Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Muhyiddin. Show all posts
Showing posts with label Muhyiddin. Show all posts

Thursday, February 11, 2010

Muhyiddin: PERC "bercakap melalui hidung"

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perunding Politik dan Risiko Ekonomi yang beribu pejabat di Hong Kong "bercakap dengan tidak berasas" apabila mereka menggambarkan Malaysia ke arah keadaan yang tidak stabil.

Beliau berkata semua laporan PERC memang ada motif tertentu dengan niat tidak mahu membantu.

"Kita tidak minta mereka bantu kita. Kita bantu diri kita dan kita tidak perlukan komen mereka kerana saya fikir ramai orang lagi tahu dan menilai diri kita sangat objektif. Kita bukan berdasarkan emosi tetapi fakta dan realiti.

"Pada hakikatnya bahawa rakyat Malaysia gembira dan tidak menghadapi sebarang bencana besar atau mengalami kegelisahan kaum di negara ini atau berperang sesama sendiri.

“Jadi, apa yang mereka cakap? Saya fikir mereka mesti "bercakap dengan tidak berasas," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kakitangan Kumpulan Felda di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin juga berkata bahawa laporan PERC itu tidak masuk akal yang dilaporkan oleh mereka yang tidak tahu mengenai negara ini.

"Saya tidak fikir kita perlu bertindak terhadap semua laporan tidak masuk akal itu yang dilaporkan oleh mereka yang tidak tahu mengenai negara ini. Mungkin mereka berada di suatu tempat pedalaman Hong Kong.

"Mereka hendaklah datang ke sini dan kita gembira untuk membawa mereka dan melihat apa itu kestabilan, apa itu keselamatan, apa itu perang, apa itu kegelisahan," kata beliau.

Dalam laporan itu, PERC memberikan contoh beberapa perkembangan di Malaysia, termasuk kehilangan enjin jet tentera, penahanan suspek pengganas dari beberapa negara Afrika dan Timur Tengah, percubaan membakar gereja dan surau serta perbicaraan liwat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berjalan.

- Bernama

Malaysiakini

Tuesday, October 6, 2009

Dakwaan Kelantan mundur, Idris jawab Muhyiddin - Harakah

TELOK KEMANG, 6 Okt: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membandingkan jumlah banglo Melayu di Kuala Krai dan di Pagoh terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan kononnya Kelantan adalah negeri yang mundur, kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad.

"Saya percaya Muhyiddin sebelum ini berulang alik ke Kuala Krai untuk berkempen dalam pilihan raya kecil Manek Urai.

"Saya harap dia ada mata untuk melihat berapakah jumlah banglo Melayu di sekitar pekan Kuala Krai dan sebagai wakil rakyat Pagoh, cuba kira berapa banyak pula banglo Melayu di sekitar pekan Pagoh. Saya tidak mahu sebut Pasir Mas kerana bimbang tidak padan dengan Pagoh."

"Selepas itu, baru bercakap tentang soal pembangunan di Kelantan," kata beliau.

Idris juga menjemput Muhyiddin dan juga calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang turut memperkecilkan pembangunan di Kelantan melawat negeri itu.

"Tak perlu susah-susah buat kajian sana-sini. Muhyiddin dan Isa bawa payung dan kerusi, selepas itu duduk depan Tesco di Kota Bharu untuk melihat sendiri kuasa beli rakyat di negeri itu."

"Setiap hari minggu Tesco Kota Bharu memungut lebih RM1 juta sehari sehingga ia bercadang hendak menambahkan cawangannya di Kelantan sedangkan Tesco di Kuantan, di negeri perdana menteri sendiri, telah ditutup akibat masalah ekonomi setempat.

"Kalau Kelantan mundur seperti yang digambarkan oleh Muhyiddin dan Isa, rakyatnya tidak akan mempunyai kuasa beli sedemikian rupa," kata beliau.

Menurut Idris, beliau sengaja tidak mahu mengemukakan statistik untuk menyedarkan Muhyiddin kerana beliau tidak yakin Timbalan Presiden Umno itu sanggup mendedahkan statistik tentang kadar kemiskinan di negara ini.

"Jawapan perdana menteri di Dewan Rakyat pada 3 September 2007 menunjukkan dengan jelas bahawa bilangan isi rumah dalam kategori miskin tegar di Perak, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak ternyata lebih besar berbanding negeri Kelantan."

"Muhyiddin buat apa ketika statistik itu dinyatakan di Dewan Rakyat? Tidak datang ke dewan? Tidur?" beliau mempersoalkan.

Berdasarkan jawapan perdana menteri di Dewan Rakyat itu, Sabah mempunyai bilangan isu rumah dalam kategori miskin tegar yang tertinggi iaitu 32,297, diikuti Terengganu (8,300), Perak (5,730), Sarawak (5,243) Kedah (4,938) dan Kelantan (3,550).

"Ketika perdana menteri memberikan statistik itu, Terengganu, Perak dan Kedah semuanya berada di bawah pemerintahan BN.

"Lebih buruk lagi, statistik itu juga menunjukkan BN sengaja membiarkan Sabah dan Sarawak mundur sedangkan rakyat Sabah dan Sarawaklah yang paling setia dengan BN," kata Idris.

Beliau walau bagaimanapun yakin rakyat di Bagan Pinang tidak akan terpengaruh dengan sikap bodoh sombong kedua-dua pemimpin itu. _

Harakah

Friday, September 4, 2009

Ramai ADUN Umno boikot Muhyiddin? - Malaysiakini

Dua tokoh utama dalam kumpulan ADUN Umno Terengganu yang menentang menteri besar tidak hadir di majlis untuk merapatkan barisan kepemimpinan negeri yang disertai timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Mantan menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha perhubungan negeri Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno bahagian Hulu Terengganu itu, lapor Bernama.

Ketika Umno negeri itu dilanda krisis berpanjangan, termasuk desas-desus sembilan wakil rakyatnya ingin melompat menyertai PKR untuk bergabung dengan lapan ADUN PAS, ketiadaan mereka menimbulkan pelbagai spekulasi.

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalannya Datuk Ahmad Said, yang juga menteri besar, hadir di majlis yang disifatkan sangat penting itu.

Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Muhyiddin dipetik berkata kunjungan dan perjumpaannya ini dengan pemimpin Umno negeri "adalah kritikal" bagi memastikan hubungan dan kerjasama antara mereka terus mantap bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sambil mengakui memang wujud krisis dalaman parti itu di Terengganu, Muhyiddin berkata masalah itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau sendiri menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan dua kumpulan tersebut, antara pemimpin pro-Idris dengan pro-Ahmad.

Tambahnya, lapor agensi berita itu lagi, sebagai sebuah negeri yang disifatkan sebagai "kubu kuat" Umno selepas pilihan raya umum lepas, hubungan dan kerjasama antara pemimpin parti perlu diperkukuhkan kembali di Terengganu.

"Saya tidak melihat ia satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Semua isu yang berbangkit, (melibatkan) hubungan antara kita... bukan ada orang luar nak kacau dan sebagainya.

"Saya melihat Umno dan BN perlu kukuh dan bersatu padu... Terengganu merupakan negeri yang penting kepada kita dan mahu kedudukan ini terus kekal. Sebab itu kedudukan politik dan parti amat mustahak diberikan perhatian," katanya.

Muhyiddin juga percaya tiada wakil rakyat Umno di negeri itu akan
bertindak untuk keluar daripada parti itu kerana mereka merupakan pemimpin yang masih cintakan dan mempunyai semangat yang kuat untuk memperkukuhkan parti.

"Setakat ini, saya tidak dengar (ada pemimpin Umno hendak lompat parti). Saya tidak fikir mereka akan ambil langkah yang boleh merugikan parti," katanya.

Muhyiddin percaya kemelut dalaman itu tidak akan mengancam parti kerana pemimpin-pemimpin yang terlibat hanya menimbulkan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa perkara melibatkan Umno di negeri ini.

Malaysiakini

Wednesday, August 26, 2009

Muhyiddin: Sokongan pada BN tidak berubah - Malaysiakini

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata BN menerima kekalahannya dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir hari ini.

Calon PAS, Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi untuk menewaskan calon BN, Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi. Rohaizat mendapat 5,067 undi.

"Bagi kita, walaupun peratusan yang keluar undi adalah rendah berbanding pilihanraya umum 2008, daripada pemerhatian kita, ada sedikit sahaja perubahan di beberapa peti undi, tapi tidak begitu ketara," kata Muhyiddin.

"Di Permatang Pasir, sikap pengundi nampaknya tidak banyak berubah walaupun masa lawatan-lawatan kita, nampak adalah sedikit sebanyak minat mereka untuk mengundi BN.

"Tapi apa pun, kita terima keputusan ini kerana seperti apa yang diamalkan dalam demokrasi berparlimen. Saya menghormati keputusan rakyat," katanya kepada pemberita malam ini.

Beliau berkata, BN harus memberi perhatian kepada perkara-perkara tersebut serta menganalisa, menilai serta meneliti sokongan masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain.

"(Bagi) majoriti (pengundi) Melayu, jika dibandingkan dengan pilihanraya yang lepas, kita lihat tidak ada berganjak sokongan yang diterima oleh BN," katanya.

Pengundi hantu

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata, proses pilihanraya kecil ini membolehkan BN membuat penilaian dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Menjawab pertanyaan pemberita, beliau berkata, faktor calon mungkin menjadi salah satu sebab kekalahan BN.

"Pembangkang sedikit sebanyak mengekploitasi masalah yang dihadapinya. Tetapi jika diambil kira pada peringkat akhirnya, ada penerimaan, kita kaji (keputusan) tidak banyak berbeza dengan yang lepas," tegasnya.

Ditanya mengenai saranan untuk memperkuatkan Umno dan BN di Permatang Pauh, Muhyiddin berkata:

"Kita harus bekerja keras untuk mendampingi rakyat dan juga pengundi. Kita harus memahami sikap mereka dan hubungan akrab dengan pengundi.

"Kita perlu ambil kira daftar pemilih walaupun SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kata tidak ada pengundi hantu, mungkin ada yang daftar di Permatang Pasir tidak ada di sini.

"Jadi perkara ini harus diberi perhatian oleh kepimpinan umno di Permatang Pauh," tambahnya.

Serangan peribadi

Sementara itu, Rohaizat juga menerima kekalahannya dengan hati yang terbuka.

"Ini adalah suara rakyat dalam amalan demokrasi. Dalam pertandingan, ada yang kalah dan yang menang. Tahniah kepada PAS," katanya.

Ditanya mengenai sokongan yang diterimanya, Rohaizat berkata: "Tidak banyak berbeza dengan sahabat saya yang dahulu.
Sokongan kepada saya masih tetap tidak berubah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedikit kecewa kerana sebilangan penduduk di Permatang Pasir gagal memahami gagasan yang hendak dibawa oleh BN.

Katanya, BN mahu memberi status anak emas kepada Permatang Pasir tetapi ia ditolak oleh pengundi.

Menjawab pertanyaan media, Rohaizat menolak isu serangan peribadi terhadapnya sebagai salah satu faktor kekalahannya.

Katanya, ini kerana jumlah undi yang diperolehinya - berbandingan dengan calon BN dalam pilihahraya umum lalu - adalah lebih kurang.

"Jadi saya rasa ia bukan faktornya," tambah Rohaizat.

Malaysiakini

Wednesday, August 19, 2009

Laporan SPRM Berhubung Kes Gadai Tanah Oleh Tan Sri Muhyiddin - TVA

Angkatan Muda Keadilan menggesa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan isu penggadaian tanah seluas 51,170 hektar kepada Singapura pada tahun 1980 ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor dahulu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mendakwa pengkhianat sebenar adalah Muhyiddin sendiri kerana telah menyalahgunakan harta kerajaan untuk kepentingan parti.

“Terdapat bagaimana Muhyiddin ketika menjadi Menteri Besar Johor telah menggadaikan 51,170 hektar tanah kepada kerajaan Singapura dengan pulangan wang sebanyak RM350 juta ringgit. Perkara ini telah didedahkan oleh bekas setiausaha UMNO, saudara Osman dan perkara ini telah disebut dan diumumkan dalam ceramah Ibrahim Ali bahkan perkara ini menjadi rahsia dan tidak diketahui oleh rakyat Johor ketika itu,” kata Shamsul.

Pendedahan Datuk Ibrahim Ali dalam satu ceramah di Kuala Nerus, Terengganu sekitar pada tahun 2006 itu telah menjadi tanda tanya kepada semua rakyat Malaysia ekoran penyalahgunaan kuasa tersebut sekali gus membayangkan kepada rakyat bahawa pengkhianat sebenar ialah Muhyiddin dan pimpinan UMNO Barisan Nasional.

Shamsul berkata pengakuan ini secara terang-terangan telah membuktikan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan dan ekoran itu AMK menggesa SPRM menyiasat kes tersebut dengan segera.

“Hal ini dilakukan bagi menjawap persoalan-persoalan yang dilaporkan bahawa beliau tidak amanah dan melakukan tindakan-tindakan menggugat negara ini, menyeleweng dan menyalahgunakan wang rakyat. Kali ini kita bukakan bukti-bukti dan kita membuat laporan secara rasmi untuk tujuan itu,” kata Shamsul.

TVA

Tuesday, June 2, 2009

Penanti: Muhyiddin tak iktiraf Khairy pemimpin BN? - Harakah

PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, Pulau Pinang telah berakhir. Bagai dijangka pelbagai pihak sedari awal, keputusan pengundian pada Ahad (31 Mei) lalu memihak kepada Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).

Calonnya, Dr Mansor Othman, menang besar ke atas tiga pencabarnya. Beliau memperolehi 6,052 undi sekaligus mengatasi pencabar terdekatnya, Nai Khan Ari Nan Keow dengan majoriti 5,558 undi.

Ahli parti Gerakan itu mendahulu tiga calon Bebas dengan pungutan tertinggi 494 undi. Di belakangnya ialah Aminah Abdullah (392 undi) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Ketiga-tiga mereka hilang wang pertaruhan.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran perletakan jawatan penyandang kerusi berkenaan dari KeADILan, Mohamad Fairus Khairuddin, 16 April. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Fairus menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi. Calon KeADILan itu memperolehi 7,346 undi berbanding Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh itu yang mendapat 5,127 undi.

Meskipun berjaya meningkatkan majoriti kemenangan lebih dua kali ganda, undi diraih Mansor menampakkan kemerosotan sebanyak 1,294 berbanding pilihan raya lalu. Ia dikaitkan dengan berbagai kemungkinan. Faktor paling menyerlah ialah kemerosotan jumlah pemilih yang keluar mengundi.

Hanya 7,100 daripada 15,384 pemilih berdaftar keluar melaksanakan tanggungjawab mereka, Ahad lalu. Jumlah itu membentuk hanya 46.15 peratus dan merekodkan peratusan mengundi terendah dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Semua pihak boleh bersetuju bahawa faktor utama kemerosotan sebegitu ketara adalah kesan langsung ketiadaan BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mensasarkan tidak kurang 70 peratus pemilih akan keluar mengundi. Pihaknya juga telah membuat kempen menggalakkan orang ramai keluar mengundi.

?Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian awal, ia (peratus keluar mengundi rendah) berpunca daripada keputusan Barisan Nasional tidak bertanding,? kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pendirian BN tak tetap

BN mengambil pendirian memboikot pilihan raya kecil tersebut. Alasan diberikan adalah pelbagai, dari dalih ekonomi, kemasyarakatan hinggalah kepada hujah politik. Sementara pelbagai pihak mempertikaikan segala hujah dan dalih BN itu, pendiriannya untuk tidak bertanding tetap dihormati.
Masalah timbul apabila BN bukan sekadar tidak ikut bertanding. Ia menggunakan segala ruang dan peluang dimilikinya untuk memberikan gambaran sangat negatif terhadap pilihan raya kecil di Penanti. Seluruh saluran media dan alat propaganda BN dimanipulasi secukupnya bagi mewajarkan tindakan BN memulaukan pilihan raya berkenaan.

Persepsi umum cuba dibentuk bahawa ia suatu pembaziran masa, tenaga dan wang rakyat. Malah ia turut digambarkan sebagai suatu mainan politik pembangkang yang memuakkan rakyat.

Sebab itu sejak awal pilihan raya tersebut bermula sudah ada pemerhati dan penganalisis politik meramalkan peratusan keluar mengundi yang rendah. Kebanyakan mereka mengaitkannya dengan sentimen kepartian yang dimiliki para pengundi BN.

Apa pun sikap dan pendirian diambil para pengundi terbabit, ia adalah hak peribadi mereka yang perlu dihormati. Bagaimana pun, apabila ia dikaitkan dengan gesaan dan nasihat berterusan para pemimpin BN agar pemulauan parti itu membuahkan kejayaan, maka tidak dapat tidak perlu diakui bahawa parti itu turut ada saham di atas kemerosotan peratusan keluar mengundi di Penanti.

Hasut pengundi

Apatah lagi media turut menyiarkan kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang secara terbuka menasihatkan pengundi di Penanti agar tidak keluar mengundi.

Akhbar harian pada Khamis (28 Mei) memetik Khairy yang menganggap pilihan raya itu sebagai memperlekehkan institusi demokrasi yang diamalkan di negara ini. Sepertimana para pemimpin BN lain, beliau turut menyandarkan hujahnya atas wewenangan Mohamad Fairus mengosongkan kerusi Penanti.

Saranan itu mendapat reaksi hangat pelbagai pihak. PAS menyifatkan kenyataan itu satu cubaan menghasut pengundi dan meminta SPR mengambil tindakan terhadap Khairy.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menganggap kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan berniat menghalang proses pilihan raya. Beberapa ahli akademik turut mempertikaikan kewajaran kenyataan itu.

Halang bersuara

Dalam reaksinya, Khairy tidak menafikan kenyataannya itu. Sebaliknya beliau menganggap usaha membantah saranannya itu sebagai menghalang hak beliau bersuara. Apatah lagi seruan beliau itu memang bertepatan dengan pendirian BN dan sikap ditunjukkan segenap media kroninya.

Justeru, apabila peratusan keluar mengundi di Penanti benar-benar menjunam ke bawah 50 peratus, semua pihak menuding jari ke arah BN sebagai faktor utamanya.

Amat melucukan, hakikat itu cuba dinafikan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau sebaliknya menegaskan sebarang cubaan mengaitkan peratusan keluar mengundi yang rendah itu dengan BN hanyalah 'gimik' kempen pembangkang.

Apa pun, penafian Muhyiddin itu memberikan dua pengertian. Sama ada beliau memang tidak ambil tahu perbahasan hangat di media berhubung kenyataan Khairy yang menghasut pengundi itu, atau beliau tidak mengiktiraf Khairy sebagai salah seorang pemimpin utama dalam BN._

Harakah

Wednesday, May 20, 2009

Kempen sejuta poskad mansuh PPSMI - Malaysiakini

Selepas menggerakkan ribuan penunjuk perasaan di jalanan awal Mac lalu, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kini mengambil pendekatan kreatif dengan melayangkan sejuta poskad bantahan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut setiausahanya, Hasni Abas, kempen terkini membantah dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) itu diharapkan terus menggemblengkan bantahan rakyat, sebagai kesinambungan kepada demonstrasi 7 Mac lalu.

Katanya, GMP berharap, pelaksanaan kempen itu - dinamakan "Sejuta Poskad kepada Menteri Pelajaran" - dapat memandu Muhyiddin membuat keputusan yang betul dengan memansuhkan dasar kontroversi itu.

"Kalau tiap-tiap hari beliau buka pintu, tengok ada poskad (bantahan), takkan beliau tidak terfikir hendak mansuhkan PPSMI," katanya kepada Malaysiakini.

Hasni berkata, kempen tersebut dilancarkan Jumaat lalu di Pagoh, Melaka oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dalam sebuah majlis ceramah bersama Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi GMP, Dr. Shaharil Mohamad Zain; pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau; Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan beliau sendiri.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kira-kira 2,000 orang menghadiri majlis itu dan seribu poskad telah diedarkan.

Tiada had masa

Pihak yang ingin turut serta, boleh membeli poskad tersebut dari pejabat Teras Pengucapan Melayu (Teras) - sebuah NGO yang bergabung dalam GMP - di negeri-negeri, dengan harga RM1 sekeping.

Hasni bagaimanapun menafikan pihaknya cuba mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan daripada penjualan bahan kempen tersebut.

"Tak ada (buat untung). Kos cetak pun sekeping dah berapa," katanya sambil menjelaskan bahawa buat permulaannya 5,000 keping poskad telah dicetak.

Beliau yang juga pengerusi kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, GMP tidak menetapkan sebarang garis masa bagi program itu.

Bagaimanapun, katanya, ia akan dijalankan "selagi PPSMI tidak dimansuhkan" dan "selagi tidak cukup sejuta poskad dihantar".

Awal bulan ini, kerajaan dilaporkan memerlukan lebih masa bagi menilai perlaksaaan dasar itu kerana "keputusan terhadap isu berkenaan adalah kritikal".

Muhyiddin juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan kajian dan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya sebelum ini.

Menurut beliau, dalam sesi perbincangan tersebut, kadangkala pandangan yang dikemukakan tidak berasaskan fakta dan bukti, sebaliknya apa yang dirasai.


Malaysiakini

Saturday, May 2, 2009

Muhyiddin Pamer "Rolls Royce Diutamakan" - TVAntara



Ketika rakyat sedang bergelut dengan keperitan dan kesengsaraan akibat kehilangan pekerjaan serta punca rezeki angkara kegawatan ekonomi yang melanda negara, ketika itulah pemimpim-pemimpin Umno dan Barisan Nasional memperagakan kekayaan yang mereka diperolehi hasil rompakan dana dan hasil mahsul bumi bertuah ini.

Lihat saja kepada kereta Rolls Royce yang digunakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muyiddin Yassin ketika menziarahi jenazah isteri Ketua Menteri Sarawak, Laila Taib yang meninggal dunia akibat barah payu dara dua hari lepas.

Jelas terpampang "Timbalan Perdana Menteri" pada plat kereta yang berwarna biru muda itu ketka kenderaan itu keluar dari kediaman Taib Mahmud.

Mungkin bukan kepunyaan Muhyiddin, mungkin juga kepunyaan Taib Mahmud, yang digelar dikalangan rakyat negeri Bumi Kenyalang itu "the white-haired Rajah of Sarawak", mungkin juga kereta sewa, semuanya mungkin.

Tetapi yang jelas ke mana perginya slogan mereka yang konon mahu mempertahankan kereta nasional, Proton? Hina sangatkah menggunakan Proton Perdana sekalipun bukan Camry untuk tujuan menziarah orang mati?

Gambar yang diambil oleh Bernama ini jelas memperlihatkan kepada rakyat jelata betapa angkuh dan hipokritnya pemimpin umno dan BN yang melaung-laungkan slogan "Rakyat Didahulukan" sehingga terkeluar anak tekak tetapi pada nada dan hembusan nafas yang sama mempamerkan satu gaya kehidupan yang penuh dengan sifat tamak haloba dan kerakusan harta dunia.

Pada saat rakyat marhaen teraba-raba mencari sesuap nasi bagi menghidupkan anak, isteri serta keluarga dalam kesempitan hidup yang membelenggu kehidupan mereka sang Qarun dan gerombolan pengikut-pengikut terus dibuai dalam kesenangan dan kekayaaan yang melimpah ruah tanpa sedikit pun terasa kesengsaraan yang terpaksa dilalui oleh pak tani, nelayan, pekerja kilang, tukang sapu, pengangkut sampah, buruh kasar, penganggur, peniaga kecil, penjual kueh di tepi jalan dan peniaga gerai makanan dan rakyat yang kais pagi makan pagin kais petang makan petang.

Ketamakan harta benda yang tiada penghujungnya ini jugalah yang merebak kepada ketamakan kuasa sehingga sanggup berkomplot untuk melakukan kudeta menjatuhkan kerajaan negeri Perak yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat untuk memimpin mereka.

Inilah budaya dan kehidupan Umno dan BN yang mahu terus memerintah bumi Malaysia agar mereka boleh terus menyelongkar khazanah dan baitulmal milik rakyat.

Slogan mendahulukan rakyat nyata kosong dan tidak mempunyai isi, kalau ada pun ia adalah pahit dan busuk yang akan meracuni sesiapa sahaja yang memakannya.

Biarlah pemimpin Umno dan Barisan Nasional terus hidup mewah dan berpoya-poya atas hasil rompakan harta rakyat yang mereka tindas dan zalimi. Rakyat melihat dan terus melihat kerenah dan telatah mereka, hatta dalam suasana kematian sekali pun budaya haloba mereka tidak pernah pudar dan malap malah terus marak.

Rakyat akhirnya akan menilai semuanya dan menjatuhkan hukuman yang berat sekali kepada mereka meskipun mereka masih terus mahu berpaut kepada dunia mereka yang penuh dengan kepalsuan.

TVA