Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Tahanan. Show all posts
Showing posts with label Tahanan. Show all posts

Friday, September 18, 2009

Setelah 6 jam Mat Sah bersua isteri, anak tercinta... - Harakah

KUALA LUMPUR, 17 Sept: Kali ini giliran Mat Sah Mohd Satray, 46 pula menitiskan air mata. Begitu hening pagi tadi tatkala melihat kelibat isteri dan anaknya yang telah ditinggalkan secara paksa selama hampir 8 tahun.

Mereka baru bersua jam 2 pagi tadi sehinggalah sekarang, masih tidak tidur lagi. Perasaan mereka bertiga anak beranak masih bercampur baur. Gembira, sayu dan terasa janggal pun ada. Tidak terbit kata-kata pada awalnya. Masing-masing melayan perasaan.

Tepat jam 5 pagi, tiga beranak ini bersahur buat pertama kalinya setelah terpisah sekian lama. Rendang daging, telur mata kerbau dan nasi antara santapan. Dan juadah dijamu cukup berselera dan paling enak dirasa.

"Perasaan saya masih bercampur-baur. Nak kata gembira sangat pun tak, sedih pun ada

"Dan terkejut melihat anak yang dah besar...ketika saya tinggalkan usianya baru 9 tahun," demikian mukadimah Mat Sah ketika menceritakan perasaannya setelah dibebaskan.

Mat Sah kelihatan agak susut badannya, mengenakan baju t-shirt berwarna putih dan berseluar 'track' hitam begitu tenang menerima kunjungan Harakahdaily seawal jam 9 pagi.

Sambil duduk rapat dan erat dengan anaknya, Suhaib 16 seolah-olah tidak mahu lagi berenggang, Mat Sah dengan nada sebak merasa cukup pilu apabila mengenangkan anaknya itu membesar tanpa ayah.

Dia dipaksa berpisah dengan anaknya, pada April 2002, apabila sepasukan polis dengan kekuatan 20 orang anggota datang menyerbu dan mengeledah isi rumahnya. Habis siling rumah dipecah dan tilam dibongkar. Malah malam yang sama, rumah abangnya juga turut disergah, disepah gara-gara pihak berkuasa menyangka abangnya itu Mat Sah.

Semenjak itu, hanya doa dan gambar menjadi teman di bilik kurungan.

Mat Sah, kemudiannya dikurung secara bersendirian selama tiga tahun, gara-gara isterinya Norlaila Othman begitu lantang memperjuangkan nasib suami dan tahanan yang lain termasuk 'menyerbu' bekas Perdana Mneteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya dengan memo bantahan di tangan.

"Saya dituduh salah akidah. Terlibat JI, KMM, Wahabi dan sabotaj Pelabuhan Klang...dipaksa mengaku salah...

"Kenapa perlu mengaku kerana saya tidak bersalah. Oleh kerana itu, tempoh tahanan saya dilanjutkan setahun ke setahun...," kata Mat Sah dengan nada yang serak dan perlahan.

Selama 8 tahun itu, dia memendam rasa rindu teramat sangat terhadap anak dan isteri namun menguatkan hati yang adakalanya 'kecundang' dengan membasahkan bibir dengan kalimah ayat-ayat suci al-Quran sehingga dapat menghafal banyak surah-surah panjang.

"Kalau terlalu rindu sangat, peluk bantal yang dilekatkan gambar anak...," katanya sambil sesekali menjeling Suhaib.

Beliau menceritakan, tiada aktiviti dan program khusus di Kamunting, tetapi meluangkan masa dengan banyak membaca buku dan bergaul dengan rakan-rakan.

"Pagi-pagi kami disuruh keluar mengadap bendera menyanyi..lepas itu aktiviti sendiri. Cuma enam bulan sekali polis datang soal siasat dan ada masa di bawa ke Kuala Lumpur untuk 'kursus' basuh minda ataupun betulkan akidah.

"Diaorang selalu beritahu pentingnya ISA ini dan harap isteri saya serta GMI akan menghentikan perjuangan. Kata mereka jika, ISA tak ada, Malaysia akan huru hara dalam masa 5 bulan," jelasnya yang sekali-kali tidak setuju dengan pendapat mereka.

Kata Mat Sah, penahanannya sudah jelas menunjukkan ISA tidak adil dan tidak menepati kehendak Islam dan secara berterus-terang tanpa takut memberitahu pegawai-pegawai soal siasat, bahawa Akta itu mesti dimasuhkan.

Beliau pada awalnya tidak menyangka akan dibebaskan kerana sudah 7 kali ditipu oleh pihak berkuasa yang berjanji untuk melepaskkannya setiap tahun menjelang Hari Raya.

Ditanya tentang persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma, Mat Sah tidak mempunyai sebarang perancangan memandangkan beliau perlu menyesuaikan diri dan berehat dengan keluarganya. Norlaila yang disisi kemudiannya mencelah cuba menerangkan realiti pahitnya kepada Harakahdaily.

"Tak buat persiapan apa-apa...apa makna Hari Raya bila suami disekat tak boleh jalan malam, tak boleh keluar kawasan...dan tak boleh balik kampung.

"Baju yang dipakai pun pinjam baju anak...'Mereka' ini semua tak fikir kesusahan orang. Dah bebas pun susahkan orang lagi...yang dia tahu buat peraturan sahaja," kata Norlaila.

Bagi Suhaib, kepulangan Mat Sah sangat dinantikan walaupun terpaksa mengambil masa untuk serasikan diri dengan ayahnya.

"Masa saya kecil, selalu jogging dengan ayah waktu cuti. Zaman kanak-kanak saya telah berlalu begitu sahaja tanpa ayah.

"Dan selepas ini saya terpaksa ambil masa nak bersosial kembali dengan ayah, sebab terlalu lama." kata Suhaib meluahkan isi hati.

Walaupun masih sebak, sesekali Mat Sah sempat bergurau dengan Harakahdaily tentang kematangan dan kedewasaan anaknya Suhaib yang tidak 'sempat' dikecapi dan dilihatnya.

"Saya masih terkejut lagi melihat anak saya ini. Dia membesar tidak ikut kebiasaan, tidak diberi kasih sayang oleh seorang ayah. Tengoklah ni...bulu kaki pun dah tumbuh.." katanya tersenyum.

Sambil itu, Mat Sah turut memberitahu makanan yang paling dirinduinya selama menjadi tahanan di Kamunting ialah Rendang Ayam dan Daging, dan sahur pagi tadi makanan kesukaan itulah menjadi menu hidangan sungguhpun bukan dari masakan isterinya.

"Kalau di Kamunting, masak kari rasa tomyam, masak tom yam rasa ntah apa-apa...

"Cuma adalah kawan-kawan tahanan yang pandai masak...terubat jugalah rasa nak makan sedap," kata bekas kakitangan Dewan Bahasa dan Pusataka itu.

Norlaila yang tidak berkesempatan memasak kerana baru pulang dari Sabah bagi misi menyampaikan sumbangan derma Tabung Harakahdaily untuk 7 buah keluarga mangsa ISA.

Beliau bersama anaknya dan Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman ke negeri bawah bayu itu pada 15 Sepetember lalu dan menerima berita pembebasan suaminya itu melalui panggilan dan sms rakan-rakan media alternatif.

"Tak boleh tidur saya semalam dan pagi ni lagilah tak boleh tidur...

"...sebab baru nak 'berkenalan' dengan orang yang dah hilang lama ni," kata Norlaila tersenyum.

Ketika ditanya apa-apa perubahan isterinya sekembalinya daripada kem itu, Mat Sah kagum dengan isterinya yang menunjukkan komitemen dalam perjuangan menentang ISA dan sudah mula sibuk dengan jemputan dan aktiviti yang dirancang.

"Dari segi cantik, macam biasa jelah...cuma nampak semakin sibuk dan aktif," katanya tersenyum melihat Norlaila yang kelihatan 'geram' dengan usikan suaminya itu.

Buat sementara ini, kata Mat Sah belum sempat untuk berfikir akan akan perancangannya di masa akan datang seperti bekerja kembali apatah lagi dengan sekatan dan peraturan yang dikenakan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini.

"Saya nak berehat dulu... dan mungkin selepas Hari Raya baru nak fikir, berniaga ke atau bekerja semula. Buat masa ini masih nak serasikan diri dulu dengan keluarga," katanya sambil mengakhiri perbualan dan berpelukan dengan krew Harakahdaily.

Hari ini, Mat Sah yang baru 'berkenalan' dengan keluarganya 6 jam lalu, mempunyai jadual padat dengan tetamu, NGO, aktivis dan wakil pihak media yang bakal bertemu untuk mendapat kisah dan ceritanya.

Ternyata, raut ceria dan bahagia terpancar di wajah ketiga-tiga beranak ini dan yang pasti Aidilfitri kali ini cukup beerti dan tidak lagi sunyi...

Harakah

Wednesday, September 16, 2009

Alhamdulillah, Abah dah balik rumah.. - Laila

Panggilan dari Rahim dan rahmah of Malaysiakini amat memeranjatkan saya. Kenapa? Kerana mereka kata Menteri Dalam Negeri kata, Mat Sah antara 5 orang yang akan dibebas dari ISA!!!Beberapa minit lepas itu, telefon saya mendapat panggilan bertalu-talu tanpa henti dari semua bangsa di malaysia. Mesej sms? Beratus-ratus jumlahnya dan ada yang saya beum sempat jawab lagi.

Secara umumnya, dari pembebasan ini, saya ucapkan syukur pada Allah SWT yang akhirnya memberi izin supaya mat sah mendapat kembali kebebasannya setelah 7 tahun 3 bulan dikurung tanpa sebab di Kem Kamunting.Kegembiraan saya adalah berdasarkan 3 perkara berikut:-
1- Mat Sah mendapat kembali kebebasan beliau.
2-Dia dapat bersama keluarganya semula.
3-Dia akan hidup sebagai manusia yang bebas dan merdeka.

Tiada siapa yang akan faham bagaimanakah perasaan keluarga dan dan mangsa ISA dalam situasi begini. 7 tahun yang berlalu tak akan dapat di ganti kembali dengan mudah....namun kami akan cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru ,menerima seseorang yang telah 7 tahun dipisahkan dari kami.

"Tidak sempurna iman seseorang sebelum dia diuji..." Doakanlah saya dan Suhaib akan tetap bersabar dengan apa saja ujian yang bakal mendatang.Kami sudah melepasi ujian perpisahan 7 tahun, dan kami bersedia untuk menghadapai cabaran kehidupan dihari yang selanjutnya....

Laila

Lima tahanan ISA dibebaskan hari ini - mStar

PUTRAJAYA: Lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kesemuanya anggota Jemaah Islamiah Malaysia, dibebaskan petang ini setelah dianggap tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Mereka ialah Abdullah Daud, Mat Sah Mohd Satray, Ahmad Kamil Md Hanapiah, Mohd Nasir Ismail@Hassan dan Muhammad Amir Md Hanapiah.Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dengan pembebasan itu, kini tinggal sembilan lagi tahanan ISA terdiri empat rakyat Malaysia dan masingmasing seorang warga Bangladesh, Pakistan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Pembebasan mereka hari ini untuk memberi mereka peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing. Ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang," katanya kepada pemberita.

Hishammuddin berkata pembebasan kesemua tahanan itu adalah kerana mereka telah menunjukkan respon pemulihan positif sepanjang tempoh pemulihan dan tidak lagi dianggap menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April lepas, beliau mengumumkan pembebasan 19 tahanan Isa manakala pada Mei lepas, seramai 13 tahanan termasuk tiga pemimpin pertubuhan haram Hindraf, telah dibebaskan.

Terdahulu Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan wakilwakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Persatuan Peguam Syarie dan Muslim mengenai pindaan ISA.

"Mereka ingin melihat usaha menambah baik mekanisme supaya akta ini tidak disalah guna atau dilihat sebagai mungkin boleh disalah guna," katanya.

Beliau berkata perbincangan menyentuh mengenai ketelusan ISA, tempoh tahanan serta layanan terhadap tahanan.

"Tetapi dalam pertimbangan mengenai keselamatan negara, semua bersetuju bahawa ISA masih lagi diperlukan selagi belum ada akta baru diperkenalkan untuk memansuhkan ISA," kata Hishammuddin. BERNAMA

mStar

Monday, August 3, 2009

ISA: 17 termasuk MP Pakatan ditahan reman - mStar

KUALA LUMPUR: Seramai 17 orang dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan haram mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara kelmarin dikenakan perintah reman selama dua hari yang akan berakhir hari ini.

Kesemua mereka yang direman itu terdiri daripada 12 lelaki dan lima wanita.

"Bagaimanapun remaja yang berumur 18 tahun ke bawah telah dibebaskan secara berperingkat bermula awal pagi ini," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dalam respons SMS kepada Bernama.

Antara yang direman ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)R. Sivarasa.Seramai 572 individu daripada 589 orang yang ditahan semalam turut dibebaskan hari ini.

"Kesemua 17 individu itu kini ditempatkan di Balai Polis Bukit Jalil untuk menunggu sama ada akan didakwa atau dibebaskan," katanya.

Kesemua mereka yang ditahan itu adalah antara sebahagian 10,000 penyokong Gerakan Mansuh ISA (GMI) yang berhimpun dan berarak secara haram seawal 7 pagi kelmarin untuk menghantar memorandum mansuhkan ISA kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, usaha GMI untuk menghantar memorandum itu menemui kegagalan ekoran ketegasan pasukan keselamatan mengekang rancangan mereka.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 43 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 27 (5) Akta Polis.

mStar

Monday, January 12, 2009

Kenyataan Media Ketua Penerangan: Tahanan 21 Aktivis Tanda BN Hiprokit

Kenyataan Media
9 Januari 2009

Tahanan 21 Aktivis Tanda BN Hiprokit


Kerajaan Barisan Nasional (BN) jelas hiprokit dalam menentang kekejaman rejim Zionis Isreal apabila menahan 21 orang aktivis termasuk ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam perhimpunan anti perang di Kuala Lumpur semalam.

Tindakan kerajaan menahan aktivis yang membantah perang di Palestin dan Sri Lanka mendedahkan pendirian BN sebenarnya memihak kepada rejim Zionis Israel.

Antara ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang ditahan ialah ahli Parlimen Klang Charles Santiago, ahli Parlimen Kuala Langat YB Abdullah Sani dan Adun Kota Damansara YB Dr. Nasir Hashim.

Pendirian kerajaan membantah tindakan kejam Israel terhadap Palestin jelas apabila bersetuju dengan cadangan Pakatan Rakyat pada 7 Januari lalu supaya Parlimen mengadakan sesi khas mengenai serangan Zionis Israel ke atas Gaza, serta membenarkan pelajar universiti menyertai perhimpunan aman bantah perang.

Namun sebelum Parlimen sempat mengadakan sidang khas pada 12 Jan, kerajaan telah melakukan penahanan terhadap mereka yang berhimpun untuk membantah kekejaman Zionis Israel, khususnya tiga orang ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Tangkapan ini tidak wajar sama sekali sekiranya kerajaan benar-benar serius dalam membantah serangan Zionis Isreal, sebaliknya harus memberi ruang kepada masyarakat sivil tanpa mengira latarbelakang politik bagi menyuarakan bantahan, dan bukan menghalang.

Dengan ini kami menyeru agar pengundi Kuala Terengganu menolak calon Barisan Nasional bagi P36 Kuala Terengganu sebagai tanda Tolak Hiprokit BN. (tamat)


TIAN CHUA
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Batu, Wilayah Persekutuan

Tuesday, September 30, 2008

Esok Di Kamunting

Malam ini pintu sel ditutup jam 7.00 petang. Kalau sendirian maka sendirianlah. Maghrib dan tarawikh dalam sel. Takbir didengari dari belakang tembok.

Esok subuh kedengaran azan. Pintu sel di buka jam7.00 pagi. Baju yang itu, yang itu jugalah. Sudah dibasuh dan himpit bantal. Seluar biru dan baju putih.

Kunci pun dibuka. Pegawal sampai. Lalu beratur dari blok ke blok menuju ke masjid. Maka untuk pertama kalinya dapat bertemu dan bersalaman. Maka ternampak muka - muka yang baru dan muka yang lama. Tak puas-puas bertanya khabar. Dari mana dan sel mana. Blok mana dan asal dari mana.

Imam pun berkhutubah diantara kebun-kebun sayur dan bilik-bilik orang salah. Bagitu ramai banduan dan tahanan. Melimpah ruah hingga ke laman. Semuanya berdoa dan berjanji. Si banduan menyesal tak buat lagi. Si tahanan bertekad menguji diri

Maka terigatlah anak dan isteri. Mereka yang lama tidak ke sini.

Habis khutbah beratur lagi. Pulang ke blok untuk menikmati makan. Hari raya menu nya hebat sekali. Ada kueh kek ,pisang dan roti.

Hari ini macam semalam.Hari semalam macam dahulu. Hari dahulu macam 2 bulan dulu. Hari dua bulan dulu macam tiga tahun dahulu. Hari tiga tahun dahulu macam enam tahun dahulu.

Hati berdebar menunggu angka di panggil - 2504!

Di luar dari subuh lagi anak isteri telah beratur. Menunggu giliran untuk bertemu. Nasib baik dapat makan semeja. Kalau tidak dalam bilik pertemuan dipisah oleh jeriji. Tak boleh usik badan tak boleh raba gigi.Nak cium pipi jauh sekali.

Nasib baik banyak saudara yang datang. Ada lemang dan nasi impit. Kalau nasib baik dapat bawa ke dalam sel. Jika ‘ikut arahan’ semua tidak di bolehkan.

Tidak banyak yang hendak di cerita. Mulut penuh lemang sambil hendak mendengar berita tentang si polan dan si anu. Tentang kenduri kahwin dan yang meninggal dunia. Tentang anak sekolah dan periksa tahunan. Tentang duit tak cukup dan sewa rumah. Tentang cari kerja dan pembantu di rumah.

60 minit semua selesai. Maka pulanglah ke dalam sel. Hati berdebar jiwa bersedih. Hati menjadi tabah jiwa bertambah kaseh. Anak dan isteri, ibu dan mertua, kucing dan anjing, pena dan tinta – semua berligar dalam ingatan.

Jam 7.00 sel di tutup. Itu lah berhari raya di Kamunting.


Sumber: Tukar Tiub