Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label GMI. Show all posts
Showing posts with label GMI. Show all posts

Wednesday, August 5, 2009

Polis 'berlebihan' tembak gas, air - Malaysiakini




Polis menembak gas pemedih mata dan meriam air "berlebihan sehingga membawa kesan kepada mereka yang berada di kawasan berdekatan" perhimpunan besar membantah akta ISA pada Sabtu lalu, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Suruhanjaya itu juga mempertikaikan tindakan polis menangkap, menggari dan mereman kanak-kanak bersama penentang dewasa akta kontroversi tersebut kerana ia bercanggah dengan Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Hak Kanak-kanak.

Selain menegaskan peri pentingnya hak orang ramai mengadakan perhimpunan, dalam satu kenyataan bersama lima pesuruhjaya Suhakam, badan itu juga menggesa kerajaan memansuhkan ISA seperti syor yang dibuatnya sejak 2003 kerana tahanan tanpa perbicaraan bercanggah dengan hak asasi.

"Suhakam ingin mengulangi pendiriannya bahawa ISA mesti dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang baru yang lengkap yang menyeimbangkan keselamatan negara dan juga hak-hak asasi sebagai Akta Anti-Keganasan bagi menangani kegiatan terorisme dan tindakan ganas terhadap massa," kata naib pengerusinya Tan Sri Simon Sipaun.

Kenyataan itu turut ditandatangani oleh empat lagi pengerusi jawatankuasa kecil Suhakam: Datuk Dr Michael Yeoh, Datuk Choo Siew Kioh, Datuk Khalid Ibrahim dan Datuk Dr Denison Jayasooria.

Malaysiakini

Sunday, August 2, 2009

Luahan Zaid Ibrahim - Perisik Rakyat

Himpunan Anti ISA: Pengalaman Pertama Bersama Rakyat - Zaid Ibrahim

Hari ini (1 Ogos 2009) buat kali pertama dalam sejarah hidup saya, saya menjadi mangsa bom gas pemedih mata. Pedih sungguh mata dan hati saya! Inilah pengalaman saya berhimpun dan berarak bersama dengan berpuluh ribu rakyat Malaysia di Kuala Lumpur. Ia benar-benar membuka mata saya di samping memberi banyak pengajaran.

Saya amat terkejut kerana tidak menyangka betapa kejamnya polis bertindak terhadap rakyat yang hanya berhimpun dan berjalan secara aman. Rakyat hanya mahu meluahkan perasaan tentang buruknya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang perlu dimansuhkan secepat mungkin. Rakyat kita tidak membawa senjata, mereka hanya membawa anak-anak untuk menyedarkan warga kecil betapa kejamnya ISA.

Lelaki, perempuan, tua dan muda, pelbagai kaum, bermacam agama, semuanya berhimpun secara aman di ibu kota. Hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asasi rakyat. Tapi nampaknya hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ini sudah tidak ada guna lagi. Hak kita sudah hancur kerana polis yang bersenjata, yang berkuasa penuh, yang sombong dan angkuh, kini telah menentukan hak kita.

Bila polis kata perhimpunanan itu haram, maka kita semua yang berhimpun atas dasar kebebasan dan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, telah menjadi mangsa kekerasan polis. Ya, polis yang mengaku diri sahabat rakyat, kini menunjukkan belang sebenar mereka. Tak sangka, dengan sedikit kuasa itu, mereka sudah merasakan diri seperti Fira’un.

Saya sebagai warga Malaysia yang prihatin telah turut sama menyertai perhimpunan aman ini. Tapi saya bersama dua anak saya dan kawan-kawan lain tak tahu ke mana mahu dituju kerana polis telah tutup banyak jalan. Kami hanya mahu ke Istana Negara untuk menyaksikan penyerahan memorandum anti-ISA.

Kami telah tersepit di sebatang jalan dekat Masjid Negara. Ramai yang berarak menghala ke Jalan Kuching ke arah Selangor Club, kami pun ikut sama. Niat kami hanyalah untuk bersama-sama orang ramai menunjukkan sokongan. Tetapi bila sampai sahaja di belakang Selangor Club, polis dengan ganasnya telah menyembur gas pemedih mata dan menggunakan pncutan air tekanan tinggi. Lintang-pukang orang berlari. Saya pun tunggang-langgang lari.

Polis kemudian meminta orang ramai bersurai. Tetapi ke mana nak bersurai kerana semua jalan sudah ditutup. Tak ada cara lain kecuali patah balik ke arah Masjid Negara. Saya pun bersedia untuk bersurai. Tapi bila sampai dekat dengan Masjid Negara, ada pula sekatan jalan polis. Di situlah saya lihat orang ramai angkat tangan supaya polis membenarkan mereka bersurai ke arah bagunan Dayabumi.

Saya juga angkat tangan kerana kami memang nak bersurai. Ada dua orang wanita tua bersama saya yang merah serta berair mata mereka di samping terbatuk-batuk akibat bom gas pemedih mata. Seorang peserta lelaki yang cacat anggota dengan crutches nya tidak dapat lari. Saya tak tahu apa nasib manusia berani ini. Kasihan saya melihat mereka semua.

Rupa-rupanya polis sudah berniat jahat. Tanda angkat tangan tidak ada erti kepada mereka. Walau pun melihat ramai antara kami yang sudah mahu bersuara, polis terus melepaskan bom pemedih mata. Saya dapat lihat wajah-wajah polis berkenaan, kebanyakannya orang Melayu, yang penuh benci dan kesumat dendam.

Maka terpaksa lagi kami berlari elakan diri. Tapi nak ke mana lagi? Di Jalan Kuching dekat Selangor Club pun polis sudah melemparkan bom pemedih mata. Bom dari canisters yang tidak ada jenama kata kawan saya. Bererti bom jenis buatan haram. Dinegara kita apa pun boleh dilakukan Ramai orang termasuk saya terpaksa lari masuk ke dalam hutan kecil berhampiran Jalan Kuching dengan melompat pagar bangunan di situ.

Mujur juga ada pengawal keselamatan di situ yang baik hati yang telah melepaskan kami keluar dari perkarangan bangunan tersebut. Semoga Allah membalas budi baiknya. Di sana barulah kami dapat keluar untuk bersurai. Masa itu mata kami semua sudah merah, suara parau dan seluar koyak akibat terpaksa melompat pagar. Saya pun baru sedar bila sudah berumur begini lutut sudah tidak sekuat waktu muda dulu.

Memang jelas hak dan kebesan kita semakin terhakis. Apa yang polis lakukan dengan cara mengepung orang ramai yang hanya mahu berhimpun secara aman dan membelasah mereka dengan semburan air dan bom pemedih mata adalah untuk menunjukan kepada rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak peduli dengan kehendak dan keperluan rakyat.

Mereka mahu mengajar rakyat Malaysia bahawa era Pak Lah yang mahu mencuba membuka ruang kebebasan sudah tidak wujud lagi. Ini era Najib yang tak mahu dengar dan tak terima pandangan rakyat.

Bagi polis yang jelas bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional, mereka mahu rakyat takut kepada mereka. Mereka tidak mahu kita di Malaysia bebas seperti Indonesia dan Filipina yang memberi rakyat peluang bersuara dan berhimpun secara aman.

Mereka mahu semua rakyat sedar bahawa Malaysia adalah Negara Polis seperti Myanmar. Sesiapa yang berhimpun dianggap bersalah kecuali mereka yang berhimpun untuk menyokong Najib dan pemimpin UMNO yang lain. Inilah mesej 1Malaysia ciptaan Najib yang memberi amaran kepada rakyat bahawa kekerasan akan digunakan pada bila-bila masa sahaja demi mengekalkan kuasa.

Tapi rakyat Malaysia termasuk saya juga ingin menyampaikan berita kepada Najib. Kita akan berkorban apa saja untuk menentang kekejaman dan kezaliman. Kita yakin kita di pihak yang benar kerana kita menentang salaha guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kuasa rakyat akan menang juga suatu hari nanti di negara Malaysia yang tercinta ini, InsyaAllah.

Perisik Rakyat

Friday, July 31, 2009

Sekatan jalanraya menjelang perhimpunan ISA esok - Malaysiakini

Polis mengadakan sekatan jalanraya di jalan utama di sekitar Lembang Klang yang menuju ke Kuala Lumpur menjelang dua perhimpunan ISA yang dirancang diadakan esok.

Lalulintas bergerak perlahan di beberapa lokasi apabila jalan-jalan utama kini menjadi satu laluan.

Terdapat dua sekatan jalanraya di Lebuhraya Persekutuan di PJ dan satu lagi di Jalan Tun Razak, berhampiran Hospital Kuala Lumpur.

Dua kumpulan - pro-ISA dan anti-ISA - bertegas untuk meneruskan rancangan mereka mengadakan perhimpunan tersebut, walaupun polis mengarahkan mereka supaya membatalkannya.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan perhimpunan anti-ISA manakala Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) akan mengadakan perhimpunan pro-ISA.

Malaysiakini

Thursday, July 30, 2009

Peta Laluan bagi peserta Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos


Klik gambar untuk paparan lebih jelas.

Wednesday, July 29, 2009

HIMPUNAN MANSUHKAN ISA 1 OGOS 2009

Pada 1 Ogos 2009 Sekretariat Himpunan MANSUH ISA menganjur satu himpunan besar-besaran. Perhimpunan ini adalah untuk menyatakan sikap rakyat Malaysia terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Protes rakyat menentang akta ganas dan zalim sudah sekian lama dan sentiasa berterusan.

Penggunaan ISA adalah sesuatu pencemaran keadilan undang-undang dan keluruhan perlembagaan Malaysia. Akta ISA ini adalah tiket jahat untuk kerajaan Umno/BN memastikan mereka terus berkuasa. Kerajaan Umno/BN boleh menangkap sesiapa sahaja secara sesuka hati, kerajaan Umno/BN boleh menahan seseorang tanpa waran, tanpa bicara dan tanpa hak peguam. ISA juga membenarkan kuasa yang luas, arbitrari dan tidak boleh dicabar mahkamah menyebabkan berlakunya pelbagai penyeksaan dan deraan fizikal juga mental.

Parti Keadilan Rakyat sangat menghormati prinsip keadilan sebagai hak asasi manusia. Parti Keadilan Rakyat menjunjung tinggi nilai kemanusiaan sejagat. Oleh itu,Parti Keadilan Rakyat menyokong penuh perhimpunan rakyat yang akan dianjurkan untuk menyatakan penentangan terhadap ISA yang jelas zalim dan sering kali disalahgunakan oleh kerajaan Umno / BN.

Pada 1 Ogos 2009 Parti Keadilan Rakyat akan bersama-sama rakyat menyertai Himpunan MANSUH ISA. Semua pimpinan tertinggi, anggota Parti akan hadir bersama Ketua Umum Parti, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyertai perhimpunan aman menyatakan sokongan kepada pihak penganjur dan menyatakan pendirian Parti yang menentang undang-undang zalim.

DATO' SALEHUDDIN HASHIM
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat

Monday, July 27, 2009

Himpunan sebelum dan selepas Zohor, 1 Ogos ini: Siapa berniat jahat? - Harakah

PELIK juga memikirkan tindak-tanduk sebuah pertubuhan NGO pro-ISA, Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) untuk mengadakan demonstrasi dan perarakan ke Istana Negara pada Sabtu, 1 Ogos ini.

Bukan menjadi satu kesalahan untuk berdemonstrasi dan berarak secara aman bagi menyokong ISA. Sokonglah, kalau itu difikirkan wajar. Tetapi sengaja mengadakan perhimpunan pro-ISA di hari yang sama perhimpunan anti-ISA diadakan sebenarnya boleh menimbulkan kejadian dan insiden tidak perlu.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengumumkan cadangannya secara rasmi pada 22 Jun lalu untuk mengadakan perhimpunan Mansuhkan ISA (Mansuh) di ibu negara bertujuan menyerahkan memorandum ke pejabat Yang Dipertuan Agong.

Manakala Pewaris yang mendakwa mewakili sepuluh NGO Melayu yang lain menyatakan hasrat mengadakan perhimpunan menyokong ISA pada tarikh dan tempat yang sama hanya pada petang 21 Julai - hampir sebulan setelah GMI menyatakan hasrat mereka. Antara yang bakal menyertai perhimpunan pro-ISA Pewaris adalah sebuah pertubuhan silat!

GMI bersama 83 NGO lain (termasuk Pemuda Gerakan) akan bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi ? kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara ? dengan berpakaian hitam dan merah ke Istana Negara.

Manakala Pewaris dengan 10 NGO Melayu dan ahli-ahli Silat Lincah akan berada di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah hari.

Mulai 11 pagi, demonstran pro-ISA yang berpakaian putih dijadual berhimpun di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok bersebelahan Bank Negara, sebelum menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki di dataran tersebut dan kemudian berarak ke Istana Negara.

Tidak diketahui sama ada kedua-dua kumpulan, anti-ISA yang berhimpun selepas solat Zohor, dan pro-ISA yang berhimpun sebelum solat Zohor akan bertembung di pintu Istana Negara. Bagaimanapun kemungkinan besar himpunan pro-ISA yang telahpun berarak pada jam 11 pagi akan mengakhiri perhimpunan mereka sebelum solat Zohor bagi memberi kesempatan kepada ahli-ahlinya yang kesemuanya Melayu-Islam untuk menunaikan solat Zohor!

Sehubungan itu, kita yakin tidak berlaku pertembungan antara dua kumpulan ini di hadapan Istana Negara kelak.

Bagaimanapun kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Dato' Ibrahim Ali bahawa demonstrasi anti-ISA anjuran GMI dan pro-ISA anjuran Pewaris pada tarikh dan tempat yang sama (walaupun masa yang berlainan) bakal "menimbulkan huru-hara" patut diambil perhatian serius pihak keselamatan.

Jika Ibrahim Ali yang juga penggerak utama demonstrasi pro-ISA itu tidak boleh menjamin perhimpunan yang bakal diadakan berjalan secara aman, Pewaris tidak sepatutnya dibenarkan berhimpunan pada tarikh itu.

Selaku pemimpin - tidak kira sekecil manapun bilangan yang dipimpin - Ibrahim perlu bertanggung jawab. Wajar baginya membatalkan sahaja cadangannya untuk berhimpun kerana beliau tidak mampu mengawal anak-anak buahnya daripada bertindak ganas dan melakukan provokasi.

Ramalan Ibrahim bahawa dua perhimpunan itu boleh "menimbulkan huru-hara" adalah berniat jahat dan mendedahkan niat sebenar perhimpunan pro-ISA itu dilaksanakan.

Ibrahim dalam kenyataannya berkata Perkasa dan NGO Melayu lain akan berarak mempertahankan akta itu "walaupun boleh menimbulkan huru-hara."

Malah beliau mengugut akan meneruskan perhimpunan pro-ISA itu jika Himpunan Mansuh yang digerakkan GMI tidak dibatalkan dan pihak polis tidak mengambil tindakan tegas.

"Kerajaan sudah umum akan kaji ISA, apa perlu perhimpunan ke Istana Negara.

"Tunggu sehingga kerajaan pinda atau bagaimana (keputusannya), baru boleh kemuka bantahan," katanya melalui pesanan SMS kepada Malaysiakini.

Jelaslah apa sebenarnya yang terkandung dalam benak hati Ibrahim, Pewaris dan Perkasa yang dipimpinnya. Tujuan perhimpunan pro-ISA itu diadakan adalah untuk menimbulkan huru-hara atau paling tidak dijadikan alasan oleh pihak polis untuk menghalang sebarang bentuk perhimpunan 1 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Pastinya Ibrahim sendiri bukanlah contoh terbaik untuk diikuti. Beberapa perhimpunan yang disertai olehnya termasuk dalam menjatuhkan kerajaan pimpinan PAS di Kelantan pada 1978 berakhir dengan huru-hara.

Ianya berbeza dengan perhimpunan aman yang dianjurkan masyarakat sivil negara seperti perhimpunan Bersih pada 2008 apabila 100,000 rakyat berhimpun di ibu kota dengan berbaju kuning.

Perhimpunan Bersih dan Mansuhkan PPSMI beberapa bulan lalu berjalan dengan aman dan berakhir dengan aman. Jika adapun kekecohan, ia disebabkan tindakan FRU menembak gas pemedih mata kepada mereka yang berhimpun. Tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera dan tiada harta awam yang rosak binasa dalam dua perhimpunan itu.

Ia tidak seperti beberapa perhimpunan yang dianjurkan Ibrahim Ali di Kota Bharu sehingga mendorong Kerajaan Pusat mengisytiharkan Mageran di negeri itu.

Walaupun Ibrahim dan kelompok ultra-Melayu pimpinannya berusaha menggagalkan himpunan Mansuh, Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihaknya akan tetap meneruskan perhimpunan itu.

Malah lebih seribu petugas Unit Amal telah dikerah bagi mengawal keselamatan dan peserta Himpunan Mansuh bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Himpunan Mansuh juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak antaranya Pemuda Gerakan, parti gabungan BN.

Malah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dilapor melarang Pemuda Umno daripada terlibat dalam perhimpunan pro-ISA yang dianjurkan Pewaris menyebabkan Ibrahim 'naik angin'.

Untuk pengetahuan, tanggal 1 Ogos 2009 dipilih sebagai tarikh himpunan Mansuh sempena 49 tahun ISA digubal.- tajdid_

Harakah

Thursday, July 23, 2009

Nik Aziz, Anwar sertai demo anti-ISA - Malaysiakini

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut serta dalam himpunan besar-besaran mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos ini.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata perhimpunan itu juga turut disertai pimpinan atasan Pakatan Rakyat, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin lebih 83 NGO dalam gabungan tersebut.

Beliau mengumumkan demikian dalam satu sidang media selepas menyerahkan surat pemakluman kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung hasrat GMI menyerahkan “deklarasi rakyat” pada tarikh tersebut.

Surat tersebut diserahkan kepada pegawai perhubungan awam Istana Negara, Mohd Khairi Abdul Rahman di pondok pengawal, kira-kira jam 11.50 pagi tadi.

Syed Ibrahim diiringi Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzzaman Mohamad.

Malaysiakini

Wednesday, July 22, 2009

Penyokong ISA juga ke Istana Negara - Malaysiakini

Pendukung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga akan berarak beramai-ramai ke Istana Negara seperti kumpulan penentang akta kontroversi itu pada 1 Ogos, demikian diputuskan malam tadi.

Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) bersama sepuluh NGO Melayu, yang bermesyuarat tentang perkara itu malam tadi, memutuskan untuk mengumpulkan tandatangan di Dataran Merdeka dan kemudian ke istana.

Ribuan penentang akta itu yang menganjurkan Himpunan MANSUH buat pertama kali bersemuka di jalanan dengan penyokong ISA yang mengadakan perhimpunan bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu."

Malaysiakini

Admin: Ayuh Rakyat Malaysia, Pendokong dan Penyokong Pakatan Rakyat turun beramai-ramai pada 1 Ogos ini menyuarakan suara seluruh rakyat Malaysia yang menolak ISA!! Kita berjuang untuk semua Rakyat Malaysia yang berbilang AGAMA dan BANGSA. Bukan seperti mereka yang hanya berjuang untuk satu bangsa sahaja!

Demo anti-ISA 'solidariti untuk Teoh' - Malaysiakini

Penentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh berkumpul di tiga lokasi sebelum berarak ke Istana Negara dalam demonstrasi besar-besaran untuk menyerahkan memorandum, 1 Ogos ini.

Tiga lokasi yang menjadi pusat perhimpunan anti-kerajaan dipilih: kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan KL Sentral, kata ketua Pemuda PAS yang terlibat dalam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang menganjurkan perhimpunan itu.

Nasrudin Hasan juga berkata perhimpunan itu boleh dijadikan pentas untuk menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock - setiausaha exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - yang ditemui mati dalam tanda tanya dekat pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis lalu.

"Serentak tarikh ini juga, semangat solidariti ummah bangkit berhimpun untuk menentang semua bentuk kezaliman termasuk tragedi yang menimpa Teoh setelah dijumpai terbunuh di Plaza Masalam sejurus disiasat oleh SPRM," katanya di blog peribadi Episode Sebuah Perjuangan.

Nasrudin juga mengarah ahli-ahli dewan itu di peringkat kawasan dan negeri untuk memobilisasi orang ramai agar menyertai perhimpunan tersebut.

GMI belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung lokasi awal berhimpun sebelum bergerak ke Istana Negara.

Jumaat lalu, mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata kerajaan wajar "berani memansuhkan" akta tersebut dalam agenda pembaharuan - bawah perdana menteri baru Datuk Seri Najib Razak.

Abdullah berkata ISA memberi kuasa yang besar serta skop yang mungkin terlalu luas untuk pihak berkuasa menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.

Pada 13 Julai, Pemuda Gerakan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap - dan turut serta dalam - demonstrasi itu yang turut disertai pembangkang dan NGO hak asasi.

Pada 22 Jun lalu, GMI mensasarkan kehadiran penentang ISA "sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)", dua tahun lalu.

Pada perarakan ke Istana Negara pada November 2007, kira-kira 40,000 ribu orang turun bersama-sama dengan tokoh-tokoh pembangkang.

Tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.

Malaysiakini

Pro-ISA bertembung demo anti-ISA - Malaysiakini

Demonstrasi menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang bakal bertembung dengan ribuan pendukung akta kontroversi itu, 1 Ogos ini.

Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) bersama sepuluh NGO Melayu bakal memimpin "rakyat Malaysia yang cintakan keamanan" berhimpun di Pasar Seni di ibu negara bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap ISA.

Timbalan Presiden II Pewaris, Rahimuddin Md Harun ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan rancangan itu.

Katanya, dengan berpakaian putih, mereka akan berhimpun pada jam 1 tengah hari dan mengumpulkan tandatangan orang ramai meminta kerajaan mengekalkan akta tersebut.

"Kita juga bercadang hantar memorandum (mengekalkan ISA) kepada Yang di-Pertuan Agong jika dibenarkan," katanya.

Perhimpunan tersebut yang bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" dibuat serentak dengan Himpunan MANSUH anjuran GMI yang ingin berarak ke Istana Negara.

GMI, yang didukung parti pembangkang utama dan NGO hak asasi, memilih tiga lokasi yang selama ini menjadi pusat perhimpunan anti-kerajaan - kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan KL Sentral – sebelum menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mereka mengarahkan semua penentang ISA berpakaian merah dan hitam sebagai simbol bantahan.

Perhimpunan itu dijangka bertukar pentas untuk menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock - setiausaha exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - yang ditemui mati dalam tanda tanya dekat pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis lalu.

Ditanya sama ada tindakan Pewaris bakal mencetuskan pertembungan dengan penunjuk perasaan yang menentang ISA, Rahimuddin berkata, "mereka tidak berniat mencetuskan perkara itu".

"Kalau (mereka) kata kebebasan bersuara, kami pun nak guna juga. Kita tidak ada niat pun nak bertembung dengan sesiapa," katanya, sambil menyifatkan pemilihan tarikh itu "cuma kebetulan sahaja".

Pewaris akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan persiapan akhir, termasuk memohon permit polis bagi tujuan itu.

Sidang media bagi mengumumkan perkara itu dijangka dibuat beberapa hari lagi.

Malaysiakini

Tuesday, July 21, 2009

Rakyat diseru hadiri perhimpunan MANSUH 1 Ogos nanti - Harakah

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyeru seluruh rakyat dan ahli-ahli PAS bersama-sama pejuang memansuhkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos.

Sebagai Komander perhimpunan MANSUH, beliau menyeru agar ahli-ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang prihatin agar dapat turut berdemonstrasi secara aman pada hari tersebut dengan memakai baju merah dan hitam.

"Saya menyeru agar seluruh rakyat Malaysia yang prihatin beramai-ramai turun untuk berdemonstrasi secara aman dan berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos nanti tanda bantahan terhadap akta zalim ISA.

"Akta rimba ini sudah tidak sesuai lagi digunakan dan ia juga satu tanda kezaliman BN yang menggunakan akta ini kepentingan plitik mereka," tegas beliau.

Tegas beliau lagi, demonstarsi ini diadakan sebagai tanda bantahan terhadap akta ISA dan menuntut agar mereka yang masih ditahan supaya dibebaskan dengan segera.

Perhimpunan MANSUH anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dijadualkan diadakan pada 1 Ogos nanti bermula pada pukul 2.00 petang dari beberapa tempat sebelum berarak menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada pihak istana menuntut supaya akta itu dimansuhkan. - mns_

Harakah

Sunday, July 19, 2009

Semua pimpinan Pakatan Rakyat sertai Himpunan Mansuh - Harakah

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Bantahan terhadap akta zalim ISA akan dizahirkan secara jelas apabila ketiga-tiga parti PAS, KeADILan dan DAP dalam Pakatan Rakyat sepakat menyatakan sokongan untuk menyertai Perhimpunan Mansuh bagi menentang undang-undang 'rimba' itu, 1 Ogos depan.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan mengenai persetujuan serta sokongan Pakatan Rakyat terhadap perhimpunan tersebut dalam sidang media yang diadakan sebaik sahaja selesai Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, 17 Julai lalu.

Jelas Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, semua pimpinan Pakatan Rakyat akan turun dalam perhimpunan tersebut bagi menyatakan sikap serta mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman ISA termasuk kes-kes kematian dalam tahanan.

Turut serta dalam sidang akhbar tersebut ialah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Hussin Ali serta pimpinan kanan ketiga-tiga parti juga turut hadir dalam sidang media tersebut.

Menurut Anwar, pada mesyuarat tersebut turut membincangkan langkah-langkah memperkukuh Pakatan Rakyat melalui panel Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang dibentuk untuk mengkaji setiap kementerian dalam kerajaan yang akan memperkemaskan lagi pelaksanaan tugas mereka.

Selain itu katanya, mesyuarat tersebut juga mencadangkan supaya ketua serta wakil whip di Parlimen berfungsi memastikan jawatankuasa panel terus mengadakan perbincangan menentukan dasar-dasar bersama oleh pimpinan parti.

Anwar juga menyatakan mesyuarat itu juga bersetuju untuk memperkukuh sekretariat Pakatan Rakyat dengan tiga wakil pimpinan setiap parti mengendalikan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat pusat.

Justeru katanya, satu seminar akan diadakan dalam waktu terdekat bagi memperkukuh gagasan itu yang akan dihadiri oleh 30 pimpinan dalam setiap parti dalam Pakatan Rakyat.

Tambahnya lagi, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat juga sepakat agar jawatankuasa sekretariat peringkat negeri diperkukuhkan segera. Dalam pada itu katanya, jawatankuasa pilihan raya ketiga-tiga parti juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan serta berbincang mengenai strategi dan langkah-langkah yang diperlukan bagi berdepan dengan pilihan raya.

"Dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, kami juga meminta Ketua Pemuda, Ketua Wanita serta Ketua Penerangan ketiga-tiga parti untuk turut bersama dalam perjumpaan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Sekretariat juga diminta agar membincangkan terlebih dahulu mengenai isu dasar serta kenyataan yang dibuat mestilah tunduk kepada semangat serta dasar yang diputuskan. Ketua Penerangan diminta segera mengkaji langkah untuk memperkuat usaha dalam penerangan termasuk blog Pakatan Rakyat serta media Pakatan Rakyat bagi mempastikan penerangan serta penjelasan disampaikan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan pemberitya, sama ada mesyuarat tersebut ada membincangkan mengenai kemenangan tipis PAS dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai, jelas Anwar perkara tersebut tidak dibincangkan sebaliknya Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada PAS kerana dapat mengekalkan kemenangan.

"Pilihan Raya Kecil Manek Urai merupakan sejarah penting kerana selama 14 tahun sukar bagi PAS untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil. Bagaimanapun dengan kekuatan yang ada pada PAS dan Pakatan Rakyat, kita dapat bertahan dengan keputusan 6-0 dalam siri pilihan raya kecil," katanya. - mns_

Harakah

Thursday, July 16, 2009

PAS seru ahli sertai himpunan mansuhkan ISA, 1 Ogos depan - Harakah

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) - PAS menyeru ratusan ribu ahlinya agar menyertai himpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekaligus menyerahkan memorandum ke Istana Negara, 1 Ogos depan.

Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata PAS sudah mengarahkan semua ketua penerangan negeri dan peringkat kawasan menganjurkan ceramah dan mengedar risalah menggalakkan orang ramai menyertai Himpunan MANSUH.

"Sehubungan dengan itu semua ahli PAS diminta untuk hadir memberikan sokongan terhadap perhimpunan ini.

"Semua ketua-ketua penerangan negeri dan PAS kawasan diminta mengadakan siri-siri ceramah dan edaran risalah penerangan berhubung kezaliman akta ISA serta mengajak lebih ramai rakyat untuk menghadiri Himpunan ini," kata Idris dalam satu kenyataannya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau mengajak semua NGO dan individu yang prihatin untuk hadir bagi memastikan kerajaan memansuhkan akta kontroversi tersebut "yang sering dijadikan alat politik segelintir pihak berkepentingan untuk menakutkan rakyat.

Pada 22 Jun lalu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) secara rasmi mengumumkan perhimpunan itu dengan mensasarkan jumlah 'sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)' dua tahun lalu.

Tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.

Jumaat lepas, mesyuarat jawatankuasa induk Himpunan MANSUH yang dianggotai pemimpin parti politik, NGO, mahasiswa sepakat menetapkan perhimpunan tersebut jam 2 petang di tiga lokasi utama di Kuala Lumpur namun tempat-tempat itu belum diputuskan lagi.

Menurut kenyataan GMI, mesyuarat itu juga memutuskan untuk menghantar satu 'deklarasi rakyat' kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia juga menggalakkan orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan tersebut agar memakai pakaian warna tema merah hitam.

Himpunan MANSUH diadakan sebagai kesinambungan kempen GMI untuk membela nasib tahanan dan keluarga, dan juga menutup Kem Kamunting, Taiping. - azm _

Harakah

Monday, July 13, 2009

Pemuda Gerakan sertai demo anti-ISA - Malaysiakini

Dalam satu tindakan yang berani, Pemuda Gerakan secara terbuka menyatakan sokongan - dan turut serta - terhadap demonstrasi besar membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan depan.

"Pemuda Gerakan akan menggerakan sekumpulan ahli (Pemuda) untuk menyokong perhimpunan aman MANSUH pada 1 Ogos ini bersempena ulang tahun ke-49 (pelaksanaan) ISA," kata ketua biro khidmat guaman dan aduan awamnya Andy Yong.

Perhimpunan besar anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) turut disertai parti-parti pembangkang dan NGO hak asasi.

Menurut satu kenyataannya hari ini, Yong berkata keputusan itu dimaklumkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat kebangsaan Gerakan.

Beliau juga berkata parti komponen BN itu beriltizam melindungi dan mempertahankan hak-hak asasi manusia dan kebebasan asas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UHDR) 1948.

"Keputusan kami telah dimaklumkan kepada pengerusi GMI Syed Ibrahim (Syed Noh) dan beliau menerimanya dengan rasa hormat," kata Yong lagi.

Pada 22 Jun lalu, GMI secara rasmi mengumumkan perhimpunan besar-besaran dengan mensasarkan jumlah "sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)", dua tahun lalu.

Pada perarakan ke Istana Negara pada November 2007, kira-kira 40,000 ribu orang turun bersama-sama dengan tokoh-tokoh pembangkang.

Demonstrasi besar itu pernah ditangguhk sebanyak dua kali, pada Mac dan Jun, bagi menghadapi beberapa pilihanraya kecil - menjelang pilihanraya parlimen Bukit Gantang dan DUN Penanti.

Tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.

Malaysiakini

Monday, July 6, 2009

GMI edar risalah perhimpunan anti-ISA 1 Ogos - Malaysiakini

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini mengedarkan risalah untuk mengingatkan orang ramai mengenai perhimpunan besar-besaran anti-ISA yang dijadual berlangsung di ibungara pada 1 Ogos depan.

Mereka mengedarkan risalah tersebut di kompleks membelibelah SOGO dan kawasan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman petang tadi.

Program itu bermula dengan sidang akhbar oleh pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh di depan pintu masuk SOGO.

Beliau disertai oleh ahli exco Pemuda PAS, Mohd Sani Hamzan dan juga setiausaha Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad, yang juga timbalan pengarah sekretariat perhimpunan anti-ISA tersebut.

Kira-kira 19 anggota polis berpakaian seragam dilihat memantau keadaan di situ.

Pada mulanya pada kira-kira jam2.15 petang, Kamaruzaman menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai program mereka hari ini.

Tuntut pembebasan tahanan

Bagaimanapun, seorang pegawai polis menghampirinya dan meminta beliau jangan menggunakan pembesar suara tersebut.

Mereka akur sebelum mengadakan sidang akhbar di situ. Terdapat kira-kira 20 wartawan dan jurugambar yang membuat liputan progaram tersebut.

Dalam sidang akhbar tersebut, Syed Ibrahim berkata, risalah itu diedarkan hari ini bagi memaklumkan dan mengingatkan orang ramai mengenai perhimpunan anti-ISA itu.

Selain menggesa supaya ISA dimansuhkan, perhimpunan itu diadakan untuk menuntut pembebasan semua tahanan ISA dan menutup kem tahanan Kamunting.

Syed Ibrahim mengajak rakyat keluar beramai-ramai untuk menyatakan dengan lantang kepada kerajaan supaya memansuhkan ISA.

Katanya, walaupun di peringkat permulaan Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik perdana menteri, ada tahanan ISA yang dibebaskan tetapi selepas itu, berlaku lagi penahanan di bawah ISA.

Penahanan terbaru

Beliau berkata, yang terbaru ialah pada 25 Jun lalu di mana tiga orang ditahan di bawah ISA dan menurutnya, ia turut disahkan oleh ketua polis negara.

Kamaruuzaman pula berkata, pihaknya menganggar perhimpunan tersebut mampu menarik 150,000 hinggaa 200,000 orang.

Manakala Mohd Sani pula menggesa anak-anak muda supaya turun memberi sokongan kepada perhimpunan tersebut.

Selepas mengdakan sidang akhbar tersebut, mereka berpecah kepada dua kumpulan untuk mengedarkan risalah berkenaan.

Selain SOGO mereka juga berjalan di sekitar kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahaman dan kawasan masjid India untuk mengedarkan risalah tersebut.

Mereka beredar kira-kira setengah jam kemudiannya dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

Malaysiakini

Tuesday, June 16, 2009

Dua kali ditunda, demo besar sambutan 49 tahun ISA 1 Ogos - Malaysiakini

Setelah berbulan-bulan Kuala Lumpur tidak dilanda demonstrasi besar sejak Mac lalu, ibu negara akan menyaksikan sambutan ulang tahun ke-49 pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos ini.

Perhimpunan besar ini, pada asalnya dirancang selepas demonstrasi membantah dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) 7 Mac lepas (
foto kiri), tetapi ditunda ke bulan ini.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), yang disertai lebih 80 NGO dan parti pembangkang, menangguhkan lagi ke 1 Ogos ini bersempena kelulusan akta tersebut yang dikuatkuasakan mulai tarikh tersebut pada 1960.

Malaysiakini difahamkan gabungan NGO akan mengumumkan tarikh terbaru demonstrasi tersebut di satu sidang media dalam masa yang terdekat.

Demonstrasi besar "Himpunan Mansuhkan ISA" ini dibuat susulan kempen menentang akta kontroversi itu yang telah dilancarkan hujung Disember lepas di Bangi.

GMI menangguhkan buat pertama perhimpunan itu setelah mengambil kira tiga pilihanraya kecil yang berlangsung serentak antara 29 Mac hingga 7 April lalu.

Bagaimanapun tiada sebab dinyatakan bagi penangguhan kali kedua.

Demonstrasi membantah PPSMI yang dikepalai Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, menarik kira-kira 8,000 penyokong dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.

Datuk Seri Najib Razak, sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam, berikrar ingin menyemak kembali ISA yang terus-menerus menjadi bahan kritikan NGO dan pembangkang.

Bagaimanapun sehingga kini tiada langkah konkrit diumumkan.

Malaysiakini

Sunday, May 10, 2009

ISA: Pembebasan terpilih, dakwa GMI - Malaysiakini

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan, pembebasan 13 tahanan ISA termasuk tiga pemimpin Hindraf kelmarin adalah bersifat terpilih dan bersyarat.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas majlis debat bertajuk ISA: Haram atau Halal? anjuran GMI semalam, beliau juga mempersoalkan mengapa baki 14 lagi tahanan - yang tahan dengan alasan dan tahun yang sama dengan 13 tahanan tersebut - tidak turut dibebaskan sama.

"Mengapa mereka tidak dibebaskan?" soal Syed Ibrahim sambil menambah terdapat tiga tahanan yang ditahan selama tujuh tahun antaranya, Mat Shah Mat Satray dan Shamsuddin Sulaiman.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pembebasan tahanan tersebut "ada kaitan" dengan kemelut politik di Perak di mana ramai pemimpin politik dan aktivis parti ditahan polis.

"Ia ada kena mengena dengan Perak, walaupun perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menafikannya," katanya.

Syed Ibrahim berkata, walaupun pembebasan tahanan-tahanan tersebut menggembirakan keluarga masing-masing, tetapi tambahnya, mereka sebenarnya tidak bebas.

"(Mereka) tertakluk kepada akta kediaman terhad. Kalau gagal patuhi, mereka boleh ditahan semula," kata Syed Ibrahim.

Dalam sidang akhbar itu juga beliau mengulangi kesediaan pihaknya untuk berhujah dengan mana-mana parti politik - sama ada Gerakan atau Umno - berhubung akta kontroversi ini.

"Kita berjuang atas prinsip, bukan kepentingan politik," katanya.

Syed Ibrahim juga menyatakan kesediaannya untuk berbincang mengenai ISA dengan Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS) melalui siaran langsung di radio sekiranya menerima undangan atau tawaran daripada NGO pro-ISA itu.

Sebelum ini, GMI telah mengundang PEWARIS mengambil bahagian dalam debat semalam mengenai sejauh mana Islamik atau tidak ISA, susulan kenyataan NGO Melayu itu bahawa ISA "perlu untuk mempertahankan Islam."

PEWARIS kemudiannya mencadangkan agar perdebatan itu ditukar kepada perbincangan dan ia disiarkan secara langsung di stesen Radio 24 milik agensi berita nasional Bernama.

Malaysiakini

Thursday, April 30, 2009

PEWARIS sahut cabaran GMI debat 'halal-haram ISA' - Malaysiakini

Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS), penyokong kuat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menyahut cabaran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk berdebat tentang halal-haram akta kontroversi tersebut.

Bagaimanapun NGO Melayu itu mencadangkan perbahasan berkenaan diadakan secara langsung di sebuah stesen radio, bukannya di dewan orang ramai seperti saranan NGO penentang ISA itu.

Keputusan PEWARIS dicapai dalam satu mesyuarat jawatankuasanya semalam, kata timbalan presidennya Rahimuddin Md Harun kepada Malaysiakini hari ini.

PEWARIS juga mencadangkan format pertemuan itu berlangsung sebagai "perbincangan" dan bukannya "perdebatan" yang mengutamakan kalah-menang pembicaranya.

"Tukar (debat) kepada perbincangan. Kita nak perbincangan, bukannya populariti," kata Rahimuddin.

"(Perbincangan) ia lebih kepada menghuraikan kekusutan pemahaman, apa yang kita faham (tentang akta tersebut) dan apa yang GMI faham."

"Kita bukan nak cari kemenangan," tambahnya.

Isnin lalu, GMI mencabar PEWARIS untuk berdebat mengenai sejauh mana Islamik atau tidak akta tersebut pada 9 Mei dengan cadangan tajuk 'Debat ISA: Haram atau Halal?' yang dijadualkan di Auditorium Dewan Sivik MPPJ mulai jam 3 petang.

Katanya, PEWARIS dicabar untuk mempertahankan ISA ekoran dakwaannya bahawa akta kontroversi itu "diperlukan untuk mempertahankan Islam".

PEWARIS menyifatkan diri sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan Islam di negara ini dan berkecuali dari mana-mana fahaman politik.

Ditanya mengenai perbincangan tersebut dalam siaran Radio 24, milik agensi berita Bernama, bukannya di tempat yang telah dicadangkan GMI, Rahimuddin berkata, perbincangan melalui radio "lebih sesuai" untuk membolehkan rakyat mengetahui dengan lebih jelas.

"Biar (rakyat) satu Malaysia boleh dengar," katanya.

Ditanya mengenai tajuk yang dicadangkan oleh GMI, beliau berkata, pihaknya menerima tajuk tersebut.

Ditanya mengenai tarikh dan masa yang telah ditetapkan, beliau berkata, ia terpulang kepada persetujuan stesen radio yang telah dimaklumkan oleh PEWARIS semalam.

"Saya berharap, agar GMI dapat menerima perubahan ini," katanya.

Malaysiakini

Tuesday, April 28, 2009

GMI jemput PEWARIS berdebat - Malaysiakini

Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS) telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam debat mengenai ISA anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) pada 9 Mei depan.

Menurut GMI, debat bertajuk 'Debat ISA: Haram atau Halal?' akan diadakan di Auditorium Dewan Sivik MPPJ mulai jam 3 petang.

Katanya, PEWARIS dijemput untuk mempertahan ISA ekoran dakwaannya bahawa ISA diperlukan untuk mempertahankan Islam.

PEWARIS menyifatkan diri sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan Islam di negara ini dan berkecuali dari mana-mana fahaman politik.

"GMI telah menghantar jemputan kepada PEWARIS untuk menghantar wakil mereka bagi menyangkal pendirian anti-ISA GMI.

"Sehingga ini, kami belum menerima sebarang jawapan dari PEWARIS sama ada mereka akan hadir atau tidak untuk menyatakan pandangan mereka menyokong ISA," kata GMI.

Selaras dengan semangat kebebasan bersuara, GMI berhartap PEWARIS akan menerima jemputan tersebut.

"Kami menjemput orang ramai untuk menghadiri debat tersebut," tambahnya.

Malaysiakini