Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Elizabeth. Show all posts
Showing posts with label Elizabeth. Show all posts

Tuesday, April 21, 2009

Eli Kunjungi Nik Aziz dengan Imej Baru - Siasah

KOTA BHARU, 20 April: Adun kontroversi, Elizabeth Wong telah membuat kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman rasminya, di JKR 10 Kota Bharu.

Elizabeth kelihatan bersama seorang teman dan seorang pengawal peribadi telah membuat kunjungan tersebut pada Sabtu.

Pertemuan selama 40 minit itu juga merupakan pertemuan empat mata antara beliau dan Nik Aziz.

Menurut Eli, pertemuan tersebut berlaku jam 2 petang dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Mursyidul Am PAS itu kerana memberi sokongan kepada beliau sebelum ini.

"Saya akan memberi fokus kepada kerja yang telah ditangguhkan dan bersemangat untuk kembali berkhidmat untuk rakyat," jelasnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Ditanya butiran pertemuan itu, Elizabeth tersenyum dan berkata bahawa Nik Aziz seorang yang bertimbang rasa kepada kesnya dan Eli berterima kasih kepada Mb Kelantan itu.

Elizabeth sebelum ini dikaitkan dengan isu gambar yang tersebar di internet telah kembali bertugas setelah dua bulan bercuti.

Beliau menerima kembali jawatan sebagai Adun Bukit Lanjan dan juga Exco kerajaan Selangor.

Beliau juga berpendapat bahawa pandangan dari Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin sebagai pandangan peribadi dan beliau juga masih bersahabat baik dengan Zulkifli.


Siasah


Thursday, April 16, 2009

Eli terima tawaran kekal jawatan - Malaysiakini

Elizabeth Wong menerima tawaran kerajaan Selangor untuk mengekalkan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

"Sepanjang hidup saya, inilah merupakan satu keputusan yang paling sukar yang perlu saya dan dengan penuh rasa rendah diri, saya menerima tawaran kerajaan Selangor untuk kekal memegang jawatan saya," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Khalid Ibrahim serta Sultan Selangor di atas tunjuk ajar baginda.

Elizabeth juga turut mengucapkan terima kasih kepada para anggota exco, kakitangannya, rakan-rakan ADUN dan rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat dan BN, pemimpin PKR, Wanita PKR, ahli akar umbi dan para peguamnya di atas sokongan dan tunjuk ajar mereka.

Elizabeth menawarkan diri untuk meletakkan jawatan exco pelancongan, pengguna dan alam sekitar Selangor dan ADUN Bukit Lanjan pada 17 Februari lalu ekoran tersebarnya gambar separuh bogelnya kepada umum.

Dalam satu kenyataan hari ini, Elizabeth berkata, beliau terharu dengan galakan dan sokongan dari pihak media, kaum keluarga, sahabat handainya, NGO serta ribuan rakyat yang menandatangani petisyen mendesak supaya beliau dikekalkan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas sifat profesionalisme mereka dalam menangani isu tersebut," katanya.

Di samping itu, katanya, beliau juga sedang menunggu untuk melihat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan foto separuh bogelnya, ditangkap dan didakwa secepat mungkin.

"Satu-satunya hasrat saya ialah untuk berkhidmat kepada pengundi di kawasan saya, kepada negeri ini sebaik mungkin, dengan kerjasama rakyat untuk menjadikan negeri dan negara ini, sebuah tempat yang terbaik untuk didiamani.

"Perjuangan berterusan, dan tugas kita baru bermula," tambahnya..

Elizabeth menyifatkan tempoh dua bulan lalu - sejak tersebar gambar separuh bogelnya itu - sebagai satu pengalaman yang cukup pahit yang tidak pernah termimpi akan berlaku ke atas dirinya atau orang lain.

Katanya, kehidupan peribadinya telah dicerobohi tanpa kerelaannya.

Malah, kata Elizabeth, sehingga petang ini pun, beliau masih menerima ancaman dari orang-orang yang tidak dikenali.

"Ini bukanlah satu skandal, seperti tanggapan sesetengah pihak, tetapi jelas merupakan satu perbuatan jenayah," katanya lagi.

Sehubungan itu, tegas Elizabeth, politik kotor tidak harus dibairkan menjadi sebahagian daripada budaya politik negara.

"Bagi mereka yang mengeksploitasi dan menyokong perbuatan jenayah seumpama ini, maka perbuatan itu menjadi petunjuk "ahli politik jenis apakah mereka ini".

Elizabeth berkata, beliau berpegang teguh kepada hak seseorang itu terhadap hal-hal peribadi mereka.

"Saya memperjuangkan 'Politik Baru' - politik yang menggalakkan perbincangan intelektual, polimik dan debat ilmiah mengenai ideologi, dan bukannya politik kotor yang mahu mencemar, memfitnah serta melanggar hak peribadi orang lain semata-mata untuk kepentingan politik mereka.


Malaysiakini

Kenyataan Media MB Selangor berkenaan Keputusan Status YB Elizabeth Wong

KENYATAAN MEDIA

APRIL 15, 2009

KEPUTUSAN STATUS YB ELIZABETH WONG

SHAH ALAM: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) hari ini telah membuat keputusan untuk menawarkan YB Elizabeth Wong agar kembali meneruskan tugas beliau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan.

Justeru itu, jika YB Elizabeth menerima keputusan ini, beliau akan diminta kembali dari cuti untuk meneruskan perkhidmatan beliau kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Selangor mulai esok.

Kerajaan Negeri juga berpendapat keputusan ini adalah wajar dan adil setelah mengambil kira pandangan semua pihak, kepentingan rakyat serta perkembangan mutakhir siasatan polis yang sehingga kini gagal membuat sebarang keputusan muktamad.

DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah diberi taklimat tentang keputusan ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Negeri Selangor, saya menjujung kasih ke atas pendirian Tuanku untuk tidak mencampuri urusan politik serta memberi kepercayaan penuh kepada Kerajaan Negeri bagi membuat keputusan yang adil dan terbaik.

Perlu ditekankan disini Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor memandang serius isu moral dan akan senantiasa memastikan pimpinan Negeri menjunjung prinsip ini. Oleh itu, jika ada sebarang bukti yang kukuh, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya. Namun demikian, pendirian ini juga harus di imbangi dengan prinsip menghormati hak peribadi seseorang dan Kerajaan Negeri amat serius mempertahankan hak ini.(tamat)

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Monday, March 2, 2009

Foto intim Eli: Editor Malay Mail letak jawatan - Malaysiakini

Editor lamanweb Malay Mail, U-En Ng telah meletak jawatan ekoran laporan akhbar berkenaan berhubung kontroversi pendedahan gambar intim ahli exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Ng mengumumkan keputusannya meletak jawatan dalam forum bertajuk 'Privasi: Adalah ia wujud di Malaysia? Tiba masa untuk digubal undang-undang?' anjuran Majlis Peguam semalam.

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily hari ini, Ng yang menjadi salah seorang ahli panel di forum tersebut, berkata laporan mengenai gambar intim Elizabeth gagal untuk menyatakan kebenaran dan sebaliknya telah menimbulkan lebih banyak masalah.

Soal prinsip

Beliau menegaskan bahawa pihak media mesti mengamalkan selia-diri dan mengelak melaporkan berita yang menceroboh privasi peribadi.

Oleh itu, Ng berkata, keputusannya untuk meletakkan jawatan adalah kerana soal prinsip.

Bagaimanapun, Ng bersetuju bahawa menceroboh privasi demi kepentingan awam mungkin ada masanya boleh diterima, seperti dalam kes pegawai kerajaan menerima rasuah di rumah mereka sendiri.

Malay Mail adalah antara dua media yang pertama menyiarkan berita mengenai gambar intim Elizabeth yang diedarkan kepada umum pada 16 Februari lalu.


Sumber: Malaysiakini

Wednesday, February 25, 2009

Sultan serah MB Selangor, pilihan raya kecil di Bukit Lanjan? - mStar

[DIKEMAS KINI, 12 TENGAH HARI] PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat keputusan berhubung kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Bukit Lanjan dan Exco, Elizabeth Wong yang gambar separuh bogelnya disebarkan sejak dua minggu lalu.

Pendirian Sultan Selangor itu dinyatakan kepada Khalid semasa beliau menghadap baginda pagi ini untuk mendapat nasihat mengenai kedudukan Wong yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan ekoran kontroversi tersebut.

Baginda mengambil keputusan itu memandangkan isu Wong masih dalam siasatan polis dan sebagai Sultan Selangor, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik.

"Sultan Selangor menitahkan kepada saya untuk memaklumkan bahawa baginda tidak dapat memberikan panduan atau nasihat kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor dalam hal berkenaan isu Yang Berhormat Elizabeth Wong kerana ia masih dalam siasatan pihak polis dan melibatkan kedudukan Yang Berhormat Elizabeth Wong dalam politik.

"Sebagai Sultan Selangor, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik," kata Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan akhbar kepada Bernama.

Baginda percaya bahawa apa jua keputusan bakal diambil Khalid, yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung isu Wong akan dibuat dengan tepat, adil dan mengambil kira kepentingan rakyat negeri Selangor.

mStar Online difahamkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bahawa kemungkinan pilihan raya kecil akan diadakan di kerusi tersebut.

Bagaimanapun sehingga kini Wong belum mengemukakan surat letak jawatan kepada Menteri Besar, hanya menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

Biro Politik PKR dijadual mengadakan mesyuaratnya malam ini, antara lain membincangkan isu tersebut.

Khalid telah meluangkan masa lebih sejam menghadap Sultan Selangor berhubung isu Wong.

Pertemuan ini berlangsung sembilan hari selepas Wong menawarkan pendiriannya untuk berundur sebagai Exco dan ADUN Bukit Lanjan.

Terdahulu Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Arfa`eza Abdul Aziz berkata, Menteri Besar menghadap Sultan Selangor mulai pukul 9 pagi tadi di Istana Alam Shah.

"Menteri Besar dijangka menerangkan kepada Exco berhubung hasil pertemuan dengan Sultan dalam mesyuarat Exco yang akan bermula pada pukul 2 petang ini.

"Manakala sidang media berhubung isu menghadap itu akan diadakan selepas mesyuarat Exco, pada pukul 5 petang ini," katanya kepada mStar Online.

Pertemuan tersebut berakhir pada pukul 10:30 pagi tadi.

Minggu lalu, Wong yang juga Ketua Penerangan Wanita PKR menawarkan peletakan jawatannya sebagai ADUN dan Exco berikutan tersebarnya gambar dan video separuh bogel beliau.

Pada hari Wong mengumumkan pendiriannya, Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor memberitahu, sementara Wong diminta bercuti beliau akan mendapatkan panduan Sultan Selangor berhubung perkara itu.

Kata Khalid, cuti tersebut tidak melebihi tempoh sebulan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, sebarang keputusan berhubung isu ini hanya akan dibuat selepas perbincangan dengan Sultan.

Wong kini berada di luar negara.


Sumber: mStar


Friday, February 20, 2009

KENYATAAN MEDIA AMK; AMK SOKONG ADUN BUKIT LANJAN

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Malaysia

19 Feb 2009

PENCABULAN HAK INDIVIDU; AMK SOKONG ADUN BUKIT LANJAN


Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin menyatakan sokongan kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga ADUN keADILan Bukit Lanjan, YB Elizabeth Wong berikutan kontroversi yang melibatkan diri beliau.

Berkenaan dengan isu yang melibatkan Elizabeth ini, beliau tidak perlu meletak jawatan atas beberapa faktor. Pertamanya beliau bukan memperlakukan adegan lucah sebaliknya gambar beliau diambil secara curi dan tanpa kesedaran beliau.

Keduanya, kehidupan peribadi beliau adalah satu perkara yang perlu dihormati dan sebarang usaha pencabulan hak individu beliau adalah sesuatu yang tidak bermoral.

AMK memandang serius akan perbandingan yang cuba dibuat oleh pihak TV3 dalam Buletin Utama 17 Januari 2009 dengan mengaitkan kes Vijandran, Chua Soi Lek, V.K. Lingam dan sebagainya dengan kontroversi yang melibatkan Elizabeth ini.

Ianya benar-benar berniat jahat kerana kes-kes tersebut semuanya melibatkan perlakuan moral individu tersebut yang jelas salah di sisi agama dan juga tatasusila masyarakat.

Demikian juga dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Ketua Pembangkang BN Selangor, Dato' Seri Dr. Mohd Khir Toyo yang cuba memesongkan fakta yang berlaku ke atas bekas Menteri Kesihatan dengan Y.B Elizabeth. Beliau perlu maklum bahawa apa yang berlaku kepada bekas Menteri Kesihatan adalah sesuatu yang berbeza memandangkan pendedahan melibatkan bekas Menteri terbabit adalah merupakan skandal seks. Sedangkan apa yang berlaku ke atas Elizabeth adalah merupakan satu penganiayaan yang dilakukan ke atas beliau tanpa beliau sedar.


Tindakan Elizabeth menawarkan diri untuk meletakkan jawatan adalah tindakan terpuji kerana meletakkan parti di depan melebihi hal peribadi. Tetapi AMK percaya bahawa tidak ada keperluan bagi Elizabeth untuk mengundurkan diri kerana beliau tidak bersalah atas soal isu ini melibatkan peribadi beliau.

Sokongan rakyat jelas terbukti di Bukit Lanjan dan seluruh Malaysia terhadap Elizabeth, malah kebanyakan organisasi NGO dan sayap wanita parti-parti politik termasuklah di kalangan parti komponen BN seperti MCA sendiri.

AMK berpendapat bahawa Elizabeth perlu meneruskan tugas beliau seperti biasa dan terus berkhidmat kerana rakyat memerlukan beliau dan berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang 11 bulan beliau menjadi ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Hj Ramlan Roes
Exco
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Merangkap Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan

Wednesday, February 18, 2009

Kenyataan Media Anwar Ibrahim Berhubung Isu YB Elizabeth Wong

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—
Bangunan Parlimen, 17 Februari 2009


Saya merujuk kepada kenyataan Saudari Elizabeth Wong, di mana beliau telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik keji yang digunakan ke atas beliau. Kita tertanya-tanya sekeji mana dalang ini sanggup menggunakan taktik tersebut.

Saya dan Azizah telahpun berbincang secara panjang lebar dengan Saudari Elizabeth Wong. Kami memahami asas kepada keputusan yang diambil beliau.

Kami berbangga dengan prestasi dan pengorbanannya selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

Menteri Besar Selangor menasihatkan beliau mengambil cuti dan kedudukan beliau selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan dibincang dengan DYMM Tuanku Sultan Selangor. Manakala kedudukan selaku ADUN akan diputuskan oleh pimpinan parti setelah berbincang dengan beliau nanti.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

Sejak Bila UMNO Utamakan Perihal Moral?

Satu lagi babak keji muncul buat menyerlah lagi kebejatan amalan politik Malaysia. Azizah, saya dan pimpinan kanan parti telah mendapat penjelasan YB Elizabeth Wong dalam pertemuan panjang di rumah kami semalam.

Dalam sidang media tadi saya membayangkan amalan dan bentuk kegelojohan penguasa rakus menghalalkan apa jua cara. Saya kira mahaguru mereka Machiavelli akan mengerut kening kerana kehebatan merekayasa kaedah canggih yang tak terduga oleh beliau.

Terpancar senyuman sinis mereka lantaran berhasil menempelak pemimpin KeADILan. Namun di benak hati kita, terlontar persoalan.

Apakah benar isu akhlak dan moral utama buat mereka? Jika benar, bagaimana mungkin dilenyapkan bukti berkaitan kes pembunuhan, dipadamkan lapuran siasatan awal dakwaan kes Port Dickson, dilesapkan wang ribuan juta habuan istimewa dari pembelian peralatan senjata?

YB Elizabeth menawarkan untuk meletakkan jawatan. Ini menggambarkan sikap tegas beliau, mengelakkan parti dan kerajaan Pakatan Rakyat dari difitnah dan dihina. Sepertimana kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid, kami berbangga dengan prestasi dan pengurbanannya selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

Tan Sri Khalid menasihatkan beliau mengambil cuti dan kedudukan beliau selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan dibincang dengan DYMM Tuanku Sultan Selangor. Manakala kedudukan selaku ADUN akan diputuskan olih pimpinan parti satelah berbincang dengan beliau nanti.

ANWAR IBRAHIM