Seorang penyokong kerajaan hari ini secara lantang mendesak Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berundur kerana disifatkan sudah tidak mendapat kepercayaan parti selain imejnya yang sudah tercalar.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk melakukan perkara sama kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai menteri.
Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, beliau berkata sebagai barisan hadapan kabinet, seorang menteri tidak seharusnya hilang kepercayaan anggota parti apatah lagi jika maruah dan imejnya jatuh di mata rakyat.
"Kalau ada menteri kabinet yang hilang kepercayaan di kalangan ahli partinya, buat apa jadi menteri kabinet, berhentilah.
"Kalau ada harga diri, maruah diri, berhenti, jangan susahkan perdana menteri. Orang lain dalam MCA boleh ganti tempat (dia), apa ingat dia seorang sahaja yang pandai," katanya.
Mohamad berkata menteri berkenaan wajar berundur sejajar dengan slogan kerajaan sekarang iaitu supaya 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.
"Saya cakap apa yang dirasai sebahagian besar rakyat. Inilah makna rakyat didahulukan, menteripun harus bersikap rakyat didahulukan. Rakyat sudah tidak mahu... jalan, jangan tunggu... get out you!" katanya.
Mengenai kedudukan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga dan menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), beliau berkata menteri itu sendiri tidak menunjukkan prestasi yang baik.
"Jaga KPI tetapi kalau diri tidak ada KPI, kakitangan di bawah hilang kepercayaan, bagaimana keberkesanan kita sebagai menteri.
"Saya kasihan pada kawan saya (bekas anggota parlimen) Batu Kawan (Huan Cheng Guan), dulu seorang anggota parlimen yang baik tetapi kawasannya dirampas presiden (Gerakan, Koh) yang bertanding, tetapi kalah satu negeri, macam ini hendak jaga KPI," katanya.
Beliau juga menyifatkan Koh sebagai "suka mengampu" kerana tidak pernah hadir di Parlimen kecuali apabila perdana menteri hadir.
"Jadi senator, masuk pintu belakang, jadi menteri, tak datang pun Parlimen. Perdana menteri datang, dia datang, perdana menteri datang, dia datang... ini namanya menteri mengampu," katanya yang menerima sokongan beberapa anggota Parlimen lain termasuk pembangkang.
Kemudian dengan nada yang lebih rendah, Mohamad yang telah tiga penggal menjadi wakil rakyat, turut menasihati para menteri agar tidak bersikap sombong atau bongkak.
"Kata orang tua, kalau dongak ke langit jangan lupa rumput di bumi. Jangan jadi teratai, ke langit tidak sampai ke bawah tidak jejak.
"Hari ini kau menteri esok orang biasa, untung macam saya semalam anggota parlimen, hari ini anggota parlimen, esok dan selama-lamanya anggota parlimen," katanya disambut derai ketawa mereka yang hadir.
Kenyataannya itu membuatkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee mencelah dan bertanya adakah itu bermakna beliau tidak berminat untuk menjadi menteri.
Menjawab soalan itu Mohamad berkata: "Saya sudah pernah pengalaman menjadi exco. Setahun 241 mesyuarat, susah hendak jumpa bini, timang anak tak dapat, timang bini pun tak dapat, cukuplah."
"Tanyalah menteri yang betul bekerja, tak sempat dia timang anak tak sempat... wakil rakyat beginipun alhamdulillah," katanya sekali lagi disambut tepukan mereka yang hadir.
Beliau turut membangkitkan beberapa isu semasa termasuk dasar terbaru kerajaan supaya semua kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun diwajibkan membuat pemeriksaan tahunan di Puspakom sebagai syarat memperbaharui cukai jalan bermula 1 Jan tahun depan.
Katanya, dasar itu hanya menyusahkan rakyat, terutamanya masyarakat kampung, dan ini boleh boleh menjatuhkan BN.
"Pakcik saya di kampung hendak cari kereta 20 tahun sebab nak bayar tunai RM5,000. Rakyat kampung hendak kereta tua sebab murah, bila letak syarat macam ini, ini gila punya syarat, tak kira siapa buat polisi," kata Mohamad yang mendesak agar dasar itu diubah segera.
Peraturan baru yang diumumkan kerajaan semalam dan merupakan antara 18 langkah baru yang diperkenalkan dalam kajian semula Dasar Automatif Nasional (NAP) bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta menawarkan kenderaan lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi.
Isu lain yang turut dibangkitkan termasuk tindakan menghalang peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Malaysia (PTPTN) ke luar negara yang beliau harap dapat dikaji semula manakala Kementerian Kesihatan diminta memberi penjelasan tentang dakwaan masakan tomyam campur, yang menggabungkan makanan laut dengan makanan darat contohnya ayam dan daging, mempunyai kaitan dengan jumlah penyakit dan daya tahan penyakit yang semakin rendah di kalangan rakyat negara ini.
Beliau berkata, menurut Islam adalah dilarang masakan yang mencampurkan makanan laut dan darat kerana dikhuatiri boleh memudaratkan sistem penghadaman manusia. BERNAMA
Malaysiakini
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment