Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Sunday, May 23, 2010

Mugilan Tubuh Gerakan Anti Samy Vellu - mStar

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang dipecat daripada parti itu kelmarin, semalam mengumumkan penubuhan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

Menurut beliau, GAS akan beroperasi bagi mendesak supaya Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan presiden.

GAS akan mengadakan perhimpunan pertamanya pada Ahad depan dan mensasarkan penyertaan kira-kira 7,000 penyokong.

"GAS adalah himpunan golongan yang menentang Samy Vellu, kita akan terus mendesak sampai beliau letak jawatan dan memberi laluan kepada orang lain untuk menerajui parti," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mugilan, 35, dipecat daripada MIC kerana kenyataannya yang mendesak supaya Samy vellu berundur daripada jawatannya dengan segera.

Rabu lalu, Mugilan membuat desakan supaya Samy Vellu meletakkan jawatannya dengan segera atau selewat-lewatnya pada Disember ini.

Kenyataan itu merupakan rentetan pengumuman Samy Vellu bahawa beliau akan berundur kira-kira lapan atau sembilan bulan sebelum penggal perkhidmatannya sebagai Presiden MIC tamat pada Mei 2012.

Dalam pada itu menurut Mugilan yang juga bekas Ketua pemuda MIC Hulu Selangor, GAS membuka penyertaan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai pendirian yang sama iaitu mahu Samy Vellu melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 1979.

"Gerakan ini akan disertai oleh orang yang dipecat oleh Samy Vellu, yang tak suka dengannya ataupun mana-mana ahli parti yang tak suka dengan kepimpinannya... semua orang boleh sertai GAS tanpa mengira kaum," katanya.

Jelasnya lagi, GAS tidak akan mengadakan perhimpunan jalanan sebaliknya kumpulan berkenaan akan berkumpul secara aman di satu tempat bagi menerangkan kepada para penyokongnya peranan yang bakal dilaksanakan oleh mereka.

"Masa itu nanti kita akan terangkan kepada para penyokong sebab Samy vellu kena berundur.

"GAS banyak gunanya, dulu kita pakai kayu api, sekarang kita pakai gas, tapi kalau masih nak pakai kayu api lagi susahlah... saya akan jumpa dengan penentang Samy Vellu di seluruh negara," katanya.

Selain itu Mugilan menafikan dakwaan banyak pihak yang mengatakan tindakan beraninya mengkritik dan membuat gesaan supaya Samy vellu berundur didalangi oleh pihak-pihak tertentu.

"Memang ramai tanya siapa yang ada di belakang saya. Sebenarnya yang ada di belakang saya ialah ahli-ahli MIC dan rakyat diseluruh negara.

"Mereka inilah yang memberi kekuatan kepada saya selama ini, mereka sebenarnya mempunyai hasrat yang sama seperti saya iaitu mahu kepimpinan MIC ditukarkan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) berhubung pemecatannya, Mugilan berkata beliau tidak merayu bagi jawatannya sebelum ini.

"Saya tak akan merayu bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda MIC, saya tidak mahukan jawatan dan pangkat.

"Tapi saya hanya akan merayu supaya diterima kembali menyertai MIC, saya sayangkan parti ini dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

mStar

No comments: