Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Tahan. Show all posts
Showing posts with label Tahan. Show all posts

Wednesday, June 9, 2010

Sebutan akhir kes 'senjata AMK' 28 Julai - Malaysiakini

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu memutuskan 28 Julai depan sebagai tarikh sebutan akhir terhadap lima petugas PKR yang dituduh memiliki senjata dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Kelima-lima yang dituduh termasuklah timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Fariz Musa.

Peguam Mohd Razlan Jalaludin berkata kesemua mereka didakwa mengikut seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama kerana didakwa "mendatangkan perbuatan khianat" dengan menurunkan kain rentang yang berunsur provokasi.

Bagi pertuduhan berasingan, dua individu dituduh mengikut seksyen 8 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya kerana "memiliki sebilah pisau".

Tiga lagi individu - termasuk Fariz - dituduh mengikut seksyen 6 akta yang sama kerana "mendampingi orang yang mempunyai senjata", tambahnya.

Pada 22 April lalu, Fariz Musa dan empat lagi dilaporkan ditahan polis kerana dituduh menurunkan poster BN semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Razlan berkata keputusan Hakim Zuraidah Zakaria dibuat setelah mendapati pihak pendakwaan menjelaskan "kertas siasatan tidak ada bersama beliau, sebaliknya berada di unit pendakwaan Selangor".

Malaysiakini

Wednesday, February 10, 2010

Penulis blog aibkan Nik Aziz dan Anwar, ditahan - Malaysiakini

Penulis blog yang memaparkan foto yang diubahsuai yang menunjukkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keadaan yang mengaibkan, telah ditahan semalam.

Sumber polis Kelantan mengesahkan kepada dia ditahan selepas menyerah diri di ibu pejabat polis kontinjen Johor Bahru.

Menurutnya, penulis blog lelaki berumur sekitar 40-an itu ditahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan di sana terlebih dahulu," kata sumber sambil menambah bahawa penulis blog itu masih ditahan di Johor Bahru.

Ahad lalu, Setiausaha Keselamatan PAS Kelantan Mejar (B) Mohamad Ibrahim membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu terhadap tindakan blogger tersebut.

Mohamad dilaporkan berpendapat tindakan penulis blog itu adalah bersifat provokatif dan bertentangan dengan undang-undang.

Sementara itu, Star online hari ini melaporkan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan penahanan penulis blog itu dan menurutnya, siasatan lanjut akan diuruskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan.

Penahanan penulis blog itu adalah penulis yang kedua ditahan tahun ini selepas Khairul Nizam Abdul Ghani atau dikenali sebagai Aduka Taruna ditahan pada 29 Januari lalu.

Khairul Nizam yang berasal daripada Rumah Rakyat Pancor Paroi, Negeri Sembilan, kemudiannya dihadapkan di Mahkamah Seksyen Seremban kerana didakwa memaparkan dalam blognya tulisan yang mengaibkan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Dia dituduh didakwa di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Malaysiakini

Monday, December 14, 2009

Penyokong Hindraf ditahan 'pakai lencana anti-ISA' - Malaysiakini

Upacara sembahyang bagi memperingati penahanan lima pemimpin Hindraf di bawah ISA dua tahun lalu, dicemari dengan penangkapan seorang pemimpin utamanya, S Jayathas.

Dia ditahan kerana didakwa memaki lencana anti-ISA.

Sejurus selepas beredar dari sebuah kuil Hindu di Bangsar Utama di mana majlis sembahyang itu diadakan, seorang anggota polis berpakaian biasa menarik Jayathas dan berkata dia ditahan kerana memakai lencana tersebut.

Jayathas tidak melawan tetapi berulangkali bertanya kepada anggota polis di situ sama ada lencana itu haram, tetapi mereka hanya berdiam diri.

Bekas penasihat undang-undang Hindraf P Uthayakumar yang mengetahui upacara sembahyang tersebut, cuba mendapatkan alasan penangkapan tersebut, tetapi tidak berhasil.

"Di bawah Artikel 5 (1) perlembagaan persekutuan, kamu mesti menyatakan alasan penangkapan. Adakah kamu tahu undang-undang?" beliau kedengaran bertanya kepada anggota polis tetapi tidak dihiraukan.

Jayathas kemudiannya dibebaskan pada kira-kira jam 6 petang. Dia diminta melaporkan diri semula di balai polis Traverse pada 28 Disember ini.

Sebelum ini, Uthayakumar mengetuai kira-kira 40 penyokong Hindraf mengadakan upacara sembahyang tersebut di kuil Hindu di Lengkok Abdullah, Bangsar Utama.

Mereka semuanya berpakaian hitam sebagai simbol protes terhadap penggunaan ISA, yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Kira-kira 50 anggota polis berada dekat kuil tersebut sejak awal pagi, tetapi membenarkan kumpulan itu berhimpun di dalam kuil pada kira-kira jam 2 petang.

Malaysiakini

Monday, August 17, 2009

Gobala ditahan, didakwa timbul kekecohan - Malaysiakini

Polis menahan ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan membantu siasatan kerana didakwa mencetuskan kekecohan di kawasan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bukit Mertajam pagi ini.

Menurut Ketua Polis Negeri Datuk Ayob Yaakob, dalam insiden jam 11.30 pagi itu, ahli Majlis Tertinggi PKR itu telah mencetuskan kekecohan apabila mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi, lapor Bernama.

Katanya setelah Gobalakrishnan ingkar dengan amaran polis sebanyak dua kali, seorang anggota polis menahannya tetapi beliau dan penyokongnya kemudian melawan anggota polis dan menyebabkan berlaku kekecohan.

Kekecohan itu membabitkan kira-kira 50 penyokong pakatan pembangkang yang cuba merempuh kawalan polis di pusat penamaan calon itu.

"Bagaimanapun kekecohan dapat dikawal oleh pasukan polis dan Gobalakrishnan yang mendakwa tangan kirinya patah dalam pergelutan dengan polis itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dengan sebuah ambulans," kata Ayob.

Katanya terdapat juga anggota polis yang cedera dan dihantar ke hospital.

Sementara itu, sehingga jam 1.37 tengahari ini, Gobalakrishnan masih berada di Hospital Bukit Mertajam.

Seorang pemimpin AMK Pulau Pinang yang menemani Gobalakrishnan, memberitahu Malaysiakini bahawa urusan x-ray telahpun selesai.

Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya tujuh anggota polis di situ.

Malaysiakini

Monday, August 3, 2009

Sivarasa dibebas dengan jaminan lisan - Malaysiakini

Naib Presiden PKR yang juga ahli parlimen, R Sivarasa dibebaskan tengahari ini selepas ditahan selama dua hari selepas menyertai perhimpunan anti-ISA di ibunegara Sabtu lalu.

Sivarasa dibebaskan tengahari ini dengan jaminan lisan.

Ketika ditemui pemberita, beliau yang juga seorang peguam berkata beliau tidak pasti sama ada akan didakwa tetapi telah diminta melaporkan diri semula di balai polis Dang Wangi pada 17 Ogos ini.

Sivarasa turut mengecam kerajaan dan tindakan polis menyuraikan perhimpunan tersebut yang menyaksikan gas pemedih dan meriam air digunakan, manakala beratus orang ditangkap.

Mengulas lanjut, pemimpin PKR itu berkata, beliau terperanjat apabila mendapat tahu 40 orang di bawah umur turut ditahan.

Katanya, mereka tidak sepatutnya digari atau ditahan dalam lokap biasa.

Makanan lokap

"Apa yang lebih memeranjatkan ialah mereka telah ditahan reman," katanya.

Sivarasa juga berkata beliau diberitahu seorang tahanan bahawa makanan yang disediakan kepada mereka lebih teruk daripada makanan kucing.

Sehubungan itu, Sivarasai yang juga wakil rakyat Subang berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam sidang parlimen yang akan datang.

Malaysiakini

Friday, May 8, 2009

Mahkamah tolak perintah tahanan reman Mohamad Sabu - Harakah

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Hrkh) - Mahkamah Majistret Tanjung Malim petang tadi menolak permohonan tahanan reman polis terhadap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Mohamad dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan.

Menurut peguam yang mewakili beliau, Aminuddin Zulkifli mahkamah tidak berpuas hati dengan alasan-alasan yang diberikan oleh pegawai penyiasat.

Pegawai penyiasat mengatakan mereka memerlukan masa untuk menyiasat Mohamad yang dituduh melakukan hasutan supaya orang ramai menggagalkan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak hari ini.

Pasukan peguam Mohamad Sabu kemudiannya membantah tuduhan tersebut kerana tertuduh hanya menyeru orang ramai supaya hadir ke majlis solat hajat dan doa munajat memohon agar Perak terus aman.

Laporan maklumat pertama (FIR) terhadap Mohamad Sabu dibuat oleh Ketua Polis Perak sebelum beliau ditahan secara misteri petang semalam di Kuala Lumpur. - mns _

Harakah


Nyalaan lilin: 20 lagi ditahan - Malaysiakini

Untuk dua malam berturut-turut, polis Brickfields menahan mereka yang berhimpun menyertai nyalaan lilin sebagai tanda sokongan kepada aktivis Wong Chin Huat yang ditahan di bawah Akta Hasutan Rabu lalu.

Dan seperti malam semalam, 14 orang ditahan hari ini kerana didakwa menyertai satu perhimpunan haram. Dan kira-kira dua jam kemudiannya, enam lagi turut ditahan, termasuk peguam yang datang untuk membantu kumpulan 14 orang yang ditahan sebelumnya.

Mereka adalah sebahagian daripada kira-kira 20 orang yang berhimpun di balai polis berkenaan pada kira-kira jam 8.50 malam ini.

Mereka berarak menuju ke balai tersebut, sambil membawa lilin, dari sebuah restoran makanan segera yang terletak kira-kira 150 meter dari situ.

Sebaik saha tiba di pintu masuk balai tersebut, seorang pegawai polis mendekati mereka dan mengarahkan mereka supaya bersurai. Sebahagian kecil daripada mereka enggan berbuat demikian dan terus memegang lilin.

Pada kira-kira jam 9.25 malam, ketua balik daerah Brickfields, Wan Bari Wan Abdul Khalid keluar dan mengarahkan mereka sebanyak tiga kali supaya bersurai.

Empat belas daripada mereka - sembilan lelaki dan lima wanita - ditahan selepas enggan bersurai.

Mereka termasuklah exco Angkatan Muda PKR, Ginnie Lim; Ketua Belia KLSCAH, Ng Chong Soon; wartawan The Yi Keong; pekerja parti PKR, Chua Yee Ling dan beberapa orang aktivis pelajar.

Mereka dibawa ke balai polis Brickfields.

Malaysiakini

Wednesday, May 6, 2009

Pemimpin kanan PAS ditahan polis - Malaysiakini

kemaskini 4.18pm Naib Presiden PAS Mohamad Sabu ditahan polis selepas jam 3 petang ini di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur - dipercayai berhubung majlis solat hajat anjuran parti itu dekat Ipoh awal pagi esok.

Pemimpin kanan itu ditahan sekumpulan kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa sewaktu meninggalkan sebuah restoran menuju ke pejabat Harakah, kata ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Mohamad sebelum itu minum bersama Salahuddin dan seorang lagi ahli PAS di sebuah restoran belakang Hospital Tawakkal di Jalan Pahang - kira-kira 300 meter dari pejabat organ parti itu.

Salahuddin memberitahu Malaysiakini, beliau terdengar jeritan Mohamad "aku kena tangkap" sebelum bergegas menuju ke arahnya yang sedang dikelilingi kumpulan anggota polis tersebut.

Beliau dan ahli PAS itu, yang dikenali Ali Maidin, bergelut seketika dengan anggota-anggota polis untuk menyelamatkan Mohamad tetapi diheret ke tepi oleh pihak berkuasa itu.

Salahuddin menambah, tiada waran tangkap terhadap Mohamad dikeluarkan dan tiada pegawai polis memperkenalkan diri sewaktu penahanan tersebut.

Beliau kini sedang mendapatkan bantuan peguam PAS Hanipa Maidin untuk tindakan lanjut.

Mohamad ditahan selepas jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, ditahan reman sehari di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan Akta Hasutan - dipercayai berkaitan kempen berpakaian hitam anjuran NGO itu sempena sidang DUN Perak, esok.

Wong ditangkap di rumahnya di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur beberapa jam selepas memberikan kenyataan di satu sidang media Bersih, pagi semalam.

Sewaktu dihubungi, Salahuddin berkata beliau tidak menolak kemungkinan Mohamad ditahan berhubung program solat hajat di Manjoi bermula jam 5 pagi esok berkaitan persidangan DUN tersebut.

Isnin lalu, Mohamad mengumumkan program khas PAS itu dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.

Beliau bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS yang menganjurkan program tersebut di Masjid Al-Ittihadiyah, Kampung Tengku Husin Baru.

Difahamkan, Mohamad dibawa ke ibu pejabat polis daerah Sentul, Kuala Lumpur.

Malaysiakini

Tiga ditahan sambut 'harijadi Altantuya' - Malaysiakini

kemaskini 12.20pm Tiga ditahan di depan kompleks pejabat perdana menteri di Putrajaya selepas cuba "menyambut ulang tahun kelahiran Altantuya Shaariibuu", wanita Mongolia yang dibunuh tiga tahun lepas.

Kumpulan kira-kira 30 aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) juga menyerahkan sepucuk surat daripada bapa mangsa bunuh itu Shaariibuu Setev dan memorandum kepada Datuk Seri Najib Razak.

Sani Md Shah ditahan jam 11.15 pagi apabila memegang kek hari jadi, sementara Saufi Mihat dan Yasir Sheikh Abdul Rahman ditahan tidak lama selepas itu sewaktu memegang kain rentang di depan pintu masuk kompleks tersebut.

Ketiga-tiganya kemudian dibawa ke ibu pejabat polis daerah Putrajaya.

Kek seberat 2kg dan kain rentang itu yang dibawa oleh SAMM yang diketuai pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin turut dirampas polis.

Kek putih dan kain itu bertulisan "Selamat Hari Jadi Altantuya". Jika masih hidup, wanita itu kini berusia 31 tahun.

Setelah Badrul Hisham masuk ke balai, beliau dimaklumkan untuk hadir semula jam 2 petang ini.

Malaysiakini

Penyelaras Bersih ditahan di bawah Akta Hasutan - mStar

IPOH: Salah seorang penyelaras Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, yang dipercayai terlibat dalam gerakan baju hitam menjelang sidang Dewan Undangan Negeri Perak Khamis ini, ditahan di bawah Akta Hasutan malam tadi.

Peguamnya, Edmund Bon ketika dihubungi mengesahkan anak guamannya ditahan kira-kira pukul 7.45 malam tadi di rumahnya di Kuala Lumpur.

"Saya dimaklumkan dia ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan tetapi jenis kesalahan tidak diketahui. Wong telah dibawa ke Bukit Aman (untuk siasatan) dan sehingga sekarang (9.30 malam), saya belum dapat menemuinya," kata beliau.

Difahamkan polis bertindak atas aduan yang dibuat terhadap Wong.

Polis juga telah merampas komputer milik Wong yang juga penulis bebas dan ahli akademik pusat pengajian tinggi swasta.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman (JSJK), Datuk Koh Hong Sun mengesahkan Wong ditahan untuk membantu siasatan.

"Kami akan menyoal siasat (Wong) untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kami juga sedang mengenalpasti sama ada dia yang mengedarkan SMS tersebut diedarkan olehnya (Wong),"katanya ketika dihubungi The Star hari ini.

Wong dipercayai telah dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Bukit Perdana.

Penahanan Wong dipercayai berkaitan dengan satu sidang media yang telah diadakan oleh Bersih hari ini.

Bersih dipercayai merancang untuk mengadakan perhimpunan protes baju hitam menjelang sidang DUN Perak yang bermula Khamis ini di sini.

Ia merupakan sidang pertama sejak tercetusnya krisis politik Perak Februari lalu.

Krisis itu membawa kepada peralihan kuasa daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional.

mStar

Wednesday, January 7, 2009

Tampal poster: Jaminan polis terhadap lima anggota AMK dilanjut Ahad ini

KUALA TERENGGANU: Tempoh jaminan polis terhadap lima anggota Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) termasuk Timbalan Ketuanya, Fariz Musa berikutan tindakan mereka menampal poster wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu di sekitar Kuala Terengganu awal pagi semalam dilanjutkan sehingga Ahad ini.

Ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, Fariz berkata, mereka telah dimaklumkan bahawa siasatan masih belum lengkap dan jaminan polis telah dilanjutkan sehingga Ahad.

Kata beliau, sebelum lanjutan tempoh jaminan tersebut, pihak polis telah melawat pusat gerakan AMK yang disediakan menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Terdahulu, kelima-lima mereka telah diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 2 petang tadi untuk siasatan lanjut berhubung tindakan itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Shukri Dahlan berkata, pihaknya telah meminta kelima-lima mereka hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan. Kita hanya akan mengambil tindakan selepas proses siasatan lengkap," katanya ketika ditemui di lokasi penamaan calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, mereka telah dibebaskan atas jaminan polis semalam dan pihaknya memerlukan masa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Lima anggota AMK itu telah ditahan awal pagi semalam kerana menampal poster Altantuya di sekitar Kuala Terengganu - tindakan yang dipercayai berkaitan dengan jenayah intimidasi.

Dalam pada itu, Fariz yang ditemui di lokasi penamaan calon pagi tadi berkata, pihaknya diminta hadir ke IPD Kuala Terengganu pada petang ini.

"Saya difahamkan mungkin kami akan dibawa ke mahkamah untuk sebutan kes hari ini," katanya.

Fariz mengaku, beliau telah ditahan kira-kira pukul 5.05 pagi semalam ketika menampal poster yang berwajah Altantuya.

Katanya, mereka dibebaskan kira-kira 1.15 pagi tadi.

"Kami dilepaskan atas jaminan polis selepas Majistret menolak permintaan polis untuk menahan reman kami selama empat hari lagi.

"Polis boleh menahan kami sehingga 5 pagi ini tetapi kami dilepaskan pada pukul 1.15 pagi," katanya.


Sumber: mSTAR