Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, March 3, 2009

DUN Perak Lulus Tiga Usul - Siasah


IPOH, 3 Mac: Sidang Dun Perak yang bersidang di satu kawasan lapang berhampiran bangunan Perak hari ini meluluskan tiga usul secara sebulat suara iaitu:-

1) Usul kepercayaan kepada MB Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin.

2) Usul membubarkan Dun Perak,

3) Usul berupa kertas laporan Jawatankuasa Terpilih yang menggantung Datuk Dr Zambry dan enam Exconya.

Usul pertama dan kedua adalah usul yang dibawa sebelum sidang manakala kertas laporan Jawatankuasa Terpilih adalah usul tergempar.

Sidang itu berjalan di kawasan lapang berhampiran Dun selepas 27 Adun dan Speaker tidak dibenarkan masuk ke Dun oleh polis atas arahan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Ipoh meluluskan injunsi untuk menghalang Sidang Dun hari ini tetapi ia diperolehi selepas Dun Perak sudah tamat bersidang.

Dun mula bersidang jam 10.15 pagi dan tamat jam 10.30 pagi. Ia bermula dengan bacaan doa oleh Setiausaha Dewan, Misbahul Munir Masduki dan ditutup dengan cadangan menangguhkan sidang oleh Adun Pasir Panjang yang juga MB, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin.

Injunsi diperolehi oleh BN kira-kira jam 10.45 pagi dan ia dianggap adademik oleh para pemimpin Pakatan Rakyat di sini.


Sumber: Siasah

TV3: Pembohongan terkini, fitnah sensasi

SEMUANYA seperti tidak masuk akal... Bagaimana sebuah stesen penyiaran yang mendakwa sebagai 'market leader' dalam kelompoknya boleh melayan isu picisan tanpa sebarang merit dan kredibiliti. Iklan

Itulah TV3... Stesen penyiaran milik tidak langsung Umno yang bertemakan "Berita Terkini, Hiburan Sensasi".

Sudah hampir seminggu stesen penyiar swasta itu memainkan isu 'ucapan derhaka' seorang ahli Exco Kerajaan Negeri kepada Sultan Kedah kononnya. Maklumat berhubung perkara itu diterima oleh Pemuda Umno negeri khususnya Setiausaha pergerakan itu melalui satu surat layang.

Hanya berdasarkan surat layang itu, TV3 becara bersungguh-sungguh menyiarkan protes Pemuda Umno negeri dan memberikan liputan meluas siri-siri protes itu di rancangan Buletin Utama - program berita waktu puncak TV3.

Apa yang melucukan, hingga saat ini Pemuda Umno negeri dan TV3 gagal mendedahkan butiran spesifik tuduhan mereka. Terbukti Pemuda Umno tidak mempunyai apa-apa untuk didedahkan kecuali sehelai surat layang - tanpa nama, tanpa alamat, tanpa kredibiliti dan tanpa akauntabiliti.

Seperti kata Menteri Besar Kedah, sesiapa sahaja boleh menulis surat layang termasuk Pemuda Umno negeri sendiri.

"Mungkin dia jumpa (surat layang itu) di pasar, orang buang dia ambil, dia tu pula tak ada kerja, dia pun cakap pasai nota tu. Jadi macam mana pulak dia pergi ambil benda yang tak ada sebarang kualiti dimasuk dalam berita dan TV3 pun siar sekali. Tak tahu nak bezakah di antara dialog ni; dua orang bercakap, di mana dialog (itu)?

"Ni cakap-cakap seperti ini dia ada 'malafide' (niat jahat), dia berniat buruk untuk memfitnah sebuah kerajaan dan mengheret Tuanku Sultan dalam kes ini. Kita dukacitalah, patutnya bagi profesional sikitlah dalam hal ini. Sebab itu kita minta polis buat siasatan, orang yang buat laporan ini dia dapat dari mana (nota itu)?

"Mungkin dia sendiri yang buat dia kata orang kata (dibuat pihak lain), mungkin. Benda ni tak layanlah, benda ni kerja budak-budak!" tegas Ustaz Azizan pada sidang media selepas merasmikan Majlis Dialog Industri Dan Program Pembangunan Industri Halal Nasional Peringkat Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar, 28 Februari lalu.

Sambil menyifatkan Pemuda Umno sebagai 'gembala kerbau' kerana hanya tahu berbuat bising, Ustaz Azizan tidak menolak kemungkinan bahawa isu itu sengaja dibangkitkan sebagai persediaan Umno berhadapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bukit Selambau, 7 April ini.

Sebenarnya ini bukan kali pertama TV3 menyiarkan berita bohong tentang kerajaan negeri Kedah. Tentu kita masih ingat menjelang sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Abdul Halim, TV3 telah menyiarkan berita kononnya Menteri Besar Kedah berbelanja mewah kerana menyewa jet eksekutif dalam urusan rasmi. 'Footage' menunjukkan kelibat Ustaz Azizan memasuki pesawat tersebut disiarkan berulang kali oleh TV3.

Tanpa disedari, Ustaz Azizan sebenarnya hanya mengiringi kerabat Diraja Kedah menyampaikan jemputan kepada Sultan Brunei untuk hadir ke majlis sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Abdul Halim. Maksudnya, program itu adalah urusan rasmi istana Kedah dan Ustaz Azizan cuma melaksanakan 'Urusan Diraja'. Maka jelas fitnah yang dilemparkan TV3 itu telah mencemarkan imej istana Kedah khususnya Sultan Abdul Halim.

Diberitakan 'orang kuat' TV3 terpaksa menghadap Sultan Kedah memohon ampun atas keterlanjuran laporan itu. Bagaimanapun hanya beberapa bulan selepas memohon ampun, TV3 kembali mengamalkan tabiat buruk melaporkan pembohongan dan fitnah terhadap kerajaan negeri.

Ustaz Azizan menyifatkan isu terbaru yang dimainkan TV3 dan dilakonkan Pemuda Umno negeri itu sebagai tindakan mencari publisiti murahan dan kebudak-budakan serta berniat jahat.

"Kerana kerja tu kerja tak ada asas, kalau ada asas tak apa juga. Ini tak ada tandatangan, yang tak ada tandatangan tu dia pergi cakap. TV3 Kuala Lumpur pun tak layan dah (kerja macam ini), TV3 Kedah saja layan; tak berapa cerdik, buat rugi masa saja," bidas beliau.

Menurut Ustaz Azizan, Tuanku Sultan pun tahu yang buat kerja ni orang bodoh.

"Tuanku tak layanlah, kalau orang cerdik Tuanku layanlah. Orang bodoh nak layan buat apa, kalau kita layan orang bodoh kita pun bodoh macam dia juga.

"Tambah budak-budak (Pemuda Umno), susu mak dok ubuh di mulut lagi tu, baru habis susulah orang kata, baru berhenti menyusu saja. Biarlah... budak-budak.

"Hari tu dia (Pemuda Umno) melompat di Parlimen, kepung Karpal Singh. Tempik macam nak runtuh Parlimen tu, Karpal Singh jentik pun tidak. Patutnya jatuh Karpal Singh tu (dikerjakan mereka). Ini (buat) bising macam gembala kerbau!" sindir beliau disambut gelak ketawa wartawan yang hadir.

Buat masa ini TV3 akan terus memperlihatkan kebodohannya untuk memperbodohkan orang kampung. Isu tanpa kredibiliti akan terus dimainkan asalkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dapat diburuk-burukkan.

Pembohongan akan terus dilaporkan dan fitnah akan terus menerus disensasikan walaupun tanpa sebarang bukti dan fakta. Etika kewartawanan sebenarnya telah lama dilacurkan stesen TV itu.

Elok rasanya TV3 menukar 'tagline'nya kepada "Pembohongan Terkini, Fitnah Sensasi". - tajdid_

Sumber: Harakah


Mahkamah tolak peguam Speaker, sidang tergempar lulus 2 usul - mStar

[DIKEMAS KINI 10.50 PAGI] IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan dua usul pada sidang tergemparnya pagi ini termasuk meminta pembubaran DUN manakala Mahkamah Tinggi di sini pula menolak pasukan peguam swasta dilantik Speaker, V. Sivakumar untuk mewakilinya.

Keputusan penolakan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Riduan Ibrahim selepas menemui kedua-dua pasukan pembela dan plaintif kira-kira 30 minit di kamarnya.

Alasan yang diberikan Riduan adalah pasukan peguam yang dilantik Sivakumar tidak layak untuk mewakili Speaker tersebut.

Perkara itu diumumkan oleh ketua pasukan peguam Sivakumar, Tommy Thomas.

Kata beliau, mahkamah memutuskan bahawa di bawah peruntukan Akta Tatacara Kerajaan, Speaker hanya boleh diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri atau Jabatan Peguam Negara.

Dalam hal ini katanya, Speaker akan diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Dalam pada itu, sidang tergempar yang diadakan di kawasan lapang berdekatan bangunan SUK telah meluluskan dua usul.

Usul-usul tersebut adalah berkaitan Datuk Seri Mohamad Nizar Jalamaluddin kekal sebagai Menteri Besar dan memohon Sultan untuk membubarkan DUN.

Kedua-dua perkembangan ini berlaku serentak kira-kira pukul 10 hingga 10.30 pagi.


Sumber: mStar


Live from Perak!

http://anilnetto.com/

Pertembungan di Perak - Malaysiakini

Perak menjadi tumpuan hari ini ekoran keputusan Speaker V Sivakumar untuk meneruskan juga sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Pintu masuk ke bangunan tesebut ditutup dan dikawal oleh kira-kira 100 anggota polis, yang turut mengadakan sekatan jalanraya menuju ke situ.

8.50pm: Kira-kira 50 orang berhimpun di pintu belakang bangunan sekretariat kerajaan negeri Perak. "Tiada sebarang tanda akan berlaku apa-apa," kata wartawan Malaysiakini, Andrew Ong.

8.30am: Polis mengadakan sekatan jalanraya sejak semalam di sepanjang jalan utama menuju ke bangunan sekretariat kerajaan negeri Perak. Kenderaan tidak dibenarkan melaluinya.

Lebih 100 anggota polis berkawal di bangunan sekretariat kerajaan negeri. Ramai wartawan berkumpul di situ untuk membuat liputan.

8.15am: Pintu Utama bangunan sekretariat kerajaan negeri Perak di Ipoh ditutup, dan tiada sesiapapun di benarkan masuk ke bangunan itu. Ramai anggota polis diletakkan berkawal di bangunan berkenaan.

Polis juga menutup jalan belakang ke bangunan berkenaan. Trak-trak Unit Simpanan Persekutuan (FRUM) dan trak meriam air kelihatan di situ.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkeflil Abdullah memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan berhimpun di bangunan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat merancang untuk berhimpun di pintu masuk bangunan sekretariat kerajaan negeri sebelum jam 10 pagi sebelum masuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di dalam bangunan tersebut untuk mengadakan sidang tergempar DUN.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Zambry Abdul Kadir memfailkan saman terhadap Speaker V Sivakumar yang dijangka didengar jam 9 pagi di Mahkama Tinggi Ipoh.


Sumber: Malaysiakini

Polis buka kertas siasatan terhadap Ahmad Said - mStar

PULAU PINANG: Polis Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berikutan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi Bernama berkata, siasatan terhadap Ahmad Said dibuat menurut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

"Kita membuka kertas siasatan berikutan laporan polis yang diterima dan siasatan lanjut berhubung laporan sedang dijalankan," katanya.

Ditanya sama ada polis telah memanggil Ahmad Said, Ayub berkata: "Kita belum panggil lagi, mungkin dalam masa terdekat ini."

Pada 23 Februari lalu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis terhadap Ahmad Said di Balai Polis Dang Wangi berhubung pengumuman terbuka Ahmad Said yang dilihat 'berniat jahat'.

Ahmad Said sebelum itu dilaporkan membuat pengumuman dalam satu majlis di Pulau Pinang berhubung SPRM mempunyai bukti dakwaan penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kes penyenggaraan sebuah kereta mewah jenis Lexus milik peribadi dan pembelian 46 ekor lembu untuk korban. BERNAMA


Sumber: mStar



2 saman difail halang Speaker, Setiausaha DUN Perak digantung tugas - mStar

[DIKEMAS KINI, 11.30 MALAM] IPOH: Sah atau tidak ataupun siapa yang lebih berhak! Urutan usaha mempertahankan pendirian dan hujah masing-masing jelas mewarnai drama krisis politik Perak sejak pagi ini - menjelang sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipanggil Speakernya, V. Sivakumar pagi esok.

Drama pagi ini bermula dengan tindakan Exco kerajaan negeri Perak, Mohd. Zahir Abdul Khalid - yang baru - menyerahkan notis untuk merujuk Sivakumar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan itu atas dakwaan salah laku.

Notis yang mengandungi laporan salah guna kuasa oleh Speaker, menghina DUN serta tidak taat setia kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah itu diserahkan kepada setiausaha politik Sivakumar, A. Basu di pejabat Speaker di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 11 pagi.

Ia disusuli dengan tindakan Setiausaha DUN yang memutuskan agar pintu utama Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini ditutup esok.

Notis Penutupan berkenaan telah ditampal di kompleks yang menempatkan pejabat Menteri Besar Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Notis berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Notis dua perenggan itu meminta warga bangunan Perak Darul Ridzuan supaya membatalkan semua temu janji esok di premis tersebut.

V.Sivakumar telah memanggil sidang DUN tergempar esok untuk membincangkan dua usul.

Drama menjadi makin panas dengan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Dr, Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Dalam saman pemula yang difailkan petang tadi, Zambry dan enam Exco berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan dan selama 12 bulan terhadap enam Exco berkenaan adalah menyalahi Undangundang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya, Zambry berkata beliau difahamkan Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan itu pada 9 pagi esok.

Sehingga pukul 11.30 malam tadi, maklumat yang diterima menunjukkan Sivakumar telah bertindak menggantung tugas Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri dengan serta merta sambil menegaskan bahawa persidangan tergempar DUN yang dijadualkan esok akan tetap diteruskan.

Bercakap pada sidang media di pejabat peguamnya di sini malam ini, Sivakumar berkata, penggantungan itu diambil disebabkan kegagalan Abdullah menjalankan tugas sebagai pegawai Dewan.

Beliau telah melantik Misbahul Munir Masduki mengisi jawatan Abdullah.

Misbahul ialah setiausaha politik bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Semalam, Abdullah berkata, keputusan Speaker DUN Perak memanggil sidang tergempar Dewan esok adalah tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Jumaat lepas, Sivakumar telah mengeluarkan kenyataan memanggil satu sidang tergempar itu bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan di negeri ini.

Dalam sidang media hari ini, Sivakumar turut meminta polis memberi kerjasama kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menghadiri persidangan itu.

Beliau berkata Setiausaha Dewan atau Ketua Polis Negeri tidak patut menghalang atau mensabotaj usaha mengadakan persidangan berkenaan yang telah dipanggil secara sah.

Katanya, walaupun pakar perundangan telah menyatakan persidangan yang akan diadakan esok sebagai sah, namun pelbagai usaha dan taktik sedang dilakukan oleh pihak lawan untuk menghalang ia daripada berlangsung.

Sivakumar berkata, beliau akan menggunakan kuasa Dewan untuk membawa mana-mana pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah petang tadi memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan ke atas orang ramai yang mengadakan perhimpunan di kawasan bangunan Perak Darul Ridzuan esok.

Polis termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah berkawal di sekitar bangunan itu sejak petang tadi.

Sementara itu, Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat akan pergi ke bangunan berkenaan pada 10 pagi esok untuk menghadiri persidangan tergempar itu.

"Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Perak bahawa pihaknya akan mengambil tindakan berhubung keputusan pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menunjukkan ia tidak menghormati DUN sama sekali," katanya.

Ngeh berkata, polis sepatutnya memastikan sidang DUN itu berjalan lancar dan membenarkan semua anggota dewan menghadirinya.


Sumber: mStar


Portfolio agama Fairus diserahkan kepada Malik - Malaysiakini

Tindakan memindahkan portfolio agama kepada seorang lagi exco PKR dalam kerajaan Pulau Pinang bukan bermakna Timbalan Ketua Menteri Mohammad Fairus Khairuddin tidak mencapai prestasi yang baik.

Ketua perhubungan PKR negeri Datuk Zahrain Mohamed Hashim menegaskan, tindakan itu tiada kaitan dengan prestasi wakil rakyat Penanti itu dan ia hanya diambil bagi meringankan bebannya, lapor Bernama.

Tambahnya, tanggungjawab Mohammad Fairus saat ini agak berat kerana beliau mempengerusikan beberapa portfolio lagi iaitu pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan perhubungan masyarakat.

Portfolio agama kini diserahkan kepada Abdul Malik Abul Kassim yang juga wakil rakyat Batu Maung - pemimpin PKR yang dianggap pencabar terdekat Mohammad Fairus dalam kerajaan dan parti.

"Rombakan ini telah saya persetujui selepas berbincang dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan tidak salah memberikan tugas mengetuai portfolio agama itu kepada Abdul Malik kerana beliau hanya mengetuai dua jawatankuasa sahaja iaitu perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna," kata Zahrain kepada agensi berita itu.

Beliau diminta mengulas mengenai rombakan itu dan spekulasi bahawa rombakan tersebut dibuat berdasarkan prestasi Mohammad Fairus yang tidak menyerlah.

Katanya, beliau menyedari wujud bermacam-macam dakwaan negatif di blog terhadap prestasi Mohammad Fairus tetapi menegaskan bahawa semua dakwaan itu tidak mempunyai bukti kukuh.

"Saya memang dengar macam-macam cerita mengenai Fairus tetapi kena ada bukti kukuhlah," Zahrain dipetik berkata.

"Kalau setakat menulis dalam blog, saya rasa itu tindakan yang kurang sesuai sebaliknya pihak yang mendakwa itu perlu membuat aduan secara rasmi sama ada kepada parti mahupun pihak berkuasa yang berkaitan jika dakwaan mereka melibatkan soal penyalahgunaan kuasa."

Barisan exco kerajaan negeri dianggotai 11 pemimpin yang mana tiga daripadanya diwakili pemimpin PKR manakala bakinya daripada DAP.

Prestasi Mohammad Fairus menjadi subjek perbincangan umum apabila beberapa pegawainya meletakkan jawatan dan diserang secara intensif melalui blog, selain ditegur secara terbuka oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahrain menambah, PKR negeri menubuhkan pasukan petugas khas memantau prestasi semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), anggota parlimen dan ahli majlis kerajaan tempatan bagi memastikan sumbangan mereka berkesan kepada kerajaan negeri dan rakyat.


Sumber: Malaysiakini

Monday, March 2, 2009

DUN Perak ditutup, elak sidang tergempar - Malaysiakini

kemaskini 4.20pm Dalam tindakan mengejut untuk menggagalkan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dirancang esok, kompleks pentadbiran negeri yang menempatkan dewan itu akan ditutup esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh bahagian khidmat pengurusan, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Bukit Gantang Wahab akan ditutup.

Kakitangan yang menetapkan temujanji di bangunan tersebut esok diarah membatalkannya.

Notis tanpa tandatangan itu dari pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) menggunakan logo rasmi kerajaan negeri.

Terdahulu, seorang exco kerajaan BN Perak ingin Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan itu berhubung dakwaan salah laku V Sivakumar.

Notis yang mengandungi laporan salah guna kuasa oleh Speaker, menghina DUN serta tidak taat setia kepada titah Sultan Perak itu diserahkan kepada setiausaha Speaker, A Basu di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 11 pagi.

Mohd Zahir Abdul Khalid berkata notis itu juga berkaitan tindakan Speaker menggantung dan melarang Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri menghadiri persidangan DUN, lapor Bernama.

Tindakan ini dipercayai sebagai reaksi balas terhadap usaha Speaker memanggiil sidang tergempar DUN jam 10 pagi esok bagi membahaskan usul-usul undi percaya terhadap Datuk Seri Mohamad Nizar Jamamaluddin, yang ditumbangkan oleh BN, dan membubarkan dewan.

Semalam, Setiausaha DUN Abdullah Antong Sabri berkata cadangan Speaker untuk memanggil sidang tergempar itu tidak sah.
Ia tidak boleh diadakan dengan tidak mendapat perkenan
Sultan Perak berdasarkan perintah tetap dewan serta
undang-undang tubuh kerajaan negeri, tambahnya.

Sivakumar mingggu lalu dilaporkan berkata sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan baginda terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Semalam, beliau bertegas akan tetap meneruskan sidang tergempar itu - melanjutkan lagi krisis peralihan kuasa di negeri itu yang berlarutan kira-kira sebulan.

Kerajaan BN juga akan memohon perintah injunksi daripada mahkamah bagi menghalang sidang tergempar itu.


Sumber: Malaysiakini


Ahmad Said pengecut, diserang ‘sindrom UMNORISME’

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia



2 Mac 2009


Ahmad Said pengecut, diserang ‘sindrom UMNORISME’

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar keras kenyataan balas yang dikeluarkan secara biadap oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ahmad Said Hamdan seperti yang disiarkan di dalam The Sunday Star, 1 Mac 2009.

Beliau yang mempertikaikan tindakan AMK menghantar seekor lembu kepada SPRM sebagai tindakan yang 'bodoh dan kebudak-budakan' jelas menggambarkan kejengkelan pemikiran beliau yang sekaligus menghilangkan kelayakan beliau untuk memimpin badan bebas seperti SPRM.

Apa yang dilakukan oleh AMK telah dijelaskan sebelum ini, bahawa ia adalah satu bentuk peringatan dan sindiran kepada SPRM agar lebih profesional di dalam mengendalikan kes-kes yang dikemukakan kepada SPRM. SPRM perlu membebaskan diri mereka daripada menjadi lembu dicucuk hidung.

Apa yang mengelirukan ialah, SPRM begitu mudah melakukan pendakwaan terbuka kepada mana-mana pemimpin atau ahli Pakatan Rakyat yang disyaki, tetapi mereka membisu seribu bahasa apabila berhadapan dengan kes-kes yang melibatkan Umno-BN.

Puluhan malah ratusan kes membabitkan pimpinan Umno-BN berserta bukti dan fakta-fakta imperikal yang telah dikemukakan oleh AMK dan Pakatan Rakyat sebelum ini, tetapi tidak ada satupun kes yang didedahkan hasil siasatan, malah tidak ada satu pun kes yang berjaya dibawa ke mahkamah!

Ahmad Said dikhabarkan telah membuat laporan polis kononnya tindakan AMK itu dilihat sebagai 'penghinaan kepada penjawat awam'. AMK menegaskan bahawa AMK tidak gentar dengan sebarang laporan polis yang dibuat oleh Ahmad Said malah sesiapa sahaja yang mempertikaikan tindakan AMK yang bertujuan untuk memperingatkan mereka. AMK mencabar Ahmad Said untuk membawa kes ‘membawa lembu’ ini ke mahkamah.

AMK ingin mengingatkan kepada Ahmad Said dan SPRM seluruhnya bahawa mereka menjunjung amanah rakyat yang besar nilainya, selari dengan status mereka sebagai 'public servant' atau 'hamba kepada rakyat'. Tanggungjawab mereka adalah terus kepada rakyat, bukan kepada pemerintah Umno-BN sebagaimana yang dilakukan sekarang. Ini adalah kerana setiap sen gaji yang diperolehi mereka adalah merupakan hasil yang diperah daripada titik peluh rakyat yang tegar membayar cukai saban tahun.

AMK akan terus mendepani gerakan rakyat untuk memperingatkan SPRM khususnya Ahmad Said agar mereka lebih telus dan adil di dalam sebarang tindakan yang diambil mereka. AMK masih mempunyai keyakinan kepada sistem yang sedia ada meskipun ia telah terpalit teruk dengan 'Umnorisme'.

AMK mengulangi cabaran kepada Ahmad Said untuk mendedahkan hasil siasatan kes-kes yang melibatkan pimpinan Umno-BN seperti pendedahan laporan Ketua Audit Negara, puluhan kes rasuah yang membabitkan Khir Toyo, kes rasuah pembelian Eurocopter dan kapal selam Scorpene, penyelewengan wang royalti minyak negeri Terengganu, dan puluhan lagi kes yang pernah dikemukakan oleh AMK mahupun komponen Pakatan Rakyat sebelum ini.



Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


Hadiah lembu, Ketua Pemuda PKR cabar SPRM dakwa - mStar

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin menegaskan, pihaknya tidak akan memohon maaf kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tindakan menghadiahkan lembu secara simbolik Rabu lalu, sebaliknya sedia berhadapan dengan tindakan mahkamah jika didakwa.

"Saya cabar untuk didakwa.. hendak dakwa di bawah seksyen apa? Saya juga tidak akan meminta maaf... saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," kata beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan semalam.

Beliau turut menyelar keras kenyataan balas yang dikeluarkan secara biadap oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ahmad Said Hamdan dalam temu bual bersama Sunday Stardan mStar Online, yang disiarkan semalam.

Ahmad Said mempertikaikan tindakan AMK menghantar seekor lembu kepada SPRM sebagai tindakan yang 'bodoh dan kebudak-budakan'.

Menurut Ahmad Said, tindakan AMK menghadiahkan lembu sebagai simbolik berhubung isu siasatan penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "merupakan penghinaan kepada kerajaan."

Malah katanya, menghina kakitangan awam yang menjalankan tugas mereka juga satu kesalahan.

Kata Shamsul Iskandar, kenyataan balas itu dengan jelas menggambarkan kejengkelan pemikiran Ahmad Said, sekali gus menghilangkan kelayakan beliau untuk memimpin badan bebas seperti SPRM.

"Apa yang dilakukan oleh AMK telah dijelaskan sebelum ini bahawa ia adalah satu bentuk peringatan dan sindiran kepada SPRM agar lebih profesional dalam mengendalikan kes-kes yang dikemukakan kepada SPRM.

"SPRM perlu membebaskan diri mereka daripada menjadi lembu dicucuk hidung.

"Apa yang mengelirukan ialah SPRM begitu mudah melakukan pendakwaan terbuka kepada mana-mana pemimpin atau ahli Pakatan Rakyat yang disyaki, tetapi mereka membisu seribu bahasa apabila berhadapan dengan kes-kes yang melibatkan Umno-BN.

"Puluhan, malah ratusan kes membabitkan pimpinan Umno-BN berserta bukti dan fakta-fakta impirikal yang telah dikemukakan oleh AMK dan Pakatan Rakyat sebelum ini, tetapi tidak ada satupun kes yang didedahkan hasil siasatan, malah tidak ada satu pun kes yang berjaya dibawa ke mahkamah," katanya.

SPRM telah membuat laporan polis kononnya tindakan AMK itu dilihat sebagai penghinaan kepada penjawat awam.

Kata Shamsul Iskandar, AMK tidak gentar dengan sebarang laporan polis yang dibuat oleh Ahmad Said, malah sesiapa sahaja yang mempertikaikan tindakan sayap pemuda PKR itu yang bertujuan untuk memperingatkan mereka.

"AMK akan terus mendepani gerakan rakyat untuk memperingatkan SPRM khususnya Ahmad Said agar mereka lebih telus dan adil dalam sebarang tindakan yang diambil mereka.

"AMK masih mempunyai keyakinan kepada sistem yang sedia ada meskipun ia telah terpalit teruk dengan 'Umnorisme'," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, AMK secara rasmi mencabar Ahmad Said untuk mendedahkan hasil siasatan kes-kes yang melibatkan pimpinan Umno-BN seperti pendedahan laporan Ketua Audit Negara, puluhan kes rasuah yang membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, pembelian Eurocopter dan kapal selam Scorpene, penyelewengan wang royalti minyak negeri Terengganu dalam tempoh 48 jam.


Sumber: mStar


BN mahu Speaker DUN Perak dirujuk Jawatankuasa Hak - mStar

[DIKEMAS KINI] IPOH: Exco Kerajaan Negeri Perak, Mohd. Zahir Abdul Khalid mengemukakan notis mahu merujuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Notis itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Sivakumar pada pukul 11 pagi tadi oleh Zahir dan dua peguamnya.

Zahir mahu Sivakumar dirujuk kepada jawatankausa tersebut, yang dipengerusikan oleh Sivakumar sendiri, atas alasan beliau tidak menghormati Sultan Perak.

Beliau merujuk kesalahan itu di bawah Perkara 47 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Pada 18 Februari lalu, Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir digantung serta-merta dan dilarang daripada menghadiri sesi DUN Perak selama 18 bulan manakala enam Exco kerajaan negeri digantung selama 12 bulan.

Minggu lalu Sivakumar memanggil untuk diadakan sidang tergempar DUN, yang dijadualkan esok.


Sumber: mStar



Keputusan SMS NTV7: 97 peratus undi sokong sidang DUN - Harakah

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Hrkh) - Keputusan Undian SMS yang dikendalikan oleh NTV7 melalui berita '7 Edition' baru-baru ini bertajuk "Apakah Sidang Tergempar SAH?" mendapat respon yang begitu mengejutkan.

Dalam undian terbabit hasilnya secara keseluruhan, 97 peratus rakyat Malaysia menyatakan bahawa sidang tergempar DUN itu sah diadakan esok sungguhpun Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak menyanggah keputusan Speaker DUN Speaker DUN Perak, V.Sivakumar.

Kata Najib ianya tidak boleh memanggil sidang tergempar kerana mahkamah belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu sedangkan sebelum ini tanpa menunggu keputusan mahkamah, beliau menyokong dan bersetuju melantik Dato' Dr Zambry sebagai menteri besar yang baru.

Difahamkan terdapat tiga faktor untuk Speaker memanggil Sidang DUN tergempar ini tanpa memerlukan perkenan Sultan.

Pertama, beliau telah mendapat dua notis usul daripada dua ADUN Perak untuk dibincangkan segera iaitu Usul pertama oleh Khalil Idham Lim Abdullah (ADUN Titi Serong) yang mahu ahli dewan memberikan sokongan kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin.

Manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (ADUN Teja) yang mahu DUN dibubarkan bagi memberikan laluan kepada rakyat memilih melalui pilihanraya.

Kedua, sidang DUN yang lepas hanya ditangguhkan dan boleh disambung semula tanpa perlu lagi perkenan sultan maka speaker berhak untuk memanggil sidang tergempar sebagaimana Sidang Parlimen berhubung isu Palestin yang diadakan baru-baru ini tidak pun perlu mendapat perkenan Agong terlebih dahulu.

Ketiga, sidang DUN tergempar ini tidak perlu diberikan notis 14 hari seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan Tetap 27 (3) Peraturan Peraturan Tetap DUN Perak kerana notis itu hanya untuk persidangan biasa bukan tergempar. - azm _


Sumber: Harakah

Foto intim Eli: Editor Malay Mail letak jawatan - Malaysiakini

Editor lamanweb Malay Mail, U-En Ng telah meletak jawatan ekoran laporan akhbar berkenaan berhubung kontroversi pendedahan gambar intim ahli exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Ng mengumumkan keputusannya meletak jawatan dalam forum bertajuk 'Privasi: Adalah ia wujud di Malaysia? Tiba masa untuk digubal undang-undang?' anjuran Majlis Peguam semalam.

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily hari ini, Ng yang menjadi salah seorang ahli panel di forum tersebut, berkata laporan mengenai gambar intim Elizabeth gagal untuk menyatakan kebenaran dan sebaliknya telah menimbulkan lebih banyak masalah.

Soal prinsip

Beliau menegaskan bahawa pihak media mesti mengamalkan selia-diri dan mengelak melaporkan berita yang menceroboh privasi peribadi.

Oleh itu, Ng berkata, keputusannya untuk meletakkan jawatan adalah kerana soal prinsip.

Bagaimanapun, Ng bersetuju bahawa menceroboh privasi demi kepentingan awam mungkin ada masanya boleh diterima, seperti dalam kes pegawai kerajaan menerima rasuah di rumah mereka sendiri.

Malay Mail adalah antara dua media yang pertama menyiarkan berita mengenai gambar intim Elizabeth yang diedarkan kepada umum pada 16 Februari lalu.


Sumber: Malaysiakini

Sidang tergempar: Speaker dan S/U DUN bercanggah pendapat - Malaysiakini

Kemelut politik yang melanda negeri Perak, selepas Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri baru awal bulan lalu, terus berlanjutan.

Hari ini, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri berkata cadangan Speaker V Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar Selasa ini adalah tidak sah.

Katanya, ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Abdullah menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Sivakumar dilaporkan berkata sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Sivakumar memanggil sidang tergempar itu untuk membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa
kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun dalam reaksinya terhadap kenyataan Abdullah itu, Bernama memetik Sivakumar berkata sidang tergempar Dewan itu Selasa ini adalah sah dan akan diadakan seperti yang telah ditetapkan.

Sivakumar berkata beliau dengan pakar undang-undang perlembagaan telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap Perak dan mendapati beliau mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar itu.

"Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan Dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidang kuasa Speaker," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Sehingga hari ini, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin masih mengakui beliau merupakan menteri besar Perak yang sah.


Manakala menteri besar BN, Datuk Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah awal bulan lalu, selepas BN menubuh kerajaan baru di negeri itu.

Abdullah dalam kenyataannya berkata mengikut Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan Tuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

Menurutnya, beliau telah menerima arahan dari Sivakumar supaya mengeluarkan notis segera untuk mengadakan sidang tergempar DUN Selasa ini melalui urat Sivakumar yang bertarikh 25 Februari 2009 yang turut disertakan notis usul aripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja dan ADUN Titi Serong.

Abdullah berkata, walaupun ia sidang tergempar, "dalam apa jua pun keadaan, saya hendaklah menghantar notis bertulis tersebut berserta dengan warta pemasyhuran memanggil dewan kepada tiap-tiap anggota DUN menarik perhatian mereka kepada pemasyhuran tersebut.

"Permasyhuran memanggil dewan dibuat oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan. Ini adalah berdasarkan PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan "maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat.."

Kuasa mutlak

"PT 10 (1) mengatakan " Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta," katanya.

Beliau berkata berasaskan PT 10 (1) itu, kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.

"Ini adalah kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memberi kuasa yang jelas kepada DYMM Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang," katanya.

Beliau berkata, Perkara XXXVI (1) memperuntuk "DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan."

Abdullah berkata peruntukan di atas adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan Undang-Undang Tertinggi di negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak.

Khamis lalu, Sivakumar menerima dua usul dengan yang pertama daripada ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Mengulas lanjut kenyataan Abdullah itu, Sivakumar sebaliknya menegaskan setiausaha DUN itu tidak mempunyai kuasa untuk menafsir Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) dan sebaliknya kewajipan beliau Abdullah) adalah hanya untuk mematuhi perintah dan arahan Speaker serta menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam PT.

Speaker DUN Perak itu berkata Abdullah telah membuat tafsiran yang salah ke atas PT kerana PT 8 (1) jelas menyatakan notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyhuran memanggil Dewan adalah tidak diperlukan, sebaliknya hanya memerlukan notis memanggil Dewan bersidang dikeluarkan dengan seberapa segera.

"Artikel 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak pula hanya digunapakai untuk permulaan sesuatu sesi Dewan ataupun apabila Dewan bermula selepas sesi itu tamat.

"Artikel ini tidak boleh digunapakai dalam keadaan setelah Dewan ditangguhkan dan dipanggil semula untuk bermesyuarat dalam sesi yang sama," kata Sivakumar.

Sumber: Malaysiakini