perumahan.

Semalam, jawatankuasa bertindak penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang sebelum ini membantah keras pemindahan kuil tersebut ke tempat mereka, dilaporkan menerima tapak baru yang dicadangkan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Selvakumaran menjelaskan, pihaknya belum dimaklumkan oleh kerajaan negeri mengenai lokasi baru kuil tersebut.

"Kawasan itu (seluas) tiga ekar. Tempat (kuil) itu di mana? (Di sebelah) belakang, tepi, depan, di mana?" tanya Selvakumaran.

Menurut beliau, tapak tersebut yang terletak bersebelahan kilang elektronik Nitto Denko dan gudang simpanan IDS, kini digunakan sebagai tempat membasuh kereta.

Pihak kuil Sri Mariamman juga belum lagi dihubungi kerajaan negeri bagi membincangkan lanjut cadangan baru itu, tambahya.

Membanding tapak tersebut dengan tapak asal berdekatan Persiaran Perusahaan, Selvakumaran berkata, ia agak jauh dari kawasan perumahan.

Malaysiakini

Wednesday, September 9, 2009

Kes kepala lembu: 12 dihadap ke mahkamah - Malaysiakini

Dua belas orang ke mahkamah hari ini berhubung insiden perarakan kepala lembu ketika mengadakan protes di sekretariat kerajan negeri (SUK) Selangor pada 28 Ogos lalu.

Enam daripada mereka menghadapi dua tuduhan - menghasut dan menyertai perhimpunan haram. Manakala enam lagi didakwa menyertai perhimpunan haram.

Enam yang menghadapi tuduhan menghasut itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan atau tuduhan alternatif di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana "menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut Hindu dan senjaga lukakan perasaan penganut Hindu".

Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.

Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa memijak kepala lembu; Ayzva didakwa membawa kepala lembu; manakala Mohd Amir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi, didakwa membawa dan memijak kepala lembu

Mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Mereka berdepan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga RM5,000.

Sebelum itu, pihak pendakwa memohon supaya mahkamah menetapkan ikatjamin RM15,000 tiap seorang, manakala peguam mereka Salehuddin Saidin dan Afifudin Ahmad Hafifi meminta ia dikurangkan kepada masing-masing RM500.

Hakim Hasbi Hassan kemudiannya menetapkan ikatjamin masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin. Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada 21 Oktober.

Selepas itu, mereka bersama enam yang lain dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta polis.

Kesemuanya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Norkamilah Aziz membenarkan ikatjamin masing-masing RM300 dengan seorang penjamin bagi enam orang yang turut menghadapi tuduhan menghasut.

Manakala ikatjamin bagi enam orang lagi yang menghadapi tuduhan perhimpunan haram, ditetapkan masing-masing sebanyak RM300 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan disebut pada 21 Oktober.

Mereka adalah sebahagian daripada mereka yang menyertai protes tersebut kerana membantah keputusan kerajaan Selangor untuk memindahkan kuil berusia 150 tahun, dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Sebelum itu, kira-kira 20 penduduk datang ke Mahkamah Shah Alam pagi ini sebagai tanda sokongan kepada 12 orang yang akan didakwa berhubung isu perarakan kepala lembu membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23.

Mereka berhimpun di kaki lima, menunggu sesi mahkamah bermula.

Mereka memberitahu media "kami tidak bersalah" dan kami datang dengan satu hati".

Dua belas orang tersebut akan didakwa menghasut serta menyertai perhimpunan haram,

Malaysiakini

Penduduk Seksyen 23 terima cadangan tapak baru kuil - Malaysiakini

Jawatankuasa bertindak penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang membantah pemindahan kuil Hindu - menerima tapak baru yang dicadangkan oleh kerajaan Selangor, kata seorang ahli jawatankuasa tersebut, Ramzi Ramli

Bagaimanapun, katanya, jawatankuasa bertindak itu hanya akan dibubarkan selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim membuat pengumum rasmi mengenainya.

Ketika ditemui Malaysiakini di komplek Mahkamah Shah Alam, Zamri berkata, pihaknya mendapati tapak baru itu sesuai kerana jauh dari kawasan perumahan.

Sehubungan itu, tambahnya, mereka menerima cadangan menteri besar itu dan berharap masyarakat India turut sama menerima cadangan tersebut.

Ramzi berkata beliau dan kira-kira 50 penduduk Seksyen 23 hadir mengikuti perbicaraan di mahkamah sebut.

Dua belas orang ke mahkamah hari ini berhubung perarakan kepala lembu ketika mengadakan protes di sekretariat kerajan negeri (SUK) Selangor pada 28 Ogos lalu.

Enam daripada mereka menghadapi dua tuduhan - menghasut dan menyertai perhimpunan haram. Manakala enam lagi didakwa menyertai perhimpunan haram.

Malaysiakini

Tuesday, September 8, 2009

Sesi 'Dialog' Dengan Penduduk Seksyen 23 - khalidsamad.com

Semua melihat apa yang berlaku dalam sesi dialog tersebut. Saya merasakan ianya peristiwa yang amat memalukan ummat Islam. Tengah-tengah bulan puasa pula. Sedih. Itulah apa yang berlaku bila tidak menghayati ajaran agama dan tidak juga menerima asuhan yang baik dari pemimpin. Hishamuddin memberi sokongan dan dorongan secara terbuka dan selepas itu menyedari tidak boleh secara terbuka, mesti secara tertutup. Seterusnya mengutuk tetapi semua tahu, reaksi awal adalah apa yang sebenar tersemat di hati. Hakikatnya tukang demo tidak dikenakan apa-apa tindakan hingga ke hari ini. Sedangkan tindakan mereka jelas melampaui batas. Ini adalah bukti bahawa Hishamuddin membela dan melindungi mereka. Begitu juga si Noh Omar, ‘hero Melayu’ gelar mereka.

Matlamat sesi dialog adalah untuk mendapat pandangan dan reaksi penduduk terhadap cadangan pemindahan berkenaan. Ianya merupakan langkah terakhir dalam proses lima langkah seperti berikut :-

1. Tapak cadangan dari PKNS - Ini adalah kerana telah dipersetujui PKNS akan menggantikan tapak kuil di Seksyen 19 dengan tapak lain milik mereka kerana tapak di Seksyen 19 akan diambil alih oleh mereka.

2. Persetujuan MBSA bahawa lokasi berkenaan adalah sesuai. Ini adalah wajar memandangkan MBSA adalah pihak yang bertanggung jawab atas perancangan bandar Shah Alam.

3. Persetujuan AJK Kuil – ini telah diperolehi selepas proses perbincangan pada hujung bulan Mei. Nota mesyuarat ditanda-tangani sebagai bukti persetujuan mereka kerana tidak mahu berlaku penafian atau bertukarnya fikiran. Surat inilah yang dijaja oleh orang-orang demo kepala lembu itu. Persetujuan AJK kuil perlu kerana dasar PR ialah musyawarrah bukan paksa pindah ke mana orang lain tetapkan.(Itu dasar UMNO – rujuk pengakuan bangga KT).

4. Persetujuan Kerajaan Negeri atas cadangan untuk memindahkan kuil ke tapak yang dicadangkan. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri mahu memantau semua aktiviti pembinaan dan perobohan kuil.

Pada tahap ini, cadangan mencapai status sebagai ‘cadangan rasmi’ dan barulah boleh dibincangkan dengan pihak awam, terutama penduduk sekitar kawasan berkenaan. Mengadakan perbincangan bersama penduduk sebelum mendapat persetujuan ke empat-empat pihak ini tidak memberikan sebarang makna, kerana cadangan itu belum lagi merupakan cadangan rasmi.

5. Pertemuan dan perbincangan dengan penduduk berhubung cadangan yang telah dipersetujui terlebih dahulu oleh ke empat-empat pihak seperti di atas. Ini adalah kerana walau macam mana sekalipun, penerimaan oleh penduduk sekitar adalah penting untuk menjamin keharmonian.

Jika berdasarkan peraturan yang sediada, peruntukan jarak melebihi 50 meter tidak mewajibkan sebarang perbincangan diadakan dengan penduduk. Namun dasar PR adalah untuk mengadakan perbincangan walaupun jaraknya melebihi 50 meter, jika dilihat akan memberikan kesan. Sekiranya penduduk bersetuju, maka inilah yang ideal dan cadangan itu boleh dilaksanakan. Sekiranya setelah dikemukakan, penduduk menolak maka adalah lebih baik untuk dipertimbangan tapak alternatif sekiranya ada.

Malangnya kerajaan Negeri Selangor tidak diberi peluang untuk membentangkan cadangan ini di peringkat ke-5. Cadangan ditolak sebelum ianya dikemukakan dengan cara amat tidak sopan.

Hakikatnya, sekiranya cadangan ditolak secara sopan sekalipun – iaitu tanpa sebarang aksi yang telah ditunjukkan sebelum ini, kerajaan PR akan mengambil kira pandangan penduduk. Namun atas sebab hasutan pihak tertentu dan kempen salah-maklumat yang dilakukan maka cadangan ditolak mentah-mentah dengan cara paling tidak sopan. Yang dipertikaikan adalah cara bantahan dibuat, bukannya bantahan itu sendiri. Ada yang menganggap kerajaan negeri sudah pun mahu mula pembinaan! Sedangkan tiada pelan kuil yang telah diluluskan. Nak bina macam mana kalau tiada pelan?

Kami dituduh tidak mahu mendengar pandangan penduduk. Yang hadir pada hari tersebut melihat secara jelas siapa sebenarnya yang tidak mahu mendengar. Ini boleh dibuktikan melalui video clip yang tersiar di beberapa blog. Hanya blog UMNO yang tidak mahu menyiarkannya kerana tahu ianya hanya akan memalukan mereka. Semua tahu yang berperangai sedemikian bukan ahli PAS dan bukan PKR. Nafikanlah berapa kali sekali pun, rakyat tahu ini perangai UMNO.

Saya diberitahu juga ada pihak yang mendakwa bahawa mereka yang terlibat membuat kacau semasa sesi dialog tempohari adalah terdiri dari ahli PAS dan PKR. Sekiranya benar, maka saya cadangkan mereka ini dihadapkan di bawah lembaga disiplin parti, dipecat dan sekiranya didapati bersalah dikenakan tindakan dibawah akta hasuatan. Dalam masa yang sama, saya juga berharap jika ada ahli UMNO yang terlibat sama, maka mereka juga dikenakan tindakan yang sama. Mahukah mereka melakukan perkara yang sama sekiranya benar-benar yakin?

Teringat saya kisah Haji Bakhil. Dia tanam duit di sesuatu tempat dan meletakkan papan tanda ‘Tiada Duit Di Sini’. Datang pula Haji Bahalol menggali dan mengambil duit berkenaan. Seterusnya dia meletak papan tanda yang menyatakan ‘Bukan Hj Bahlol yang ambil duit di sini’. Bagi saya, begitulah penafian mereka terhadap keterlibatan UMNO dalam soal ini.

Esoknya Najib dengan gembiranya mengumumkan sesi dialog tersebut merupakan bukti kegagalan PR mentadbir Negeri Selangor. Persoalannya, adakah kemungkinan orang-orang yang bertindak samseng diminta berkelakuan sedemikian supaya Najib boleh membuat kenyataan sebegini? Sudah pasti mungkin! Dan ini juga merupakan penjelasan munasabah mengapa mereka bertindak sedemikian rupa. Tanpa provokasi dan tanpa sebab seperti yang telah dijelaskan.

Sebenarnya kenyataan Najib sendiri itu pun tidak benar sama sekali. Kerajaan negeri telah berjaya mengadakan sesi dialog dengan penduduk dan maklumat yang diinginkan telahpun diperolehi (walaupun bukan melaui jalan perbincangan yang diharapkan) iaitu penduduk setempat menolak cadangan tersebut. Mungkin bagi Najib ‘kejayaan’ diukur berdasarkan nilai projek yang dijalankan. Khir Toyo membelanjakan RM600,000 dan ini dianggap ‘kejayaan’. Walaupun masalah tetap tidak diselesaikan! Kontraktor juga yang untung.

Sebagai kerajaan yang perihatin, kami mengambil kira penolakan ini oleh penduduk Seksyen 23, bukan kerana ianya dilakukan secara biadab, tetapi kerana ianya adalah pandangan penduduk setakat mana yang boleh diperolehi. Walaupun ramai yang berdiam diri, namun itulah keputusan yang dizahirkan.

Begitu jugalah dengan kenyataan Khir Toyo. Dia dengan gembiranya menyatakan bahawa semasa dia MB, tiada masalah sebegini. Ya, betul kerana kami sebagai pembangkang merupakan pembangkang yang bertanggung jawab. Kami tidak menggunakan provokasi samseng atas isu-isu perkauman dan agama seperti mereka. Mereka bila jadi pembangkang, jelas merupakan pembangkang yang tidak bertanggung jawab! Bila memerintah pun menjadi kerajaan yang tidak bertanggung jawab, bila pembangkang begitu juga, pembangkang yang tidak bertanggung jawab!

Seterusnya kami telah pergi melawat tapak alternatif dengan kadar segera. Kami ingin memenuhi hak penduduk Seksyen 19 dan juga hak kuil tersebut. Tapak tanah di tepi kilang Nitto Denko Seksyen 23 telahpun kami lawati pagi tadi bersama PKNS, MBSA, para ADUN dan juga MB. Seterusnya akan dikemukakan kepada AJK kuil. Sekiranya mereka setuju, akan disediakan kertas cadangan untuk kelulusan Exco Kerajaan dan melalui 5 proses yang sama seperti yang telah dinyatakan. Lokasinya ditanda dipeta yang disertakan.


Sambil semua perkara ini diusahakan, saya berharap semua bertenang dan bersabar. InsyaAllah masalah ini akan diselesaikan dengan baik walaupun UMNO berusaha untuk mengagalkannya. Itulah sahajalah yang UMNO pandai buat: KACAU.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD