Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Dr. Syed Hussin. Show all posts
Showing posts with label Dr. Syed Hussin. Show all posts

Friday, May 28, 2010

'Lompat katak' perkukuhkan PKR - Malaysiakini

Timbalan presiden PKR Senator Syed Husin Ali meminta perwakilan parti supaya bersikap positif ke atas tindakan "lompat katak" yang dilakukan beberapa pemimpinnya sebelum ini.

Berucap semasa merasmikan kongres sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) parti itu malam ini, Syed Husin bagaimanapun mengakui bahawa sebahagian daripada pemimpin tersebut berbuat demikian kerana kecewa dengan PKR.

"Kita akui di antara mereka yang keluar itu memang ada sebilangan kecil yang merasa kecewa dengan parti

"Akan tetapi, perlu ditegaskan kebanyakan mereka yang melompat mempunyai masalah peribadi.

"Ada yang terbelenggu oleh masalah kewangan, ada yang marah kerana tidak mendapat apa yang mereka mahu dari parti ataupun kerajaan yang dipimpin parti," katanya di kongres keenam PKR di Kota Bharu.

Tambahnya, ada di kalangan pemimpin itu juga tidak dapat bekerjasama dengan anggota dan pemimpin bawahan parti.

"Selain itu ada pula yang gagal menjalankan tugas sebagai "wakil rakyat" dan sebagainya. Mereka mudah dibeli," katanya lagi.

Beliau juga cuba meredakan kebimbangan di kalangan perwakilan berhubung perkembangan itu dengan mengatakan, jumlah pemimpin yang keluar parti itu tidaklah seramai yang didakwa.

"Bilangan yang keluar itu tidaklah seramai yang dibesar-besarkan... Kita tidak perlu bimbang sangat dan harus menghadapinya dengan sikap positif.
"Tiap-tiap bulan parti menerima sekitar 5,000 permohonan anggota baru. Beberapa bulan lalu, dalam tempoh tiga bulan (diterima) sebanyak kira-kira 50,000 permohonan," katanya dengan disambut tepukan kira-kira 500 hadirin.
Kesan baik dalam jangka panjang

Tambahnya, perbuatan "lompat katak" itu juga diakui memberi kesan buruk namun dalam tempoh panjang ia sebenarnya dapat menyucikan parti tersebut.

"Saya selalu mengatakan ini satu proses yang positif, iaitu sebagai proses penyucian walaupun bukan akibat dari tindakan parti sendiri pada permulaannya," katanya dengan memberi contoh pengalaman yang dialami PAS dan DAP.

Jelasnya, PAS dianggap akan "gulung tikar" oleh Umno apabila pemimpin kanannya meninggalkan parti itu, termasuk yang dipertuanya Asri Muda dan setiausaha agungnya Othman Abdullah.

"Umno dengan gembira mengisytiharkan PAS akan gulung tikar. (Kemudian), apa yang berlaku? PAS menjadi bertambah kuat," katanya lagi dengan disambut tepukan.

"Jadi mulai sekarang kita harus tegas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas anasir-anasir yang merosakkan parti," tegasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata peristiwa "katak lompat" itu saja tidak mencukupi untuk menguatkan PKR.

"PKR akan menjadi benar-benar kuat dan mantap hanya sekiranya kita mempunyai ramai pemimpin dan anggota yang berpegang teguh kepada ideologi atau dasar perjuangan Parti.

"Kita perlu bergerak cergas dalam parti dan di kalangan massa rakyat; jikalau tidak boleh setiap minit, setiap jam dan setiap hari, sekurang-kurangnya setiap minggu dan setiap bulan berterusan," katanya lagi.

Malaysiakini

Thursday, May 20, 2010

Hari Ini: Dr Syed Husin Fail Saman Utusan Esok - SK

SHAH ALAM 19 Mei - Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali akan memfailkan saman terhadap Utusan pukul 11 pagi esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung laporan berita fitnah yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 6hb Mac 2010 di bawah tajuk "RM500,000 Syed Husin dicabar lapor polis".

"Berita tersebut mendakwa saya kononnya menerima RM500,000 daripada Anwar Ibrahim sebagai bayaran untuk membubar Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi memudahkan percantuman dengan Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat," kata beliau dalam laporan media sebelum ini.

Justeru itu, katanya, pihaknya akan mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu terhadap mereka.

Dr Syed Husin juga berkata tindakan undang-undang akan diambil sekiranya tiada jawapan daripada pihak terbabit berhubung tuntutan tersebut.

Beliau akan mengadakan satu sidang media di lobi mahkamah sejurus saman itu difailkan.

SK

Friday, March 5, 2010

KEADILAN Tetap Teguh Dan Mantap - AnwarIbrahimBlog

KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA
Tarikh: 4 Mac 2010

KEADILAN TETAP TEGUH DAN MANTAP

Peristiwa beberapa orang Ahli Parliamen (AP) melompat keluar dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merupakan proses penyucian yang dialu-alukan. Kami percaya apabila sudah tidak ada daki, kulit menjadi lebih bersih dan badan lebih sihat.

Sejarah menunjukkan PAS dan DAP mengalami cabaran lebih buruk pada peringkat permulaan mereka. Beberapa pimpinan utama mereka keluar parti. Dari DAP Goh Hock Guan (SUA), Richard Ho (pemimpin kanan), Lee Lam Thye dan lain-lain keluar parti. Ada pihak menganggap DAP akan lingkup. Sebaliknya ia menjadi lebih kuat sehingga kini.

Dari PAS pula, Asri Muda (Presiden), Osman Abdullah (SUA), Nakhaie Ahmad (Naib YDP) dan ramai lagi meninggalkan parti. Para pemimpin Umno menyangka dan mengharapkan PAS akan gulung tikar. Tetapi apa berlaku? PAS menjadi lebih teguh seperti yang terbukti sekarang.

Kita jangan lupa Umno juga melihat ramai pemimpin, termasuk tiga orang Presidennya – Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn – keluar parti dan tidak masuk semula sehingga mati. Tidak seperti Mahathir Mohamad, yang bercerai sekejap dan kemudian rujuk kembali. Berbeza dengan PAS dan DAP, Umno lebih parah keadaannya kini.

Ahli-ahli Parliamen yang melompat katak dari KEADILAN akhir-akhir ini, seperti Ahli-ahli Dewan Negeri yang berbuat serupa terdahulu darinya, menghadapi masalah pribadi serta kewangan dan ada yang mula disiasat oleh pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah).

Selain itu mereka tidak menjaga kawasan, tidak pernah menuyarakan rintihan apatah lagi membela hak rakyat. Mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam Parlimen – tidak pernah atau jarang sekali bercakap atau berbahas.

Pimpinan Umno meraih peluang dari kelemahan mereka. PM Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor menemui hampir semua sebelum mereka keluar – termasuk juga beberapa orang bukan ADUN atau AP yang boleh diperalatkan – dengan menjanjikan berbagai-bagai habuan untuk memikat mereka. Kami mendapat maklumat bahawa berpuluh juta dana disediakan oleh PM serta kroni konrporatnya untuk membeli ADUN dan AP, terutama dari KEADILAN.

Najib dan pemimpin Umno yang lain berikrar konon hendak berusaha menghapuskan korupsi. Sebaliknya mereka sentiasa melakukan korupsi politik dan kewangan besar-besaran. Tindakan korupsi mereka pasti akan menjadikan KEADILAN lebih teguh dan mantap dan disokong rakyat ramai.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden, KEADILAN

Tuesday, November 17, 2009

Dewan Negeri Calonkan Syed Husin Sebagai Senator - TVS

Dewan Negeri Selangor hari ini mencalonkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Syed Husin Ali, 73, sebagai senator mewakili negeri tersebut.

Pemilihan Syed Husin diluluskan melalui undian di mana 32 ADUN menyokong, tiga ADUN berkecuali manakala 20 ADUN lagi tidak hadir.

Nama beliau dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan disokong oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Ali yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Dewan turut mencalon dan meluluskan S Ramakrishnan sebagai seorang lagi calon senator.

Nama Ramakrishnan, 53, dicadangkan oleh Exco kanan negeri, Teresa Kok dan disokong oleh Exco Yaakob Sapari. Ramakrishnan menjadi ahli DAP sejak 2000.

Tiga puluh dua ADUN menyokong pencalonan beliau manakala dua ADUN membantah dan seorang ADUN berkecuali. Manakala 20 ADUN lagi tidak hadir.

TVS