Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label MCA. Show all posts
Showing posts with label MCA. Show all posts

Thursday, April 8, 2010

Ketua Wanita MCA letak jawatan parti, k'jaan - Malaysiakini

Datin Paduka Chew Mei Fun hari ini mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Ketua Wanita MCA.

Serentak dengan peletakan jawatan itu, Chew juga berkata dia akan melepaskan jawatan timbalan menteri wanita dan pembangunan masyarakat yang disandangnya.

Beliau juga mengumumkan akan melepaskan jawatan senator.

Pada pemilihan parti itu pada 28 Mac lalu, Chew berikrar akan melepaskan semua jawatannya jika perwakilan MCA memilih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang terbabit dengan skandels seks DVD dilantik sebagai presiden.

Chua berjaya menumbangkan presiden ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting dengan majoriti yang tipis.

Reaksi spontan Chew pada malam keputusan itu ialah beliau akan menagguhkan sebarang pengumuman sehingga Jawatankuasa Pusat Pergerakan Wanita MCA bermesyuarat.

Mesyuarat itu berlangsung hari ini.

Menjelang tengah hari, ratusan penyokongnya tiba di Wisma MCA, Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Chew.

Antara sepanduk dan kain rentang yang dibawa mereka, tertera "Berpegang kepada prinsip demi maruah wanita".

Semasa Chew tiba, penyokongnya terus melaungkan "Kami sokong anda", "Kami perlukan anda" dan "Jangan letak jawatan!".

Sokongan padu itu menyaksikan Chew menitiskan air mata. Beliau kemudiannya menghabiskan kira-kira 30 minit dengan penyokongnya sebelum menuju ke tingkat enam untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

Malaysiakini

Wednesday, April 7, 2010

Konvensyen BN, wakil MCA bertindak keluar dewan - Malaysiakini

Usaha Barisan Nasional untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat dengan agenda konvensyennya di Shah Alam, hari ini menerima tamparan apabila 15 perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu.

Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai yang dihubungi melalui telefon berkata antara punca tidak puas hati mereka ialah kerana MCA dianak-tirikan pada konvensyen berkenaan.

Antaranya, hanya lagu BN dan Umno dinyanyikan sedangkan lagu parti komponen lain tidak diendahkan.

“Konvesyen itu dianjurkan oleh BN, jadi menyanyikan laguUmno tidak mencerminkan semangat BN dan juga 1Malaysia,” kata Song lagi.

Selain itu, katanya, hanya tetamu dan pemimpin utama dari Umno yang dijemput duduk di pentas utama. Mereka termasuk Datuk Mohd Zin, Datuk Seri Noh Omar, Shafei Abdullah dan seorang lagi.

Tiada tetamu ataupun pemimpin parti komponen lain yang dijemput ke pentas utama.

Menurut Song apa yang menghangatkan lagi suasana ialah ketika ucapannya, Noh Omar yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor berkata orang Melayu telah banyak berkorban demi rakan-rakan bukan Melayu.

Menurut Noh, rakyat bukan Melayu sepatutnya berterima-kasih kerana diberikan kerakyatan.

Noh Omar juga memetik ucapan daripada presiden keempat MCA, Tun Tan Siew Sin dan presiden kelima MIC, Tun VT Sambathan pada zaman era tahun 1960an yang memuji Umno kerana memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu.

Song berkata bahagiannya menganggap ucapan Noh itu satu penghinaan kepada masyarakat Cina dan India di negara ini.

Di sebalik memulaukan sebahagian besar aktiviti konvensyen itu, Song dan ahli-ahlinya akan kembali petang ini untuk menghadiri pelancaran kempen 'BN Mampu Berubah, Sayangi Selangor Yakini BN dan Selangor Take Over Plan (STOP) PRU 13.

Sementara itu, setiausaha agung MIC, S Murugesan juga melahirkan rasa kurang senang kerana tiada pemimpinnya diletakkan di pentas utama.

"Nampaknya mereka seperti tidak menghormati kami,” katanya.

Bagaimanapun katanya, aduan sudah disampaikan kepada pengerusi penganjur, Mohd Zin yang berjanji memperbetulkan keadaan.

"Mereka telah meletakkan kerusi tambahan di pentas dan berjanji kepada saya bahawa lagu Umno tidak akan dinyanyikan pada sessi petang apabila Perdana Menteri, Najib Razak tiba.

"Jadi buat masa ini, saya tiada masalah,” katanya.

Malaysiakini

Monday, March 29, 2010

Chua: Tugas kita bermula hari ini... - Malaysiakini

Presiden MCA yang baru, Datuk Seri Chua Soi Lek berkata keputusan hari ini merupakan permulaan untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh perwakilan.

"(Kita) akan bergerak ke hadapan secara inklusif dan kolektif. Tugas kita baru bermula pada hari ini," katanya dalam sidang media sejurus selepas keputusan diumumkan.

Tambahnya, anggota parti perlu menghargai presiden terdahulu - Datuk Seri Ong Tee Keat dan Tan Sri Ong Ka Ting.

Katanya lagi, beliau berharap kedua-dua tokoh berkenaan akan terus memberi nasihat berkaitan hal parti, dan beliau juga sedia mendengar nasihat berkenaan demi mengukuhkan MCA.

Sementara itu, seorang naib presidennya, Ng Yen Yen berkata kemenangan beliau serta tiga yang lain - Datuk Donald Lim Siang Chai, Datuk Chor Chee Heung dan Gan Ping Sieu - merupakan gandingan hebat kepada parti.

"Apa yang penting selepas ini adalah bekerja bersama-sama untuk memastikan kesatuan dalam parti," katanya kepada wartawan selepas keputusan diumumkan malam ini.

Katanya lagi, beliau tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan presiden, timbalan dan naib presiden yang lain.

Beliau juga menyeru Lim, Chor dan Gan untuk bersama-sama memastikan proses menyatupadukan MCA walaupun masing-masing daripada kem berbeza.

"Ini adalah adat pertandingan... Ini adalah apa yang perwakilan mahu," katanya lagi yang gembira dengan keputusan pemilihan hari ini.

Sementara itu, ketua pemuda parti itu Datuk Wee Ka Siong berkata keputusan hari ini merupakan keputusan perwakilan dan ianya perlu dihormati.

"(Keputusan) ini bukan tentang pandangan peribadi, sama ada anda suka seseorang itu atau tidak," katanya kepada wartawan di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai perbalahan antara puak dalam parti itu, beliau berkata keputusan perwakilan hari ini adalah untuk menghalang puak tertentu mendominasi jawatankuasa pusat.

“Sebelum pemilihan tentulah kempen boleh jadi agresif. Mesej yang paling signifikan yang dihantar oleh perwakilan ialah mereka tidak mahu melihat mana-mana kumpulan untuk mendominasi jawatankuasa pusat.

'Sebab itulah anda lihat pemimpin-pemimpin berbeza, sekarang mereka mahukan pasukan MCA.

“Suka atau tidak, kita (sekarang) terpaksa bekerjasama. Inilah mandat yang diberikan oleh perwakilan dan kita perlu bekerjasama untuk kebaikan parti," tambahnya.

Keputusan pemilihan MCA hari ini memperlihatkan mereka yang menang, merupakan campuran penyokong kepada Chua, Ka Ting dan Tee Keat.

Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menang jawatan timbalan presiden, merupakan regu kepada Ka Ting, manakala bagi naib presiden pula, Dr Ng dikaitkan dengan Chua, Chor (Ka Ting), Gan (Tee Keat) manakala Donald Lim dilihat tidak memihak.

Manakala pemenang kerusi jawatankuasa pusat juga merupakan campuran penyokong yang terdiri daripada sebelas penyokong Chua, Ka Ting (9) dan Tee Keat (5).

Ketika sidang akhbar itu berlangsung, Tiong Lai muncul dan memberi ucapan ringkas mengucapkan tahniah pada presiden baru dan kepimpinannya.

Turut hadir ialah ialah Yen Yen, Ping Sieu, Chor, Donald Lim dan Ka Siong.

Bagaimanapun Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun tidak kelihatan. Chew sebelum ini berikrar untuk meletak jawatannya dalam parti jika Chua menang dipilih sebagai presiden.

Ditemui selepas keputusan diumumkan, Chew berkata, beliau akan membuat satu pengumuman pada 2 April ini selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat pergerakan Wanita MCA.

"Saya tidak mahu merosakkan saat gembira yang kita raikan sekarang," katanya.

Reaksi Ka Ting

Sementara itu, Ka Ting pula berkata, beiau menghormati keputusan para perwakilan dan menerima kekalahannya.

Beliau berharap semua ahli parti itu akan berkongsi sentimen yang sama.

"Saya akan kembali semua kepada kehidupan (bersara sebagai presiden MCA) yang telah saya sesuai dengan diri saya. Saya juga akan meneruskan khidmat saya sebagai ahli parlimen," katanya.

Reaksi Tee Keat

Sementara itu, Tee Keat pula memberithu pemberita bahawa beliau merasa tenang dan juga tidak terperanjat dengan keputusan hari ini.

Sejurus selepas itu, Tee Keat berikrar akan terus mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Katanya, selagi beliau menjadi ahli parlimen beliau tidak akan melepaskannya isu PKFZ.

Tee Keat memulakan siasatan terhadap projek PKFZ yang mengalami kerugian besar selepas diantik sebagai menteri pengangkutan pada 2008.

Malaysiakini

Tuesday, March 23, 2010

ADUN BN Titi Tinggi letak jawatan - Malaysiakini

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi dari MCA, Yip Sun Onn telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yazid Mat semalam.

Yazid mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam suratnya itu, kata beliau, Yip berkata peletakannya itu adalah serta merta.

"Dalam suratnya, Yip berkata beliau bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat," katanya.

Akhbar berbahasa Cina sebelum ini melaporkan yang Yip tidak berpuas hati apabila beliau digugur daripada menjadi exco negeri baru-baru ini.

Yip merupakan exco tunggal MCA dalam kerajaan negeri - memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan - dan satu-satunya exco yang digugur pada 19 Mac lalu.

Tempatnya digantikan oleh ADUN Indera Kayangan, Dr Por Choo Cho. Beliau juga merupakan setiausaha MCA Perlis.

Mengulas lanjut, Yazid berkata kedudukan Yip belum diputuskan lagi "dan masih dalam pertimbangan saya".

"Kita minta beliau bertenang dan memikirnya semula (keputusannya itu)," tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya kecil di DUN Titi Tinggi, Yazid berkata: "Saya tak tahu kata apa, terserahlah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihanraya). SPR yang akan tentukan," katanya

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu, mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, Md Isa berkata pihaknya sedang merayu Yip untuk menarik balik hasratnya itu dan yakin pilihan raya kecil tidak perlu diadakan.

Malaysiakini

Thursday, March 4, 2010

21 anggota CC MCA letak jawatan - Malaysiakini

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan presiden MCA.

Pengumuman itu dibuat di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain dirinya, Chua juga mengumumkan peletakan jawatan tujuh ahli jawatan kuasa pusat.

Mereka termasuk Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Tan Chai Ho, Loh Seng Kok, Datuk Chong Itt Chew, Datuk Gan Tian Loo, Tee Siew Keong dan Por Choo Chor.

Dengan peletakan jawatan itu, presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat kini tidak mempunyai banyak pilihan selain mengadakan pemilihan baru kepemimpinan parti.

Chua (kanan) juga menuntut pemilihan baru diadakan dalam tempoh sebulan untuk menyelesaikan krisis parti itu.

Sebelum ini, 13 anggota jawatankuasa pusat yang diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berbuat demikian.

Ini bermakna 21 orang iaitu dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih, telah meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

'Presiden tak tahu'

Sementara itu ketika ditanya sama ada beliau telah memberitahu presiden parti mengenai tindakannya itu, Chua berkata beliau tidak berbuat demikian.

Beliau juga meminta supaya mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu ini ditangguhkan.

"Peletakan jawatan ini adalah untuk memenuhi janji saya pada EGM (mesyuarat agung luar biasa) tahun lepas di mana saya telah mengutarakan pandangan bahawa kita mungkin perlu pemilihan baru agar kemelut parti dapat ditangani.

Chua berkata beliau dan kumpulan yang telah meletak jawatan itu tidak akan menghadiri mesyuarat CC esok atau mesyuarat sayap Pemuda dan Wanita dan juga sambutan ulang tahun parti itu esok.

"Kami tidak akan hadir kerana kami telah meletak jawatan. Saya minta semua ahli CC yang terpilih seharusnya mereka sedar dan insaf tentang tanggungjawab dan hak mereka.

"Saya kata tidak ada satu pemimpin yang lebih penting daripada parti, sebab itu saya tolak tawaran sebagai pengerusi akhbar The Star," katanya.

Ketika ditanya sama beliau akan bertanding semula jawatan timbalan presiden atau jawatan lain pada pemilihan akan datang, Chua berkata beliau akan membuat keputusan selepas parti menetapkan tarikh penamaan calon dan pemilihan parti.

Kumpulan 13 juga letak jawatan

"Yang penting ialah parti bukannya soal pemimpin atau kepentingan diri melebihi parti," kata beliau.

Chua berkata sejak Januari hingga semalam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada tujuh anggota CC yang dipilih.

Dalam pada itu, Liow yang juga mengadakan sidang media berasingan di Wisma MCA berkata beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatan 13 anggota jawatankuasa pusat MCA, termasuk dirinya kepada setiausaha agung parti itu, Datuk Wong Foon Meng.

Surat perletakan jawatan berkenaan bertarikh 3 Mac.

Mereka ialah Lee Wei Kiat, Dr Hou Kok Chung, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng, Datuk Dr Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Wong Mook Leong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Liow bagaimanapun menafikan kumpulannya berkomplot dengan Chua untuk memaksa pemilihan baru pucuk pimpinan MCA diadakan.

Mengikut Fasal 41 perlembagaan MCA, pemilihan perlu diadakan dalam tempoh sebulan jika 21 anggota CC meletak jawatan.

Malaysiakini

Chua Soi Lek Dan 7 Pemimpin MCA Letak Jawatan - TVS

Dr Chua Soi Lek mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Timbalan Presiden hari ini.

Turut meletak jawatan adalah tujuh ahli jawatankuasa pusat MCA, dalam usaha paksi Chua mendesak pemilihan baru diadakan untuk kepimpinan tertinggi parti.

Mereka adalah Kong Cho Ha, Tan Chai Ho, Loh Seng Kok, Chong Itt Chew, Gan Tian Loo, Tee Siew Keong dan Por Choo Chor.

Bersama 13 ahli jawatankuasa pusat dari paksi Naib Presiden Liow Tiong Lai yang sebelum ini berikrar untuk meletak jawatan, kem seteru Presiden Ong Tee Keat kini mempunyai jumlah secukupnya untuk membubarkan majlis tertinggi MCA.

Mengikut Perlembagaan Parti, MCA perlu mengadakan pemilihan baru dalam masa 30 hari.

TVS

Thursday, December 10, 2009

Isu PKFZ: OC Phang dan 2 lagi ditahan - Malaysiakini

Bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka OC Phang dan dua lagi ditahan hari ini berhubung isu projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang hari ini.

Malaysiakini

Monday, December 7, 2009

13 Anggota CC MCA Letak Jawatan - mStar

KUALA LUMPUR: Seramai 13 Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sudah menandatangani surat peletakan jawatan bagi memberi laluan kepada pemilihan baru parti.

Bagaimanapun Dr Chua berkata, tujuh lagi anggota CC perlu mengambil langkah yang sama kerana syarat mengadakan pemilihan baru memerlukan 20 daripada 30 anggota CC MCA letak jawatan.

Beliau menerangkan tempoh 24 hari diberikan kepada ahli yang lain untuk meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan parti dibuat.

"Surat perletakan jawatan boleh diserahkan kepada Setiausaha Agung untuk diproses," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan pemilihan baru parti akan diadakan pada Januari, Dr Chua bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Jika cukup ahli letak jawatan, boleh jadi buat pada Januari. Kita tunggu dan lihat sahaja. Masih terlalu awal untuk diperkatakan," katanya kepada media.

Bagi Dr Chua ada beberapa isu lain yang harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti.

"Itu adalah antara tujuan utama mesyuarat Jawatankuasa Khas yang di adakan di Wisma MCA hari ini.

"Jawatankuasa hari ini telah berbincang dan mengkaji mengenai isu teknikal yang harus ditangani supaya keputusan yang dibuat selaras dengan Perlembagaan MCA," ulasnya.

Mengulas kemungkinan Pemuda dan Wanita MCA turut mengadakan pemilihan, Dr Chua menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan akan diperhalusi.

Naib Presiden MCA itu bagaimanapun berharap keputusan yang bakal dibuat selepas ini adalah sebagai satu ruang untuk MCA kembali bersatu padu.

Beliau turut gembira dengan suasana yang baik dalam parti politik itu ketika ini dan berharap ia dapat diteruskan untuk kebaikan parti.

Tiong Lai Senada Dengan Dr Chua

Bagi Datuk Seri Liow Tiong Lai, beliau optimistik masalah dalaman MCA akan diselesaikan secepat mungkin.

Namun beliau berharap pihak media tidak membuat sebarang spekulasi mengenai parti MCA yang akan memburukkan lagi keadaan.

"Harap semua dapat bersabar, jangan buat spekulasi kerana ia akan menjejaskan proses pemulihan parti," katanya.

Liow yang ditemui media sejurus selepas sidang media Dr Chua, menegaskan tiada sebarang tekanan akan dibuat kepada ahli lain yang belum meletakkan jawatan.

"Ini bukan paksaan," katanya ringkas.

mStar

Friday, October 16, 2009

Sekitar Jamuan Makan Malam PKR Cabang Tangga Batu

Puteri Reformasi, YB Nurul Izah Anwar!

100 orang bekas ahli MCA Melaka sertai PKR! Datuk Seri Chua Jui Ming antara penceramah jemputan yang diundang.

300 buah meja yang disediakan penuh!

Ketua AMK Malaysia, Sdr. Shamsul Iskandar Mohd Akin!

Tidak Ketinggalan YB Tian Chua!


Wednesday, September 23, 2009

Pecat atau Gantung, Pemberontakan MCA Semakin Marak - TVA

Meskipun keputusan pecat ditarik-balik, penggantungan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sudah memadai untuk merencat kerjaya politik pemimpin parti perkauman itu.

Pemimpin DAP, Ronnie Liu Thian Khiew, berpendapat kedua hukuman yang dikenakan keatas Chua akan memarakkan pemberontakan dalaman dalam MCA.

"Saya tidak rasa akar umbi MCA akan menerima keputusan ini. Bahkan bagi saya sendiri, baik pemecatan atau penggantungan, kesannya sama sahaja kerana ia akan menjejaskan kerjaya politik Chua Soi Lek," kata beliau.

Badan keputusan tertinggi MCA, Jawatankuasa Pusat MCA (CC) membatalkan keputusan Majlis Presiden MCA (PC) memecat Dr chua Soi Lek.

Selepas bermesyuarat hampir tujuh jam semalam, CC sebaliknya menggantung keahlian Chua selama empat tahun berkuasa serta-merta.

Keputusan ini diambil meskipun Chua tidak membuat rayuan.

Pemerhati politik berpendapat keputusan ini dibuat bagi mengekang perpecahan dalaman parti ekoran pemecatan Chua 26 Ogos lalu.

"Ini hanyalah satu taktik untuk memperlahankan kemarahan penyokong-penyokong Chua Soi Lek," kata Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Bagi Pakatan Rakyat, mengamati perseteruan antara kem Ong Tee Keat dan kem Chua Soi Lek menunjukkan pertelagahan jawatan dan kepentingan politik.

"Apa yang kita lihat kebelakangan ini, pertelagahan dalaman MCA semakin tidak relevan untuk rakyat. Pergaduhan mereka berkisar sekitar jawatan dan kepentingan politik, bukannya isu penting dan saya yakin ini tidak menarik minat rakyat jelata," tegas Tian.

Presiden Ong Tee Keat memecat ahli politik 62 tahun itu setelah PC mendapati rakaman video perselingkuhan beliau dan seorang wanita mencemar imej parti perkauman itu.

Pemecatan ini mengundang pemberontakan di dalam MCA, mendorong akar umbi mengadakan mesyuarat agung tergempar 10 Oktober nanti untuk menyingkir Ong.

TVA

Friday, September 11, 2009

Krisis MCA lahirkan parti baru - Malaysiakini

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat sebelum ini mendakwa penyokong Datuk Seri Chua Soi Lek, sedang bersedia untuk menubuhkan sebuah parti politik baru yang dikenali sebagai 'Parti Cinta Malaysia' selepas gagal untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membatalkan pemecatan Chua dari parti itu dan jawatan timbalan presiden.

Ibrahim Yaakub dari pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) PUlau Pinang hari ini mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa parti itu telah didaftarkan tiga bulan lalu.

Semakan dengan pejabat pendaftar pertubuhan di Seberang Perai mendapati Parti Cinta Malaysia (PCM) - sebuah parti pelbagai kaum - didaftarkan di Pulau Pinang pada 6 Ogos lalu.

Sijil pendaftarannya menunjukkan alamatnya di Chai Leng Park, Perai bersama senarai penuh ahli jawatankuasanya.

Presiden pertama parti baru itu ialah Tang Weng Chew,38, seorang pengarah sebuah syarikat bekalan makanan, bersama dengan Loo Kien Seang dan Lim Kim Chu masing-masing sebagai setiausaha dan bendahari.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata beliau tidak tahu banyak mengenai parti baru itu kerana biasanya pendaftaran parti politik dikendali dan diluluskan oleh pihak ibupejabat ROS di Putrajaya.

Beliau juga percaya permohonan PCM dibuat terus kepada ibupejabatnya di Putrajaya, tanpa melalui pejabat di Pulau Pinang.

"Saya akan tahu jika mereka menyerahkan borang permohonan kepada pejabat ROS Pulau Pinang," katanya.

Mengikut laporan media hari ini, Ong memberitahu perwakilan MCA dalam satu taklimat tertutup malam tadi bahawa Chua merancang untuk mendaftarkan sebuah parti politik jika dia gagal kembali semula ke dalam MCA.

Malaysiakini

Wednesday, September 9, 2009

Dokumen bongkar dakwaan presiden MCA terima RM10 juta - Malaysiakini

Dakwaan wujudnya pemberian wang RM10 juta daripada seorang ahli parlimen BN kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat - yang menjadi pertikaian besar baru-baru ini - kini muncul di Internet.

Berdasarkan dokumen yang ditandatangani 22 Ogos lalu oleh seorang pembantu ahli parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, wang tunai itu dibawa kepada Ong beberapa kali pada 2008.

Dihubungi hari ini, Tiong mengesahkan dokumen itu tetapi bertegas beliau tidak tahu-menahu bagaimana ia dibocorkan kepada umum.

Tambahnya, selain peguam-peguamnya, agensi-agensi kerajaan tertentu turut memiliki dokumen tersebut.

Tiong juga berkata pembantu politiknya itu menyaksikan pemberian wang tersebut dan kini dalam persembunyian kerana bimbang keselamatan dirinya.

Dokumen tiga halaman itu lebih kurang sama dengan satu laporan polis Tiong terhadap Ong, yang juga menteri pengangkutan, pada 26 Ogos lalu tetapi mengandungi butiran-butiran lebih terperinci.

Ong, yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menafikan menerima wang RM10 juta daripada Tiong dan memulakan tindakan saman sejumlah RM500 juta terhadap pengerusi kumpulan penyokong BN di Parlimen.

Malaysiakini

Tuesday, September 8, 2009

Skandal PKFZ: Penglibatan Umno cuba ditutup - Harakah

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Demi menyelamatkan banyak lagi jerung besar Umno dan BN dari terdedah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa mempercepatkan drama siasatan kes skandal PKFZ dari terus mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tengahari tadi mendakwa tidak mustahil Umno mengaut rasuah yang lebih besar dari MCA di sebalik skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Sebelum ini, kita banyak membincangkan watak-watak pemimpin MCA, sehingga menenggelamkan watak sebenar (serta) kepentingan politik Umno itu sendiri. Keyakinan saya, Umno lebih banyak mendapat faedah dari skandal PKFZ terbabit berdasarkan beberapa pendedahan sebelum ini.

"(Antaranya) membabitkan Datuk Abdul Rahman Palil (bekas exco Selangor) iaitu Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) menjual tanah hanya RM3 sekaki persegi kepada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB). Kemudian, beliau (Rahman) juga selaku ahli Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) bersetuju untuk membeli (semula) tanah tersebut daripada KDSB dengan harga RM25 sekaki persegi.

?Ini bermakna dia (Rahman) dapat keuntungan lapan kali ganda (lebih kurang RM1.8 billion, termasuk faedah) dari skandal pembelian tanah tersebut," jelasnya.

Bercakap pada sidang media di Pejabat Agong PAS, Mahfuz turut menjelaskan, Bekas Bendahari Umno Tan Sri Abdul Azim Mohamad Zabidi merupakan orang kepercayaan kepada (Pengerusi Kelab Anggota Parlimen BN) Datuk Seri Tiong King Sing yang juga merupakan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) KDSB. Azim Zabidi ini sebenarnya Pengarah syarikat Wiramaju Sdn. Bhd, (iaitu) anak syarikat KDSB.

"Timbalan CEO KDSB ini, Haji Faizal Abdullah dahulunya merupakan Ketua Pemuda Umno; dan sekarang ini merupaka Timbalan Pengerusi Umno Bahagian Kapar. Saya difahamkan sekarang ini Faizal menjawat jawatan Bendahari Barisan Nasional Selangor," kata Mahfuz.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoal kengganan Perdana Menteri Malaysia itu menubuhkan suruhanjaya diraja yang bebas demi membongkar penyelengan serta rasuah di PKFZ itu.

"Kita (rakyat) tidak ada satu jaminan bahawa badan siasatan sedia ada (iaitu) Polis dan Suruhanjaya Penjegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mampu menyiasat kes ini (PKFZ); kerana berasaskan pada beberapa insiden sebelum ini; Polis dan SPRM terus dipersoalkan semua pihak.

"Walaupun baru-baru ini (Ketua Polis Negara) Tan Sri Musa Hassan sendiri membekukan akaun KDSB, kerana ada kaitan dengan beberapa kes dalam tangannya, tetapi saya masih meragui tindakan-tindakan ini kerana penyambungan kontrak Musa sendiri yang dipertikai.

"Bagaimana Musa boleh menyesaikan kes skandal PKFZ yang dikatakan bahawa dilindungi beberapa kongsi gelap, sedangkan dia sendiri dikaitan dengan beberapa peribadi misteri seperti BK Tan dan (Tengku) Goh Cheng Poh. Sebab itu, di Parlimen kita (Pakatan Rakyat) cadangan ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas," kata Mahfuz lagi.

Dakwa Mahfuz, kerajaan sebenarnya cuba melindungi beberapa pemimpin Umno yang lain, dengan menyuruh Menteri Pengangkutan, Ong dan Ahli Parlimen Bintulu Tiong tidak menggunakan media massa untuk menyelesaikan masalah dalaman MCA sebelum ini.

"Seperti laporan media yang mendakwa Presiden MCA Ong (Tee Keat) menerima RM10juta dari Pengarah KDSB Tiong serta saman balik (oleh Ong) RM500 juta sebelum ini (24 Ogos) hanyalah sebahagian dakwaan rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin MCA (dan) Barisan Nasional. Sebenarnya banyak lagi yang terlibat di kalangan Umno, cuba dilindungi," dakwanya.

Beliau juga mempertikai keputusan Najib yang mengarahkan Pasukan Khas yang dibentuk PKA sendiri supaya membentangkan laporan lengkap skandal PKFZ itu dalam Kabinet Rabu ini.

"Kalau Najib serius, seharusnya ia mendahulukan laporan PAC dalam sidang Parlimen depan seterusnya membentuk sebuah suruhanjaya diraja yang bebas. Skandal rasuah itu melibatkan beberapa individu dalam Lembaga (PKA) sendiri, bagaimana sebuah jawatan kuasa di bawahnya boleh melaporkan sesuatu tentang 'Tuan Lembaga'nya sendiri. Ia sesuatu yang mustahil dan diragui," katanya.

Turut menyertai Mahfuz, Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salehuddin Ayub.

Julai lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berjanji untuk menyerahkan laporan lengkap berhubung skandal PKFZ sebelum sidang Parlimen depan.

Dalam kenyataannya, Azmi mengakui 405 ektar tanah yang menempatkan gudang, blok, pejabat dan hotel bertaraf empat bintang itu menjadi pertikaian khalayak sejak 2003, apabila kos pembangunannya RM2.5 billion telah melambung pada RM4.6 billion secara misteri.

Disebabkan itu, Azmi sendiri meminta Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membuat apa-apa penjelasan, sehinggalah siasatannya selesai.

Dalam pada itu, Azmi bersama-sama Abdul Ghani memanggil dua bekas Menteri Pengakutan Tun Dr. Ling Liong Sik (berjawatan 1986-2003) dan Datuk Chan Kong Choy (berjawatan 1 Julai 2003 ? 18 Mac 2008) untuk melengkapkan siasatan skandal tersebut, tetapi menafikan keterlibatan kedua-dua menteri terbabit dalam skandal itu.

Dalam pra laporan, Azmi telah memanggil lima syarikat yang disyaki, termasuk PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dikatakan khalayak mendalangi skandal rasuah PKFZ tersebut.

Timbalan PAC yang juga Ahli Parlimen Kepong/Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr. Tan Seng Giaw pula sebelum ini turun mendapatkan keterangan daripada beberapa pemimpin Barisan Nasional terbabit yang lain; seperti Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Onn Ismail, Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung (MCA) dan sebagainya.

Sumber lain melaporkan bekas Menteri Pengangkutan sebelum ini, Tun Dr. Ling Leong Sik (mantan Presiden MCA) dan Tan Sri Chan Kong Choy juga pernah dikatakan terbabit melindungi watak-watak misteri di sebalik skandal PKFZ dari tahun 2003 hingga 2006.

Isu skandal PKFZ yang berleluasa sejak penghujung 1990an lalu kembali menggamit perhatian khalayak apabila Najib sedaya upaya cuba menutup dakwaan berani Tiong ke atas Presiden MCA Ong Tee Kiat baru-baru ini; bahawa MCA mendapat kepentingan RM10 juta dari faedah PKFZ. _

Harakah

Thursday, September 3, 2009

600 ahli komponen BN sertai PKR - Malaysiakini

Seramai 600 anggota parti komponen BN di Perak didakwa akan menyertai PKR pada satu majlis di Dewan Tow Boo Keong di Ipoh, Sabtu ini.

Bekas anggota parlimen Lumut daripada MCA, Datuk Dr Yap Yit Thong berkata 90 peratus daripada kelompok berkenaan merupakan anggota parti MCA, Umno, MIC dan PPP dan hanya 10 peratus adalah mereka yang belum pernah menyertai mana-mana parti sebelum ini.

"Kebanyakan mereka daripada MCA dari Ipoh Barat, Ipoh Timur, Batu Gajah, Gopeng, Tambun, Kampar, Taiping dan Lumut," katanya pada sidang media di pejabat PKR Perak di Ipoh hari ini.

Beliau mendakwa lebih ramai anggota MCA di Perak akan menyertai PKR selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu selesai yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Ini adalah gelombang pertama... ramai lagi akan sertai PKR selepas EGM.

"Kebanyakan mereka memegang jawatan di peringkat MCA bahagian dan meminta untuk mengundi dalam EGM terlebih dahulu sebelum menyertai PKR," katanya.

Ditanya sama ada tindakan menyertai PKR oleh anggota MCA berkenaan ada kaitan dengan kes pemecatan timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini, Yap yang juga bekas naib pengerusi MCA bahagian Ipoh Timur berkata, anggota parti berkenaan menyertai PKR disebabkan tertarik dengan idea "sistem dua parti" dan bukannya disebabkan faktor pemecatan bekas menteri kesihatan itu.

Yap bersama bekas menteri kesihatan Datuk Chua Jui Meng dan bekas senator David Yeoh keluar MCA dan menyertai PKR Julai lepas. BERNAMA

Malaysiakini

Thursday, August 27, 2009

MCA pecat Timbalan Presiden Soi Lek - mStar

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dipecat daripada MCA - berkuat kuasa serta-merta berikutan kes skandal seks beliau yang terpapar dalam DVD akhir 2007.

Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat ketika mengumumkan berkata, mesyuarat Majlis Presiden MCA menerima dengan sebulat suara cadangan Jawatankuasa Disiplin parti untuk memecat bekas Menteri Kesihatan itu berikutan kes tersebut.

"Di bawah Artikel 127(A) perlembagaan parti Dr. Chua dibenarkan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pusat dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan itu diterima oleh beliau daripada Majlis Presiden.

"Menurut Artikel 128 perlembagan tersebut, keputusan jawatankuasa itu adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan oleh atau di mana-mana mahkamah.

"Kita lakukan keputusan ini dengan berat hati setelah memberikan pertimbangan yang sewajarnya kerana perbuatan beliau itu telah menjejaskan imej parti," tegas beliau dipetik Bernama.

"Keputusan ini dibuat demi kepentingan parti," kata Ong pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden yang bersidang hampir enam jam bermula pukul 7 petang semalam.

Ong juga berkata, beliau akan menjelaskan keputusan majlis itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Kita, sebagai anggota Majlis Presiden akan bersatu dan memikul tanggungjawab bersama berhubung keputusan ini," katanya tanpa menjawab sebarang soalan yang dibangkitkan oleh pemberita yang menunggu begitu lama untuk mengetahui keputusan mesyuarat penting itu.

Sementara itu, Dr. Chua berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin.

Dr. Chua meninggalkan mesyuarat itu sebelum keputusan pemecatan beliau diumumkan. Bagaimanapun beliau berkata, sebagai anggota yang cinta dan taat setia kepada parti beliau menghormati keputusan dan perakuan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin dan Majlis Presiden.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Disiplin dan Majlis Presiden, beliau berkata: "Sama ada merayu atau tidak merayu, saya belum memikirkan lagi mengenai keputusan itu".

Beliau juga turut menegaskan, tidak akan menyertai parti pembangkang.

mStar

Tuesday, August 18, 2009

Tiong dedah sewa RM1 bagi 32 unit kampus KTAR - Malaysiakini


Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing membuat satu lagi pendedahan, dengan mendakwa anak syarikatnya hanya mengenakan kadar sewa RM1 bagi kesemua 32 unit yang menempatkan kampus Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) milik MCA, di Penampang, Sabah.

Kesemua unit kedai terdiri daripada lapan blok bangunan empat tingkat milik Wawasan Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Dijaya Corporation. Ia disewa oleh KTAR sejak Februari 2007.

Sebelum ini, ketika ditemubual oleh akhbar berbahasa Cina, Tiong dilaporkan menyifatkan jumlah RM1 itu sebagai tanda simbolik sumbangannya kepada kolej dan parti berkenaan.

Pendedahan terbaru ini merupakan rentetan daripada pertelingkahan terbuka di antara Tiong dan presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat yang semakin serius - ekoran isu membabitkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Tiong dalam satu temubual dengan Malaysiakini hari ini berkata kadar berkenaan kini tidak lagi sesuai memandangkan parti MCA yang merupakan pemilik kolej berkenaan didakwa mempunyai aset bernilai lebih RM2 billion.

Oleh itu, katanya, kadar sewa yang lebih setimpal patut dikenakan kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) di Penampang, Sabah yang kini menduduki premis syarikat itu secara 'percuma.'

Tiong mahu tindakan tersebut diambil kerana berasa tertipu dengan saranan MCA supaya memberi sumbangan kepada parti itu bagi membantu komuniti Cina di negeri tersebut.

"Sebelum ini MCA datang kepada saya dan kata mereka tiada duit, kalau saya bantu akan kurangkan beban pelajar. Saya juga telah bayar RM200,000 untuk ubahsuai sebelum diserahkan kepada KTAR.

'Saya rasa tertipu'

"Sekarang saya rasa tertipu. Kalau parti itu sudah ada lebih daripada RM2 billion, kenapa ia masih perlu meminta bantuan daripada saya," kata Tiong yang juga setiausaha agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu.

"Sekarang saya perlu menilai semula kepimpinan di dalam MCA, sejauh mana efisiennya mereka dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Tapi kalau macam ini, lebih baik saya gunakan sumbangan itu untuk orang yang lebih memerlukan."

"Tapi siapa tahu, mungkin mereka masukkan juga kos sewa bangunan dalam yuran walaupun sewa percuma? Ini mungkinlah, saya tidak tahu," tambahnya.

Tiong juga mahu bersemuka dengan Ong yang didakwa telah menjalankan usaha untuk mencemarkan nama dan menghakimi peribadi pemimpin ahli parlimen Bintulu melalui media.

"Saya tidak peduli tentang persepsi orang ramai (terhadap saya). Hal ini adalah antara saya dengan Ong. Saya mahu bersemuka satu sama satu dengan dia. Tak perlu libatkan orang lain," katanya lagi.

Jelasnya lagi, beliau maklum dengan saranan daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya dihentikan pertelingkahan dengan Ong kerana menimbulkan persepsi negatif terhadap BNl.

Tambahnya, beliau juga harus berani berhadapan dengan cabaran-cabaran daripada pemimpin tersebut.

"Saya tidak peduli dengan persepsi orang. Dia berani cabar saya, saya juga berani cabar dia. Sekarang saya pula panggil dia gengster politik, macam mana?

"Biarlah orang nilai sendiri perwatakan dia. Dia pandai menjaga imej sebagai pemimpin yang bersih dan telus. Setiap hari dia akan tunjuk kepada orang dia macam ini. Dia boleh sebab dia orang besar, saya bukan."

"Dia kata saya ini gengster, saya ini hisap darah, apa ini? Tapi kalau saya kata saya bukan gengster orang tidak akan percaya kepada saya kerana saya bukanlah siapa-siapa. Saya bukan menteri yang orang kena percaya. Jadi saya mahu dia buktikan (dakwaan-dakwaan tersebut) kepada saya.".

Malaysiakini

Thursday, August 13, 2009

Bongkar: 'RM10 juta untuk presiden MCA - Malaysiakini

Dua puluh empat jam selepas satu laporan polis dibuat terhadap syarikat pemaju Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), pegawai tingginya membuat satu pendedahan yang mengejutkan.

Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing - yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN - mendakwa beliau telah 'menderma' RM10 juta kepada Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat tahun lalu.

Wang tersebut, tambahnya, adalah untuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahagian-bahagian MCA.

Timbalan Tiong dalam KDSB, Datuk Faizal Abdullah berkata Ong telah menggunakan jet peribadi milik syarikat tersebut sebanyak lima kali dan 'berhutang' kepada mereka sebanyak AS$40,000 bagi perkhidmatan tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini, Tiong mendakwa beliau telah menyumbangkan berjuta-juta ringgit selepas diminta berbuat demikian oleh Ong.

Wang tersebut dibayar secara tunai dalam tiga peringkat sewaktu pertemuan dengan presiden MCA itu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Malaysiakini

Thursday, July 16, 2009

Chua Jui Meng akan sertai PKR? - Malaysiakini

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Ji Meng dipercayai akan melompat parti untuk menyertai PKR di satu majlis hujung minggu ini.

Chua telah memanggil mesyuarat tergempar MCA Bakri malam ini di mana beliau dijangka melepaskan jawatan ketua bahagian berkenaan.

Difahamkan timbalannya, Sia Ka Tuan, dijangka akan memangku jawatan ketua bahagian berkenaan.

Chua, 64, bekas menteri kesihatan dan seorang peguam, mengetuai bahagian Bakri sejak 23 tahun yang lalu.

Beliau bertanding jawatan timbalan presiden MCA tetapi tewaskan kepada Datuk Seri Ong Ka Ting pada 2005 dan Datuk Seri Ong Tee Keat pada 2008.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menggunakan kemasukan Jui Meng ke dalam PKR untuk meningkatkan sokongan kepada gabungan pembangkang yang kini berdepan dengan krisis dalaman dan kebangkitan semula BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usaha untuk menghubngi Jui Meng sehingga tidak berjaya.

Malaysiakini

Monday, June 15, 2009

Penyertaan Zaid Ke PKR Mungkin Tarik Penyokong MCA Sertai Parti Itu. - TVA

Keputusan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim menyertai PKR semalam dijangka di susuli dengan kemasukkan beberapa tokoh MCA ke dalam parti itu, menurut laporan Malaysian Insider.

Seorang bekas senator dan bekas menteri dari parti Barisan Nasional itu dilapor sedang menimbang untuk menyusul langkah Zaid menyertai PKR.

Zaid dilihat sebagai seorang pemimpin Melayu yang disenangi oleh kaum Cina dan kemasukan beliau dalam PKR akan membantu imej parti pembangkang itu, menurut laporan berkenaan.

Zaid dipecat dari UMNO tahun lalu setelah melepaskan jawatannya dalam Kabinet kerana membantah langkah BN menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap beberapa orang termasuk wartawan.

MCA telah dibelenggui dengan masalah dalaman setelah parti itu kalah teruk pada pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Presiden MCA Ong Tee Keat dilihat sebagai gagal untuk meraih kembali sokongan kaum Cina dan kini terbabit dalam percakaran terbuka dengan timbalannya Chua Soi Lek.

Sokongan kaum Cina untuk MCA dikatakan merosot kepada hanya sekitar 15 peratus berbanding 30 peratus pada pilihanraya umum lalu.

Satu undian dalam laman web Ong menyaksikan purata tiga daripada empat orang yang menyusuri laman itu mahukan parti itu keluar daripada Barisan Nasional.

Ini kerana masyarakat Cina mempunyai tanggapan negatif yang semakin menebal terhadap UMNO.

Kemasukan Zaid dalam PKR juga dilihat akan membantu meleraikan syak wasangka orang Cina terhadap Pakatan Rakyat berikutan pemilihan pucuk pimpinan PAS minggu lalu yang membariskan ramai ulamak.

Zaid dihormati sebagai pemimpin Melayu bersikap sederhana dan sentiasa menganjurkan sifat kerjasama dan toleransi antara pelbagai kaum di negara ini.

Zaid memberitahu pemberita semalam bahawa beliau berhasrat membantu memperkukuhan Pakatan Rakyat untuk menjadikannya sebuah kerajaan alternatif yang berupaya menggalas amanah rakyat.

TVA