Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Show all posts
Showing posts with label Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Show all posts

Saturday, February 12, 2011

Menjelang PRK Merlimau: Ceramah Perdana Hari Ini!!!


Ceramah Perdana PAKATAN RAKYAT

Tempat: Markas PAS AS-Solihin, Merlimau, Melaka
Tarikh: 12 Februari 2011 (Hari Ini!)
Masa: 9.00 Malam
Penceramah: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat & Pimpinan Pakatan Rakyat

Semua dijemput hadir!!

Friday, May 28, 2010

Umno-BN Tidak Boleh Terima Persaingan Sihat - SK

KOTA BHARU 28 Mei - Saingan sihat perlu digalakkan kerana ia merupakan fitrah atausifat semulajadi manusia kata Mursidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Beliau berkata konsep ini tidak dapat diterima oleh Umno-Barisan Nasional yang sentiasa mengguna pendekatan kekerasan bagi menyekat persaingan politik di kalangan parti politik di negara ini.

"Macam kongres yang diadakan di Kelantan Trade Centre, mereka (Umno-BN) ada PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra). Kita bersainglah kerana Allah sudah jadikan dunia ini saling bersaing. Ini tidak dia guna ISA. Jangan tangkap kerana perbuatan orang yang menangkap adalah orang yang sudah mati akal.

"Umno bengang sebab kita tahaluf (kerjasama) dengan DAP, dia kerjasama dengan MCA takpa, DAP Cina, MCA pun Cina jadi apa masalahnya," kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam ingatan ringkas beliau kepada pimpinan dan perwakilan Angkatan Muda KEADILAN sebelum sesi perbahasan petang tadi

SK

Tuesday, March 2, 2010

Malukan Nik Aziz, PM diminta bertindak - Malaysiakini

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hangat seketika apabila beberapa wakil kerajaan membangkitkan tindakan penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi membelakangkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bawah) pada upacara melepaskan peserta semalam.

Rata-rata wakil rakyat PAS itu mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan segera terhadap penganjur yang didakwa mereka telah memalukan bukan sahaja kepada Nik Aziz tetapi kepada rakyat Kelantan keseluruhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Abdul Fatah Mahmood berkata beliau telah menghantar mesej kepada Najib melalui laman sosial Facebook Perdana Menteri itu hari ini.

"Saya juga sudah mengutus surat secara rasmi kepada Perdana Menteri hari ini agar sesuatu tindakan susulan diambil terhadap penganjur yang telah memalukan Menteri Besar (Nik Aziz) dan juga rakyat Kelantan," katanya pada sesi soal jawab persidangan DUN, di Kota Bharu hari ini.

Semalam, nama Nik Aziz sebagai tetamu kehormat yang akan melepaskan peserta di hadapan Istana Balai Besar, digugurkan pada saat akhir tanpa dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Majlis pelepasan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia yang memulakan peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang sejauh 174.5km itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Abdul Fatah berkata yang lebih mengecewakan ialah Nik Aziz pada mulanya tidak dibenar menaiki pentas utama untuk bersama-sama Awang Adek (kanan) membuat pelepasan itu tetapi selepas campurtangan pegawai, Menteri Besar itu dibenar naik ke pentas.

Mat Yusoff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) bangun meminta penjelasan adakah benar Nik Aziz yang sepatutnya membuat pelepasan itu atau sebaliknya seperti yang diputus dalam mesyuarat jawatankuasa sambutan sebelum itu.

Abdul Fatah berkata perkara itu tidak timbul kerana pemilihan Nik Aziz diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Ketika ditemui di luar Dewan, beliau berkata kerajaan negeri akan menilai semula peranannya dalam memberikan kerjasama pada masa akan datang.

LTdL kali ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan disertai 20 pasukan.

Perlumbaan melibatkan tujuh peringkat sejauh 1,013.9 kilometer untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650.

Sementara itu, Kelantan meminta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melantik segera tiga wakil kerajaan negeri ke dalam lembaga pengarah agensi itu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pelantikan itu penting dalam menyelaraskan program pembangunan demi untuk rakyat di Kelantan Selatan terutama perkara yang membabitkan soal tanah.

Persidangan DUN ditangguh pada satu tarikh yang akan ditentukan.

- Bernama

Malaysiakini

Monday, March 1, 2010

Tok Guru Nik Aziz ikon ulama – Amy Search - Harakah

PETALING JAYA, 1 Mac: Ikon rock tanah air, Amy Search menjadikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ikon ulama kerana mempunyai sikap kesederhanaan dalam kehidupan

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan pensyarah kanan UTM, Dr Azhar Yaacob sebagai pengerusi pada majlis forum yang bertajuk ‘Islam Untuk Semua’ anjuran Masjid Kota Damansara, dekat sini, malam tadi.

Turut menjadi ahli panel pada forum yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1431 itu ialah pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani.

Baginya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama yang amat dihormati dan mudah didampingi yang pernah menjemputnya ke Kelantan untuk menyampaikan ceramah kepada golongan muda.

Pendapat beliau itu turut disokong oleh bekas penyanyi kumpulan rock, Ringgo yang menghormati pendirian Menteri Besar Kelantan itu sebagai ulama.

Beliau turut membuat persembahan pada majlis tersebut dengan menyampaikan sebuah lagu berunsur Islam.

Sementara itu, Amy juga menyeru golongan ulama supaya mendampingi artis bagi mendorong ke arah yang lebih baik.

“Saya harap ulama, ustaz-ustaz dampingi kami (artis), tanpa ulama tegur kami, kita mungkin lalai,” ujarnya.

Harakah

Monday, February 8, 2010

MUZAKARAH? - Al-Bakistani

Program seminar pemikiran islam anjuran kerajaan Negeri kelantan yang membincangkan isu kalimah Allah amat membanggakan. Ini kerana, inilah satu-satunya kerajaan yang memulakan perbincangan isu kalimah Allah secara terbuka, yang melibatkan pimpinan negeri; bermula dari peringkat kampong sehingga ke peringkat negeri.

Aku dijemput oleh kerajaan Negeri dalam menyatakan pandangan dalam isu ini. Sudah pasti, aku berpendapat pengunaan kalimah Allah kepada non Muslim ini dibenarkan. kelihatan Dr Mohd Nur Manuti sependapat denganku, tetapi agak kurang sehaluan oleh Dr Siddiq Fadhil dan Dr Johati Mat.

Ucapan penutup, disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Selesai majlis penutup, semua pembentang dan para jemputan; seperti paderi dan ketua agama budha Kelantan, dijemput bersama-sama di hidangan.

Sedang menyantap hidangan yang disediakan, banyak perkara yang dibincangkan kami bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Apabila berbual denganku, tuan guru banyak bercakap hindi (urdu). Paderi yang berbangsa India itu tersenyum melihat perbualanku dengan Tuan Guru. Dr Mohd Nur Manuti juga kelihatan agak riang apabila melihat perbualanku bersama tuan guru, disamping beliau juga menyampuk berbualan kami dengan beberapa kalimah urdu, seperti kalimah "bohot nehi" dan sebagainya.

"ustaz buatlah buku dalam isu kalimah Allah ini" kata Tuan guru nik Abdul Aziz kepadaku dalam perbualan kami.

Aku hanya tersenyum mendengar cadangan tuan guru itu. Aku tidak dapat membalas cadangan tuan guru itu, hanya masa dan ketika sahaja yang akan menentukannya. Dr Mohd Nur Manuti kelihatan mengangguk-angguk dengan cadangan tuan guru.

"dia ni, anak pondok lubuk tapah" kata Pengerusi Tabung Amanah Tok Kenali sambil mengisyaratkan tangannya ke arahku.

Aku diam. Mataku hanya melihat kepada air the yang dihidangkan sahaja.

Tok Guru tersenyum sambil melihatku ketika Pengerusi Tabung Amanah tok Kenali mengatakan demikian.

KENYATAAN

Selesai makan, Tuan guru membuat kenyataan media di sofa yang disediakan di dewan putik. Banyak soalan-soalan yang dilontarkan kepada Tuan guru.

Pada peringkat awal, Tok Guru banyak menyebut tentang program yang diadakan. Tok guru menyatakan sukacita beliau dengan program tersebut. Tok guru mencadangkan agar majlis dialog seperti yang berlaku pada hari itu, dilakukan juga dengan UMNO; iaitu dialog dalam memastikan, antara PAS dan UMNO, siapakah yang sebenarnya melaksanakan islam.

Cumanya, setelah pulang ke Sungai Buloh, aku agak terkejut apabila melihat TV, didapati berita yang terpampang adalah tentang muzakarah.

"macam mana isu muzakarah pula yang keluar?" soal dalam bisikan hatiku.

"hari tu, mana ada tok guru sebut muzakarah, yang adanya adalah, ajak Dialog untuk memastikan antara PAS dan UMNO, siapakah yang sebenarnya melansanakan islam" sambung bisikan hatiku lagi.

Nampaknya, ternyata kenyataan tok guru itu telah diselewengkan oleh Media BN, demi melihat kekacauan dalaman PAS, disamping sengaja mahu mewujudkan tidak siqah rakyat terhadap kredibiliti tok Guru, yang kononnya tidak consisten berhubung muzakarah PAS dan UMNO.

Yang pastinya, media UMNO/BN memang bangsat. Jahat tidak terkata.

"kalau UMNO ini wujud sebelum zaman Nabi, ana rasa la, mungkin dalam Al-Quran, Allah tidak cerita pasal orang kafir, munafiq dan Fasiq sahaja, mungkin Allah ada cerita pasal UMNO juga kot" Aku teringat kata-kata kawanku satu ketika dahulu.

Sekian

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani

    Tuesday, December 29, 2009

    MB bukan Melayu: K'tan sedia pinda perlembagaan - Malaysiakini

    Kerajaan PAS Kelantan sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama
    Islam menjadi menteri besar negeri itu.

    Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendak Islam seperti diperkenalkan PAS sejak memerintah Kelantan pada 1990.

    "Undang-undang Kelantan itu lain kerana ia dibuat pada zaman itu. Benda itu boleh diubah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

    Nik Aziz diminta mengulas kenyataannya yang akan menyokong mana-mana calon bukan Melayu menjadi menteri besar selepas beliau asalkan orang itu beragama Islam.

    Beliau berkata mengikut dasar Islam sendiri, asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya, mereka layak untuk dijadikan pemimpin.

    "Itu sebabnya kita jangan berpegang kepada bangsa sebaliknya berpegang kepada mereka yang mengamalkan ajaran Islam, barulah Islam itu dihormati.

    "Langkah ini (melantik bukan Melayu) menjadi menteri besar sudah tentu Islam itu sendiri akan dihormati dan lebih ramai yang menjadikan Islam sebagai pegangan agama," katanya.

    Ketika menyentuh perkara yang sama dalam ucapannya, Nik Aziz berkata beliau sendiri akan mencadangkan mana-mana pemimpin bukan Melayu beragama Islam yang layak untuk menjadi penggantinya. BERNAMA

    Malaysiakini

    Tuesday, December 15, 2009

    Nik Aziz sudi dilantik 'pemimpin rohani' Pakatan - Malaysiakini

    Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia dilantik sebagai 'pemimpin rohani' Pakatan Rakyat setelah gabungan parti pembangkang itu berjaya didaftarkan.

    "Sekarang ini saya dilantik (sebagai) mursyidul am (PAS) oleh jawatankuasa agung (parti). Apa salahnya jika (dilantik) mursyidul am bagi Pakatan Rakyat, tidak ada apa (masalah)," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

    "Hendak dengar (pandangan saya) terima kasih. Tidak (mahu) dengar, (kalau) kata tidak terima (cadangan saya), saya tanya balik, tidak terima kenapa?"

    Nik Aziz diminta mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR yang ditugaskan untuk mengukuhkan Pakatan, yang mengesyorkan Nik Aziz dilantik sebagai "pemimpin rohani" Pakatan.


    Menulis di blognya pada 17 November lalu, bekas menteri itu berkata, syor itu ditimbulkan kerana Pakatan memerlukan seorang seperti tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, yang tidak bercita-cita merebut jawatan perdana menteru, tetapi bergerak atas idealisme perjuangan.

    Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, sekiranya dilantik memegang jawatan itu, beliau akan bersikap terbuka walaupun cadangan-cadangannya mungkin ditolak.

    "Jangan pula orang tolak (cadangan), kita marah. Itu tidak Islamik. Saya acapkali kata, kalau awak tolak Islam dan kalau awak boleh bawa hujah yang kukuh, saya pun tidak mahu Islam.

    "Tetapi awak tolak Islam tanpa ada hujah, hanya begitu-begitu sahaja, mana boleh saya terima?" katanya, Khamis lalu.

    Ditanya sama ada jawatan tersebut akan menambahkan bebannya yang sedia ada, Nik Aziz berkata, tidak mengapa selagi "menambahkan pengikutnya".

    "Saya lebih suka pimpin orang Cina yang berfikiran terbuka daripada pimpin orang Melayu yang tertutup fikiran," tambahnya.

    Malaysiakini

    Wednesday, December 9, 2009

    Saat Nik Aziz dihimpit kontroversi - Malaysiakini

    analisis Sokongan rakyat Kelantan kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat kini amat bermakna, lebih-lebih lagi ketika Tok Guru yang disegani itu berhadapan dengan tekanan baru apabila anggota keluarganya sendiri terseret dalam kontroversi politik di negeri itu.

    BN sedaya upaya mereka menggunakan peluang tersebut bagi meruntuhkan pentadbiran Kelantan bawah PAS dengan memanipulasi isu-isu berkaitan menteri besarnya.

    Namun menurut seorang exco kerajaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan, tekanan yang kini ditanggung tokoh besar PAS itu bukanlah sesuatu yang baru.

    "Sebagai pemimpin, isu-isu ini biasalah (bagi Nik Aziz), sebab dia tentu ada pesaing-pesaing politik. Tapi secara keseluruhannya, apa-apa sumbangan yang dia telah buat itu masih mengatasi apa juga isu melibatkan keluarga atau peribadinya," katanya.

    Beliau bagaimanapun mengakui isu-isu yang berlarutan sejak akhir-akhir ini, termasuk melibatkan penajaan haji dan karenah individu-individu terdekat dengan menteri besar itu boleh mempengaruhi persepsi rakyat terhadap ulama tersebut.

    "Tapi orang masih boleh nampak sumbangan (Nik Aziz) lebih besar daripada isu ini. Kepemimpinannya masih lagi mantap dan diterima oleh rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

    Isu tajaan ini timbul apabila Nik Aziz menyatakan kesudian untuk menerima tawaran mengerjakan haji daripada seorang pengarah sebuah syarikat.

    Penajaan itu dilaporkan turut melibatkan isteri Nik Aziz, anaknya Nik Amalina dan suami Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang bergelumang dalam satu lagi kontroversi.

    Namun, mursyidul am PAS kemudiannya bertukar fikiran pada 13 November selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membuka kertas siasatan kes tajaan berjumlah hingga ratusan ribu ringgit atau RM65,000 seorang.

    "Setahu saya isu ini masih lagi dalam siasatan. Jadi tak boleh kata beliau bersalah," kata Takiyuddin lagi.

    Selain isu tajaan haji, Nik Aziz juga menerima kritikan hebat kerana didakwa mengamalkan nepotisme dengan melantik Abdul Ariffahmi untuk menerajui PMBK September lalu - sehingga mendorong exco Pemuda PAS negeri itu diminta meletakkan jawatannya.

    Abdul Ariffahmi kemudiannya berkata beliau akan menyerahkan notis tiga bulan pada 24 Disember ini, walaupun mengumumkan untuk berbuat demikian sebulan lebih awal, dan peletakan jawatannya berkuatkuasa 23 Mac tahun depan.

    Menurutnya, ia terkandung dalam syarat pelantikannya dulu serta untuk memberi masa beliau menyelesaikan kerja-kerja yang telah diputuskan oleh lembaga pengarah PMBK.

    Bagaimanapun, semalam Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkeras bahawa Abdul Ariffahmi mesti meletakkan jawatan serta-merta bagi memelihara etika korporat.

    Desakan Mahfuz itu selepas muncul pergeseran terbuka antara penulis blog Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz, juga pegawai perhubungan awam PMBK yang telah dipecat oleh Abdul Ariffahmi, dengan Nik Amalina dan suaminya.

    Dalam pada itu, Umno Kelantan pula mengambil kesempatan untuk menekan Nik Aziz agar meletak jawatannya dalam satu demonstrasi awal bulan ini - isunya termasuk ugutan untuk berdoa bala terhadap perdana menteri dan Umno berhubung bayaran royalti petroleum.

    Demonstrasi itu muncul di tengah-tengah himpitan kontroversi yang melingkari Nik Aziz, termasuk dakwaannya "Kolonel Mat" sebagai dalang untuk menjatuhkan beliau - nama misteri yang membuatkan semua pihak tertanya-tanya.

    Rentetan itu, satu perhimpunan balas diadakan selepas tokoh PAS itu menyampaikan kuliah Jumaatnya di Kota Bharu minggu lalu.

    "Kalau kita buat (perhimpunan), orang akan kata begitu (sebagai perhimpunan balas). Tapi kalau kita tak buat perhimpunan, orang akan tanya kenapa tak buat?

    "Ada isu yang perlu kita tunjuk (sokongan), dan ada juga yang kita tak perlu tunjuk. Kita tak perlu pun buat perhimpunan dan rakyat tetap akan sokong kita.

    "Tapi kalau kita tak tunjuk, Umno akan kata mereka betul dan (tuduh) kita cuba sorok isu. Jadi itulah pertimbangan yang kita ambil," kata Takiyuddin lagi.

    Susulan gesaan supaya Nik Aziz meletak jawatan, timbul pula desas-desus siapa pengganti tokoh berkenaan, termasuk seorang exconya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mencadangkan "pelan peralihan kuasa" dibentangkan.

    Exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, yang dianggap anak didik Nik Aziz, pula mengambil sikap enggan menerima jawatan panas tersebut walaupun sering disebut-sebut sebagai pengganti menteri besar.

    Bagaimanapun Takiyuddin menyifatkan isu pengganti juga “soal biasa” kerana jawatan sebagai menteri besar itu secara hirarkinya telah mempunyai pengganti – timbalan menteri besar Datuk Ahmad Yaakob.

    "Pengganti itu soal biasa, apatah lagi bila dalam konteks beliau sebagai MB. Secara (hirarki) beliau sudah ada timbalan. Kalau ada apa-apa yang berlaku, maksudnya pengganti itu sudah ada," katanya.

    Tambahnya, yang dianggap musuh politik Husam, soal pengganti Nik Aziz juga sengaja ditimbulkan pihak tertentu sebagai satu lagi tekanan kepada pentadbiran negeri dan PAS Kelantan.

    "Tapi mungkin isu itu ditimbulkan sebab sesetengah orang nak perkara itu disebut juga supaya lebih jelas, saya tidak mahu sebutlah pihak mana,” kata Takiyuddin.

    "Tapi kalau tidak disebut pun tidak menjadi masalah kepada pentadbiran negeri, dalam PAS atau di kalangan rakyat sendiri.

    "Umno itu tidak usah kiralah. Sebab bagi mereka (Umno), kalau tidak ada tok guru, mudah bagi mereka untuk ambil kembali Kelantan."

    Jelasnya lagi, Kelantan tidak hanya bergantung kepada Nik Aziz kerana negeri itu juga mempunyai barisan pemimpin yang masih mampu meneraju parti dan pentadbiran kerajaan.

    Setiausaha perhubungan PAS negeri Mohd Zaki Ibrahim berpendapat, kontroversi di sekitar Nik Aziz "sudah selesai" tetapi tokoh itu dilihat masih terbeban dengan isu-isu berkenaan kerana ia terus diulas melalui media sehingga memberi gambaran yang tidak tepat.

    "Tok guru sendiri sudah selesaikan isu tersebut. Dia sudah beritahu tidak mahu pergi haji. Ariffahmi juga sudah letak jawatan, jadi dikira perkara ini sudah selesai," katanya.

    "Isu jadi besar bila dimainkan media, ditambah lagi dengan orang Umno yang ambil kesempatan untuk desak dia letak jawatan."

    Malaysiakini

    Monday, December 7, 2009

    Nik Aziz: Umno dalam keadaan 'lemas' - Malaysiakini

    Ahli dan penyokong PAS yang penuh sesak membanjiri Dewan Ustaz Fadhil Noor, di Markas PAS di Taman Melewar malam tadi beramai-ramai menyatakan sokongan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus memimpin Kelantan.

    Sebelum menteri besar itu menyampaikan ucapan, pengerusi majlis, Tarmizi Mat Jam meminta lebih 1,000 hadirin supaya bangun dan dewan tersebut bergema beberapa kali dengan laungan"Kita Sokong Tok Guru Nik Aziz" dan "Sokong Tok Guru" dan diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali.

    Tarmizi yang juga naib yang dipertua PAS Batu mengetuai acara tersebut pada kira-kira jam 11 malam sebelum Nik Aziz menyampaikan ucapan bersempena menyambut perayaaan jubli perak PAS kawasan tersebut.

    Laungan itu berlangsung selama lima mini, yang turut disertai beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat antaranya, ahli jawatankuasa PAS pusat, Mohamed Hanipa Maidin; yang dipertua PAS Batu, Ishak Surin; ahli parlimen Batu, Tian Chua; pengerusi Kelab Penyokong PAS India, Balasubramaniam serta bekas pemimpin PAS Hassan Shukri dan Subky Latif.

    Tarmizi berkata, ia sebagai kesinambungan kepada sokongan rakyat Kelantan yang ditunjukkan kepada Nik Aziz Jumaat lalu.

    Beliau berkata, pada mulanya pihaknya bercadang mengedarkan lilitan kepala kepada hadirin - seperti yang dilakukan oleh penyokong menteri besar di Kelantan, Jumaat lalu.

    Bagaimanapun, jelasnya, hasrat tersebut tidak kesampaian ekoran kesuntukan masa untuk menyiapkan lilitan tersebut.

    Nik Aziz yang juga pesuruhjaya Kelantan dilihat tersenyum dan gembira dan kemudiannya kelihatan bersemangat untuk menyampaikan ceramahnya.

    Semangat berucap

    Dalam ucapannya, beliau menyifatkan Umno kini berada dalam keadaan "lemas" dalam usaha mereka untuk merampas semula Kelantan dari PAS dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain.

    Katanya, walaupun menyedari mereka berada dalam keadaan begitu, Umno masih "meraung-raung" dengan pelbagai cara bagi mencapai cita-cita mereka mengambil semula negeri itu.

    "Oleh kerana mereka dalam keadaan lemas, mereka meraung-raung bermacam-macam, termasuk tuduhan yang dilemparkan kepada saya.

    "Dia (Umno) tengok saya berserban, tidak pandai memerintah negeri dan saya pakai jubah tak tahu apa-apa pun. Jadi tuduhan itu macam-macam. Dia tahu bahawa dia sedang lemas.

    "MCA (sekarang) kacau bilau sedangkan MCA jadi tongkat (BN) sebelah kanan. MIC, jadi tongkat kiri, kini jadi kacau bilau. Oleh kerana tak tahu nak buat apa, mereka lempar tuduhan kepada saya," kata Nik Aziz.

    Nik Aziz mengulas mengenai situasi politik terkini yang hadapinya termasuk demonstrasi yang dianjurkan oleh Umno minggu lalu yang mendesak beliau melepaskan jawatan berhubung isu doanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    'Umno lemas'

    Dalam ceramahnya malam tadi itu, Nik Aziz berkata Umno kini berada dalam keadaan 'lemas' dengan memberikan beberapa situasi dalam politik parti itu, antaranya Umno Terengganu berpecah kepada dua kumpulan dan krisis di Perak di mana berlakunya usaha perebutan merampas kerusi speaker DUN.

    Mursyidul am PAS itu juga mengumpamakan Umno sebagai seorang ‘datuk yang cuba memujuk cucunya yang tidak mahu berhenti menangis setiap pagi'.

    "Oleh kerana mahu cucunya senyap (dan) tidak menangis, dia kata, burung, burung, Nik Aziz, Nik Aziz," katanya, yang membuatkan kira-kira 1,000 hadirin ketawa dan memberi tepukan .

    Menurut Nik Aziz, Umno juga berada dalam keadaan terdesak apabila mereka membuat rayuan menangguh pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong.

    "Kota Siputeh itu kawasan dia. (Ia) telah dikosongkan oleh speaker dan mahkamah bersetuju (bahawa) speaker ada kuasa penuh (untuk isytihar kerusi itu kosong).

    "Speaker itu umpama pengadil dalam perlawanan bola sepak. Kalau (keputusan) pengadil boleh dibantah lagi, tak main bola lah, kita panggil berlaga betih lah," kata Nik Aziz yang mencuit hati para hadirin.

    "Keputusan speaker kita nak tolak macam mana, dia raja. Dalam DUN dan parlimen, speaker adalah raja. Dalam padang bola pengadil jadi raja. Begitu logiknya," tambahnya.

    Program BTN

    Menurut pesuruhjaya PAS Kelantan itu, Umno juga kini berada dalam keadaan 'lemas' apabila terdapat pendedahan yang mendakwa program anjuran Biro Tatanegara (BTN) mempunyai unsur perkauman.

    "Kerja dia bertahun-tahun, hilang sekelip mata kerana rahsia BTN ini bukan untuk menyelamatkan negara tapi nak kata orang Melayu (untuk orang) Melayu dan orang Cina (untuk orang) Cina," katanya.

    Setakat ini, kerajaan Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang mengarahkan pegawai dan kakitangannya supaya tidak menghadiri kursus anjuran biro tersebut.

    Mengulas isu doanya supaya Allah membetulkan pandangan Najib yang juga presiden Umno berhubung isu royalti minyak kepada Kelantan, Nik Aziz berkata, adalah untuk menjadi tugas orang yang dizalimi berdoa kepada Allah agar mendapat haknya kembali.

    "Buat apa perkara yang jahat atas muka dunia, musnahkan. Lepas tu marah. Habis nak cakap macam mana lagi, nak tolong orang jahat. Ya Allah tolong lah orang jahat, mana boleh.

    "Beliau (Najib) nak beri (royalti) beri. Kalau tak beri, beliau berdepan dengan kemusnahan," katanya,

    Bahkan, kata Nik Aziz, doa orang kafir yang dizalimi mustajab disisi Allah SWT.

    Malaysiakini

    Monday, November 23, 2009

    Menantu Nik Aziz letak jawatan - Malaysiakini

    Menantu tokoh PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilanda kontroversi sejak dua minggu lepas meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

    Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menjadi fokus kontroversi apabila memecat Syed Azidi Syed Abdul Aziz, seorang pegawai kanan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

    Beliau, exco Pemuda PAS Kelantan, mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media hari ini.

    Surat rasmi peletakkan jawatan tersebut bagaimanapun belum diserahkan, katanya ringkas kepada Malaysiakini.

    Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau juga enggan mengulangi kenyataannya dalam sidang akhbar tersebut.

    Sementara itu, menurut media rasmi PAS, Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar ingin "menasihati" menantunya agar melepaskan jawatan tersebut.

    Persetujuan itu dilaporkan diumumkan Nik Abdul Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin kanan PAS di kediaman rasmi menteri besar 10 pagi tadi.

    Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din, Naib Presidennya Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung Dr Hatta Ramli, laor Harakahdaily.net.

    "Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Abdul Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan," laporan akhbar web itu dipetik.

    Malaysiakini

    Friday, November 13, 2009

    Nik Aziz batal hasrat ke tanah suci - Harakah

    KOTA BHARU, 13 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji ke tanah suci 18 November ini.

    Menurut laporan beberapa blogger Kelantan, Nik Aziz mengumumkan perkara itu sewaktu menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu pagi tadi.

    Perkembangan terbaru itu didakwa ada kaitan dengan serangan pihak tertentu yang mempolemikkan tajaan untuk beliau mengerjakan haji.

    Namun difahamkan, Nik Aziz tidak menyatakan sebab sebab pembatalannya itu dan hanya menyatakan beliau dan menantunya telah di fitnah dan di khianati.

    Nik Aziz sebelum ini dilaporkan mengakui menerima pembiayaan untuk menunaikan ibadah haji bernilai RM65,000 selama dua minggu.

    PAS kelantan sebelum ini mempertahan Nik Aziz yang menerima tajaan tersebut kerana menganggapnya biasa berlaku kepada orang alim dan guru-guru pondok di negeri itu.

    Mereka juga yakin, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membangkitkan isu itu adalah sekadar mencari modal politik.

    Harakah

    Tuesday, November 10, 2009

    Bai'ah talak: "Tiada dalam kepala saya"-Nik Aziz - Harakah

    KOTA BHARU, 10 Nov: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa isu bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga, segaja ditimbulkan oleh pihak yang dengki kepada PAS.

    Dalam satu sidang media di pejabat Menteri Besar Kelantan siang tadi, Nik Aziz memberitahu perkara itu tidak ada dalam pengetahuan beliau dan tidak pernah kedengaran di negeri itu.

    “Benda ni tak ada dalam kepala saya, tidak ada bai’ah -bai’ah (talak tiga) ni, tidak ada bunyi khabar pun benda ni di Kelantan,” katanya.

    Isu tersebut dakwanya dicetus pihak sekular anti Islam yang berusaha mencari jalan untuk menggugat kedudukan PAS.

    PAS yang sedang berkembang menjadi sebuah parti Islam yang diterima semua kaum sudah pasti dicemburui oleh pihak lawan.

    Yang ada ujarnya sekadar bai'ah biasa bagi menunjukkan taat setia seperti akujanji yang dilaksanakan terhadap kakitangan awam.

    "Mana ada parti ke, kakitangan kerajaan ke yg tak buat bai'ah ni.....mcm aku janji lah, semua ada buat tapi tak sampailah bai'ah taklik," ujarnya lagi.

    "Kita kahwin dengan orang pun ada tanda tangan, ijab qabul, qabul tu baih'a lah," katanya.

    PAS minggu ini dipalit pula dengan dakwaan melaksanakan bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga kepada wakil rakyat mereka sekiranya berhenti dan keluar daripada parti itu.

    Selain Nik Aziz, setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini juga menafikan wujudnya bai'ah taklik tersebut dan beliau diberi tanggungjawab untuk menyiasat dakwaan terbaru itu.

    Isu ini dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger.

    Kemudianya pula mendapat respon dari muslimat PAS dan dilaporkan secara besar-besaran oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

    Harakah

    Friday, October 16, 2009

    Anwar sebagai PM,Umno tiada hak! - Harakah

    KOTA BHARU, 15 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata Pemuda Umno tidak ada hak untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu bukan berada dalam parti itu.

    "Kalau Umno nak ikrar, ikrar gilah, Anwar Ibrahim bukan orang Umno.

    "Kalau Umno kalah mesti naik orang lain. Kalau Pakatan Rakyat (PR) menang, dia nak buat apa,"katanya.

    "Umno nak ganggu orang lain apa kerja? Dia betul orang dia sudahlah. Kat situ pun dah tak kena,"katanya lagi.

    Sewaktu ditanya, adakah PAS boleh menerima Anwar sebagai Perdana Menteri, Tuan Guru memberitahu, perkara itu bukan terletak pada PAS sahaja.

    "Bukan PAS seorang sahaja, tetapi Pakatan, apabila Pakatan setuju pada satu orang, mahu tak mahu kita terimalah,"tegasnya.

    Tuan Guru berkata demikian selepas Majlis Sambutan Ulangtahun Ke 19 Pelancaran Kutipan Derma Akauan Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah), di Kelantan Trade Center (KTC), di sini sebentar tadi.

    Semalam Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berikrar akan sedaya-upaya menghalang kemaraan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

    "Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar ? seorang chameleon politik, sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam.

    "Tetapi Umno dan Pemuda Umno ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya," kata Khairy dalam ucapan sulungnya dalam perhimpunan pergerakan pemuda semalam._

    Harakah

    Thursday, October 15, 2009

    Kalah kerana belum cukup terangkan perjuangan parti-Nik Aziz - Harakah

    KOTA BHARU, 14 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kekalahan di Bagan Pinang kerana jentera PAS tidak mempunyai cukup masa menerangkan dasar dan perjuangan parti dan melebihkan serangan peribadi terhadap calon Umno.

    Menurut Nik Aziz, pengalamannya semasa turun di Bagan Pinang menunjukkan sebahagian pengundi di Dun itu masih belum mengenali PAS secara mendalam.

    Dalam pertemuan dengan pengundi katanya, masih ada di antara mereka menganggap Islam dan PAS itu ganas dan kefahaman itulah menyukarkan PAS untuk menang pada pilihan raya kecil tersebut.

    "Saya sendiri bertemu dengan tuan rumah yang saya pergi baru-baru ni dan mengakui masih tak faham perjuangan PAS ni lagi," katanya.

    "Ramai di antara orang melayu di sana masih beranggapan Islam itu ganas dan PAS juga ganas, ,jadi ini semua memerlukan masa untuk memberi pemahaman kepada mereka," ujar beliau lagi.

    Nik Aziz berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan dekat sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan,Abdul Fatah Harun sebelum ini yang mengakui teknik menyerang pribadi calon tidak diterima oleh pengundi Bagan Pinang.

    Beliau juga berkata rakyat di Negeri Sembilan juga masih jauh untuk memahami perjuangan PAS.

    Kehadiran jentera PAS dari seluruh negara juga mungkin membuatkan mereka berada dalam kebingungan apatah lagi diasak tekanan dari parti lawan dengan hebat.

    Pada PRK Bagan Pinang 11 Oktober lalu, calon PAS, Zulkifly Mohd Omar tewas kepada Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dengan majoriti 5,435.

    Terdahulu, sewaktu berucap pada perasmian Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan, Nik Aziz telah menyelar golongan yang meminggirkan bahasa kebangsaan dan mumuja bahasa lain dalam kehidupan mereka.

    "Bahasa Kebangsaan seharusnya dimartabatkan di seluruh pelusuk negeri dan saya terkilan kerana kini semakin ramai pihak yang tidak bertanggung jawab cuba menaikkan bahasa asing dalam kehidupana harian.

    "Kalau mereka dah sendiri tak peduli bahasa melayu,akhirnya ia akan lenyaplah," ujar beliau lagi.

    Selain penggunaan bahasa asing, pemansuhan tulisan jawi juga turut mengecewakan beliau.

    "Amat dukacita sekali kerana ada menteri berbangsa melayu yang telah membuang tulisan jawi yang jelas merupakan satu ciri bahasa kebangsaan kita," katanya.

    Beliau yang mengakui penggunaan bahasa asing di negeri Kelantan juga sedang berlaku dan berharap pihak kerajaan tempatan mengkaji semula perkara tersebut agar ia tidak berleluasa.

    Turut hadir dimajlis pelancaran Bulan Kebangsaan peringkat Negeri Kelantan tersebut ialah Setiausaha Kerajaan negeri,Datuk Mohd Aiseri Alias, Ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan serta pelajar sekolah.-mna_

    Harakah

    Sunday, September 27, 2009

    Nik Aziz: Umno BN Jangan Eksploitasi Pengundi Pos di Bagan Pinang - TVA

    Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengingatkan Umno Barisan Nasional (BN) tidak mengeksploitasi pengundi pos di pilihan raya kecil Bagan Pinang yang akan berlangsung pada 11 Oktober ini.

    Beliau berkata dengan jumlah undi pos yang berjumlah 4,604 orang bagi mempertahankan kerusi berkenaan dilihat boleh menjadi penentu kepada kemenangan parti pada pilihan raya kecil itu.

    Pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 dan daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

    Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

    “Nampak gayanya di mana-mana negeri termasuk Kelantan, undi pos jadi penentu. Jadi sama ada askar dipaksa, tak munasabah, jadi demokrasi macam mana kalau dipaksa atau pun ada seseorang yang khusus pangkah undi untuk orang lain yang tidak tahu hujung pangkalnya.

    “Saya harap telus sebab kita demokrasi, jadi kita belajar demokrasi dari Eropah, tapi betulkah orang Eropah ajar askar macam itu, Eropah tak paksa askar dan polis turut mengikut arahan ketua,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan penceramah parti itu supaya tidak menyerang secara peribadi lawan sepanjang kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang nanti.

    Nik Aziz berkata, secara umum penceramah Pas boleh meyentuh perkara berkaitan dasar tanpa menyentuh peribadi lawan di pentas ceramahnya sepanjang hari berkempen.

    Jelasnya walaupun hari berkempen adalah saat yang perlu digunakan sepenuhnya oleh semua pemimpin parti tetapi tidak bermakna peluang yang ada itu disalahgunakan dengan menyerang secara peribadi.

    “Saya tak suka sentuh peribadi, hal peribadi kenapa nak beritahu orang lain, kalau sentuh perangai secara umum itu tak pa.

    “Kita sebut rasuah politik, sebut rasuah itu haram dalam agama dan demokrasi, nak sebut secara umum taka pa, jangan tuju sesiapa dan kalau hendak sebut juga, jumpa orang itu sendiri,” katanya

    TVA

    Wednesday, September 16, 2009

    Perarakan di London lebih bertamadun - Nik Aziz - Harakah

    KOTA BHARU, 15 Sept: Walaupun bimbang adanya dalang di sebalik tunjuk perasaan memperingati tragedi runtuh menara berkembar World Trade Centre (WTC) di London 11 September lalu, PAS menyifatkan ia lebih bertamadun berbanding perarakan kepala lembu di Shah Alam

    Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perarakan di Shah Alam tidak bertamadun kerana ia membangkitkan isu perkauman dan penghinaan terhadap agama lain.

    Baru-baru ini demonstrasi antiIslam diadakan berdekatan Masjid Utama Harrow, barat laut London dianjurkan Pertubuhan Hentikan Pengislaman Eropah (SIOE).

    Seorang anggotanya, Stephen Gash dilaporkan menegaskan tidak mahu sebarang masjid dibina sehingga isu kebencian diselesaikan.

    Demontrasi itu mencetuskan kemarahan kira-kira 1,000 pemuda Islam sehingga berlaku ketegangan antara kedua-dua pihak sehingga memaksa polis menahan 10 orang yang terlibat ketika menyuraikan keadaan.

    Kebimbangan mengenai keganasan kian meningkat selepas berlaku pergaduhan ketika perarakan menentang fundamentalisme Islam oleh sebuah kumpulan pelampau kanan, Liga Pertahanan England di Birmingham.

    Nik Aziz Khuatir kalau-kalau demonstrasi didalangi Yahudi yang mahu melaga-lagakan penganut agama Islam dan Kristian.

    Menteri Besar Kelantan itu berkata, sejarah menunjukkan terdapat seorang rabbi Yahudi mengakui menjadi punca kepada setiap kejahatan yang berlaku.

    "Hal ini dicatatkan dalam sejarah pada zaman Rasulullah saw, di mana terdapat seorang paderi Yahudi yang bernama Kaab bin Ashraf pernah memberitahu mengenai perihal pengakuan kejahatan yang dilakukan pihaknya.

    "Semua peristiwa itu terakam dalam ayat 51, surah An Nisa'," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

    Oleh itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan penglibatan Yahudi yang cuba untuk melaga-lagakan antara golongan Kristian dan Islam di London.

    "Benarlah Yahudi merupakan golongan penghasut untuk mengadu domba dengan menggunakan pelbagai alasan yang remeh-temeh.

    "Tunjuk perasaan yang berlaku di London sebenarnya bukan masalah keganasan yang dituduh terhadap umat Islam tetapi ia merupakan dendam kesumat golongan yang tidak suka kepada Islam," katanya.

    Beliau juga berkata, keganasan sengaja dibangkitkan pihak tersebut sebagai kerana Islam kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat di seluruh dunia.

    Menurutnya puak pelampau terbabit sengaja menggunakan alasan memperingati tragedi serangan 11 September untuk menanam kebencian terhadap Islam.

    Beliau juga berharap pendakwah-pendakwah Islam di London dan Eropah tidak lagi mengharap pendakwah yang datang daripada luar untuk menyebarkan agama suci itu di tempat mereka.

    "Bahkan suatu hari nanti kita akan melihat orang-orang Inggeris menjadi pendakwah sesama mereka, lebih-lebih lagi orang Inggeris memiliki pemikiran yang terbuka," katanya.

    Beliau juga mahu perbezaan agama diselesaikan menerusi perbincangan secara ilmiah. _

    Harakah

    Monday, August 24, 2009

    Isu Syurga: Nik Aziz saman tiga media pro Umno - Harakah

    BUKIT MERTAJAM, 23 Ogos: Laporan serangan yang dikiraa fitnah tiga media pro Umno ke atas peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya berhenti, apabila Mursyidul Am PAS itu mengambil tindakan undang-undang ke atas ketiga-tiganya.

    Penasihat Undang-Undang PAS Mohamed Hanipa Maidin pagi tadi menjelaskan Nik Aziz mahu ketiga-tiga media terbabit menarik semula kenyataan 'isu Surga dan Islam Palestin' serta memohon maaf secara terbuka dalam masa tujuh hari kepada anak guamannya itu; sekiranya tidak mahu saman itu diteruskan.

    Masa yang diberikan adalah prosedur biasa dalam perundangan dan Hanipa menjelaskan bahawa tuntutan guamannya itu tidak terikat pada masa pilihanraya kecil Permatang Pasir; iaitu sehingga 25 Ogos depan.

    Sambil menyifatkan laporan-laporan terbabit berniat jahat (mala fide), Hanipa menjelaskan bahawa ianya berbeza dengan pendedahan yang dilakukan PAS ke atas calon Umno Rohaizat Othman.

    "Berbeza dengan pendedahan yang dibuat (ke atas) Rohaizat. Apabila kita mempertikaikan kredibiliti Rohaizat (calon Umno), kita (PAS) mempunyai bukti-bukti dan kita tidak bercakap tanpa bukti-bukti. Bukan kita bercakap dengan ambil kenyataan yang kita reka (manipulasi)."

    "Mereka menyerang (peribadi) tanpa mengenal pasti apakah kenyataan sebenar Tuan Guru (Nik Aziz). Itu adalah (laporan) mala fide (berniat jahat) tiga media terbabit."

    Tambahnya lagi, Nik Aziz sudah memohon injunksi supaya kenyataan-kenyataan yang memfitnah dirinya tidak lagi disiarkan media-media terbabit.

    "Jadi, kita harap dengan pendedahan terbaru Tv3 tentang apakah rakaman sebenar yang dibuat Tok Guru (Nik Aziz), supaya menghentikan segala serangan peribadi ke atas Mursyidul Am PAS."

    Hanipa turut menafikan bahawa anak guamannya berkata - ahli-ahli Umno tidak akan pergi syurga ataupun mengatakan Umno melaksanakan 'Islam Palestin'.

    "Beliau (Nik Aziz) tahu apa yang beliau cakap. Beliau tidak akan menggunakan perkataan ahli-ahli Umno bila bercakap isu ini," katanya.

    Ditanya adakah tindakan saman tersebut strategi PAS untuk menakut-nakutkan media atau lubuk mengumpul kekayaan, Hanipa mengatakan Nik Aziz bukanlah 'mata duitan'.

    "Saya berasa dia (Nik Aziz) bukan begitu. Kita (saman) bukan untuk tujuan mencipta kekayaan semata-mata, tapi cukup (sekadar) membersihkan (fitnah) dirinya (Nik Aziz)."

    Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkifli Ahmad waktu mencelah, menjelaskan bahawa pihak media tidak perlu gusar kerana tindakan itu khusus untuk laporan yang tidak bertanggungjawab sahaja.

    "Ini (saman) bukan untuk mengancam hak kewartawanan untuk melaporkan berita secara bebas dan adil. Yang mahu kita tangani sekarang adalah suatu 'kewartawanan jahat'."

    "Ini pun kita (PAS) beri peluang untuk mereka (Utusan Malaysia, Berita Harian dan Tv3) memohon maaf. Jangan salah faham (kononnya) Pakatan (Rakyat) sudah anti media dan sebagainya," jelas Dr Dzul.

    Bercakap dalam sidang media sebelumnya, Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar menyifatkan amalan fitnah dan pembohongan media-media terbabit sama seperti 'penagih yang kehabisan bekalan dadah untuk terus hidup'

    "Ini sudah menjadi makanan harian. Ini adalah dadah yang menjadi ketagihan Umno. Kalau tidak mengfitnah, manipulasi dan berbohong; tidak boleh buat (hidup) seperti penagih yang kehabisan bekalan dadah."

    "Apa yang berlaku ini membuktikan fitnah dan pembohongan adalah amalan Umno Barisan Nasional."

    Semalam, Buletin TV3 mendedahkan rakaman sebenar kenyataan Nik Aziz.

    "Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik (bukan Palastin). Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO.?

    Sejak seminggu lalu, beberapa media arus perdana melaporkan Nik Aziz - "anggota Umno tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin".

    Bagaimapun, Nik Aziz sudah menafikan laporan-laporan itu 2 hari kemudiannya.

    Tinjauan rambang yang dibuat mengatakan bahawa dua fitnah yang dikenakan ke atas peribadi Nik Aziz itu adalah suatu teknik pembinaan ikon kebencian (icon of hatred), setelah beberapa pihak terbabit gagal membunuh karektor calo PAS Ustaz Mohd Salleh Man yang dikenali bersih, bercakap benar, amanah, toleransi dan berpegangan agama.

    Ada juga mengatakan apa yang berlaku itu, sekadar usaha menyamakan Salleh dan calon kontroversi Umno Rohaizat Othman. _

    Harakah

    Islam plastik bukan Islam Palestin - Harakah

    KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Laporan media kononnya Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Umno mengamalkan 'Islam Palestin' jauh sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Mursyidul Am PAS itu.

    "Yang dimaksudkan oleh Tok Guru adalah 'Islam plastik' bukan Islam Palastin," kata Exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

    Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku karangan Nik Aziz, 'Dengan NamaMu aku hidup, Asmaul Husna' di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) pagi tadi.

    Husam menyatakan hal ini di tengah-tengah pengunjung yang lebih 80 peratus dari mereka adalah Cina kerana Bookfest 2009 adalah anjuran sebuah rangkaian kedai buku, Popular Book yang memberikan fokus kepada orang Cina.

    Husam dipercayai mengulas laporan media yang melaporkan Nik Aziz menganggap Islam yang diamalkan Umno sebagai Islam Palestin. Ia telah dianggap oleh para pemimpin Umno kemudiannya sebagai PAS menghina Islam yang diamalkan oleh penduduk negara yang sedang bergolak itu.

    "Apabila saya baca transkrip kenyataan Tok Guru, media membuat laporan yang salah apabila berkata dia mendakwa Umno laksana Islam Palestin. Sebenarnya Tok Guru kata Islam plastik bukan Islam Palestin.

    "Jauh tu beza antara Islam Palastine dengan Islam plastik," kata Husam dalam ucapannya itu.

    Husam tidak mengulas apa itu Islam Plastik tetapi difahamkan ia adalah Islam tidak asli sebagaimana beza antara bunga plastik dengan bunga asli.

    Husam dalam ucapannya juga berkata, buku yang ditulis oleh Nik Aziz berdasarkan kuliah beliau ini adalah satu ilmu yang ditulis berdasarkan ilmu dan amalan yang dilakukan oleh Nik Aziz dalam membentuk masyarakat negara ini.

    Buku ini, katanya, bakal menjadi warisan sejarah yang akan dihargai oleh semua kaum di negara ini.

    "Saya percaya buku ini bakal menjadi khazanah besar apabila penulisnya sudah tidak ada nanti. Jadi ambillah kesempatan semasa penulisnya hidup untuk membaca ilmu yang sangat luas ini," katanya.

    Beliau mencadangkan agar buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin selain Inggeris dan Tamil.

    Beliau juga mencadangkan agar semua pihak membaca buku mengenai nama-nama Allah ini khasnya ahli politik, peniaga, wartawan dan sebagainya agar ilmunya dapat membetulkan manusia.

    "Saya percaya media perkauman yang ada di negara ini akan berubah kalau memahami dengan baik nama-nama Allah ini. Mereka jadi begitu kerana tidak diikat oleh Asmaul Husna Allah," katanya. _

    Harakah

    Tuesday, August 18, 2009

    Nik Aziz mahu saman pemutar belit kenyataan beliau - Harakah

    KOTA BAHRU, 18 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak media yang memutar belit kenyataannya dengan mendakwa beliau berkata "ahli Umno tidak masuk syurga".

    "Saya akan berbincang dengan peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana media yang telah menokok tambah kenyataan saya," katanya sewaktu sidang media di pejabatnya tadi.

    Beliau berkata demikian kepada media sebagai menenafikan laporan akhbar hari ini yang melaporkan kenyataannya bahawa "Ahli Umno Tidak Akan Masuk Syurga", di pejabatnya tengahari tadi.

    Sebuah akhbar harian menyiarkan di muka depan kononnya Nik Aziz berkata, ahli Umno tidak akan masuk syurga.

    Sebelum ini, akhbar yang sama telah memohon maaf kepada Nik Aziz di muka depannya kerana mentyiarkan kenyataan yang salah tentang Nik Aziz.

    Nampaknya, Nik Aziz terpaksa sekali lagi mengambil pendekatan saman terhadap akhbar ini.

    "Saya biasanya mengunakan perkataan penyokong Umno, saya tidak mengunakan ahli Umno. Penyokong lain, ahli lain.

    "Saya tidak pernah menyentuh mengenai ahli-ahli Umno, tetapi saya menyentuh dasar yang dibawa oleh Umno," katanya lagi.

    Tambahnya lagi, memang mana-mana orang Islam yang mengasingkan Islam dan iman mustahil akan masuk syurga.

    "Mana-mana gerakan orang Islam yang hanya mementingkan Islam sahaja tanpa iman, memang mustahil masuk syurga, itu yang saya sebut, tidak langsung maksudkan anggota parti Umno," tegasnya.

    Sambungnya lagi, beliau juga turut menafikan beliau mendakwa parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

    "Saya tidak sebut langsung tentang Palestin waktu tu, ni semua tak lain tak bukan untuk memburukkan saya dan membiarkan saya ni jadi balah (berkelahi) pula dengan Umno,"ujarnya.

    Ketika diminta mengulas adakah kenyataan beliau sering diputar belitkan kerana musim pilihan raya kecil, Tuan Guru memberitahu beliau memang sedar tentang perkara itu.

    "Kita memang dah tahu dah cara (taktik) parti ni, memang macam tu lah,"ujarnya.

    Akhbar perdana sudah jadi akhbar Umno

    Menyentuh kenyataan Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakarian, yang mengulas kenyataannya melalui hanya membaca di akhbar, Nik Aziz berharap agar Harussani mendapat maklumat yang sebenarnya melalui beliau.

    "Sebagai seorang mufti kalau nak buat kenyataan kena tanya saya dahulu iaitu tuan punya cakap.

    "Beliau tidak boleh turut (baca melalui) surat khabar, surat khabar arus perdana sekarang ni surat akhbar Umno, macam mana dia nak buat ulasan menurut surat khabar," ujarnya.

    Nik Aziz juga berharap, agar rakyat di negara ini merdekakan pemikiran dari menurut manusia kepada menurut Nabi Muhamad SAW.

    "Manusia kena menukar pemikiran dari mengikut manusia kepada menurut kepada ajaran Nabi Muhamad SAW,"katanya.

    Harakah