Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Bebas. Show all posts
Showing posts with label Bebas. Show all posts

Monday, May 31, 2010

Anwar Tidak Gentar, Cabar Wakil Rakyat Melompat Nafi Terima Sogokan - TVS

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bimbang jika pihak tertentu menuduhnya berbohong mengenai pendedahan tawaran jutaan ringgit kepada Ahli Parlimen dan ADUN PKR untuk belot.

Sambil menyifatkan mereka sebagai khianat kepada amanah rakyat, beliau berkata rakyat akan lebih bijak menilai dan mengetahui hal sebenar apabila pendedahan dibuat.

Anwar yakin ada hikmah di sebalik insiden 'lompat katak' kerana rakyat dapat melihat sendiri kerakusan yang Umno sanggup berbuat apa sahaja termasuk rasuah demi kuasa.

"Tapi ada baiknya, pengajaran maknanya bukti yang nyata. Umno ini caranya rasuah orang, ugut. Tak boleh ugut, beli. Ini dia kekuatan dia. Zahir kekuatan dia nampak hebat tapi dia kosong. Percayalah saudara. Saya lama dalam Umno ni. Saya ada pengalaman. Orang Umno ni, katalah kalau wang dia dah kuran, kuasa tak ada, ranap. Termasuk Umno Kelantan. Dia tak ada kekuatan, semangat juang tidak ada," kata Anwar.

Ketua Pembangkang berkata demikian depan hampir 10 ribu hadirin di ceramah perdana, di Padang Perdana Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di Kelantan.

Anwar hadir sempena Kongres nasional PKR ke 6 yang berlangsung di Kota Bharu dari 28 hingga 30 Mei

"Sekarang saya ada maklumat baru. Apa dia maklumat? Saya tau ni katak-katak yang melompat ni, dapat sekurang-kurangnya 2 juta ringgit. dan kontrak. Saya bagitau malam ni, saya ada keterangan yang cukup untuk mengesahkan orang yang lompat knianat ini terima dari ejen Umno 2 juta ringgit," kata Anwar.

Anwar setakat ini belum membuat pendedahan itu kerana menunggu masa yang sesuai, selain ternanti-nanti sebarang penafian Ahli parlimen yang melompat berkaitan tawaran rasuah itu.

Dalam hal ini, Beliau sempat berseloroh dengan para hadirin

"Pertama saya nak orang-orang Umno dan Najib tuduh saya bohong. Nak bagitau Anwar ni berlawak. Dan saya nak dengar orang-orang yang melompat ni nafi. Kemudian saya bagi macam drama hindustan tiga babak. Biar dia terkejut sedikit. Jangan bimbang saya kata ada, ada. Di mana? saya terlupa di mana tapi ada. Kerana puak penyamun ni akan curi habis bukti jadi tak ada," tegas Anwar.

TVS

Friday, May 28, 2010

Anwar dedah 'wakil paling tadah' jadi jutawan - Malaysiakini

PKR hari ini berkata parti itu mempunyai 'bukti kukuh' bagi menyokong dakwaan bahawa ahli parlimen mereka yang berpaling tadah disogok sekurang-kurangnya RM2 juta dan ditawarkan kontrak kerajaan yang bernilai jutaan ringgit.

Ketua Pembangkang, datuk Seri Anwar umum yang juga ketua umum PKR berkata pendedahan serta bukti yang bakal dikemukakannya akan menunjukkan rasuah politik yang diamalkan oleh pemimpin Umno dan agen-agennya.

“Kami masih menunggu reaksi mereka sebelum mendedahkan maklumat kepada umum. Yang pasti, keterangan tersebut jelas menggemparkan dan akan membuktikan rasuah politik pimpinan Umno dan agen mereka.

“Maklumat tersebut akan didedahkan kepada umum dalam tempoh terdekat inshaAllah,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini, menjelang Kongres Kebangsaan PKR di Kota Bharu, esok.

Sejumlah lima ahli parlimen PKR telah meninggalkan Pakatan Rakyat tahun ini, empat daripda mereka berpaling tadah, manakala seorang lagi dipecat.

Terbaru, ahli parlimen Wangsa Maju, wee Choo Keong mengumumkan tindakannya kelaur parti pada 14 Mei lalu dengan alasan tidak berpuas hati dengan cara kerajaan negeri Selangor menangani rasuah pasir yang dikaitkan dengan anak syarikat kerajaan negeri, Kuala Semesta Sdn Bhd.

Mereka yang lain adalah ahli parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri yang meninggalkan parti pada 3 March, ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng (1 Mac) dan ahli parlimen Bayan Baru Datuk Zahrain Mohd Hashim (12 Feb).

Ahli parimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin pula dipecat pada 6 Mac lalu kerana mengkritik dan membuat laporan polis terhadap rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat.

Awal tajun ini, Anwar membuat permohonan maaf kepada rakyat dan ahli yang menyokong PKR kerana tersilap memilih calon yang tidak berkebolehan bagi bertanding di bawah tiket PKR pada pilihan raya umum 2008 yang lalu.

Katanya, mereka telah menikam parti itu dari belakang.

Pada wawancaranya dengan Malaysiakini, awal minggu ini, Anwar membayangkan beberapa perwakilan parti itu telah 'dibeli' dan menghurai lanjut.

Malaysiakini

Wednesday, May 26, 2010

Setakat ini tiada lagi lompat parti, kata Anwar - Malaysiakini

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat yang diketahuinya, tiada lagi wakil rakyat PKR yang akan melompat parti setakat ini.

"Ya, setakat yang kita tahu (tiada). Tetapi kalau tawarannya naik daripada RM2 juta kepada 5 juta, saya tak tahu. Setakat ini kita dengar keadaan terkawal," katanya menyifatkan 'pamitan ke sebelah sana' (Umno) sudah berlalu.

Beliau yang juga ketua umum PKR berkata, sebagai sebuah parti baru, menjadi lumrah ia diserang kuat - pengalaman yang menurutnya dikongsi bersama oleh DAP dan PKR sebelum ini, termasuk Umno sendiri.

"Malah Umno sebelum ini menyaksikan penghijarahan pemimpin utama, (termasuk) presiden pertama, kedua dan keempatnya.

"Jadi dalam konteks kita (PKR), kalau (musuh) anggap tak boleh pukul saya secara langsung, (mereka) pukul kekuatan (lain) yang ada pada PKR," katanya.

Selepas pilihan raya umum dua tahun lalu, PKR kehilangan tujuh kerusi parlimen (lihat carta bawah). Empat daripadanya akibat tindakan melompat parti, manakala seorang lagi dipecat.

Tindakan melompat parti oleh ADUN PKR - yang kemudiannya mengisytiharkan menjadi "bebas mesra BN" - juga menyumbang ke arah runtuhnya kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di Perak.


Dalam wawancara dengan Malaysiakini awal petang ini, Anwar berulang kali menegaskan bahawa bekas pemimpin PKR yang melompat "dibeli" dan mendedahkan pihaknya kini sudah bersedia dengan pita rakaman.

"Kita sekarang nasihati kawan-kawan kita buat pita rakaman (tawaran melompat parti)," katanya ketika dikunjungi di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Rakam cubaan menyogok

"Rakaman (menunjukkan) kalau disogok dengan wang. Kita cuba dapatkan dengan (pita rakaman) itu. Kalau lapor pada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) tak ada kesan.

"Maknanya, kalau kita ambil rakaman, kita boleh edar pada orang ramai. Saya tak yakin institusi pemerintah akan lakukan apa-apa, kerana ini arahan pimpinan negara."

Katanya, walaupun seorang demi seorang wakil rakyat dan pemimpin PKR sebelum ini melompat parti, sokongan di peringkat akar umbi tidak terjejas kerana mendakwa ia 'dibuat hasil daripada "perjanjian sulit", bukan dengan restu rakyat.

"Macam Bayan Baru (Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim), selain ahli parlimen (itu) tak ada (ikut), yang lain tinggal (bersama parti). Tiada cabang dibubar, tiada pemimpin (bahagian) keluar. Saya tak lihat masalah," katanya.

Sementara itu, Anwar juga menjangkakan isu pemimpinnya yang lompat parti akan dibangkitkan oleh perwakilan parti itu dalam kongres tahunannya yang akan diadakan pada hujung bulan ini.

"Dalam perbahasan (kongres) kita bebas. Dan kita beri ruang. Oleh yang demikian, saya rasa (perkara ini) akan dibangkitkan, wajar dibangkitkan. Saya rasa (mereka) perlu penjelasan," katanya lagi.

Mengakui parti "sedikit terjejas" dengan tindakan beberapa orang wakil rakyatnya, beliau menjangkakan anggota parti itu akan mendesak pucuk pimpinan PKR lebih teliti memilih calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

"Kita akan jelaskan pemilihan (calon) lalu, dengan keadaan terbatas, tak tamai golongan profesional, sarjana dan intelektual sanggup (bertanding), jadi kita pilih yang ada sahajalah.

"Oleh kerana itu, kesannya juga ada," kata ahli parlimen Permatang Pauh.

Anwar berkata, beberapa 'orang yang rapat dengannya', yang kini berpaling menentangnya, hanya bertemu dengannya "setahun dua kali".

"Lagi pun di Malaysia ini, siapa yang tak rapat dengan saya? Cuba beritahu," katanya cuba berjenaka.

Malaysiakini

Tuesday, May 4, 2010

Pilihan raya kecil Sibu mungkin tiga penjuru - Malaysiakini

Pilihan raya kecil parlimen Sibu pada 16 Mei ini mungkin akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng, berkata setakat ini dua set kertas pencalonan telah diambil, satu oleh seorang wakil calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew, dan satu set lagi oleh calon Bebas.

"Calon DAP, Wong Ho Leng, yang dipilih oleh pakatan pembangkang Sarawak untuk bertanding masih belum datang ke pejabat saya untuk mengambil kertas pencalonan," katanya kepada pemberita di Sibu, hari ini.

Terdahulu, Wong menghadiri taklimat yang disampaikan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, kepada pegawai, pilihan raya dan mereka yang terbabit dalam pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil ke-11 sejak pilihan raya umum pada 2008 itu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April di Kuala Lumpur akibat kanser hati.

Sementara itu, Wong berkata sebanyak 45 pusat pengundian akan diadakan dengan yang terkecil di SJK(C) Kai Nang di Ensurai dengan 143 pengundi berdaftar.

"Pusat pengundian terbesar ialah di Tadika Taman Rajang dekat Sibu dengan kira-kira 3,484 pengundi berdaftar.


"Pusat pengundian paling jauh ialah SK Sungai Rasau, kira-kira sejam setengah perjalanan menaiki bot panjang yang mempunyai kira-kira 300 pengundi berdaftar," katanya.

Wong berkata, pusat penamaan calon dan penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Suarah Sibu.

Kerusi Palimen Sibu mempunyai kira-kira 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos.

Mereka termasuk 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

- Bernama

Malaysiakini

Monday, March 29, 2010

Cikgu Jabar gesa wakil Bebas ‘lompat’ letak jawatan - Harakah

SEPANG, 28 Mac: Bekas wakil rakyat Bebas tiga penggal berturut-turut di Dun Batu Laut, Haji Mohd Jabar Mohd Yusof, 73, menggesa wakil Bebas yang lompat parti meletakkan jawatan dan menyerahkan semula kepada rakyat untuk pilihan raya semula.

Beliau ketika ditemui di kediamannya di Batu Laut, dekat sini berkata, amat tidak wajar mereka membawa kerusi itu kerana dipilih rakyat bukan berdasarkan nama peribadi tetapi atas nama parti, dalam hal ini tentulah kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau memenangi kerusi Batu Laut pada tahun 1974, 1978 dan 1982 yang kini dikenali sebagai Tanjung Sepat dan diyakini merupakan rekod sejarah yang belum dapat dipecahkan oleh mana-mana pemimpin bebas di negara ini serta diakui banyak pihak, kemenangan calon Bebas selama tiga penggal berturut-turut adalah yang amat sukar dilakukan.

"Perbezaan antara saya sebagai wakil rakyat Bebas dengan wakil rakyat itu adalah kerana saya memang calon Bebas dalam pilihan raya dan menang manakala mereka pula menang atas nama PKR dan melompat parti untuk menjadi Bebas," tegasnya yang lebih dikenali dengan nama mesra Cikgu Jabar (gambar) kerana menjadi pendidik di situ lebih 20 tahun sejak tamat belajar.

Meskipun setiap wakil rakyat yang melompat itu, ujarnya, mempunyai agenda peribadi tersendiri adalah lebih baik kerusi itu dikembalikan kepada rakyat untuk mereka memilih wakil rakyat baru.

Dalam pertemuan itu, beliau banyak menceritakan pengalamannya semasa berkhidmat kepada rakyat dengan amanah tanpa mengira penduduk di kawasannya dari mana-mana parti, semuanya akan dilayan sama rata dan paling utama adalah keikhlasan setulusnya tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada mereka.

Cikgu Jabar menghimbau kembali detik-detik bersejarah bagaimana beliau menyaksikan sikap Adun-Adun Umno ketika isu pemecatan Datuk Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor ekoran beberapa isu yang menyelubungi suasana dan akhirnya Datuk Harun digugurkan begitu sahaja lantaran sikap dan penyakit bangsa Melayu yang dipusakai sejak zaman Hang Tuah iaitu hasad dengki dan khianat.

"Kerana tiga penyakit inilah kita dapat saksikan bagaimana keadaan orang Melayu sekarang ini jadi begini... Hang Tuah yang kuat membodek diagungkan, Hang Jebat yang membela kematian Hang Tuah pula yang menjadi mangsa konspirasi," jelasnya lagi serius.

Menurutnya, meskipun beliau Bebas tetapi kerana membela nasib Datok Harun di ketika itu, beliau telah didatangi oleh ketua siasatan dari cawangan khas polis setiap minggu selama setahun.

Malah beliau juga mengakui tidak terlepas dari menjadi mangsa ugutan 'kerat, gunikan dan humbankan ke laut, langgar dan diracun' selepas menang penggal pertama dan bersyukur kerana selamat dari semua ujian berat itu selama tiga penggal menjadi wakil rakyat Bebas.

Cikgu Jabar berharap semua rakyat khususnya orang Melayu akan segera menilai semula keadaan semasa dan perkembangan politik yang berlaku dalam negara dan melakukan pilihan terbaik bagi memastikan kesinambungan kejayaan dan keamanan sebenar dapat dijayakan selama-lamanya.

Harakah

Thursday, March 18, 2010

Zahrain Minta Datuk Seri Dari 'Pemimpin Cauvanis Dan Komunis' - TVS

KUALA LUMPUR 18 MAC: Kelancangan melulu Datuk Seri Zahrain Hashim terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, semalam bukan satu yang menghairankan kerana ia datangnya dari seseorang yang hipokrit dan gila pangkat.

Malah, Ahli Parlimen Bayan Baru itu sanggup membelakangi keputusan mesyuarat parti dan secara diam-diam menulis surat kepada Lim Guan Eng bagi memperoleh gelaran Datuk Seri walaupun kemudian melabelkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai cauvinis dan komunis,

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasuition mendedahkan Zahrain pernah mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang yang dihadiri semua wakil rakyat negeri itu dan mengambil ketetapan untuk tidak meminta atau menerima apa- apa gelaran.

Namun dalam diam, bekas Pengerusi Perhubungan Negeri PKR Pulau Pinang itu menulis surat kepada Lim Guan Eng meminta gelaran 'Datuk Seri' biarpun kini mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai komunis.

"Semasa Zahrain mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang, mesyuarat memutuskan semua wakil rakyat Pulau Pinang tidak akan menerima apa-apa gelaran Datuk walaupun ditawarkan.

"Apa yang dia (Zahrain) buat selepas itu? Dia menulis pada Ketua Menteri meminta gelaran tersebut," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Setiausaha Agung PKR itu melabel Zahrain sebagai seorang yang hipokrit dan kini berperanan sebagai tentera baru Umno dan mengibaratkan kecaman Zahrain sebagai 'menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri'.

"Ini karektor dia (Zahrain). Yang menariknya Bayan Baru menulis kepada pemimpin yang dia sendiri label sebagai komunis dan cauvinis semata-mata untuk meminta gelaran," katanya.

TVS

Kita Akan Serang Balik Kenyataan Askar Upahan BN - SK

KUALA LUMPUR 18 Mac - Pakatan Rakyat bertegas tentang kenyataan palsu yang dikeluarkan oleh Zahrain semalam. Demikian kata Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan media di parlimen tengahari tadi.

Pakatan Rakyat tidak akan berdiam diri dan akan membuat serangan balas terhadap kenyataan tersebut dan menggangap isu itu cuba mengelirukan rakyat.

"Kita ada tiga saluran untuk memberi maklum balas terhadap ucapan tersebut sama ada melalui minta laluan, tunggu giliran kita pada minggu depan dan menyerang melalui media.

"Menilai ucapan dan persembahan Zahrain semalam prestasinya naik secara mendadak secara tiba. Sepanjang dia menjadi ahli parlimen, beliau tidak pernah mengambil bahagian berbahas didalam setiap perbahasan samada dalam perbentangan bajet dan juga dewan," ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa sepanjang dua tahun di dalam parlimen, Pakatan Rakyat boleh berdepan dan berbahas dengan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan buka semua ahli parlimen dari BN berani berdepan dengan Pakatan Rakyat.

"Bagi saya kelompok yang keluar parti ini digunakan oleh BN sebagai tentera upahan dalam membuat serangan terhadap Pakatan Rakyat. Ini dapat dilihat dengan kehadiran menteri yang ramai semalam, kita dapat lihat bagaimana persiapan ini dibuat sebelumnya

"Pakatan Rakyat tidak akan merubah daripada berdepan dengan BN sebagai musuh politik utama kita, kita berdepan dengan pembunuh Altantuya, kita berdepan dengan perasuah dan perompak harta rakyat dan kita berdepan dengan kerajaan yang tidak menghormati undang-undang

"Kita akan hadapi tentera upahan ini yang menyekat laluan kita tetapi kita anggap ini sebagai halangan kecil dan fokus Pakatan Rakyat tidak akan berubah. Zahrain digunakan sebagai watak baru yang ditonjolkan oleh BN dalam membongkar segala rahsia dalam Pakatan Rakyat dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Saya nak semua tahu Zahrain terbabit membuat satu lantikan terhadap syarikat RM2 dalam projek pengurusan Bukit Jambul Glof Club dan ini bertentangan polisi competency, accountability and transparency (CAT). Kita nak Zahrain kemukakan dahulu kenapa mesti syarikat yang baru didaftar untuk bersaing dalam mendapat projek yang bernilai hampir RM40juta, kenapa Zahrain memberi sokongan kepada syarikat terbabit jika dia tiada kepentingan kenapa dia bersungguh untuk dapatkan projek tersebut.

"Pada Jun 2009 sewaktu menjadi pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), antara keputusannya semua wakil rakyat KEADILAN tidak akan menerima gelaran Datuk walau ditawarkan tetapi Zahrain menulis kepada Ketua Menteri agar diberikan gelaran Datuk Seri. Dalam hal ini kita dapat lihat sikap beliau yang tidak betul dan bertentangan dengan keputusan mesyuarat tersebut," jelasnya

Saifuddin menegaskan berkenaan 16 September dan tidak menafikan tentang usaha 16 September tetapi kenyataan yang dikeluarkan oleh Zahrain adalah tidak benar.

"Zahrain menyatakan Anwar telah berpakat dengan Timbalan Speaker yang akan membuat undi tidak percaya, untuk makluman timbalan speaker hanya ada dua orang sahaja iaitu Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee, jadi kita akan cabar Zahrain untuk menyatakan siapa timbalan speaker tersebut.

Beliau menegaskan untuk memanggil Yang Di-Pertuan Agong hanya boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan tidak ada orang lain layak.

SK

Friday, March 5, 2010

Akhirnya… Kau Pergi Jua - PerakExpress

Mohsen kini sudah berada di Jakarta. Sebaik saja membuat kenyataan keluar PKR, Mohsen menerima habuan sebanyak satu juta ringgit yang telah disampaikan kepadanya oleh orang perantaraan Umno, iaitu…Dr. Ibrahim Saad. Apakah layak Mohsen bercakap tentang prinsip dan perjuangan mempertahankan ugama sedangkan dia sendiri korup bertuhankan wang?

Dari Umno dia datang..kepada Umno dia kembali. Semalam Mohsen pulak cabut lari.

Tak putus-putus orang telepon dan sms aku pasai apa Mohsen lari. Tak larat nak jawab. Kita cuba bagi tau dia tentang tanggungjawab dia kepada rakyat…tapi kalau dia tak mau dengaq…mampuih pi la.

Semuanya pasai duit. Tok sah dok bagi macam-macam alasan la. Salehudin cabut pasai tak dapat jawatan CEO Perangsang. Zahrain cabut pasai kontrak untuk anak dia kena cancel. Tee Beng tak cukup duit nak bayaq hutang. Mohsen kecewa pasai tak dapat projek.

Semua orang dok kutuk PKR. Semua orang dok kutuk Anwar.
Orang yang mengundi PKR dok kutuk. Member dalam Pakatan pun dok kutuk.

Aku pun cuba kutuk Anwar. Tapi bila Anwar sendiri pun rasa sedih dan sakit hati…aku tak jadi kutuk.

Semasa kempen PRU 12 yang lalu…Anwar berceramah di satu tempat di Penang. Selesai ceramah…seorang perempuan Cina yang sudah berumur datang berjumpa Anwar. “You’re our hope for the future. We may not be around at that time but we want to ensure our children are in good hands. Please look after my children.” Itu yang perempuan Cina tu kata kat Anwar.

Selepas ceramah tu, Anwar pergi ke Bayan Baru tempat Zahrain berceramah. Dan ketika Anwar berucap, dia kata..” Kepercayaan yang Tuan-tuan berikan kepada saya adalah satu amanah yang cukup besar. Dan saya akan memastikan, bahawa mereka yang akan memikul tanggungjawab ini akan melakukan yang terbaik. Dan saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada Zahrain untuk memikul amanah yang Tuan-tuan berikan. Undilah Zahrain sebab dia adalah yang terbaik untuk Bayan Baru.”

Tup-tup Zahrain hilang akai. Dia lupa apa yang dia janjikan kepada rakyat yang mengundi dia. Dia lupa kepada amanah yang diberikan oleh pengundi Bayan baru. Dia mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat.

Tee Beng pun macam tu. Tapi oleh kerana dia orang Penang, aku tak banyak tau tentang dia. Cuma yang aku tau dia kaki judi. Tapi nak buat macam mana? Cara pemilihan calon masa tu main tangkap muat saja.

Tentang Mohsen…dia orang Bagan Serai…orang Perak. Kalau hangpa tanya aku …aku sendiri tak kenai. Kalau jumpa tengah jalan pun aku tak kenai. Tapi pergerakan wakil-wakil rakyat PKR dalam negeri Perak sentiasa dalam radar aku.

Cerita Mohsen nak keluar PKR sudah kedengaran kira-kira sebulan lalu. Alasannya cukup mudah…dia tak cukup duit. Dia komplen, tak diberi jawatan dalam GLC. Serupa macam Salehudin.

Ini semua budaya Umno. Bila jadi YB…kena pegang Pengarah sana..pengarah sini. Yang ni Anwar cuba hapuskan. Masa Umno memerintah, kita kutuk depa. Tapi bila kita memerintah…kita pun nak buat macam depa. Tak ada beza diantara Umno dengan kita!!

Dan apabila dasar ini diperketatkan…ramai la YB PKR yang tak puashati. Dan Umno mengambil kesempatan dari situasi ini.

Mohsen sepatutnya keluar pada 23 hb Feb yang lalu. Pada 19 Feb, aku dapat info dari seorang member yang menghadiri satu ceramah Umno yang disampaikan oleh Hanafiah Man di Batu Gajah. Hanafiah mengatakan bahawa satu sidang media akan diadakan di Ipoh oleh ahli-ahli PKR yang tak puashati terhadap Mustafa Kamil Ayub.

Ramai ahli-ahli PKR dari Sungai Manik sudah ditempah untuk menghadiri sidang media tersebut dan akan diketuai oleh YB Mohsen. Maklumat ini didedahkan dan perancangan mereka terbantut.

Semua perancangan ini dilakukan oleh Fauzi Muda. Ketua Cabang PKR Ipoh Barat. Fauzi Muda juga merupakan orang yang membuat laporan polis mengatakan Najib membayarnya 50 juta. Aku pun heran macam mana PKR masih simpan orang macam ni.

Pada 23 hb Feb, Mohsen baru balik dari Korea Selatan. Bersama-sama dengan Zul Nordin. Bila dia dapat tahu perancangan untuk mengadakan sidang media itu sudah dibocorkan, dia menghilangkan diri. Fauzi Muda tersangat marah dan melontarkan maki hamun kepada orang yang memecahkan rahsia tersebut.

Siapa Fauzi Muda? Ramai yang masih ingat macam mana dia membuat Akuan Bersumpah mengatakan Najib menawarkan 50 juta kepadanya untuk membawa ADUN PKR melompat.

Masa tu aku kutuk dia. Sebab bagi aku…tawaran 50 juta itu bukan perkara penting, tapi hubungan dia dengan Umno itu yang aku pertikaikan.

Fauzi Muda masih menjadi Ketua Cabang PKR Ipoh Barat. Tapi dalam masa yang sama, dia juga mempunyai hubungan rapat dengan ‘Samurai’, Pemuda Umno. Satu team geraksaraf yang ditubuhkan selepas retreat Pemuda Umno di Janda Baik tahun lepas.

Team ‘Samurai’ Pemuda Umno terus mengasak, mengugut dan memujuk ADUN-ADUN dan ahli Parlimen PKR untuk keluar parti. Ia dimulakan sejak Disember 2009 dan di Perak, Team Samurai ini diketuai oleh Hanafiah Man.

Adakah ini hanya propaganda? Atau mencari alasan untuk mengalih perhatian? Tunggu bukti-bukti perancangan yang di lakukan oleh Pemuda Umno dalam siri Polifiksyen esok.

PerakExpress

Wednesday, March 3, 2010

Tee Beng dicabar letak jawatan ahli parlimen - Harakah

NIBONG TEBAL, 3 Mac: Para pendokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nibong Tebal mencabar ahli parlimen kawasan itu, Tan Tee Beng yang keluar parti kelmarin supaya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal.



Timbalan Ketua PKR Cabang Nibong Tebal, Mohd Kamil Abu Bakar berkata, ini kerana rakyat memilih PKR sebagai wakil rakyat dan bukan Tee Beng secara peribadi.

“Beliau juga telah mengkhianati amanah rakyat Nibong Tebal. Oleh itu, kami sekali lagi mencabar Tan Tee Beng, sekiranya beliau anak jantan dan tidak bacul, sila lepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal dengan serta merta bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan,” ujarnya.

Tambahnya, PKR Nibong Tebal bersedia menguburkan karier politik Tee Beng dalam pilihan raya akan datang.

Menurutnya lagi, pengumuman keluar parti oleh Tee Beng memang telah dijangkakan.

Ini kerana, katanya, sepanjang menjadi ahli parlimen, tindak tanduk Tee Beng sering menentang arus perjuangan parti dan semangat permuafakatan dalam Pakatan Rakyat.

“Beliau telah memulakan serangan terhadap Ketua KeADILan Cabang Nibong Tebal dengan berbagai fitnah dalam akhbar berbahasa Cina, begitu juga serangan terhadap Adun Jawi.

“Selepas itu beliau meneruskan pula serangannya terhadap Ahli-ahli Majlis MPSP, seolah-olah hanya beliau sahaja yang tahu menjalankan kerja,” ujarnya.

Untuk pengetahuan semua, kata Mohd Kamil, kehadiran Tee Beng sebenarnya telah memporak-perandakan keharmonian PKR Cabang Nibong Tebal.

Tambahnya lagi, Tee Beng cuba memecah-belahkan ahli parti dan cuba membentuk puak dalam parti, namun kelicikannya dapat dihidu dan dibendung oleh Jawatankuasa PKR Cabang Nibong Tebal.

“Kami pendokong parti bukanlah bodoh untuk diperkotak-katikkan oleh orang seperti Tee Beng. Kami sentiasa teguh di belakang pimpinan PKR Cabang Nibong Tebal.

“Kami mengalu-alukan kepergian Tee Beng kerana beliau langsung tidak memberi manfaat kepada parti. Malah sekiranya masih ada saki baki mereka yang mahu mengikut jejak Tee Beng, parti membuka pintu seluas-luasnya untuk mereka pergi,” katanya.

Harakah

MP Bagan Serai pula umum keluar PKR - Malaysiakini

Ahli parliman Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri hari ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Mohsin (foto), 65, yang dilantik mewakili PKR di kerusi utara Perak adalah ahli parlimen ketiga parti itu yang bertindak keluar parti.

Dua yang lain itu ialah MP Bayan Baru, Zahrain Hashim dan MP Nibong Tebal, Tan Tee Beng.

Pada sidang media, pagi ini di Ampang, Moshin diiringi oleh bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Salehuddin sebelum ini juga muncul pada dua sidang media di mana dua ahli parlimen PKR berkenaan mengumumkan tindakan keluar parti mereka.

Turut keluar PKR ialah bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Mohsin yang pertama kali bertanding mengalahkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin dari Umno dengan majoriti 3,413 undi.

Parlimen Bagan Serai mempunyai 47,111 pengundi berdaftar.

Berikutan ini, jumlah ahli parlimen PKR kini tinggal 27 orang.

Jumlah itu adalah kurang daripada kerusi yang dimiliki oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP.

DAP mempunyai 28 kerusi, manakala PKR sekarang ini memiliki 27 dan PAS 23.

Bagaimanpun pemimpin DAP dan juga PAS semalam memaklumkan mereka akan terus memberi sokongan kepada ketua umum PKR untuk menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.

Isnin lalu, Salehuddin meramalkan, lebih 10 lagi wakil rakyat PKR akan keluar parti itu.

Bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Mohsin berkata beliau bertindak keluar parti kerana tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu Allah.

Menurutnya, beliau telah membangkitkan perkara itu melalui saluran parti tetapi mendakwa ia tidak dihiraukan.

Salehudin pula berkata, PKR tidak seharusnya membuat sebarang pendirian ketika ahli-ahlinya masih bercelaru mengenai isu tersebut.

Beliau mendakwa, keputusan dibuat oleh satu dua orang tanpa dibahaskan.

Keadaan itu, tambahnya, telah menimbulkan kegelisahan di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi.

Malaysiakini

Monday, February 22, 2010

Isteri ADUN Pelabuhan Klang Tuntut Cerai Fasakh - mStar

KLANG: Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mengemukakan tuntutan cerai fasakh di Mahkamah Rendah Syariah di sini pagi ini.

Kes tersebut mula didengar di hadapan hakim syarie, Abdul Hakim Soleh.

Bagaimanapun, Abdul Hakim tidak dapat membuat keputusan hari ini ekoran defendan tidak bersetuju dengan beberapa terma dalam tuntutan tersebut oleh plaintif, Ramizah Mazlan, 39.

mStar

Friday, February 12, 2010

Dikemaskini: Zahrain keluar PKR, jadi MP bebas - Malaysiakini

Ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mengumumkan keluar dari PKR berkuatkuasa serta merta dan menjadi wakil rakyat bebas.

Beliau mengumumkan demikian dalam satu sidang akhbar di ibunegara pagi ini - yang disambut dengan laungan "hidup datuk seri" daripada kira-kira sepuluh penyokongnya yang hadir.

Zahrain berkata, beliau akan menjadi ahli parlimen yang bebas sepenuhnya dan tidak mesra BN.
"Tidak. saya tidak bercakap dengan mana-mana pemimpin BN. Umno atau mana-mana (pihak) tidak timbul.

"Saya berdiri dengan prinsip sendiri sebagai ahli parlimen yang bebas," katanya dalam sidang media ringkas kira-kira 10 minit.

Berikutan itu, beliau mengumumkan meletakkan semua jawatannya dalam PKR berkuatkuasa serta merta.

Zahrain berkata, beliau bertindak demikian kerana hilang sudah kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Mengelakkan "pening kepala"

"Tindakan kerajaan pimpinan Lim Guan Eng membelakangkan prinsip-prinsip keadilan, hak asasi kemanusiaan dan keadilan semulajadi.

"Usaha pengyingkiran saya sebagai Pengerusi (syarikat kerajaan negeri) Island Golf baru-baru ini adalah bukti jelas amalan politik cauvinis, diktatorial dan berfikiran alakomunis," katanya.

Beliau berkata, keputusannya itu juga kerana sudah hilang keyakinan kepada prinsip keadilan yang diperjuangkan oleh PKR.

"Namun keyakinan dan kepercayaan saya hari ini terhakis dan diselubungi keraguan. Malahan keraguan itu telah mengatasi keyakinan saya terhadap matlamat dan perjuangan yang dibawa oleh PKR khasnya dan Pakatan Rakyat khasnya," katanya.

Zahrain juga berkata, ia juga merupakan satu keputusan peribadi dan tidak melibatkan rundingan dengan parti-parti lain.

Tambahnya, walaupun beliau pernah menafikan tindakannya akan keluar parti sebelum ini, tetapi perkara tersebut sentiasa bermain-main dalam fikirannya yang membuatkannya mengambil keputusan itu bagi mengelakkan "pening kepala."

Ditanya sama ada dia akan mencadangkan wakil rakyat PKR yang lain untuk menurut jejak langkahnya, Zahrain menegaskan ini adalah tindakan peribadinya dan dia tidak terlibat untuk memujuk orang lain.

Bekas SUA PKR turut hadir

Ditanya sama ada tindakan beliau disebabkan oleh pembelian ahli parlimen Pakatan seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibarahim, beliau berkata: "Tidak ada beli apa".

Beliau kemudiannya bertanya kembali "16 September itu apa cerita? Saya pun kecewa dengan 16 September (tidak berjaya), tidak timbul isu beli-membeli...," katanya.

Walaupun kecewa dengan Anwar, beliau menegaskan pemimpin tersebut masih merupakan seorang kawannya.

Walaupun pada mulanya Zahrain hanya membenarkan dua soalan diajukan kepadanya, tetapi asakan bertubi-tubi daripada kira-kira 50 pemberita membuatkan beliau akur dan tidak dapat menepisnya.

Turut bersamanya dalam sidang akhbar pagi ini ialah bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehudin Hashim.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita berhubung kehadiran dan pendirian politiknya atas alasan "ini bukan sidang media saya."

"Ini (Zahrain) kawan saya," katanya yang sering dilabelkan sebagai penyokong setia Anwar sebelum ini.

Malaysiakini

Friday, September 18, 2009

Setelah 6 jam Mat Sah bersua isteri, anak tercinta... - Harakah

KUALA LUMPUR, 17 Sept: Kali ini giliran Mat Sah Mohd Satray, 46 pula menitiskan air mata. Begitu hening pagi tadi tatkala melihat kelibat isteri dan anaknya yang telah ditinggalkan secara paksa selama hampir 8 tahun.

Mereka baru bersua jam 2 pagi tadi sehinggalah sekarang, masih tidak tidur lagi. Perasaan mereka bertiga anak beranak masih bercampur baur. Gembira, sayu dan terasa janggal pun ada. Tidak terbit kata-kata pada awalnya. Masing-masing melayan perasaan.

Tepat jam 5 pagi, tiga beranak ini bersahur buat pertama kalinya setelah terpisah sekian lama. Rendang daging, telur mata kerbau dan nasi antara santapan. Dan juadah dijamu cukup berselera dan paling enak dirasa.

"Perasaan saya masih bercampur-baur. Nak kata gembira sangat pun tak, sedih pun ada

"Dan terkejut melihat anak yang dah besar...ketika saya tinggalkan usianya baru 9 tahun," demikian mukadimah Mat Sah ketika menceritakan perasaannya setelah dibebaskan.

Mat Sah kelihatan agak susut badannya, mengenakan baju t-shirt berwarna putih dan berseluar 'track' hitam begitu tenang menerima kunjungan Harakahdaily seawal jam 9 pagi.

Sambil duduk rapat dan erat dengan anaknya, Suhaib 16 seolah-olah tidak mahu lagi berenggang, Mat Sah dengan nada sebak merasa cukup pilu apabila mengenangkan anaknya itu membesar tanpa ayah.

Dia dipaksa berpisah dengan anaknya, pada April 2002, apabila sepasukan polis dengan kekuatan 20 orang anggota datang menyerbu dan mengeledah isi rumahnya. Habis siling rumah dipecah dan tilam dibongkar. Malah malam yang sama, rumah abangnya juga turut disergah, disepah gara-gara pihak berkuasa menyangka abangnya itu Mat Sah.

Semenjak itu, hanya doa dan gambar menjadi teman di bilik kurungan.

Mat Sah, kemudiannya dikurung secara bersendirian selama tiga tahun, gara-gara isterinya Norlaila Othman begitu lantang memperjuangkan nasib suami dan tahanan yang lain termasuk 'menyerbu' bekas Perdana Mneteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya dengan memo bantahan di tangan.

"Saya dituduh salah akidah. Terlibat JI, KMM, Wahabi dan sabotaj Pelabuhan Klang...dipaksa mengaku salah...

"Kenapa perlu mengaku kerana saya tidak bersalah. Oleh kerana itu, tempoh tahanan saya dilanjutkan setahun ke setahun...," kata Mat Sah dengan nada yang serak dan perlahan.

Selama 8 tahun itu, dia memendam rasa rindu teramat sangat terhadap anak dan isteri namun menguatkan hati yang adakalanya 'kecundang' dengan membasahkan bibir dengan kalimah ayat-ayat suci al-Quran sehingga dapat menghafal banyak surah-surah panjang.

"Kalau terlalu rindu sangat, peluk bantal yang dilekatkan gambar anak...," katanya sambil sesekali menjeling Suhaib.

Beliau menceritakan, tiada aktiviti dan program khusus di Kamunting, tetapi meluangkan masa dengan banyak membaca buku dan bergaul dengan rakan-rakan.

"Pagi-pagi kami disuruh keluar mengadap bendera menyanyi..lepas itu aktiviti sendiri. Cuma enam bulan sekali polis datang soal siasat dan ada masa di bawa ke Kuala Lumpur untuk 'kursus' basuh minda ataupun betulkan akidah.

"Diaorang selalu beritahu pentingnya ISA ini dan harap isteri saya serta GMI akan menghentikan perjuangan. Kata mereka jika, ISA tak ada, Malaysia akan huru hara dalam masa 5 bulan," jelasnya yang sekali-kali tidak setuju dengan pendapat mereka.

Kata Mat Sah, penahanannya sudah jelas menunjukkan ISA tidak adil dan tidak menepati kehendak Islam dan secara berterus-terang tanpa takut memberitahu pegawai-pegawai soal siasat, bahawa Akta itu mesti dimasuhkan.

Beliau pada awalnya tidak menyangka akan dibebaskan kerana sudah 7 kali ditipu oleh pihak berkuasa yang berjanji untuk melepaskkannya setiap tahun menjelang Hari Raya.

Ditanya tentang persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma, Mat Sah tidak mempunyai sebarang perancangan memandangkan beliau perlu menyesuaikan diri dan berehat dengan keluarganya. Norlaila yang disisi kemudiannya mencelah cuba menerangkan realiti pahitnya kepada Harakahdaily.

"Tak buat persiapan apa-apa...apa makna Hari Raya bila suami disekat tak boleh jalan malam, tak boleh keluar kawasan...dan tak boleh balik kampung.

"Baju yang dipakai pun pinjam baju anak...'Mereka' ini semua tak fikir kesusahan orang. Dah bebas pun susahkan orang lagi...yang dia tahu buat peraturan sahaja," kata Norlaila.

Bagi Suhaib, kepulangan Mat Sah sangat dinantikan walaupun terpaksa mengambil masa untuk serasikan diri dengan ayahnya.

"Masa saya kecil, selalu jogging dengan ayah waktu cuti. Zaman kanak-kanak saya telah berlalu begitu sahaja tanpa ayah.

"Dan selepas ini saya terpaksa ambil masa nak bersosial kembali dengan ayah, sebab terlalu lama." kata Suhaib meluahkan isi hati.

Walaupun masih sebak, sesekali Mat Sah sempat bergurau dengan Harakahdaily tentang kematangan dan kedewasaan anaknya Suhaib yang tidak 'sempat' dikecapi dan dilihatnya.

"Saya masih terkejut lagi melihat anak saya ini. Dia membesar tidak ikut kebiasaan, tidak diberi kasih sayang oleh seorang ayah. Tengoklah ni...bulu kaki pun dah tumbuh.." katanya tersenyum.

Sambil itu, Mat Sah turut memberitahu makanan yang paling dirinduinya selama menjadi tahanan di Kamunting ialah Rendang Ayam dan Daging, dan sahur pagi tadi makanan kesukaan itulah menjadi menu hidangan sungguhpun bukan dari masakan isterinya.

"Kalau di Kamunting, masak kari rasa tomyam, masak tom yam rasa ntah apa-apa...

"Cuma adalah kawan-kawan tahanan yang pandai masak...terubat jugalah rasa nak makan sedap," kata bekas kakitangan Dewan Bahasa dan Pusataka itu.

Norlaila yang tidak berkesempatan memasak kerana baru pulang dari Sabah bagi misi menyampaikan sumbangan derma Tabung Harakahdaily untuk 7 buah keluarga mangsa ISA.

Beliau bersama anaknya dan Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman ke negeri bawah bayu itu pada 15 Sepetember lalu dan menerima berita pembebasan suaminya itu melalui panggilan dan sms rakan-rakan media alternatif.

"Tak boleh tidur saya semalam dan pagi ni lagilah tak boleh tidur...

"...sebab baru nak 'berkenalan' dengan orang yang dah hilang lama ni," kata Norlaila tersenyum.

Ketika ditanya apa-apa perubahan isterinya sekembalinya daripada kem itu, Mat Sah kagum dengan isterinya yang menunjukkan komitemen dalam perjuangan menentang ISA dan sudah mula sibuk dengan jemputan dan aktiviti yang dirancang.

"Dari segi cantik, macam biasa jelah...cuma nampak semakin sibuk dan aktif," katanya tersenyum melihat Norlaila yang kelihatan 'geram' dengan usikan suaminya itu.

Buat sementara ini, kata Mat Sah belum sempat untuk berfikir akan akan perancangannya di masa akan datang seperti bekerja kembali apatah lagi dengan sekatan dan peraturan yang dikenakan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini.

"Saya nak berehat dulu... dan mungkin selepas Hari Raya baru nak fikir, berniaga ke atau bekerja semula. Buat masa ini masih nak serasikan diri dulu dengan keluarga," katanya sambil mengakhiri perbualan dan berpelukan dengan krew Harakahdaily.

Hari ini, Mat Sah yang baru 'berkenalan' dengan keluarganya 6 jam lalu, mempunyai jadual padat dengan tetamu, NGO, aktivis dan wakil pihak media yang bakal bertemu untuk mendapat kisah dan ceritanya.

Ternyata, raut ceria dan bahagia terpancar di wajah ketiga-tiga beranak ini dan yang pasti Aidilfitri kali ini cukup beerti dan tidak lagi sunyi...

Harakah

Wednesday, September 16, 2009

Alhamdulillah, Abah dah balik rumah.. - Laila

Panggilan dari Rahim dan rahmah of Malaysiakini amat memeranjatkan saya. Kenapa? Kerana mereka kata Menteri Dalam Negeri kata, Mat Sah antara 5 orang yang akan dibebas dari ISA!!!Beberapa minit lepas itu, telefon saya mendapat panggilan bertalu-talu tanpa henti dari semua bangsa di malaysia. Mesej sms? Beratus-ratus jumlahnya dan ada yang saya beum sempat jawab lagi.

Secara umumnya, dari pembebasan ini, saya ucapkan syukur pada Allah SWT yang akhirnya memberi izin supaya mat sah mendapat kembali kebebasannya setelah 7 tahun 3 bulan dikurung tanpa sebab di Kem Kamunting.Kegembiraan saya adalah berdasarkan 3 perkara berikut:-
1- Mat Sah mendapat kembali kebebasan beliau.
2-Dia dapat bersama keluarganya semula.
3-Dia akan hidup sebagai manusia yang bebas dan merdeka.

Tiada siapa yang akan faham bagaimanakah perasaan keluarga dan dan mangsa ISA dalam situasi begini. 7 tahun yang berlalu tak akan dapat di ganti kembali dengan mudah....namun kami akan cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru ,menerima seseorang yang telah 7 tahun dipisahkan dari kami.

"Tidak sempurna iman seseorang sebelum dia diuji..." Doakanlah saya dan Suhaib akan tetap bersabar dengan apa saja ujian yang bakal mendatang.Kami sudah melepasi ujian perpisahan 7 tahun, dan kami bersedia untuk menghadapai cabaran kehidupan dihari yang selanjutnya....

Laila

Lima tahanan ISA dibebaskan hari ini - mStar

PUTRAJAYA: Lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kesemuanya anggota Jemaah Islamiah Malaysia, dibebaskan petang ini setelah dianggap tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Mereka ialah Abdullah Daud, Mat Sah Mohd Satray, Ahmad Kamil Md Hanapiah, Mohd Nasir Ismail@Hassan dan Muhammad Amir Md Hanapiah.Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dengan pembebasan itu, kini tinggal sembilan lagi tahanan ISA terdiri empat rakyat Malaysia dan masingmasing seorang warga Bangladesh, Pakistan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Pembebasan mereka hari ini untuk memberi mereka peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing. Ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang," katanya kepada pemberita.

Hishammuddin berkata pembebasan kesemua tahanan itu adalah kerana mereka telah menunjukkan respon pemulihan positif sepanjang tempoh pemulihan dan tidak lagi dianggap menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April lepas, beliau mengumumkan pembebasan 19 tahanan Isa manakala pada Mei lepas, seramai 13 tahanan termasuk tiga pemimpin pertubuhan haram Hindraf, telah dibebaskan.

Terdahulu Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan wakilwakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Persatuan Peguam Syarie dan Muslim mengenai pindaan ISA.

"Mereka ingin melihat usaha menambah baik mekanisme supaya akta ini tidak disalah guna atau dilihat sebagai mungkin boleh disalah guna," katanya.

Beliau berkata perbincangan menyentuh mengenai ketelusan ISA, tempoh tahanan serta layanan terhadap tahanan.

"Tetapi dalam pertimbangan mengenai keselamatan negara, semua bersetuju bahawa ISA masih lagi diperlukan selagi belum ada akta baru diperkenalkan untuk memansuhkan ISA," kata Hishammuddin. BERNAMA

mStar

Suami aktivis anti-ISA dibebaskan - Malaysiakini

Suami aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Norlaila Othman bersama empat lagi tahanan akan dibebaskan dari kem perlindungan Kamunting, Taiping petang ini.

Dalam pengumumannya di Putrajaya hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kelima-limanya dibebaskan selepas kementerian mendapati mereka menunjukkan pemulihan yang positif dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Mat Sah Mohd Satray bersama empat lagi tahanan Akta Keselematan Dalam Negeri (ISA) itu dituduh terlibat dengan gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Mat Sah (foto), yang pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, ditahan pada April 2002 atas tuduhan terlibat dengan gerakan Islam itu.

Turut dibebaskan, Dr Abdullah Daud, seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang ditahan 3 Jan 2002.

Tiga lagi yang turut dibebaskan: Mohd Nasir Ismail @ Hassan, Ahmad Kamil Md Hanapiah dan Muhammad Amir Md Hanapiah.

Ketiga-tiganya ditahan di kem Kamunting mulai 30 Mei 2007.

Dalam sidang medianya, menurut Bernama, Hishammuddin menafikan pembebasan mengejut ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada awal bulan depan.

"Pembebasan mereka hari ini untuk memberi mereka peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

"Ia tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya kecil Bagan Pinang," beliau dipetik berkata.

Tambahnya, dengan pembebasan itu, kini tinggal sembilan lagi tahanan ISA - empat rakyat Malaysia dan masing-masing seorang warga Bangladesh, Pakistan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April lepas, beliau mengumumkan pembebasan 19 tahanan ISA.

Manakala pada Mei lepas, seramai 13 tahanan termasuk tiga pemimpin pertubuhan haram Hindraf, telah dibebaskan.

Menurut agensi berita itu lagi, terdahulu Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Persatuan Peguam Syarie mengenai pindaan akta itu.

Beliau dipetik berkata perbincangan menyentuh mengenai ketelusan ISA, tempoh tahanan serta layanan terhadap tahanan.

"Tetapi dalam pertimbangan mengenai keselamatan negara, semua bersetuju bahawa ISA masih lagi diperlukan selagi belum ada akta baru diperkenalkan untuk memansuhkan ISA," kata Hishammuddin lagi.

Sementara itu, sebagai reaksi segera, Norlaila yang terkejut dengan pembebasan Mat Sah tetap menyatakan kesyukurannya.

"Syukur kepada Allah dan (saya) nak berkongsi rasa gembira ini dengan semua rakyat Malaysia yang selama ini menyokong perjuangan saya dan GMI," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej SMS.

Beliau yang kini berada di Sabah tidak dimaklumkan lebih awal tentang permbebasan suaminya itu.

Norlaila menambah, beliau berharap akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkara tersebut setelah kembali ke Kuala Lumpur malam esok.

Malaysiakini

Friday, June 26, 2009

ADUN Aulong saman Timbalan Speaker DUN Perak - mStar

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Yew Tian Hoe memfailkan saman terhadap Timbalan Speaker DUN Perak, Hee Yit Foong yang didakwa menyerangnya dengan semburan lada semasa sidang DUN 7 Mei lalu.

Yew memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11.15 pagi tadi.

Yew mendakwa, berikutan serangan itu, beliau mendapat kecederaan di mata kiri, kejutan mental, trauma, penghinaan umum dan kemurungan.

Beliau memohon injunksi untuk menghalang Hee yang juga ADUN Jelapang, kerosakan tauladan dan kos.

Hee sebelum ini berkata, penyembur lada yang didakwa telah digunakan untuk menyerang Yew itu bukan miliknya, sebaliknya telah dilontarkan ke arah beliau ketika pergaduhan semasa sidang DUN awal bulan lalu.

Malah Hee berkata, beliau tidak tahu cara menggunakan penyembur lada itu dan menyerahkan kepada Yew untuk membuat tuntutan sekiranya beliau adalah orang yang melontarkan penyembur lada itu kepadanya.

mStar

Monday, June 1, 2009

PENANTI: Reaksi calon Bebas tewas - mStar

BERIKUT ialah reaksi kesemua calon Bebas yang tewas dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti.

AMINAH ABDULAH (BEBAS)

"Kak Min (Aminah) menerima keputusan ini dengan hati terbuka, Kak Min sedikit pun tak rasa kecewa dengan keputusan ini.

"Bagi Kak Min, keputusan ini ialah seperti kalah dalam kemenangan... Kak Min menang kerana berjaya mengurangkan peratusan undi yang dimenangi oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat).

"Bagi Kak Min, jumlah orang keluar mengundi yang kecil ini ialah kerana penyokong Umno tidak keluar mengundi.

"Insya-Allah Kak Min akan cuba lagi pada masa-masa akan datang jika dipanjangkan umur, jumlah undi yang Kak Min terima pun taklah kecil sangat, nampaknya ada juga yang menyokong Kak Min."

NAI KHAN ARI (BEBAS)

"Saya tidaklah terlalu kecewa, tapi saya rasa sedikit kecewa kerana kalah di kampung saya sendiri iaitu di peti undi Telok Wang dan Sungai Lembu.

"Walau bagaimanapun saya menerima keputusan ini kerana pengundi telah membuat keputusan mereka untuk memilih pemimpin.

"Saya harap kepada Mansor (Othman) yang menang supaya dapat membantu rakyat dengan menumpukan kepada pembangunan di Penanti.

"Kalau ada peluang nanti, mungkin saya akan mencuba nasib pada masa yang lain, tapi matlamat saya ialah untuk membantu rakyat."

KAMARUL RAMIZU IDRIS (BEBAS)

"Nampaknya dari jumlah undi yang saya dapat, jelas menunjukkan masyarakat di sini menolak konsep keimanan yang ingin saya bawa.

"Mereka lebih mahukan pembangunan yang dijanjikan oleh calon-calon lain... bagaimanapun saya tidak akan berputus asa dengan matlamat saya untuk menubuhkan Parti Iman SeMalaysia.

"Ini adalah kekalahan saya kali kedua selepas Parlimen Bukit Gantang, saya terima keputusan ini dengan hati terbuka tanpa rasa kecewa."

mStar

Keputusan Rasmi Pilihanraya Kecil DUN Penanti

Dr. Mansor Othman (PKR) - 6,052
Aminah Abdullah (Bebas) - 392
Khan Ari (Bebas) - 494
Kamarul Ramizu Idris (Bebas) - 56

Dr. Mansor Othman PKR
Majoriti - 5558

Thursday, May 28, 2009

Zahrain: Semua dakwaan Aminah satu pembohongan - mStar

PULAU PINANG: Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Zahrain Mohamed Hashim semalam menyifatkan segala tuduhan dan dakwaan Aminah Abdullah mengenai parti itu dan dirinya sebagai pembohongan semata-mata.

Katanya calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti itu cuba mengalihkan fokus sebenar pilihan raya itu dengan mereka pelbagai cerita bertujuan memburukkan imej parti.

"Dia sepatutnya tumpu kepada pilihan raya kecil ini dan ceritalah apa yang hendak dilakukannya untuk penduduk Penanti, bukan buat cerita yang bukan-bukan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Beliau yakin tindakan Aminah mereka cerita kononnya berlaku satu peristiwa di sebuah hotel di Jawi, Nibong Tebal dua tahun lalu ada kaitan dengan perasaan tidak puas hati kerana beliau menggantikan Aminah dengan orang lain sebagai Ketua Wanita PKR negeri.

Sehubungan itu, katanya beliau tidak akan membuang masa dengan melayani dakwaan serta tohmahan Aminah itu dan beliau juga tidak teragakagak untuk mengambil tindakan undang-undang jika perkara ini berlarutan dan Aminah terus memburuk-burukkan namanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Aminah untuk membuat satu lagi pendedahan baru yang berkaitan secara langsung dengan Zahrain dalam masa terdekat mengenai peristiwa yang berlaku di sebuah hotel di Jawi, Nibong Tebal pada 2007.

Sebelum ini, Aminah mendakwa wakil PKR cuba menyogok wang tunai dan jawatan sekiranya beliau menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya berkenaan.BERNAMA

mStar