Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, May 4, 2009

Hanya 5,000 penyokong boleh iringi calon - Suara Keadilan

PETALING JAYA, 3 Mei (SK) : Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hanya membenarkan 5,000 penyokong mana-mana parti untuk mengiringi calon yang akan bertanding semasa penamaan calon diadakan.

Undang-undang tersebut akan dikuatkuasakan semasa pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti, Pulau Pinang bulan ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar berkata, walaupun 5,000 penyokong dibolehkan mengiringi calon sehingga kawasan pekarangan pusat penamaan calon, hanya 50 orang sahaja akan dibenar memasuki khemah tetamu khas di dalam pusat penamaan calon.

Walau bagaimanapun, persetujuan menghadkan bilangan penyokong hanya sampaikan kepada pihak polis dan bukanya kepada pihak parti-parti politik.

Perkara itu juga telah disentuh pada pertemuan dengan parti-parti politik 23 April lalu tetapi soal bilangan hanya dipersetujui Khamis lalu dalam pertemuan dengan polis.

SPR dan polis telah mencapai persetujuan mengenai soal itu semasa satu pertemuan Khamis lalu dan menyerahkan kepada polis untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

“SPR dan polis merayu kepada parti-parti politik yang bertanding dalam mana-mana pilihanraya kecil mulai sekarang supaya menghadkan kehadiran para penyokong yang mengiringi calon pada hari penamaan calon tidak melebihi 5,000 orang,” kata Wan Ahmad menurut satu laporan online hari ini.

Lazimnya, himpunan ribuan penyokong calon menjadi tumpuan ketika pilihan raya kecil.

SPR menyerahkan kepada polis untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melaksanakan pendekatan tersebut.

“Oleh kerana perkara ini tidak disebut dalam mana-mana peraturan pilihanraya, jadi apa yang SPR boleh buat ialah mengharap dan merayu kepada parti-parti politik agar memastikan kehadiran tidak melebihi 5,000 orang.

“Bagaimanapun apabila polis melaksanakan pendekatan ini di luar kawasan (pusat penamaan calon), terserah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut kuasa dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Wan Ahmad mengakui bilangan penyokong yang hadir semakin bertambah dan tidak terkawal sehingga menyusahkan orang ramai dan pasukan keselamatan sejak kebelakangan ini.

“Kalau tidak dibuat sekarang, jumlah mereka yang hadir pada hari penamaan calon akan bertambah bermungkinan beribu-ribu orang dan ia akan terus bertambah,” kata beliau dengan merujuk kepada suasana semasa pilihan raya kecil sejak awal 2007, khususnya di Ijok, Selangor; Permatang Pauh, Pulau Pinang, Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah.

SK

No comments: