Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Sunday, May 23, 2010

Kedah utuh, ADUN Pakatan tolak dakwaan lompat - Malaysiakini

Dakwaan kononnya kerajaan negeri Kedah bakal tumbang apabila beberapa ADUN Pakatan Rakyat, khususnya daripada PKR akan berpaling tadah, ternyata meleset.

Malam semalam pada perhimpunan yang dianjurkan oleh PAS di Kota Sarang Semut, keempat-empat ADUN yang dikaitkan akan meninggalkan Pakatan mengulangi ikrar mereka akan tetap dengan perjuangan parti masing-masing, setidak-tidaknya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, ada pihak meramalkan mereka tidak akan menghadiri majlis ini.

Keempat-keempat mereka adalah ADUN S.Manikumar (Bukit Selambau), Lim Soo Nee (Kulim), Tan Show Kang (Sidam) dan Lee Guan Aik (Kota Darul Aman) diberi masa 15 minit untuk menerangkan pendirian mereka.

Semua mereka melahirkan rasa “tertekan” kerana menerima jumlah panggilan telefon yang tidak berhenti-henti daripada wartawan, penyokong, sahabat dan juga ahli parti untuk mengetaui sama ada dewan undangan negeri Kedah akan dibubarkan.

Sehubungan dengan itu, mereka berkata selepas penjelasan yang diberikan, mereka tidak akan melayan sebarang soalan lagi berhubung perkara berkenaan.

“Sorry-lah … jika ada media yang telefon dan tanya sama ada saya akan lompat, saya akan letak telefon,” kata Tan yang diberi peluang pertama menyatakan pendiriannya.

“Jika anda tanya benda yang sama berulang kali, orang tak mahu dengar-lah, sama seperti pecah rekod, berapa kali perlu saya cakap yang saya tak akan lompat?” katanya.

"Jika ia lagu yang sedap, saya tidak keberatan untuk dengar (berulang kali), tetapi ini adalah soalan bodoh.

"Saya penat dan bosan kerana terpaksa menjawab soalan yang sama berkali-kali. Biar ia dihentikan malam ini," katanya.

Manikumar pula yang bercakap dengan fasih dalam bahasa Melayu berkata kenyataannya sering-kali diputar oleh media bagi memperlihatkan kononnya beliau tidak berpuas hati dengan PKR dan pucuk pimpinan kerajaan negeri Kedah.

“Bila saya ditanya sama ada saya akan lompat, saya kata jika ia berlaku, perkara berkenaan perlu dianalisis dengan teliti, ia mungkin masalah ADUN itu sendiri, masalah dengan pemimpin atau kerajaan negeri, tetapi kata-kata saya diputar,” katanya.

“Saya bukan gila publisiti, saya selalu bincang dalam keadan tertutup, kita mesti bertolak ansur kerana rakyat menyokong saya semasa pilihan raya supaya saya menjadi wakil mereka, tetapi media ingin menjual suarat khabar, jadi Manikumar ingin letak jawatan dijadikan berita,” katanya.

Bagi ADUN Kulim (PKR) Lim Soo Nee, yang didakwa berpotensi paling tinggi akan melompat menceritakan dia dikejutkan dengan panggilan telefon oleh wartawan pada jam 1 pagi semata-mata untuk mengesahkan sama ada dia telah meninggalkan PKR.

“Ini gila, saya telah berkali-kali menjelaskannya tetapi wartawan terus bertanya dan saya tidak akan melayan mereka lagi kerana lagi dilayan mereka jadi lebih bersemangat,” katanya.

“Saya bukan 'katak' tetapi isu ini sudah berlanjutan, kita ada banyak kerja untuk dibuat, jadi tolong jangan telefon saya mengenai perkara itu lagi,” kata Lim sambil menjeling ke arah wartawan yang membuat liputan itu.

Seorang lagi ADUN Pakatan iaitu Lee Guan Aik yang mewakili parti DAP bagi kerusi Kota Darulaman membidas media berhubung spekulasi itu.

“Di media Cina, kita diberi gred - 1, 2 atau 3 – dan ini menunjukkan kebarangkalian atau kemungkinan kita akan melompat atau berpaling tadah, tetapi nasib baik saya hanya diberi Gred 1 sahaja,” katanya dengan sinis.

“Ini cerita lama kerana BN tidak lagi berkuasa sejak dua tahun lalu dan mereka tidak tahu bagaimana menjadi pembangkang," kata Lim yang merupakan seorang bekas anggota tentera.

Ketua PKR Kedah, Ahmad Kassim, yang juga berucap sebelum majlis yang dihadiri lebih dua ribu orang itu berakhir pada jam 12 malam berkata kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undag ke atas mereka yang terus menyebarkan khabar angin berkenaan.

“Kita telah memberi mereka peluang dan ini amaran terakhir, sesiapa yang sebarkan nama orang yang akan lompat sama ada dengan sms, blog atau apa-apa, kita akan bertindak,” katanya.

Majlis malam itu diakhiri dengan ucapan daripada Menteri Besar, Datuk Azizan Abdul Razak yang menggunakan kiasan 'katak, monyet dan ketam' sehinga menyebakan hadirin gelak besar.

Beliau juga menasihatkan wartwan supaya tidak diperbodohkan dengan dakyah Umno dan berkata “Jika Umno bodoh sebarkan penipuan, adakah anda perlu menjadi bodoh juga?”

Katanya, khabar angin kononnya kerjaan negeri Kedah akan tumbang sengaja disebarkan kerana Umno tidak dapat menerima hakikat kekalahan mereka.

“Dalam sistem demokrasi, ada menang dan ada yang kalah; sejak Merdeka, kita sentiasa kalah tetapi kita bersabar dan bila kita menang, Umno menggunakan pelbagai cara yang memalukan dan tidak bertanggungjawab untuk cuba menumbangkan kita,” katanya.

Sehubungan itu, Azizan menegaskan beliau tidak akan membubarkan DUN sebagaimana dihebohkan kerana menerima sokongan padu daripada semua 20 ADUN Pakatan Rakyat, termasuk empat wakil rakyat terbabit.

Azizan berkata, tiada ada alasan baginya membubarkan DUN hanya semata-mata mahu memenuhi spekulasi yang disebarkan Umno yang sengaja mahu menimbulkan kekecohan dan melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

Katanya, semua keempat-empat ADUN itu menyatakan pendirian masing-masing tanpa dipaksa, sebaliknya dengan kerelaan sendiri serta tiada syarat dikenakan.

Malaysiakini

20,000 ahli KPP kini anggota PAS - Malaysiakini

Seramai 20,000 anggota Kelab Penyokong PAS hari ini 'dinaiktaraf' sebagai anggota PAS sepenuhnya melalui penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Ketua penerangan parti itu Idris Ahmad berkata, anggota dewan tersebut kini berpeluang untuk menghadiri muktamar parti sebagai ahli perwakilan bagi mengikuti mesyuarat.

"Tapi untuk mengundi dalam pemilihan parti belum lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, dewan yang dibentuk itu akan menumpukan usaha penerangan dasar parti melalui program dialog dan ceramah.

Jelasnya, usaha itu penting bagi menangkis tohmahan yang dilemparkan BN.

Katanya lagi, tohmahan yang digembar-gemburkan melalui media kawalan BN terhadap parti itulah yang menimbulkan persepsi negatif di kalangan orang bukan Islam terhadap PAS.

"Kalau dulu mereka jalankan aktiviti atas nama kelab penyokong sahaja tapi sekarang mereka akan dapat jalankan aktiviti (dengan) lebih terarah dan tersusun.

"(Fokus) mereka, terangkan dasar PAS dan pecahkan tembok yang memisahkan PAS dengan orang bukan Islam.

Pelancaran dewan tersebut pagi ini disempurnakan oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Serbaguna Pejabat Tanah dan Daerah Klang.

Malaysiakini

Jelajah Anwar sasar kerusi genting - Malaysiakini

Ada atau tidak pilihan raya mengejut, PKR mahu bersiap-sedia menghadapi pilihan raya umum yang akan datang dengan turun padang, khususnya di kerusi-kerusi genting dengan majoriti tipis.

Menunggu di seluruh negara, 'pemikat ceramah' Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha agung Saifuddin Nasution berkata PKR kini memasuki 'mod kempen pilihan raya' untuk tempoh tiga hingga empat bulan lagi.

"Kita telah menganalisis keputusan pilihan raya umum, dan mengenalpasi kerusi berdasarkan faktor 'kebolehmenangan', kita akan hantar Anwar ke kawasan itu untuk gemblengkan sokongan," katanya.

Antara kawasan yang ditandakan dalam kempen jelajah 'Selamatkan Malaysia' merupakan Tanjung Karang di mana kawasan sekitarnya dianggap sebagai kubu BN hingga sekarang.

Malaysiakini

Thursday, May 20, 2010

'Ceramah jalan terbaik nafikan lompat parti' - Malaysiakini

Tindakan PAS Kedah mengerahkan tiga exco PKR dan seorang ADUN DAP - yang dispekulasikan melompat parti - ke majlis ceramah Sabtu ini merupakan sebaik-baik cara bagi menafikan spekulasi itu.

Setiasuaha PAS negeri Senator Muhamad Yusof Husin berkata sekiranya wakil rakyat tersebut tidak tampil memberikan penjelasan, rakyat akan terus bimbang terhadap kesetiaan mereka pada Pakatan Rakyat.

"Masalah ini (lompat parti) boleh diselesaikan secara dalaman (parti). Selagi kita tak buat macam ini (ceramah), keresahan (rakyat) berterusan. Rakyat kata, kenapa kerajaan negeri tak bertindak (mencegahnya)?

"Jadi biar mereka (empat wakil rakyat itu) menjelaskan apa yang didakwa (kepada mereka) pada hari itu, dengan memberi penjelasan dengan penuh ikhlas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

Muhamad Yusof mengulas desas desus bahawa keempat-empat wakil rakyat itu diminta bersumpah supaya setia bersama Pakatan di hadapan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Keempat-empat ADUN tersebut, S Manikumar (Bukit Selambau), Tan Chow Kang (Sidam) dan Lim Soo Nee (Kulim) daripada PKR. Manakala wakil DAP pula Lee Guan Aik (Kota Darulaman).

Mereka sebelum ini dilapor menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Azizan, sekali gus telah menafikan khabar angin mahu keluar parti.

Malah, mereka juga dilapor bersetuju untuk hadir ke majlis tersebut bagi menyatakan pendirian mereka di Kompleks PAS negeri di Kota Sarang Semut, pada 22 Mei, jam 9 malam.

Diminta mengulas bagaimana khabar angin itu muncul, Muhamad Yusof berkata beliau tidak tahu menahu berhubung perkara itu.

Berhubung khabar angin Manikumar, Tan, Lim dan Lee diminta bersumpah taat setia di hadapan Azizan, Muhammad Yusof memberikan jawapan yang sama.

Beliau juga berkata, dalam ceramah Ahad ini, PAS sebagai tunjang utama kerajaan Pakatan di Kedah tidak memberikan apa-apa arahan khusus, sebalik hanya diminta menyatakan pendiriannya.

"Kita tidak tahu apa yang ada isi hati mereka. Kita tidak ada beri arahan apa-apa (untuk ucapan) kepada mereka dan parti," katanya.

Tambahnya, dalam majlis yang dijangka dihadiri ribuan penyokong Pakatan itu, Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim akan turut berucap. Manakala Azizan pula dijadual membuat penggulungan.

Muhamad Yusof itu juga menafikan PAS Kedah 'memaksa' keempat-empat ADUN itu hadir ke majlis tersebut.

"Kita tanya mereka (empat wakil rakyat itu) dulu, bukan kita tak ada hubungan dengan mereka," katanya.

Malaysiakini

SPRM boleh soal siasat luar waktu pejabat - Malaysiakini

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyoal-siasat saksi melebihi waktu pejabat.

Dalam keputusan sebulat suara oleh tiga hakim yang bersidang, mereka mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini menolak keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan kos kepada SPRM dalam saman yang difailkan oleh ahli majlis perbandaran Kajang, Ytan Boon Wah.

Malaysiakini

Pulau Pinang Tambah Bantuan Kepada Sekolah Agama Rakyat - SK

PERMATANG PAUH 20 Mei - Dalam usaha meningkat mutu penganjaran sekolah agama di Pulau Pinang, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pinang telah menambah peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Tahfiz pada tahun 2010 menjadikan jumlahnya RM1.75 juta berbanding RM1.5 juta tahun lepas.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebanyak RM380,950 diberikan kepada 102 Sekolah Rendah Agama dan RM25,000 lagi kepada lima buah Sekolah Tahfiz.

"Kerajaan Negeri berjaya menambah peruntukan RM1.5 juta peruntukan untuk SAR menjadikan jumlah sebanyak RM1.75 juta tahun ini.

"Sumbangan ini juga membuktikan kerajaan Pakatan Rakyat prihatin terhadap SAR yang pernah dibatalkan peruntukan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini," kata beliau pada majlis penyampaian sumbangan peruntukan untuk SAR tahun 2010 di Madrasah Al-Aminiah di Kampung Pertama, Permatang Pauh semalam.

Dengan peruntukan kerajaan negeri pada tahun 2009 telah membolehkan Madrasah Al-Aminiah mewujudkan makmal sains untuk pelajarnya.

"Melalui peruntukan tersebut maka Madrasah Al-Aminiah telah berjaya mewujudkan sebuah makmal sains bagi meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran sains," kata Guan Eng.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir dalam majlis tersebut berharap peruntukan yang diberikan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi merealisasikan aspirasi kepada SAR yang lain terutamanya dalam pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran sains.

Menurut Anwar lagi bantuan pada kali ini juga meliputi Madrasah Manabil Ulul, Penanti sebanyak RM197,000, Madrasah Al-Irsyad Al Asyraf Al-Watanaiah RM159.000, Madrasah Al-Aminiah RM183,000, Sekolah Menengah Islam Ad-Diniah RM166,275, Sekolah Menengah Arab Tahfiz (SMART) sebanyak 120,000, Sekolah Menengah Othmaniah RM90,000, Institut Pengajian Ar- Razi RM70,000 dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Khairiah Islamiah RM23,000.

Manakala SABK Al-Masriyah menerima bantuan berjumlah RM30,000, SABK Maktab Wan Jah RM13,000, SABK Faqiyah Daimiah, Permatang Pauh RM22,000, SABK Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiyyah RM25,000, SABK Daeratul Maarifil Wataniah 1 RM25,000, SABK Daeratul Maarifil Wataniah 2 RM19,000, SABK Al-Mashoor Islami RM25,000, SABK SMATI RM22,000, SABK Al-Mashoor Islami RM25,000, SABK Al-Imam An Nawawi,Lahar Minyak RM3,000, Sekolah Menengah Al-Itqan RM96,275 dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum, Permatang Pauh RM45,000.

Turut sama dalam majlis tersebut termasuk Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malek Abul Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Mohd Salleh Man serta ADUN Sungai Bakap, Makhtar Shapee.

SK

Kongres Nasional KEADILAN Fokus Disiplin Parti - SK

PETALING JAYA 20 Mei - Kongres Parti Keadilan Rakyat bertemakan 'Harapan Baru Selamatkan Malaysia' akan diadakan di Kelantan Trade Centre, Kota Bahru, Kelantan pada 28-30 Mei ini.

Pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana, Petaling Jaya semalam, Timbalan Setiausaha Agung, Sharifah Shahidah berkata kongres tersebut sepatutnya diadakan tahun lalu tetapi ditangguh bagi memberi laluan kepada konvensyen khas parti pada tahun lepas.

"Kongres ini akan bermula dengan perasmian kongres AMK dan Wanita pada 27 Mei dan disempurnakan Timbalan Presiden, Senator Dr Syed Husin Ali.

"Kongres AMK akan diadakan di Perdana Resort manakala Wanita pula di Kelantan Trade Centre.

"Hari kemuncak iaitu kongres nasional pula akan diadakan pada 29 hingga 30 Mei di Kelantan Trade Centre.

Menurut Sharifah, Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menyampaikan ucapan dasar menyentuh isu berhubung isu dalaman dan disiplin termasuk wakil rakyat yang bertindak keluar parti.

"Perbahasan pada tahun ini dijangka berkisar mengenai kejayaan pentadbiran kerajaan Selangor, hubungan KEADILAN dalam Pakatan Rakyat dan persiapan jentera pilihan raya umum ke-13," katanya lagi.

Beliau menganggarkan seramai 2,000 perwakilan dan 200 pemerhati dijangka menghadiri kongres tersebut.

SK

Ekonomi Selangor Terus Berkembang - SK

SHAH ALAM 20 Mei - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau yakin ekonomi di negeri itu akan terus berkembang selaras dengan perkembangan positif ekonomi Malaysia pada suku pertama 2010.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan memandang ke hadapan untuk terus mencapai perkembangan ekonomi yang lebih baik.

"Ada projek kerajaan negeri yang bergerak laju dan berada di landasan yang betul seperti Projek Pemuliharaan Sungai Klang,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa mempengerusikan Majlis Dialog bersama Majlis Perniagaan Selangor 17 Mei lalu yang bertujuan mendapatkan maklum balas mengenai sistem penyampaian kerajaan negeri.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan terus menganjurkan dialog dengan sektor swasta untuk berkongsi pandangan dan mengetahui bagaimana kerajaan negeri boleh membantu untuk menyokong aktiviti perniagaan.

“Bantuan dan sokongan tidak bermaksud kerajaan negeri memberi wang atau tanah percuma. Kita mahu membantu merancakkan lagi aktiviti perniagaan dengan menaik taraf, membaik pulih kemudahan asas selain menambah kecekapan peraturan atau birokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, selain memuji langkah kerajaan Selangor untuk menjadi mesra perniaga dengan menganjurkan majlis dialog itu, Ahli Majlis Perniagaan juga menggesa kerajaan negeri memberi tumpuan kepada tiga masalah yang dihadapi komuniti perniaga iaitu keselamatan, kemudahan pengangkutan dan tenaga kerja.

Ahli Majlis menyarankan supaya kerajaan negeri mengambil inisiatif tertentu bagi meningkatkan tahap keselamatan supaya Selangor terus berdaya saing untuk menjadi destinasi utama pelabur.

Ahli Majlis juga memaklumkan bahawa masalah mendapatkan bekalan tenaga kerja menjadi penghalang kepada pelabur untuk melabur di Selangor.

Justeru, Menteri Besar memberi jaminan kepada Ahli Majlis bahawa kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan pusat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor sedang menimbang memperkenalkan sistem ‘Park and Ride’ untuk mengurangkan kesesakan, kekurangan tempat letak kenderaan dan masalah pengangkutan awam manakala perbincangan dengan Jabatan Tenaga Rakyat akan diaturkan untuk menyelesaikan kekurangan tenaga kerja.

“Untuk masalah keselamatan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk menubuhkan polis bantuan tetapi Polis DiRaja Malaysia ‘keberatan’ menerima idea ini menyebabkan ia tidak dapat diteruskan,” kata Khalid.

Tambah beliau, Selangor masih menjadi lokasi pilihan kepada pelabur asing dan menerima banyak pertanyaan untuk membuat pelaburan.

“Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya telah mengadakan pertemuan dengan delegasi pelabur daripada Indonesia. Kami juga akan mengadakan pertemuan dengan delegasi pelabur daripada Timur Tengah pada minggu depan,” kata Khalid.

Dialog yang dianjurkan Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) itu diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan dihadiri ahli perniagaan serta wakil syarikat besar yang beroperasi di Selangor termasuk Pengerusi Concorde Hotel & Resort (M) Sdn Bhd, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir; Naib Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia, Ir Dr Andy Seo; Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia cawangan Selangor, Tan Sri Prof James Alfred; Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk V K K Teagarajan.

Turut serta, Pengerusi Perisai Petroleum Teknologi Bhd, Datuk Dr Mohd Ariffin Aton; Pengerusi Perusahaan Atomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan UMW Holdings Berhad, Tan Sri Asmat Kamaluddin; Pengarah Urusan Royal Selangor International Sdn Bhd, Tan Sri Yong Poh Kon dan Pengarah Urusan Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Abdul Halim Harun.

SK

Hari Ini: Dr Syed Husin Fail Saman Utusan Esok - SK

SHAH ALAM 19 Mei - Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali akan memfailkan saman terhadap Utusan pukul 11 pagi esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung laporan berita fitnah yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 6hb Mac 2010 di bawah tajuk "RM500,000 Syed Husin dicabar lapor polis".

"Berita tersebut mendakwa saya kononnya menerima RM500,000 daripada Anwar Ibrahim sebagai bayaran untuk membubar Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi memudahkan percantuman dengan Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat," kata beliau dalam laporan media sebelum ini.

Justeru itu, katanya, pihaknya akan mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu terhadap mereka.

Dr Syed Husin juga berkata tindakan undang-undang akan diambil sekiranya tiada jawapan daripada pihak terbabit berhubung tuntutan tersebut.

Beliau akan mengadakan satu sidang media di lobi mahkamah sejurus saman itu difailkan.

SK

SPR Didakwa Cuba Seleweng Undi Pos - SK

PUTRAJAYA 19 Mei - Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke membuat aduan rasmi berhubung kelemahan proses perjalanan pilihan raya kecil Sibu Ahad lalu di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya petang tadi.

Turut hadir menyerahkan aduan kepada SPR termasuk Ketua Penyelaras Ajen Mengundi DAP, Vincent Wu, Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, Mary Josephine dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

"Kita amat tidak berpuashati dengan beberapa perkara yang berlaku dalam PRK Sibu, terutamanya mengenai pengiraan undi pos," kata Loke kepada media selepas menyerahkan aduan kepada SPR.

Loke berkata petugas undi pos Pakatan Rakyat mendapati sewaktu penjumlahan undi pos dilakukan, terdapat beberapa kod undi yang jumlah pemulangannya melebihi dari jumlah yang dikeluarkan. Ia melibatkan Kod 708, iaitu 6 undi dikeluarkan dan 24 yang kembali, Kod 429, 160 yang dikeluarkan dan 161 yang kembali serta Kod 43, sebanyak 47 undi dikeluarkan dan 67 yang kembali.

"Ini tak boleh berlaku kerana undi yang diterima tidak boleh bertambah. Kalau undi yang kembali menjadi sedikit, itu logik, sebab mungkin ada orang yang tak mengundi, dan memang itu hak dia. Kalau ada lebihan, bermakna kertas undi itu tidak dikeluarkan oleh SPR," jelasnya.

Beliau memaklumkan setiap undi pos perlu dikembalikan bersama satu surat akuan yang perlu ditandatangani oleh seorang saksi.

Namun petugas Pakatan Rakyat membantah apabila meragui surat akuan tersebut selepas mendapati banyak sampul yang tidak mempunyai tandatangan.

Bantahan tersebut diterima oleh Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya tetapi seorang pegawai SPR Pusat yang bernama Ismail campur tangan dan mengarahkan beliau untuk menerima semula undi yang ditolak tersebut.

Ini berlaku sedangkan terdapat kesalahan pada sampul dan kertas undi terbabit

Petugas Pakatan Rakyat juga berjaya mengesan individu yang disyaki pengundi hantu.

Mereka turut merakam gambar dan mendedahkan terdapat beberapa individu yang mendakwa diri mereka adalah wakil kepada pengundi pos.

Loke turut mempersoalkan kelewatan pihak SPR untuk mengumumkan keputusan seperti mana yang dijanjikan.

Kelewatan 2 jam itu berpunca dari proses pengesahan pengiraan undi pos. SPR didakwa menangguhkan pengeluaran Borang 15 yang mengesahkan keputusan kiraan tersebut.

"Borang 15 itu adalah bukti pengesahan oleh pegawai SPR dan parti yang bertanding. Kami takkan tinggalkan tempat kiraan tanpa borang tersebut. Bahkan sampai hari ini pun kita masih belum terima borang tersebut," kata Loke.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan kewajaran SPR untuk mewujudkan pusat pengundian di kawasan persendirian seperti rumah panjang.

"Sepatutnya pengundian dijalankan ditempat yang sah dan berkecuali seperti sekolah atau balai raya. SPR mesti ambil iktibar dari insiden seperti ini," jelas Loke lagi.

SK

Tuesday, May 18, 2010

PRU-13 - Pengundi Muda Bakal Tumbangkan Umno-BN - SK

SHAH ALAM 18 Mei - Kemenangan Pakatan Rakyat (Pakatan) di Sibu adalah berpunca daripada faktor pengundi muda yang liberal relatif dan akan jadi penentu perubahan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Pengasas Zentrum Future Studies, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah ketika dihubungi Suara Keadilan berkata keputusan Pilihan Raya Kecil P212 Sibu bukan perkara baru kerana ianya adalah kebangkitan atau 'swing' pengundi bandar berlaku semenjak PRU pada 2008.

"Kekalahan Pakatan di Hulu Selangor disebabkan pengundi luar bandar terutama di Felda yang merupakan pengundi klasik di mana jumlah kaum muda turun amat rendah.

"Penganalisa melihat kemenangan Pakatan di Sibu sebagai sesuatu yang ajaib memandang ramalan awal analisis bersumberkan sejarah tradisi kemenangan Umno-Barisan Nasional di situ.

"Pemikiran politik klasik yang mengatakan Sarawak sebagai kubu kuat BN berdasarkan pilihan raya 2008 ternyata tidak boleh digunapakai," ujarnya.

Tambah Abu Hassan, faktor penghijrahan pengundi muda dari kampung ke bandar dan kemasukan migrasi yang bekerja sebagai guru, tentera dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak telah membawa budaya politik liberal relatif di mana pengundi berfikir secara rasional dalam memilih pemimpin.

"Kesan daripada pemikiran politik baru ini membuktikan bahawa benteng BN berdasarkan politik baka tidak lagi wujud kerana kumpulan pengundi muda lingkungan 21-40 tahun tidak lagi berdasarkan politik baka.

"Pengundi bandar di Semenanjung telah mencetuskan perubahan politik di Sibu dan kebangkitan itu boleh dilihat pada undi di bandar Sibu naik mendadak.

Dr Abu Hassan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya berkata, golongan pengundi muda berusia antara 21 hingga 40 tahun memang diyakini mampu dan boleh mengubah sesuatu keputusan.

"Perubahan undi di luar bandar pula jika mereka masih lagi dengan pemilihan politik klasik, mereka tidak akan mengundi calon tersebut dan ini dapat kita lihat di Sibu apabila mereka memprotes dengan tidak keluar mengundi.

"Pengundi muda pula yang mendapat informasi melalui internet di laman sosial facebook, blog apabila mendapat berita Pakatan ketinggalan dalam kiraan undi mendorong mereka keluar mengundi.

"Walaupun tidak sampai 24 peratus pengundi muda keluar mengundi tetapi ia telah memberikan kemenangan kepada Pakatan.

"Cuba bayangkan jikalau 80 peratus pengundi-pengundi muda ini keluar mengundi," soalnya lagi.

Keputusan PRK P212 Sibu menyaksikan DAP menerusi calonnya, Wong Ho Leng mendapatkan 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron cuma mendapat 232 undi.

SK

MP Kapar: Jangan buang masa telefon saya - Malaysiakini

Ahli parlimen Kapar S Manikavagam mendakwa telah dilaga-lagakan dengan kepimpinan PKR dan kerajaan Selangor ekoran dakwaannya terdapat penyelewengan dalam syarikat kerajaan negeri, Kuala Semesta Sdn Bhd (KSSB).

"Sejak kebelakangan ini ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu (KSSB) ini untuk melaga-lagakan saya dengan kepimpinan parti dan kerajaan Selangor.

"Nasihat saya kepada mereka, jangan membuang masa dengan menelefon atau berjumpa dengan saya berhubung isu ini," kata Manikavasagam (kiri).

Wakil rakyat PKR itu bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas siapakah pihak yang dimaksudkannya itu.

Selepas membuat pendedahan minggu lalu, berlaku cabar-mencabar antara beliau dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sehingga mendorong 11 ahli parlimen PKR tampil mencadangkan badan bebas bagi menyiasat dakwaan itu.

Kes KSSB itu juga dijadikan salah satu alasan bagi ahli parlimen Wangsa Maju Wee Cho Keong yang mengumum keluar PKR dan menjadi ahli bebas Jumaat lalu.

Selepas dikaitkan dengan tindakan Wee itu, Manikavasagam - dalam satu kenyataan hari ini - sekali lagi menegaskan kesetiaannya kepada PKR.

"Pendirian saya adalah sama dengan pendirian parti untuk menghapuskan segala bentuk gejala rasuah," katanya.

Beliau juga berkata, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibraim telah memberikan jaminan kepadanya bahawa aduannya akan disiasat dengan telus dan terperinci.

"Justeru saya membuat keputusan untuk menyerahkan isu ini kepada ketua umum parti untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dakwaan Manikavasagam itu kini dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), di bawah DUN Selangor.
Malaysiakini

Mantan wakil rakyat Umno desak batal judi bola - Malaysiakini

Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (PAKKU) mendesak kerajaan membatalkan serta merta lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat dewan tertinggi pertubuhan itu yang dipengerusikan presiden Tan Sri Adam Abdul Kadir dan dihadiri beberapa anggota lain antaranya bekas menteri pertanian Tan Sri Sanusi Junid dan bekas menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan Tan Sri Sabbaruddin Chik, kata naib presiden Tamrin Ghafar dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Berjaya Corp dilaporan telah menerima kembali lesen perjudian sukan.

Pada 6 Mei, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen berkenaan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Malaysiakini

Projek tebatan banjir RM5j: Najib 'berkira-kira' - Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini masih berkira-kira sama ada akan meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta untuk satu projek mitigasi banjir di Sibu.

Peruntukan itu merupakan satu tawaran yang dibuat oleh perdana menteri pada hari terakhir kempen pilihan raya kecil Sibu, Sabtu lalu.

"Kita akan teliti terlebih dahulu, kerana kita belum membuat sebarang keputusan tentang hal tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Najib yang juga pengerusi BN mengumumkan bahawa beliau akan menandatangani cek untuk projek tebatan banjir tersebut hari ini, sekiranya mereka menyokong Robert Lau Jr.

"Mari kita membuat perjanjian. Jika anda memberikan sokongan kepada Robert Lau Jr pada hari Ahad, saya akan menandatangani cek pada hari Isnin," katanya seperti dilaporkan sebelum ini.

Lau bagaimanapun tewas kepada calon DAP Wong Ho Leng dengan majoriti tipis 398.

Ketika ditanya, Najib juga enggan mengulas sama ada ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud merupakan salah satu faktor kekalahan BN.

Katanya, beliau "tidak mahu membuat spekulasi” berhubung mengenai perkara itu.

Para penganalisis, antara lainnya menyebut, pengundi daripada masyarakat Cina di situ tidak menggemari corak pentadbiran Abdul Taib.

Wajah ketua menteri itu juga tidak banyak dipaparkan dalam bahan-bahan kempen seperti poster di kawasan bandar Sibu, semasa kempen berlangsung.

Malaysiakini

Monday, May 17, 2010

Syed Hussein: Umno bukan PKR bakal karam - Malaysiakini

Tindakan beberapa pemimpin, termasuk ahli parlimen, ADUN dan ahli PKR yang meninggalkan parti itu sengaja dibesar-besarkan oleh media yang dikuasai oleh kerajaan sedangkan hakikatnya ia tidak akan meruntuhkan parti itu, kata Timbalan Presidennya, Syed Hussein Ali.

“Memang diakui imej PKR terjejas sedikit oleh tindakan beberapa orang ahli parlimen dan ADUN yang melompat katak. Akan tetapi mereka adalah anasir-anasir buruk dalam parti yang mempunyai banyak masalah diri dan tidak membuat kerja.

“Pasti mereka akan diganti kelak dengan calon-calon lebih berwibawa dalam pilihanraya akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Syed Hussein tindakan mereka meninggalkan PKR dianggap terlalu kerdil jika dibandingkan dengan peristiwa presiden Umno seperti Tunku Abdul Rahman Putra dan juga Tun Hussein Onn meninggal parti yang pernah mereka terajui dulu.

“Tentang apa yang didakwa 'anggota-anggota' yang konon keluar beramai-ramai, kami telah semak dan dapati kebanyakkan mereka bukan anggota.

“Walau apapun, bilangan anggota PKR yang keluar jauh lebih kecil daripada ribuan ahli Umno yang keluar setelah saudara Anwar Ibrahim tersingkir, dizalimi dan diaibkan,” katanya.

Mengenai tindakan Ketua Cabang PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda berserta 488 ahlinya yang meninggalkan parti itu, Syed Husin berkata Fauzi dan suku sakatnya sudah lama menjadi duri dalam daging dan tindakan berkenaan adalah sangat dialu-alukan.

“Sekarang cabang itu boleh bersatu di bawah pimpinan yang lebih komited. Fauzi tidak lama dulu telah membuat surat sumpah menuduh PM Najib yang ditemuinya berjanji hendak memberinya banyak wang,” katanya.

Tambahnya, PKR tidak akan runtuh sebaliknya Umno-BN yang sebenarnya sedang karam.

“Insya-Allah mereka akan karam lebih cepat lagi selepas Sibu,” katanya.

Malaysiakini