Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Melayu. Show all posts
Showing posts with label Melayu. Show all posts

Tuesday, May 18, 2010

Mantan wakil rakyat Umno desak batal judi bola - Malaysiakini

Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (PAKKU) mendesak kerajaan membatalkan serta merta lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat dewan tertinggi pertubuhan itu yang dipengerusikan presiden Tan Sri Adam Abdul Kadir dan dihadiri beberapa anggota lain antaranya bekas menteri pertanian Tan Sri Sanusi Junid dan bekas menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan Tan Sri Sabbaruddin Chik, kata naib presiden Tamrin Ghafar dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Berjaya Corp dilaporan telah menerima kembali lesen perjudian sukan.

Pada 6 Mei, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen berkenaan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Malaysiakini

Monday, December 14, 2009

Penalis: Ketuanan Melayu 'projek politik' kekal kuasa - Malaysiakini

Konsep Ketuanan Melayu dan kontrak sosial adalah merupakan satu helah politik parti pemerintah untuk kekal berkuasa, kata naib presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

Katanya, jika adapun apa yang dipanggil kontrak sosial, ia tidak ada kena mengena dengan hak istimewa Melayu, tetapi ia merupakan rangka untuk melindungi rakyat.

Beliau berkata demikian dalam majlis forum bertajuk 'Mitos Ketuanan Melayu' anjuran Refsa (Research for Social Advancement) di ibunegara semalam.

Tiga lagi ahli panel ialah Noraini Othman' (UKM/Sister in Islam); pakar sejarah Malaysia, Clive Kessler dan ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Richard Yeoh.

Menurut Tunku Abdul Aziz, apa yang dianggap rakyat sebagai kontrak sosial adalah sebenarnya satu persefahaman antara pengasas kemerdekaan negara untuk 'tinggal bersama, kita mesti kerja bersama-sama".

Katanya, para pengasas tersebut merupakan golongan yang berfikiran liberal dan tidak pernah terfikir tentang hak keistimewaan orang Melayu.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara, masih belum menemui identitinya ekoran dasar-dasar yang tidak inklusif.

Menurutnya, identiti bersama itu boleh dicapai sekiranya rakyat merasakan mereka dilayan secara adil dalam dasar-dasar yang dilaksanakan dan mereka tidak merasakan bahawa Malaysia adalah tempat milik orang Melayu.

Konsept 1Malaysia 'kabur'

Ditanya sama ada konsep 1Malaysia itu bertujuan menangani isu perkongsian identiti, Tunku Abdul Aziz berkata, idea yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah kabur dan mendakwa perdana menteri sendiri gagal menjelaskannya.

Sebaliknya, kata beliau, konsep 'Malaysian Malaysia' anjuran DAP "tidak mendiskriminasi atau menyokong kesengsaraan rakyatnya."

Tunku Abdul Aziz berkata, beliau secara peribadi percaya kepada konsep tersebut sejak sebelum menyertai DAP lagi dua tahun lalu.

Menurutnya, konsep Malaysian Malaysia itu, apabila pertamakali diperkenalkan oleh pemimpin Parti Bertindak Rakyat (PAP) Lee Kuan Yew pada 1960-an, wujud banyak rasa curiga di kalangan pelbagai masyarakat etnik ekoran jurang ekonomi yang luas.

Pandangan tersebut turut dikongsi oleh Noraini yang berkata konsep tersebut sesuai dengan keadaan sekarang kerana wujudnya ramai masyarakat kelas pertengahan Malaysia yang bersedia untuk menjadi sebahagian daripada negara yang memberi kesaksamaan
kepada semua rakyatnya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa masih wujud halangan psikologi di mana ramai orang Melayu yang masih merasakan yang mereka belum bersedia untuk melepaskan 'tongkat' mereka.

Menurutnya, ia merupakan satu lingkaran di mana rakyat masih terperangkap dalam cara pemikiran feudal.

Noraini, yang merupakan penulis bersama buku 'Sharing the Nation', menambah bahawa konsep ketuanan Melayu membuat beliau kecut kerana ia membangkitkan "perasaan penghambaan".

Menurut istilah klasik Melayu, katanya, perkataan 'ketuanan' membawa maksud tuan ke atas hamba tawanan, yang menurutnya, satu konsep pra-feudal yang tidak sama waktunya dengan 1957, 1963 dan hari ini.

Seperti juga Tunku Abdul Aziz, beliau mengingatkan supaya jangan terjebak dengan 'perangkap' ketuanan Melayu, yang dianggapnya sebagai satu 'projek politik'.

Asal usul Ketuanan Melayu

Sementara itu, Yeoh pula berkata, istilah 'Ketuanan Melayu' bermula dengan ucapan Tan Sri Abdullah Ahmad pada 1989 yang berkata orang Melayu mesti dominan dalam kepimpina politik.

Bagaimanapun, katanya, ucapan itu tidak memudaratkan, tetapi ia telah membawa maksud ketuanan Melayu kepada sesetengah pemimpin Umno yang tidak semestinya faham maksudnya.

Sehubungan itu, katanya, istilah tersebut perlu dilihat mengikut kontek sebenarnya, kerana ia ditimbulkan sewaktu Umno berdepan dengan krisis kepimpinannya di mana Tengku Razaleigh Hamzah mencabar kepimpinan Dr Mahathir ketika itu.

Menurut Yeoh, perlembagaan hanya menetapkan hak-hak keistimewaan untuk orang Melayu dalam bidang-bidang yang sudah pun ada sebelum kemerdekaan, dan tiada lagi keistimewaan baru yang ditambah.

Orang Melayu, katanya, boleh mencapai semua yang mereka telah capai, dan mungkin lebih daripada itu, tanpa istilah Ketuanan Melayu.

Sementara itu, Kessler pula menambah bahawa negara ini sedang melalui gelombang ketiga perjanjian Merdeka yang dipersetujui oleh para pengasasnya - yang pertama datang pada 1969 dan ketiga pada 1972 dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Gelombang kedua, katanya, mulai berakhir pada 1999 tetapi terus hidup tanpa kebiasaan dari 2004 "ketika kerajaan merasakan yang semuanya telah dimaafkan, sehinggalah apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2008".

Oleh itu, katanya, adalah diharapkan gelombang ketiga ini akan "mendukung semangat perjanjian Merdeka", yang mempunyai tujuan untuk membangunkan sebuah negara yang "pluralistik dan inklusif".

Malah, hujah Klesser, timbalan perdana menteri kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman pernah berkata bahawa penerusan dasar-dasar afirmatif yang membantu orang Melayu, boleh menjadi satu penghinaan kepada maruah mereka.

Malaysiakini

Wednesday, September 9, 2009

PAS tidak akan bersama Umno pertahankan perkauman - Harakah

KUALA LUMPUR, 8 Sept: PAS menyifatkan, perlawaan Umno bertalu-talu kepada PAS agar bekerjasama dengan parti yang kini terjebak dengan isu perkauman sebagai satu tindakan tersepit.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, Umno kini terlalu tertekan dengan isu perkauman ini dan sangat memerlukan PAS untuk mengesahkan tindakan mereka.

Jika PAS tidak menyokong tindakan Umno maka masyarakat akan menganggap tindakan Umno sebagai berdasarkan perkauman dan bukannya berasaskan Islam.

Salahudin mengulas ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Manek Urai semalam.

Dalam ucapan itu sekali lagi pemimpin Umno mempelawa PAS berunding dengan mereka demi kepentingan ummah dan Islam tetapi menegaskan "tidak rela Umno dihina".

Ini adalah huluran tangan yang kesekian kalinya oleh pemimpin Umno agar PAS bersama-sama dengan mereka sejak pilihan raya umum 2008 lalu.

Bagi Salahudin, Umno hanya akan menghulurkan tangan ketika mereka tersepit tetapi selepas selesai masalah mereka, PAS akan ditendang sebagaimana yang dialami oleh PAS sebelum ini.

"Ketika negara hadapi isu perkauman 1969, PAS diajak bersatu demi Melayu dan Islam. Tetapi apa berlaku selepas Umno kuat kembali?" soal Salahudin.

Bagi beliau, Umno tersepit sekali lagi kini. Selepas kalah teruk dalam pilihan raya 2008, Umno menjadikan isu perkauman sebagai pendekatan untuk mengikat sokongan orang Melayu kepada mereka. Kononnya bangsa Melayu tertekan kini.

"Yang tertekan bukan bangsa Melayu tetapi Umno," kata beliau.

Apabila aktivis-aktivis Umno di Seksyen 23, Shah Alam memainkan isu perkauman dan agama sempit sehingga sanggup membawa kepala lembu yang masih berdarah ke Pejabat SUK Selangor, Umno sekali lagi tersepit.

"Mereka ingat PAS akan menyokong mereka atas dasar mereka memperjuangkan Islam dan Melayu dan melawan agama Hindu.

"PAS berpendirian tidak menyokong mereka kerana Islam tidak mengajar begitu. Hampir kesemua pemimpin PAS mengambil pendekatan yang diajar Al Quran iaitu jangan kamu menghina tuhan-tuhan mereka kerana dibimbangi mereka juga akan menghina Allah," kata Salahudin.

Kini, katanya Umno tersepit dan mengharapkan PAS bersama-sama mereka.

"Umno kini telah menjadikan perkauman sebagai makanan ruji mereka. Kita tidak akan bersama dengan mereka," kata Salahudin.

Harakah

Friday, August 21, 2009

17 pengkhianatan Umno kepada Melayu, kata Kamarudin - Harakah

GOMBAK, 21 Ogos: Dalam kesibukan Umno melaung-laungkan 'Anwar Pengkhianat', mereka lupa bahawa Umnolah yang sebenarnya pengkhianat kepada orang Melayu.

Datuk Kamaruddin Jaafar, AJK PAS Pusat menyenaraikan 17 pengkhianatan Umno kepada orang-orang Melayu yang bermula semenjak zaman pemerintahan Mahathir lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Hi-Tea anjuran PAS Kawasan Gombak untuk mengutip dana bagi PAS kawasan berkenaan di Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar.

"Jangan kita lupa, Umno telah melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap orang-orang Melayu semenjak pemerintahan Dr Mahathir sehingga sekarang di bawah Najib," kat Kamaruddin.

"Pada zaman Dr Mahathir, beliau telah menghapuskan imuniti raja-raja Melayu. Institusi Raja Melayu adalah simbol ketuanan orang Melayu dan Umno telah merosakkannya," katanya.

Seterusnya, pengkhianatan Umno yang kedua, dengan merosakkan sistem kehakiman negara yang juga dilakukan oleh Dr Mahathir.

Beliau telah campur tangan di dalam sistem kehakiman negara, yang menjadi simbol kedaulatan undang-undang negara dan krisis ini membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.

Kemudian, selepas pilihanraya umum 1999 yang menyaksikan Terengganu jatuh ke tangan PAS, kerajaan Umno menarik balik royalti minyak di sana.

Walhal, majoriti besar rakyat negeri Terengganu adalah daripada orang-orang Melayu dan Umno sanggup berbuat demikian demi membalas dendam akibat kalah teruk dalam pilihanraya berkenaan.

Pada zaman Dr Mahathir juga, pengkhianatan ke empat yang Umno lakukan adalah dengan memperkenalkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang secara terang melanggar Perlembagaan Malaysia dan Dasar Bahasa Melayu.

Ia secara lansung melemahkan pencapaian anak-anak Melayu di dalam kedua-dua subjek berkenaan; Sains dan Matematik.

Kemudian, pengkhianatan ke-5 Umno apabila menarik geran peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menjadi tempat belajar anak-anak orang Melayu.

"Seterusnya, pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu apabila memperkenalkan dasar meritrokrasi," kata Kamarudin yang juga anggota Parlimen Tumpat itu lagi.

Jika dahulu, anak-anak Melayu berpeluang menyambung pelajaran ke menara gading, tetapi sekarang peluang tersebut semakin tipis apabila dasar meritrokrasi diperkenalkan oleh Dr Mahathir.

Berikut adalah 17 pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu

1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu.

2. Melemahkan sistem kehakiman negara.

3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti orang Melayu.

4. Memperkenalkan PPSMI; menghapuskan bahasa Melayu.

5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.

6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.

7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu.

8. Persempadanan semula pilihanraya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.

9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.

10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Melayu.

11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.

12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby,Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.

13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Datuk Harussani ? 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.

14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.

15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.

16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

/Pemudagombak.com_

Harakah

Wednesday, November 19, 2008

Tiada ketuanan Melayu dalam Islam

KB: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan di dalam Islam.

Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam merupakan agama yang universal tidak memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana bangsa melainkan kelebihan itu akan diberikan kepada individu yang mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

"Di dalam Islam tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah bangsa apa, Cina, Melayu, India dan Arab.

"Tuhan hanya melihat ketakwaan seseorang itu... kerana bila kita bertakwa kita takut kepada Allah dan menjalankan tanggungjawab kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan restoran London Fish Tales, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan Melayu kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau menyifatkan perjuangan sesuatu parti terhadap satu bangsa tanpa mementingkan agama boleh membawa kepada satu kesan yang tidak sihat dan tidak berkekalan.

"Sebab itu saya masuk parti Islam, yang memperjuangkan agama kerana ianya tidak akan kehabisan. Matlamat perjuangannya sentiasa ada iaitu demi agama tanpa mengira kepentingan bangsa pun.

"Saya tidak duduk dalam politik yang gunakan Melayu, tetapi saya duduk dalam gerakan Islam," katanya. / Bernama


Sumber: KLpos