Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, October 5, 2009

Pemidang dakwa Khairy mungkir janji hilang - Malaysiakini

Kain pemidang yang mendakwa janji Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, sewaktu menjadi calon BN di Rembau ketika pilihan raya umum lalu, tidak pernah dikotakan telah dibuang.

Kain berukuran 15 kaki yang dipasang oleh PKR bersempena pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang di Batu 4, Jalan Teluk Kemang, Port Dickson hanya disedari kehilangannya oleh petugas Pakatan Rakyat pada jam 8 malam tadi.

Kira-kira jam 4.45 petang, seorang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) cuba memotong tali yang menggantung pemidang tersebut.

Secara kebetulan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar yang berada kira-kira 60 meter dari kawasan tersebut bersama-sama sekumpulan wartawan dan jurugambar - pegawai penguatkuasa itu bagaimanapun tidak perasan kehadiran Zulkefly dan petugas media di situ.

Setelah melihat sekumpulan wartawan berkejar ke arahnya dan mengambil foto beliau, pegawai penguatkuasa itu panik dan bergegas meninggalkan tempat itu dengan menaiki sebuah kereta persendirian yang dipandu oleh seorang lagi pegawai penguatkuasa.

Sejurus itu beberapa pegawai penguatkuasa MPPD hadir dan kelihatan Zulkefly meminta mereka memberi alasan mengapa pemidang itu hendak di potong.

Pegawai-pegawai tersebut gagal memberikan penjelasan munasabah dan seterusnya memohon maaf kepada Zulkefly atas tindakan mereka.

Namun insiden pemidang ini tidak berakhir dengan permohonan maaf itu apabila awal malam tadi disedari ia telah lesap.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shahrin, yang bertanggungjawab memasang pemidang tersebut, mendakwa kehilangan ini angkara khianat petugas Umno dan tindalan itu menggambarkan sikap penakut mereka apabila dakwaan mungkin janji parti itu didedahkan.

"Umno penakut dan tidak dapat menjawab isu. Maka, mereka menggunakan cara samseng untuk menanggalkan pemidang ini dan digantikan dengan pemidang Umno-BN.

"Kami akan membuat laporan polis esok (5 Okt) dan kami kesali kerana pemimpin Umno enggan menerima hakikat bahawa rakyat Rembau mengkritik mereka," katanya, yang juga dikenali sebagai CheGu Bard.

Pemidang tersebut menyenaraikan janji BN ketika di kawasan parlimen itu, yang gagal direbut oleh Badrul Hisham, yang didakwa masih tidak ditunaikan lagi.

Ia berbunyi "mereka datang dan berjanji lagi, jangan percaya". Janji-janji yang belum dikotakan itu antaranya pusat tuisyen, masjid, hospital, lapangan terbang dan universiti.

"Maka saya sebagai ketua cabang PKR Rembau dan sebagai bekas calon PKR yang menentang beliau ingin menuntut janji tersebut seperti mana yang dijanjikan oleh Khairy dan Umno-BN ketika pilihan raya umum dulu," katanya.

"Saya mewakili rakyat Rembau membawa suara mereka dalam bentuk pemidang tersebut.

"Malangnya (Umno) takut menjawab isu tersebut, mereka telah menghilangkan pemidang itu. Umno bacul," katanya, dengan nada berang dengan kehilangan pemidang.

Malaysiakini

No comments: