Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, May 18, 2010

PRU-13 - Pengundi Muda Bakal Tumbangkan Umno-BN - SK

SHAH ALAM 18 Mei - Kemenangan Pakatan Rakyat (Pakatan) di Sibu adalah berpunca daripada faktor pengundi muda yang liberal relatif dan akan jadi penentu perubahan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Pengasas Zentrum Future Studies, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah ketika dihubungi Suara Keadilan berkata keputusan Pilihan Raya Kecil P212 Sibu bukan perkara baru kerana ianya adalah kebangkitan atau 'swing' pengundi bandar berlaku semenjak PRU pada 2008.

"Kekalahan Pakatan di Hulu Selangor disebabkan pengundi luar bandar terutama di Felda yang merupakan pengundi klasik di mana jumlah kaum muda turun amat rendah.

"Penganalisa melihat kemenangan Pakatan di Sibu sebagai sesuatu yang ajaib memandang ramalan awal analisis bersumberkan sejarah tradisi kemenangan Umno-Barisan Nasional di situ.

"Pemikiran politik klasik yang mengatakan Sarawak sebagai kubu kuat BN berdasarkan pilihan raya 2008 ternyata tidak boleh digunapakai," ujarnya.

Tambah Abu Hassan, faktor penghijrahan pengundi muda dari kampung ke bandar dan kemasukan migrasi yang bekerja sebagai guru, tentera dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak telah membawa budaya politik liberal relatif di mana pengundi berfikir secara rasional dalam memilih pemimpin.

"Kesan daripada pemikiran politik baru ini membuktikan bahawa benteng BN berdasarkan politik baka tidak lagi wujud kerana kumpulan pengundi muda lingkungan 21-40 tahun tidak lagi berdasarkan politik baka.

"Pengundi bandar di Semenanjung telah mencetuskan perubahan politik di Sibu dan kebangkitan itu boleh dilihat pada undi di bandar Sibu naik mendadak.

Dr Abu Hassan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya berkata, golongan pengundi muda berusia antara 21 hingga 40 tahun memang diyakini mampu dan boleh mengubah sesuatu keputusan.

"Perubahan undi di luar bandar pula jika mereka masih lagi dengan pemilihan politik klasik, mereka tidak akan mengundi calon tersebut dan ini dapat kita lihat di Sibu apabila mereka memprotes dengan tidak keluar mengundi.

"Pengundi muda pula yang mendapat informasi melalui internet di laman sosial facebook, blog apabila mendapat berita Pakatan ketinggalan dalam kiraan undi mendorong mereka keluar mengundi.

"Walaupun tidak sampai 24 peratus pengundi muda keluar mengundi tetapi ia telah memberikan kemenangan kepada Pakatan.

"Cuba bayangkan jikalau 80 peratus pengundi-pengundi muda ini keluar mengundi," soalnya lagi.

Keputusan PRK P212 Sibu menyaksikan DAP menerusi calonnya, Wong Ho Leng mendapatkan 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron cuma mendapat 232 undi.

SK

No comments: