Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, May 26, 2010

Calon Bukan Islam, PAS Tangkis Propaganda UMNO - TVS

Keputusan PAS meletakkan calon bukan Islam dijangka mampu mengurangkan salah faham masyarakat bukan Islam terhadap ajaran sebenar agama rasmi di negara ini.

Ini berikutan propaganda yang dipasak Umno dalam mengekalkan singgahsana politik sejak sekian lama, menyebabkan penganut bukan Islam, menjadi keliru.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, pendekatan yang dibawa PAS bakal menzahirkan suasana harmoni antara umat Islam dan bukan Islam.

Penganalisis Politik Datuk Dr Zainal Kling sebelum ini menyifatkan kesediaan Pas meletak bukan Islam sebagai calon, menjadi Pas sebagai parti liberal dan tidak lagi memperjuangkan Islam.

Bercakap kepada TV Selangor, Khalid yakin keputusan PAS yang tidak memisah-misahkan kaum bakal mendorong masyarakat bukan Islam lebih menghormati Islam.

Khalid meminta semua pihak membuka mata dan membebaskan diri dari prejudis kaum yang disemai penjajah British dan Umno.

“perjuangan PAS, adalah perjuangan yang ingin melaksanakan wawasan hidup Islam dengan cara yang menyeleruh dan pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk cenderung menghayati Islam, PAS tidak pernah berkrompomi dari segi prinsip ini, inilah apa yang kita usahakan dan memang berkesan” beliau berkata.

Beliau juga menolak andaian rapuh kononnya berlaku perebutan penyokong bukan Islam antara parti dalam Pakatan Rakyat.

“kalau orang yang bukan Islam dia tak nak sokong PAS tapi dia lebih cenderung untuk menyokong DAP, bagi kita pun ianya tidak ada masalah selagi mana DAP pun sendiri dia pun tidak memusuhi perjuangan Islam, ianya bukan merupakan satu masalah kerana kita bekerja dan kita mengamalkan budaya politik yang lebih bertamadun bukan seperti mana dibwah UMNO BN” akhiri Khalid.

TVS

Pertukaran Dengan Singapura, Berkait Dengan Defisit Negara? - TVS

SHAH ALAM 25 MEI: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee tertanya-tanya sama ada perjanjian pertukaran enam bidang tanah di Tanjong Pagar dengan dua kawasan di Singapura, ada kaitan dengan masalah defisit negara yang berjumlah RM363 bilion.

Beliau bimbang kerajaan Umno Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak, sanggup berbuat demikian kerana faktor terdesak dan tidak ada pilihan lain berikutan defisit negara yang semakin membengkak.

Bercakap kepada TV Selangor, Tony Phua tidak terkejut jika perjanjian pada 1 Julai 2011 ini akibat tindakan terdesak kerajaan Umno BN untuk melangsaikan hutang negara.

“Buat masa ini, kita nampak antara satu kebaikan yang Najib boleh terima ialah wang daripada pembangunan tanah di Singapura, tanah yang diperolehi dan dimiliki memang tinggi nilainya.

"Saya rasa antara sebab Najib setuju membuat perjanjian biarpun ada perubahan dalam polisi tentang tanah, berkemungkinan kerana kerajaan Malaysia dapat banyak wang hasil kerja yang bakal dibuat di tanah KTM itu,” katanya.

Sebelum ini, Najib dan rakan sejawat dari Singapura Lee Hsien Loong bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia akan menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan Bajet 2010 tahun lalu menyelar pentadbiran kerajaan persekutuan berikutan defisit negara melonjak dalam tempoh beberapa tahun sahaja.

Pada tahun 2008, hutang negara meningkat 18.3 peratus daripada RM306.4 bilion kepada RM362.5 bilion tahun 2009.

Statistik menunjukkan hutang negara pada 2006 yang berjumlah RM242.2 bilion kemudian meningkat sebanyak 49.7 peratus.

“Kami punya defisit agak tinggi. Defisit negara sudah mencapai RM363 bilion,” katanya yang kesal walaupun pelbagai langkah diumum bagi memacu ekonomi tetapi kemerosotan pendapatan negara, mendorong masalah defisit yang berpanjangan.

“Saya rasa Malaysia sekarang ini tidak cukup wang dan defisit negara sangat tinggi. Jadi, kerajaan BN terdesak untuk menyelesaikan masalah dan bakal mendapat pulangan wang melalui perjanjian seperti itu,” katanya.

TVS

Edar Risalah di Premis Judi Seluruh Negara, Pemuda PAS Gerakkan Jenteranya Esok - TVS

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan mula meggerakkan jenteranya esok di depan premis judi di seluruh negara bagi tujuan mengedarkan risalah membantah judi bola kepada para pengunjungnya.

Ketuanya, Nasarudin Hassan At Tantawi berkata, mereka akan ditugaskan mengedar risalah itu sehinggalah lesen judi bola ditarik semula oleh pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Dalam satu kenyataan bertulis hari ini, Nasaruddin berkata anggota DPPP akan melakukan tugas itu secara bergilir-gilir mengikut sif.

Selain itu, Pemuda PAS katanya menjemput semua insan yang prihatin dan anti-judi untuk membantu mengedarkan risalah itu.

Pemberian lesen judi bola sepak itu mendapat tentangan hebat daripada Pakatan Rakyat serta masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Nasruddin sebelum ini telah mengarahkan dewan Pemuda PAS negeri mengadakan demontrasi membantah pemberian lesen judi itu.

Pada minggu lepas, lima demontrasi membantah lesen judi itu diadakan serentak melibatkan negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Sementara pada Jumaat ini, demonstrasi bantahan yang sama akan diadakan di Kedah, Perlis, Kelantan, Pahang dan Selangor

TVS

Setakat ini tiada lagi lompat parti, kata Anwar - Malaysiakini

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat yang diketahuinya, tiada lagi wakil rakyat PKR yang akan melompat parti setakat ini.

"Ya, setakat yang kita tahu (tiada). Tetapi kalau tawarannya naik daripada RM2 juta kepada 5 juta, saya tak tahu. Setakat ini kita dengar keadaan terkawal," katanya menyifatkan 'pamitan ke sebelah sana' (Umno) sudah berlalu.

Beliau yang juga ketua umum PKR berkata, sebagai sebuah parti baru, menjadi lumrah ia diserang kuat - pengalaman yang menurutnya dikongsi bersama oleh DAP dan PKR sebelum ini, termasuk Umno sendiri.

"Malah Umno sebelum ini menyaksikan penghijarahan pemimpin utama, (termasuk) presiden pertama, kedua dan keempatnya.

"Jadi dalam konteks kita (PKR), kalau (musuh) anggap tak boleh pukul saya secara langsung, (mereka) pukul kekuatan (lain) yang ada pada PKR," katanya.

Selepas pilihan raya umum dua tahun lalu, PKR kehilangan tujuh kerusi parlimen (lihat carta bawah). Empat daripadanya akibat tindakan melompat parti, manakala seorang lagi dipecat.

Tindakan melompat parti oleh ADUN PKR - yang kemudiannya mengisytiharkan menjadi "bebas mesra BN" - juga menyumbang ke arah runtuhnya kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di Perak.


Dalam wawancara dengan Malaysiakini awal petang ini, Anwar berulang kali menegaskan bahawa bekas pemimpin PKR yang melompat "dibeli" dan mendedahkan pihaknya kini sudah bersedia dengan pita rakaman.

"Kita sekarang nasihati kawan-kawan kita buat pita rakaman (tawaran melompat parti)," katanya ketika dikunjungi di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Rakam cubaan menyogok

"Rakaman (menunjukkan) kalau disogok dengan wang. Kita cuba dapatkan dengan (pita rakaman) itu. Kalau lapor pada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) tak ada kesan.

"Maknanya, kalau kita ambil rakaman, kita boleh edar pada orang ramai. Saya tak yakin institusi pemerintah akan lakukan apa-apa, kerana ini arahan pimpinan negara."

Katanya, walaupun seorang demi seorang wakil rakyat dan pemimpin PKR sebelum ini melompat parti, sokongan di peringkat akar umbi tidak terjejas kerana mendakwa ia 'dibuat hasil daripada "perjanjian sulit", bukan dengan restu rakyat.

"Macam Bayan Baru (Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim), selain ahli parlimen (itu) tak ada (ikut), yang lain tinggal (bersama parti). Tiada cabang dibubar, tiada pemimpin (bahagian) keluar. Saya tak lihat masalah," katanya.

Sementara itu, Anwar juga menjangkakan isu pemimpinnya yang lompat parti akan dibangkitkan oleh perwakilan parti itu dalam kongres tahunannya yang akan diadakan pada hujung bulan ini.

"Dalam perbahasan (kongres) kita bebas. Dan kita beri ruang. Oleh yang demikian, saya rasa (perkara ini) akan dibangkitkan, wajar dibangkitkan. Saya rasa (mereka) perlu penjelasan," katanya lagi.

Mengakui parti "sedikit terjejas" dengan tindakan beberapa orang wakil rakyatnya, beliau menjangkakan anggota parti itu akan mendesak pucuk pimpinan PKR lebih teliti memilih calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

"Kita akan jelaskan pemilihan (calon) lalu, dengan keadaan terbatas, tak tamai golongan profesional, sarjana dan intelektual sanggup (bertanding), jadi kita pilih yang ada sahajalah.

"Oleh kerana itu, kesannya juga ada," kata ahli parlimen Permatang Pauh.

Anwar berkata, beberapa 'orang yang rapat dengannya', yang kini berpaling menentangnya, hanya bertemu dengannya "setahun dua kali".

"Lagi pun di Malaysia ini, siapa yang tak rapat dengan saya? Cuba beritahu," katanya cuba berjenaka.

Malaysiakini

Tawaran biayai pertemuan SPRM-Bala di London - Malaysiakini

Peguam yang mewakili penyiasat persendirian P Balasubramaniam telah menguruskan perjalanan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang untuk menemubual pelanggannya itu di London Julai ini.

Dalam satu emel yang dihantar kepada seorang pegawai SPRM hari ini, peguam Americk Singh Sidhu meminta pegawai penyiasat kes tersebut supaya memanjangkan tawaran tersebut kepada pegawai atasannya - pengarah siasatan, Datuk Mustafar Ali.

"Kami telah menguruskan persiapan untuk mereka hadir di London dari 3 hingga 12 Julai untuk tujuan menemubual dan merakamkan kenyataan Balasubramaniam.

"Semua penerbangan dan penginapan (untuk SPRM) telah diuruskan," kata Americk dalam emelnya itu yang salinannya diperolehi Malaysiakini.

Balasubramaniam juga diwakili oleh peguam Manjeet Singh Dhillon.

Americk berkata, daripada mengadakan temubual itu di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London - seperti yang dicadangkan oleh Mustafar dalam satu wawancara dengan akhbar New Straits Times semalam - satu bilik mesyuarat akan ditempah di London.

"Pelanggan saya tidak bersetuju temubual itu dijalankan di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, dan kami juga tidak merasakan perlunya ia diadakan di situ," tambahnya.

SPRM, ketika dihubungi, tidak berhasrat memberi sebarang komen.

Malaysiakini

Tuesday, May 25, 2010

Mahkamah Tolak Permohonan Sivakumar Semak Keputusan 3 ADUN Lompat Parti - SK

PUTRAJAYA 24 Mei - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Pakatan Rakyat, V Sivakumar untuk menyemak semula keputusan yang dibuat mahkamah tersebut sebelum ini yang membenarkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri yang keluar parti menjadi wakil Bebas mengekalkan kerusi masing-masing.

Keputusan panel tiga hakim juga mengesahkan bahawa speaker tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong.

Sivakumar ketika dihubungi Suara Keadilan berkata keputusan mahkamah hari ini mentafsirkan speaker tidak mempunyai kuasa di bawah Perkara 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak sebaliknya yang mempunyai kuasa adalah Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Perkara ini telah dirujuk oleh Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan yang telah menetapkan keputusan yang mempunyai kuasa membuat keputusan adalah SPR.

"Mahkamah Persekutuan juga dalam hujahnya berkata speaker tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Negeri Perak," kata Sivakumar.

Menurutnya lagi, keputusan hari ini oleh tiga panel hakim itu juga menganggap mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 April lepas.

"Keputusan yang dibuat mahkamah itu juga tidak boleh ditarik balik," tambahnya lagi.

Pada 9 April tahun lepas, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff mengisytiharkan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai anggota Dewan Undangan Negeri bagi ketiga-tiga kawasan.

Osman dan Jamaluddin, bekas anggota KEADILAN Perak dan Hee daripada DAP, meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional, sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Panel itu juga memutuskan bahawa SPR adalah badan yang berhak mengisytiharkan kekosongan sesebuah kerusi di Perak, dan bukannya speaker DUN Perak iaitu Sivakumar.

Mahkamah tersebut juga, pada 8 April tahun lepas, telah memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa mendengar kes ketiga-tiga wakil rakyat yang dirujuk secara langsung kepadanya dari Mahkamah Tinggi Ipoh mengikut Perkara 63 Perlembagaan Perak berhubung isu perlembagaan iaitu siapa yang berkuasamengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Perak.


Menerusi notis usul yang difailkan pada 19 April lepas, Sivakumar mendakwa beliau berhak, di bawah undang-undang, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 9 April yang terbatal kerana dibuat tanpa bidang kuasa.

Ketika mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu bidang kuasa, Sivakumar berkata mahkamah tersebut telah secara tidak selaras dengan perlembagaan atau kaedah-kaedah prosedur, menganggap ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Beliau mendakwa Mahkamah Persekutuan telah tersalah tafsir Perlembagaan Persekutuan apabila memutuskan bahawa undang-undang di bawah Perlembagaan Perak adalah undang-undang Persekutuan yang membolehkan bidang kuasa diberikan kepada Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 121(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Sivakumar juga berkata satu lagi kes di mana speaker lawan SPR akan diputuskan di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur, Khamis ini.

SK

Keluarga Pesakit Mental Mati Ditembak Polis Tuntut Penjelasan - SK

MASJID TANAH 24 Mei - Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta pihak polis memberi penjelasan berhubung insiden kematian Mohd Fairulizam Mohammad, 30, yang mati ditembak dalam satu kejadian di Paya Rumput, Melaka tahun lepas.

"Kami mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk datang sendiri melawat keluarga mangsa dan membantu bagi mendapatkan keadilan. Apatah lagi, kejadian ini berlaku di Masjid Tanah, iaitu kawasan parlimen yang beliau sendiri wakili.

"Kami menganggap pihak polis telah menyalahgunakan kuasa dan mengambil kesempatan dengan melakukan sesuatu di luar prosedur operasi. Kini, selepas hampir setahun, pihak polis masih belum memberikan sebarang jawapan kepada keluarga mangsa tentang kejadian yang berlaku," tegas Shamsul pada ceramah di markas PAS Jalan Hujan Panas, Masjud Tanah Sabtu lalu.

Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN turut berkata beliau kesal dengan insiden tersebut sambil meminta pihak ketiga yang bebas diwujudkan bagi menjalankan siasatan termasuk rentetan kes yang melibatkan kematian dalam operasi pihak polis.

Dalam kejadian yang berlaku pada Oktober 2009, mangsa yang merupakan pesakit mental disyaki terlibat dalam satu kejadian amuk telah diminta oleh pihak polis untuk menyerahkan diri.

Ketika serbuan dilakukan, mangsa dikatakan telah meloloskan diri dan membawa lari kenderaan peronda polis keluar dari perkarangan rumahnya. Polis telah mengejar suspek hingga ke jalan raya berdekatan.

Tidak lama selepas itu, bapa mangsa, Mohammad memaklumkan yang dia ada terdengar bunyi letupan yang kuat sebanyak tiga kali tidak jauh dari rumah mereka.

Beliau kemudiannya mengetahui kematian anaknya selepas beliau pergi ke Balai Polis Masjid Tanah.

SK

Judi bola: PAS minta Majlis Raja-Raja ambil tindakan - Harakah

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyuarakan rasa yakin bahawa Majlis Mesyuarat Raja-Raja Malaysia mampu mempengaruhi kerajaan supaya membatalkan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.

"Kami (Ahli Parlimen PAS) berkeyakinan bahawa Majlis Raja-Raja Melayu mengambil tindakan yang wajar mempengaruhi kerajaan supaya isu pemberian lesen judi ini dibatalkan segera," jelas beliau tengah hari tadi, mewakili Ahli Parlimen PAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Majlis Raja-Raja Melayu pada era 1960-an dahulu pernah menunjukkan teladan kepada rakyat dengan mendesak kerajaan Umno BN membatalkan Loteri Kebajikan.

Tambahnya lagi, almarhum Tuanku Sultan Perlis merupakan Raja yang paling menonjol menegur pemimpin Umno pada ketika itu.

Sempena mesyuarat Majlis Raja-Raja Malaysia pada 26 Jun depan yang kebetulan dipengerusikan oleh Tuanku Raja Perlis sekarang, beliau berharap majlis berkenaan mampu mempengaruhi kerajaan supaya membatalkan lesen judi tersebut.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menempelak Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mencabar PAS menutup premis judi di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Beliau menyifatkan cabaran Mohd Khir dan Ibrahim itu sebagai mencipta alasan untuk menutup pekung Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan lesen judi itu.

Sebelum pada itu, suatu memorandum bantahan diserahkan kepada Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia sambil disaksikan oleh Penolong Setiausahanya, Datuk Sabtu Awwab.

Manakala Ahli Parlimen PAS yang menyertai Mahfuz pula adalah Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Yusoff (Rantau Panjang) dan Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa) dan Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Adun Batu Burok).

Harakah

Desak Samy letak jawatan, 2 lagi pemimpin MIC dipecat - Malaysiakini

Dua lagi pemimpin MIC yang turut mendesak Datuk Seri S Samy Vellu meletak segera jawatan presiden, telah dipecat dari MIC.

Mereka ialah ahli jawatankuasa MIC - KP Samy dan G Kumar Amaan - yang mengadakan sidang akhbar minggu lalu untuk menyuarakan kekecewaan mereka terhadap Samy Vellu kerana tidak meletakkan jawatan lebih awal.

Dengan itu, tiga pemimpin parti itu telah dipecat kerana berani membuka mulut menentang pemimpin nombor satu MIC itu.

KP Samy dan Kumar dimaklumkan secara bertulis mengenai pemecatan mereka hari ini atas alasan mereka bertindak berlawanan dengan kepentingan parti.

Mereka dipecat lima hari selepas timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan dipecat kerana secara terbuka mendesak Samy Vellu meletak jawatan dengan segera dan menyifatkan beliau (Samy) sebagai satu liabiliti kepada BN.

Ini adalah kali ketua KP Samy dipecat dari parti itu kerana lantang melawan presiden. Kali pertama ialah pada 1988 bersama dengan naib presiden ketika itu, MG Pandithan, yang mendakwa wujud politik kasta.

Malaysiakini

JK Aduan SPRM selesai siasat kematian Teoh - Malaysiakini

Jawatankuasa Aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyelesaikan siasatan dalaman terhadap pegawai SPRM berhubung kematian Teoh Beng Hock tahun lalu, kata pengerusinya, Datuk Mohd Noor Abdullah.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menentukan sama ada SPRM mematuhi langkah atau prosedur siasatan ketika menyoal-siasat Teoh pada awal pagi 16 Julai lalu.

Pembantu politik itu kemudiannya dijumpai mati pada hari itu, dipercyai jatuh dari ibu pejabat SPRM di Shah Alam.

Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Mohd Noor mengesahkan siasatan pihaknya sudah selesai tetapi enggan mengulas.

"Jawatankuasa telah menyediakan laporan dan menyerahkannya kepada ketua pesuruhjaya. Kerja kita selesai di sini dan terpulang kepada suruhanjaya itu untuk bertindak,” katanya.

Sementara itu, menurut Bernama Mohd Noor juga mencadangkan SPRM supaya mewujudkan bilik khas bagi pemeriksaan saksi dan rakaman pernyataan, yang mempunyai kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV), supaya proses siasatan dapat dijalankan dengan lebih selesa.

Katanya, mereka juga perlu mengenal pasti dan menggariskan kriteria tertentu bagi menetapkan keperluan siasatan dari segi penetapan masa, keselesaan saksi dan pegawai tanpa memudaratkan siasatan.

Cadangan penambahbaikan itu adalah antara lapan cadangan yang terdapat dalam laporan pemeriksaan prosedur siasatan berkaitan kes kematian Teoh.

Mohd Noor yang mempengerusikan jawatankuasa aduan itu adalah juga bekas hakim Mahkamah Rayuan.

Jawatankuasa yang ditubuhkan sejak Februari tahun lalu itu turut dianggotai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Muhammad Mohd Noor, bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Peguamcara dan Peguambela dari Tetuan Chooi & Co Chooi Mun Sou serta Peguamcara dan Peguambela dari VM Ravi & Associates V Ravindran.

Laporan tersebut turut mencadangkan agar proses siasatan mengambil kira faktor kesihatan, keselesaan dan keselamatan saksi serta tanggungjawab pegawai terhadap saksi tersebut sehingga saksi meninggalkan premis SPRM.

SPRM juga perlu membangunkan aspek keselamatan fizikal seperti kelengkapan pagar, pemasangan jeriji, pengawal keselamatan dan kelengkapan CCTV bagi menjamin keselamatan pejabatnya, selain menambah peralatan dan keperluan logistik dari segi kemudahan komputer sehingga cadangan pembinaan kompleks SPRM bagi menjamin aspek keselesaan, keselamatan dan kerahsiaan.

Selain itu, SPRM disaran agar memperbaiki kelemahan dan mengemaskini Perintah-Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya mengenai prosedur mengendalikan saksi dan merakam pernyataan sesuai dengan keperluan siasatan, serta menyemak, mengkaji dan mengadaptasi prosedur pemeriksaan saksi dari agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara seperti Hong Kong.

SPRM juga perlu mengadakan kursus komprehensif dan latihan intensif kepada pegawai bagi membentuk kemahiran dan kepakaran dalam pelaksanaan siasatan, menurut laporan itu.

Laporan itu diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, bersama-sama dengan Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan SPRM 2009, di Putrajaya hari ini.

Pemeriksaan prosedur siasatan yang dijalankan sejak Julai tahun lalu itu turut menetapkan lapan terma rujukan iaitu menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan mengenai aspek mengendalikan saksi dan merakam pernyataan, serta memutuskan sama ada pegawai telah mematuhi garis panduan mengendalikan saksi dan merakam pernyataan dalam kes tersebut.

Ia juga menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan dalam melaksanakan pemeriksaan saksi (soal siasat), menyemak sama ada undang-undang membenarkan pegawai memeriksa dan mencatatkan jawapan saksi sebelum proses sebenar merakam pernyataan, serta menilai keterdesakan siasatan dalam merakam pernyataan saksi
sehingga lewat pagi.

Ia turut menentukan sama ada saksi yang mendapat kebenaran balik ke rumah tetapi memilih untuk berada di premis SPRM masih dalam tanggungjawab SPRM, menilai tahap keselesaan saksi menjalani proses siasatan di premis SPRM serta menyemak kelengkapan logistik dan menilai tahap keselamatan fizikal premis SPRM.

Ketua pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed juga tidak mahu menghurai lanjut tetapi berjanji akan bertindak berdasarkan dokumen lapan perkara berkenaan.

Ditanya sama ada laporan itu akan dikeluarkan semasa inkues kematian Teoh, Abu Kassim berkata ia akan dilakukan jika ada permintaan bagi berbuat demikian.

Malaysiakini

Zaid fail petisyen isytihar keputusan Hulu S'gor tak sah - Malaysiakini

Calon PKR yang ditewaskan bagi kerusi pilihan raya kecil parlimen, Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim hari ini memfailkan petisyen bagi mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu tidak sah.

Beliau mendakwa berlakunya amalan rasuah yang berleluasa oleh pencabarnya.

Petisyen itu difailkan dengan hujah calon BN, P Kamalanathan telah “secara langsung ataupun tidak” mengetahui tawaran yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa berkempen.

"Petisyen tertumpu kepada janji RM3 juta oleh Najib (kepada SRKJ (C) Rasa) dan tawaran-tawaran kepada peneroka Felda," kata peguam Zaid – Malik Imtiaz Sarwar semasa sidang akhbar di rumah Zaid di Petaling Jaya.

Petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi Tetuan Thomas Philip itu, menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Hulu Selangor Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan.

Pada sidang media sebelum ini, Zaid mendakwa jentera dan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) mengamalkan rasuah melalui pelbagai janji yang dibuat untuk meraih undi rakyat.

Katanya, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa gagal mengendalikan pilihan raya kecil itu dengan adil.

Pada pilihan raya itu, calon BN, P Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.


Malaysiakini

Pindah Stesen KTMB Ke Woodlands, Ulang Penukaran Limbang Dengan Blok Minyak - TVS

SHAH ALAM 24 MEI: Pakatan Rakyat hari ini menggesa kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan manfaat di sebalik pertukaran enam bidang tanah di Tanjong Pagar dengan dua kawasan di Singapura.

Bagaimapun, keputusan yang dicapai oleh Najib dengan rakan sejawat dari Singapura, Lee Hsien Loong itu dikhuatiri berakhir seperti krisis di wilayah Limbang.

"Kami, setelah berlakunya pertukaran di Limbang iaitu dua blok L dan M di perairan Sabah dan Sarawak, cukup khuatir dan mahu persoalan ini dilihat daripada perspektif menyeluruh," katanya kepada TV Selangor.

Najib hari ini bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia juga akan menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzufkefly Ahmad mengingatkan Najib betapa era ‘hanya pemimpin tahu semua perkara’ sudah berakhir.

Dalam erti kata lain, beliau berkata, kerajaan harus menilai dan mengambil kira pandangan pihak lain dalam memastikan kedaulatan dan kepentingan negara tidak dikesampingkan begitu sahaja.

"Era pemimpin tahu sudah berlalu, lebih-lebih lagi dalam membuat keputusan yang bersabit dengan kedaulatan, kepentingan, negara dan rakyat. Jadi, jangan mudah-mudah dilakukan tanpa analisis, tanpa kajian mendalam," katanya.

Kata Dr Dzul, Najib harus telus dan terbuka dalam soal perjanjian yang termeterai antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

TVS

Lengah Lulus Entiti Pakatan Rakyat, Gambaran Wujud Keputusan Politik - TVS

DAMANSARA 24 MEI: Pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti dijangka mengambil masa yang lama berikutan campur tangan politik bagi melengah-lengahkan penggabungan ini.

Sekalipun ia dibuat kira-kira setahun lalu, sehingga kini tidak ada perkembangan walaupun sesetengah parti baru yang cenderung menyokong kerajaan pemerintah, melalui jalan pintas.

Bercakap pada sidang media, Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim percaya kelulusan pendaftaran entiti ini banyak bergantung kepada keputusan politik.

Zaid Ibrahim menganggap kelengahan berkenaan memberi gambaran kerajaan Umno- Barisan Nasional (BN) takut untuk meluluskan permohonan ini.

Beliau tidak menyalahkan pegawai kerajaan yang mungkin sudah memberi kelulusan tetapi ia mungkin disekat akibat campur tangan anasir politik.

“Agak-agak saya, pegawai di badan pendaftar pertubuhan (ROS) sudah buat kerja mereka. Saya tak salahkan pegawai, saya rasa ini politik punya keputusanlah. Saya yakin pegawai sudah lulus pun,” katanya.

Beliau kesal kerana kelengahan ini berlawanan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen yang sedia meluluskan permohonan entiti Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penjelasan jitu.

“Apasal BN takut sangat hendak daftarkan Pakatan Rakyat. Sampai hari ini sudah masuk tujuh, lapan bulan. Kalau Parti Makkal Sakti lulus dua minggu sahaja. Parti cinta Malaysia sebulan sahaja.

"Tapi, kalau Pakatan Rakyat tak lulus-lulus pula. Saya pun hairanlah, apa pasal yang takut sangat,” katanya.

TVS

Monday, May 24, 2010

Cabaran RPK kepada kerajaan: Buktikan saya bersalah di UK! - Merdeka Review

Raja Petra Kamaruddin (RPK) akhirnya muncul di BPP Law School, London untuk mencabar kerajaan Malaysia agar membuktikan beliau bersalah di United Kingdom, tetapi bukan mengurungnya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kalau mereka nak main, main ikut peraturan saya! Bak pepatah, kalau nak tumbangkan musuh, ajak dia main di gelanggang kita. Gelanggang saya di sini, United Kingdom!" Demikianlah kata-kata RPK sambil berseloroh ketika dijemput oleh Solicitor’s International Human Rights Group untuk berucap di BPP Law School, semalam.

Semasa menjawab soalan dari bawah pentas, RPK mendakwa sebaik sahaja beliau dibebaskan pada Februari tahun lalu, pendakwa raya telah memohon agar mahkamah menggugurkan penghakiman tersebut. Namun, permohonan itu tidak terjawab sehingga kini. RPK menjangka dirinya mungkin ditahan semula.

RPK berkata dirinya sanggup berdepan dengan pendakwaan pada bila-bila masa, tetapi enggan melayan seandainya beliau perlu dikurungkan di bawah ISA.

Biarpun RPK pernah dicabar untuk pulang ke mahkamah Malaysia dan membuktikan dirinya tidak bersalah, beliau tetap berkeras, "Penuntut fakulti perundangan tahun pertama juga tahu bahawa tanggungjawab pendakwa raya adalah untuk membuktikan tertuduh bersalah, bukannya tertuduh membuktikan dirinya tidak bersalah. Kalau mereka ingin membuktikan saya bersalah, datanglah ke mahkamah UK!"

Salah seorang hadirin membandingkan situasai antara RPK dengan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim, "Kamu dan Anwar Ibrahim berdepan dengan keadaan yang sama. Seorang memilih untuk terus berada dalam negara, seorang lagi memilih untuk terbang ke London. Siapakah pula antaranya yang lebih mungkin untuk mengelakkan diri dari malapetaka?"

Secara terus terang RPK mendakwa Anwar Ibrahim telah bertekad untuk menetap di Malaysia dan menentang sehabis-habisnya, kerana Anwar Ibrahim ingin menjadi Perdana Menteri seterusnya. Namun, RPK menyatakan bahawa dirinya tidak berniat untuk menjadi ahli politik.

London telah menjadi medan perang antara kerajaan dan pembangkang di Malaysia, lantaran populasi warga Malaysianya yang agak tinggi. Ahli politik Malaysia seperti Menteri Besar Negeri Perak Zambry Abd Kadir, Anwar Ibrahim, Mohd Nizar Jamaluddin dan lain-lain lagi pernah mendarat di kota antarabangsa ini untuk memberi ucapan politik. Kini, blogger terkenal di Malaysia, RPK turut tampil berkongsi pengalaman dirinya ketika ditahan di bawah ISA.

ISA bukan warisan penjajah British

RPK menafikan bahawa ISA adalah akta yang diwarisi daripada penjajah British, ketika beliau memulakan ucapannya. ISA diluluskan selepas tiga tahun negara kita mencapai kemerdekaan. RPK menambah, ISA dibentangkan oleh bekas PM Abdul Razak pada tahun 1960 (TPM ketika itu), dibantah oleh pemimpin Parti Progresif Rakyat, D. R.Seenivasagam.

Abdul Razak ketika itu memujuk D. R.Seenivasagam dengan alasan bahawa ISA diperlukan untuk menangkis serangan komunis, namun ISA kini telah menjadi alat kerajaan untuk menekan mereka yang berbeza pandangan dan menakut-nakutkan pegawai kerajaan, kata RPK.
Menurut RPK (gambar kanan), OKT (orang kena tahan) akan diasak dengan pelbagai tuduhan dalam tempoh penahanan 30 hari pertama, malah berdepan dengan ancaman agar OKT mengaku salah. RPK berkata surat pengakuan salahnya setebal 200 muka surat, antaranya termasuklah "membunuh Presiden Kennedy". Beliau akan dibebaskan seandainya mengaku bersalah, dan meletakkan tandatangan pada setiap muka surat, untuk 30 salinan surat pengakuan yang setebal 200 muka surat.

30 hari kemudiannya, OKT akan diseksa, supaya berpaling tadah untuk menyokong kerajaan. Malah, OKT akan digoda dengan pangkat, wang, rumah banglo dan sebagainya. RPK membahagikan OKT kepada dua kategori, iaitu sebahagiannya akan menerima ganjaran setelah kompromi. Selebihnya pula akan diarah untuk terus kekal dalam pembangkang sebagai "trojan horse" BN. Kuda Trojan ini akan mencetuskan perselisihan dalam pembangkang untuk mencungkil rasa benci pengundi, malah RPK terus menyindir bahawa Zulkifli Nordin adalah antara yang terjatuh dalam kategori ini.

Disambut dengan penghormatan

Selain itu, RPK juga mendedahkan penyeksaan yang berlaku ketika penahanan di bawah ISA. Ketika mengulas pilihan raya kecil yang berlangsung di Malaysia setelah dibangkitkan oleh hadirin, RPK berkata pertubuhan antarabangsa harus menghantar pemerhati untuk memantau perjalanan PRK di Malaysia, yang mana penyelewengannya semakin berleluasa.

Ceramah ini diadakan pada jam 2 petang di London, semalam, menarik kehadiran antara 300 hingga 400 orang. Hadirin berdiri dan menyambut ketibaan RPK dengan tepukan gemuruh. Malah, ada yang meminta tandatangan RPK selepas ceramah tersebut.

*Sim Tze Wei adalah penulis khas MerdekaReview yang membuat liputan di BPP Law School, London. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

Merdeka Review

Sunday, May 23, 2010

Mugilan Tubuh Gerakan Anti Samy Vellu - mStar

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang dipecat daripada parti itu kelmarin, semalam mengumumkan penubuhan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

Menurut beliau, GAS akan beroperasi bagi mendesak supaya Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan presiden.

GAS akan mengadakan perhimpunan pertamanya pada Ahad depan dan mensasarkan penyertaan kira-kira 7,000 penyokong.

"GAS adalah himpunan golongan yang menentang Samy Vellu, kita akan terus mendesak sampai beliau letak jawatan dan memberi laluan kepada orang lain untuk menerajui parti," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mugilan, 35, dipecat daripada MIC kerana kenyataannya yang mendesak supaya Samy vellu berundur daripada jawatannya dengan segera.

Rabu lalu, Mugilan membuat desakan supaya Samy Vellu meletakkan jawatannya dengan segera atau selewat-lewatnya pada Disember ini.

Kenyataan itu merupakan rentetan pengumuman Samy Vellu bahawa beliau akan berundur kira-kira lapan atau sembilan bulan sebelum penggal perkhidmatannya sebagai Presiden MIC tamat pada Mei 2012.

Dalam pada itu menurut Mugilan yang juga bekas Ketua pemuda MIC Hulu Selangor, GAS membuka penyertaan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai pendirian yang sama iaitu mahu Samy Vellu melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 1979.

"Gerakan ini akan disertai oleh orang yang dipecat oleh Samy Vellu, yang tak suka dengannya ataupun mana-mana ahli parti yang tak suka dengan kepimpinannya... semua orang boleh sertai GAS tanpa mengira kaum," katanya.

Jelasnya lagi, GAS tidak akan mengadakan perhimpunan jalanan sebaliknya kumpulan berkenaan akan berkumpul secara aman di satu tempat bagi menerangkan kepada para penyokongnya peranan yang bakal dilaksanakan oleh mereka.

"Masa itu nanti kita akan terangkan kepada para penyokong sebab Samy vellu kena berundur.

"GAS banyak gunanya, dulu kita pakai kayu api, sekarang kita pakai gas, tapi kalau masih nak pakai kayu api lagi susahlah... saya akan jumpa dengan penentang Samy Vellu di seluruh negara," katanya.

Selain itu Mugilan menafikan dakwaan banyak pihak yang mengatakan tindakan beraninya mengkritik dan membuat gesaan supaya Samy vellu berundur didalangi oleh pihak-pihak tertentu.

"Memang ramai tanya siapa yang ada di belakang saya. Sebenarnya yang ada di belakang saya ialah ahli-ahli MIC dan rakyat diseluruh negara.

"Mereka inilah yang memberi kekuatan kepada saya selama ini, mereka sebenarnya mempunyai hasrat yang sama seperti saya iaitu mahu kepimpinan MIC ditukarkan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) berhubung pemecatannya, Mugilan berkata beliau tidak merayu bagi jawatannya sebelum ini.

"Saya tak akan merayu bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda MIC, saya tidak mahukan jawatan dan pangkat.

"Tapi saya hanya akan merayu supaya diterima kembali menyertai MIC, saya sayangkan parti ini dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

mStar