Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Salahuddin Ayub. Show all posts
Showing posts with label Salahuddin Ayub. Show all posts

Thursday, February 25, 2010

Polis Siasat Pemimpin Pakatan Rakyat - TVS

Dua pemimpin kanan Pakatan Rakyat menjadi sasaran polis kerana menjawab pertuduhan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat , Sivarasa Rasiah dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub disoal siasat oleh polis di Parlimen berhubung kenyataan mereka pada ceramah di Seberang Jaya Pulau Pinang bulan lalu.

Polis mengambil keterangan mereka di bawah Akta Hasutan berikutan aduan yang dibuat oleh rakan setugas mereka pada 8 Feb lalu.

"Bagi saya tindakan seperti ini adalah cubaan untuk mengugut, dalam cubaan untuk menghentikan saya, Yb Salahuddin dan rakan-rakan lain berceramah kepada orang ramai dan menyentuh isu-isu penting seperti perbicaraan Datuk Seri Anwar, seperti kes Altantuyaa dan beberapa isu penting lain dan amalan rasuah,"katanya.

Menurut Sivarasa, beliau disoal siasat kerana menyentuh perbicaraan konspirasi kedua terhadap Anwar.

Pelbagai pihak mempersoalkan keperluan pertuduhan itu diteruskan apabila laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mengesahkan tidak ada bukti pengadu Saiful Bukhari Azlan di liwat.

"Telah bertanya kepada pihak polis, apakah kesalahan yang kononnya disiasat, jawapan yang diberi ialah kandungan ceramah kami adalah dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan. Jadi nampaknya macam biasalah, mereka telah rekodkan keterangan dan buat siasatan,"katanya.

Sivarasa mencabar polis supaya membuktikan ucapan beliau adalah kesalahan undang-undang dan membidas taktik untuk menyoal siasat beliau.

"Bagi saya kalau mereka anggap ada satu kesalahan, tidak ada halangan, mereka boleh tuduh terus. lagipun mereka ada rakaman dan mereka sudah ada saksi mereka, tidak perlu hendak ambil keterangan, kalau dianggap salah, cajlah,"katanya.

Salahuddin pula menyifatkan tindakan polis itu sebagai hasutan bagi menghalang rakyat daripada mengetahui fakta-fakta di sebalik pertuduhan fitnah liwat yang dikenakan ke atas Anwar.

"Satu skrip telah disediakan kepada kami pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat bahawa apa jua yang menyentuh tentang perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus dituduh di bawah Akta Hasutan seperti mana yang berlaku kepada Manoharan,"katanya.

Salahuddin menambah, siasatan yang dibuat ke atas beliau bukan sahaja menjurus kepada ceramah umumnya berhubung perbicaraan Anwar namun ia turut melibatkan isu penggunaan kalimah Allah yang disampaikannya.

"Demikian juga pada saya, isu-isu penggunaan kalimah Allah juga mereka cuba sabitkan juga dengan akta hasutan. saya rasa ini cukup merbahaya bagi mereka dan kerana mereka telah terperangkap dengan isu ini, menggunakan isu kalimah Allah ini dalam ceramah PAS juga boleh diambil tindakan dalam Akta Hasutan,"katanya.

TVS

Wednesday, August 19, 2009

Salahuddin cabar Zahid berdebat - Malaysiakini

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mencabar Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berdebat mengenai isu pembatalan lesen guaman sivil calon BN pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Rohaizat Othman.

Salahuddin memberi tempoh 24 jam kepada naib presiden Umno itu untuk memberikan jawapan sama ada beliau bersedia menyahut cabaran itu.

"Malam ini saya cabar untuk berdebat satu lawan satu dengan Zahid. Saya nak dedahkan tentang calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu," katanya pada ceramah di Permatang Tok Kandu di Bukit Mertajam malam tadi.

Beliau mendakwa Ahmad Zahid, yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Pulau Pinang, tidak teliti dalam pemilihan calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu.

Lesen guaman Rohaizat dibatal berikutan masalah yang ditimbulkan oleh bekas rakan kongsi firma guamannya.

Mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa PAS tidak perlu mempertikai pemilihan calon BN, Salahuddin berkata:

"Ini menjadi masalah kepada penduduk di Permatang Pasir kerana jika calon ini menang ia akan mewakili mereka."

Pada pilihan raya kecil itu, Rohaizat, 38, yang merupakan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, berdepan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Salleh Man, 52.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS pada 31 Julai lepas kerana sakit jantung. BERNAMA

Malaysiakini

Sunday, August 2, 2009

Perhimpunan mansuhkan ISA berjaya - Cif Komander - Harakah

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Hrkh) - Walaupun gagal menyerahkan memorandum menggesa ISA dimansuhkan ke Istana Negara ekoran sekatan pihak polis, Cif Komander Himpunan Mansuhkan ISA, Salahuddin Ayub tetap menganggapnya sebagai berjaya.

Ketika dihubungi Harakah sebentar tadi, Salahudin berkata walaupun banyak rintangan dan halangan yang dihadapi para peserta perhimpunan, mereka telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk terus berhimpun secara aman.

Menurutnya, walaupun kerajaan BN menggunakan media massa dan pasukan polis untuk menggagalkan perhimpunan itu, kehadiran puluhan ribu rakyat daripada segenap lapisan masyarakat membuktikan sokongan padu mereka agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

"Walaupun memorandum tidak dapat diserahkan kepada Istana Negara, kita amat terharu dengan semangat yang ditunjukkan rakyat yang berkumpul secara aman bagi menggesa ISA dimansuhkan," katanya.

Menurutnya, disiplin dan kesabaran tinggi ditunjukkan para peserta perhimpunan dalam menghadapi provokasi dan tindakan ganas pihak polis membuktikan bahawa rakyat negara ini sudah matang dalam melaksanakan hak-hak mereka yang digariskan Perlembagaan termasuk hak berhimpun secara aman.

Ini katanya terbukti apabila tiada harta benda awam yang musnah dalam perhimpunan membabitkan puluhan ribu orang itu.

Mengulas tentang jumlah tangkapan yang tinggi pada perhimpunan kali ini, Salahuddin berkata pihak Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah menyediakan 30 peguam untuk memastikan mereka yang ditahan selamat dalam tahanan polis dan dibebaskan segera.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS mahu kerajaan BN melihat perhimpunan hari ini sebagai isyarat jelas daripada rakyat yang menuntut akta zalim itu dimansuhkan.

GMI juga, katanya akan terus mengadakan program susulan bagi menggesa ISA dimansuhkan.

"Kita juga akan tetap menyerahkan memorandum kepada Istana Negara pada minggu hadapan," katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta perhimpunan dan pihak yang membantu menjayakan perhimpunan itu.- tajdid _

Harakah

Tuesday, July 21, 2009

Rakyat diseru hadiri perhimpunan MANSUH 1 Ogos nanti - Harakah

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyeru seluruh rakyat dan ahli-ahli PAS bersama-sama pejuang memansuhkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos.

Sebagai Komander perhimpunan MANSUH, beliau menyeru agar ahli-ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang prihatin agar dapat turut berdemonstrasi secara aman pada hari tersebut dengan memakai baju merah dan hitam.

"Saya menyeru agar seluruh rakyat Malaysia yang prihatin beramai-ramai turun untuk berdemonstrasi secara aman dan berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos nanti tanda bantahan terhadap akta zalim ISA.

"Akta rimba ini sudah tidak sesuai lagi digunakan dan ia juga satu tanda kezaliman BN yang menggunakan akta ini kepentingan plitik mereka," tegas beliau.

Tegas beliau lagi, demonstarsi ini diadakan sebagai tanda bantahan terhadap akta ISA dan menuntut agar mereka yang masih ditahan supaya dibebaskan dengan segera.

Perhimpunan MANSUH anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dijadualkan diadakan pada 1 Ogos nanti bermula pada pukul 2.00 petang dari beberapa tempat sebelum berarak menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada pihak istana menuntut supaya akta itu dimansuhkan. - mns_

Harakah

Thursday, July 9, 2009

Zaid: Najib harus jelaskan isu Altantuya, royalti - TVA

KUALA KRAI, - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dalam ceramah pertamanya di atas pentas Pakatan Rakyat meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menjelaskan isu royalti minyak untuk Kelantan, isu pembunuhan Altantuya Shariibuu (gambar) dan kontroversi pembelian kapal selam.

Najib diminta supaya berterus terang kepada rakyat Kelantan berkaitan isu tuntutan royalti minyak oleh kerajaan negeri yang didakwa tertunggak sejak 2004 dengan anggaran nilaian berjumlah RM1 bilion.

Ceramah Zaid, bekas anggota Parlimen Kota Bharu itu diadakan di kampung Lela Jasa, dekat sini. Turut hadir adalah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, serta beberapa kepimpinan PAS kawasan.

Berbeza dengan siri kempen pilihan raya kecil Penanti, isu Altantuya masih belum dihalang dari dibicarakan.

Dalam ceramah itu juga, Zaid menyelar sikap pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) merendah-rendahkan karektor calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, tidak mempunyai latar belakang akademi sebagai serangan peribadi tidak berasas.

Beliau berkata, prinsip Pakatan Rakyat jauh berbeza dengan BN dalam memilih calon yang mengutamakan kualiti penampilan calon dari kepelbagaian sudut selaras dengan kehendak rakyat.

Zaid merujuk kepada sejarah ketamadunan kerajaan Islam zaman Rasulullah yang berjaya mentadbirkan negara dengan telus dan adil kepada seluruh masyarakat tanpa mendapat kelulusan ijazah universiti.

“Pengajian tinggi tidak penting. Yang penting ialah pengalaman, sebab pengalaman tidak akan didapati walau mengaji setinggi manapun. Kerajaan di zaman Rasulullah dulupun tidak terbentuk daripada individu yang berpendidikan di peringkat universiti.

“Bahkan tidak ada universiti pada zaman nabi tetapi boleh memerintah dengan telus dan adil kepada rakyat. Ada ijazahpun buat apa kalau banyak putar belit yang akhirnya menyusahkan rakyat,” katanya.

Melalui ceramah sulung beliau selepas menyertai PKR, Zaid berkeyakinan rakyat Manek Urai memerlukan calon yang benar-benar bertanggungjawab dan tidak semestinya mempunyai pendidikan tinggi.

Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan di Kuala Krai, dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai tidak mempunyai latar belakang berpendidikan tinggi, sering menjadi modal serangan BN.

Fauzi dibezakan dengan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat merupakan bekas pengurus bahagian pemantauan projek Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang mempunyai kelulusan ijazah.

Sementara itu, Salahuddin memberitahu akan terus memperjuangkan nasib rakyat bersama ahli parlimen Pakatan di Dewan Rakyat yang dikatakan terbeban dengan cengkaman kadar kenaikan insuran kenderaan awam.

"Satu Malaysia, rakyat diutamakan adalah slogan retorik Najib mengaburi mata rakyat. Mana realiti slogan itu? belumpun sampai setengah tahun jadi perdana menteri unsur cengkaman terhadap rakyat sudah mulai nampak.

“Insya-Allah kami akan serang habis-habisan perkara ini dalam sidang bajet bulan sepuluh nanti supaya kerajaan kaji balik insuran kereta dan motosikal,” jelasnya.

Kadar kenaikan insuran kereta dan motosikal melebihi 100 peratus sebelum ini menjadi rungutan rakyat rasa terbeban.-Malaysian Insider

TVA

Thursday, August 14, 2008

Pemuda PAS diarah gempur Permatang Pauh

IPOH, 14 Ogos: Seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat diarahkan supaya menggempur Permatang Pauh bagi memastikan kemenangan yang lebih besar untuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Arahan ini dikeluarkan oleh ketuanya, Salahudin Ayub dalam Ucaptama beliau sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 49 di Stadium Indra Mulia dekat sini malam tadi.

Lebih 150 perwakilan di samping beribu-ribu pemerhati menyertai muktamar itu. Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa telah merasmikan muktamar itu.

"Dewan Pemuda PAS akan membuka Markaz Besar untuk jentera pilihan raya kita dan Pemuda PAS hendaklah bekerja sepenuh hati untuk mempastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya ini, sekaligus merapatkan semula jentera PR dalam menghadapi BN," kata beliau diiringi laungan takbir oleh para perwakilan dan pemerhati.

Beliau mengambil kesempatan daripada muktamar ini untuk memetik pepatah Melayu Mekasar yang memperkatakan soal perjuangan pemuda.

Prof Hamka yang memetik pepatah ini menyebutkan:

”Anak laki-laki tidak boleh dihirau panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalauperahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskibagaimana besar gelombang. Biar kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebihmulia daripada berbalik haluan pulang”2. Ibarat kata pepatah ”Daripada hidupbercerminkan bangkai biar mati bergalang tanah.”

Sumber: Siasah

Tuesday, July 15, 2008

Tindakan polis melampau, bohongi rakyat dua kali


KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin menyelar tindakan pihak polis dan anggota keselamatan yang menjalankan sekatan jalan raya dengan kawalan yang menyusahkan orang ramai.

Menurutnya, pihak polis telah mengadakan kawalan ketat sekitar Pasar Seni atau Central Market sejak pagi tadi sehingga menimbulkan rasa takut dan kurang senang peniaga serta orang ramai yang berkunjung di sana.

"Ini merupakan tindakan intimidasi atau gangguan yang dibuat pihak polis secara melampau terhadap proses perjalanan demokrasi di negara ini," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut menafikan bahawa wujudnya perancangan bagi mengadakan perhimpunan oleh Pakatan Rakyat khususnya KeADILan dalam usaha menyokong usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri di Parlimen.

"Tiada sebarang perancangan mahupun usaha untuk mengadakan perhimpunan mengenai isu terbabit," katanya.

Katanya, ini secara tidak langsung membuktikan pihak polis sengaja mengada-adakan cerita bahawa KeADILan dan parti-parti komponen Pakatan Rakyat menganjurkan perhimpunan.

Bercakap kepada media di pekarangan Pasar Seni, beliau melahirkan kekesalan yang bertindak secara tidak profesional dengan menghalang beliau bercakap dengan pihak pemberita.

"Saya amat kesal dengan tindakan melampau pihak polis bagi menangani hal ini, mereka tidak profesional dan tidak demokratik," tegasnya.

Beliau turut menafikan bahawa wujud usaha mengadakan juga perhimpunan tersebut meskipun kononnya ia gagal diadakan di parlimen pagi tadi.

"Kita mendapat arahan daripada OCPD Dang Wangi, serta notis-notis yang ditampal di sekitar Pasar Seni ini melarang sebarang anjuran perhimpunan di kawasan tersebut," ujarnya.

Bahkan, beliau hanya datang bertiga ke lokasi yang didakwa akan dibuat perhimpunan tersebut.

Sejak pagi tadi, sekitar kawasan Pasar Seni dikawal ketat oleh tidak kurang daripada 100 pegawai polis berpakaian uniform serta lebih 100 anggota berpakaian preman daripada bahagian depan, sisi dan belakang bangunan tersebut.

Beberapa trak polis, FRU, motosikal, van dan kereta peronda berbaris panjang di sepanjang jalan dan sisi pasar seni mengundang tanda tanya orang ramai yang lalu-lalang.

Malah, pihak media juga diminta oleh pihak polis untuk segera meninggalkan lokasi Pasar Seni setelah Shamsul beredar dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, salahuddin Ayub pula menempelak tindakan pihak polis yang secara keterlaluan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh jalan menuju ke bandaraya Kuala Lumpur.

"Tiada sebarang perhimpunan yang dianjurkan, ini merupakan pembohongan kali kedua oleh pihak tertentu.

"Takkan kita sebagai pimpinan Pakatan Rakyat tidak mengetahui mengenai perancangan untuk melaksanakan perhimpunan ini," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau turut mendakwa apa yang dilakukan pihak polis adalah untuk mengharu-birukan situasi seolah-olah ingin menggambarkan kepada rakyat bahawa sekiranya usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat, keadaan akan menjadi tidak stabil.

"Kita kesal dengan kemarahan rakyat dengan tindakan polis yang sengaja mengundang keresahan di hati mereka.

"Apa yang jelas, kerajaan Umno-BN mahu menakut-nakutkan rakyat dalam situasi pelabur telah hilang keyakinan terhadap negara," ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Whip Parlimen, turut melahirkan rasa tidak puas hati apabila para pengamal media alternatif tidak dibenarkan membuat liputan di Dewan Rakyat khususnya mengenai usul undi tidak percaya oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - mks._
Sumber: HarakahDaily