Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label NGO. Show all posts
Showing posts with label NGO. Show all posts

Friday, April 30, 2010

Perhimpunan Bantah GST 1 Mei Di Dataran Merdeka - SK

SHAH ALAM 29 Apr - Perhimpunan aman membantah Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) sempena Hari Pekerja akan diadakan pada Sabtu ini jam 11 pagi bertempat di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Mei 1 yang terdiri daripada kumpulan masyarakat, badan bukan kerajaan dan parti politik.
Penyelaras Media Jawatankuasa Mei 1, Paremeswari berkata upacara sambutan ini akan disertai oleh lebih 1,000 orang yang terdiri daripada pekerja dan masyarakat dari pelbagai sektor termasuk kilang, ladang, peneroka bandar, petani, dan Orang Asal.

Menurut beliau tema yang dipilih adalah untuk membantah hasrat kerajaan untuk memperkenalkan GST yang pastinya akan memudaratkan kehidupan kaum pekerja.

SK

Monday, April 26, 2010

ANALISIS KAJIAN MIKRO PREDIKSI PERSEPSI KEPERCAYAAN POLITIK PRK P094 HULU SELANGOR - Zentrum


PREDIKSI PERIOD MENGUNDI

DATA YANG DISIARKAN LANGSUNG
(rujuk Older Post)

Peratus Prediksi:
Jam 10.30 PR 51.3 BN 48.7

Jam 11.00 BN 55.2 PR 44.8
Jam 11.30 BN 52.4 PR 47.6

Jam 14.00 PR 54.5 BN 45.4
Jam 15.00 PR 50.4 BN 49.6

Jam 15.30 BN 57.7 PR 43.3

Jam 16.30 PR 56.2 BN 43.8
Jam 17.00 PR 52.3 BN 47.7

Jumlah dan Purata Keseluruhan
BN 401.5 = 50.06

PR 401.3 = 50.05

beza 0.01 [kemenangan BN]
----------------------

Bandingan dengan keputusan:

Majoriti 1735
Mengundi 48935

Peratus kemenangan: 0.03
--------------------

PERBEZAAN ANALISIS ZENTRUM / KEPUTUSAN

Zentrum 0.01
Keputusan 0.03


Zentrum

Wednesday, February 3, 2010

Tanah YBK Selangor akan 'diambil semula' - Malaysiakini

Tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor akan diambil semula jika pertubuhan itu gagal melunaskan tunggakan cukai RM5.7 juta.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang medianya berkata YBK perlu membuat permohonan semula kepada kerajaan negeri untuk membayar tunggakan cukai tanah di Serendah yang tidak pernah dijelaskan sejak 13 tahun lalu.

"Kita tidak rampas, kita ikut undang-undang. Anda ada proses, anda tidak boleh tidak ikut proses," katanya lagi, menjawab soalan wartawan.

Malaysiakini

Sunday, January 24, 2010

Bekas pengerusi GERAK rasmi sertai PKR - Malaysiakini

Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia), MohdMohd Yunus hari ini secara rasmi menyertai PKR.

Kemasukan beliau diumumkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Merchant Square Tropicana, kira-kira jam 2.20 petang ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ketua AMK Selangor Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan beberapa exco AMK.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini Mohd Nazree berkata beliau memilih PKR kerana perjuangan parti itu selari dengan prinsipnya untuk melawan rasuah dan membina integriti sepertimana sebelum ini, ketika beliau menjadi pengerusi Gerak.

Menurutnya, kemasukan beliau itu juga adalah disebabkan ketokohan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan Malaysia baru dalam landskap politik Malaysia.

Di samping itu, katanya, penyertaan beliau dalam PKR itu bagi mengisi kekosongan generasi muda untuk terus berjuang bersama Anwar untuk membina masyarakat madani dan urustadbir yang lebih baik.

"Ini adalah fasa baru dalam perjuangan saya. Bukan bermakna NGO itu gagal, tetapi saya menekankan dari sudut pendekatan melalui politik dengan membantu pimpinan yang sedia ada," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nazree berkata beliau bertemu dengan Anwar Rabu lalu dan ketua pembangkang itu menyatakan keterbukaannya untuk menerima kemasukan beliau.

Semalam dilaporkan Mohd Nazree meletakkan jawatan sebagai pengerusinya GERAK berkuatkuasa serta merta untuk menyertai bidang politik.

Keputusan ini dibuat setelah perbincangan dibuat bersama ahli majlis tertinggi GERAK Malaysia dan merupakan keputusan Mohd Nazree sendiri.

Mohd Nazree sebelum ini pernah membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung agihan lembu korban di kawasan parlimennya di Bandar Tun Razak sewaktu Hari Raya Korban.

Ditanya sama ada kemasukannya untuk membantu menguatkan lagi AMK ekoran pertuduhan liwat tehadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Nazree berkata: "Soal peranan saya dalam parti, terserahlah kepada pucuk pimpinan parti. Saya bersedia untuk membantu dari aspek-aspek yang diperlukan."

Ditanya sama ada beliau ditawarkan jawatan tertentu dalam sayap parti itu, Mohd Nazree berkata, beliau tidak ditawarkan apa-apa jawatan dan menyerahkannya perkara kepada pucuk pimpinan parti.

Malaysiakini

Pengerusi GERAK letak jawatan, mungkin sertai PKR - Malaysiakini

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia) mengumumkan peletakan jawatan pengerusinya, Mohd Nazree Mohd Yunus berkuatkuasa serta merta hari ini untuk menyertai bidang politik.

Keputusan ini dibuat setelah perbincangan dibuat bersama ahli majlis tertinggi GERAK Malaysia dan merupakan keputusan Mohd Nazri sendiri.

"Beliau telah memaklumkan kepada majlis tertinggi dan sukarelawan Gerak dalam siri-siri pertemuan bersama mereka berkaitan hasratnya untuk meletak jawatan bagi menyertai politik.

"Ia bertujuan supaya supaya Gerak Malaysia terus kekal sebagai badan bebas, neutral dan non-partisan dalam usaha badan ini berjuang membudayakan integriti dan anti korupsi," kata kenyataan sekretariat GERAK.

Sementara itu, Mohd Nazri disebut-sebut akan menyertai PKR.

Pemuda PKR pula mengumumkan akan mengadakan sidang akhbar khas esok, yang besar kemungkinan akan mengumumkan penyertaan Mohd Nazree dalam PKR.

Nazree sebelum ini pernah membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung agihan lembu korban di kawasan parlimennya di Bandar Tun Razak sewaktu Hari Raya Korban.

Malaysiakini

Monday, September 14, 2009

NGO demo bantah Malaysiakini disiasat - Malaysiakini

Beberapa NGO media dan hak asasi manusia serta penulis blog hari ini berhimpun di depan pejabat Malaysiakini bagi menunjukkan sokongan susulan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu lalu.

Dalam perhimpunan ringkas di depan pejabat akhbar web itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur, kumpulan 30 penyokong itu hanya berhimpun sebentar kira-kira jam 10 pagi sambil membawa beberapa sepanduk yang mengkritik dan menyindir kerajaan.

Ia antaranya bertulis: "Stop targeting Malaysiakini", "Rais = Goebbles (menteri propaganda Nazi)", "MCMC macai Rais Yatim" dan "Kami mahu merdeka".

Dipimpin pengarah Institut Nasional Untuk Integriti Pilihan Raya (NIEI) Amin Iskandar, kumpulan tersebut – Pakatan Wartawan untuk Kebebasan Media (Wami), Suaram, kumpulan penulis blog Anak Bangsa Malaysia – itu kemudiannya mengadakan sidang media di pejabat Malaysiakini.

Ketua pegawai eksekutif akhbar web itu Premesh Chandran turut hadir dalam sidang media yang turut dihadiri agensi berita antarabangsa itu.

Pengerusi NIEI, Yunus Ali menyifatkan permintaan MCMC supaya Malaysiakini menarik balik dua videonya – termasuk sidang media Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 28 Ogos lalu – sebagai "tidak logik".

"Mereka (kerajaan) mahukan maklumat sehala, macam (menteri Nazi) Goebbels. Kemudian bila rasa tidak OK, tarik balik. Itu propaganda ala Goebbels," katanya.

Wakil WAMI Nga Yap Hwa pula berkata, Hishammuddin tidak sepatutnya menuding jari kepada media yang hanya melaporkan, sebaliknya menteri berkenaan patut meminta maaf kerana bertemu dengan penunjuk perasaaan yang mengarak kepala lembu di Shah Alam hujung bulan lalu.

Sementara itu, Premesh menuntut MCMC menyelesaikan siasatannya dengan cepat, tanpa menyambungnya dalam perkara lain yang tidak perlu.

"Kita sedia didakwa di mahkamah. Kita akan mempertahankan tindakan mengikut lunas undang-undang. Kita percaya keadilan menyebelahi kita," katanya disambut tepukan penyokong akhbar tersebut.

Malaysiakini

Thursday, September 10, 2009

NGO kecam SKMM siasat Malaysiakini

Beberapa NGO, termasuk di peringkat serantau, mengecam keras tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyiasat secara intensif sekumpulan besar wartawan Malaysiakini berhubung video demonstrasi membantah kuil Hindu.

Video itu merakamkan bantahan kira-kira 50 orang, dengan mengarakkan kepala lembu yang masih berdarah, di depan bangunan sekretariat kerajaan Selangor di Shah Alam, hujung bulan lalu, berhubung isu pemindahan kuil ke Seksyen 23.

Piagam 2000 Aliran, kumpulan pemantau kebebasan media dalam NGO berpengaruh itu, menyifatkan tindakan suruhanjaya itu sebagai mempersendakan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin untuk tidak menapis Internet.

"Tindakan secara metafornya membunuh pembawa mesej juga sangat tidak menyenangkan kerana ia bertujuan menakut-nakutkan wartawan yang sedar daripada melaporkan kebenaran tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata penyelarasnya Dr Mustafa K Anuar dan Anil Netto dalam satu kenyataan.

Sementara Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa), dalam surat bantahannya kepada SKMM, pula menyifatkan siasatan itu sebagai satu bentuk "gangguan sewenang-wenangnya" terhadap akhbar web tersebut, dan sekali gus mencabuli hak bersuara dan kebebasan media.

"Seapa telah menonton video-video berkenaan, liputan Malaysiakini itu dan keadaan semasa, dan kami membuat kesimpulan bahawa Malaysiakini tidak membuat apa-apa selain melaporkan dua perkembangan berita yang sah," kata pengarah eksekutifnya Roby Alampay.

Pegawai penyiasat suruhanjaya itu mengambil keterangan lagi hari ini (foto atas, kanan), kali ketiga selepas siasatan beramai-ramai selama lapan jam sekumpulan 12 pegawai kanan, editor, wartawan dan kakitangan teknikal Malaysiakini kelmarin di pejabat portal berita itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur.

Selain ketua pegawai eksekutif akhbar web itu Premesh Chandran, editor dan wartawan itu terlibat dalam proses pemberitaan, suntingan dan penerbitan dua berita dan video berhubung demonstrasi di Shah Alam pada 28 Ogos dan sidang media Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, 2 September lalu turut disiasat.

Suruhanjaya itu memulakan siasatannya terhadap ketua pengarang kumpulan Steven Gan, Sabtu lalu, berhubung penerbitan dua klip video yang dituntut agar dibuang: Temple demo: Residents march with cow's head (28 Ogos) dan Hisham: Don't blame cow-head protesters (2 Sept).

Pemantau pilihan raya Institut Nasional bagi Integriti Pilihan Raya (NIEI) pula berkata siasatan itu "berniat jahat dan sekali gus bertentangan dengan prisinsip demokrasi dan kebebasan media yang termaktub dalam perlembagaan dan Artikel 19 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.

"Bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia (peringkat Malaysia) semalam, NIEI mendesak agar kerajaan Malaysia dan SKMM agar menghormati kebebasan media dan kebebasan rakyat untuk mendapatkan maklumat," kata pengarah eksekutifnya Amin Iskandar.

"Tindakan sebegini hanya membawa Malaysia kebelakang sekali gus bercanggah dengan gagasan '1Malaysia: rakyat diutamakan, pencapaian didahulukan' yang dipopularkan oleh perdana menteri.

"Jika rakyat diutamakan, hormatilah hak asasi rakyat untuk bebas mendapatkan maklumat dan informasi."

Malaysiakini

Friday, July 31, 2009

PAS: Kami tidak provokasi pro-ISA - Malaysiakini

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak pernah mencabar mana-mana pihak bagi mewujudkan ketegangan dalam demonstrasi menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) esok, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

"Saya hendak mengulas kenyataan polis semalam bahawa dua kumpulan saling cabar-mencabar. Saya tidak tahu (perkara itu).

"Saya rasa, sepanjang sidang media, ceramah atau sebarang sebaran yang kita keluarkan atas nama GMI, kami tidak pernah menggunakan kata-kata yang mencabar mana-mana pihak.

"Jadi tidak timbul masalah mengatakan kedua-dua pihak ini saling cabar-mencabar," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu, Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh (kanan) dan Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad (kiri).

Sambil menayangkan laporan Berita Harian hari ini yang berjudul 'Dua kumpulan saling mencabar', Salahuddin berkata, berdasarkan rekod terdahulu, pakatan pembangkang mempunyai pengamalam menganjurkan perhimpunan aman.

Tambahnya, ia terbukti dalam perhimpunan menuntut pilihanraya bersih pada November 2007 dan perhimpunan menuntut pemansuhan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Mac lalu.

Salahuddin mengulas kebimbangan polis terhadap kemungkinan berlaku ketegangan dalam demonstrasi esok akibat provokasi daripada dua kumpulan berbeza – GMI dan kumpulan penyokong akta itu Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini dilaporkan berkata, berdasarkan pemerhatiannya, sudah wujud unsur hasutan dan provokasi di antara kedua-dua kumpulan terbabit.

Sebagai pemimpin kanan PAS, Salahuddin juga menjamin perhimpunan esok akan berlangsung secara aman kerana ia telah dirancang sejak setahun lalu.

"Saya sebagai chief commander ingin perjelaskan bahawa himpunan esok akan diadakan secara aman. Notis ini telah kita berikan kepada rakyat Malaysia enam bulan lalu.

"Kalau ada pihak kata kita sengaja cari sebab bertembung dengan kumpulan satu lagi (Pewaris dan pro-ISA), saya ingin katakan, kita merancang program ini setahun lalu," katanya.

Pemimpin atasan Pakatan Rakyat, termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyerahkan "deklarasi rakyat" kepada pihak Istana Negara.

Perarakan ribuan penyokong pembangkang dan 83 NGO bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), yang menganjurkan perhimpunan itu, bergerak mulai jam 2 petang dan dijangka sampai sejam kemudian di Lebuh Raya Mahameru.

Sementara kumpulan penyokongnya pula akan berhimpun di Padang Merbok, sebelah Bank Negara, dan Pasar Seni pada masa yang sama sebelum bergerak ke Dataran Merdeka dan kemudian ke Istana Negara bagi menyerahkan memonrandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Malaysiakini

Wednesday, July 22, 2009

Pro-ISA bertembung demo anti-ISA - Malaysiakini

Demonstrasi menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang bakal bertembung dengan ribuan pendukung akta kontroversi itu, 1 Ogos ini.

Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) bersama sepuluh NGO Melayu bakal memimpin "rakyat Malaysia yang cintakan keamanan" berhimpun di Pasar Seni di ibu negara bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap ISA.

Timbalan Presiden II Pewaris, Rahimuddin Md Harun ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan rancangan itu.

Katanya, dengan berpakaian putih, mereka akan berhimpun pada jam 1 tengah hari dan mengumpulkan tandatangan orang ramai meminta kerajaan mengekalkan akta tersebut.

"Kita juga bercadang hantar memorandum (mengekalkan ISA) kepada Yang di-Pertuan Agong jika dibenarkan," katanya.

Perhimpunan tersebut yang bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" dibuat serentak dengan Himpunan MANSUH anjuran GMI yang ingin berarak ke Istana Negara.

GMI, yang didukung parti pembangkang utama dan NGO hak asasi, memilih tiga lokasi yang selama ini menjadi pusat perhimpunan anti-kerajaan - kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan KL Sentral – sebelum menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mereka mengarahkan semua penentang ISA berpakaian merah dan hitam sebagai simbol bantahan.

Perhimpunan itu dijangka bertukar pentas untuk menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock - setiausaha exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - yang ditemui mati dalam tanda tanya dekat pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis lalu.

Ditanya sama ada tindakan Pewaris bakal mencetuskan pertembungan dengan penunjuk perasaan yang menentang ISA, Rahimuddin berkata, "mereka tidak berniat mencetuskan perkara itu".

"Kalau (mereka) kata kebebasan bersuara, kami pun nak guna juga. Kita tidak ada niat pun nak bertembung dengan sesiapa," katanya, sambil menyifatkan pemilihan tarikh itu "cuma kebetulan sahaja".

Pewaris akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan persiapan akhir, termasuk memohon permit polis bagi tujuan itu.

Sidang media bagi mengumumkan perkara itu dijangka dibuat beberapa hari lagi.

Malaysiakini

Friday, July 17, 2009

Majlis Peguam, NGO turut desak tubuh suruhanjaya diraja - Malaysiakini

Majlis Peguam serta 16 NGO turut mendesak supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teo Beng Hock, 30, yang dipercayai jatuh dari bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam semalam.

Mereka juga menuntut supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Ahmad Said Hamdan dan semua pegawai SPRM yang menyoal siasat Teo digantung serta-merta sehingga selesai siasatan suruhanjaya diraja tersebut.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teo.

Gesaan yang sama juga dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Majlis Peguam dan NGO berkenaan juga mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz supaya memohon maaf kepada keluarga Teo berhubung kenyataannya yang bersifat spekulatif seolah-olah mangsa mati kerana terjun dari bangunan.

Mayat Teo - setiausaha politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah - ditemui pada jam 1.30 tengahari semalam, selepas disoal siasat berhubung dakwaan salahguna peruntukan DUN.

Mayatnya ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.

Kenyataan bersama Majlis Peguam dan NGO terbabit dibaca oleh Pengerusi Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), Wong Chin Huat dalam satu sidang media di ibunegara hari ini.

Mereka menyatakan rasa terkejut dan sedih dengan kematian Teo, yang menurut mereka tidak sepatutnya berlaku.

"Malangnya, Teo sekarang adalah mangsa kematian pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan di bawah SPRM.

Persoalan tidak terjawab

"Kami percaya semua rakyat Malaysia menuntut agar perdana menteri, melihat keadilan dalam kematian Teo," kata kenyataan itu.

Turut hadir di sidang itu ialah Pengerusi Jawantankuasa Hak Asasi Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Liau Kok Fah; Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), V Gayathry; Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin dan Pengantara Parlimen Rakyat, Haris Ibrahim.

Menurut mereka, kejadian yang berlaku semalam, telah menimbulkan beberapa persoalan yang tidak mempunyai jawapan.

"Pertama, tidakkah tindakan SPRM melakukan siasatan di pejabat Ean Yong dan enam lagi exco Pakatan Rakyat yang didakwa salahguna peruntukan DUN kira-kira RM500,000 hingga RM600,000 bersifat terpilih dan bermotifkan politik? Kenapa siasatan terhadap skandal PKFZ bernilai RM12.5 billion dan "Istana Khir" tidak diteruskan dengan penuh semangat?

"Kedua, Teo disoalsiasat selama kira-kira 10 jam 45 minit (iaitu) dari jam 5 petang Rabu hingga jam 3.45 pagi hari Khamis. Ini diakui sendiri oleh Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Datuk Shukri Abdull?

"Mengapa SPRM menyoalsiasat Teo dalam keadaan tidak dapat diterima kerana tidur seperti mangsa penderaan mental dan kenapa beliau dinafikan untuk membawa penasihat undang-undangnya?" kata kenyataan itu lagi.

Tegakkan keadilan

Selain itu, mereka juga mempertikaikan, mengikut dakwaan Ean, iaitu Teo gagal dihubungi selepas dia dibebaskan, dan mengapa dia tidak pulang ke rumah selepas dibenarkan berehat di lobi pejabat SPRM.

Mereka juga mempertikaikan berhubung kelambatan SPRM memanggil sidang akhbar memaklumkan tentang kematian Teo sedangkan mereka menyedarinya pada jam 1.30 tengahari.

"Kenapa? Kenapa SPRM memanggil sidang media hanya pada jam 5 petang, tiga setengah jam selepas menyedari kematiannya," kata kenyataan itu lagi.

Beliau juga mempertikaikan mengapa keluarga mangsa tidak dibenarkan untuk mengesahkan mayat tersebut dan memberi masa selama satu setengah jam untuk membawa ahli patologi.

"Rakyat Malaysia menuntut agar persoalan ini dijawab. Sekurang-kurangnya kami menuntut agar memastikan keadilan ditegakkan tanpa selindung dengan dengan penuh ketelusan dan kredibiliti," katanya.

Malaysiakini

Wednesday, April 22, 2009

Dua minggu lagi Suhakam bakal turun taraf jika tidak memenuhi syarat Dasar Paris : Abu Talib - Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 21 April (SK) : Jawatankuasa Penyelaras Antarabangsa Institusi bagi Mempromosikan dan Melindungi Hak Asasi Manusia (ICC) mahu kebebasan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diperkukuhkan dengan menggariskan secara telus dan jelas berhubung proses perlantikan dan pemecatan dalam akta Suruhanjaya berkenaan.

Pengerusi Suhakam Abu Talib Othman berkata kerajaan hanya ada kurang dua minggu untuk memastikan Suruhanjaya itu memenuhi syarat Dasar Paris untuk mengelak dari diturun taraf.

Beliau juga merasa tidak berpuas hati dengan penambahbaikan Kerajaan terhadap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) setakat ini kerana, jika penurunan taraf dikenakan terhadap Suhakam, maka ia akan dilucutkan keahlian pada Forum Asia-Pasifik dan kedudukannya jatuh ketahap ahli biasa tanpa hak mengundi bererti negara kita sama kedudukan dengan negara-negara ketiga lain.

Susulan dari surat tunjuk sebab yang di terima Suhakam daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengikut Dasar Paris pada bulan Jun tahun lalu jika tidak memenuhi syarat Hak Asasi Manusia diterimapakai mengikut Dasar Paris akan menurunkan dari taraf A ke taraf lebih rendah

Tahun lalu Suhakam telah menerima surat tunjuk sebab dari PBB supaya memenuhi syarat yang ditetapkan Dasar Paris dengan lebih peka dan teliti dalam menangani kes hak asasi manusia mengikut syarat yang ditetapkan.

Jawatankuasa kecil Akriditasi (ACC) yang dianggotai Jerman, kanada, Maghribi dan Korea Selatan berpendapat bahawa pindaan Akta uhakam 2009 yang diluluskan Dewan Rakwat sehari sebelum semakan Suhakam dibuat di Geneva pada 26 Mac lalu tidak memadai.

“Suhakam diperingatkan dengan susulan surat daripada ICC minggu lalu manyatakan badan itu hanya mempunyai 28 hari untuk mencabar pandangan jawatkuasa kecil terebut,” kata beliau.

Menurut Abu Talib, Akta Suhakam kini sedang menunggu perkenan Yang di Pertuan Agong Tuanku Mizan sebelum dapat diwartakan.

“Saya akan menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk memaklumkan perkara ini bagi mendapatkan pandangan beliau,” jelas Abu Talib lagi.

Dasar Paris menetapkan gabungan panduan yang diterimapakai PBB pada 1993 berhubung status dan operasi Institusi Hak Asasi Manusia Kebagsaan (HNRI) negara tertentu.

SK