Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, May 6, 2009

Demi Melayu dan Islam, PAS patut pilih Umno? - Harakah

Ada seorang pembaca yang selalu SMS kepada saya. Dia ini tergolong dalam kelompok yang sangat kuat semangat Melayunya. Saya jarang menjawab.

Baru-baru ini dia menulis dengan panjang lebar, dan menghantarnya bersambung-sambung. Barangkali kalau disatukan ia menjadi lebih panjang daripada artikel ini.

Saya ucapkan terima kasih kepada Sulaiman, kerana sudi berhujah panjang lebar kepada saya bahawa sekiranya PAS benar-benar bermatlamat hendak menegakkan negara Islam ia sepatutnya bekerjasama dengan Umno, dan bukannya dengan DAP.

Kenapa PAS tak boleh bekerjasama dengan Umno yang ahlinya sebangsa dan seagama dengan kita, sebaliknya boleh pula bekerjasama dengan DAP yang beberapa orang pemimpinnya secara terang-terang menentang idea penubuhan negara Islam?

Sebenarnya bukan Sulaiman seorang sahaja yang berpandangan begitu. Sebelum ini pun ada beberapa orang pernah menghantar mesej yang kira-kira serupa, dan meminta saya memberi penjelasan. Malah di luar sana saya percaya masih ramai lagi orang Melayu yang berpandangan demikian.

Tidak salah kalau kita bersemangat Melayu. Tetapi bersemangat Melayu itu tidak semestinya Umno, kerana Umno hari ini tidak sama lagi dengan Umno sewaktu ia ditubuhkan dulu. Memang dulu Umno berjuang untuk memajukan orang Melayu. Dan memang Umno ditubuhkan pun untuk berjuang bagi membela kepentingan orang Melayu. Tetapi itu dulu.

Orang Umno dulu dengan orang Umno sekarang tak sama. Orang Umno sekarang bukan lagi berjuang untuk orang Melayu. Orang Umno sekarang berjuang untuk diri mereka dan kaum kerabat mereka dan sahabat handai mereka sahaja.

Dan perjuangan orang Umno sekarang pun terhad kepada perjuangan untuk kepentingan ekonomi mereka sahaja. Bukan untuk kepentingan ekonomi orang Melayu, dan apatah lagi untuk kepentingan agama dan budaya orang Melayu; jauh sekali.

Jadi apa yang Sulaiman dan orang-orang seperti Sulaiman hendak mengharapkan lagi kepada Umno? Tak ada apa yang boleh diharapkan pun, kecuali kalau Sulaiman nak mengharapkan untuk mendapat apa-apa kontrak perniagaan.

Itupun Sulaiman hendaklah terlebih dahulu 'join' dan menjadi orang mereka.

Apa maksudnya tu? Maksudnya Sulaiman janganlah lagi berfikir untuk membela nasib dan kepentingan orang Melayu, atau berfikir untuk memajukan bangsa Melayu. Tak boleh.

Nak sokong gerakan menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pun tak boleh. Biarlah kalau ramai anak-anak orang Melayu tak boleh belajar kerana tak faham bahasa Inggeris pun, tak mengapa.

Ha, itulah Umno sekarang. Dah jadi macam itu. (Dah tak kenal bahasa sendiri pun). Tak boleh nak dibuat apa-apa lagi dah. Tak boleh nak diperbaiki lagi. Tak ada ubatnya lagi dah.

Sakit di dalamnya dah terlalu teruk. Nak potong sebelah kaki pun tak boleh, nak potong sebelah tangan pun tak boleh. Kena biarkan dia reput hancur saja. Dan memang dia sedang menuju kehancuran pun.

Minta maaflah Sulaiman. Saya pun ada kawan-kawan baik orang Umno, yang sangat sayang kepada Umno kerana mengenangkan jasa parti itu telah banyak berjuang untuk orang Melayu. Tapi apa nak buat! Dah sampai masa. Kita kena terima realiti perubahan. Kita kena terima hakikat.

Ini bukan persepsi orang PAS ataupun persepsi orang di Harakah, seperti yang disebut oleh Sulaiman. Ini realiti perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini. Buka mata, buka minda. Jangan takut kepada perubahan.

Lebih 50 tahun Umno berpeluang untuk menunjukkan dan membuktikan bahawa dia itu parti yang berjuang untuk memajukan orang Melayu. Tetapi lihatlah apa yang berlaku di Pulau Pinang, misalnya. Orang Melayu masih jauh tertinggal. Kenapa apabila Pulau Pinang dikuasai DAP baru kita nak sibuk pasal nasib orang Melayu di situ? Begitu juga di Perak.

Apakah 50 tahun peluang yang diberikan kepada Umno itu tidak mencukupi? Sudahlah! Saya dah sebut tadi. Sebenarnya saya malas nak bercakap pasal Umno ni.

Kadang-kadang Umno ni nampak macam masih kuat tu bukannya apa. Sebab mereka masih lagi memegang kuasa. Itu saja. Tunggu Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, insya-Allah, rakyat akan tunjukkan siapa sebenarnya yang berkuasa? Umno atau rakyat?

Jangan bimbang! Sulaiman bimbang kerana katanya sejak PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pilihan Raya Umum ke12, tidak kedengaran lagi PAS bercakap mengenai perjuangan untuk menegakkan negara Islam.

Jangan kita jadi orang berfikiran sempit. Lihatlah misalnya apa yang dibuat oleh Lim Guan Eng di Pulau Pinang. Pernahkah kita terfikir sebelum ini bahawa pemikiran tentang keadilan dan keberkesanan pemerintahan Umar Abdul Aziz akan diperkatakan dan dilaksanakan oleh seorang Cina kafir dari parti DAP yang terkenal dengan anti-Islam itu? Tak pernah kita terfikir pun!

Dan kalau ditanya siapakah yang kita akan pilih untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang antara Lim Guan Eng itu, dengan mana-mana pemimpin Umno, misalnya Khir Toyo, atau Nazri Aziz, atau Ali Rustam? Mana yang kita nak pilih? Tentu kita akan pilih Lim Guan Eng, bukan?

Secara tidak kita sedari, idea negara Islam atau pemerintahan Islam itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti, tanpa mesti kita laung-laungkannya dengan penuh semangat hingga boleh menakutkan orang-orang bukan Islam.

Jadi, jangan bimbang dan jangan takut kepada Cina dan India semata-mata kerana mereka itu Cina dan India. Tuhan yang sengaja ciptakan manusia ini berbangsa-bangsa. Semuanya sama sahaja. Hanya taqwa di dalam hati kita yang membezakan.

Walaupun Lim Guan Eng itu bukan Islam, namun apabila dia menunjukkan ciri-ciri Islam dalam perwatakan dan pentadbirannya, marilah kita menyambutnya dengan berlapang dada dan berbaik sangka.

Harakah

No comments: