Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Mahasiswa. Show all posts
Showing posts with label Mahasiswa. Show all posts

Saturday, February 13, 2010

Pelajar Malaysia Selamat Dalam Gempa Bumi Di Bali - mStar

JAKARTA: Semua pelajar Malaysia di Bali dilaporkan selamat dalam kejadian gempa bumi yang berlaku awal hari ini, kata Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.

Katanya MSD telah berhubung dengan para pemimpin pelajar di Bali serta Pejabat Konsul General Kehormat dan pihak berkuasa tempatan telah memaklumkan mengenai keadaan keselamatan pelajar Malaysia.

"Sebahagian besar sedang bercuti di Malaysia dan ada lebih kurang 90 orang sahaja yang masih berada di Bali. Harta benda di Bali juga tiada yang musnah," katanya di sini.

Katanya MSD akan memantau situasi di Bali sekiranya berlaku gempa susulan.

Dalam kejadian pada pukul 1.43 pagi waktu Indonesia Barat, gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter melanda Baeat Daya Nusa Dua, kira-kira 210km dari Bali.

Setakat ini tiada sebarang laporan kerosakan harta benda mahupun nyawa.- BERNAMA

mStar

Wednesday, February 3, 2010

Mahasiswa sedia demo lagi - Malaysiakini

Mahasiswa Universiti Malaya (UM) akan terus membantah jika keputusan siasatan dakwaan penyelewengan pilihan raya kampus (PRK) Khamis lalu, tidak menyebelahi mereka.

Menurut Pengerusi, Gabungan Mahsiswa Bantah E-undi (Bantah), Mohd Aizat Mohd Salleh setakat ini mereka belum dimaklumkan mengenai hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak pengurusan universiti.

"Sekiranya perlukan tekanan, kita akan buat demonstrasi lagi," katanya.

Aizat berkata beliau bersama sepuluh wakil yang berunding dengan naib canselor Prof Ghauth Jasmon pada Jumaat lalu diberitahu keputusan PRK akan diumumkan hari ini pada jam 5 petang di Institut Pengajian Siswazah.

Pihak pengurusan bagaimanapun enggan berbincang lanjut berhubung perkara berkenaan.

"Beliau (Prof Ghauth) berkata nak buat keputusan. Dia kata sistem dah ok." kata Aizat lagi.

Menurutnya, Bantah juga memohon perbincangan lanjut dengan pihak universiti melalui e-mail tetapi belum mendapat sebarang maklum balas.

Keputusan PRK Khamis lalu digantung selepas ratusan mahasiswa daripada kumpulan yang tewas berdemonstrasi dan menuduh berlakunya penyelewengan.

Ketegangan selama dua hari itu reda seketika selepas rundingan lebih empat jam antara kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) yang tewas dengan pihak pengurusan UM pada Jumaat lalu.

Bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad, turut bersama menyertai rundingan berkenaan yang mengambil keputusan menggantung keputusan sementara menunggu siasatan.

Pada pertemuan itu, naib canselor, Ghauth Jasmon juga bersetuju membenarkan kumpulan pro-M melantik perunding bagi menguji sistem undian elektronik (e-undi) yang didakwa mereka dimanipulasikan.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan melantik konsultan teknologi maklumat (IT) lulusan Universiti Harvard, bagi membuat laporan penuh siasatan ke atas e-undi dan laporannya dijangka diketahui hari ini.

Konsultan berkenaan dipilih atas permintaan kumpulan Pro-M dan pihak UM turut mempercayai kewibawaan mereka memandangkan Universiti Harvard telah lama menggunakan sistem tersebut.

Jumaat lalu, Ghauth juga berjanji pilihan raya kampus akan diadakan semula jika terbukti berlakunya penyelewengan.

Ini kali pertama keputusan pilihan raya kampus UM ditangguhkan pengumumannya hampir seminggu selepas hari pengundian.

Pada PRK itu kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.

Malaysiakini

Friday, January 29, 2010

Pelajar ugut lakukan demonstrasi jalanan - Malaysiakini

TERKINI Pelajar Universiti Malaya (UM) dari kumpulan pro-Mahasiswa yang tewas pada pilihan raya kampus semalam mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Antara tuntutan mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.

Ketika ini, perbincangan sepuluh wakil pelajar berkenaan dengan Naib Canselor UM, Ghauth Jamsoon dihentikan seketika untuk solat Jumaat.

Tengah hari tadi, suasana tegang sekali lagi menyelubungi kampus UM apabila lebih 200 mahasiswanya berarak dari Dewan Tunku Canselor ke pejabat Canselori.

Mereka berang selepas tewas tipis pada pilihan raya kampus yang diadakan semalam dan mendakwa berlakunya penyelewengan.

Mahasiswa berkenaan memakai lilit kepala putih dengan tertera perkataan 'bantah' dalam tulisan merah.

Mereka berjaya menyerbu serta mengepung pejabat Canselori dan memaksa perjumpaan dengan Ghauth.

Pada awalnya, ketegangan memuncak apabila pelajar mahukan dialog terbuka tetapi ditolak oleh naib canselor.

Sebaliknya, Ghauth mencadangkan perjumpaan tertutup dengan sepuluh wakil yang dipilih oleh pelajar berkenaan.

Cadangan itu dipersetujui dan rundingan diadakan sebelum ia ditangguhkan pada jam 1 petang tadi untuk solat Jumaat.

Turut berada di lokasi adalah kumpulan mahasiswa dari kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) yang berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.

Malaysiakini

Pro-Aspirasi kuasai semula UM - Harakah

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya gagal mempertahan kerusi mereka untuk mendapat majoriti dalam Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) apabila tewas di tangan kumpulan Pro-Aspirasi.

Dalam keputusan yang diumum lewat petang tadi, Pro-M hanya mendapat 17 kerusi berbanding Pro Aspirasi atau Penggerak, 21 kerusi, manakala bebas pula berjaya memperoleh 3 kerusi.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Pro-Aspirasi kembali merampas MPP kampus itu setelah dimenangi Pro-M pada pilihan raya kampus tahun lalu.

Pengumuman keputusan petang tadi dibuat Naib Canselor Prof Datuk Ghauth Jasmon di Dewan Tunku Canselor (DTC) dihadapan penyokong kedua-dua kumpulan.

Pro-M bagaimanapun mengemukan beberapa bantahan sewaktu tempoh bantahan dan rayuan dibuka selepas pengumuman dibuat.

Antara bantahan tersebut termasuklah berkait gangguan sistem undian beberapa jam dan mengganggu sekurang-kurangnya keputusan di tiga kolej.

Kejadian itu menyebabkan Pro-M meragui keputusan yang diumumkan.

Pihak pengurusan pilihanraya bagaimanapun memberitahu hanya akan menjelaskan berkaitan bantahan itu esok.

Pada tahun lalu, Pro-M memperoleh 19 kerusi manakala Penggerak mandapat 20 kerusi.

Bagaimanapun Pro-M berjaya membentuk kabinet MPP apabila dua calon bebas yang menang menyatakan sokongan kepada kumpulan mereka.

Tahun in merupaka kali pertama sistem undian elektronik, e-undi dilaksanakan di kampus tersebut.

Ianya bagaimanapun ditentang hebat khususnya kumpulan Pro-M yang mendakwa sistem tersebut terdedah kepada manipulasi dan penyelewengan.

Penyokong masing-masing dilihat mula membanjiri DTC seawal jam 5.30 petang sejurus waktu pengundian tamat.

Kedua-dua kumpulan mereka diasingkan sebelah menyebelah tempat duduk bahagian atas dewan dengan dikawal pasukan keselamatan universiti.

Harakah

Sunday, January 24, 2010

9 pelajar ditahan bantah p'raya kampus - Malaysiakini

Sembilan pelajar universiti ditahan ketika berhimpun di ibunegara kerana membantah proses pilihan raya kampus.

Mereka adalah antara 200 pelajar yang menyertai bantahan tersebut di Menara Tun Razak di Jalan Raja sebelum berarak ke kompleks membelibelah Sogo kira-kira setengah kilometer dari situ, di mana mereka berhasrat untuk menyebarkan risalah kepada orang ramai.

Ketika sampai di Sogo, mereka diarahkan oleh polis supaya bersurai.

Sembilan daripada mereka kemudiannya ditahan polis kerana didakwa gagal berbuat demikian.

Mereka ialah Hilman Idham, Aizat Salleh, Mohammad Za'im Mustapha, Ahmad Shukri Kamarudin, Ahmad Syukri Abdul Razak, Mohammad Idris Yusoff, Fikhri Harun, Syahriul Ismail dan Ridhuan Jamil.

Mereka yang terdiri daripada anggota beberapa pertubuhan pelajar universiti di sekitar Lembah Klang, dibawa ke ibupejabat polis Dang Wangi untuk disoalsiasat.

Penangkapan mereka bermula apabila polis tiba lima minit selepas kumpulan pelajar tersebut berarak dari Menara Tun Razak.

Pihak polis kemudiannya terus mengarahkan mereka menurunkan kain rentang bantahan mereka serta bersurai dalam masa lima minit.

Malaysiakini

Wednesday, December 30, 2009

Kancil Robots for Univeristy Malaysia Pahang - paultan.org


First glance at the title of this story and you may think students from UMP have developed transforming robots based on the Perodua Kancil, depending on what kind of vivid imagination you have. What has happened here is that Perodua has actually donated the robots used on the Kancil’s assembly line to UMP.

The Perodua Kancil was finally phased out in July this year and to replace it, Perodua introduced the cheapest Viva BX model. These 13 robots donated to UMP were used by Perodua over the 12 year period of Kancil manufacturing, and a total of around 590,000 units were churned out during that time. The robots were used as automated welders.

Perodua will also be training UMP technicians on how to operate and maintain these robots. The robots will be used in UMP’s Manufacturing Engineering Faculty and it is estimated that an average of 200 students per academic year will benefit from the utilisation of the robots.

“Students will be able to learn – first hand – the operations of these robots and they can take this knowledge and apply it in any automotive company or any other relevant industry as they see fit. Our hope is that they take this opportunity to learn as much as they can to prepare themselves in the ever demanding job environment,” said soon retiring Perodua managing director Datuk Syed Hafiz.

paultan.org

Wednesday, December 23, 2009

Semua Pelajar Malaysia Selamat Dalam Gempa Di Padang - mStar

JAKARTA: Kesemua 75 pelajar perubatan Malaysia selamat dalam kejadian gempa bumi terbaru berkekuatan 6.1 pada skala Richter (SR) di Padang, Sumatera Barat pagi ini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata, beliau telah menghubungi para pemimpin pelajar Malaysia di Universitas Andalas di sana dan mendapat pengesahan bahawa semua pelajar yang masih berada di Padang berada dalam selamat.

"Kita ada 75 pelajar di sana sekarang manakala bakinya kira-kira 70 orang lagi sedang bercuti di Malaysia. Mereka masih berada di rumah ketika kejadian dan sempat menyelamatkan diri ke luar rumah setelah merasakan goyangan gempa yang agak kuat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, semua pelajar itu meneruskan kuliah dan latihan praktikal mereka seperti biasa hari ini kerana tidak ada kerosakan harta benda akibat kejadian itu.

Data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, gempa itu terjadi pada pukul 8.11 pagi dengan pusatnya di kedalaman 10 km pada lokasi kira-kira 56km ke tenggara Pulau Siberut-Mentawai.

Gempa susulan yang berkekuatan 5.3 pada skala richter pula berlaku pada pukul 8.47 pagi di kedalaman 25 kilometer pada lokasi 46 kilometer ke tenggara Pulau Siberut-Mentawai.

Bagaimanapun, menurut BKMG, kedua-dua gempa bumi itu tidak menimbulkan ancaman tsunami.

Gempa bumi itu terjadi kira-kira tiga bulan selepas gempa bumi besar berkekuatan 7.9 pada skala richter menggegarkan Kota Padang, yang mengakibatkan Malaysia terpaksa menggunakan helikopter tentera bagi membawa pulang lebih 300 pelajar perubatan dari sana.

Sementara itu, media massa tempatan melaporkan gempa pagi ini sempat mengakibatkan rasa panik di kalangan penduduk terutama di Kota Padang yang bertempiaran keluar meninggalkan rumah dan bangunan kerana takut terjadi runtuhan.

Bagaimanapun, sehingga tengah hari ini tiada laporan mengenai sebarang kerosakan harta benda. - BERNAMA

mStar

Friday, October 16, 2009

UM DIGESA GUGURKAN TUDUHAN KE ATAS 8 MAHASISWA UM - AMK

KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN


15 OKTOBER 2009



UM DIGESA GUGURKAN TUDUHAN KE ATAS 8 MAHASISWA UM


Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengutuk tindakan HEP Universiti Malaya (UM) yang melampau kerana mengadakan perbicaraan tatatertib yang tidak munasabah terhadap 8 orang mahasiswa UM. AMK berasa kecewa dengan tindakan HEP UM yang bukan sahaja melanggar hak kebebasan mahasiswa dalam wacana isu politik di Malaysia, malahan bercanggah dengan prinsip demokrasi serta hak kebebasan akademik mereka.

Pada 13 Oktober HEP telah menangguhkan perbicaraan tersebut. Namun demikian, pada keesokan hari HEP pula mengeluarkan surat untuk memanggil semula mahasiswa tersebut untuk tampil ke perbicaraan pada minggu depan. HEP tidak menghiraukan permintaan dari pelbagai pihak masyarakat malahan teruskan tindakan perbicaraan yang tidak munasabah. Ini merupakan satu seksaan minda kepada mahasiswa/mahasiswi yang terlibat.

AMK mengkritik HEP UM yang memanggil mahasiswa berulang kali untuk hadir ke perbicaraan. Lebih mengecewakan adalah tuduhan yang dikenakan juga bertukar-tukar. Ini membuktikan bahawa HEP tidak ada sebab yang munasabah untuk memanggil mahasiswa yang berkenaan untuk hadir ke perbicaraan. Tambahan pula, program tersebut telah mendapat kelulusan daripada pihak HEP. Mengapakah tiba-tiba HEP menyalahkan mahasiswa yang bersalah atas mengundang “orang luar” untuk menyertai program dalam universiti?

AMK berpendapat bahawa pihak HEP UM tidak harus mempersoalkan dan menghalang sebarang tetamu khas aktiviti mahasiswa kerana ini telah melanggar prinsip kebebasan akademik. Walaupun UM baru-baru ini telah berjaya masuk dalam senarai kedudukan 200 universiti terbaik di dunia, tetapi tindakan yang ditunjuk oleh HEP telah merosakkan prinsip demokrasi institusi universiti malah akan menjadi bahan gurauan masyarakat antarabangsa.

AMK tidak menafikan bahawa pihak HEP Universiti Malaya cuba wewujudkan suasana takut di kalangan mahasiswa untuk menyekat gerakan mahasiswa serta kebebasan akademik dalam kampus. Ini terbukti bahawa ada niat jahat dalam pentadbiran universiti.

Dengan ini AMK menegaskan kepada HEP UM untuk membatalkan perbicaraan tersebut dengan segera dan tanpa bersyarat.Segala bentuk hukuman termasuk amaran atau denda adalah tidak munasabah dan tidak akan diterima oleh AMK. Dengan ini barulah negara kita dapat mengembalikan kebebasan akademik di menara gading dan seterusnya mempertingkat daya saing mahasiswa kita.


LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan

Thursday, October 1, 2009

Pelajar Malaysia di Padang selamat - mStar

JAKARTA: Seramai 330 pelajar Malaysia di Padang, Sumatera dilaporkan selamat selepas kejadian gempa bumi yang berlaku berhampiran bandar itu, demikian disahkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia di sini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Dr Junaidi Abu Bakar berkata 80 peratus daripada pelajar telah berkumpul di lapangan kampus perubatan Universiti Andalas sehingga pukul 6.30 petang semalam.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi berskala 7.7 Richter berlaku di selatan Sumatera pukul 6.16 petang menyebabkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

Gempa bumi itu berlaku kira-kira 60km barat daya bandar Padang di Sumatera dan 452km barat daya Melaka.

Sepasukan enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang berusaha untuk menuju ke Padang, ibu kota Sumatera Barat, malam ini untuk menyelaraskan usaha menyelamat para pelajar itu.

Kota Padang kini dilaporkan lumpuh dengan warganya panik menyelamatkan diri dan banyak bangunan yang bukan saja runtuh tetapi juga terbakar.

Walaupun pemeriksaan melalui telefon mengesahkan semua 330 pelajar Malaysia selamat tetapi menurut Dr Junaidi, mereka yang dalam keadaan panik tetap perlu dibantu.

Sementara itu, Pusat Tsunami Pasifik menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi itu. BERNAMA

mStar

Tuesday, August 11, 2009

Kematian pelajar MMU tiada unsur jenayah - mStar

MELAKA: Polis mengesahkan seorang pelajar lelaki warga Palestin yang ditemui mati di pangsapurinya di Bukit Beruang di sini malam semalam adalah kematian mengejut dan tiada kaitan jenayah.

Ketua Polis Daerah Melaka, Tengah ACP Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi berkata, Omar Mohamed Ali Ashour, 20, pelajar Universiti Multimedia (MMU) cawangan Melaka ditemui mati oleh rakannya.

"Mayatnya telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat," katanya.

Mohd Adnan berkata, mangsa ialah pelajar tahun kedua ijazah sarjana muda kejuruteraan komunikasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Yaakub Md Amin berkata keluarga mangsa dijangka tiba di Melaka esok untuk membawa pulang jenazah ke Arab Saudi.

MMU melalui tabung kebajikan kakitangannya akan membayar kos untuk urusan penghantaran pulang jenazah pelajar itu, katanya.BERNAMA

mStar

Thursday, July 30, 2009

26 Organisasi Mahasiswa sokong himpunan mansuhkan ISA 1 Ogos - Harakah

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Sejumlah 26 organisasi Mahasiswa mengambil pendirian tegas menyokong perhimpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos (Sabtu ini).

Berikut adalah kenyataan bersama organisasi terbabit:-

Kami, gerakan mahasiswa dan mahasiswi yang bertunjangkan prinsip-prinsip keadilan, mengecam sekeras-kerasnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta undang-undang lain yang berisfat anti hak asasi manusia dan anti demokrasi. Kami, sebagai gerakan mahasiswa dan mahasiswi yang bertunjangkan keadilan, atas dasar tanggungjawab kami kepada negara dan masyarakat dalam memperjuangkan prinsip-prinsip keadilan menyokong sepenuhnya matlamat serta perjuangan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

Kecaman keras kami terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) desakan-desakan serta sokongan kami terhadap matlamat dan perjuangan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di atas pertimbangan kami,berasaskan prinsip-prinsip keadilan yang menjadi tunjang kami serta tanggungjawab kami terhadap masyarakat dan negara berasaskan pertimbangan kami bahawa:

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertentangan dengan hak asasi manusia

Hak asasi manusia telah memberikan dan menjamin hak setiap individu atau kumpulan untuk bebas bersuara tanpa sebarang ancaman atau intimidasi atau tindakan-tindakan lain yang bermotifkan ugutan atau intimidasi daripada individu atau kumpulan-kumpulan lain.Hak asasi manusia juga menekankan pemberian dan jaminan terhadap hak untuk setiap individu atau kumpulan untuk dibicarakann atas kesalahan yang didakwa secara adil di institusi-institusi keadilan yang bebas dan berintegriti.

Hak asasi manusia turut memberikan dan menjamin hak untuk setiap individu untuk bebas daripada sebarang ancaman, ugutan, seksaaan atau mana-mana tindakan yang bermotifkan intimidasi atau ugutan atau ancaman daripada mana-mana individu atau kumpulan-kumpulan lain.

Namun begitu, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain yang bersifat anti hak asasi manusia dan anti demokarsi bukan sahaja telah merampas hak-hak tersebut daripada individu-individu atau kumpulan-kumpulan- kumpulan tertentu malah turut melegitimasikan tindakan-tindakan tersebut.Justeru, atas prinsip-prinsip keadilan yang dijunjung oleh kami serta adalam menunaikan tanggungjawab kami terhadap masyarakat dan negara, maka, kami mengecam dan menentang sekeras-kerasnya Akta Keselamatan dalam negeri (ISA) serta undang-undang lain yang bersifat anti hak asasi manusia.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan memberikan dan menjamin serta melindungi hak asasi setiap warganegara Malaysia.Akta Keselamatan dalam Negeri sertaa undang-undang lain yang bersifat anti hak asasi manusia dan anti demokarsi bagaimanapun memberikan kuasa mutlak kepada individu-individu serta pihak-pihak berkepentingan sendidri untuk sewenang-wenangnya mencabul sebahagian atau semua hak-hak asasi individu-individu atau kumpulan-kumpulan lain.

Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang lain yang bersifat anti hak asasi manusia dan anti demokratik jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang telah memberikan, menjamin dan melindungi hak asasi setiap warganegaranya. Justeru, selaku gerakan yang bertunjangkan prinsip-prinsip keadilan serta bertnaggungjawab terhadap masyarakat dan negara, maka, kami mengecam dan menentang sekeras-kerasnya Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta undang-undang lain yang bersifat anti hak asasi manusia dan anti demokrasi.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertentangan dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights)

Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat merupakan satu deklarasi yang menjadi asas kepada komuniti antarabangsa dan komuniti lokal bagi membentuk dan mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabnagsa dan tempatan telah memberikan,menjamin dan melindungi hak asasi setiap individu dan kumpulan.

Sebarang tindakan dalam segala bentuk yang menyekat dan merampas sebahagian atau keseluruhan hak asasi manusia merupakan suatu tindakan yang betentangan dengan asas komuniti natabangsa dan komuniti lokal dan merupakan suatu bentuk pencabulan dan penindasan yang serius dan ancaman yang am,at besar terhadap keamanan dan keselamatan komuniti global dan tempatan.

Akta keselamatan dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain yang bersifat anti hak asasi manusia dan anti demokratik melalui peruntukan-peruntuk an di bawahnya bersifat opresif sdan jelas bertentangan dengan deklarasi ini.Justeru, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain yang bersifat nati hak asasi manusia dan anti demokrasi.Undang tersebut jelas sekali merupakan suatu pencabulan dan penindasan yang serius sera bertentangan dengan matlamat komuniti antarabangsa dan tempatan bagi mewujudkan sebuah dunia yang maan dan selamat.

Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) merupakan suatu bentuk ancaman yang serius terhadap prinsip dan amalan demokrasi.

Prinsip dan amalan demokrasimenjadi suatu basisi yang penting dalam pembentukan dan pembangunan Malaysia.Prinsip dan amalan demokrasi bertunjangkan kepada prinsip hak asasi manusia yang diberikan,dijamin serta diamalkan oleh mana-mana individu atau kumpulan tanpa sebarang intimidasi atau kekangan daripada mana-mana individu atau kumpulan.

Bagaimanapun, Akta Keselamtan Dalam Negeri serta undang-undang lain yang bersifat nati hak asasi manusia dan anti demokratik memberikan legitimasi kepada sebahagian individu atau kumpulan untuk mengintimidasikan dan menghalang individu-individu atau kumpulan-kumpulan lain untuk mengamalkan hak asainya sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Umum Hak Asasi Manusia.

Justeru, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang lain yang bersifat anti hak asasi manusia dan anti demokartik merupakan suatu bentuk ancaman yang serius kepada prinsip-prinsip serta amalan-amalan demokrasi yang menjadi asas kepada pembentukan dan pembangunan Malaysia dan komuniti antarabangsa,

Justeru,kami, gerakan mahasiswa dan mahasiswi yang berateraskan dan bertunjangkan prinsip-prinsip keadilan menuntut:

Pemansuhan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan demokrasi Perbicaraan terhadap individu-individu yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain yang bersifat anti hak asasi manusia dan anti demokrasi di institusi-institusi keadilan dan perbicaraan tersebut hendaklah dijalankan dengan bebas,adil dan penuh integriti tanpa campur tangan atau tekanan daripada mana-mana individu atau kumpulan

Pembebasan tahanan-tahanan Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) dan mana-mana tahanan undang-unfdang yang anti hak asasi manusia dan anti demokratik andainya tahannan-tahanan tersebut didapati ditahan tanpa sebab yang musabah atau diadapati tidak bersalah setelah dinilai dan dibicarakan oleh institusi keadilan yang bebas,adil dan berintegriti.

Kami turut menyeru individu-individu dan kumpulan-kumpulan yang cintakan keadilan,masyarakat dan negara untuk bersama kami dalam Perhimpuan Mega Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 sebagai tada solidariti dan sokogan terhadap perjuangan ini.

Organisasi Mahasiswa yang menyokong:

1. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

2. Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA)

3. Gerakan Mahasiswa Islam UUM

4. Gerakan Mahasiswa Maju UPM

5. Gerakan Mahasiswa Maju USM

6. Gerakan Mahasiswa Maju UUM

7. Gerakan Mahasiswa Maju NEC

8. Inter Varsity Council (IVC)

9. Ikatan Studi Islam (ISI) UKM

10. Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa/i (JKMI)

11. Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)

12. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)

13. Majlis Pelajar Cina UTM

14. Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) UM

15. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM

16. NEC Social Concern Group

17. Persatuan Bahasa Cina UM

18. Persatuan Bahasa Cina UUM

19. persatuan Bahasa Tionghua UPM

20. Persatuan Bahasa Tionghua USM

21. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

22. Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) UM

23. Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) UPM

24. Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia Cawangan Kedah (GBBM)

25. Pro-Mahasiswa (Pro-M) UUM

26. UUM Community Service Group

Sebarang pertanyaan sila menghubungi Ong Jing Cheng pada 012-7583779.


Ong Jing Cheng
Setiausaha Pentadbiran
Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA)
012-7583779
jingcheng85@yahoo.com

Ong Jing Cheng
Secretary of Administration
Malaysia Youth And Students Democratic Movement(DEMA)
012-7583779
jingcheng85@yahoo.com
http://demamalaysia.wordpress.com

Harakah

Friday, July 24, 2009

Pakaian siswi terkoyak bergelut dengan tujuh polis - Malaysiakini

Pakaian seorang pelajar wanita didakwa terkoyak sewaktu bergelut dengan tujuh anggota polis yang cuba menahannya berhubung perhimpunan menyokong umat Islam di Thailand, Jumaat lalu.

Aisyah Jamilah Wan Ahmad, yang tidak dinyatakan tempat belajarnya, termasuk tujuh aktivis mahasiswa yang ditahan di dua balai polis petang 17 Julai lalu selepas ditangkap dekat bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

Perkara tersebut diadukan oleh penyelaras Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Lee Song Yong kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pagi ini.

Memorandum yang mengandungi butiran aduan itu dihantar oleh beberapa kumpulan mahasiswa, termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Lee juga mendakwa, polis enggan membenarkan tiga - yang ditahan di balai polis Sentul -daripada tujuh pelajar itu mendapatkan khidmat peguam walaupun telah memberikan kerjasama dan pengamal undang-undang telah lama menunggu.

"Dalam tempoh penahanan selama 24 jam, tiga orang mahasiswa hanya diberi (makan) dua keping roti," tambahnya, yang ditahan di situ bersama dua lagi aktivis pelajar.

"Mereka ditahan dalam dua bilik kecil dan seramai 16 orang (tahanan) terpaksa berkongsi ruangan yang terhad sehingga beberapa orang terpaksa tidur di tepi tandas."

Lee juga mendakwa "tahanan tidak dibenarkan memakai baju dalam cuaca yang sejuk," selain tidak dibekalkan minuman yang bersih, sebaliknya meminta tahanan mengambil air paip.

Polis juga didakwa tidak profesional apabila tersilap membawa tiga pelajar itu ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.

"Perkara ini kami anggap sebagai tindakan dan kesilapan yang menyusahkan tahanan," katanya dalam aduan tersebut.

Empat lagi pelajar, termasuk Aisyah Jamilah dan mahasiswi Shamsul Mahida Abd Malek, ditahan di balai polis Dang Wangi.

Beberapa kumpulan siswa itu juga mengadu kepada Suhakam berhubung penahanan Presiden PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin yang disoal siasat berhubung isu-isu semasa termasuk isu kematian Teoh Beng Hock dan demonstrasi besar menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1 Ogos ini.

Beliau antara tiga suspek yang dicari polis bagi siasatan kes menconteng dinding dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam (API) dengan perkataan "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya," selain cubaan membakar di tempat itu.

Shazni Munir dijangka akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat selepas dua lagi pelajar API dibawa ke muka pengadilan 30 Jun lepas.

Dalam aduan yang sama, mereka juga membawa isu penahanan dua pemimpin Dema - Ong Jing Cheng dan Yap Heng Lung - di balai polis Pantai atas siasatan kes menceroboh Universiti Malaya, 12 Julai lalu.

Polis didakwa menafikan hak Ong dan Yap membuat aduan polis bagi membalas laporan polis pegawai keselamatan universiti dan juga memaksa kedua-duanya menurunkan tandatangan di borang melucutkan hak mereka untuk mendapatkan khidmat guaman.

Malaysiakini

Thursday, July 23, 2009

Tertuduh kes 'puaka' UM didakwa diugut dengan pistol polis - Malaysiakini

Seorang pelajar Universiti Malaya didakwa diugut dengan pistol polis sewaktu disiasat di balai Brickfields berhubung kes contengan "bini puaka" dan cubaan membakar di sebuah dewan kuliah, hujung bulan lalu.

Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli yang dituduh bersama rakannya Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini akan dibicarakan 7 Disember depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beberapa kumpulan mahasiswa akan membuat aduan berhubung perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jam 10 pagi esok.

Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Hilman Idham memberitahu Malaysiakini, kedua-dua tertuduh kes tersebut dijangka turut serta membuat laporan.

Malaysiakini

Monday, July 13, 2009

Perbicaraan 2 pelajar UM 7 Disember - Malaysiakini

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 7 hingga 11 Disember depan untuk perbicaraan dua pelajar Universiti Malaya (UM) yang dituduh menconteng, menceroboh, khianat dan cubaan membakar sebuah dewan di Akademik Pengajian Islam, UM pada 24 Jun lalu.

Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini, 21, dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli, 21, dituduh mengikut Seksyan 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua mereka merupakan pelajar tahun dua jurusan Syariah, Akademi Pengajian Islam UM.

Kes mereka disebut semula pagi ini, selepas dihadapkan ke mahkamah pada 30 Jun lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff bersetuju mengekalkan jaminan masing-masing RM5,000 ke atas Mohd Izzuddin dan Mohd Syahruldeen sehingga perbicaraan dijalankan.

Sebelum itu,Mohd Izzudin dan Mohd Syahruldeen dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur terhadap pertuduhan menunggang motosikal bernombor pendaftaran yang sukar dilihat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat letak kereta di fakulti yang sama pada tarikh dan masa yang sama menurut Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan.

Bagi kes kesalahan trafik itu, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar pada 24-25 Jun 2010.

Malaysiakini

Thursday, July 9, 2009

Pembelaan Untuk Mahasiswa - PerakExpress

Lapan tahun lalu terberkas detik hitam kepada perjuangan reformasi kalangan anak muda di negara ini apabila 2 mahasiswa ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Memang, ia bukan pertama kali berlaku.

Sebelum itu, iaitu kira-kira 31 tahun dahulu, suara protes mahasiswa dibungkam dan dilumpuhkan dengan tangkapan besar-besar terhadap aktivis mahasiswa terutamanya di Universiti Malaya (UM) dan Institut Teknologi Mara (ITM).

Perjuangan mahasiswa era 1970-an cukup sinonim dengan pembelaan hak rakyat termiskin samada di Kampung Telok Gong, Selangor; nasib setinggan Tasek Utara, Johor Bahru mahupun penderitaan dan kemelaratan penduduk di Baling, Kedah.

Begitu juga seawal negara menuju kemerdekaan, tokoh-tokoh pimpinan mahupun pertubuhan anak muda yang progresif ditekan penjajah. Antara lain, Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai antara wadah politik nasional yang terawal dibendung dan dibunuh penjajah. Alasannya: Komunis! Alasannya: Aliran Keras!

Perjuangan anak muda justeru memang sering melalui jalan berliku… begitulah yang terlakar dalam sekian banyak peristiwa. Baik di zaman penjajahan, mahupun selepas merdeka.

“Ops Omega” pada tahun 2000 yang bertujuan membunuh seluruhnya gelombang Reformasi ‘98 juga terhala serangannya ke kubu anak muda. Selain kecaman media mencemar wibawa pemimpin Keadilan dan aktivis Reformasi, anak-anak muda dan kelompok mahasiswa tidak terlepas daripada serang hendap kerajaan Umno-BN. Digunakan media. Digunakan penguasa di universiti. Digunakan polis.

Saya ingat bagaimana hari yang celaka itu, ketika saya baru pulang dari pejabat akhbar Berita Keadilan.

Seusai selesai date line dan setiap kali menjelang date line, saya lazimnya tidak sempat tidur sehari-dua. Bertungkus-lumus. Waktu itu, akhbar Berita Keadilan masih kekurangan serba-serbi dan jumlah wartawannya hanya beberapa orang, sementara berlonggok kerja yang perlu dibereskan untuk memastikan akhbar parti dapat siap untuk dicetak. Hari itu hari yang celaka, dan susuk saya sudah cukup lesu. Layu.

Di bawah panas matahari Bangsar Utama, menuju ke bilik sewa.

Pada tangan ada kaset album terbaru M Nasir “Pheonix Bangkit” yang sempat dibeli sebelum pulang ke bilik untuk merebahkan badan, dan tidur.

Tak lama di dalam bilik, saya mendengar ketukan pintu, bertalu-talu. Ketukan yang ‘menakutkan’—traumatik—karena kira-kira 3 bulan sebelumnya, seorang kawan bilik sebelah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sejak hari itu beliau dibawa pergi. Tidak pulang-pulang lagi, sehinggalah saya tahu beliau ditahan di bawah ISA.

Hari itu adalah hari yang celaka…

Beberapa hari sebelumnya, media milik Umno-BN memang sedia “bakar ‘line‘,” dengan berita-berita mengenai kebakaran Dewan Tunku Censelor, Universiti Malaya (UM). Digambarkan seolah-olah kebakaran dewan itu bersangkut-paut dengan gerakkan anak muda dan mahasiswa yang radikal. Malah disebutkan wujudnya mahasiswa yang terpengaruh dengan “gerakkan bawah tanah.”

Saya bingkas dari tilam tipis yang harganya RM60; tilam yang belum setahun saya beli dan satu-satunya harta yang saya ada, waktu itu. Menjengah ke bawah dari celah-celah bilah kaca tingkap yang berabuk, ada dua kereta Proton Wira warna putih. Diletakkan di hadapan bengkel kereta, bawah bilik sewa. Ahhh… Sah polis!

Lebih kurang begitulah posisi kereta polis sewaktu tangkap pertama dahulu. Hari ini sekali lagi, dan semuanya berulang seperti dejavu. Apabila ketukkan pintu terhenti (pintu rumah itu memang agak tebal kayunya dan berat), saya berjengket-jengket ke ‘ruang tamu’. Premis tersebut adalah pejabat yang diubah-suai menjadi bilik tidur. Sewanya RM350 sebulan.

Saya pada awalnya tidak tahu, teman mahasiswa yang menyewa bilik di tingkat 4 bangunan yang sama sudah ditangkap pagi-pagi lagi. Kira-kira jam 10.30 pagi. Beliau diberkas ketika menyertai sebuah demontrasi kecil di hadapan Balai Polis Jalan Stadium, KL.

Selepas polis menangkapnya, polis membawa dia ke ‘kubu’ kami—di mana, di situ jugalah saya menyewa bilik. Semua barangan beliau dirampas. Termasuk buku-buku dan dokumen tertentu. Juga buku-buku saya, dan dua keping lakaran lukisan milik saya. Saya percaya lakaran saya itu kini masih berada di Bukit Aman. Semua barangan berkenaan diletakkan di sebuah dewan sempit tingkat 4 yang menjadi kelas tambahan percuma kepada anak-anak golongan miskin sekitar Bangsar Utama.

Ringkasnya, bagi menyempurnakan matlamat membunuh arus Reformasi dan perlawanan terhadap pemerintah Umno-BN, selain penggerak utama, badan dan tokoh mahasiswa yang kritis harus turut dihapuskan sama sekali. Sama sekali!

Detik tangkapan itu barangkali kemuncak kepada siri tekanan kepada golongan mahasiswa yang pro-Reformasi. Selain sasaran kepada anak-anak mahasiswa yang terlibat, kita juga mendapat tahu bagaimana ibu-bapa di kampung juga pernah ‘dikacau’.

Semua ini, telah benar-benar memberi tekanan perasaan dan psykologi, bukan sahaja kepada anak-anak mahasiswa, sekaligus kepada keluarga dan ibu-ayah mereka. Demikian, saya sungguh-sungguh mengerti dan terasa dekat sekali dengan nasib mahasiswa UM yang baru-baru ini diberkas atas tuduhan menconteng dinding dan percubaan membakar dewan.

Sekali lagi, tuduhan bakar dewan timbul—hampir sama seperti yang pernah dilemparkan 9 tahun lalu. Pihak media, polis dan tak seorang pun pemimpin Umno-BN yang berketik bersuara apabila hasil siasatan mendapati Dewan Tungku Censelor itu terbakar akibat litar pintas. Tidak ada kena mengena langsung dengan apa yang dituduh sebagai “pengaruh gerakkan bawah tanah.”

Kegemparan dan kekalutan di UM baru-baru ini tercetus apabila ada segelintir mahasiswa yang ‘nakal’ dan menconteng dinding dengan perkataan seperti “C4″, “bini puaka” dan “pembunuh Altantuya”, sehari sebelum wanita pertama, Datin Seri Rosmah Mansor datang ke universiti berkenaan.

Saya membayangkan bagaimana kejujuran beberapa anak mahasiswa itu untuk berekpressi dan mencurahkan kebencian mereka terhadap sesuatu. Mereka hanya menuliskan dengan rasa yakin benar, dan kalaupun menconteng adalah perbuatan salah oleh anak-anak ‘nakal’ berkenaan, apakah ia terlalu berdosa sehingga diperlaku lebih daripada kesalahan membunuh mahupun menerima rasuah?

‘Anak-anak nakal’ dari perspektif tertentu diperlukan negara, apabila kita sedar bahawa sifat kenakalan adalah petanda seseorang yang bijak—sepertimana kisah Hang Nadim yang mengalahkan serangan todak di Temasik dahulu. Hang Nadim bukan umpama Belia 4B! Bukan yang lemah cangok, layu dan hanya mengikut laksana pak turut.

Tatkala tangkapan tengah hari itu dibuat, di radio berkumandang lagu daripada kaset yang baru saya beli: raja-raja dulu tengah fana dimakan zaman, kini tinggal kau tanpa pilihan; kecuali mahu membiarkan, hidup di angan-anganan, mengharapkan yang tak mungkin menjelma…

Semua pemimpin, termasuk pimpinan muda (terutama di kalangan Pakatan Rakyat) wajib bangun membela adik-adik ini—selain daripada hanya sibuk melayan keasyikan bulan madu sebagai “YB muda” atau terbelit dengan polimik diskusi dan perbincangan yang jelas-nyata langkah politik yang hampir seratus-peratus tidak perlu.

PerakExpress

Tuesday, July 7, 2009

Tertuduh kes 'puaka' UM kembali belajar - Malaysiakini

Seorang tertuduh kes menconteng perkataan "bini puaka", Mohd Izzuddin Hilmi, kembali menyambung pelajaran di Universiti Malaya bagi semester baru semalam, kata seorang pemimpin pelajar.

Sementara seorang lagi yang dituduh bersamanya, Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli, belum kembali ke kampus dan difahamkan masih berada di kampung di Chemor, Perak.

Exco kepemimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Aizat Mohd Salleh memberitahu Malaysiakini hari ini, kedua-dua pelajar itu setakat ini boleh meneruskan pelajaran kerana pihak universiti belum membuat sebarang keputusan.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu pertemuan beliau bersama seorang pegawai kanan kepada Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon semalam.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen - kedua-duanya pelajar Akademi Pengajian Islam (API) - dituduh menconteng, cuba membakar dan menceroboh dewan kuliah utama akademi tersebut 24 Jun lalu beberapa jam sebelum program isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Kedua-duanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 30 Jun lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,500 tiap seorang keesokannya.

Kes tersebut akan disebut semula 13 Julai ini.

Polis kini sedang menjejaki tiga lagi pelajar API - termasuk presiden PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin - bagi membantu siasatan kes tersebut.

Selain contengan "bini puaka", "C4" dan "pembunuh Altantuya", polis juga mengesan simbahan petrol di permaidani yang bakal dilalui isteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri satu program di situ.

Malaysiakini

Friday, July 3, 2009

Kes 'puaka' UM: Siswa Islam lancar kutipan derma - Malaysiakini

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) akan melancarkan kutipan derma untuk membantu dua pelajar universiti tersebut yang dihadapkan ke mahakamah Selasa lalu atas tuduhan menconteng, cubaan membakar dan menceroboh dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - kedua-duanya pelajar API - dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Mohd Izzuddin dan Mohd Syahruldeen juga dituduh bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara.

Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Mereka didakwa menconteng dinding dewan tersebut, selain menyimbah petrol di permaidani dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000.

Kes mereka akan disebut semula pada 13 Julai ini.

Naib Presiden PMIUM, Mohd Aizat Mohd Salleh berkata, pihaknya akan memulakan kutipan derma itu dari kalangan ahlinya bagi membantu membiayai kos guaman kedua-dua pelajar terbabit.

"PMIUM mempunyai kira-kira 1,000 orang ahli. Kutipan derma itu dijangka dimulakan minggu hadapan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Malaysiakini

Wednesday, July 1, 2009

Siswa bertindak jika kena tindakan - Malaysiakini

Kumpulan mahasiswa bersedia melancarkan bantahan besar jika Universiti Malaya mengambil tindakan tatatertib terhadap dua pelajarnya yang diseret ke mahkamah semalam.

Sehubungan itu, Persatuan Mahasiswa Islam UM juga berharap pentadbiran kampus tidak mengambil tindakan pecat seperti yang pernah dialami oleh tujuh mahasiswa IPTA yang dituduh terbabit dalam satu perhimpunan haram pada 2001.

"Di pihak universiti pula, penulis ingin memberi peringatan supaya jangan sesekali mengambil tindakan dengan menghukum mereka sebelum mereka dibuktikan bersalah," kata presidennya Shazni Munir Mohd Ithnin di blognya hari ini.

"Jika seandainya hal yang pernah berlaku pada mangsa-mangsa ISA 7 berulang, penulis dan seluruh mahasiswa yang di dadanya kejap dengan perjuangan kemahasiswaan, tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan di segenap sudut."

Shazni Munir, kini sedang dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng dan cubaan membakar dewan Akademi Pengajian Islam, juga berharap proses mahkamah berjalan dengan adil.

"Penulis dengan pengharapan yang menggunung, masih lagi mengharapkan proses perbicaraan berlangsung tanpa 'tangan-tangan ghaib' yang mengganggu, dan hakim mengadilinya dengan penuh adil serta saksama," katanya lagi.

Semalam, dua pelajar UM dituduh di mahkamah atas dakwaan menconteng dan cubaan membakar dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, 24 Jun lalu.

Mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani beberapa jam sebelum dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyertai kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dibebaskan hari ini selepas dijamin RM5,500 tiap seorang.

Satu sumber polis memberitahu Malaysiakini semalam, kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, .

Selain Shazni Munir, polis juga sedang menjejaki Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani - kedua-duanya dipercayai pelajar akademi Islam - bagi membantu siasatan.

Malaysiakini

Wednesday, March 4, 2009

5,000 Mahasiswa Sertai Perarakan 7 Mac Bantah PPSMI - Suara Keadilan

GERAKAN membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menerima lonjakan sokongan lebih 5,000 ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) di lebih 70 buah kampus IPTA dan IPTS seluruh Malaysia.

Demikianlah penegasan yang dibuat oleh Presiden GAMIS, Dzul Khairi Mohd Nor ketika menyatakan komitmen Gamis akan turut sama bersama rakyat dan pencinta bahasa turun ke jalan raya pada 7 Mac 2009 ini untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar PPSMI.

“5,000 ahli tegar GAMIS bersama seluruh mahasiswa akan turun 7 Mac ini atas satu premis bahawa kedaulatan Bahasa Melayu mestilah dipertahankan demi menjaga jatidiri Melayu Islam yang kian terhakis oleh arus deras globalisasi,” kata Dzul Khairi dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Gamis telah menghantar perwakilan mahasiswa paling ramai iaitu seramai 30 orang ke Majlis Pidato Perdana dan Ikrar Turun Jalan Raya yang diadakan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur pada 23 Februari lepas.

Dzul Khairi menyatakan bahawa kini tiba masanya entiti mahasiswa menambah sengat pukulan kepada parti pemerintah yang masih ‘bodoh sombong’ meneruskan dasar ini tanpa tidak mahu mengambil endah keresahan rakyat teramai, pencinta dan sarjana bahasa sendiri.

Hujah sejarah, hujah undang-undang, kesan sosio-budaya, pembinaan jati-diri dan tamadun bangsa, kesemuanya telah dibentang oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam negara.

“Sebagai mahasiswa patriotik dan independent, kedaulatan ilmu dan kesedaran jatidiri mestilah diserlahkan melalui martabat dan darjat bahasa ilmu iaitu Bahasa Melayu,” tegasnya

Menurutnya lagi, kegagalan berbuat demikian akan menjadikan generasi anak muda akan datang adalah generasi buta bahasa, dan tidak mustahil inilah perancangan Westernisasi iaitu bermula dari bahasa, mereka akan menjajah agama dan budaya kemelayuan keislaman kita.

Justeru, Gamis menyeru seluruh mahasiswa selaku golongan yang sangat berpotensi membentuk public opinion rakyat memobilasi seramai mungkin mahasiswa kampus untuk turun ke Kuala Lumpur 7 Mac ini dengan membawa imej dan identiti sebagai mahasiswa yang turut sama terkesan dengan keangkuhan pimpinan Umno-Barisan Nasional yang lebih mengutamakan kepentingan poket dan perut masing-masing dari membela bahasa dan agama

Sumber: SK



Wednesday, February 25, 2009

Mahasiswa sokong debat terbuka Nizar vs Zambry

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Hrkh) - Cadangan dan harapan Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (Bersatu Perak) untuk menganjurkan debat terbuka antara Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin dan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir telah mendapat sokongan yang sepenuhnya di peringkat Mahasiswa.

"Forum seumpama ini bukan sahaja merupakan hasrat dan harapan kami di peringkat mahasiswa malah ia juga merupakan hasrat rakyat tempatan yang inginkan penjelasan dan penerangan yang lebih telus terhadap suasana politik Perak pada hari ini.

"Kita telah berjaya mengumpulkan sejumlah besar mahasiswa yang bakal memberikan kerjasama dalam menjayakan debat ini," demikian ujar Timb. Presiden (1) Bersatu Perak, Mudzil selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil-wakil kampus Perak.

Malah Bersatu Perak ujarnya, telah mendapat reaksi dan komen positif yang cukup memberansangkan di peringkat mahasiswa.

Dalam pada itu, Bersatu Perak juga katanya akan mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato' Farid Ridzuan bagi mengadakan tayangan secara langsung debat yang menemukan dua tokoh tersebut.

"Suasana dan warna politik Perak hari ini, mendapat liputan yang meluas di seluruh negara. Maka bukan rakyat Perak sahaja yang merasai kepanasan isu ini tetapi rakyat diluar Perak juga turut merasai tempias kehangatannya.

"Saya yakin dan percaya rakyat Malaysia keseluruhannya mahu melihat dua tokoh tersebut dipertemukan bagi menjelaskan isu Perak ini kerana itulah debat bersejarah tersebut perlu diadakan secara langsung di kaca TV untuk tatapan rakyat luar Perak," ujar Exco Perhubungan dan Media Bersatu Perak, Shahril Nizam. - azm _

Sumber: Harakah