Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Gobalakrisnan. Show all posts
Showing posts with label Gobalakrisnan. Show all posts

Monday, September 28, 2009

Waran Tangkap Tamat Tempoh: Penahanan Gobalakrishnan Dipertikai - TVA

Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan ditahan polis pagi tadi sebaik sahaja beliau keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk sebutan kes beliau menghalang polis menjalankan tugas pada hari penamaan calon DUN Permatang Pasir hujung Ogos lalu.

Difahamkan Gobala dibawa ke Balai Polis Seberang Perai, Pulau Pinang sebelum dipindahkan ke Balai Polis Cameron Highland. Polis belum memberi sebarang penjelasan kenapa Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu ditahan.

TvAntara telah menghubungi isteri ahli parlimen tersebut, puan Vasanthi Ramalingam. Beliau mempersoalkan waran tangkap tamat tempoh yang digunakan untuk menahan suaminya.

"Setelah dia keluar dari mahkamah, wartawan ambil kenyataan dari beliau.Tiba- tiba ada seorang datang dan keluarkan waran tangkap. Waran tangkap itu salinan sahaja dan bukan yang asal. Waran itu bertarikh Ogos lepas dan sudah tidak boleh digunakan lagi. Gobala pada asalnya tidak mahu ikut sebab ragu- ragu dengan waran itu. Tapi polis kata ini adalah arahan. Dia dibawa ke Balai Polis Seberang Prai dan kemudiannya ditukarkan ke Balai Polis Cameron Highland," kata Vasanthi.

Vasanti berkata pihaknya hanya dimaklumkan penahanan ahli parlimen ini atas kes terdahulu di Mahkamah Majistret Tapah, pada tahun 2004 lalu.

"Saya tidak tahu kes itu . Saya tidak dimaklumkan. Kami hanya diberitahu kes Mahkamah Majistret Tapah, tahun 2004 lalu," tambah beliau.

Vasanti bersetuju apabila ditanya adakah penahanan Gobala berhubung kait dengan pilihanraya kecil Bagan Pinang bulan hadapan. Penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober dan hari mengundi pada 11 Oktober ini.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 orang pengundi berdaftar dengan 2,834 orang merangkumi pengundi kaum India.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Azman Mohd. Noor dari Barisan Nasional .

"Saya rasa besar kemungkinan dia dihalang daripada pergi berkempen di Bagan Pinang. Itu yang saya percaya," ujarnya lagi.

Gobala sebelum ini dikasari oleh polis sewaktu penamaan calon Permatang Pasir. Beliau mendakwa polis memijak bahu dan belakang badan sebelum seluarnya dilondehkan dan tangannya digari.

Polis pula mendakwa Gobala menghalang anggotanya daripada menjalankan tugas dan sebutan kes atas pertuduhn itu di tetapkan hari ini di mahkamah.

Diwakili peguamnya, J.M Marty, Gobala dalam permohonannya meminta agar seluar dan tali pinggang yang dirampas oleh pihak polis semasa kejadian dipulangkan semula untuk digunakan sebagai barangan bukti pada hari perbicaraan nanti.

Menurut Marty lagi, Gobalakrishnan akan diwakili oleh sepasukan lapan orang peguam yang diketuai ADUN Seri Delima, RSN Rayer.

Majistret, Mohd Azhar Hamzah menetapkan tarikh 28 Oktober depan sebagai tarikh sebut semula kes ini.

TVA

Tuesday, August 18, 2009

MP Padang Serai dituduh guna jenayah kekerasan terhadap polis - mStar

BUKIT MERTAJAM: Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi tadi dikenakan tuduhan jenayah kekerasan terhadap seorang anggota polis semasa berlangsungnya proses penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

Pemimpin PKR pusat itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikenakan dan minta dibicarakan.

Tuduhan dikenakan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan. Beliau yang dirawat di Hospital Bukit Mertajam, dibawa ke mahkamah majistret di sini dengan ambulans kira-kira 11.20 pagi tadi dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesnya akan disebut semula pada 28 September.

Kira-kira 11.20 pagi semalam, Gobalakrishnan ditahan kerana didakwa cuba menghalang tugas polis ketika penamaan calon pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Gobalakrishnan, antara pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir proses penamaan calon di Institut Kemahiran Beliau Negara (IKBN), ditahan di luar pusat tersebut.

Beliau merupakan antara pemimpin Pakatan Rakyat yang keluar untuk memberikan sokongan moral kepada para penyokong mereka yang berkumpul di sebelah kiri IKBN.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob menjelaskan, Gobalakrishnan ditahan apabila menyerang anggota polis yang meminta beliau tidak menggunakan pembesar untuk berucap di hadapan para penyokongnya.

Kata beliau, Gobalakrishnan telah diberikan amaran dua kali agar tidak menggunakan pembesar suara.

Seorang anggota polis dipercayai cedera dalam kejadian itu.

mStar

Monday, August 17, 2009

Gobala ditahan, didakwa timbul kekecohan - Malaysiakini

Polis menahan ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan membantu siasatan kerana didakwa mencetuskan kekecohan di kawasan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bukit Mertajam pagi ini.

Menurut Ketua Polis Negeri Datuk Ayob Yaakob, dalam insiden jam 11.30 pagi itu, ahli Majlis Tertinggi PKR itu telah mencetuskan kekecohan apabila mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi, lapor Bernama.

Katanya setelah Gobalakrishnan ingkar dengan amaran polis sebanyak dua kali, seorang anggota polis menahannya tetapi beliau dan penyokongnya kemudian melawan anggota polis dan menyebabkan berlaku kekecohan.

Kekecohan itu membabitkan kira-kira 50 penyokong pakatan pembangkang yang cuba merempuh kawalan polis di pusat penamaan calon itu.

"Bagaimanapun kekecohan dapat dikawal oleh pasukan polis dan Gobalakrishnan yang mendakwa tangan kirinya patah dalam pergelutan dengan polis itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dengan sebuah ambulans," kata Ayob.

Katanya terdapat juga anggota polis yang cedera dan dihantar ke hospital.

Sementara itu, sehingga jam 1.37 tengahari ini, Gobalakrishnan masih berada di Hospital Bukit Mertajam.

Seorang pemimpin AMK Pulau Pinang yang menemani Gobalakrishnan, memberitahu Malaysiakini bahawa urusan x-ray telahpun selesai.

Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya tujuh anggota polis di situ.

Malaysiakini

Wednesday, July 23, 2008

Akibat sokong pembangkang, kontraktor disenarai hitam

KUALA LUMPUR,23 Julai (Hrkh) - Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan mendakwa seorang Ahli Parlimen Umno di Johor telah menulis surat kepada seorang jurutera sebuah agensi kerajaan agar menyenaraihitamkan kontraktor yang menyokong pembangkang.

Semasa mencelah ucapan Dr Mohd Puad Zarkahsi (BN-Batu Pahat) dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan pada 16 Julai lalu, Gobalakrishnan berkata, "Saya ada satu surat di mana ditulis oleh seorang Melayu kepada jurutera daerah yang berbangsa Melayu, kononnya surat ini menyatakan dengan segala hormatnya, pendaftaran Kontrak Kelas F, (Melayulah), di atas dirujuk.

"Bersama-sama ini dilampirkan senarai nama-nama kontraktor yang sudah kami semak dan perlu disenaraihitamkan kerana mereka adalah penyokong dan bersimpati kepada PartiPembangkang," kata Gobala memetik salinan surat yang diperolehinya itu.

"Ini adalah surat daripada Yang Berhormat Batu Pahat. Jadi adakah Yang Berhormat Batu Pahat menafikan ini? Ini Yang Berhormat Batu Pahat seorang Melayu, mahu senarai hitamkan kontraktor-kontraktor Kelas F, kesemuanya kontraktor Kelas F, mereka adalah orang-orang Melayu. Jadi, apa surat ini?,"soalnya.

Sementara itu, Puad dalam menjawab isu itu berkata, beliau hanya meyatakan soal keadilan kerana baginya ada sesetengah kontraktor yang mendaftar 50 syarikat di bawah satu pemilik yang sebenarnya.

Namun, Gobala yang tidak berpuas hati dengan ulasan Puad itu berkata, dalam surat itu tidak disebutkan soal pendaftaran 50 syarikat di bawah satu nama, sebaliknya isu menyokong pembangkang yang menjadi alasan senarai hitam. - mks._

Sumber: HarakahDaily