Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Artis. Show all posts
Showing posts with label Artis. Show all posts

Tuesday, April 20, 2010

Bung Moktar, Zizie Mengaku Berpoligami Tanpa Izin - mStar

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan isteri keduanya, Zizie Ezette mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini kerana berpoligami tanpa izin.

Sehubungan itu mahkamah menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh keputusan bagi kes berkenaan.

Kedua-dua mereka mencetuskan kontroversi Disember lalu apabila menafikan berita pernikahan mereka tetapi akhirnya terpaksa membuat pengakuan terbuka selepas dihidu oleh media.

Pada 21 Disember lalu, Bung dan Zizie, 31, akhirnya mengakui bahawa mereka telahpun selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri tetapi enggan menyatakan lokasi pernikahan tersebut berlangsung.

Bung yang ketika itu berada di luar negara telah menjawab melalui kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) bahawa beliau telah menikahi Zizie.

"Jika Datuk (Bung) kata benar, maka jawabnya benarlah kami dah berkahwin," kata Zizie ketika mengulas mengenai pengakuan suaminya itu.

Ketika ditanya oleh mStar Online dan The Star Zizie memberitahu, jika benar sekalipun mereka berkahwin, mereka tidak bersalah di sisi Allah walaupun mungkin bersalah pada sisi undang-undang dan peraturan buatan manusia.

Beberapa minggu kemudian, gambar Bung dan Zizie yang baru pulang dari luar negara berjaya dirakam media sebaik keluar dari Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

mStar

Friday, April 2, 2010

Din Beramboi Meninggal Dunia - mStar

KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio popular Din Beramboi atau nama sebenar Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, disahkan meninggal dunia sekitar pukul 12.35 malam tadi di Hospital Selayang.

Kematian Allahyarham disahkan oleh Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani yang dihubungi oleh mStar Online.

Ketika diminta untuk mengulas mengenai berita sedih itu, Nizam bagaimanapun masih belum bersedia memberikan sebarang komen kerana masih terkejut. Pihak keluarga dan rakan terdekat Allahyarham juga gagal dihubungi.

Din yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) kerana mengidap Dengue Shock Syndrome sudah berada dalam keadaan kritikal sejak petang semalam. Allahyarham dimasukkan ke hospital pada petang Isnin lalu selepas mengalami demam yang mempunyai tanda-tanda denggi.

mStar

Monday, March 1, 2010

Tok Guru Nik Aziz ikon ulama – Amy Search - Harakah

PETALING JAYA, 1 Mac: Ikon rock tanah air, Amy Search menjadikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ikon ulama kerana mempunyai sikap kesederhanaan dalam kehidupan

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan pensyarah kanan UTM, Dr Azhar Yaacob sebagai pengerusi pada majlis forum yang bertajuk ‘Islam Untuk Semua’ anjuran Masjid Kota Damansara, dekat sini, malam tadi.

Turut menjadi ahli panel pada forum yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1431 itu ialah pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani.

Baginya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama yang amat dihormati dan mudah didampingi yang pernah menjemputnya ke Kelantan untuk menyampaikan ceramah kepada golongan muda.

Pendapat beliau itu turut disokong oleh bekas penyanyi kumpulan rock, Ringgo yang menghormati pendirian Menteri Besar Kelantan itu sebagai ulama.

Beliau turut membuat persembahan pada majlis tersebut dengan menyampaikan sebuah lagu berunsur Islam.

Sementara itu, Amy juga menyeru golongan ulama supaya mendampingi artis bagi mendorong ke arah yang lebih baik.

“Saya harap ulama, ustaz-ustaz dampingi kami (artis), tanpa ulama tegur kami, kita mungkin lalai,” ujarnya.

Harakah

Saturday, February 13, 2010

Pelakon 'Anak Pontianak' ditahan dalam ops perayaan - Malaysiakini

Seorang pelakon adalah antara yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya `Ops Perayaan Tahun Baru Cina' berhampiran Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di Sepang malam tadi.

Pelakon yang pernah membintangi drama seram bertajuk 'Anak Pontianak' itu ditahan setelah mengaku mengambil dadah jenis ketamin ketika diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.

Pelakon itu yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi ditahan bersama rakannya yang turut mengaku mengambil dadah jenis syabu, dalam operasi yang disertai anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.

Penolong Pengarah AADK Selangor, Nani Sikin memberitahu pemberita kedua-dua mereka yang masing-masing berusia 24 tahun itu akan dibawa ke pejabat AADK Sepang bagi menjalani ujian air kencing.

"Mereka tidak boleh disahkan lagi positif mengambil dadah sebelum ujian saringan air kencing dihantar ke Jabatan Patalogi untuk pengesahan.

"Sekiranya kedua-dua mereka didapati positif mengambil dadah buat kali pertama, mereka akan diletakkan di bawah pengawasan komuniti oleh AADK," katanya.

Operasi selama kira-kira tiga jam bermula pukul 8 malam itu melibatkan 27 kakitangan AADK dan 20 penguatkuasa JPJ.

- Bernama

Malaysiakini

Thursday, January 14, 2010

Kes Saman RM1 juta Terhadap Mawi World Dibicara 17 Feb - TVS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 17 Februari ini untuk perbicaraan saman RM1 juta yang dikemukakan syarikat minuman Yassa Sdn Bhd terhadap Mawi World Sdn Bhd kerana didakwa melanggar hak harta intelek.

Hakim Datuk Azahar Mohamed menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes itu pagi ini.

Peguam Nasrul Hadi Mat Saad, bagi pihak Yassa, memberitahu media di luar mahkamah seramai empat orang saksi dijangka memberikan keterangan pada hari perbicaraan itu, tiga daripada mereka merupakan saksi kepada syarikat Mawi World.

Pada 31 Okt, 2006, Yassa, selaku plaintif memfailkan saman mendakwa Mawi World telah melanggar hak harta intelek dengan memasarkan air galian di bawah jenama "Mawi World", menggunakan kandungan maklumat milik syarikat itu seperti lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman pada botol minuman tanpa memperoleh kebenaran syarikat itu.

Ia juga mendakwa botol minuman air galian yang menggunakan gambar penyanyi Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 29, mengandungi maklumat mengenai sumber dan kandungan yang sama dengan air mineral jenama "Streamline" keluaran Yassa.

Pada 14 Feb 2008, Penolong Kanan Pendaftar Noorasyikin Sahat menolak permohonan Mawi World untuk membatalkan saman itu dengan kos.

Mawi World merayu terhadap keputusan itu, tetapi ia ditolak oleh mahkamah pada 18 Jun 2008. - Bernama

TVS

Monday, April 6, 2009

Konsert Yasin sokong Pakatan - Malaysiakini

Penyanyi lagu irama world music terkenal Yasin dan juara Akademi Nasyid Azhar Atan malam tadi bukan sekadar tampil menghiburkan penonton, malah menyelitkan unsur-unsur kempen untuk pembangkang dalam persembahan mereka di Simpang, Bukit Gantang.

Yasin dilihat beberapa kali memberikan ingatkan kepada kira-kira 150 peminat dan penyokong Pakatan di konsert santai di Simpang itu.

"Jangan lupa, Selasa ini, undilah calon Pakatan Rakyat," disambut tepukan dan sorakan penonton di pentas terbuka di kawasan rehat R&R di situ.

Dalam persembahan tersebut, beliau turut menyanyi bersama gandingan lamanya dalam kumpulan Brothers, Salleh dan penyanyi rap Akhbar-

Mereka menyampaikan lagu-lagu terkenal yang pernah menjadi siulan ramai, antaranya, Satu Perjuangan, Teman Sejati dan Alhamdulillah.

Membuat persembahan terakhir, Azhar menyampaikan lagu Iqra' yang pernah dipopularkan papa rock Malaysia Ramli Sarip, sambil menyatakan mesej sama kepada penonton.

Suasana ceria dan santai ala konsert fun fair itu malah diserikan dengan nyanyian duet ketiga-tiga artis tersebut bersama ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin dan kira-kira 15 anggota pergerakan itu yang datang dari Pahang.

Penyokong PKR

Konsert Santai Anak Muda anjuran bersama AMK dan Gerakan Mansuhkan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) itu turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi penyajak terkenal Dinsman, HMS Abu bakar dan penulis Razali Endun.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas menyampaikan tiga lagu, Yasin berkata ini merupakan "perjuangan kecil-kecil tetapi konsisten" untuk menggalas "harapan perubahan untuk Malaysia".

Beliau bagaimanapun menafikan menganggotai PKR tetapi hanya penyokongnya sejak peristiwa reformasi 1998.

Ditanya sama ada beliau menghadapi masalah akibat kehadirannya ke pentas pembangkang, Yasin berkata, beliau tidak menghadapi sebarang masalah:

" Setakat hari ini tidak ada," katanya yang mendakwa sudah lebih sepuluh kali hadir di pentas pembangkang.

Sementara itu Shamsul dalam ucapannya mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya harus ditolak.

'SMS palsu'

Beliau menyifatkan tindakan Najib mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA sebagai "reaksi semata-mata dan tidak berasaskan prinsip".

Selain itu, tambahnya, beliau yang membuat laporan polis terhadap Najib berdasarkan pendedahan tergempar akhbar Perancis Leberation - yang mengaitkannya dengan pembunuhan model Mongolia Altantuya Shariibuu - berkata telah dipanggil memberi keterangan berhubung laporannya itu.

Dalam masa yang sama, tambahnya, Najib sebaliknya tidak pun dipanggil polis memberikan keterangannya.

Beliau juga mendakwa, terdapat pihak menggunakan SMS palsu kononnya daripada pemimpin utama Hindraf P Wathamoorthy dari London meminta sokongan pengundi selepas Najib mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA.

Walaupun program tersebut anjuran bersama GMP, namun tiada sebarang risalah berhubung dasar kontroversi PPSMI diedarkan.


Malaysiakini