Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Bagan Pinang. Show all posts
Showing posts with label Bagan Pinang. Show all posts

Monday, October 19, 2009

Bagan Pinang: Persimpangan kritikal buat semua? - Harakah

ANALISIS
Benar, Tan Sri Isa Samad menang besar di Bagan Pinang. Semua pihak akur yang Isa memang sukar digugat di Bagan Pinang, bahkan di seluruh kawasan parlimen Telok Kemang, yang beliau adalah Ketua Bahagiannya. Menawan kerusi ini dari Isa, semacam hendak merampas Permatang Pauh dari DS Anwar. Bukan senang.

Bukan sahaja pihak lawan, bahkan MB Mohd Hassan dan tidak keterlaluan kalau dikatakan DS Najib, Presiden Umno itu pun tak boleh cabar Isa di situ. Sebab itu hanya dituruti saja kehendak penyokong tegar Isa. Kalau bertanding bebas pun dikatakan Isa akan menang.

Sebab itu, Umno tidak ada pilihan kecuali untuk meletakkan Isa juga, meskipun disanggah kedua-dua mantan Presiden, Tun dan Timbalannya, Ku Li. Mentelahan, setelah kalah 7-0 dalam p/raya kecil di Semenanjung dan 4-0 di tangan PAS, Umno tekad dan desperat untuk menang, walau dengan apa jua cara pun. Persetankan pengkritik.

Formula mereka mengena. Bahkan mereka untung besar. Pimpinan Umno bersorak dan berkokok sekeliling kampung. Lama mana media BN akan mainkan belum pasti.

Umno akan berhenti bersorak ketika mereka sedar bahawa Bagan Pinang, tidak menggambar Malaysia sebenarnya. Kemenangan Bagan Pinang sukar untuk dijadikan ukuran. Yang menang pun, mengikut ramai pundit politik bukan Umno/BN tetapi Isa Samad!

Sememang Isa adalah peribadi yang rata-ratanya disenangi banyak pihak. Orangnya mudah bicaranya tidak canggih seperti juga pemikiranya. Namun Umno sendiri tahu bahawa Isa bukanlah tokoh yang hendak di'ikonkan' Umno. Isa adalah sebaliknya dari cita-cita pembaharuan mereka. 22 tahun menjadi MB bukan masa yang singkat. Tapi Isa gagal menjadi mercu-tanda atau lambang kemegahan Umno. Mereka jua tahu dan faham.

Tidak banyak yang mampu dibariskan Umno bagi memperagakan pencapaiannya. Sebaliknya setiap hari kempen menyaksikan jentera penerangan PAS/PR menyenaraikan kepincangan, ketimpangan dan ketidaksudahan kerja tangan Isa. Masih banyak yang berbaki yang tidak sempat didedahkan kempen Pakatan.

Samada kegagalan itu akibat rasuah, kronisme atau pendeknya ketidakcekapan kepemimpinannya atau 'Plainly Incompetent' dalam bahasa inggerisnya, dengan izin. pengundi Bagan Pinang tidak peduli samasekali. Mereka sudah tekad untuk mengundi Isa. Umum kurang faham sebabya.

Kajian sikap dan persepsi menunjukkan pengundi hanya memberikan 8% perhitungan kepada soalan isu-isu kempen, sementara meletakkan 45% perkiraan calon dan 30% kepada parti yang bertanding. Sukar menembusi pengundi seperti ini. Ini kepelikan Bagan Pinang yang penganalisis kerusi empuk atau pengamat maya kurang faham.

Nah, sekarang Najib berdepan dengan dilema besar. Umno dikatakan akan kembali releven kerana kemenangan Isa Samad. Ironisnya Umno semacam mendapat talian hayat dengan Isa. Umno yang mengambil tindakan disiplin menghukum Isa kerana politik wang atau rasuah, kini terpaksa bersandarkan Isa untuk membenteras imej Rasuah parti Melayu terbesar itu. Ini cukup menyeksa Najib dan pimpinan Umno.

Bahkan mungkinkah Najib terpaksa mengintai-ngintai peribadi-peribadi seangkatan Isa. Mungkin mantan Ketua Menteri Melaka, mantan MB Pahang, Perlis dll, andainya berlaku pulak pilihanraya kecil lagi di negeri-negeri Umno/BN ini. Apakah golongan dari orde lama ini yang akan diharapkan menghidupkan Umno kembali seperti yang ditunjukkan di Bagan Pinang? Bagaimana dengan pemunggaran semula Umno?

Masih banyak kerusi-kerusi seumpama Bagan Pinang yang Umno masih boleh menaruh harap untuk menang besar di Negeri Sembilan, Melaka atau Johor. Kemudian berkokok kuat-kuat bahawa rakyat telah kembali kepangkuan Umno/BN. Najib silap dan partinya pun silap membuat ektrapolasi atau rumusan borong seperti itu untuk seluruh negara. Hati kecil mereka tahu bahawa dakwaan mereka tidak dapat mereka benarkan sendiri.

Kemenangan Umno di Bagan Pinang ialah kedudukan 'status-quo'. PAS turun sebagai 'underdog' dan Umno sebagai 'juara menanti' atau 'incumbent'. Macamlah PAS menang di Bukit Gantang, Penanti dan Manik Urai, atau PKR memenangi kerusi Permatang Pauh. Kelainan hanyalah terdapat pada kerusi Kuala Terengganu yang ditawan oleh PAS dari Umno. Itu boleh berkokok kuat-kuat. Itu lonjakan dan prestasi luarbiasa namanya.

Sebaliknya, Najib dan media BN terlalu ghirah untuk meyakinkan bahawa slogan 1-Malaysianya telah diterima rakyat dengan kemenangan Isa. Maka apakah Isa itu 1-Malaysia ke? Apa barang ini 1- Malaysia? 'Maskot'nya Isa Samad ke?

Kini Najib terperangkap dengan kelemahan kepimpinannya sendiri. Umno terlepas peluang di Bagan Pinang untuk memerdekakan ahli, pengundi dan rakyat. Beliau gagal menampilkan orang muda, profesional dan mungkin juga bersih untuk proses penambahbaikan atau 'reengineering' Umno.

Umno mahu terus mencandukan rakyat dengan imbuhan, sogokan dan gula-gula yang mampu ditaja oleh seorang mantan MB yang mewah setelah 22 tahun 'mengemudi' negeri terbanyak itu.

Umno tidak bersedia bermain di pentas 'Politik Baru' ?politik berteraskan pengundi yang dibekalkan maklumat, lantas keberanian memilih sesiapa pun yang mereka tanggap mewakili cita-rasa dan harapan mereka.

Justeru, Najib gagal meyakinkan rakyat seluruhnya bahawa dia komited untuk memerangi rasuah dan politik wang. Mereka tahu bahawa Isa bukan ikon 'pembenteras rasuah' bahkan sebaliknya. Di satu sisi, nampaknya MCA jauh lebih berani membuat tekad perubahan dalam pergolakan dalaman parti itu mutakhir ini.

Umno telah menggunakan Mesyuarat Agung parti itu untuk menjadi pemangkin proses pemulihan dan rawatan parti itu? Umno masih mahu mencuba. Pindaan perlembagaan parti itu dalam mesyuarat khasnya telah dijadikan retorik terbuka ke atas komitmen tersebut. Hanya masa akan menentukan komitmen mereka terhadap program pembasmian rasuah dan pemunggaran semula Umno.

Apakah keberanian menciplak slogan dan retorik Pakatan yang nyata lebih selesa dengan pendekatan 'Inklusif' dan 'Rentas-Kaum' dalam advokasi tawaran politiknya, seperti mana slogan Pakatan atau PAS contohnya dengan slogan 'PAS Untuk Semua'?

Apakah Umno akan mengendurkan paksi 'Ketuanan Melayu'nya sekaligus terpaksa mengakui kelebihan slogan Pakatan dengan satu yang Inklusif yakni 'Ketuanan Rakyat'. Umno jelasnya tercepit dan terperangkap dengan dogma pemikiran lamanya. Kini kesemua dogma itu menghantui kesinambungan survivalnya dalam arus Politik Baru.

Umno takut untuk membuat perubahan besar meninggalkan paksi lamanya kerana takut kehilangan sokongan tegar Melayunya. Umno tidak pasti akan dapat mengembalikan sokongan India dan Cinanya dengan pendekatan baru ini, tapi yang jelasnya Umno khuatir kehilangan sokongan undi Melayunya, andaikata gagasan ini ditolak oleh pengundi tegar Melayunya bahkan sesetengah pemimpin dan ahli akar-umbinya. Ini dilema Umno dipersimpangan ini.

Mungkin ada yang menelah, apa kurangnya PAS dan Pakatan?

Episod-episod pertentangan samada di antara parti-parti komponen Pakatan atau dalaman mana-mana parti itu sendiri, samada dalam PAS atau PKR, adalah bibit-bibit pencerminan konflik dan dilema yang sedang dilalui Pakatan. Ini pengamatan penulis.

Sebaliknya Pakatan jangan bermudah untuk menyembunyikan hakikat ini. Lebih berani Pakatan menangani ini permasalahan ini secara kolektif dan konsisten, lebih baik natijahnya bagi Pakatan. Menyapunya ke bawah karpet hanya akan melengah letupan bomb jangka ini. Ia tetap akan meletup.

PAS dan Pakatan boleh sahaja meletakkan kekalahan di Bagan Pinang kepada masalah Undi Pos atau keganasan pihak lawan sehingga mencetuskan 'fear factor' khususnya di kalangan pengundi Cina dan India di estate- estate. Mungkin ada kebenarannya.

Namun ramai yang mahukan keputusan Bagan Pinang menjadi satu 'wake-up call' atau kejutan dari mimpi enak Pakatan, yang sejak selepas Mac 2008 di perkuatkan dengan kemenangan 7-0 ke atas Umno/BN di Semenanjung.

Mereka mahu PAS dan parti-parti komponen Pakatan, wajar menjadikan PRK Bagan Pinang sebagai satu 'peringatan tegas' bahawa 'Road-Map' ke Putrajaya tidak semudah dan semanis yang dituturkan pemimpin Pakatan.

Kalau benar-benar Agenda Perubahan Besar PRU ke-13 mahu digapai dan direalisasikan, maka tahap kesiapsagaan dan keserasian bekerja sebagai sebuah Koalisi Politik yang bakal menjadi Kerajaan Pusat, semestinya diperbaikki segera. Mereka mahukan Pakatan menunjukkan keupayaannya untuk bertindak sebagai satu Koalisi yang mantap dan kredible. Mereka mahu pertelingkahan titik bengit dan perhitungan kepentingan partisan atau parokial parti-parti komponen Pakatan diselesaikan segera dengan bijak dan cermat.

Percakaran dan perbalahan di antara pimpinan komponen Pakatan khususnya yang menerajui kerajaan negeri atau di Pusat disaran dihentikan segera. Mekanisme mengatasi perbezaan dan pertikaian polisi khususnya yang berunsur ras, kaum dan agama mesti diurus dengan bijak, cermat dan berkesan. Sikap berdolak-dalik atau tidak konsisten dan komited dengan dasar-dasar yang disepakati tidak wajar diberi ruang untuk menjadi cemohan dan modal politik pihak lawan mendakwa kerapuhan perpaduan Pakatan.

Tindakan disiplin terhadap sesiapa pun pimpinan yang tidak mengikut peraturan-peraturan yang disepakati oleh Muafakat Politik di peringkat Majlis Presiden mesti dikuatkuasakan dengan tegas.

Pakatan wajar tahu bahawa PRU ke-13 tidak akan dimenangi dengan hanya kebencian rakyat terhadap Umno/BN. Mereka mahu PAS, DAP dan PKR tidak bercakaran tentang isu agama, perundangan dan kepentingan kaum. Rakyat mahu saksikan formula baru Pakatan. Mana Agenda Ekonomi Baru Malaysia? Mana agenda pemulihan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia di bawah Pakatan? Mana agenda pembangunan yang lebih lestari, mapan dan berteraskan kesejahteraan rakyat? Bagaimana Pakatan akan mendemokrasikan ekonomi negara?

Mana agenda pembangunan yang tidak membawa kemusnahan alam sekitar dan kerosakan nilai insaniyah? Mana agenda urus-tadbir yang baik Pakatan yang membezakan kebobrokan Umno/BN? Kesemua ini mesti ditampilkan supaya rakyat mampu menilai Pakatan sebagai kerajaan menanti. Mereka juga mahu Pakatan didaftarkan segera dan tampil sebagai satu Koalisi Politik yang kuat dan kredible.

Bagan Pinang jelasnya adalah hak milik Umno/BN sekali lagi. Isa Samad telah memenangi pertempuran kali ini. Umno/BN berjaya mengekalkan kerusi ini. Namun dalam 3 hari selepas Bagan Pinang, Umno mahu meyakinkan rakyat di seluruh negara bahawa mereka telah berubah. Mereka sudah melalui transformasi.

Yang jelasnya banyak retorik oleh pemimpin yang dilaungkan dan kata-kata molok tentang transformasi dan perubahan. Dalam 3 hari belum ada apa-apa yang di lihat rakyat lagi, cuma kata-kata mereka yang didengari. Kesemua itu telah dilalui dulu. Legasi itu akan berulang lagi. Benarkah seperti kata Timbalan Presidennya bahawa Umno telah bersedia bertempur? Hebat. 3 hari bertempek dan bersorak, Umno telah meyakinkan seluruh dunia bahawa mereka telah berubah, telah merawat segala gejala-sindrom kerakusan kuasa, rasuah dan amaln politik wang pimpinan mereka. Aneh.

Penulis berkeyakinan hanya kelompok yang berjaya membaca kehendak rakyat dan aspirasi pengundi serta mampu menampilkan kepimpinan yang kompeten, berwiba, telus, berani dan beramanah sahaja yang akan bakal memenangi perperangan PRU ke-13.

Pakatan atau BN kah yang memilikki ciri-ciri kepemimpinan ini?

Masa akan menentukan. Allah Lebih Mengetahui.

--------------------

Penulis adalah Pengarah Operasi jentera PAS pilihan raya kecil Bagan Pinang yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor._


Harakah

Thursday, October 15, 2009

Kalah kerana belum cukup terangkan perjuangan parti-Nik Aziz - Harakah

KOTA BHARU, 14 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kekalahan di Bagan Pinang kerana jentera PAS tidak mempunyai cukup masa menerangkan dasar dan perjuangan parti dan melebihkan serangan peribadi terhadap calon Umno.

Menurut Nik Aziz, pengalamannya semasa turun di Bagan Pinang menunjukkan sebahagian pengundi di Dun itu masih belum mengenali PAS secara mendalam.

Dalam pertemuan dengan pengundi katanya, masih ada di antara mereka menganggap Islam dan PAS itu ganas dan kefahaman itulah menyukarkan PAS untuk menang pada pilihan raya kecil tersebut.

"Saya sendiri bertemu dengan tuan rumah yang saya pergi baru-baru ni dan mengakui masih tak faham perjuangan PAS ni lagi," katanya.

"Ramai di antara orang melayu di sana masih beranggapan Islam itu ganas dan PAS juga ganas, ,jadi ini semua memerlukan masa untuk memberi pemahaman kepada mereka," ujar beliau lagi.

Nik Aziz berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan,Abdul Fatah Harun sebelum ini yang mengakui teknik menyerang pribadi calon tidak diterima oleh pengundi Bagan Pinang.

Beliau juga berkata rakyat di Negeri Sembilan juga masih jauh untuk memahami perjuangan PAS.

Kehadiran jentera PAS dari seluruh negara juga mungkin membuatkan mereka berada dalam kebingungan apatah lagi diasak tekanan dari parti lawan dengan hebat.

Pada PRK Bagan Pinang 11 Oktober lalu, calon PAS, Zulkifly Mohd Omar tewas kepada Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dengan majoriti 5,435.

Terdahulu, sewaktu berucap pada perasmian Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan, Nik Aziz telah menyelar golongan yang meminggirkan bahasa kebangsaan dan mumuja bahasa lain dalam kehidupan mereka.

"Bahasa Kebangsaan seharusnya dimartabatkan di seluruh pelusuk negeri dan saya terkilan kerana kini semakin ramai pihak yang tidak bertanggung jawab cuba menaikkan bahasa asing dalam kehidupana harian.

"Kalau mereka dah sendiri tak peduli bahasa melayu,akhirnya ia akan lenyaplah," ujar beliau lagi.

Selain penggunaan bahasa asing, pemansuhan tulisan jawi juga turut mengecewakan beliau.

"Amat dukacita sekali kerana ada menteri berbangsa melayu yang telah membuang tulisan jawi yang jelas merupakan satu ciri bahasa kebangsaan kita," katanya.

Beliau yang mengakui penggunaan bahasa asing di negeri Kelantan juga sedang berlaku dan berharap pihak kerajaan tempatan mengkaji semula perkara tersebut agar ia tidak berleluasa.

Turut hadir dimajlis pelancaran Bulan Kebangsaan peringkat Negeri Kelantan tersebut ialah Setiausaha Kerajaan negeri,Datuk Mohd Aiseri Alias, Ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan serta pelajar sekolah.-mna_

Harakah

Tuesday, October 13, 2009

42% bukan Melayu sokong BN di Bagan Pinang - Malaysiakini

Sokongan bukan Melayu kepada Umno melonjak sebanyak 42 peratus dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang Ahad lalu.

Penganalisa politik, Ong Kian Ming membuat anggaran tersebut berdasarkan angka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika menganalisa sokongan untuk BN dari 2008 hingga 2009 mengikut saluran dan komposisi etnik di saluran-saluran masing-masimg.

Menurutnya, undi untuk calon BN, Tan Sri Isa Samad mencatatkan peningkat 4 peratus dari pengundi Melayu berbanding dengan keputusan pilihan raya umum 2008.

Dalam pilihan raya kecil Ahad lalu, majoriti yang diperolehi Isa berganda berbanding majoriti calon BN Azman Mohammad Noor pada 2008.

Isa - bekas menteri yang digantung keahliannya dalam Umno selama tiga tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan politik wang sewaktu pemilihan Umno pada 2004 - mendapat majoriti 5,435 undi, berbanding majoriti 2,333 undi yang diperolehi Azman.

Menurut Ong, berdasarkan keputusan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang itu, 67 peratus pengundi Melayu menyokong Isa.

Lebih menarik lagi, katanya, 73 peratus pengundi bukan Melayu menyokong calon dari Umno itu.

Tiga faktor utama

- Ong mengenal pasti tiga faktor utama yang mendorongkan pengundi beralih menyokong BN.

- Kehadiran Isa yang begitu lama di kawasan tersebut serta merupakan bekas menteri besar. Isa juga merupakan ketua Umno bahagian Telok Kemang.

- Kelemahan calon dan jentera pilihanraya PAS.

- Isu-isu tempatan yang dianggap lebih penting daripada isu-isu nasional seperti insiden perarakan kepala lembu di Shah Alam dan kes kematian Teoh Beng Hock.


Mengenai undi pos pula - yang merupakan hampir 40 peratus pengundi Bagan Pinang - Ong berkata, reputasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan popularitinya ketika menjadi menteri pertahanan, menjamin Umno mendapat sebahagian besar undi berkenaan.

Isa mendapat 3,521 undi pos manakala calon PAS Zulkefly Mohd Omar hanya memperolehi 601 undi.

Dalam pilihanraya umum 2008, BN mendapat 3,080 manakala PAS memperolehi 1,189 undi.

Peringatan untuk Pakatan

Ong bagaimanapun berkata, peralihan sokongan yang besar terhadap BN di Bagan Pinang mungkin tidak akan berlaku di kawasan pilihanraya yang lain.

"Peralihan sokongan kepada BN (di kawasan lain) mungkin lebih kecil kerana ketiadaan undi pos dan kekurangan calon lain seperti Isa," katanya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada kejayaan BN Ahad lalu, dapat diulangi di kawasan pelbagai kaum yang dimenangi oleh pembangkang.

"Tidak mudah bagi BN untuk mendapat sokongan yang sama (seperti di Bagan Pinang) di mana-mana kerusi di kawasan bandar dengan majoriti pengundi Cina.

"Adalah satu kesilapan untuk beranggapan bahawa peralihan sokongan yang besar (seperti di Bagan Pinang) dapat diulangi di kawasan pilihan raya yang lain, contohnya di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Namun begitu, Ong berkata, keputusan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang adalah satu peringatan kepada Pakatan Rakyat.

"Ia adalah satu peringatan, terutama kepada PAS, bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah terhadap pengundi bukan Melayu," tambahnya.

Malaysiakini

Imbasan Bagan Pinang: Keputusan Keseluruhan UNDI POS - Mutaligat


Mutaligat

Umpama cuba rampas kerusi Anwar di Permatang Pauh - Harakah

KUALA LUMPUR, 13 Okt: PAS sememang sedar dari awal lagi, percubaan mereka untuk memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang umpama cuba merampas Permatang Pauh dari Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, Tan Sri Mohd. Isa Samad sudah bertapak di situ sekian lama dalam keadaan dia juga adalah bekas pemimpin utama Umno Negeri Sembilan.

Sebab itulah, PAS lebih senang dengan pendekatan untuk menang negara walaupun terpaksa kalah di Bagan Pinang.

Menjelang pilihan raya, PAS sudah berusaha agar Isa yang dicalonkan Umno dengan harapan akan mendapat manafaat besar dalam pilihan raya umum nanti.

Namun, kemenangan berganda Isa mengejutkan PAS kerana mereka menjangkakan akan dapat mengurangkan majoriti Umno dalam pilihan raya kali ini.

Isa mendapat undi 8,013 berbanding calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar yang mendapat 2,578 undi dengan undi rosak sebanyak 223.

Ini bermakna, Isa mendapat majoriti 5, 435 iaitu kemenangan berlipatganda berbanding calon BN dalam pilihan raya umum 2008 lalu yang menang dengan majoriti 2,333.

Isa menang ketika semua pihak mempertikaikan personaliti beliau yang pernah digantung jawatannya oleh Umno selepas Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau bersalah dalam politik wang dalam pemilihan Umno.

Bagi Pengarah Operasi PAS untuk pilihan raya Bagan Pinang, Dr Dzulkefli Ahmad, Umno tidak boleh berbangga dengan kemenangannya di sini kerana yang menang adalah Isa Samad bukannya Umno.

"Jadi membuat satu kesimpulan umum bahawa orang Melayu, Cina atau India sudah kembali kepada Umno adalah satu yang tidak tepat," kata Dr Dzul.

Beliau juga menyifatkan, walaupun calonnya menang dalam pilihan raya ini, "Umno kalah dalam perangnya melawan korupsi."

Beliau juga yakin, kini Umno terjerat dengan keputusannya meletakkan Isa di Bagan Pinang.

"Apakah ini yang pimpinan Umno mahukan selepas melaungkan pendekatan 'Kita mesti berubah atau kita rebah'?

"Umno bagi saya kini terjerat dengan keputusannya sendiri," tegas Dr Dzul bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP). Beliau kini adalah anggota Parlimen Kuala Selangor dan merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan.

Bagi Dr Dzul juga, penyelesaian yang Umno capai dalam pilihan raya ini adalah penyelesaian jangka pendek dan sekadar untuk menang sahaja.

"Padahal banyak yang terpaksa umno korbankan kerananya...termasuk agenda perubahan yang Umno nak buat...kini terikat dengan pemimpin kitar semula yang ditolak sendiri Umno sebelum ini," katanya.

Ketika ditanya apakah yang berlaku di Bagan Pinang sehingga kekalahan PAS berlipatganda, Dr Dzul berkata, Bagan Pinang amat unik.

"Ketika saya mula sampai di Bagan Pinang dan cuba bercakap dengan penduduknya, kita diterima dengan negatif sekali..cold shoulders (sambutan dingin)...," katanya.

Sebab itu, kata beliau, apabila pemimpin PAS bercakap soal isu nasional termasuk skandal PKFZ (Zon Perdagangan Bebas Perlabuhan Klang), penduduk di sini tidak melayannya.

"Bahkan, apabila kita bercakap soal isu kepala lembu yang panas di Selangor kepada masyarakat India di sini, mereka tidak melayannya," kata beliau.

"Puncanya kerana kesilapan kita yang tidak memberikan perkhidmatan sebagaimana yang sepatutnya selepas mereka memberikan undi kepada kita dalam pilihan raya umum lepas," kata Dr Dzul lagi.

Namun, apabila PAS bercakap soal isu tempatan, mereka juga tidak memberikan respon yang positif.

Berkaitan dengan isu orang Cina pula, beliau bersetuju dengan analisis sesetengah pihak bahawa orang Cina di sini terkilan dengan kenyataan beberapa pimpinan PAS di Selangor.

Mengikut laporan itu, mereka mahu ajar PAS dalam pilihan raya kali ini dengan tidak mengundi calonnnya.

"Bagi saya ini adalah isu yang real dan pimpinan perlu mengambil tindakan segera dan jangan membuat tidak kesah sahaja," katanya.

Harakah

Bagan Pinang-Berterima Kasihlah kepada Pakatan Rakyat!!!...sudah tentu selepas bersyukur kepada Allah - BaganUtama

Pilihanraya Kecil Bagan Pinang telah pun berlalu...kini yang menang meraikan...yang kalah membuat pelbagai analisis kekalahan...yang berjuang habis-habisan dengan tulus ikhlas, mengambil masa untuk 'recover' diri dan berehat sebentar.

Saya juga sedang mengambil masa dalam hari-hari yang mendatang ini membaca dan mencari maklumat mengenai pelbagai analisis yang ada....untuk lebih memahami...tetapi untuk mereka di peringkat pimpinan ianya bermaksud cuba dan mesti sedaya mampu memperbaiki dan membuat perubahan.

Yang jelas, kami dan mereka di peringkat bawahan sentiasa bersedia menjalankan tugasan dengan arahan atau tanpa di suruh, apabila ada saja PRK pasti ramai yang akan berbondong-bondong turun membantu kerana sebuah perjuangan dan inginkan perubahan tanpa meminta balasan.

Bagi pihak lawan kita pula khususnya BN, mereka tidak perlu bekerja terlalu keras dan berkorban, mereka ada segalanya. Saya mengambil peluang mengemukakan di sini beberapa siri pemberian 'gula-gula pilihanraya' yang berlaku dan diberikan kepada penduduk Bagan Pinang...kerana Bagan Pinang adalah 'anak emas' kerajaan Pusat...tiba-tiba sahaja sejak adanya PRKN31!!!

Apa yang jadi kenyataan buat masa ini ialah penduduk N31 Bagan Pinang kembali kepada kehidupan seharian mereka...bagi saya mereka beruntung kerna punya pantai Port Dickson...bila resah gelisah boleh menenangkan fikiran di pantai yang terbentang luas walau mungkin tiada banyak ruang kerana kebanyakannya menjadi milik persendirian bersekali dengan air laut yang dipunyai oleh Penciptanya.

Janji-janji yang dibayangkan di bawah akan terus dinantikan untuk menjadi kenyataan.......berterimakasihlah kepada pembangkang...kerana mereka lah Pemimpin BN terpaksa menabur janji manis bersalutkan gula-gula yang banyak dan mewah....

Saya kutip fakta ini dari laporan Malaysiakini versi Bahasa Inggeris.( saya suka tajuknya...LO AND BEHOLD THE 'GOODIES')

1. 27 Sept: Menteri Pelancongan berjanji akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan untuk menarik sejumlah 6 juta pelancong yang transit di KLIA untuk melawat ke Negeri Sembilan.

2. 28 Sept: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan membina sebuah sekolah Menengah yang bernialai RM20 juta dalam tempoh masa 2 tahun. RM 3.8 juta pula telah diluluskan untuk kos memperbaiki 21 buah sekolah termasuk sekolah Cina dan Tamil.

3. 29 Sept: Majlis Perbandaran Port Dickson telah menyerahkan 3 buah rumah teres di Taman Desa Pinang untuk dijadikan Pusat Permata Negara Bagan Pinang yang dipelopori oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. RM400,000 akan dibelanjakan untuk proses menaiktaraf rumah-rumah tersebut.

4. 4 Okt: Biro Penerangan UMNO akan menjadikan Persatuan Kebajikan Nelayan Bagan Pinang sebagai 'anak angkat' mereka dan Isa berjanji akan memberi tumpuan utama kepada Bandar Tentera Darat jika menang di PRK.

5. 5 Okt: Kementerian Sumber Manusia mengumumkan akan mengadakan program kursus dan peluang pekerjaan kepada golongan muda di Bagan Pinang.

6. 6 Okt: Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Maximus Ongkili mengumumkan bahawa Sirim Bhd akan membantu memberi bantuan teknikal dan khidmat nasihat kepada penduduk Kampong Baru Si Rusa untuk menjalankan perusahan ceramic menggunakan 'hydrostone'.

7. 7 Okt. MB Mohamad Hassan mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta untuk pembinaan 150 unit rumah awam di Ladang Siliau.

8. 8 Okt: Zahid Hamidi mengumumkan perkara seperti di bawah:

a. Peruntukan RM3000 setahun untuk sebuah keluarga bagi anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dan RM2,000 setahun kepada keluarga yang anak mereka melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan seterusnya.

b. 'Veterans Act' jika diluluskan akan dimasukkan faedah kesihatan.

c. Rumah Kelab untuk bekas-bekas perajurit di sebelah Kelab Golf PD dan MRSM untuk anak-anak bekas Perajurit. ( MB Mohamad Hassan telahpun bersetuju untuk menyediakan tanah)

d. Perpustakaan dan Kemudahan Wi-Fi untuk kemudahan anak-anak tentera.

e. RM100,000 untuk menaiktaraf surau di kawasan kem tentera. (cek sumbangan telah pun diserahkan).

Muhyiddin Yassin mengumumkan SRJK Tamil Sungai Salak yang beroperasi dari rumah kedai 2 tingkat akan menerima 1 hektar tanah untuk pembinaan Sekolah yang dijangka siap dalam masa setahun-12 bulan.

TPM juga mengarahkan semua PBT di negeri tersebut untuk memudahkan pemberian lesen perniagaan untuk tidak melemahkan semangat mereka untuk berniaga.

TPM juga mengumumkan peruntukan RM480,000 kepada 3 buah sekolah ' Chinese Vernacular School' dan pemberian angpow sebanyak RM100 kepada 233 orang warga tua.

Rais Yatim menyerahkan sumbangan Mikro-komputer kepada 6 buah sekolah di Bagan Pinang.

Menteri Sumber Manusia S Subramaniam berjanji akan memberikan jalan bertar, dewan komuniti, sebuah dewan untuk kuil dan sistem perparitan untuk kawasan perkuburan Cina dan India akan diperbaiki.

Gelanggang Badminton dan mesin fotokopi akan disediakan kepada Sekolah Tamil, Tabung Kemudahan Pembiayaan Perumahan untuk pekerja Estet juga akan ditubuhkan.


(letih menaip...banyakya gula-gula....seronoknya....cuba anda di luar sana kira dan jumlahkan keseluruhan peruntukan yang berlaku hanya dalam tempoh 28 September hingga 10 Oktober 2009.)

Bergembiralah wahai penduduk Bagan Pinang...semoga impian yang dijanjikan menjadi kenyataan.

BaganUtama

Monday, October 12, 2009

Keputusan di Bagan Pinang

BN (MOHD ISA ABD SAMAD ) - 8013
PAS (ZULKEFLY MOHAMAD OMAR) - 2578

MAJORITI - 5435

Undi Rosak - 222

Friday, October 9, 2009

Kaitan ISA Samad & Penternak Babi


Imbasan Khas Bagan Pinang: Betulkah Umno memperjuangkan DEB? - Harakah

Apabila lima negeri BN kalah pemimpin Umno sudah gelabah macam gila talak. Kalau Wilayah Persekutuan ada Dewan Undangan Negeri bermakna BN terpaksa angkat tikar bantal sebanyak enam negeri. Kita melihat bagaimana telatah pemimpin Umno dan beberapa artikel dalam akhbar penyambung fitnah telah mengatakan bahawa kekalahan Umno-BN bermakna meruntuhkan ketuanan Melayu. Agenda untuk mengangkat taraf hidup orang melayu akan berkubur kerana Umno sudah tewas. DEB akan hancur.

Saya tertanya-tanya bilakah Umno berjuang untuk membasmikan kemiskinan. Yang saya tahu tahu Umno menjadikan miskin dan kejahilan rakyat sebagai senjata untuk terus berkuasa.

Pemimpin Umno fikir mereka ada media yang diketuai oleh anak Maidin dapat menipu rakyat. Anggapan ini silap. Sekarang bukan pengundi 70-an yang boleh diulit dengan dakyah pembohongan. Banyak penulis membayangkan bahawa blog dan internet telah berjaya memberi padangan kedua kepada pengundi di negara ini. Rakyat sudah meloya dengan laporan televisyen yang terlampau mengampu, akhirnya senjata makan tuan. Barisan pembangkang telah berjaya menanamkan keyakinan kepada rakyat tentang pembohongan media.

Apa yang paling menarik sekali selepas pilihan raya maka pemimpin Umno yang menggunakan taktik lama dengan isu perkauman untuk menarik undi di kalangan orang Melayu. Malah ada seorang tokoh veteran Umno Melaka, Tan Sri Aziz Tapa mengatakan bahawa siapa yang tidak memangkah Umno tidak ada semanagat kebangsaan. Inilah otak pemimpin Melayu saluran 1, biarlah kita serah kepada Allah SWT yang menentukan segalanya.

Pemimpin Umno-BN telah menjadikan strategi untuk menjadikan miskin sebagai satu cek kosong yang akan diguna pada bila-bila masa terutama setiap kali pilihan raya. Di Kawasan Jerlun terdapat dua penempatan kampung nelayan iaitu Kuala Jerlun dan Kuala Sanglang yang diduduki hampir 100 tahun tanah yang tidak bergeran. Mereka ini adalah pengundi setia Umno yang tidak berubah walaupun tsunami melanda. Sedangkan kawasan ini diwakili oleh tiga orang exco kerajaan negeri Kedah. Orang miskin inilah yang menjadi stok simpanan untuk Umno kalahkan pembangkang dalam setiap kali pilihan raya.

Begitu juga yang berlaku di Terengganu, kenapa Umno memerintah Terengganu yang hasil royalti minyak mencecah sampai RM7 bilion. Tetapi masih gagal mengatasi masalah kemiskinan di Terengganu. Sedangkan sewaktu PAS memerintah daripada tahun 1999 hingga 2004 berjaya menurun kadar kemiskinan daripada nombor dua kepada tangga keempat walaupun royalti minyak dirampas oleh kerajaan Pusat. Selepas Umno menang 2004 kadar kemiskinan di Terengganu telah meningkat nombor dua selepas Sabah. Sehingga ada rakyat Terengganu meminta sedekah di depan tokong Cina untuk minta sedekah seperti yang dilaporkan dalam akhbar Metro. Kelantan yang diperintah oleh PAS berada di tangga keenam.

Bukankah Umno sendiri yang membunuh DEB ketika melaksanakan Wilayah pembangunan Iskandar. Kenyataan pemimpin Umno dan Tan Sri Musa Hitam mengatakan bahawa ketepikan DEB dalam membangunkan WPI. Kenapa tidak ada siri demonstrasi membantah kenyataan pemimpin Umno.

Sebenarnya pemimpin Umno bersifat hipokrit sahaja dalam apa sahaja dasar yang mereka perkenalkan. Mereka bukan ikhlas tetapi hendak menipu dan umpan politik sahaja. Dasar dan amalan yang mereka perkenalkan kepada rakyat hanyalah lipstik untuk melindung agenda perut dan tembolok masing-masing.

Sama juga dasar penerapan nilai Islam yang diperkenalkan pada tahun 1981 dahulu hanya untuk sekat kebagkitan Islam supaya orang tidak sokong PAS. Begitu juga dengan Islam Hadhari hanya hendak tipu golongan agama supaya bersekongkol dengan kezaliman Umno-BN. Demikian juga dasar DEB yang diperkenalkan bukannya mereka ikhlas untuk menjayakan. Kalau betul mereka ikhlas sudah tentu ia sudah berjaya. Sejak dilaksanakan pada tahun 1971 dan tamat 1990 untuk mencapai ekuiti bumiputera 30% malangnya apabila tamat pada tahun 1990 ia hanya mencapai 18%. Lebih malang lagi ekuiti Bumiputera menurun lagi kepada 15% pada tahun 2000.

Siapa yang memerintah negara selama ini. Mandat yang besar diperolehi setiap kali pilihan raya, pemimpin Umno-BN telah khianat. Setelah rakyat ajar dalam pilihan raya ke-12 baru rasa bengkak kepala dan terjaga daripada tidur. Kenapa sekarang baru hendak lihat Melayu Pulau Pinang perlu dibela? Siapa yang jadi broker tanah di sebelah Balik Pulau bertukar tangan kepada orang lain?

Saya tidak harian kalau Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyebut bahawa beliau hendak ketepikan DEB dan akan membantu semua kaum yang patut dibela. Kalau Lim Guan Eng bersetuju dengan DEB maka lebih baik dia bertanding atas tiket BN dalam pilihan raya yang lalu. Tetapi menjadi kehairanan apabila pemimpin Umno yang berselindung di sebalik DEB merampas hak Melayu dan orang susah melalui projek yang diberikan kepada mereka. Bukankah banyak kontrak diberikan selama ini kepada mereka yang mempunyai hubungan dengan pemimpin Umno dan kemudian mereka mengalibabakan kepada orang lain. Ini sudah menjadi rahsia umum.

Sebelum pemimpin Umno merapu dan melalut maka terlebih dahulu tolong jawab perkara-perkara berikut yang sepatutnya diselesaikan oleh pemimpin Umno yang kononnya memperjuangkan Dasar Ekonomi Baru.

1. Kenapa setelah 50 tahun Umno berkuasa gagal membasmi kemiskinan di kalangan orang Melayu, sedangkan Perdana Menteri dan menteri Kabinet majoriti adalah orang Umno. Begitu juga dengan Menteri Besarnya adalah orang Umno.

2. Sejak Rancangan Malaysia Pertama sampai kesembilan kerajaan telah membelanja wang rakyat sebanyak RM1.2 trilion tetapi orang Melayu masih miskin. Ke manakah projek DEB untuk membasmi kemiskinan.

3. Kenapa kadar kemiskinan di kalangan bumiputera Melayu masih tinggi berbanding dengan bangsa lain. Menurut Dato' Zainal Osman bekas Timbalan Menteri Luar Bandar Dan Wilayah pada 7/12/07 ialah kadar kemiskinan Bumiputera 8.3%, India 2.9% dan China 0.6%. Kenapa masih tinggi lagi orang Melayu miskin. Siapa yang memerintah selama ini PAS atau Umno, DAP atau Umno, PKR atau Umno?

4. Bukankan wang PPRT sebanyak RM32 juta yang sepatutnya diberi kepada mereka yang miskin telah disonglap dan diberi kepada seorang Dato' yang bukan Melayu untuk tanam bunga orkid dan pelihara ikan. Orang miskin gigit jari dan gigit lidi. Pemimpin Umno yang diamanahkan wang PPRT bebas ke sana kemari. Macam mana orang Melayu hendak boleh berdikari kalau pemimpin sendiri pun jadi pencuri, maka orang Melayu miskin kurus macam ular lidi.

5.Apakah ini dasar DEB yang beri komisyen RM530 juta kepada seorang Melayu, Razak Baginda untuk beli kapal selam Scorpene. Cuba bayangkan kalau wang sebanyak ini dibuat rumah kepada rakayat yang tidak bertanah yang berharga RM30,000. Maka seramai 17,666 buah rumah dapat diberi secara percuma. Sekurang-kurangnya orang di Pekan Pahang tidak ada lagi yang duduk dalam pondok buruk yang tidak layak berada di kawasan Timbalan Perdana Menteri.

6. Apakah dasar DEB yang membolehkan satu ketika dahulu Khairy Jamaludin yang mampu beli saham ECM Libra yang bernila RM9.2 juta. Daripada mana beliau dapat wang sebanyak itu. Apakah bapa dia salah seorang hartawan. Kita tidak pernah dengar bapanya seorang yang tersenarai sebagai orang yang kaya sebaris dengan Ananda Krishnan, Syed Mokhtar Bukhari. Kalau beliau bekerja selama 10 tahun dengan gaji sebulan RM10,000 sebulan, Khairy baru dapat simpan wang sebanyak RM1.2 juta. Itupun beliau simpan tak makan dan tidak minum, hanya makan rumput dan batu sahaja. Kesemua ini adalah lambang penyelewengan dalam DEB

7. Kemana pergi tanah rizab Melayu yang ditinggal oleh penjajah seluas 3 juta hektar. Sekarang separuh tanah telah bertukar hak milik hasil pengkhinatan amanah oleh pemimpin Umno. Tahun 1985 sahaja tanah rizab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar. Sekarang berapa lagi tinggal?

8. Siapakah yang menghalau orang Melayu di Kampung Berembang, adakah ini kerja DAP. Sedangkan mereka yang berada di Kampung Berembang adalah penyokong tegar Umno. Mungkin doa orang yang kena zalim tidak ada hijab maka Khir Toyo merundum daripada takhta.

9.Adakah Patrick Lim yang menjadi penggerak DEB di Terengganu sehingga Terengganu sekarang berjaya meningkat taraf hidup orang Melayu yang tidak ada lagi yang miskin. Adakah ini manusia yang Umno bercakap hendak memperjuangkan orang Melayu dan marah kepada mereka yang hendak mengkritik DEB.

10. Siapakah yang merampas tanah yang diberi oleh kerajaan PAS di Terengganu sebanyak 65156 lot kepada rakyat tanpa mengira kaum. Kebanyakan adalah orang Melayu. Bukankah dengan cara pemberian tanah salah satu daripada usaha kerajaan PAS Terengganu untuk membasmi kemiskinan yang bertepatan dengan DEB, tetapi dikhianati oleh pemimpin Umno yang kononya memperjuangkan DEB. Sekarang musibah sedang menimpa kepada Dato' Seri Idris Jusuh. Makbul doa orang yang dizalimi

11. Kalau benar Umno mendakwa mereka tunggk DEB kenapa Umno tidak bela oranag Melayu di negeri Pulau Pinang suatu ketika dahulu. Kenapa asyik berulang alik ke Kelantan untuk merampas negeri yang dikuasai oleh PAS. Apa dosa pemimpin PAS yang sebangsa dengan pemimpin Umno yang telah berjaya meletakkan Kelantan sebagai negeri contoh kejayaan orang melayu di Negara ini.

Sebenarnya apa yang berlaku Umno mengkhinat DEB dan hanya menjadi senjata untuk menarik kembali sokongan apabila sudah kalah. Manakala PAS pula perjuangannya yang konsisten telah melaksanakan apa yang di kehendaki dalam DEB. - lanh _

Harakah

Tuesday, October 6, 2009

Calon Pakatan janji tiga perkara - Harakah

TELOK KEMANG, 6 Okt: Berbekalkan pengalaman bergiat dalam kerja-kerja kemasyarakatan, calon Pakatan Rakyat Zulkefly Mohamad Omar bertekad mahu meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk tempatan seandainya diamanahkan menjadi Adun Bagan Pinang kelak.

Bercakap pada pemberita di sini semalam, Zulkefli menggariskan tiga fokus utama dalam manifestonya 'Bersama Kehendak Rakyat' beliau.

"Daripada 13 permasalahan yang dekat dengan rakyat (Bagan Pinang), umumnya rakyat mahu isu penaiktarafan jalan utama dari Telok Kemang ke Pasir Panjang segera diselesaikan.

"Kedua, rakyat mahu masalah perparitan yang menjadi punca utama banjir kilat, pembiakan lalat serta nyamuk segera diselesaikan.

"Ketiga dan terakhir, rakyat mahu isu alam sekitar yang melibatkan Pantai Port Dickson kerana dengan berbuat demikian, bukan sahaja menggamit semula kehadiran pelancong malah menjana ekonomi setempat," katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri turut mengulas dakwaan Umno, kononnya permasalahan malar segar N31 tidak mampu ditanganinya, walaupun Zulkefly ditakdirkan menang kelak.

"Tahun lepas, Datuk Shaziman Abu Mansor kata di Parlimen, tiada peruntukan untuk membaiki jalan di sini. Sedangkan tanggungjawab membina jalan sebenarnya di dalam Senarai Persekutuan (Federal List)," jelasnya.

"Jadi, Umno tidak perlulah memperbodohkan rakyat dengan kempen adakah saya mampu memperbaiki jalan jika saya menang.

"Sedangkan, jika Tan Sri Mohd Isa Samad menang sekalipun, itu bukan tanggungjawabnya untuk membina jalan," tambah beliau.

Beliau turut menasihatkan kepemimpinan Umno agar mengutamakan kepentingan rakyat selagi mempunyai kuasa memerintah kerajaan negeri dan persekutuan.

"Maka, saya akan senantiasa membawa isu penaiktarafan jalan ini di Dun kelak, di samping membantu Ahli Parlimen Telok Kemang (Datuk Kamarul Baharin Abbas) membawa isu ini di Parlimen.

"Sama ada jalan siap dulu, atau Umno tumbang di Negeri Sembilan, biarlah rakyat terus membuat perhitungan," katanya.

Dalam perhitungan khalayak, jika Zulkefly menang, bermakna perbezaan kerusi Pakatan dan Barisan Nasional hanya 2 kerusi sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkefly mahu rakyat tempatan bersama beliau, mendesak pihak berwajib menyelesaikan isu perparitan � yang dianggapnya sebagai 'akar masalah' pada banjir kilat, pembiakan lalat-nyamuk, sampah-sarap serta bau busuk, di sini.

Tiga inti manifesto Zulkefli itu meletakkan calon Umno Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terus dalam sindrom penafian; kerana kebanyakan projek terbengkalai yang menjadi rahsia umum rakyat tempatan sebelum itu melibatkan peribadinya; sewaktu menjadi Menteri Besar 22 tahun yang lalu.

Harakah

Media Arus Perdana Dilarang Lapor Rekod Rasuah Isa Samad Dalam UMNO - TVA

Pucuk pimpinan Umno-Barisan Nasional melarang media arus perdana melapor penggantungan Tan Sri Isa Samad dalam Umno kerana rasuah politik, bagi memastikan kemenangan beliau pada pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang Ahad depan.

Kumpulan Media Prima telah menyebarkan arahan itu kepada semua stesen televisyen yang dikuasainya, termasuk Tv3, TV8, Ntv7 dan akhbar New Straits Times serta Berita Harian.

Arahan secara lisan itu turut diberikan kepada Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar Cina serta RTM, menurut sumber-sumber media.

Arahan itu dilihat sebagai penting untuk mempengaruhi pengundi supaya menolak rekod Isa sebagai pemimpin Umno yang terpalit dengan tuduhan rasuah. Isa akan ditentang calon PAS, Zulkefly Mohd Omar.

Dalam pemilihan Umno pada tahun 2004, Isa memenangi jawatan Naib Presiden Umno dengan undi terbanyak. Kemenangan itu bagaimanapun dibatalkan kemudiannya selepas Isa didapati terbabit dalam politik wang.

Antara lain beliau disabit sebagai menyogok perwakilan dengan mengadakan jamuan, disamping merasuah mereka untuk membeli undi.

Berikutan itu, Isa digantung keahlian selama enam tahun, atau dua penggal, tetapi hukuman itu dikurangkan kepada tiga tahun selepas beliau membuat rayuan. Tempoh penggantungannya tamat tahun lepas.

Tokoh-tokoh veteran Umno sebelum ini menasihati Perdana Menteri Najib Razak supaya tidak meletakkan Isa sebagai calon kerana ia menjejaskan kredibiliti Umno dan menempelak usaha untuk mengubah imej parti itu sebagai sarat dengan amalan politik wang dan rasuah di peringkat tertinggi.

Namun Najib membelakangkan nasihat oleh tokoh-tokoh seperti Mahathir Mohamad dan Razaleigh Hamzah kerana dikatakan ingin membalas jasa Isa dalam membantu menjaga kepentingan Najib pada masa lalu.


Najib turut mengharapkan bahawa populariti Isa di Bagan Pinang akan membolehkan Umno mencatat kemenangan pertamanya dalam pilihanraya kecil, setelah Umno-BN tewas pada kesemua tujuh pilihanraya kecil di Semenanjung sejak pilihanraya umum Mac tahun lalu.

TVA

BN Tutup Isu Projek Terbengkalai - TVA

Bagan Pinang sinonim dengan masalah projek terbengkalai, sekali gus tahap keselamatan dan keindahannya merudum teruk, kata Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Projek membina jalan baru di Lebuh raya Seremban-Port Dickson ke Linggi yang diusahakan Hartanahjaya (M) Sdn Bhd, Benteng Timur Sdn Bhd dan (J) & AMR Jeli Sdn Bhd (Design & Build), semua syarikat kroni Barisan Nasional (BN), terbengkalai sejak 2007.

Kamarul berkata, ia meliputi jalan baru sepanjang 12 kilometer manakala syarikat Bumiputera, Satriadesa Corporation Sdn Bhd diberi tanggungjawab baki pembinaan jalan sepanjang 18 kilometer.

"Anehnya, kos syarikat kroni BN mencapai RM115 juta manakala syarikat Bumiputera hanya RM40 juta walaupun saiz pembinaan lebih panjang. Ini menimbulkan keraguan," katanya.

Kamarul berkata, projek terbengkalai itu menyebabkan pelbagai masalah lain timbul, khususnya faktor keselamatan hingga kematian pengguna jalan raya.

Beliau ada membawa isu itu ke Parlimen dan dimaklumkan, hanya 15.7 peratus daripada 37 projek dengan peruntukan RM152.9 juta, telah siap manakala bakinya dalam pelaksanaan.

"Realitinya, tiada kerja dibuat. Selain lebuh raya, rakyat dapat melihat ada banyak projek tergendala termasuk pembinaan rumah rehat dan naik taraf jalan raya," katanya.

Katanya, projek terbengkalai itu berlarutan untuk tempoh lama sejak pimpinan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) diketuai Tan Sri Samad tapi aduan Pakatan Rakyat dipandang sepi.

Beliau kesal berikutan penduduk tempatan terpaksa menanggung bebanan hutang bank berikutan projek perumahan tidak siap mengikut jadual, sekali gus mengalami kerugian dua kali ganda.

“Sebahagian pembeli mengeluarkan wang simpanan dan berhutang bank, gagal membayar faedah menyebabkan rumah dilelong. Ini menjadi dua kali rugi. Simpanan habis, rumah idaman terlepas.

“Ini masalah pemaju tapi kerajaan negeri bersikap lepas tangan dengan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemaju berkenaan,” katanya.

Beliau telah meminta penjelasan dari kementerian berkaitan bagi menjawab segala persoalan yang membabitkan hal itu tapi tidak dilayan, malah tiada perkembangan kerja pembinaan.

“Selepas lebih setahun sebagai wakil rakyat, saya tidak nampak kemajuan projek, jauh sekali penjelasan mengenai projek itu, seolah-olah tiada tindakan diambil mereka," katanya.

TVA

Imbasan: BN di Bagan Pinang






Sumber Gambar: GoMalaysian

Monday, October 5, 2009

Gambar Semasa Azeez Dipukul - Kerabu Bersuara





Kerabu Bersuara

Strategi licik Umno-BN terhadap undi pos di Bagan Pinang - Harakah

1. Perhatian utama pilihan raya kecil N.31 Bagan Pinang kali ini ialah undi pos . Bilangan undi pos 4,604 [ yang berdaftar ] di Bagan Pinang adalah antara jumlah undi pos terbesar bagi sebuah DUN .

2. Kemenangan Umno dan BN dalam pilihan raya umum pada Mac 2008 di DUN Bagan Pinang dengan majoriti sebanyak 2333 , telah dibantu oleh undi pos apabila mereka berjaya memperolehi 3080 undi pos sedang PAS hanya memperolehi 1189 undi sahaja .

3. Umno dan BN yang jelas mengalami trauma akibat kekalahan demi kekalahan dalam siri pilihanraya kecil pasca pilihan raya umum 2008 yang lalu , tiba - tiba menggantung harapan untuk kembali memulih maruah mereka yang tercalar teruk kali ini berikutan adanya undi pos yang tinggi di DUN Bagan Pinang .

4. Terlalu yakin mereka boleh menguasai undi pos sekali gus memenangi kerusi DUN Bagan Pinang , Umno dan BN sanggup melupakan janji dan komitmen mereka untuk meletakkan calon yang bersih , berwibawa dan berintegriti . Adanya undi pos , Umno dan BN sangat yakin bahawa mereka boleh menang walau siapa calon mereka . Rasuah dan integriti bukan lagi persoalan yang menjadi timbang tara mereka dalam perjuangan dan peletakkan calon , sebaliknya mereka hanya memburu kemenangan semata - mata .

5. Bahasa lain yang mudah difahami ialah " rasuah pun rasuah lah asal boleh menang ! " Saya percaya perkembangan ini didorong oleh keyakinan mereka yang tinggi untuk menang lantaran dilihat undi pos akan berpihak kepada mereka sebagaimana sebelumnya .

6. Sebagaimana yang telah saya tegaskan berulangkali , bahawa hadhirnya PAS bersama rakan - rakan Pakatan Rakyat yang lain ialah untuk membawa pulang tropi kemenangan , bukan lagi sekadar mencongak peluang untuk mengurangkan majoriti Umno dan BN .

7. Justeru itulah , buat pertama kalinya Dewan Pemuda PAS Pusat menubuhkan satu Jawatan kuasa Khas Undi Pos yang dipengerusikan oleh Suhaizan Kaiat [ Ketua Penerangan DPPP ] . Ianya menunjukkan keprihatinan tinggi DPPP terhadap undi pos dan kini DPPP akan memastikan undi pos ini tidak lagi berpihak kepada Umno dan BN .

8. Undi pos di Bagan Pinang umumnya adalah undi Angkatan tentera , pahlawan gagah berani yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara . Tidak mungkin pengundi kelas ini takut kepada ugutan dan ancaman sebagaimana yang sering berlaku kepada pengundi - pengundi di kampung - kampung tradisi .

9. Apa yang menjadi masaalah ialah kertas undi tidak sampai kepada mereka dan lebih malang ada orang lain yang mengundi bagi pihak mereka . Perkara ini pernah didedahkan oleh Kapten Major (B) Abu Kassim di hadapan Suruhanjaya SPR baru - baru ini bahawa dialah antara yang diarahkan untuk memangkah [ mengundi ] dacing bagi pihak anggota tentera yang lain .

10. Undi Pos sememangnya tidak relevan lagi buat zaman ini malah ia dilihat mengancam ketelusan demokrasi . Andai ianya terus dikekalkan , DPPP mencadangkan supaya :

a] Sistem menggunakan borang 2 dan sampul 1 dan 2 itu dihapuskan kerana borang 2 itu mengandungi maklumat peribadi pengundinya

b] Calon dan wakil calon dibenarkan berkempen dalam kem sekaligus membenarkan agent parti memantau proses pengundian dan karung undi .

c] Undi pos tidak disimpan di Balai polis tetapi di simpan di bawah pengawasan SPR sendiri di mana - mana tempat dan dipantau oleh agent dari kedua - dua parti .

11. DPPP melihat terlalu banyak ruang yang memungkinkan undi pos ini dimanipulasi oleh pihak tertentu sekaligus ia mencemar ketelusan dan merosakkan demokrasi . Sebagai contoh ruang dimaksudkan itu ialah :

a] Bagaimana Umno dan BN boleh turun berkempen ke kawasan tentera [ Kem ] sedang PAS atau Pakatan Rakyat tidak boleh . Berikut adalah jadual kempen Umno dan BN .

- 2.10.09 : Proses Culaan Jentera BN di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Kem Kg Sawah. Ada 847 Undi Pos di sana.

- 5.10.09 : Menteri Pertahanan akan berkempen ke Rejimen Ke-2 Kor Armor Di Raja, Kem Sunggala. Ada 1,130 Pengundi Pos Tentera

- 6.10.09 : Menteri Pertahanan akan berkempen ke Institut Pengurusan Tentera Darat (IPDA), Kem Si Rusa. Ada 407 Pengundi Pos Tentera

b] Rejimen Ke-2 Kor Armor Di Raja, Kem Sunggala, Port Dickson akan mengadakan latihan menembak di Melaka pada 7hb, 8hb, 9hb Oktober 2009. Sedangkan pada tarikh tersebut adalah hari pengundi. Kem ini menempatkan 1,130 orang pengundi pos. Kem ini merupakan kem ke-2 teramai dalam kem-kem di PD. Bagaimana pengundi pos di kem tersebut mahu mengundi ?Adakah ini muslihatnya untuk mempastikan Sampul Keutamaan hanya dipos sahaja ? Bila dipos akan memudahkan penipuan.

Jadual adalah seperti berikut :

- 7.10.09 : Pengeluaran Undi Pos
- 8.10.10 : Pengundian
- 9.10.10 : Pengundian
- 10.10.10 : Kertas Undi dipos. (Disinilah ahli kem Kor Armor baru balik daripada Melaka)

c ] Antara kemungkinan penipuan yang boleh berlaku akibat tiada pengawasan ialah :

- 7.10.09 : Pengeluaran undi pos (Borang 2,sampul A & kertas undi akan dimasukkan dalam Sampul Keutamaan)

- 8.10.09 : Pengundian hari pertama

- 9.10.09 : Pengundian hari kedua

- 10.10.09 : Baki kertas undi yang tidak diambil akan dipos

- 11.10.09 : Kertas yang dipos akan sampai di Majlis Daerah PD. Pada hari pengundian pada 8 dan 9 Oktober BN tidak dapat menipu kerana dikawal oleh ejen-ejen PAS. Tetapi kertas-kertas undi yang dipos pada 10.10.09 akan diambil oleh pihak tertentu untuk DIPANGKAH DENGAN BN.

12. Perkara ini terjadi kerana kertas undi yang dipos tidak dapat dikawal oleh ejen-ejen PAS. Logiknya mudah: Kertas yang dipos boleh diambil oleh sesiapa sahaja. Termasuk ejen BN. Ejen BN akan ambil dan pangkah BN. Kemudian hantar ke Pusat Penjumlahan di Majlis Daerah PD. Maknanya ejen-ejen Umno akan mengambil alih tugas pengundi dan pejabat pos sekaligus.

13. Umno dan BN kelihatan tertekan menghadapi pilihanraya kecil Bagan Pinang ini lantaran mereka mesti membuktikan bahawa mereka mampu menguasai undi rakyat dan tidak hanya bergantung hayat kepada undi pos , kelak jika mereka menang , mereka bukan dipanggil wakil rakyat tetapi wakil pos .

14. Insya-Allah , tanggungjawab yang digalaskan kepada DPPP untuk memastikan undi pos tidak lagi menjadi milik Umno dan BN akan diusahakan sebaik mungkin bersama Pemuda Pakatan Rakyat . DPPP akan memantau malah mengejar undi pos ini ke serata ceruk Insya-Allah , semoga Allah SWT memberi petunjuk dan kekuatan kepada kita .

15. Akhirnya saya menyeru agar semua pemuda bekerja keras . Jangan terlalu yakin serta selesa dan jangan pula terlalu lemah . Laksanakan tanggugjawab mengikut gerakerja dan tindakan yang telah diatur dan diarah . Semoga kita benar - benar merealisasikan impian rakyat yang kini sedang membilang hari menanti khabar kemenangan dari selatan negara setelah timur dan utara berjaya dikuasai .

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Harakah

Bekas sarjan akui undi bagi pihak tentera - Malaysiakini

Seorang bekas sarjan hari ini mengakui pernah terlibat memangkah BN bagi pihak anggota-anggota tentera dalam dua pilihan raya umum semasa bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abu Kassim, yang bertugas sebagai "sarjan gaji", berkata beliau dan beberapa kakitangan tentera dalam bahagian pentadbiran, seperti ketua kerani, mendapat arahan bagi memanipulasikan undi pos daripada pegawai pentadbir kem.

Abu, sudah kira-kira 10 tahun menyertai PAS, bagaimanapun tidak ingat tarikh tepat dan tempat peristiwa itu dengan alasan ia "sudah lama" berlaku.

"Saya tidak ingat. Lama sudah. Tetapi dalam pilihan raya besar (umum), zaman Dr Mahathir dulu," katanya kepada Malaysiakini pagi ini.

Anak kelahiran Kuala Pilah itu menganggotai tentera darat selama 23 tahun daripada 1969 sehingga 1989. Beliau paling lama berkhidmat di Markas Stesen Staf Port Dickson.

Abu kini seorang ahli jawatankuasa undi pos Pemuda PAS yang diketuai oleh ketua penerangan dewan itu Suhaizan Kaiat.

Malaysiakini

Pemidang dakwa Khairy mungkir janji hilang - Malaysiakini

Kain pemidang yang mendakwa janji Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, sewaktu menjadi calon BN di Rembau ketika pilihan raya umum lalu, tidak pernah dikotakan telah dibuang.

Kain berukuran 15 kaki yang dipasang oleh PKR bersempena pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang di Batu 4, Jalan Teluk Kemang, Port Dickson hanya disedari kehilangannya oleh petugas Pakatan Rakyat pada jam 8 malam tadi.

Kira-kira jam 4.45 petang, seorang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) cuba memotong tali yang menggantung pemidang tersebut.

Secara kebetulan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar yang berada kira-kira 60 meter dari kawasan tersebut bersama-sama sekumpulan wartawan dan jurugambar - pegawai penguatkuasa itu bagaimanapun tidak perasan kehadiran Zulkefly dan petugas media di situ.

Setelah melihat sekumpulan wartawan berkejar ke arahnya dan mengambil foto beliau, pegawai penguatkuasa itu panik dan bergegas meninggalkan tempat itu dengan menaiki sebuah kereta persendirian yang dipandu oleh seorang lagi pegawai penguatkuasa.

Sejurus itu beberapa pegawai penguatkuasa MPPD hadir dan kelihatan Zulkefly meminta mereka memberi alasan mengapa pemidang itu hendak di potong.

Pegawai-pegawai tersebut gagal memberikan penjelasan munasabah dan seterusnya memohon maaf kepada Zulkefly atas tindakan mereka.

Namun insiden pemidang ini tidak berakhir dengan permohonan maaf itu apabila awal malam tadi disedari ia telah lesap.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shahrin, yang bertanggungjawab memasang pemidang tersebut, mendakwa kehilangan ini angkara khianat petugas Umno dan tindalan itu menggambarkan sikap penakut mereka apabila dakwaan mungkin janji parti itu didedahkan.

"Umno penakut dan tidak dapat menjawab isu. Maka, mereka menggunakan cara samseng untuk menanggalkan pemidang ini dan digantikan dengan pemidang Umno-BN.

"Kami akan membuat laporan polis esok (5 Okt) dan kami kesali kerana pemimpin Umno enggan menerima hakikat bahawa rakyat Rembau mengkritik mereka," katanya, yang juga dikenali sebagai CheGu Bard.

Pemidang tersebut menyenaraikan janji BN ketika di kawasan parlimen itu, yang gagal direbut oleh Badrul Hisham, yang didakwa masih tidak ditunaikan lagi.

Ia berbunyi "mereka datang dan berjanji lagi, jangan percaya". Janji-janji yang belum dikotakan itu antaranya pusat tuisyen, masjid, hospital, lapangan terbang dan universiti.

"Maka saya sebagai ketua cabang PKR Rembau dan sebagai bekas calon PKR yang menentang beliau ingin menuntut janji tersebut seperti mana yang dijanjikan oleh Khairy dan Umno-BN ketika pilihan raya umum dulu," katanya.

"Saya mewakili rakyat Rembau membawa suara mereka dalam bentuk pemidang tersebut.

"Malangnya (Umno) takut menjawab isu tersebut, mereka telah menghilangkan pemidang itu. Umno bacul," katanya, dengan nada berang dengan kehilangan pemidang.

Malaysiakini