Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Judi. Show all posts
Showing posts with label Judi. Show all posts

Friday, June 25, 2010

Judi sukan: Rais jadikan Cina kambing hitam - Malaysiakini

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menuduh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim menjadikan masyarakat Cina di negara ini sebagai kambing hitam dalam agenda kerajaan meluluskan lesen judi sukan.

Pada sidang media di lobi parlimen, Lim mengulas dakwaan Rais kerajaan mesti meluluskan lesen judi itu kerana hak bukan Islam di negara ini perlu diiktiraf dan dihormati.

"Saya terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang sekarang menganggap dirinya pakar hal ehwal Cina dengan menyatakan bahawa adalah perlu untuk menghalalkan judi bola kerana hanya dengan menghalalkan judi barulah kita boleh menghormati dan mengiktiraf hak-hak kaum Cina dan India," katanya mengulas kenyataan luarbiasa Rais itu.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, dakwaan itu langsung tidak berasas.

"Saya ingin tanya sama beliau, manakah dan siapakah pertubuhan Cina yang memohon kepada kerajaan pusat sebelum ini untuk menghalalkan judi bola.

"Kerana dalam pengetahuan saya tidak ada sebarang pertubuhan Cina yang meminta judi bola dihalalkan. Saya nak tahu saja," katanya yang juga ahli parlimen Bagan.

Beliau turut menegaskan, masyarakat Cina tidak pernah meminta judi dihalalkan kononnya untuk mengiktiraf hak mereka.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa masyarakat Cina tidak meminta bahawa judi bola dihalalkan sebagai tanda hak-hak mereka dihormati dan diiktiraf.

“Saya ingin menekankan di sini permintaan daripada masyarakat Cina atau India atau masyarakat bukan Melayu, Iban, Kadazan adalah sama dengan semua permintaan masyarakat Malaysia iaitu berteraskan prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan. Itulah permintaan daripada masyarakat Cina,” katanya.

Lim berkata Umno seolah-olah begitu berminat untuk menghalalkan judi berbanding masyarakat bukan Islam.

"Bukan seperti yang Umno cakap bahawa berkisar ke atas judi sahaja. Nampaknya Umno lebih minat dengan judi daripada orang-orang lain. Tapi jangan pula cakap itu permintaan masyarakat Cina dan hanya dengan memberikan judi bola barulah masyarakat Cina, India dan bukan Melayu dapat dihormati. Saya memang tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian,” katanya.

Beliau juga menafikan kenyataan sesetengah pihak bahawa DAP mengharamkan sepenuhnya judi sebaliknya beliau berkata, DAP mahu judi dikurangkan.

"Saya bukan minta judi diharamkan terus tapi dikawal. Pendirian kita, yang sudah diluluskan biarkan tapi jangan tambah. Kalau boleh kita kurangkan," katanya.

Malaysiakini

Tuesday, June 8, 2010

Judi: Siapa berbohong - Najib atau BERJAYA? - Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika beliau tidak memberi gambaran yang sebenar berhubung pemberian lesen judi sukan.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan BERJAYA Corporation Bhd menimbulkan kontroversi mengenai siapa yang sebenarnya berbohong.

Pada notis kepada Bursa Malaysia 12 Mei lalu, BERJAYA berkata: 'Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.'

Sesalinan notis itu kemudiannya diedarkan oleh Pua kepada wartawan pada sidang medianya di lobi parlimen, pagi ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulisnya di parlimen semalam berkata lesen berkenaan belum dikeluarkan kerana masih menunggu maklum balas orang ramai dan beberapa syarat masih dirangka.

Malaysiakini

Friday, May 28, 2010

Selangor, Pulau Pinang Haramkan Judi Sukan - TVS

Kesemua majlis tempatan di Selangor diarah membekukan pertaruhan yang membabitkan judi sukan di semua premis di negeri itu.

Exco Kerajaan Negeri Datuk Hassan Ali berkata pengharaman menyeluruh ini berkuat-kuasa serta merta, dan semua permohonan dari pengendali loteri untuk menjalankan perjudian sukan akan ditolak.

Seksyen tertentu dari Akta Kerajaan Tempatan akan dikuatkuasakan bagi menyekat penularan aktiviti judi sukan. Mana-mana premis yang dikesan menjalankan aktiviti haram ini menghadapi tindakan lesen mereka dibeku, dan premis mereka ditutup.

"Bukan sekadar tiga PBT sahaja yang terbabit dalam kempen ini. Kerajaan Negeri telah membuat keputusan premis di negeri ini tidak dibenar sama-sekali diguna untuk tujuan judi," tegas Dr Hassan.

"Premis perjudian sedia-ada tidak akan dikembangkan, dan bila tamat lesen mereka, kita akan bincangkan apa yang patut kita lakukan terhadap mereka," katanya lagi.

Selepas Selangor, Pulau Pinang turut mengumumkan pengharaman menyeluruh pertaruhan sukan dan permohonan dari konsesi perjudian sukan

TVS

28/05/10 Jumaat - Sekitar Demo Bantahan Judi Bola di Masjid Al-Azim, Melaka



Thursday, May 27, 2010

Perjumpanan Tubuh Gerakan Membantah Judi - TVS

Satu perjumpaan akan diadakan di Shah Alam Selasa depan untuk menubuhkan Gerakan Membantah Judi (GMJ).

Ia akan menggabungkan NGO, persatuan penduduk dan wakil-wakil parti politik yang mahu menyertai GMJ.

Perjumpaan tersebut dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan akan berlangsung di bilik Gerakkan, Tingkat 22, Pejabat SUK Selangor.

Pengerusi majlis tersebut, Azmi Abdul Hamid berkata gabungan tersebut akan membantah judi bola sepak yang telah diluluskan oleh kerajaan pusat.

Pemberian itu dibantah oleh banyak pihak termasuk Dewan Pemuda PAS yang akan mengadakan demonstrasi di seluruh negara Jumaat ini.

Ia juga akan menempatkan anggotanya di semua premis judi untuk mengedarkan risalah membantah pemberian lesen judi bola sepak oleh kerajaan.- Malaysiakini

TVS

Wednesday, May 26, 2010

Edar Risalah di Premis Judi Seluruh Negara, Pemuda PAS Gerakkan Jenteranya Esok - TVS

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan mula meggerakkan jenteranya esok di depan premis judi di seluruh negara bagi tujuan mengedarkan risalah membantah judi bola kepada para pengunjungnya.

Ketuanya, Nasarudin Hassan At Tantawi berkata, mereka akan ditugaskan mengedar risalah itu sehinggalah lesen judi bola ditarik semula oleh pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Dalam satu kenyataan bertulis hari ini, Nasaruddin berkata anggota DPPP akan melakukan tugas itu secara bergilir-gilir mengikut sif.

Selain itu, Pemuda PAS katanya menjemput semua insan yang prihatin dan anti-judi untuk membantu mengedarkan risalah itu.

Pemberian lesen judi bola sepak itu mendapat tentangan hebat daripada Pakatan Rakyat serta masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Nasruddin sebelum ini telah mengarahkan dewan Pemuda PAS negeri mengadakan demontrasi membantah pemberian lesen judi itu.

Pada minggu lepas, lima demontrasi membantah lesen judi itu diadakan serentak melibatkan negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Sementara pada Jumaat ini, demonstrasi bantahan yang sama akan diadakan di Kedah, Perlis, Kelantan, Pahang dan Selangor

TVS

Tuesday, May 25, 2010

Judi bola: PAS minta Majlis Raja-Raja ambil tindakan - Harakah

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyuarakan rasa yakin bahawa Majlis Mesyuarat Raja-Raja Malaysia mampu mempengaruhi kerajaan supaya membatalkan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.

"Kami (Ahli Parlimen PAS) berkeyakinan bahawa Majlis Raja-Raja Melayu mengambil tindakan yang wajar mempengaruhi kerajaan supaya isu pemberian lesen judi ini dibatalkan segera," jelas beliau tengah hari tadi, mewakili Ahli Parlimen PAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Majlis Raja-Raja Melayu pada era 1960-an dahulu pernah menunjukkan teladan kepada rakyat dengan mendesak kerajaan Umno BN membatalkan Loteri Kebajikan.

Tambahnya lagi, almarhum Tuanku Sultan Perlis merupakan Raja yang paling menonjol menegur pemimpin Umno pada ketika itu.

Sempena mesyuarat Majlis Raja-Raja Malaysia pada 26 Jun depan yang kebetulan dipengerusikan oleh Tuanku Raja Perlis sekarang, beliau berharap majlis berkenaan mampu mempengaruhi kerajaan supaya membatalkan lesen judi tersebut.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menempelak Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mencabar PAS menutup premis judi di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Beliau menyifatkan cabaran Mohd Khir dan Ibrahim itu sebagai mencipta alasan untuk menutup pekung Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan lesen judi itu.

Sebelum pada itu, suatu memorandum bantahan diserahkan kepada Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia sambil disaksikan oleh Penolong Setiausahanya, Datuk Sabtu Awwab.

Manakala Ahli Parlimen PAS yang menyertai Mahfuz pula adalah Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Yusoff (Rantau Panjang) dan Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa) dan Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Adun Batu Burok).

Harakah

Tuesday, May 18, 2010

Mantan wakil rakyat Umno desak batal judi bola - Malaysiakini

Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (PAKKU) mendesak kerajaan membatalkan serta merta lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat dewan tertinggi pertubuhan itu yang dipengerusikan presiden Tan Sri Adam Abdul Kadir dan dihadiri beberapa anggota lain antaranya bekas menteri pertanian Tan Sri Sanusi Junid dan bekas menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan Tan Sri Sabbaruddin Chik, kata naib presiden Tamrin Ghafar dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Berjaya Corp dilaporan telah menerima kembali lesen perjudian sukan.

Pada 6 Mei, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen berkenaan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Malaysiakini

Thursday, May 13, 2010

Hadi: Pemimpin bukan Islam Pakatan sokong haram judi - Malaysiakini

Langkah kerajaan memperkenalkan lesen judi sukan merupakan tindakan yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima masyarakat Malaysia, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sedangkan, tambahnya, dalam Pakatan Rakyat, pemimpin bukan Islam daripada DAP dan PKR sendiri menyokong pengharaman judi.

"Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam," kata Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang.

Semalam, kerajaan dilaporkan meneruskan keputusannya untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan walaupun dibantah banyak pihak.

Dalam kenyataannya petang semalam, Kumpulan Berjaya mengesahkan mendapat lesen tersebut, sekaligus membolehkan pertaruhan secara sah dilakukan sebelum kejohanan berprestij itu bermula pada 11 Jun ini.

Abdul Hadi, dalam satu kenyataan hari ini berkata, Umno sebagai tulang belakang kerajaan, telah membawa semakin banyak perkara negatif sejak selepas kemerdekaan negara lebih 50 tahun lalu.

"Ia menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada sekarang ini telah muflis idea dan membawa negara mundur ke belakang, ke arah yang lebih jauh daripada ajaran Islam," katanya.

Malaysiakini

Wednesday, May 12, 2010

Lesen Judi Bola Lulus, Kumpulan Berjaya Syarikat Tunggal - TVS

KUALA LUMPUR 12 MEI: Akhbar Harian berbahasa Cina, Sin Chew Daily hari ini melaporkan kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara rasmi meluluskan lesen judi pertaruhan bola sepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya.

Ini menjadikan Kumpulan Berjaya sebagai syarikat tunggal pertaruhan bola sepak di negara ini yang memiliki lesen sah mengikut perundangan negara.

Kelulusan ini sekaligus menunjukkan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) tidak mengendahkan bantahan rakyat Malaysia, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam

Antara pimpinan yang lantang menegur cadangan kelulusan lesen judi ialah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Rasah dari DAP, Anthony Loke.

Mengikut laporan Sin Chew Daily, Berjaya Corporation dijangka amenggunakan lebih 200 kedai pertaruhannya, Toto, untuk menerima pertaruhan daripada kaki judi.

Pertaruhan secara berlesen ini dijangka bermula sebelum kejohanan bola sepak terbesar di dunia ini bermula pada 11 Jun ini.

Mengikut laporan berkenaan, wujud kebimbangan kemungkinan rangkaian kedai serbaneka, 7-eleven yang dimiliki Kumpulan Berjaya akan digunakan untuk tujuan pertaruhan.

Kumpulan Berjaya pada 11 Mei lalu memohon sahamnya di Bursa Kuala Lumpur digantung hari ini mulai jam 9 pagi hingga 5 petang sementara menunggu pengumuman lanjut berhubung cadangan menaikkan modalnya.

TVS

Monday, May 10, 2010

AMK Selangor Bantah Keras Lesen Judi Sukan - SK

SHAH ALAM 10 Mei - Angkatan Muda KEADILAN Selangor membantah keras cadangan kerajaan yang bercadang untuk meluluskan lesen perjudian sempena Piala Dunia 2010.

Menurut Ketua Penerangan AMK Selangor Mohd Ezli Mashut kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein di Dewan Negara minggu lepas yang menyebut cadangan tersebut dibuat ‘atas keprihatinan kerajaan’ jelas membangkitkan kemarahan rakyat.

"Kita menolak sebarang usaha yang tidak bermoral yang jelas tidak menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam seperti yang dilaungkan selama ini.

"Masyarakat pelbagai agama dan bangsa menolak perjudian yang menjejaskan moral dan akhlak serta membawa masyarakat terjerumus kepada masalah kebejatan yang lain," kata Mohd Ezli dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ezli juga menegaskan jika lesen perjudian sukan itu diberikan ianya akan membawa negara ke kancah kerosakan moral yang lebih meruncing.

"Kerajaan sepatutnya bertegas di dalam soal ini dan kita yakin masyarakat di negara ini tidak akan dapat menerima kenyataan oleh Timbalan Menteri Kewangan itu," kata beliau lagi.

Mohd Ezli juga berharap cadangan mengeluarkan lesen perjudian Piala Dunia 2010 seharusnya diambil perhatian kerana ia akan menggawatkan masalah moral di kalangan masyarakat.

SK

Thursday, May 6, 2010

Kerajaan timbang beri lesen judi Piala Dunia - Malaysiakini

Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.


Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.

Awang Adek berkata, kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.

"Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

"Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah," katanya.

- Bernama

Malaysiakini