Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Gerakan. Show all posts
Showing posts with label Gerakan. Show all posts

Monday, April 12, 2010

Gerakan mahu k'jaan pasti keadilan untuk Teoh - Malaysiakini

Gerakan menggesa kabinet supaya memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan akan memastikan keadilan dalam siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Menurut setiausaha agung Gerakan, Teng Chang Yeow laporan yang menyebut bahawa Dr Pornthip Rojanasunand kini berdepan tekanan supaya tidak menghadiri inkues Teoh pada 20 April ini adalah "amat membimbangkan".

Katanya, laporan itu mencemarkan imej kerajaan dan menimbulkan keraguan terhadap komitmen kerajaan untuk mencari keadilan untuk Teoh.

Oleh itu, katanya, Gerakan mencadangkan agar kabinet:

a) Memastikan keselamatan Dr Prontip dari Thailand ke Malaysia serta ketika pulang semula selepas inkues.

b) Menubuhkan satu pasukan khas untuk memastikan keselamatan beliau ketika menghadiri inkues.

c) Menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat laporan tersebut bagi memulihkan imej kerajaan Malaysia.

d) Memberi jaminan bahawa semua langkah diambil untuk memastikan keadilan terhadap Teoh.

Sehubungan itu, Teng berkata, Gerakan telah mengarahkan naib presidennya, A Kohilan yang juga timbalan menteri luar, supaya memeriksa dengan Kedutaan Malaysia di Bangkok untuk memastikan ketepatan laporan tersebut.

Gerakan juga, katanya, telah meminta Kohilan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, untuk memastikan tiada kompromi dalam mewujud keadilan dalam kes Teoh.

Malaysiakini

Monday, November 30, 2009

Pemuda BN demo, foto Guan Eng dibakar - Malaysiakini

Sekumpulan kira-kira 100 penyokong Pemuda BN berkumpul di depan bangunan DUN Pulau Pinang dan seorang dalam kumpulan itu membakar foto Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ia dianjurkan sebagai membantah pentadbiran kerajaan negeri yang didakwa "tidak cekap dan teragak-agak" membuat keputusan bagi menyelesaikan masalah rakyat dan juga gagal menunaikan janji pilihan raya umum 2008.

Dikepalai oleh ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan, tunjuk perasaan itu bermula kira-kira 12.15 tengah hari dan berakhir hampir sejam kemudian ketika sidang DUN Pulau Pinang sedang berlangsung hari ini.

Penunjuk perasaan menaikkan sepanduk anti-kerajaan dengan dakwaan ia tidak cekap mengendalikan beberapa masalah seperti Kampung Buah Pala, Rumah Hijau Mak Mandin dan juga projek kontroversi menebus guna tanah.

Ketua Pemuda Gerakan negeri Oh Tong Keong kemudian menjelaskan insiden membakar poster Lim bukan tindakan Pemuda BN tetapi seorang penduduk Kampung Buah Pala yang turut hadir di situ.

Beliau memberitahu Malaysiakini petang ini bahawa mereka merancang agar perhimpunan itu berlangsung secara tertib dengan hanya membawa sepanduk dan poster.

Bagaimanapun seorang lelaki pertengahan umur tiba-tiba menyertai tunjuk perasaan itu dan kemudian mengambil sekeping poster lalu memijak dan membakarnya.

"Saya telah cuba menghalangnya (berbuat demikian) tetapi keadaan menjadi tidak terkawal," kata Oh.

Tambahnya, polis kemudian membawa lelaki tersebut dan seorang pegawai polis Cawangan Khas memberitahunya bahawa lelaki itu seorang penduduk kampung itu yang kini telah diranapkan untuk projek pembangunan.

Menurut Oh lagi, sekumpulan penduduk Kampung Buah Pala sebelumnya berkunjung ke bangunan DUN untuk menyerahkan memorandum kepada ketua menteri dan meninggalkannya ketika kumpulan Pemuda BN itu sedang berdemonstrasi.

Katanya, semua penyokong Pemuda BN memakai baju putih dan berseluar hitam, manakala lelaki yang membakar itu berpakaian warna.

"Kami mengutuk tindakan membakar poster. Jika anda ada rungutan, anda harus menyatakan secara aman," katanya, yang juga timbalan ketua Pemuda Gerakan Malaysia.

Malaysiakini

Friday, October 30, 2009

Wakil BN desak Ong, Koh undur - Malaysiakini

Seorang penyokong kerajaan hari ini secara lantang mendesak Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berundur kerana disifatkan sudah tidak mendapat kepercayaan parti selain imejnya yang sudah tercalar.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk melakukan perkara sama kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai menteri.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, beliau berkata sebagai barisan hadapan kabinet, seorang menteri tidak seharusnya hilang kepercayaan anggota parti apatah lagi jika maruah dan imejnya jatuh di mata rakyat.

"Kalau ada menteri kabinet yang hilang kepercayaan di kalangan ahli partinya, buat apa jadi menteri kabinet, berhentilah.

"Kalau ada harga diri, maruah diri, berhenti, jangan susahkan perdana menteri. Orang lain dalam MCA boleh ganti tempat (dia), apa ingat dia seorang sahaja yang pandai," katanya.

Mohamad berkata menteri berkenaan wajar berundur sejajar dengan slogan kerajaan sekarang iaitu supaya 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

"Saya cakap apa yang dirasai sebahagian besar rakyat. Inilah makna rakyat didahulukan, menteripun harus bersikap rakyat didahulukan. Rakyat sudah tidak mahu... jalan, jangan tunggu... get out you!" katanya.

Mengenai kedudukan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga dan menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), beliau berkata menteri itu sendiri tidak menunjukkan prestasi yang baik.

"Jaga KPI tetapi kalau diri tidak ada KPI, kakitangan di bawah hilang kepercayaan, bagaimana keberkesanan kita sebagai menteri.

"Saya kasihan pada kawan saya (bekas anggota parlimen) Batu Kawan (Huan Cheng Guan), dulu seorang anggota parlimen yang baik tetapi kawasannya dirampas presiden (Gerakan, Koh) yang bertanding, tetapi kalah satu negeri, macam ini hendak jaga KPI," katanya.

Beliau juga menyifatkan Koh sebagai "suka mengampu" kerana tidak pernah hadir di Parlimen kecuali apabila perdana menteri hadir.

"Jadi senator, masuk pintu belakang, jadi menteri, tak datang pun Parlimen. Perdana menteri datang, dia datang, perdana menteri datang, dia datang... ini namanya menteri mengampu," katanya yang menerima sokongan beberapa anggota Parlimen lain termasuk pembangkang.

Kemudian dengan nada yang lebih rendah, Mohamad yang telah tiga penggal menjadi wakil rakyat, turut menasihati para menteri agar tidak bersikap sombong atau bongkak.

"Kata orang tua, kalau dongak ke langit jangan lupa rumput di bumi. Jangan jadi teratai, ke langit tidak sampai ke bawah tidak jejak.

"Hari ini kau menteri esok orang biasa, untung macam saya semalam anggota parlimen, hari ini anggota parlimen, esok dan selama-lamanya anggota parlimen," katanya disambut derai ketawa mereka yang hadir.

Kenyataannya itu membuatkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee mencelah dan bertanya adakah itu bermakna beliau tidak berminat untuk menjadi menteri.

Menjawab soalan itu Mohamad berkata: "Saya sudah pernah pengalaman menjadi exco. Setahun 241 mesyuarat, susah hendak jumpa bini, timang anak tak dapat, timang bini pun tak dapat, cukuplah."

"Tanyalah menteri yang betul bekerja, tak sempat dia timang anak tak sempat... wakil rakyat beginipun alhamdulillah," katanya sekali lagi disambut tepukan mereka yang hadir.

Beliau turut membangkitkan beberapa isu semasa termasuk dasar terbaru kerajaan supaya semua kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun diwajibkan membuat pemeriksaan tahunan di Puspakom sebagai syarat memperbaharui cukai jalan bermula 1 Jan tahun depan.

Katanya, dasar itu hanya menyusahkan rakyat, terutamanya masyarakat kampung, dan ini boleh boleh menjatuhkan BN.

"Pakcik saya di kampung hendak cari kereta 20 tahun sebab nak bayar tunai RM5,000. Rakyat kampung hendak kereta tua sebab murah, bila letak syarat macam ini, ini gila punya syarat, tak kira siapa buat polisi," kata Mohamad yang mendesak agar dasar itu diubah segera.

Peraturan baru yang diumumkan kerajaan semalam dan merupakan antara 18 langkah baru yang diperkenalkan dalam kajian semula Dasar Automatif Nasional (NAP) bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta menawarkan kenderaan lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi.

Isu lain yang turut dibangkitkan termasuk tindakan menghalang peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Malaysia (PTPTN) ke luar negara yang beliau harap dapat dikaji semula manakala Kementerian Kesihatan diminta memberi penjelasan tentang dakwaan masakan tomyam campur, yang menggabungkan makanan laut dengan makanan darat contohnya ayam dan daging, mempunyai kaitan dengan jumlah penyakit dan daya tahan penyakit yang semakin rendah di kalangan rakyat negara ini.

Beliau berkata, menurut Islam adalah dilarang masakan yang mencampurkan makanan laut dan darat kerana dikhuatiri boleh memudaratkan sistem penghadaman manusia. BERNAMA

Malaysiakini

Friday, July 31, 2009

Gerakan gagal serah memo bantah ISA kepada Agong - Malaysiakini

Pemuda Gerakan hari ini gagal menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, mendesak supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sekumpulan anggota pergerakan itu, yang diketuai oleh ketuanya, Lim Si Pin, tidak dapat menyerahkan memorandum tersebut kerana mereka tidak memaklumkannya terlebih dahulu kepada pegawai istana.

Pergerakan itu pada mulanya, mereka merancang untuk menyertai perhimpunan anti-ISA esok.

Bagaimanapun, mereka memutuskan untuk menyerahkan memorandum tersebut hari ini kerana tidak akan mengambil bahagian dalam perhimpunan esok.

Mereka pada mulanya merancang untuk berarak dari bangunan berhampiran, menuju ke istana untuk menyerahkan memorandum mereka hari ini tetapi terpaksa membatalkannya atas nasihat polis.

Mereka kemudiannya menaiki kenderaan menuju ke pintu utama istana.

Gerakan memang selama ini membantah penggunaan ISA.

Malaysiakini

Monday, July 13, 2009

Pemuda Gerakan sertai demo anti-ISA - Malaysiakini

Dalam satu tindakan yang berani, Pemuda Gerakan secara terbuka menyatakan sokongan - dan turut serta - terhadap demonstrasi besar membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan depan.

"Pemuda Gerakan akan menggerakan sekumpulan ahli (Pemuda) untuk menyokong perhimpunan aman MANSUH pada 1 Ogos ini bersempena ulang tahun ke-49 (pelaksanaan) ISA," kata ketua biro khidmat guaman dan aduan awamnya Andy Yong.

Perhimpunan besar anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) turut disertai parti-parti pembangkang dan NGO hak asasi.

Menurut satu kenyataannya hari ini, Yong berkata keputusan itu dimaklumkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat kebangsaan Gerakan.

Beliau juga berkata parti komponen BN itu beriltizam melindungi dan mempertahankan hak-hak asasi manusia dan kebebasan asas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UHDR) 1948.

"Keputusan kami telah dimaklumkan kepada pengerusi GMI Syed Ibrahim (Syed Noh) dan beliau menerimanya dengan rasa hormat," kata Yong lagi.

Pada 22 Jun lalu, GMI secara rasmi mengumumkan perhimpunan besar-besaran dengan mensasarkan jumlah "sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)", dua tahun lalu.

Pada perarakan ke Istana Negara pada November 2007, kira-kira 40,000 ribu orang turun bersama-sama dengan tokoh-tokoh pembangkang.

Demonstrasi besar itu pernah ditangguhk sebanyak dua kali, pada Mac dan Jun, bagi menghadapi beberapa pilihanraya kecil - menjelang pilihanraya parlimen Bukit Gantang dan DUN Penanti.

Tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.

Malaysiakini

Monday, September 29, 2008

Gerakan pertimbang keluar BN

Gerakan menimbang untuk meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan Rakyat, kata pemangku Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.

Dua lagi pilihan dalam pertimbangan parti itu termasuklah kekal bersama BN atau keluar dan menjadi sebuah parti bebas tanpa sebarang pakatan, katanya seperti dilaporkan laman web The Star.

Tambahnya, kemungkinan meninggalkan BN dan menyertai Pakatan tergantung pada situasi politik saat ini.

"Kita tidak menutup sebarang kemungkinan," Koh dipetik sebagai berkata selepas merasmikan konvensyen tahunan Gerakan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sentimen 60 peratus ahli-ahli mahukan Gerakan meninggalkan BN, bagaimanapun keputusan itu harus mengambil kira pelbagai faktor dan bukan sentimen semata-mata.

Mengulas 20 anggota Gerakan Wilayah Persekutuan termasuk bekas ketua penerangannya Gan Kok Keng dan bekas ketua bahagian Setiawangsa Li Tiam Chai yang menyertai PKR, Koh berkata beliau terperanjat dengan keputusan mendadak itu.

Minggu lepas, tambah tambahnya, Li masih tidak menunjukkan sebarang tanda tidak senang dengan Gerakan.

Di sidang media yang sama, Koh menawarkan diri untuk jawatan presiden apabila parti itu mengadakan pemilihan kebangsaan bulan depan tetapi akan berkhidmat tidak lebih dari dua penggal sekiranya dipilih, lapor Bernama.

"Saya menetapkan tempoh masa untuk diri saya, iaitu saya berkemungkinan tidak akan melewati dua penggal, mungkin lebih pendek," katanya.

Baru-baru ini Parti Maju Sabah (SAPP) membuat keputusan keluar BN selepas beberapa bulan berusaha mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri, yang juga pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sumber: Malaysiakini

Tuesday, September 9, 2008

Wanita Gerakan desak tahan Ahmad bawah ISA

Wanita Gerakan hari ini mendesak supaya ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail dipecat dari Umno kerana membuat kenyataan berbaur perkauman.

Ketuanya, Datuk Tan Lian Hoe juga berkata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti memastikan segera yang Ahmad ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memainkan isu perkauman.

Katanya, perbuatan Ahmad yang berterusan mengecam masyarakat Cina, menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Beliau bimbang ia boleh mencetuskan rusuhan kaum sepertimana yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Tan juga berkata, ahli-ahli Gerakan kecewa dan marah dengan tindak tanduk penyokong Ahmad semalam yang bertindak mengoyak gambar pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

"Bagaimana pula reaksi ahli-ahli Umno jika gambar presiden mereka dikoyak seperti itu," tambahnya dalam satu sidang akhbar di ibupejabat Gerakan pagi ini.

Semalam, Ahmad meneruskan perang mulutnya terhadap Dr Koh dengan menuduh pemimpin Gerakan itu memainkan isu tersebut.

Ahmad juga mendesak supaya Barisan Nasional (BN) menyingkirkan Gerakan daripada BN.

Ahmad turut memberi amaran kepada masyarakat Cina supaya jangan memainkan isu-isu mengenai orang Melayu.

Dalam reaksinya malam tadi, Abdullah mengecam tindak tanduk Ahmad dan akan bersemuka dengan ketua Umno Bukit Bendera itu hari ini.

Sumber: Malaysiakini



Pertelingkahan Ahmad-Koh bukan baru

Pertelingkahan antara Ketua Umno Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bukan perkara baru dalam arena politik negeri ini bahkan telah lama, cuma ia disembunyikan bimbang berlaku keretakan dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Bila kenyataan Ahmad di ceramahnya sempena Pilihan raya Kecil Permatang Pauh ramai masyarakat terutamanya di bahagian Bukit Bendera tidak hairan beliau bertindak begitu kerana beliau memang celupar ketika melepaskan kata-kata.

Di bahagiannya sendiri ramai tidak suka terhadap sikapnya namun tidak berani melafazkan kata-kata sebab bimbang diperhatikan oleh geng-geng tertentu apatah lagi penduduk setempat lagi takut mengatakan bantahan terhadap projek yang nyata tidak membawa keuntungan kepada mereka.

Harakahdaily sendiri ketika mengadakan tinjauan ke perumahan mewah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kebun Bunga sekitar tahun 1998 bersama Allahyarham Salim Hashim aktivis masyarakat yang dikenali ramai, asyik diperhatikan dari jauh oleh tiga orang pemuda yang bermotosikal.

Kami diberitahu oleh salah seorang penduduk tempatan yang mengenali mereka bahawa penduduk yang tinggal selama enam tahun di rumah sementara takut memberikan maklumat lanjut.

Lebih menyedihkan ada yang tutup pintu serta-merta bimbang mereka diapa-apakan oleh orang suruhan Ahmad.

Jadi, bukan perkara baru jika Ahmad secara tiba-tiba mengatakan kaum Cina merupakan bangsa pendatang yang tidak harus diberikan keistimewaan di negara ini sehingga membuatkan seteru politiknya melenting dan cerita terbaru Gerakan cuba menggugut akan keluar BN seandainya persengketaan itu tidak dituruti permohonan maaf oleh Ahmad.

Pernah program pemberian anak kunci rumah tsunami berhampiran Masjid Terapung, Tanjung Bunga tidak jadi gara-gara suara Ahmad yang melarang Koh Tsu Koon datang ke majlis berkenaan walaupun Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Tabung Bencana Alam Negara, Dato' Seri Najib Razak dijangka hadir merasmikan majlis tersebut.

Akhirnya kerusi dan khemah yang dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sehari sebelum itu dirobohkan kembali dan digantikan dengan hari lain.

Beberapa kejadian itu jelas membuktikan persengketaan antara Ahmad dan Koh bukan perkara baru malahan berlarutan bertahun-tahun sejak Koh dilantik menerajui negeri.

Mungkin Ahmad memarahi Koh disebabkan tidak membelanya ketika dipecat daripada Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ataupun perkara lain yang ramai orang tidak tahu.

Pelik juga kes ini kerana orang yang melafazkan kata-kata kesat itu tidak peduli untuk memohon maaf tambahan lagi ia mendapat sokongan padu Umno Negeri di bawah kelolaan Timbalan Pengerusinya, Dato' Abdul Rashid Abdullah.

Tidak semena-mena Najib yang baru menerima malu kerana mengalami kekalahan di Permatang Pauh tersipu-sipu pohon maaf bagi pihak Umno sedangkan Ahmad berbangga mempertahankan ucapannya tempohari.

Bagi Presiden Parti KeAdilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika Harakahdaily bertemunya dalam majlis penyerahan bantuan banjir di surau Permatang Rawa beliau berpendapat, semua itu mainan Umno untuk menimbulkan kekacauan yang boleh mengwujudkan 'perintah berkurung' di Malaysia semata-mata menyekat kemaraan pembentukkan Malaysia Baru pada 16 September ini.

Apa pun, hari ini Ahmad dipanggil Perdana Menteri selaku Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Putrajaya bagi mendengar sendiri hal itu bagi mencari jalan mengembalikan kejernihan dalam komponen BN. - mks._


Sumber: HarakahDaily

Gerakan P Pinang putus hubungan dengan Umno negeri


Gerakan Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar semalam ekoran sidang akhbar yang diadakan oleh ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail di mana seorang pemimpin Umno bertindak mengoyak gambar bekas ketua menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dalam mesyuarat tergempar itu, kata Dr Koh, Gerakan Pulau Pinang mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Umno negeri tersebut.

Beliau turut membidas Ahmad yang didakwa membuat kenyataan yang menyinggung orang Cina kerana "telah menukar kesilapan peribadinya kepada konflik dan krisis antara parti-parti komponen BN dan yang paling teruk lagi, antara masyarakat".

Menurut Dr Koh lagi, tindakan penyokong Ahmad menurun, mengoyak dan memijak gambarnya, bukan sahaja dilihat sebagai tindakan yang tidak menghormati dan menghina beliau, tetapi juga keseluruhan parti dan BN.

Dalam sidang akhbar pada jam 10.30 malam tadi, Dr Koh berkata, pemimpin dan ahli Gerakan amat terperanjat dan marah dengan perbuatan tersebut,

Menurutnya, mereka kecewa dan sedih kerana ramai pemimpin badan perhubungan Umno negeri yang hadir di situ, telah membiarkan kenyataan dan perbuatan yang tidak bertanggungjawab seumpama itu.

Dr Koh juga berkata, amaran Ahmad supaya masyarakat Cina tidak bersikap seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan politik, sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak harus dibangkitkan sama sekali.


Sumber: Malaysiakini

Sunday, September 7, 2008

Dr Tan umum sertai PKR hari ini

Bekas Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Tan Kee Kwong, 61, menyertai PKR kerana hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN), Gerakan dan Umno.

"Ini bukan keputusan yang senang tetapi saya percaya parti satu kaum seperti MIC, MCA dan Umno sudah tidak relevan lagi.

"Majoriti rakyat negara ini mahu kepada parti berbilang kaum dan agama," katanya ketika mengumumkan menyertai PKR dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mei lalu, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melantik Dr Tan sebagai pengerusi bersama pasukan pengurusan tanah Selangor.

Dr Tan pernah menjadi timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi dari 1999 hingga 2004.

Beliau merupakan ahli parlimen Segambut selama tiga penggal dari 1995 hingga 2004.

Beliau bagaimanapun tidak bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

'Mustahil dilakukan'

Dr Tan merupakan anak bekas pemimpin pembangkang Tan Sri Tan Chee Khoon pada era 60-an dan 70-an.

Beliau menghantar surat berhenti menjadi ahli Gerakan kepada setiausaha agung parti itu, Datuk Seri Chia Kwang Chye jam 11 pagi semalam.

Dr Tan berkata, beliau menyertai BN kerana mahu menukar BN tetapi sampai satu tahap, ia sangat sukar dan mustahil boleh dilakukan.

"Selepas tsunami politik, saya dan majoriti orang di Lembah Kelang percaya kepada sistem semak dan imbang dalam politik negara.

"Saya berharap negara kita ada sistem dua parti seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat," katanya.

Menurutnya lagi, PKR merupakan sebuah parti berbilang kaum dan ini baik kepada negara.

'Pemimpin korup'

Dr Tan percaya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.

"Saya yakin beliau akan mengenepikan pemimpin Umno yang rosak dan korup," katanya.

Ketika ditanya mengapa menyertai PKR sekarang, Dr Tan berkata, beliau menyertai Gerakan kerana diminta oleh bekas naib presiden parti itu, Tan Sri Alex Lee pada 1995.

Dr Tan berkata, beliau menyertai Gerakan dua bulan sebelum pilihanraya umum tahun berkenaan dan bertanding di kawasan Parlimen Segambut.

"Saya mahu melakukan sesuatu kepada Gerakan dan BN tetapi ia sukar dan sampai tahap mustahil," katanya.


Sumber: Malaysiakini

Tuesday, August 26, 2008

Selepas GERAKAN, MCA juga mahu keluar dari BN

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Selepas Gerakan, MCA pula mengugut untuk mengkaji kedudukan mereka dalam Barisan Nasional (BN) jika Umno terus menerus dengan slogan ketuanan Melayunya.

Calon Presiden MCA yang disokong oleh kepimpinan parti itu sekarang, Datuk Ong Tee Keat ketika bercakap di Pahang berkata, jika Umno terus dengan slogan ketuanan Melayu dan tidak membuat reformasi, anggota BN yang lain termasuk MCA akan meninggalkan BN.

Sebelum ini, Pemangku Persiden Gerakan, Datuk Dr Koh Tsu Koon memberitahu, bukan sahaja Gerakan mengkaji untuk keluar BN, parti-parti lain juga membuat kajian yang sama.

Penasihat Gerakan, Tun Lim Keng Yaik pula berkata, ia terserah kepada perwakilan parti itu yang akan bermesyuarat tidak lama lagi.

"Jika kami keluar BN nanti, kami tidak akan memperjuangkan satu kaum sahaja bahkan menjadi parti pelbagai kaum," kata Ong Tee Kiat, Naib Presiden MCA sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Cina, Nanyang Siangpau.

Sebelum ini, seorang lagi calon Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek, berkata, "MCA perlu mengkaji sikapnya seumpama 'orang gaji' kepada Umno."

Ong Tee Kiat dan Chua Soi Lek, ketika mereka berlumba untuk merebut hati perwakilan MCA menjadikan Umno sebagai tempat mereka memukul (punching bag), tulis Leslie Lau, wartawan laman web malaysiainsider.com.

Sumber: Siasah

Tuesday, August 19, 2008

Toh quits Gerakan

Barely 24 hours after he voiced his support for opposition leader Anwar Ibrahim in the Permatang Puah by-election, Gerakan leader Dr Toh Kin Woon has quit his party.

Sumber: Malaysiakini