Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, March 4, 2009

5,000 Mahasiswa Sertai Perarakan 7 Mac Bantah PPSMI - Suara Keadilan

GERAKAN membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menerima lonjakan sokongan lebih 5,000 ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) di lebih 70 buah kampus IPTA dan IPTS seluruh Malaysia.

Demikianlah penegasan yang dibuat oleh Presiden GAMIS, Dzul Khairi Mohd Nor ketika menyatakan komitmen Gamis akan turut sama bersama rakyat dan pencinta bahasa turun ke jalan raya pada 7 Mac 2009 ini untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar PPSMI.

“5,000 ahli tegar GAMIS bersama seluruh mahasiswa akan turun 7 Mac ini atas satu premis bahawa kedaulatan Bahasa Melayu mestilah dipertahankan demi menjaga jatidiri Melayu Islam yang kian terhakis oleh arus deras globalisasi,” kata Dzul Khairi dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Gamis telah menghantar perwakilan mahasiswa paling ramai iaitu seramai 30 orang ke Majlis Pidato Perdana dan Ikrar Turun Jalan Raya yang diadakan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur pada 23 Februari lepas.

Dzul Khairi menyatakan bahawa kini tiba masanya entiti mahasiswa menambah sengat pukulan kepada parti pemerintah yang masih ‘bodoh sombong’ meneruskan dasar ini tanpa tidak mahu mengambil endah keresahan rakyat teramai, pencinta dan sarjana bahasa sendiri.

Hujah sejarah, hujah undang-undang, kesan sosio-budaya, pembinaan jati-diri dan tamadun bangsa, kesemuanya telah dibentang oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam negara.

“Sebagai mahasiswa patriotik dan independent, kedaulatan ilmu dan kesedaran jatidiri mestilah diserlahkan melalui martabat dan darjat bahasa ilmu iaitu Bahasa Melayu,” tegasnya

Menurutnya lagi, kegagalan berbuat demikian akan menjadikan generasi anak muda akan datang adalah generasi buta bahasa, dan tidak mustahil inilah perancangan Westernisasi iaitu bermula dari bahasa, mereka akan menjajah agama dan budaya kemelayuan keislaman kita.

Justeru, Gamis menyeru seluruh mahasiswa selaku golongan yang sangat berpotensi membentuk public opinion rakyat memobilasi seramai mungkin mahasiswa kampus untuk turun ke Kuala Lumpur 7 Mac ini dengan membawa imej dan identiti sebagai mahasiswa yang turut sama terkesan dengan keangkuhan pimpinan Umno-Barisan Nasional yang lebih mengutamakan kepentingan poket dan perut masing-masing dari membela bahasa dan agama

Sumber: SK



No comments: